Ayahnda

Ayahnda

Jumaat, 28 Oktober 2011

Pengajaran Penting daripada kisah Ayahnda Adam a.s.



Assalamu’alaikum…wrt. 

Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kepada kita taufiq untuk mengikut segala susunan yang telah Allah s.w.t. membangkitkan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwatun hasanah (contoh ikutan yang baik) dan para sahabat radiyallah hu anhum, para tabien, tabiu’l tabien sehingga sekarang ini, zaman kita di abad 15 hijrah.

Semoga dengan ini kita dapat sama-sama cuba memperbaiki diri kita, yang dikatakan membaiki diri ialah kita perlulah bersifat zuhud dan yakin dengan Allah s.w.t. Yang dikatakan zuhud ialah kita meninggalkan segala media yang bercampur aduk di dalam kejadian manusia yakni meninggalkan segala pemikiran dan perasaan yang bercampur aduk dengan kejadian manusia yang sememangnya penuh dengan zulmah.

Orang yang tidak ada zuhud akan terasa dia orang yang baik. Dia akan terasa dia ada kebolehan akan timbul keakuan (ego) dalam dirinya. Akan banyaklah timbul persoalan dalam dirinya yang tidak bersesuaian dengan kehendak Tuhan. Dia akan mempersoalkan kenapalah Allah jadikan begini? Kenapalah Allah buat aku begini? Kenapalah nasib aku begini? Semua persoalan sebegini timbul kerana tidak adanya sifat zuhud dalam jiwa dia.


Apabila tidak ada zuhud akan timbulnya penyakit “tamak”. Dari penyakit “tamak” akan timbul pula ‘syak wasangka” terhadap Allah s.w.t. Syak wasangka adalah pasangan bagi tamak. Kedua-dua sifat ini ada pada iblis dan ada juga pada manusia. Dengan sebab itu apabila Allah s.w.t.  memerintah kepada Iblis supaya sujud kepada Adam a.s., Iblis kata dia lebih baik dari Adam a.s. Timbul persoalan dari diri dia, kenapa dia perlu sujud kepada Adam a.s.? Dari situ timbullah “aba was takbara”. Jadi dalam masalah kita untuk menghilangkan penyakit ini perlulah kita membuat asuhan sejak dari kecil lagi, tetapi sekiranya kita berjumpa dengan penawar penyakit ini di tengah jalan yakni di usia kita yang telah melepasi usia kanak-kanak. Maka perlulah kita cuba bersungguh-sungguh dalam zuhud supaya hancur dan hilanglah tamak dari dalam diri kita.

Sifat tamak ini adalah sifat yang keji yang Tuhan Rabbul ‘alamin jadikan bagi manusia, yang Tuhan Rabbul ‘alamin letakkan dalam diri manusia. Tuhanlah yang menjadikan manusia, Tuhan Rabbul ‘alamin jadikan Adam a.s, dari Adam a.s. Tuhan Rabbul ‘alamin melahirkan Qabil. Qabil anak Ayahnda Adam a.s. yang Tuhan laknat. Kenapa Allah s.w.t. melaknat Qabil? Kerana Qabil ada sifat tamak. Dia tamak terhadap seorang perempuan. Dia telah membantah kepada hukuman dan susunan Tuhan Rabbul ‘alamin. Tuhan Rabbul ‘alamin telah menetapkan supaya dia berkahwin dengan adik perempuan Habil dan adik perempuan dia dikahwinkan dengan Habil. Dia tengok pasangan dia tak lawa, pasangan Habil lebih lawa dari pasangan dia. Padahal perkara itu adalah hukuman dan susunan dari Allah s.w.t., akhirnya dia membantah susunan dan hukuman Allah s.w.t. kerana tamak. Bila tamak, dia tidak ikut kehendak Tuhan Rabbul ‘alamin. Dia membantah perintah Allah s.w.t. dan Rasul Allah yakni ayahnda Adam a.s. Dari situ berlakulah pertelingkahan, berlakulah pembunuhan. Sampai sekarang berlaku pertelingkahan dan pembunuhan yang dilakukan oleh pengikut Qabil yang membantah perintah dan hukuman Allah s.w.t. dan Rasul a.s..


Qabil menjadi kafir sebab tamak, hasad dia kepada Habil, sanggup Qabil membunuh saudara kandungnya kerana tamak nakkan perempuan. Contohilah Habil, orang yang yakin kepada Allah s.w.t., orang yang takut kepada Tuhan Rabbul ‘alamin, orang yang memahami prinsip “la hau lawala quwata illa billah al-a’liyil a’zim”.

