Ayahnda

Ayahnda

Isnin, 22 April 2013

Bahagia dan Celaka


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini ISNIN 22 April 2013 Masihi bersamaan 11 Jamadil'akhir 1434 Hijrah juga bersamaan 3 Syur 10,001 tahun PuSaka hamba nukilkan syarahan Ayahnda As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dipetik dari kiitab Sirrul Asrar. Semoga hamba dan saudara-saudari sekalian, sama-sama kita beroleh pengajaran dan kebaikan dari nukilan kali ini sempena beradanya kita dalam suasana PRU13.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, bahwa manusia tidak akan lepas dari BAHAGIA dan CELAKA. Bahagia dan celaka terdapat pada setiap manusia. Bila kebaikan dan keikhlasannya lebih banyak, ertinya nafsuniyahnya telah digantikan dengan ruhaniyah, maka celakanya akan ditukar dengan bahagia. Sebaliknya, bila mengikuti nafsunya, maka kejadiannya adalah sebaliknya. Bilamana sama antara bahagia dan celakanya, maka lebih diharapkan pada kebaikannya.

Firman Allah Ta'ala; "Barangsiapa melakukan amalan yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya".
Surah Al-An'am ayat 160.


Adapun orang yang lebih banyak kebaikannya, maka ia masuk syurga tanpa hisab. Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Qari'ah ayat 6 dan 7 ; "Dan adapun orang-orang yang berat timbangan (kebaikannya), maka dia berada dalam kehidupan yang diredhai".

Dan bila dia masih mempunyai iman, dia akan keluar dari neraka dan masuk syurga. Yang dimaksudkan dengan bahagia dan celaka ialah kebaikan dan keburukan yang silih berganti. Rasulullah s.a.w. bersabda ; "Orang yang celaka boleh jadi bahagia dan orang yang bahagia boleh jadi celaka. Tolok ukurnya adalah kebaikannya lebih banyak, maka ia bahagia".

Manusia yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, berarti dia sedang menggantikan kecelakanya menjadi bahagia.


Adapun yang murni dari azali tentang bahagia dan celaka semua manusia pun sama. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda ; "Orang yang akan bahagia talah ditetapkan kebahagiaannya dalam perut ibunya. Begitu pun yang celaka telah ditentukan celakanya dalam perut ibunya".

Namun seorang pun tidak boleh membahas tentang perkara ini, sebab bahasan di bidang ini adalah rahsia Qudrat Allah Ta'ala yang kalau manusia memaksakan perbahasannya, mereka akan terpeleset menjadi zindik (meninggalkan ibadah syariat dan merasa cukup dengan suratan taqdir)

Seseorang tidak boleh berhujah tentang rahsia Qudrat Ilahi, umpamanya sahaja : Seseorang meninggalkan amal baik ia berkata; "Aku sudah ditentukan untuk menjadi orang celaka, untuk apa aku beramal baik, dan kalau pun aku ditentukan untuk menjadi orang bahagia, dosa-dosaku tidak akan menjadi mudharat bagiku".

Ayahnda Syeikh Abdul Qadir Jailani q.s. membuat contoh : Seperti Iblis, ketika dia mengelak tentang tidak menghormati Adam a.s., dia berkelit pada haqiqat Qadar. (Ketika dia ditanya mengapa engkau tidak menghormati Adam?, dia menjawab : "Inikan taqdir Mu, Ya Allah"). Dengan begitu dia kufur dan diusir dari syurga. Sebaliknya, Nabi Adam a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w. selalu menimpakan kesalahannya pada diri sendiri, maka mereka bahagia dan diberi rahmat.


Yang wajib bagi setiap muslim adalah jangan berfikir tentang haqiqat Qadar, agar kita tidak tergoda dan terpeleset menjadi zindik. Justru yang wajib bagi seorang muslim mukmin adalah beriqtikad bahawa Allah s.w.t. adalah Maha Bijaksana. Segala sesuatu yang terjadi dan terlihat oleh manusia di muka bumi ini, seperti ; kekufuran, kemunafikan, kefasikan, dan sebagainya itu adalah sebagai perwujudan dari keMaha Kuasaan Allah dan Hikmah-Nya dari segala kejadian tersebut.

