Ayahnda

Ayahnda

Isnin, 4 Jun 2012

Ayahnda Ibrahim a.s. meruntuhkan berhala



Assalamu’alaikum…wrt, mari sama-sama kita hayati sambungan kisah Ayahnda Ibrahim a.s. Saudara/i boleh rujuk Al-Quran dalam surah al-Anbiya’ ayat 59,60,62,63,64,65,66,67 dan 68 untuk mendapatkan dalil naqli kisah yang hamba coretkan di bawah ini.

Hari ini Ahad, 03/06/2012M bersamaan 13/07/1433H.

Pesta tahunan sudah hampir. Tiga hari lagi mereka akan keluar meninggalkan kota. Kota Babilon akan menjadi lenggang. Hanya patung-patung yang tidak bernyawa itu yang tinggal menjadi pengawal kota. Untuk merayakan pesta itu mereka membuat berbagai persediaan. Mereka membuat berbagai kuih dan mereka menyembelih kambing. Lalu, mereka hidangkan semua itu di hadapan patung-patung mereka sama ada di rumah atau di tempat persembahan mereka.

Hari pesta telah tiba. Pagi-pagi lagi seluruh penghuni Kota Babilon telah bersedia untuk keluar meninggalkan berhala-berhala mereka dengan hidangan makanan yang sedap-sedap. Sorak-sorai suara mereka sambil berjalan menuju ke padang pesta kawasan pedalaman. Di sanalah mereka akan berpesta bagi memuaskan nafsu. Di sana mereka akan bersuka ria, bercampur gaul lelaki perempuan dengan bebas. Di sanalah mereka menari, menyanyi, mabuk dan macam-macam lagi.


Langit pagi itu semakin cerah oleh serakan cahaya matahari yang bersinar. Namun hanya seorang sahaja yang menyambut ketibaan siang di Kota Babilon pada pagi itu. Dia tidak keluar bersama orang lain. Dia mempunyai rancangannya sendiri. Dengan sebilah kapak besar dia keluar dari rumahnya. Hulu kapak itu dipegangnya erat-erat. Dia melangkah dengan cekal menuju ke rumah berhala. Akan dihancurkan berhala-berhala itu. Tekad ini sudah lama timbul di dalam hatinya. Hari ini hari yang paling baik untuk melaksanakannya.

Tindakannya ini akan menjadi bukti yang nyata bahawa patung-patung yang mereka sembah tidak sedikit pun dapat memberi faedah kepada mereka. Mereka memerlukan bukti ini. Kata-kata berhikmat tentang kekuasaan Allah ta’ala sudah tidak dapat membuka hati dan mata mereka. “Biar mereka lihat. Biar mereka tahu,” bisik hati Ayahnda Ibrahim a.s. sambil berjalan. Tidak ada siapa yang melihatnya di rumah berhala itu. Berhala-berhala yang ada semuanya mati, tak bernyawa. Matanya buta dan telinganya pekak.


Tersenyum Ayahnda Ibrahim a.s. melihat berhala-berhala itu. Dia berkata sendirian bagai satu luahan, ‘Patung-patung! Mengapa tidak kamu makan makanan yang lazat ini,” sambil diperhatikan hidangan makanan di kaki patung-patung itu. Diperhatikan patung-patung itu. “Batu yang tidak bernyawa ini mereka sembah,” bisik hatinya hairan. Kapak yang di tangannya dihayun-hayunkan. Kemudian dia tersenyum. “Kapak inilah hadiah paling layak bagi patung-patung ini,” katanya lagi. Tiada siapa yang mendengar kata-kata itu kecuali Allah s.w.t.

Kini kapak itu tidak dihayunkan ke angin lagi. Satu demi satu patung yang di situ tumbang, pecah dan berkecai, terkena hentakan kapak yang begitu kuat. Setelah beberapa lama, tidak ada lagi patung yang berdiri, kecuali sebuah patung yang besar. Yang lain semuanya telah menjadi ketul-ketul batu. Tempat itu menjadi seperti rumah yang belum siap. Makanan yang terhidang di situ ada yang bertabur dan ada yang terlungkup; bercampur batu dan pasir. Hanya haiwan sahaja yang memakannya.

Ayahnda Ibrahim a.s. menghampiri patung yang besar. Kapak yang di tangannya dikalungkan ke leher patung itu. “Nanti kau jawab kalau penyembah-penyembahmu bertanya,”  katanya seorang diri. Dia melangkah meninggalkan tempat itu.


Setelah beberapa hari berpesta, orang ramai mulai pulang ke kota. Mereka menuju ke rumah penyembahan itu untuk melakukan penyembahan setelah selesai segala pesta; setelah puas segala rasa. Betapa terkejutnya mereka melihat keadaan patung-patung mereka yang telah berkecai. Mereka tertanya-tanya, “Siapakah yang melakukan angkara ini?” “Jahat! Jahat!” jerit mereka sambil marah marah. Ada pula yang menangis, “Tuhan kita sudah hancur! hancur! Huhuhuu. Kita cari orang yang menghancurkan Tuhan-tuhan kita,” kata mereka. “Kita hancurkan kepalanya kalau kita dapat!” jerit mereka pula sambil melihat sekeliling.