Untuk mengelakkan dari terjerumus dengan tindak tanduk Qabil ini hendaklah kita mengikut peribadi Habil yakni “yakin” dengan Allah s.w.t. dan Rasul Allah. Inilah perbezaan diantara Habil yang Tuhan Rabbul ‘alamin rahmati dan Qabil yang Tuhan Rabbul ‘alamin laknati. Sedikit sahaja bezanya, yang mendapat rahmat kerana yakin dan yang dilaknat kerana tamak. Tuhan Rabbul ‘alamin telah menjadikan Qabil dan tamak dalam diri dia. Dia menjadi tamak terhadap seorang perempuan.


Makam Habil

Penyakit tamaklah punca manusia mendapat laknat dari Allah s.w.t. Samada tamak terhadap perempuan atau harta benda atau anak pinak, kesemua perkara ini Tuhan Rabbul ‘alamin jadikan sebagai ujian bagi manusia yang Tuhan Rabbul ‘alamin pesertakan dengan penyakit tamak. Untuk memperbaiki diri kita supaya tidak mengalami nasib seperti Qabil hendaklah kita bersifat dengan zuhud yakni menghilangkan perasaan kita dari sifat tamak. Zuhud bererti jangan kita campur aduk atau campur tangan dengan setiap apa yang Allah s.w.t. jadikan, dunia ke! Hawa kita ke! (keinginan nafsu kita ke!) Jangan kita campur tangan dalam urusan dan pentadbiran Allah s.w.t. yang mengatur segala-galanya dengan kehendak dan dengan kebijaksanaanNya. Hendaklah kita yakin dengan Allah s.w.t. yang menciptakan keseluruhannya dan setiap sesuatu, samada perkara yang telah berlaku, yang sedang berlaku ataupun perkara yang akan berlaku.

Perangai Qabil inilah punca kamu lambat sampai kepada Tuhan Rabbul ‘alamin. Inilah punca kamu boleh mendapat laknat daripada Tuhan Rabbul ‘alamin. Tidak ada lain, cubalah kamu memerhati dengan insaf. Tidak kiralah kamu kecil, besar, tua atau muda, lelaki atau perempuan.


Punca sesat adalah dari dzon (syak wasangka) yang sama dengan dzon iblis. Dzon yang sesat ini bukan ada pada iblis sahaja tetapi ada juga pada manusia, bahkan manusia lebih jahat dan lebih dahsyat dari iblis. Sebab kebodohan dan kejahilan manusia itu sendiri terhadap kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Iblis, dia nak menyesatkan manusia dia memohon dan meminta izin dari pada Allah s.w.t. terlebih dahulu. Manusia tidak! Dia nak buat sesuatu dia tidak tunduk kepada Allah s.w.t., dia ikut nafsu jahat dia sahaja. Iblis nak buat jahat pun dia tunduk kepada kebesaran Tuhan Rabbul ‘alamin. Perkara ini telah Allah s.w.t. rakamkan dalam Al-Quran supaya manusia-manusia mengambil iktibar iblis telah berkata :


“Demi kemuliaanMu Ya Allah! Aku menyesat kesemua manusia.” (Surah Shood ayat 82)

Maknanya iblis mempunyai tauhid, dia makhluk Allah yang bertauhid. Tetapi manusia nak buat jahat mereka tidak tunduk kepada kebesaran Allah s.w.t.! Mereka ikut nafsu tamak mereka! Mereka syak wasangka kepada Tuhan Rabbul ‘alamin! Inilah yang dikatakan manusia ini lebih dahsyat daripada Iblis.

Penyakit tamak ini telah ada sejak Ayahnda Adam a.s. lagi, apabila tamaknya Ayahnda Adam a.s. nak duduk syurga, lupalah Baginda dengan Tuhan Rabbul ‘alamin yang telah menjadikan manusia yang mana Tuhan Rabbul ‘alamin telah mengistiharkan Ayahnda Adam a.s. akan menjadi Khalifah di bumiNya. Apabila tamaknya Ayahnda Adam a.s. nak duduk dalam syurga lupalah Baginda dengan pesanan Allah s.w.t. Allah s.w.t. talah memesan kepada Ayahnda Adam a.s. dan isterinya Ibunda Hawa,


“Dan janganlah kamu wahai Adam dan Hawa! Mendekati pohon ini (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu berdua dari orang-orang yang zalim.”                                  (Surah Al-Baqarah ayat 35).