Dalam hal ini terdapat rahsia yang luar biasa yang tidak akan dapat digali, kecuali oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dalam sebuah hikayat diceritakan bahawa sebahagian orang arif bermunajat kepada Allah Ta'ala dengan kata-kata ; "Ya Allah Engkau telah memastikan dan Engkau telah menghendaki dan Engkau telah menciptakan maksiat dalam diriku". Maka datanglah suara ghaib : "Hai hambaku, kata-katamu itu adalah syarat tauhid, mana hak ibadahmu?" Orang arif tadi kembali melaksanakan ibadah dan dia berkata ; "Aku salah dan aku telah berdosa dan aku telah berbuat zalim pada diriku". Kembali datang suara ghaib : "Kuampuni salahmu. Aku yang mengampuni dan Aku yang menyayangi".

Maka yang wajib bagi semua mukmin adalah berpandangan bahawa amal yang baik adalah atas Taufik Allah Ta'ala dan amal yang jelek adalah dari diri sendiri, sehingga dia termasuk dalam golongan hamba-hamba Allah Ta'ala yang diceritakan dalam firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 135 : "Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya dirinya sendiri, mereka mengingati Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah".

Kalau seorang hamba menganggap bahwa maksiat adalah dari dirinya sendiri, maka dia termasuk orang yang beruntung dan selamat, sebaliknya dia termasuk orang yang celaka kalau dia menganggap bahwa dosa adalah dari Allah ta'ala, walaupun secara hakiki memang Allah Ta'ala penciptanya.


Sabda Rasulullah s.a.w. bahawa bahagia dan celaka telah ditetapkan dalam perut ibunya. Yang dimaksud dengan kata 'ibu' menurut hadits tadi adalah berkumpulnya empat unsur (tanah, air, api dan angin) yang menimbulkan kekuatan kemanusiaan. Tanah dan air menimbulkan kebahagiaan, sebab keduanya merupakan sumber hidup dan yang menimbulkan iman, ilmu dan tawadu' di dalam hati. Sedangkan api dan angin adalah sebaliknya, sebab kedua-duanya merupakan penghancur dan yang mematikan. 

Maha Suci Allah yang menggumpulkan antara sesuatu yang berlawanan di dalam tubuh manusia, seperti dalam tubuh manusia terkumpul api dan air, demikian pula memadukan antara cahaya dan kegelapan dalam awan. Firman Allah Ta'ala : "Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung". Surah Ar Ra'd ayat 12.

Sayyid Yahya bin Mu'ad Ar-Razi ditanya : "Wahai Syeikh dengan apa engkau ma'rifat kepada Allah?". Beliau menjawab : "Dengan terpadunya sesuatu yang berlawanan". Maka dari itu manusia adalah gambaran dari Allah Ta'ala. Keterpaduan itu disebut Kaunan Jami'an dan 'Alaman Qubra, kerana Allah Ta'ala menciptakan dengan kekuatanNya, iaitu dengan sifat memaksa dan sifat lemah lembut.

Oleh sebab itu, cermin pun mempunyai dua sisi, iaitu sisi yang kasar dan sisi yang halus. Hal itu menunjukkan suatu nama yang terpadu. Berbeza dengan benda-benda yang lain, ia diciptakan dengan satu kekuasaan saja, misalnya sifat halus sahaja seperti malaikat. Malaikat adalah gambaran dari sifat Allah Subbuhun Quddusun sahaja. Atau sifat memaksa sahaja, seperti Iblis dan keturunannya. Mereka adalah gambaran dari sifat Al-Jabbar. Oleh sebab itu, mereka selalu sombong.


Kerana manusia menjadi makhluk yang terpadu antara sifat lemah lembut dan memaksa, memadu semua alam, alam tinggi maupun alam bawah. Maka para Nabi dan para Wali tidak terlepas dari terpeleset. Para Nabi dijaga dari mengerjakan dosa besar setelah diangkat menjadi Nabi dan Rasul, tetapi dari dosa kecil tidak terjaga. Sedangkan para Wali tidak Maksum tetapi Mahfud. Mereka dijaga dari dosa-dosa besar setelah sempurna kewaliannya.

Syeikh Syahqiq Al-Balhiyi r.a. berkata bahwa tanda bahagia itu ada lima :
1. Hati yang lunak
2. Banyak menangis (kerana ingat akan dosa)
3. Zuhud dari dosa
4. Tidak banyak lamunan
5. Rasa malunya tinggi

Sebaliknya, tanda celaka ada lima :
1. Hatinya keras
2. Susah mengeluarkan air mata
3. Mencintai dunia
4. Banyak lamunan
5. Sedikit malunya

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahwa tanda bahagia itu ada empat :
1. Bilamana mendapat amanat dia bertindak adil
2. Kalau berjanji dia mematuhi
3. Benar dalam bicara
4. Bila berdebat tidak mencaci maki

Sebaliknya tanda celaka ada empat :
1. Khianat dalam amanat
2. Mengingkari janji
3. Bohong bila berbicara
4. Mencaci maki bila berdebat.