Mereka duduk berbincang di hadapan patung yang besar, yang tidak ditumbangkan oleh Ayahnda Ibrahim a.s. Mereka mahu mencari orang yang bertanggungjawab, orang yang melakukan perbuatan yang amat mencabar ini. “Aku fikir, ini perbuatan Ibrahim,” kata salah seorang daripada mereka. “Ibrahim?” “Ya, Ibrahim, orang muda yang selalu menghina-hina tuhan kita,” jelas orang itu lagi. “Aku pasti dia yang melakukannya,” kata orang lain pula. Fikiran ini mendapat sokongan orang ramai. Mereka membuat keputusan untuk menangkap Ayahnda Ibrahim a.s. “Kita cari Ibrahim!” kata salah seorang  daripada mereka dengan suara yang lantang. “Mari! Kita cari!”


Ayahnda Ibrahim a.s. tidak melarikan diri. Dia tahu keputusan mereka. Dia sedia ditangkap dan inilah peluang baik untuk mengatakan sesuatu kepada mereka. Beberapa orang memegang Ayahnda Ibrahim a.s. Diheretnya Ayahnda Ibrahim a.s. ke hadapan orang ramai. Beberapa cacian dilemparkan kepadanya. Namun dia menghadapinya dengan berani dan tenang.

“Kamukah yang menghancurkan tuhan-tuhan kami?” Tanya ketua mereka yang menjadi hakim. Pertanyaan ini amat menarik perhatian Ayahnda Ibrahim a.s. Dia menoleh ke arah patung besar yang masih tegak itu. “Patung besar itu marah. Dialah yang menghancurkan patung-patung lain. Lihatlah kapak dilehernya. Cubalah tanya dia,” jawab Ayahnda Ibrahim a.s. sebagai sindiran. Jawapan ini menyusuk ke telinga mereka. Lalu menyelinap ke dalam hati mereka bagaikan racun yang amat berbisa.

“Kenapa kami mesti bertanya kepada berhala itu. Dia tidak boleh berkata-kata,” jawab ketua itu. Jawapan ini memberi peluang baik kepada Ayahnda Ibrahim a.s. untuk menyatakan kepalsuan dan kesesatan mereka.


“Kalau begitu, mengapa kamu sembah patung-patung itu; patung yang tidak dapat bercakap, tidak dapat melihat, dan tidak dapat mendengar; patung yang tidak dapat memberi manfaat atau membawa mudarat; bahkan tidak dapat menyelamatkan dirinya dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan penyembahan kamu itu.  Tidakkah kamu berfikir dengan akal yang sihat, bahawa apa yang kamu lakukan adalah salah dan merupakan hasutan syaitan. Mengapa kamu tidak menyembah Allah ta’ala yang menjadikan kamu, yang menciptakan alam sekeliling kamu dan yang menjadikan kamu sebagai penguasa kepada kekayaan alam ini. Alangkah hinanya kamu dengan kepercayaan dan penyembahan kamu itu.”

Jawapan Ayahnda Ibrahim a.s. yang berupa pidato ini menjadikan mereka terpegun. Hati mereka bertambah sakit dan kini mereka mencari jalan untuk menghapuskan Ayahnda Ibrahim a.s.


Bersambung... InsyaAllah ta'ala.

Hakikat Cinta

Teman kembalilah
Kembalilah mengukir ceria
Mengukir corak kehidupan
Kehidupan bahagia penuh keindahan
Keindahan hidup disirami iman
Iman mekar menjadi takwa
Takwa benteng ketahanan diri
Diri yang lemah akan dilindungi
Dilindungi oleh kekuatan Ilahi.

Ilahi jua yang Maha Mengetahui
Hakikat Cinta yang sejati
Marilah teman yang dikasihi
Bersama kita mengorak langkah
Menuju ke hadirat Ilahi
Menuju ke kampung kebahagiaan
Memohon keredhaan dari Ilahi
Agar kasih berpanjangan.

A.M.Latif - 22/01/1998 - Desaku

Isnin, 28 Mei 2012

Usaha atas Iman dan Dakwah Ayahnda Ibrahim a.s.



Assalamu’alaikum…wrt,

Hari ini Isnin 28/05/2012M bersamaan 07/07/1433H.

Ayuh sama-sama kita ikuti sambungan kisah Ayahnda Ibrahim a.s., selamat membaca.

Setelah dilantik sebagai Nabi dan Rasul Allah, Iman Ayahnda Ibrahim a.s. semakin hari semakin kukuh. Ibadahnya semakin mantap. Hatinya lebih merasa kecintaan dan kerinduan kepada Allah ‘azza wajalla.

Persoalan yang timbul di kepalanya bukan lagi persoalan alam nyata; tentang matahari, bulan dan bintang; tentang tanah, gunung, sungai dan pohon-pohon. Ayahnda Ibrahim a.s. sudah memikirkan tentang kehidupan yang lebih kekal abadi di akhirat. Bagaimanakah Allah ta’ala menghidupkan manusia yang telah mati? Tubuh telah hancur menjadi tanah. Bagaimana tubuh itu dapat dikumpulkan semula?


Ayahnda Ibrahim a.s. ingin tahu sangat jawapan kepada soalan ini. Di daerah yang tenang itu juga dia bermohon kepada Allah s.w.t., (maksudnya) “Tunjukkan kepadaku bagaimana Engkau mengadakan hari kebangkitan dan menghidupkan manusia yang telah mati?” Allah s.w.t. menurunkan wahyu (maksudnya), “Apakah engkau belum beriman, ya Ibrahim?” Ayahnda Ibrahim a.s. menjawab (maksudnya), “Tidak, sekali-kali tidak. Ya Tuhanku. Bukankah Engkau telah memberi wahyu kepadaku, dan aku telah percaya dan mengakui kebenarannya, tetapi tentang ini aku hanya mahu mententeramkan jiwaku yang sering bertanya mengenainya.”