Peringatan ini Allah s.w.t. telah berikan kepada Ayahnda Adam a.s., tetapi disebabkan perasaan tamaknya Ayahnda Adam a.s. nak duduk dalam syurga berpunca dari hasutan Iblis kepadanya. Iblis telah menghasud Ayahnda Adam a.s., dia bertanya Ayahnda Adam a.s. “Seronok tak, Adam duduk dalam syurga?” Ayahnda Adam a.s. menjawab “Tentulah seronok”. Iblis bertanya lagi, “kalau Tuhan Rabbul ‘alamin bagi kamu hidup kekal dalam syurga ini, awak mahu tak Adam?” “Tentu sekali” jawab Ayahnda Adam a.s. “Kalau awak nak kekal tinggal di sini, awak makanlah buah khuldi itu”. Oleh kerana tamaknya Ayahnda Adam a.s. nak hidup kekal dalam syurga, termakanlah baginda dengan acah pujukan Iblis. Jadilah Ayahnda Adam a.s. orang yang zalim, terjunlah ia ke bumi ini sebelum sampai masa yang bersesuaian dengan rahmat kasih sayang Allah s.w.t. tetapi dihantar Ayahnda Adam a.s. ke bumi ini dengan kemurkaan Allah s.w.t. dan bukan dengan rahmat kasih sayang Tuhan Rabbul ‘alamin. Inilah yang telah berlaku dengan Ayahnda Adam a.s. dan ini juga adalah penyakit manusia sebab kita semua adalah anak cucu cicit piut Ayahnda Adam a.s.

Apabila diturunkan Ayahnda Adam a.s. ke bumi ini, dia terus bertaubat dan mengaku telah melakukan satu kesilapan yang besar. Selama 40 tahun Baginda menangis dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. kerana telah melanggar perintah Allah s.w.t. yang berpunca dari penyakit tamak nakkan syurga. Kalaulah tamak nakkan syurga pun Allah s.w.t. keluarkan dari syurga, apatah lagi kalau kita tamak nakkan dunia! Padahal jasad kita penuh dengan melakukan derhaka kepada Tuhan Rabbul ‘alamin! Jasad kita bukan macam jasad Ayahnda Adam a.s. yang maksum! Kamu tolong fakir perkara ini! Ayahnda Adam a.s. tamak nak syurga tetapi dia dengar nasihat  Iblis laknatullah, terus Allah s.w.t. keluarkan dari syurga sebelum sampai masanya. Inilah kejadian manusia yang paling, paling ketara. Kejadian yang mudah lupa peringatan dari Tuhan Rabbul ‘alamin, mudah terpengaruh dengan pujukan Iblis disebabkan Tamak.


Ayahnda Adam a.s. bersungguh-sungguh bertaubat disebabkan terikut hasutan Iblis dengan mamakan buah pohon khuldi, selama 40 tahun Baginda bertaubat. Tetapi kita ini ummat Saiyidul Mursalin, ummat Rasulullah s.a.w. tidak perlu bertaubat selama 40 tahun seperti Ayahnda Adam a.s., hanya 40 hari sahaja. Sebagai ummat Rasulullah s.a.w., untuk mendapat kekuatan iman dan bebas dari zulmah kejadian kita, kita hanya memerlukan 40 hari sahaja. Perkara ini berpandukan dengan hadis Rasulullah s.a.w.,

“Barangsiapa bersungguh-sungguh mengikhlaskan diri kepada Allah selama 40 hari, nescaya akan terpancarlah pancaran-pancaran hikmah dari dalam jiwanya di atas lidahnya (lisannya)”.
Hadis riwayat Imam Ahmad dalam kitab Tanwirul qulub.


Dalam sebahagian hadis Rasulullah s.a.w. menyatakan tentang 40 hari dalam sembahyang berjemaah,

“Seseorang yang bersembahyang berjemaah kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbir yang pertama, ditulis baginya dua jaminan, pertama bebas dari neraka dan kedua bebas dari sifat munafik”.
Hadis riwayat Imam Tirmizi.


Perkara ini semua telah dijelaskan oleh junjungan kita Rasulullah s.a.w., tetapi kenapa tidak mahu ikut? Kerana Tamak. Punca tidak mahu ikut Rasulullah s.a.w. tidak ada lain ialah tamak dan syak wasangka! Teori ramai orang boleh, tetapi untuk mempraktikkannya? Selagimana tidak timbul zuhud dan yakin janganlah mimpi nak jadi pengikut Rasulullah s.a.w. Hanya perkara ini datang dari jiwa yang zuhud dan yakin tidak ada lain jawapanya selain dari dua perkara ini.

Dengan ini marilah sama-sama kita cuba membaiki diri masing-masing. Kita pakat-pakat cuba memperbaiki diri. 

Wallahu ‘alam. Sekian Wassalam.


Dalam air teh, kopi dan milo ada air mineral; untuk mendapat air mineral semula, kita kena buat mineral pot. Begitu juga dalam jasad manusia ada roh (latifah rabbaniah). Roh kenal TuhanNya, tetapi bila roh masuk ke dalam jasad jadi haru biru. Maka di sini kita perlu membuat mineral pot, caranya dengan berzikir, beristigfar dan berselawat. Nabi Adam a.s. membuat proses mineral pot selama 40 tahun.
(Kata-kata hikmah Ayahnda)

Khamis, 20 Oktober 2011

Asas Penyatuan Ummah 5 : Menjauhi dan Meninggalkan sebarang Pendapat atau Pandangan Yang Terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah Terutama Pendapat atau Pandangan Acuan Yahudi dan Nasrani



Assalamu’alaikum w.r.t. 