Seorang salik harus banyak memaafkan (mengampunkan) kesalahan saudara-saudaranya, kerana sifat pemaaf (pengampun) adalah dasar agama yang paling tinggi. Allah Ta'ala memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. : "Berikanlah ampunan pada mereka. Perintahkan kebajikan dan jangan terpengaruh oleh orang-orang yang bodoh". Surah Al-A'raf ayat 199.

Perintah 'ampunilah' bukan hanya ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sahaja, tetapi perintah tersebut adalah umum bagi semua umat Nabi Muhammad s.a.w. Kerana suatu perintah apabila keluar dari seorang raja pada seorang pegawai bererti perintah bagi seluruh warga negara di bawah pegawai tersebut. Kalau sahaja perintah itu ditujukan kepada seorang yang melakukan sahaja maka yang dimaksudkan dengan 'khudil afwa' adalah kamu harus berkelakuan sebagai seorang pengampun. 

Orang yang menjadi pengampun atas kesalahan orang lain, bererti dia sudah menggunakan nama di antara nama-nama Allah iaitu Al-Afuwu. Allah Ta'ala berfirman dalam surah As-Syura ayat 40 : "Maka barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka Allah memberi pahala kepadanya".


Ketahuilah sifat celaka akan diganti dengan sifat bahagia. Begitu pun sebaliknya, bahagia akan diganti dengan celaka melalui pendidikan, seperti sabda Rasulullah s.a.w. : "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan membawa fitrah Islam, tetapi kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Hadist ini menjadi dalil bahawa setiap manusia mungkin menerima bahagia maupun celaka. Kita tidak boleh mengatakan bahawa seorang manusia pasti bahagia atau pasti celaka secara mutlak. Tetapi bicaralah bahawa  dia akan menjadi orang bahagia apabila kebaikannya lebih banyak dari keburukannya dan dia akan celaka apabila keburukannya lebih banyak daripada kebaikannya.

Orang yang menghukum orang lain bukan dengan kata-kata tadi, bererti dia telah tersesat. Sebab dia telah beriqtikad bahwa manusia masuk syurga tanpa amal dan taubat, masuk neraka tanpa maksiat. Iqtikad seperti ini bertentangan dengan nas Al-Quran, sebab Allah Ta'ala telah menjadikan syurga bagi ahli kebaikan dan neraka bagi ahli kufur, ahli syirik serta ahli maksiat.

Allah s.w.t. berfirman : "Barangsiapa mengerjakan amal yang soleh maka pahalanya untuk dirinya sendiri dan barangsiapa yang berbuat jahat maka dosanya atas dirinya sendiri".

Firman Allah Ta'ala : "Pada hari ini, tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang dilakukannya. Tidak ada yang dirugikan". (Al-Mu'min ayat 17)

Firman Allah Ta'ala : "Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperolehi selain apa yang telah diusahakannya". (An-Najm ayat 39)

Firman Allah Ta'ala : "Dan ketahuilah kebaikan apa yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah". (Al-Baqarah ayat 110)

Kenangan bersama teman seperjuangan (Generasi X a.k.a X-Men)
Dari kiri : Fauzi, Mat Rock, Abang Syed, Pak Nan, Syam, Arman, Zairi, Yus Jambu, Pak Chan, Ezanee.
Semoga bahagia dan selamat sejahtera selalu.

Sekian Wassalam.

Utan Aji, Perlis Indera Kayangan. 

Rabu, 17 April 2013

Sejarah Dunia Berulang-ulang : Kisah Ayahnda Musa a.s. dan Harun a.s.


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Rabu 17/04/2013M bersamaan 6 Jamadil'Akhir 1434H juga bersamaan 28 Hamal 10,001 tahun PuSaka, kepada saudara saudari yang hamba hormati. Pada artikel kali ini hamba nukilkan kisah Ayahnda Musa a.s. yang berdakwah menegakkan Kalimah Tauhid bersama saudaranya, Ayahnda Harun a.s. di suatu zaman pemerintahan zalim Fir'aun laknatullah yang berlaku di Bumi Mesir di mana ramai antara umat manusia telah mengetahui akan kisah tersebut ini.