Allah Maha Mengetahui suara hati hamba-Nya itu. Dia memperkenankan permohonannya. Allah memerintahkan Ayahnda Ibrahim a.s. menangkap empat jenis burung, dan memberitahu perkara-perkara yang perlu dilakukan.


Ayahnda Ibrahim a.s. mematuhi perintah itu. Dia mencari dan menangkap empat ekor burung. Disembelihnya burung-burung itu, lalu dipotong-potong. Dipisah-pisahkan setiap anggota burung yang sudah mati itu. Kemudian dihancurkan lumat-lumat, digaulkan kesemuanya menjadi satu longgokan. Setelah itu dijadikan empat longgok, diletakkan di kemuncak empat bukit yang berasingan.

Ayahnda Ibrahim a.s. menyeru keempat-empat burung yang sudah lumat itu. Tercengang Ayahnda Ibrahim a.s. melihat longgokan daging, tulang dan bulu burung-burung itu bergerak, bercantum dan bertukar menjadi burung semula serta dapat terbang menuju ke arahnya. “Masya Allah! Subhanallah!” itu sahaja yang dapat diucapkan oleh Ayahnda Ibrahim a.s. sebagai tanda kekaguman dan keyakinannya terhadap kekuasaan Allah yang menghidupkan dan mematikan manusia dan menghidupkannya semula.

Burung Helang, Burung Gagak, Burung Merak dan Ayam Jantan.

Dia sujud, kemudian bangun. Bibirnya mengucapkan, “Apabila Allah berkehendakkan sesuatu, maka tidak ada siapa yang dapat menghalang akan terjadinya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”

Ayanda Ibrahim a.s. Berdakwah.

Kembali Ayahnda Ibrahim a.s. ke rumahnya. Malam itu dia tidur dengan  tenang hingga ke pagi. Pada pagi itu dilihatnya, seperti biasa ayahnya menyembah berhala. Ditunggunya sehingga ayahnya selesai. Dia mahu berbicara tentang ibadah kepada Allah dan menyembah berhala.

“…Ayahku! Kenapa ayah sembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikit pun?” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 42).

“Ini tuhanku dan tuhan datuk nenekku,” jawab ayahnya dengan suara keras. Tenang Nabi Ibrahim a.s. mendengarnya. “Ayahku! Sesungguhnya telah datang kepadaku suatu ilmu yang tidak pernah datang kepadamu (ayah). Oleh itu ikutlah aku, akan kutunjukkan (ku pimpin) ayah jalan yang betul.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 43)


Dengan mencebikkan bibir ayahnya berkata, “Engkau hendak menunjukkan aku jalan yang betul. Engkau masih mentah! Apakah engkau lebih pandai dari aku?”

“Ayahku! Janganlah ayah menyembah syaitan. Syaitan itulah yang menderhaka kepada Allah yang telah melimpahkan rahmat-Nya!” “Ayahku! Aku sangat bimbang, ayah akan kena azab dari al-Rahman (Allah), kerana ayah menyembah yang selain-Nya. Lantaran itu ayah akan menjadi teman syaitan di dalam neraka.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 44 & 45)

Ayahnya menjawab, “Patutkah engkau membenci tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya, jika engkau tidak berhenti dari menyeru dan menasihatiku, aku akan lontarmu dengan batu, dan lebih baik engkau tinggalkan aku untuk selama-lamanya.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 46)


Nabi Ibrahim a.s. masih tenang. Dia berkata,”Selamat tinggal ayah; aku akan mohon kepada Tuhanku supaya mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsan-Nya kepadaku.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 47)

Dakwah Ayahnda Ibrahim a.s. kepada bapanya, Azar gagal. Bukan sekadar itu bapanya menentangnya dengan keras dan mengugutnya. Namun Nabi Ibrahim a.s. tetap menghormatinya, sebagai ayah. Dengan sopan dia meninggalkan orang tua itu. "Salamku dan selamat tinggal untuk bapaku, aku pohonkan keampunan Tuhan bagi bapa, kerana bapaku harus dihormati. Dan aku pohonkan keampunan bagimu dan kaumku atas apa yang kamu sembah selain Allah. Dan aku berdoa kepada Allah semoga doaku ini tidak menjadi punca kesengsaraan.”

Doa itu sentiasa diingatinya dalam setiap dakwah yang disampaikan kepada orang ramai; dengan harapan orang yang mahu beriman. Orang ramai menolak seruannya. Mereka terus menyembah berhala dan semakin jauh mereka tersesat. Ayahnda Ibrahim a.s. tidak putus asa. Dia cuba mengajak orang ramai berfikir.


“Adakah patung-patung yang kamu sembah itu dapat melihat? Adakah patung-patung itu dapat mendengar? Adakah manfaat yang boleh kamu dapati setelah kamu menyembahnya? Atau apakah bahaya yang akan menimpa kalau kamu meninggalkannya.” Demikian Tanya Ayahnda Ibrahim a.s. Tersentak mereka mendengar pertanyaan Ayahnda Ibrahim a.s. Mereka tidak menduga seorang muda yang mereka hormati mengemukakan pertanyaan itu.

Salah seorang dari mereka menjawab, “Kami lakukan ini kerana inilah yang kami dapati dari nenek moyang kami semenjak dulu.” Orang ramai yang mendengar jawapan itu senyap sejenak. Dengan tenang dan sopan Ayahnda Ibrahim a.s. berkata, “…Kamu dan nenek moyang kamu telah tersesat…” Orang ramai yang sedang berada di sekeliling berhala merasa tersinggung dengan kata-kata Ayahnda Ibrahim a.s. “Apakah kamu sengaja menghina kami, Ibrahim? Atau kamu hanya bermain-main?” Tanya mereka serentak.


