Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 1 Disember 2016

Salam Maulidul Rasul S.A.W



Assalammualaikum...wrth,

Hari ini Khamis 1 Disember 2016 bersamaan 1 Rabiul Awal 1438 Hijrah, telah lama hamba yang daif ini tidak menulis dalam laman Berkat Ayahnda ini. InshaaAllah hari ini sebagai pembuka bicara untuk meruskan penulisan, hamba ucapkan Salam Maulidul Rasul s.a.w kepada semua saudara dan saudari yang berkunjung ke blog ini. 

Bersempena bulan kelahiran Baginda Nabi Muhammad s.a.w, hamba nukilkan beberapa hadis tentang permulaan wahyu yang diturunkan kepada Baginda s.a.w.


وَقَوْلُ اللَّهِ جَلَّ ذِكْرُهُ: إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ

Dan Firman Allah s.w.t, “Sesungguhnya kami mewahyukan kepadamu (Muhammad) sebagaimana kami telah mewahyukan kepada Nuh dan nabi-nabi setelahnya.” 

(Al-Quran Surah An-Nisa’ : ayat 163)


 Abdullah bin Yusuf telah menyampaikan kepada kami daripada Malik, daripada Hisyam bin Urwah, daripada ayahnya, daripada Aisyah Ummul Mukminin bahawa al-Harith bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ‘’Ya Rasulullah, bagaimana cara wahyu turun kepadamu?’’ Rasulullah s.a.w menjawab, ‘’Wahyu datang kepadaku terkadang seperti suara gemerincing loceng dan cara ini yang paling berat buatku, lalu terhenti sehingga aku memahami apa yang disampaikan; terkadang berupa malaikat yang datang menyerupai seorang lelaki lalu berbicara kepadaku yang kemudian aku memahami apa yang diucapkannya.’’ 

Aisyah berkata, “Sesungguhnya, pada suatu hari yang sangat dingin aku pernah melihat wahyu diturunkan kepada Baginda, lalu terhenti. Saat itu aku lihat dahi Baginda bercucuran keringat.’’ 

(Lihat hadith nombor 2, Kitab Shahih Al-Bukhari)



Yahya bin Bukair menyampaikan kepada kami, daripada al-Laits, daripada Uqail, daripada Ibnu Syihab, daripada Urwah bin az-Zubair, daripada Aisyah Ummul Mukminin yang berkata, ‘’Permulaan wahyu yang datang kepada Rasulullah s.a.w adalah dengan mimpi yang benar dalam tidur. Mimpi Baginda itu pasti datang (menjadi kenyataan dan sangat jelas) seperti cahaya subuh. Kemudian Baginda menjadi suka menyendiri. Lantas Baginda menyendiri di Gua Hira untuk berkhalwat (beribadah) beberapa malam lamanya, sesekali pulang ke rumahnya untuk mengambil bekal dan berkhalwat kembali. Setelah itu Baginda pulang lagi untuk menemui Khadijah mengambil bekal. 

Sampai akhirnya datanglah wahyu saat Baginda di Gua Hira. Malaikat Jibrail a.s datang lalu berkata, “Bacalah!” Baginda menjawab, “Aku tidak tahu membaca”. Jibril a.s. memeluk Baginda dengan sangat kuat, kemudian melepaskannya Baginda kembali dan mengatakan lagi, “Bacalah!” Baginda menjawab, “Aku tidak tahu membaca”. Jibril a.s. kembali memeluk Baginda dengan sangat kuat, kemudian melepaskan Baginda kembali dan mengatakan lagi, “Bacalah!” Baginda menjawab, “Aku tidak tahu membaca”. Jibril a.s. memeluk Baginda untuk kali ketiga dengan sangat kuat lalu melepaskan Baginda dan berkata, “Bacalah dengan menyebut nama Rabb-mu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Rabb-mu lah yang Maha Pemurah.” (Al-Quran Surah Al-‘Alaq : ayat 1-3). 