Di bawah tajuk ini, Allah s.w.t. yang maha Bijaksana, yang menjadikan semua makhlukNya dan Dialah Tuhan yang layak disembah dan ditaati mengikut aturcara yang telah Dia tetapkan. Dia tidak akan menerima sebarang rupa ketaatan dan jalan untuk menghampiri diri kepadaNya melainkan aturcara susunan itu mestilah mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w. Dia telah memberi banyak peringatan kepada ummat Islam supaya menjauhi daripada terjebak kepada pandangan, pendapat dan acuan musuh-musuhNya seperti yang terdapat dalam Al-Quran, kitab yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai seorang muslim, wajiblah mereka mengiktikadkan setiap perkara yang Rasulullah s.a.w. bawa dan kitabullah itu benar serta tidak ada keraguan di dalamnya walaupun satu huruf. Timbulnya keraguan disebabkan butanya mata hati dan kekufuran yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Sebahagian dari peringatan tersebut adalah firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’ ayat 144.

“Wahai orang-orang beriman janganlah kamu mengambil orang-orang kafir sebagai wali (teman, pelindung atau penolong) dengan meninggalkan orang-orang mukmin.”

Firman Allah s.w.t. lagi dalam surah al-Maidah ayat 51.


“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yahudi dan nasrani menjadi pemimpin (pembimbing) kamu kerana sebahagian mereka (yahudi dan nasrani) adalah menjadi pemimpin di kalangan mereka sendiri (untuk menghancurkan Islam). Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.”

Allah s.w.t. berfirman lagi dalam surah at-Taubah ayat 28.


“Wahai orang-orang mukmin sesungguhnya aqidah dan segala aturcara hidup orang musyrik adalah najis (Yakni Allah s.w.t. tidak menerimanya).”

Sebagai peringatan Allah s.w.t. berfirman lagi dalam surah al-Maidah ayat 57.


“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu bahan ejekan dan permainan, iaitu di kalangan orang yang telah diberi kitab sebelum kamu (yahudi dan nasara) dan orang-orang kafir. Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

Allah s.w.t. menjelaskan lagi melalui ayat 1 dalam surah al-mumtahanah.


“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengambil masuhKu dan musuhmu sebagai pembimbing kamu.”

Peringatan dari Allah s.w.t. Yang Maha Penyayang lagi melalui surah al-Baqarah ayat 120.


“Orang yahudi dan nasrani tidak akan sekali-kali bersetuju kepada mu sehingga kamu mengikut aturcara mereka (agama mereka). Katakanlah “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar” dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada mu (tentang kebenaran) maka tiadalah engkau dapat dari Allah (sesuatu pun) yang dapat membimbing dan memberi pertolongan.”

  
Semua peringatan yang Allah s.w.t. berikan kepada ummat Muhammad s.a.w. kerana kasihnya Dia kepada ummat ini. Dia tidak mahu ummat Islam terjerumus di lembah kehinaan dan boleh diperbodoh-bodohkan oleh musuh-musuh Allah s.w.t.

Sebab itulah kekasih kita Baginda Muhammad s.a.w. telah bersabda, “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.”
(Hadis riwayat Imam Al-Baihaqi)

Kenapa Islam itu mulia dan tidak ada yang mengatasinya? Salah satu jawapannya ialah Islam itu adalah agama Allah s.w.t. dan diberinya kitab yang menyuluh hidup manusia ciptaanNya. Adakah Tuhan selain Allah ta’ala yang menjadikan setiap sesuatu? Sudah tentu jawapannya tidak. Dia yang menjadikan kita sudah tentulah Dia maha mengetahui dengan perkara yang terbaik dan sesuai untuk kita jadikan pedoman semasa hidup di atas bumi yang Dia ciptakan ini. Tetapi apabila manusia mengambil pandangan kaum kafir sebagai pedoman tentulah perkara ini menyalahi dengan jalan keredhaanNya. Seolah-olah kita lebih mengetahui daripada Allah s.w.t. Sebab itulah masyarakat Islam pada hari ini di dalam teraba-raba. Dicucuk hidungnya oleh Yahudi dan Nasara, sehingga orang yang bertaraf ulama’ pun terpengaruh dengan aturcara yang Allah s.w.t. “istidrajkan” kepada Yahudi dan Nasrani dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah Allah. Lupakah mereka bahawa orang musyrik ini najis di sisi Allah s.w.t.? Maknanya mereka ini telah “memutannajiskan” ilmu Islam disebabkan butanya mata hati kerana mereka berasa angkuh dengan ilmu yang mereka perolehi. Tidakkah mereka sedar bahawa iblis itu pernah mengajar para malaikat, tetapi dilaknat oleh Allah s.w.t. kerana angkuh terhadap kekasih Allah s.w.t.