Ayahnda Ibrahim a.s. menatap wajah mereka. Dia menjawab dengan tegas,”Aku berkata benar. Aku tidak pernah main-main. Aku membawa kepada kamu agama yang benar. Aku diutus oleh Allah kepada kamu untuk membawa agama yang benar. Tuhan yang layak kamu sembah ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi.” Berhenti sejenak dia. Tidak ada seorang pun yang dapat menentang mata Ayahnda Ibrahim a.s. ketika itu. Mereka tergamam; terpesona dengan kata-kata Ayahnda Ibrahim a.s. yang tepat dan padat.

“Tentang patung-patung yang kamu sembah itu hanyalah batu-batu yang diukir, yang tidak dapat berbuat apa-apa. Kamu sembah dia kerana kamu dipengaruhi oleh syaitan yang berusaha menyesatkan kamu,” jelas Ayahnda Ibrahim a.s. lagi. Mendengar Ayahnda Ibrahim a.s. memperkecilkan patung-patung yang mereka sembah, ada di antara mereka yang menentang, “Ibrahim! Kawal sedikit kata-katamu itu!” Ayahnda Ibrahim a.s. memperhati ke arah orang itu. Dia tidak membantah secara melulu teguran itu. Diberinya peluang orang itu bercakap.

“Ibrahim! Kami bukan orang sesat,” kata orang yang cuba membela agama berhala mereka. “Kami bukan dirasuk syaitan! Akal kami masih waras,” katanya lagi dengan suara yang lantang. “Betul!” orang ramai menyokong kata-kata orang itu. Gemuruh suara mereka tidak sedikit pun menggugat kekuatan iman, atau memberi kesan apa-apa kepada Ayahnda Ibrahim a.s.


“Kamilah yang mewarisi patung-patung ini dari datuk nenek kami. Kamilah yang masih menghormati kepercayaan yang diwariskan kepada kami. Kami menolak seruan kamu, Ibrahim,” mereka berkata serentak. Ayahnda Ibrahim a.s. diam lagi. Mereka menduga Ayahnda Ibrahim a.s. tidak dapat menentang mereka. Salah seorang daripada mereka bertanya sambil mengejek, “Ibrahim, tidakkah kamu sedar bahawa ada di antara patung-patung ini yang diukir oleh ayahmu?” sambil menunjuk ke arah sebuah patung.

Pedih sekali hati Ayahnda Ibrahim a.s. mendengar pertanyaan itu. Terbayang di hadapannya wajah ayahnya. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya tanpa sebarang kata. Masih terngiang-ngiang lagi ditelinganya jeritan ayahnya, “Apakah engkau benci kepada tuhanku, Ibrahim? Kalau engkau tidak berhenti dari tindakanmu ini, engkau akan kulontar dengan batu. Akan kuhancurkan badanmu… sebelum aku marah, tinggalkan rumah ini! Engkau tak ada lagi dalam hatimu!”

Nabi Ibrahim a.s. cuba melupakan ayahnya dan kata-kata ayahnya itu. Dia menarik nafas panjang, lalu dikumpulkan seluruh kekuatan hatinya yang bermula dari keimanan dan tawakkal kepada Allah s.w.t. Dengan kekuatan itu dia berkata, “Ayahku adalah seperti kamu. Aku tidak setuju dengan apa yang dilakukannya.” Mereka mengejek-ngejek Nabi Ibrahim a.s. Mereka tuduh Nabi Ibrahim a.s. sudah menderhaka kepada ayahnya sendiri. Mereka tuduh Nabi Ibrahim a.s. orang yang melupakan warisan nenek moyangnya.


Ejekan itu tidak sedikit pun memberi kesan pada diri Ayahnda Ibrahim a.s. Dia tetap tabah, tenang dan sabar. Dia menjelaskan tentang Tuhan yang sebenarnya. “Fikirkan dengan akal kamu.” Kata Ayahnda Ibrahim a.s. “Lihatlah dengan mata kamu, moga-moga kamu dapat melihat petunjuk ini. Allah ta’ala itulah yang menjadikan aku, lalu Dia memberi petunjuk kepadaku. Dialah yang mengadakan makanan dan minumanku. Kalau aku sakit Dialah yang menyembuhkan aku. Dialah yang mematikan dan menghidupkan aku kembali. Kepadanya aku tidak putus-putus memohon ampun atas kesalahanku pada hari perhitungan nanti.” Begitu tegas dan jelas Ayahnda Ibrahim a.s. menerangkan kepada mereka.

Keterangan ini tidak memberi kesan apa-apa kepada mereka yang masing-masing telah terkunci hatinya oleh kejahilan. Mereka meninggalkan Ayahnda Ibrahim a.s. seorang diri. Namun, rupa-rupanya di antara mereka yang meninggalkan Nabi Ibrahim a.s. ada yang dapat hidayah untuk menerima seruannya. Hati mereka berbisik, “Memang benar kata-kata Ibrahim itu, esok kau akan kutemui. Esok aku akan beriman kepada Allah dan kepadamu.”

Bersambung ….. insyaAllah.


Khamis, 24 Mei 2012

Armageddon



Assalamu’alaikum..wrt, sebelum hamba sambung kisah Ayahnda Ibrahim a.s. marilah sama-sama kita ulangkaji berita tentang ARMAGEDDON. Hamba yakin kebanyakan saudara/i telah maklum siapakah penulisnya. Sekadar peringatan ulangan untuk Umat Islam Sejagatraya walau mungkin telah ramai blogger menulis tentang ARMAGEDDON.