Namun di sini hamba ingin mengajak saudara/i sekalian menghayati kembali kisah perjuangan Ayahnda Musa a.s dan Harun a.s. yang mana kisah perjuangan mereka sebenarnya merupakan catatan sejarah benar yang sentiasa dan pastinya berulang-ulang zaman demi zaman hingga ke akhir zaman sekarang ini. Semoga kita semua dapat berfikir perkaitannya dengan zaman sekarang dan menjadikan ia pengajaran buat diri masing-masing. Sungguh benarlah firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quran "Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". (Surah Saba' ayat 28) dan melalui hadis-hadis sabdaan Rasulullah s.a.w. juga.

Pendahuluan : Ayahnda Musa a.s. dan Harun a.s. diangkat sebagai Nabi.

Ayahnda Muasa a.s. adalah seorang Nabi dan termasuk salah seorang Rasul yang mendapat gelaran Ulu 'l-Azmi. Allah Ta'ala berfirman; "Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepda mereka), kisah Musa di dalam Al-Kitab (Al-Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang dipilih dan seorang rasul dan nabi."
Surah Maryam ayat 51

Ayahnda Musa a.s. diberi gelaran "Kalimullah", kerana Allah Ta'ala telah langsung mengajak berbicara tanpa melalui perantara, sebagaimana firman Allah Ta'ala; "Hai Musa, sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu dari manusia yang lain (di masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku, sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepada-mu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur."
Surah Al_A'raf ayat 144

Dan Ayahnda Harun a.s. adalah saudara Musa a.s. yang diutus Allah Ta'ala untuk menjadi penolong dan pendamping Musa a.s., Allah Ta'ala mengutus Musa a.s. kepada Fir'aun untuk menyampaikan risalah-Nya. Pengangkatan Harun a.s. menjadi Rasul ini, adalah atas permohonan Musa a.s. kepada Tuhannya; 
"Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, yaitu Harun saudaraku, teguhkanlah dengan dia kekuatanku, dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku".
Surah Taha ayat 29-32

Kemudian Allah Ta'ala mengabulkan permohonan Musa a.s. tersebut dan diberikanlah Harun a.s. kepadanya. Dan sebagai rahmat Allah Ta'ala kepadanya, maka diberikanlah pula kenabian kepada Harun a.s. "Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya sebagian rahmat Kami, yaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi."
Surah Maryam ayat 53.


Penindasan Terhadap Bani Israil.

Dalam kisah Ayahnda Yusuf a.s., telah hamba terangkan bagaimana Yusuf a.s. mendatangkan orang tuanya, saudara-saudaranya, anak-anaknya dan cucunya untuk bertempat tinggal di Mesir. Ketika itu Yusuf a.s. meminta kepada raja Mesir agar menempatkan mereka di daerah Jasan. Sebelah utara Balbis. Alasan Yusauf a.s. meminta daerah itu untuk mereka, kerana daerah tersebut merupakan tempat menggembala, sedangkan mereka adalah kaum penggembala binatang ternak.

Hal itu terjadi pada masa kekuasaan raja-raja penggembala. Masa kian berganti masa, datanglah Ahmas I, raja pertama dari kerajaan "12 keluarga" yang telah mengusir raja-raja penggembala. Kemudian datanglah Ramses II, dia melihat bahwa jumlah Bani Israel semakin berlipat kali ganda dan keturunannya semakin bertambah. Dia takut kalau-kalau mereka menjadi pendukung dan penolong musuh-musuh Mesir. Oleh sebab itu, Ramses II memperkerjakan mereka dalam pekerjaan-pekerjaan yang paling berat agar kekuatan mereka menjadi lemah di samping dia juga berusaha memecah belah mereka ke dalam kelompok-kelompok dan golongan-golongan.


Telah dikatakan, para dukun dan peramal (ahli Nujum) memberitahukan kepada Fir'aun bahwa kehancuran kerajaannya nanti ada di tangan seorang anak laki-laki yang dilahirkan di kalangan Bani Israel. Oleh sebab itu, Fir'aub Ramses II memerintahkan untuk membunuh setiap anak laki-laki yang lahir dari kalangan Bani Israel, agar jumlah mereka tidak bertambah banyak. Maka mulailah satu demi satu orang-orang Bani Israel yang sudah tua mati, lantaran dipaksa untuk bekerja keras. Melihat keadaan sedemikian itu, datanglah para pemimpin Qibthi kepada Fir'aun, mereka mengatakan, "Sesungguhnya orang-orang yang sudah tua dari Bani Israel telah banyak yang mati, sementara engkau terus-menerus membunuh anak-anak kecil mereka. Tidak heran lagi bila pada suatu saat kita pun akan bekerja berat, kerana sudah tidak ada lagi orang yang akan kita pekerjakan untuk mengabdi kepada kita". Setelah itu, Fir'aun memerintahkan agar setiap bayi laki-laki itu dibunuh berselang tahun (tahun ini dibunuh dan pada tahun berikutnya tidak), agar anak-anak kecil Bani Israel tidak musnah seluruhnya.