Orang-orang kafir terutamanya Yahudi dan Nasrani jiwanya penuh dengan seribu satu macam sifat mazmumah seperti hasad, dendam, bakhil, pengkianat, memusuhi para Nabi, Rasul dan orang mukmin. Mereka telah merancang untuk memusnahkan cahaya iman di dalam dunia ini lalu mereka telah menaja demokrasi. Apabila orang Islam mengambil ataurcara demokrasi untuk menghampirkan diri kepada Allah, maka mereka akan bermusuhan dengan para wali. Mereka tidak mengenal para wali yang hidup pada zaman mereka, sedangkan bermusuhan dengan para wali adalah salah satu dosa besar. Mereka berani memfatwakan keharaman dan berdosanya ke atas kekasih Allah s.w.t. yang tidak terjebak dengan aturcara demokrasi. Mereka menganggap aturcara para Aulia’ yang silsilahnya dengan Rasulullah s.a.w. adalah perbuatan sesat, jumud dan tidak syumul. Sebahagian daripada mereka yang terperangkap dengan acuan ini telah menafsirkan Al-Quran sehingga menyeleweng dari garis Ahli sunnah wal jamaah. Umpamanya firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 208,


 “Wahai orang mukmin masuklah kamu semua ke dalam agama Islam secara keseluruhannya.”

Ayat tersebut Allah s.w.t. turunkan kerana terdapat orang-orang Yahudi yang memeluk agama Islam tetapi mereka masih ingin mengamalkan amalan keyahudian mereka seperti membesarkan hari Sabtu dan merasa jijik untuk mamakan daging unta. Ayat ini diturunkan supaya kita keluar dari amalan keyahudian. Pada hari ini mereka menafsirkan ayat ini untuk ikut Yahudi. Jadi bagaimanalah mereka ini akan berjumpa dengan Allah s.w.t. dan Rasul pada hari pembalasan kelak?


Syaikhul Hadis Maulana Zakaria Al-Khandahlawi telah menulis di dalam satu karyanya yang berjudul “al-A’tad al-fi maratib ar-rijal” bahawa hanya ada dua dosa sahaja yang Allah s.w.t. istiharkan perang terhadap pelakunya iaitu menghina para Wali dan memakan riba. Beliau menyatakan bahawa para wali adalah benteng-benteng yang teguh bagi agama Allah s.w.t. Sekiranya tidak ada para wali maka akan rosaklah agama Allah. Di dalam kitab Tajul Arus Syaikh ibnu Atoillah as-Sakandari mengatakan para wali ialah pemelihara nur para Nabi. Sayidina Umar r.a. dan Sayidina Ali r.a. dua tokoh sahabat yang besar ini pun Rasulullah s.a.w. mewasiat supaya berjumpa dengan Akbarul Tabien Uwais al-Qarni. Rasulullah s.a.w. menyuruh keduanya meminta supaya Uwais mendoakan keampunan bagi keduanya. Kalaulah kedua sahabat yang agung ini yang sudah dijamin sebagai ahli syurga pun masih disuruh bersahabat dengan Uwais. Apatah orang-orang selain daripada keduanya yang tidak mendapat jaminan daripada Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w. apatah lagi orang-orang yang sentiasa membuat maksiat.


Mereka yakni para wali, Allah s.w.t. sembunyikan daripada manusia. Sama seperti Allah s.w.t. sembunyikan kenabian yang ada pada Nuh a.s. dari anaknya, seperti Nabi Luth a.s. dari isterinya, Nabi Ibrahim a.s. dari bapanya Azar, Nabi Musa a.s. dari bapa angkatnya Firaun dan Nabi Muhammad s.a.w. dari bapa saudaranya Abu Talib dan Abu Lahab. Mereka ini diibaratkan seperti batu permata yang terpendam di dalam bumi. Begitu juga para Aulia’ yang memelihara nur iman, sekiranya orang ramai tidak mencarinya maka mereka tidak dapat manfaatnya. Apabila para wali itu sudah wafat barulah diketahui dia seorang kekasih Allah s.w.t. Pada masa itu, yang hanya kita mampu lakukan ialah datang menziarahi makamnya sahaja, itupun sekadar untuk mengambil berkat sahaja tetapi segala nasihatnya tidak pernah didengar dan diamalkan. Hasilnya tetaplah manusia itu menjadi banduan dengan nafsu ammarahnya. Mereka hanya akan memuja-muja para Aulia’ yang sudah tidak ada seperti Ibrahim Adham, Tok Kenali dan lain-lain. Seolah-olah mereka mahu para Aulia’ yang sudah mati hidup kembali untuk memimpin mereka. Lebih baiklah mereka memohon kepada Allah s.w.t. supaya dihidupkan Rasulullah s.a.w. semula untuk memimpin mereka kerana dia adalah Saiyidul Mursalin, Baginda s.a.w. adalah kekasih Allah yang paling sempurna tidak ada cacat celanya, inilah yang lebih afdhal.