Hari ini Rabu 23/5/2012 @ 5/5/5 bersamaan 2/7/1433 @ 2 Rejab 1433
Bulan REJAB merupakan BULAN HARAM berperang, 
Jadi JANGAN BERPERANG.

ARMAGEDDON:

MEDAN PERANG DUNIA KETIGA

Apakah yang anda tahu tentang Armageddon (هرمجدون) ?

Ia adalah satu pertempuran dunia terhebat, peperangan senjata nuklear yang menghancur leburkan, beberapa tempat strategi peperangan yang besar, tempat tumpuan peperangan negara sekutu dunia yang menunggu-nunggu semua penduduk dunia hari ini, tempat percaturan dari segi agama serta politik, peperangan salib moden, dragon war yang melibatkan pelbagai pihak, peperangan yang paling dahsyat serta amat buruk dalam sejarah, detik permulaan berakhirnya umur dunia.


Peperangan Dunia Ketiga ‘Armageddon’

Perkataan ini adalah bahasa Hebrew yang  terdiri daripada dua potong ungkapan kata, iaitu هر (bermakna gunung) dan مجيدو (bermakna satu perlembahan di bumi Palestin). Oleh itu, perkataan ‘Armageddon’ bermaksud gunung Mageddo di Palestin.

Sekalipun kita lihat perkataan ini amat ringkas, tetapi mempunyai banyak maksudnya yang tersembunyi. Ianya menguasai dalam pemikiran para sarjana kristian khususnya para presiden Amerika, malahan dianggap sebagai satu penggerak utama dan hala tuju asasi bagi politik Amerika dan barat kristian secara umumnya.

Penulis telah mencatatkan dalam kitab ‘Usia Umat Islam’ secebis daripada kata-kata ungkapan para presiden, para sarjana, cendekiawan mereka tentang huraian maksud perkataan ‘Armageddon’ ini. Di sini penulis hanya menukilkan satu keterangan setiap kelompok kaum untuk memberikan sedikit gambaran tentang pegangan mereka tentang perkataan ‘Armageddon’ ini.


Presiden Amerika terdahulu, Ronald Reagen pernah berkata, “Generasi ini dengan makna tepatnya merupakan satu generasi yang akan melihat peristiwa Armageddon.”

Ketua usul kristian, Gerry Followel berkata, “Armageddon merupakan satu hakikat berstrategi, tetapi kita bersyukur kepada tuhan kerana gunung ini akan mengakhirkan orang ramai.”

Seorang penulis berbangsa Amerika, Gress Hallsel berkata dalam bukunya ‘Hikayat dan Politik’, “Kita percaya seperti orang kristian bahawa sejarah manusia akan berakhir dalam satu peperangan yang dikenali dengan Armageddon. Pertempuran ini akan memahkotakan pengembalian Isa. Dengan kembalinya, beliau akan menguasai semua orang hidup dan orang mati secara sama rata.”

Nukilan ini dipetik daripada buku ‘Hikayat dan Politik’ karangan Gress Hallsel, buku ‘Drama Berakhirnya Zaman’ karangan Oural Robertson dan buku ‘Berakhirnya Keagungan Bulatan Bumi’ karangan Hall Liendsey. Kedua-dua penulis terakhir ini yang termasyhur di Amerika mengandaikan bahawa bulatan bumi akan berakhir secara totalnya pada tahun 2000 Masihi atau tahun-tahun sekitarnya.


Adakah anda tahu apakah rahsianya orang barat beragama kristian sama ada pemimpin, sarjana, cendekiawan dan kebanyakan orang awam mereka amat mengambil berat dengan perkataan Armageddon ini?

Perkataan ini dirujukkan di dalam kitab Injil, kitab suci mereka yang menyebutkannya lebih dari satu tempat, sekalipun kitab Injil sudah diseleweng dan diubah-ubah. Oleh sebab itulah, satu perkataan yang suci, mempunyai maksud yang suci juga menurut pandangan mereka. Dari sinilah, mereka amat prihatin terhadap perkataan ini.

Terdapat dalam Safar Rukyah (16/16), “Roh-roh syaitan akan menghimpunkan tentera-tentera dunia semuanya di sebuah tempat yang dinamakan dengan Armageddon.”

Ini adalah pegangan orang awam, para cendekiawan dan para sarjana mereka. Inilah rahsia mereka amat mengambil berat terhadap istilah ‘Armageddon’ kerana ianya merupakan salah satu dari pegangan mereka. Semua ketua turus angkatan perang dan para tentera menyelaraskan kepada rahsia ini untuk diambil prihatin terhadap ‘Armageddon’ dengan satu sebab lain yang didedahkan oleh salah seorang penulis, Gress Hallsel dalam bukunya ‘Hikayat dan Politik’ halaman 40. Beliau mengatakan, “Para tentera, khususnya serangan golongan terdahulu, mengambil kira kawasan ini sebagai satu tempat yang strategik, di mana mana-mana ketua turus perang mampu menguasainya untuk menentang siapa sahaja yang melawan.”