Pada tahun ketika tidak ada pembunuhan terhadap bayi laki-laki, Harun a.s. dilahirkan. Oleh sebab itu, dia dibiarkan hidup dan dididik di bawah naugan kedua orang tuanya. Sedangkan Musa a.s., dia dilahirkan tepat pada tahun diharuskan bayi laki-laki dibunuh. Maka tatkala ibu Musa melahirkannya, dia menyembunyikan Musa dari pandangan umum, sehingga berita tentang kelahirannya itu tidak sampai kepada Fir'aun.


Allah Ta'ala menunjukkan kezaliman Fir'aun terhadap Bani Israel dan pembunuhan bayi laki-lakinya dengan firman-Nya; "Kami membacakan kepadamu sebagian dari kisah Musa dan Fir'aun dengan benar untuk orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)".
Surah Al-Qasas ayat 3 hingga 5.

Nota :

- Musa adalah satu nama yang terdiri dari dua kata, yaitu "Mu" dan "Sya". "Mu" adalah "air" di dalam bahasa Mesir kuno. Dan "Sya" adalah "Syajarah" yang berarti "Pohon (Pokok)" Dinamakan demikian kerana Musa diketemukan di antara air dan pohon, yaitu ketika ibunya menghanyutkannya ke dalam sungai Nil. Ada pendapat yang mengatakan bahwa "Musa" berasal dari kata-kata Mesir "mus" yang berarti seorang anak kecil.

- Fir'aun adalah gelaran untuk Raja-raja Mesir yang dahulu.


Fasa Pertama : Peri kehidupan Ayahnda Musa a.s. sebelum menjadi Rasul.



Pendidikan Ayahnda Musa a.s. di Istana Fir'aun.

Musa a.s. berada di dalam buaian ibunya hanya beberapa bulan setelah kelahirannya. Tatkala ibunya merasa takut rahsianya terbongkar, maka Allah Ta'ala memberikan ilham kepadanya agar menyediakan sebuah peti untuk menyimpan Musa a.s., lalu dicat dengan aspal, dan dihanyutkan ke dalam sungai Nil. Kemudian Allah Ta'ala menenangkan rasa takut ibu Musa a.s. itu, dan mengembirakannya bahwa kelak Allah Ta'ala akan mengembalikan Musa a.s. ke pangkuannya serta menjadikannya seorang Rasul.

Dengan segera, keluarga Fir'aun menyambar peti dari air. Dan ketika mereka membuka peti itu, terpakulah mata permaisuri Fir'aun (Asiah) melihat bayi di dalamnya. Kemudian Allah Ta'ala menanamkan rasa cinta terhadap Musa yang masih bayi itu ke dalam qalbu permaisuri Asiah. Dia benar-benar yakin bahwa kelak suaminya akan membunuh Musa sebagaimana layaknya setiap bayi laki-laki dari bani Israel yang dibunuh. Sang Permaisuri berkata kepada suaminya, "Anak laki-laki ini nanti akan menggembirakan aku dan kau. Ku mohon engkau tidak membunuhnya. Aku berharap semoga anak laki-laki ini membawa manfaat kepada kita, atau mengangkat sebagai anak setelah kita sendiri melarangt seluruh anak laki-laki Bani Israel untuk hidup".

Fir'aun menyetujui usul permaisurinya itu dan membiarkan Musa untuk tinggal bersamanya. Demikianlah, Musa a.s. telah selamat dari suatu malapetaka yang sangat kejam. Sementara itu, Fir'aun dan Haman (menterinya) beserta para tenteranya tidak mengetahui apa yang sebenarnya  telah disembunyikan oleh takdir, yaitu mereka telah menyambar seseorang yang akan menjadi musuh, sumber kesedihan, dan sebab kehancuran mereka, yang diakibatkan oleh kekufuran dan kesombongan mereka.