Rasulullah s.a.w. kembali kepada keluarganya dengan membawa kalimat wahyu tadi dengan hati yang bergetar. Baginda menemui Khadijah binti Khuwailid lalu berkata, “Selimuti aku, selimuti aku!” Baginda pun diselimuti hingga hilang rasa takutnya. Lalu Baginda menceritakan peristiwa yang terjadi kepadanya di Gua Hira, “Aku merasa bimbang terhadap diriku.” Khadijah berkata, “Demi Allah, Allah tidak akan menghinakan mu selamanya kerana engkau adalah orang yang suka menyambung silaturrahim, menanggung kesusahan, mencukupi fakir miskin, menjamu tetamu, membantu pada setiap peristiwa (musibah).” 

Khadijah kemudian membawa Baginda bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uza, putera bapa saudara Khadijah yang beragama Nasrani pada masa jahiliyah. Waraqah menulis buku dalam Bahasa Ibrani, juga menulis Injil dalam bahasa Ibrani. Saat itu Waraqah sudah sudah tua dan matanya buta. Khadijah berkata, “Wahai Putera bapa saudaraku, dengarkanlah apa yang akan disampaikan oleh suamiku ini.” Waraqah berkata, “Wahai putera saudaraku, apa yang telah engkau alami?” Lalu Rasulullah s.a.w. menceritakan peristiwa yang dialaminya. Waraqah berkata, “Ia adalah Namus (Jibril) yang pernah diutus Allah kepada Nabi Musa a.s. Wahai putera saudaraku, seandainya aku masih muda dan aku masih hidup di saat engkau akan diusir oleh kaummu.” Rasulullah s.a.w bertanya, “Adakah aku akan diusir oleh mereka?” Waraqah menjawab, “Ya, sebab tiada seorang pun yang datang dengan membawa wahyu seperti yang engkau bawa ini kecuali dia dimusuhi. Seandainya aku ada di saat kejadian itu, pasti aku menolongmu dengan segala kemampuanku.” Tidak lama kemudian Waraqah pun meninggal dunia. Lalu wahyu berhenti turun (untuk sementara waktu). 
(Lihat hadis nombor 3, Kitab Shahih Al-Bukhari)



Ibnu Syihab berkata, Abu Salamah bin Abdullah al-Anshari bertutur tentang kekosongan wahyu, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, ‘’Ketika aku sedang berjalan tiba-tiba aku mendengar suara dari langit. Saat aku melihat ke arahnya, ternyata Jibril a.s. yang pernah datang kepadaku di Gua Hira dan duduk di atas kursi antara langit dan bumi. Aku pun ketakutan dan segera pulang, dan berkata, ‘’Selimuti aku! Selimuti aku!’’ Maka, Allah s.w.t menurunkan wahyu, ‘’Wahai orang yang berselimut, bangunlah lalu berilah peringatan...’’ sampai firman Allah “…dan tinggalkanlah segala (perbuatan) yang keji.’’ 
(Al-Quran Surah Al-Muddassir : ayat 1-5). 

Sejak saat itu wahyu terus turun melalui turutannya.’’ Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abdullah bin Yusuf dan Abu Shalih, juga oleh Hilal bin Raddad daripada az-Zuhri. Yunus dan Ma’mar menggunakan lafaz bawadiruhu

(Lihat hadis nombor 4, Kitab Shahih Al-Bukhari) 


KLIA, Kuala Lumpur, Malaysia.


2 ulasan:

  1. Salam Anakanda Bertuah,

    You are back...!!
    And so I am back as well....!!
    Kini adalah masanya...
    Genggam kebangkitan dan kesedaran ini dengan erat & kuat dan jangan biarkan ia terlepas lagi...
    Rasulullah amat merindui saat2 ini sejak dari 1400++ tahun lagi
    Selamat sejahtera kepada Baginda yang mulia..

    BalasPadam
  2. Wa'alaikummussalam... Saudara Wangsa gelar bangsaku,
    Benar bicara sebagaimana bicara tuan.
    InshaaAllah akan kita teruskan perjuangan Rasulullah s.a.w dan Para Sahabat r.hum... juga para pejuang kebenaran seluruhnya...

    BalasPadam