Penulis kira, sebab inilah yang mendedahkan kepada kita tentang apakah sebabnya Amerika beriya-iya benar hendak menempatkan bangsa Yahudi dengan mendirikan sebuah negara di Palestin menggunakan ‘Perjanjian Balfore’ (Balfore ialah mengambil sempena Author James Balfore yang hidup antara 1848 – 1930 Masihi, yang menjadi Perdana Menteri Britain dalam tempoh jangkamasa 1902 – 1905 Masihi dan menjadi Menteri Luar dalam tempoh jangkamasa 1916 – 1919 Masihi. Pada tahun 1917, beliau telah mengadakan satu perjanjian yang akan menjamin hak bangsa Yahudi untuk mendirikan negara kebangsaan mereka di Palestin) dan berusaha mempertahankannya, kerana negara yang akan dibangunkan ini (selaras dengan ketamakan mereka) ialah satu perkhemahan ketenteraan mereka di ‘Armageddon’. Di sinilah mereka akan merangka pelbagai tektik peperangan untuk menyusun sebarang strategi akan datang demi menghadapi sebarang kemungkinan.

Apa yang menghairankan kita, ketika kita lihat pelbagai kata-kata ungkapan Ahli Kitab yang bersepakat untuk mengambil kira ‘Armageddon’ sebagai satu pegangan dan satu hakikat kebenaran yang mereka tunggu-tunggu, kita lihat kebanyakan orang Islam, malahan lebih ramai lagi tidak tahu menahu tentang istilah ‘Armageddon’ sedikit pun. Sebaliknya, mereka sering menyanggah siapa sahaja yang hendak mengingatkan mereka tentang bahayanya satu masa yang akan datang dan begitulah seseorang itu memusuhi apa yang mereka sendiri tidak tahu.

Semua penganut agama kristian percaya bahawa Nabi Isa AS ialah tuhan mereka yang sebenarnya (The Jesus is the Christ), beliau akan turun pada akhir zaman dan datang dari arah langit semata-mata hendak menyusun strategi peperangan di ‘Armageddon’ menggunakan senjata nuklear yang amat dahsyat. Lalu, Nabi Isa AS mereka akan mengambil para pengikutnya untuk mengangkat mereka di atas gumpalan awan sehinggalah mereka tidak merasai kehebatan suasana peperangan yang amat menghancurkan. Mereka percaya, para pengikut agama kristian akan sentiasa berada di atas awan sehingga peperangan selesai untuk menghapuskan segala bentuk kejahatan atau dengan nama yang lebih tepat bagi mereka ialah hendak menghapuskan golongan pengganas.


Dalam Injil Lukes (12: 25 – 37), Nabi Isa AS dikatakan berbicara kepada para pengikut agama kristian, “Aku akan datang juga dan akan mengambil kamu semua. Laksanakanlah usaha kamu sebaik mungkin yang boleh diperkukuhkan dan isyarat kamu sentiasa dinyalakan. Kamu seperti manusia yang sentiasa menunggu-nunggu ketuanya sehinggalah kembali dari singgahsana raja. Bila dia datang dan mengetuk pintu, kamu berikanlah peluang waktu kepadanya. Berbahagialah kepada para hamba kerana bila ketuanya datang, mereka tidak tidur malam …”

Oleh sebab itulah, para penganut agama kristian sentiasa menunggu peristiwa ‘Armageddon’, malahan mereka berdoa agar Nabi Isa AS dapat segera muncul. Mereka sentiasa mendendangkan, “Wahai Masih! Marilah. Kekasih kami Yasu’. Amin, marilah.”

Kita tahu, mereka percaya Nabi Isa AS hanya akan muncul bila satu kawasan sudah disiap sediakan baginya untuk menghapuskan semua umat lain atau segala kejahatan dalam pertempuran ‘Armageddon’. Dari sini, pentingnya untuk diambil tahu tentang bahayanya perkataan ini dan kita mesti menjelaskan secara khusus tentang hakikat sebenar ‘Armageddon’.


Penjelasan maksud istilah ‘Armageddon’


Untuk menghilangkan salah faham yang berlaku pada sebahagian orang, kita katakan, maksud sebenarnya tentang istilah ‘Armageddon’ bukannya terletak pada lafaz dan perkataannya, tetapi apa yang dimaksudkan sebenarnya ialah pada kefahaman dan makna yang tersirat di dalamnya. Perkataan ini mengandungi banyak rahsia. Jika sebahagian orang Islam hanya memerhatikan istilah luaran perkataan tersebut tanpa meneliti apa yang tersirat di dalamnya dan hanya melihat kulitnya sahaja tanpa mengupas isi dalamnya, mereka akan terus memalingkan diri semata-mata bila disebut kalimah ‘Armageddon’ dengan alasan perkataan ini tidak terdapat dalam sunnah. Berdasarkan kepada alasan ini, mereka terus memejamkan mata, menutup hatinya dan meletakkan jari telunjuk di kedua lubang cuping telinganya sehingga tidak dapat mendengar lagi bid’ah ini.

Penulis katakan kepada mereka, biarkanlah perkataan itu sebagai sebuah kalimah dan  fahamilah maksud yang tersirat di dalamnya, iaitu sebuah peperangan yang akan dilakukan oleh negara pakatan dunia bersenjatakan nuklear yang menghancur leburkan dalam masa yang terdekat ini. Anda boleh juga menamakan peperangan ini dengan ‘Peperangan Dunia Ketiga’ dengan mengambil kira semua Ahli Kitab sentiasa menyalakan api peperangan ini lalu mereka menamakannya dengan istilah ‘Armageddon’. Nama ini adalah berasal dari bahasa Hebrew yang dicipta. Anda lihat, kita boleh menghuraikan permasalahan ini dan dapat menghilangkan sebarang keraguan hebat yang sentiasa berkisar dalam dada kita semata-mata hanya mendengar istilah baru ‘Armageddon’.


Adakah ‘Armageddon’ satu pertempuran yang hebat?

Jawapannya, pertempuran di Armageddon hebat juga, tetapi pertempuran yang lebih hebat berlaku sebaik-baik sahaja selepas peristiwa di Armageddon selesai.