Inilah cerita tentang diri Ayahnda Musa a.s. yang dihanyutkan itu. Adapun cerita tentang ibunya, maka ketika menghanyutkan Musa a.s. di sungai Nil. Dia mengutus saudara perempuan Musa untuk mengikuti jejak Musa a.s. Kemudian saudara perempuannya itu melihat bahwa peti yang berisi Musa diambil dan dibawa ke dalam istana Fir'aun. Dia segera memberitahukan kejadian itu kepda ibunya Musa a.s. Mendengar berita ini, ketakutan dan kecemasan ibunya menjadi hilang sama sekali, dan kini hatinya tak pernah lagi sedetik pun luput dari menyebut dan mengingati Musa a.s. Seandainya Allah Ta'ala tidak meneguhkan hatinya dan menjadikannya termasuk orang-orang mukmin yang tenang terhadap janji Allah Ta'ala bahwa Dia akan mengembalikan Musa ke pangkuannya, hampir saja ibunya itu membuka rahsia tentang Musa a.s. dan menampakkan keadaan yang sebenarnya, kerana terlalu sayangnya kepada Musa a.s.

Kemudian, mereka mendatangkan perempuan-perempuan yang akan menyusui Musa a.s., tetapi Musa sendiri merasa jijik untuk menyusui kepada mereka. Dan datanglah saudara perempuan Musa menawarkan dirinya bahwa ia sanggup mendatangkan seorang perempuan yang akan menyusuinya. Mereka menerima penawaran saudara perempuan Musa itu dan mengutusnya untuk segera memanggil perempuan yang akan menyusui Musa a.s. Kemudian dia membawa ibunya ke istana Fir'aun, lalu disusuilah Musa yang masih bayi oleh ibunya sendiri, berbeza dengan perempuan-perempuan lain yang pernah cuba menyusuinya dahulu. Demikianlah, akhirnya ibu Musa merasa yakin bahwa janji Allah Ta'ala itu benar, yaitu setelah Allah Ta'ala mengembalikan anaknya ke pangkuannya.


Firman Allah Ta'ala, "Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, 'Susukanlah dia, dan apabila kamu khawatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke dalam sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para Rasul'. Maka dipungutlah ia oleh keluarga Fir'aun yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir'aun dan Haman beserta tenteranya adalah orang-orang yang bersalah. Dan berkatalah Isteri Fir'aun, '(Dia) cahaya mata bagiku dan bagimu. Jangan kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak'. Sedang mereka tiada menyadari. Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa, sesungguhnya hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, supaya dia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah). Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan, "Ikutilah dia'. Maka kelihatanlah olehnya Musa dari jauh, sedang mereka tidak mengetahuinya. Dan kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mau menyusukannya sebelum itu, maka berkatalah saudara Musa, 'Maukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait yang akan memeliharanya untukmu, dan mereka dapat berlaku baik terhadapnya?'. Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya dia mengetahui bahwa janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya".
Surah Al-Qasas ayat 7 hingga 13.

Memang sudah sewajarnya apabila setelah selesai masa menyusukan, ibu Musa harus membawa Musa a.s. kembali ke istana Fir'aun, dan pendidikan Musa a.s. diserahkan sepenuhnya kepada keluarga Fir'aun. Setelah Musa a.s. menjadi seorang pemuda yang tegap dan kuat, Allah Ta'ala memberikan kepadanya ilmu pengetahuan dan hikmah. Balasan seperti inilah yang akan Allah Ta'ala berikan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Allah Ta'ala berfirman, "Dan setelah Musa cukup umur dan sempurna akalnya, Kami berikan kepadanya hikmah dan pengetahuan. dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik".
Surah Al-Qasas ayat 14.


Wallahu'alam.

Sekian wassalam....
Pondok Derang Kedah Darul Aman..

Khamis, 4 April 2013

Syariat, Tariqat dan Haqiqat : Saling memerlukan.


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Khamis 04/04/2013M bersamaan 23 Jamadil Awal 1434H juga bersamaan 15 Hamal 10,001 tahun PuSaka. Pada artikel kali ini, hamba akan nukilkan Rahsia Ilmu Batin (Haqiqat) dan hubungan erat antara Syariat, Tariqat dan Haqiqt untuk tatapan, renungan dan pelajaran buat diri hamba yang lemah ini juga buat saudara/i yang sudi  membacanya bersama-sama hamba. 

Sebelum hamba meneruskannya, izinkan hamba sentuh sedikit kisah kenabian Ayahnda Dzulkifli a.s.

Allah Ta'ala berfirman : "Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Dzulkifli, mereka semua termasuk orang-orang yang sabar, Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh." 
Surah Al-Anbia ayat 85 dan 86.

"Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa' dan Dzulkifli, semuanya termasuk orang-orang yang paling baik."
Surah Shod ayat 48.

Komentar Ibnu Katsir, " Yang jelas, Dzulkifli disebutkan di dalam Al-Quran disertai pujian, bersama Nabi-nabi lainnya. Hal ini menunjukkan bahwa ia adalah Nabi." Pendapat ini sangat popular.