Pada hari ini masyarakat Islam menganggap para wali hidup sama sebagaimana tok sami hidup ataupun mereka membuat andaian mengikut pemikiran nafsu ammarah mereka tentang kewalian. Untuk mengenal para wali hendaklah kita bertanya kepada kekasih para wali iaitu Allah s.w.t. sendiri. Pohonlah petunjuk kepadaNya dengan rasa kehinaan dan air mata. Berselawatlah kepada nabi Muhammad s.a.w. semoga dengan nur selawat itu Allah s.w.t. membuka jalan kepada kita untuk berdamping dengan kekasih-kekasih Allah dan RasulNya.

Hanya dengan bimbingan para Wali sahaja yang dapat menyatukan ummat ini sebagaimana Rasulullah s.a.w. berjaya mendamaikan puak A’us dan Khazraj yang sentiasa bersengketa di Madinah kerana dihasut oleh Yahudi-yahudi di Madinah. Sebab itulah para Wali tidak terpengaruh dengan demokrasi yang ditaja oleh Yahudi dan Nasrani kerana didalamnya terdapat seribu satu macam belitan untuk menghancurkan ummat Islam dan manusia sejagat. Sebagaimana mereka membelit dan memupuk perasaan permusuhan di antara puak A’us dan Khazraj sebelum cahaya kerasulan sampai di Madinah.


Kegelapan demokrasi mula menyelubungi di dalam Negara kita selepas cahaya kewalian pudar disebabkan kewafatan ramai Aulia’ yang aktif dalam Negara ini seperti Syaikh Ismail Lundang Paku, Tok Kenali, Tok Selehong, Syaikh Muhammad Said Al-Linggi dan Syaikh Muhammad Nur Sg. Cincin di Gombak qaddasallah asrarahum.

Semua ulama’ solehin di dalam dunia menentang aturcara demokrasi dan mengatakan demokrasi bukan daripada Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w. Salah seorangnya Dr. Wahbah al-Zuhaili. Beliau menegaskan,

“Sesungguhnya demokrasi dalam fahaman barat dari dulu sehinggalah sekarang tidak selari dengan Islam.”


Pada hari ini ummat Islam keseluruhannya bermimpi pada siang hari apabila mereka berkehendakkan kepimpinan yang adil tetapi mereka tidak berusaha menjadi orang yang bertakwa. Sedangkan banyak di dalam hadis yang mulia, menyebutkan Allah s.w.t. melantik pemerintah bersesuaian dengan amalan penduduk bumi. Salah satu doa yang diajarkan kepada ummat ini yang menunjukkan dosa manusia ini akan menentukan pemerintah mereka:

“Ya Allah! Kami merayu kepadaMu janganlah Kau melantik penguasa keatas kami, disebabkan dosa-dosa kami orang-orang yang tidak belas kasihan terhadap kami.”

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-An’am ayat 129.


“Dan demikianlah kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi pemerintah bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan daripada dosa dan maksiat.”


Sekiranya mereka benar-benar bertakwa, Allah s.w.t. akan memilih pemimpin yang bertakwa juga untuk memimpin mereka. Sekiranya mereka tidak bertakwa, Allah s.w.t. akan memilih pemimpin yang tidak bertakwa dan zalim untuk menguruskan hidup mereka. Mereka benci dengan kezaliman pemimpin tetapi apabila pemimpin yang jahil ini menganjurkan majlis lalai dan maksiat mereka akan turut sama meramaikannya. Apabila mereka membuat derhaka kepada Allah s.w.t. maka Allah ta’ala akan melantik penderhaka yang lebih ganas untuk menzalimi diri mereka pula. Perlu ditegaskan di sini “Hanya dengan ketakwaan yang tinggi sahaja yang boleh menghancur dan menundukkan kesombongan dan kezaliman di muka bumi ini”, sebagaimana hancurnya kerajaan Namrud dan Firaun di tangan Nabi Allah Ibrahim a.s. dan Musa a.s.

Kesimpulannya, perlulah setiap individu ummat Islam pada hari ini kembali mempraktikkan agama Allah dengan mengikut contoh Rasulullah s.a.w. serta para sahabatnya. Cubalah mengamalkannya dengan kesungguhan hati, janganlah kita mengambil peduli dengan orang yang tidak mahu mengikutnya dan yang menentang. Pokoknya kita betulkan diri kita dengan Tuhan dahulu, kerana Allah s.w.t. memerintah ke atas tiap-tiap individu dahulu, barulah kepada orang yang lain sebagaimana firmanNya dalam surah at-Tahrim ayat 6:


“Wahai orang yang beriman peliharalah diri kamu…”

Allah s.w.t. menyebut tiap individu dulu, kemudian barulah disebut   dan “selepas itu selamatkan ahli kamu pula dari neraka”. Maknanya bermujahadahlah setiap individu itu untuk mencapai ke tahap takwa yang sampai ke darjah nafsu Mutmainnah sekurang-kurangnya, dari situ kekuatan iman yang ada pada dirinya akan mempengaruhi ahlinya. Janganlah kita asyik dan leka untuk membetulkan orang lain sehingga kita tidak ada masa untuk memikirkan tentang segala kecuaian yang ada dalam diri kita.


Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 44.


“Kenapakah kamu menyuruh orang lain membuat kebaikan walhal kamu telah melupakan diri kamu sendiri.”

Untuk mempraktikkan agama tidaklah perlu menunggu bilangan yang ramai. Sekiranya kita menunggu kuantiti, kita tidak akan mendapat kualiti. Kita akan diperbudak-budakkan oleh budak-budak dunia. Keseluruhan para Nabi dan Rasul bermula dari diri mereka sendiri dahulu.


Sultan Aulia’ Syaikh Abdul Qadir Al-Jilani menegaskan “Wahai hamba Allah kawallah bafsu kamu terlebih dahulu kemudian barulah mengawal nafsu orang lain. Sucikanlah nafsu kamu terlebih dahulu dan jangan ambil peduli dengan orang lain kerana anda terpaksa membersihkan banyak perkara. Ketahuilah diri anda sedang tengelam. Maka bagaimanakah kamu hendak menolong orang lain? Anda sendiri buta. Bagaimanakah kamu hendak menunjuk jalan kepada orang yang lain? Hanya orang yang pakar berenang yang boleh menyelamatkan orang lain dan hanya orang yang celik boleh memimpin orang yang buta. Hanya orang yang mempunyai ma’rifatullah yang boleh memimpin orang lain untuk mengenal Allah s.w.t. Bagaimana orang yang tidak ada ma’rifah hendak membawa orang lain mengenal Allah s.w.t.?

Daripada nasihat yang disampaikan Sultan Aulia’ ini, fahamlah kita seseorang itu tidak akan mendapat kemanisan iman, Islam dan ihsan dalam aturcara kekufuran dan kesyirikan, lebih-lebih lagi daripada aturcara Yahudi dan Nasrani. Kalaulah orang Islam yang fasik pun tidak boleh dipercayai, apatah lagi orang kafir.


Kesimpulannya kita tidak akan dapat melihat kejayaan dan merasa kemanisan iman sebagaimana salafus-soleh, melainkan kita perlu bersungguh-sungguh dalam Iman dan mengamalkan Amalan Soleh. Allah s.w.t. akan menganugerahkan kita kekuatan iman dan takwa sama seperti para Nabi, Rasul dan para Wali sekiranya kita mengikut landasan yang sama dengan mereka. Wajiblah keatas ummat Islam meninggalkan dan menjauhi fahaman-fahaman yang terkeluar daripada Ahli sunnah wal jamaah kerana fahaman dan aturcara musuh-musuh Allah tidak akan membuahkan takwa. Hanya orang-orang yang bertakwa sahaja yang mendapat petunjuk dari Al-Quran dan Sunnah serta diberi jalan-jalan keluar daripada ujian dunia, nafsu, syaitan, iblis dan kafir musyrikin. Mereka sahajalah yang boleh menyatukan ummat ini. Bagi orang-orang kafir pula Al-Quran itu akan menambahkan kerugian bagi mereka.

Firman Allah ta’ala,


“Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak di dalamnya, ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa”.
(Surah al-Baqarah ayat 2)


“Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, pastilah Allah membuka jalan-jalan keluar baginya (di dalam menghadapi ujian hidup di dunia)”.
(Surah al-Talaq ayat 2)



“Dan kami sentiasa menurunkan Al-Quran secara beransur-ansur. Ia adalah menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang mukmin dan sebaliknaya Al-Quran itu tidak menambahkan bagi orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua”.
(Surah al-Isra’ ayat 82)


Yang baik itu hanya semata-mata limpah kurnia Allah s.w.t. di bawah keberkatan Saiyidul Mursalin Muhammad Rasulullah s.a.w. dan dengan keberkatan kesultanan Syaikh Abdul Qadir al-Jilani dan 856 para Aulia’ pada abad ke 15 hijrah ini. Yang buruk dan salah itu disebabkan kekerohan dan kekaratan hati hamba yang lemah ini (penyusun) untuk memahami keagungan kalimah “La ila ha illallah Muhammadur rasulullah”.


Wallahu’alam.



Tamat artikel Asas Penyatuan Ummah.