Kita boleh menghuraikan ciri-ciri peperangan di Armageddon dengan perkara di bawah ini, iaitu:

a)   peperangan yang berlaku antara negara pakatan dunia blok barat (Amerika, Eropah dan sekutunya) dengan negara pakatan blok timur (Russia, China, Iran dan sekutunya) yang turut sama diikuti oleh sebahagian besar penduduk dunia.

b) negara utama tempat pertempuran ialah tanah dataran gunung Mageddo di Palestin.

c)   satu peperangan senjata nuklear pemusnah yang boleh menghancurkan kebanyakan peralatan perang strategik untuk menghapuskannya secara total.

d) satu pengantar kepada sebuah pertempuran yang lebih hebat, kerana Amerika, Eropah dan sekutunya akan meminta bantuan daripada orang Islam untuk menghancurkan negara blok timur berfahaman komunis dan Syiah, iaitu China, Russia, Iran dan negara sekutunya).


Kemudian, negara sekutu blok barat (Amerika, Eropah dan sekutunya) akan menajamkan pedang dan mengilatkan mata pedang mereka untuk menghapuskan orang-orang Islam di dalam satu pertempuran yang lebih hebat lagi, iaitu,

a)   berlaku selepas peristiwa di Armageddon sejagat dan berlaku sebaik-sebaik sahaja selepas peristiwa itu tamat dalam masa beberapa bulan sahaja.

b) pertempuran secara langsung antara barat pembawa salib dengan orang Islam.

c)   berlaku di Syria berhampiran dengan bandar Damsyik.

d) sebuah peperangan menggunakan kuda dan pedang.

e)   tempohnya hanya selama 4 hari sahaja.

f)   kemenangan di akhirnya ialah di pihak orang Islam di bawah teraju kepemimpinan Imam Mahdi.

Kita katakan, terdapat ciri-ciri khusus antara dua buah pertempuran yang akan berlaku, iaitu Armageddon dan sebuah peperangan salib yang lebih hebat lagi. Dalam pertempuran di Armageddon, kemenangan berada di pihak negara sekutu blok barat (Amerika, Eropah dan sekutunya) bersama sebahagian negara Islam yang bersekongkol dengan mereka. Dengan makna yang lebih sahih sebagaimana yang disebutkan dalam sebahagian hadis Rasulullah SAW ialah para musuh negara sekutu blok barat, iaitu negara-negara blok timur berfahaman komunis dan Syiah. Kemenangan dalam peperangan Salib yang lebih hebat lagi ialah berada di pihak orang Islam yang dapat mengalahkan negara sekutu blok barat (Amerika, Eropah dan sekutunya).

Kita boleh ringkaskan, dua buah peperangan ini adalah satu peperangan dalam satu kali perjalanan. Ketika pihak Amerika, Eropah serta sekutunya dan sebahagian negara Islam kembali dari peperangan di Armageddon ke negara masing-masing, tetapi pihak Amerika mempunyai niat hendak belot dan menyalahi janji kepada sebahagian negara Islam sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
(وفي نيتهم الغدر)
yang bermaksud: “Mereka mempunyai niat hendak memungkiri janji dan belot.”

Ianya adalah satu peperangan yang lama dalam dua buah hala tuju yang berbeza, malahan beberapa buah hala tuju yang dimulai dengan memusnahkan negara Iraq dan ditamatkan dalam satu peperangan salib yang lebih hebat lagi. Kemungkinan peristiwa tersebut mengingatkan mereka tentang peristiwa di Armageddon sahaja tanpa melibatkan satu peperangan Salib yang lebih hebat lagi. Sedangkan peperangan di Armageddon itu adalah sebuah peperangan lama yang termasuk dalam tahapnya yang terakhirnya ialah pertempuran Salib yang lebih hebat lagi.


Berdasarkan kepada makna yang tersirat ini juga termasuk di dalamnya satu ungkapan kata salah seorang ketua bala tentera pihak blok barat, Bush, “Ianya satu peperangan salib yang berlaku dalam satu jangkamasa lama yang berlangsung selama 10 tahun.”

Sebelum kita berpindah kepada fakta lain, kita sebutkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang kita jadikannya sebagai satu panduan asas untuk memahami rentetan peperangan ini.

Rasulullah SAW bersabda:
(ستصالحكم الروم صلحا آمنا، فتغزون أنتم وهم عدوا من وراءهم، فتنصرون وتغنمون وتسلمون، ثم تنزلون بمرج ذي تلول، فيقول رجل من الروم فيرفع الصليب، ويقول: غلب الصليب، فيقوم إليه رجل من المسلمين، فيقتله. فغدر الروم وتكون الملاحم فيجتمعون لكم في ثمانين غاية مع كل غاية اثنا عشر ألفا)
yang bermaksud: “Pihak Rom (Amerika, Eropah dan sekutunya) akan saling mengadakan sebuah perjanjian baik dengan kamu. Lantas kamu bersama dengan mereka akan terus memerangi musuh dari sebalik mereka (Russia, China, Iran dan sekutunya). Kamu mencapai kemenangan, memperolehi harta rampasan perang dan mendapatkan keselamatan. Kemudian kamu kembali dan tiba di sebuah tempat bernama Maraj Zi Thulul di Lubnan. Tiba-tiba salah seorang tentera pihak sekutu Amerika mengangkat salib, seraya berteriak, salib akan menang! Salah seorang pihak kaum Muslimin bangun untuk datang menemuinya, tetapi dia dibunuhnya. Dengan itu, jelaslah pihak Amerika dan sekutu telah memungkiri janjinya. Berlakulah satu pertempuran salib terhebat. Mereka menyerang kamu dari arah 80 penjuru dan setiap serangan penjuru itu mempunyai kekuatan 12,000 orang tentera.”