Adapun dakwah dan risalahnya, di samping kepada siapa Ayahnda Dzulkifli a.s. diutus, Al-Quran tidak menyebutkan sama sekali, baik secara garis besar maupun terperinci.

Sedangkan Ahli Tarikh menyebutkan bahwa ia anak Nabi Ayyub a.s. Nama aslinya Basyar, yang diutus sesudah Ayahnda Ayyub a.s., dan Allah Ta'ala memberi nama Dzulkifli kerana ia sentiasa melakukan ketaatan dan memeliharanya secara istiqamah (berterusan).

Satu pertanyaan disini.... 
Adakah Nabi Dzulkifli a.s. diutuskan kepada satu kaum yang digelar BANGSA MIM? atau kepada BANI JAVI?

Wallaahu a'lam.


Syariat, Tariqat dan Haqiqat : Saling Memerlukan.

Baiklah, sekarang kita masuk dalam tajuk Syariat, Tariqt  dan Haqiqat saling memerlukan. Bagi memahami dengan lebih lanjut akan apa yang hamba nukilkan nanti, diharapkan saudara dan saudari rujuk kepada para guru Mursyid, para Ulama' atau para Masyaikh yang saudara/i kenali.

Syariat : Ertinya, anda menyembah Allah Ta'ala iaitu anda mengikut suruhan Allah Ta'ala dan menjauhi segala larangan-Nya dengan mengaku merendah diri dalam iktikad hati sama ada anda mengerjakan atau tidak, tetap zahirnya syariat.

Tariqat : Ertinya, seperti sesungguhnya anda sahajakan Allah Ta'ala dengan ilmu dan amal iaitu mengamalkan apa yang anda ketahui.

Haqiqat : Ia adalah faedah yang diperolehi daripada kedua-dua yang di atas tadi, iaitu bahawa anda melihat Allah Ta'ala dengan cahaya-Nya yang dipertaruhkan di tengah-tengah hati anda iaitu batin.

Oleh hal yang demikian, syariat dan haqiqat saling memerlukan antara satu sama lain iaitu tidak boleh dibilang zahir syariat melainkan sudah ada batin hakikat, dan juga tidak boleh dikatakan batin hakikat itu melainkan dengan zahir syariat. Oleh sebab itu Ulamak telah memberikan kata syarat : "Syariat tanpa hakikat itu hampa dan hakikat tanpa syariat batal."


Berkata Al-Qutubur Rabbani Walhaikal An-Nurani Maulana As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani q.s., "Tiap-tiap haqiqat yang tidak diperteguhkannya dengan syariat maka ianya zindiq."

Berkata Ibnu Ibad q.s., mengambil riwayat daripada sesetengah orang A'rif, "Barangsiapa mengatakan hakikat itu bersalahan dengan syariat, maka orang itu kafir." Hal ini demikian, kerana kedua-duanya itu adalah syariat Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, syariatnya yang batin itu dinamakan 'Haqiqat' dan syariat yang zahir itu dinamakan 'Feqah'. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan, dan kalau dipisahkan kedua-duanya itu nescaya membawa kecacatan dalam agama.

Sebagaimana kata Imam Junaid r.a. : "Barangsiapa mengetahui ilmu feqah (zahir syariat) tanpa mengetahui ilmu tasawuf (hakikat/batin syariat), maka sesungguhnya orang itu fasik. Dan barangsiapa mengetahui ilmu tasawuf tanpa ilmu feqah, maka sesungguhnya orang itu zindiq. Dan barangsiapa yang menghimpunkan kedua-duanya sekali (ilmu feqah dan ilmu tasawuf), maka sesungguhnya orang itu tahkik yang sebenarnya."

Syariat, tariqat dan haqiqat boleh diumpamakan buah kelapa, syariat itu seperti tempurung yang menjaga isi dan minyaknya. Tariqat itu seperti isinya, dan Haqiqat itu seperti minyaknya yang terdapat dalam isinya itu. Oleh itu tidak akan diperolehi minyak itu melainkan dengan memecahkan tempurungnya dan memerah isinya. Oleh sebab itulah, Allah Ta'ala dan Rasul-Nya menyuruh menyembunyikan rahsia Haqiqat itu daripada orang yang bukan ahlinya. Wallaahu a'lam.


Rahsia Ilmu Haqiqat disembunyikan.

Berkata Syeihkul Islam r.h. dalam kitab Syarah Hukum Ibnu Ruslan : Apa yang dimaksudkan denga  haqiqat itu ialah ilmu laduni yang bercahaya (nurani) yang diajarkan oleh Allah Ta'ala kepada segala roh sewaktu terucap perkataan Allah Ta'ala kepada mereka itu :

Ertinya; "(Allah bertanya) : 'Bukankah Aku ini Tuhan kamu?' (Maka sembah segala roh): 'Betul, Engkau Tuhan kami'." 
Surah Al-A'raaf ayat 172.

Dan lagi diinsyaratkan kepada segala roh dengan firman-Nya: Ertinya; "Dan Dia telah mengajarkan kepada Nabi Allah Adam a.s. nama-nama (benda-benda) seluruhnya."
Surah Al-Baqarah ayat 31.

Tetapi rahsia itu tersembunyi dalam roh dan tertutup oleh sebab memandang wujud yang gelap dengan berasa bimbang dengan karenah hawa nafsunya.  Apabila hilang hal-hal sedemikian, maka dengan taufiq (kekayaan) Allah Ta'ala, nescaya zahirlah rahsia ilmu hakikat. Inilah maksud yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ; "Barangsiapa mengamalkan apa yang diketahui, nescaya Allah Ta'ala mempusakakannya ilmu yang tidak diketahuinya (iaitu mendapatkan ilmu itu tanpa dia bersusah-payah belajar)."


Oleh itu, Allah Ta'ala akan membukakan dalam hatinya itu taufiq sedemikian dengan mendatangkan kepadanya segala makhluk sehingga syurga pun didatangkan juga.

Oleh itu, jelaslah pada kita bahawa ada ilmu yang disuruh oleh Allah Ta'ala dan Rasul-Nya menyembunyikannya daripada pengetahuan orang yang bukan ahlinya dengan berdalilkan Al-Quran dan Hadis secara atsar (bekas) sahabat dan pandangan Ulamak yang tersebut itu. Jadi terbatallah perkataan orang yang mengatakan, sesungguhnya Nabi dan Ulamak itu tidak ada menyembunyikan ilmu.

Ilmu yang disembunyikan itu ialah ilmu haqiqat. Oleh sebab itu, tidak harus sama sekali bagi Salik membaca kitab ilmu haqiqat sebelum ia tetap dalam syariat dan tariqat dan juga sebelum ia menerima talqi (terima ijazah) daripada guru yang pakar, yang wasil (yang sampai kepada Allah) lagi Mursyid Kamil Mukammil, juga sebelum kuat fahamannya (cukup faham) untuk menerima ilmu haqiqat. Ini amat penting kerana hal yang demikian itu akan menyebabkan ia terjerumus ke arah kesesatan selama-lamanya. Hal ini juga menyebabkan ia tidak dapat mencari jalan keluar sehingga ia mendakwa sesuatu hal yang diada-adakannya tanpa dalil dan mengiktikadkan segala iktikad yang tidak layak pada Hak Allah Ta'ala. Semoga dilindungi Allah Ta'ala akan kita daripada perkara sedemikian.

Maka berbahagialah bagi saudara yang menuntut dan berusaha mendapatkan rahsia yang tersembunyi itu supaya dapat menjadi ahlinya dan beroleh kemenangan di akhirat.


Berkata Imam Ghazali Hujjatul Islam dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin, "Barangsiapa tidak ada padanya bahagian ilmu ini iaitu Rahsia Ilmu Batin, nescaya ditakuti ia mati dalam kafir dan sekurang-kurangnya bahagian yang diperolehinya itu dapat mengembangkan rahsia ilmu batin dan dapat mentaslimkan (mensejahterakan, menyelamatkan, memberi pernghormatan) orang yang memilikinya."

Berkata sesetengah orang-orang A'rif, "Barangsiapa ada padanya dua perkara ini, nescaya tidak terbuka padanya sesuatu pun daripada ilmu ini (Rahsia Ilmu Batin) iaitu pertama : bida'ah, dan kedua : kibrun (sombong)."

Berkata sesetengahnya pula, "Barangsiapa yang kasih akan dunia atau kekal mengikuti hawa nafsu, nescaya ia tidak dapat merasakan tahkik dengan ilmu ini, walaupun ia bertahkik dengan ilmu yang lain, sekurang-kurangnya orang yang mengingkari ilmu ini akan menerima balasan siksa iaitu tidak diberi rasa (zauq) oleh Allah Ta'ala daripada rahsia ilmu batin itu."

Itulah ilmu segala orang yang benar (Siddiq) dan orang-orang yang hampir kepada Allah Ta'ala (Muqarrabin).

Wallaahu a'lam.


Sekian wassalam.

Derang, Kedah Darul Aman.