Hadis ini hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah, Imam Ibnu Hibban.


Serangan di Afghanistan memarakkan lagi peristiwa di Armageddon

Bagaimana boleh terjadi dua pasukan tentera berkumpul di satu tempat, blok barat dan timur menuju ke arah tempat perkhemahan yang sama dan mereka boleh berhimpun di Armageddon untuk bertempur hebat? Adakah Amerika menyerang Afghanistan pada lewat akhir beberapa tahun lalu merupakan satu nyalaan untuk menyemarakkan lagi pertempuran dan kehebatannya?

Penulis rasa, gerakan Amerika dan Britain (Rom pembawa salib) dengan beralasan menghancurkan tempat persembunyian golongan pengganas di Afghanistan hanyalah semata-mata sebagai satu pengantar pendedahan yang buruk terhadap ketetapan niat mereka mempercepatkan lagi peristiwa di Armageddon. Memerangi orang Islam di Afghanistan yang dimaksudkan sebagai golongan pengganas, tidak perlu (di samping kekuatan Amerika yang besar) lebih dari beberapa jam atau lebih pun beberapa hari kerana mereka tahu peperangan akan dilangsungkan selama 10 tahun. Dengan ini, mereka datang untuk meninggalkan sisa tempoh tersebut, datang menyerang dan mengepung. Secara pastinya, negara sekutu blok timur tidak sekali-kali akan merasa takjub secara umumnya sebagaimana yang mereka beritakan.


Kemungkinan berlakunya salah satu senario berikut sehingga boleh berlakunya peperangan di Armageddon, kedua negara sekutu barat serta timur akan pergi menuju ke tempat yang sama dan kedua angkatan tentera akan terus bertarung menunjukkan taringnya:

a) Negara sekutu Amerika dan Britain akan menyerang Iraq dengan andaian Iraq yang mula menunjukkan kekuatan senjata nuklearnya sekali lagi. Atau diandaikan Iraq yang sengaja menempah diri menghentam puak pengganas biologi di Amerika, Eropah atau Israel. Dengan isyarat daripada Russia dan China, Iraq membantah dan terus menyerang Israel menggunakan peluru berpandu. Serangan berterusan, para tentera kedua pihak terus bersedia, lalu kekuatan Amerika serta negara sekutunya membuat perkhemahan tentera di Israel kerana di Israel tempatnya tumpuan pertempuran yang dimaksudkan. Kekuatan negara sekutu blok timur terdiri dari Russia, China dan sekutunya bergerak ke arah Israel. Kedua angkatan tentera bertemu di Armageddon. Peperangan dunia berlaku, Armageddon menjadi tempat tumpuan utama dan tempohnya semuanya bebas. Ini adalah salah satu andaian yang mungkin akan berlaku.

b) China dan Russia meminta kekuatan Amerika dan Britain kembali semula ke negara masing-masing kerana penempatan mereka di sesebuah kawasan terlalu lama dan melampaui had batasannya. Tujuan kedatangan mereka sebagaimana yang mereka beritahu sentiasa melemahkan kedudukan negara lain dan sengaja berdusta. Khususnya, kewujudan mereka dalam satu jangkamasa yang amat lama di Laut Mediterranean, di Lautan Hindi, di Teluk Arab akan menimbulkan ketakutan China serta Russia, seterusnya mengancam keamanan antarabangsa. Negara blok timur cuba membataskan ketamakan mereka untuk mengaut minyak petrol di negara Teluk, di Asia dan di Laut Khazwin.

Tetapi, kekuatan angkatan tentera Amerika, Britain dan negara sekutunya daripada negara Eropah tetap berdegil serta menolak permintaan tersebut, malah terus mengekalkan perkhemahan mereka. Malahan mereka beralasan tindakan mereka itu mendapat restu dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.


Dari sini, negara blok barat dan timur sering bertukar-tukar memberikan peringatan dan amaran. Akhirnya mereka akan bertempur di Armageddon. Walau macam manapun, tempat peperangan dan medan utamanya ialah di Israel di Armageddon, kerana Amerika dan Eropah sudah mengumpulkan kekuatannya di sana.

Walau bagaimana pun, menurut setiap senario yang berlaku, negara sekutu barat yang terdiri dari Amerika, Eropah dan negara sekutunya akan meminta bantuan dari sebahagian negara Islam dan saling membuat perjanjian. Mereka sama-sama bersepakat bersekongkol dalam satu pasukan perang menentang musuh mereka. Mengapa Amerika, Eropah dan negara sekutunya beriya-iya benar hendak meminta bantuan agar sebahagian negara Islam turut sama berkecimpung dalam peperangan sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa Amerika mengusir keluar Iraq dari negara Kuwait pada tahun 1990 Masihi dahulu? Begitu juga sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa pengusiran keluar golongan Toliban di Afghanistan, Amerika meminta bantuan dari puak pakatan Utara beberapa tahun yang lalu? Jawapannya jelas!! Amerika meletakkan golongan Islam yang tertipu ini di barisan hadapan untuk menghadapi serangan saudara seIslam mereka atas daratan, lalu nasib mereka akan mengalami kerugian seumur hidup, di mana roh mereka dapat diterbangkan. Kebanyakan golongan Islam ini terkorban dalam perang saudara, sementara Amerika dan sekutunya hanya menunggu habuan rampasan perang di belakang dengan ketawa terbahak-bahak!!