Selasa, 11 Oktober 2011

Asas Penyatuan Ummah 4 : Mempraktikkan Syariat dan Thoriq mengikut acuan Ahli Sunnah wal Jamaah



Assalamu’alaikum..wrt,

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 31.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) jika kamu semua mencintai Allah maka hendaklah kamu semua mengikuti Aku (Rasulullah s.a.w.)”

Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 119.


“Wahai orang mukmin hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan juga hendaklah kamu bersama dengan para ‘siddiqin’.”

Sebuah hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi dari Abu Najih Al-‘Irbad bin Sariyah r.a., beliau berkata : “Rasulullah s.a.w. memberikan nasihat kepada kami yang membuat hati kami bergetar dan bercucuran air mata. Maka kami bertanya, ‘Ya Rasulullah! Seolah-olah nasihat ini nasihat yang terakhir, maka berilah kami wasiat. Nabi s.a.w. bersabda : “Aku wasiatkan kamu agar tetap bertakwa kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia, serta patuhlah dan taat kepada pemimpin walaupun yang berkuasa ke atasmu seorang hamba sahaya. Dan barang siapa yang hidup di antara kamu selepas aku, akan melihat banyak sekali perselisihan (ideologi). Oleh itu wajib atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa ur-rasyidin (para Siddiqin Al-Muqarrabin) yang sentiasa dibimbing oleh Allah (dalam memahami Iman, Islam dan Ihsan) dan gigitlah akannya dengan geraham-gerahammu dan jauhilah segala hal yang diada-adakan dalam agama, kerana sesungguhnya semua bida’ah (selain jalan para Nabi, Rasul dan para Wali Allah / Assidiqqin) itu adalah  sesat.


Dalam kita menuju “Mardhotillah” untuk mendapat kecintaan dari Allah s.w.t. dan selamat dari kesesatan, tidak boleh tidak mestilah mengikut saluran syariat dan thoriq Ahli sunnah wal jamaah. Setiap aturcara hidup dan ibadat yang tidak mengikut acuan Ahli sunnah wal jamaah tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Tidak akan ujud ketenangan, kedamaian, keamanan, keunggulan, kesempurnaan, kehebatan dan perpaduan apabila ummat ini menjauhi dan meninggalkan Syariat dan Thoriq Ahli sunnah wal jamaah. Yang akan ujud hanyalah kemurkaan dan kelaknatan daripada Allah s.w.t. yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Contohnya sebagaimana yang telah Allah s.w.t. hancurkan ummat para Nabi yang terdahulu apabila mereka meninggalkan dan menjauhi susunan yang Allah s.w.t. bangkitkan kekasih-kekasihNya. Semasa peperangan Uhud, tentera Islam mendapat kekalahan walaupun Rasulullah s.a.w. hidup dan turut berperang bersama mereka, kerana mereka telah meninggalkan perintah Baginda s.a.w.


Sejarah juga telah membuktikan apabila ummat Islam mendapat kehinaan daripada Allah s.w.t. melalui bangsa Mongol, iaitu apabila mereka meninggalkan segala ajaran Rasulullah s.a.w. Bangsa Mongol yang dipandang hina pada masa itu telah meranapkan empayar Islam. Mereka telah meranapkan kerajaan Abbasiah dan Khawarizam yang pada zaman itu merupakan tempat kegemilangan tamadun dunia.


Begitu juga kerajaan Islam di Sepanyol semuanya musnah apabila ummat Islam mula meninggalkan Kitabullah dan Sunnah Rasul s.a.w. Mereka mula membuat kemungkaran dengan nikmat yang Allah s.w.t. anugerahkan. Apabila nikmat tidak digunakan mengikut saluran syariat dan thoriq Ahli sunnah wal jamaah, itu bukan dinamakan syukur tetapi kufur namanya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim ayat 7:


“Dan (ingatlah) apabila Tuhanmu memaklumkan, “Sekiranya kamu bersyukur, pastilah Aku tambahi nikmat bagi kamu dan jika kamu kufur sesungguhnya azabKu sangat pedih.”

Sabda Rasulullah s.a.w.: “ Apabila manusia mula menonjol-nonjolkan ilmu walhal mengabaikan ‘praktikalnya’, berkasih sayang di mulut tetapi bermusuhan di dalam hati dan memutuskan silaturrahim. Allah s.w.t. akan melaknat mereka disebabkan perbuatan tersebut dan mereka akan menjadi tuli dan buta (tidak mendengar dan melihat kebenaran lagi dan hiduplah di dalam kesesatan).”
(Ruj; Buku Kesan-kesan Dosa)


Berbalik kepada keadaan ummat Islam semasa kehinaan yang mereka temui di tangan bangsa Mongol, pada masa yang sama Allah s.w.t. telah memilih sebahagian dari ummat Islam yang lain untuk menyekat kemaraan keganasan tentera Mongol yang terdiri daripada kalangan hamba sahaya, iaitu golongan Mamluk. Kenapa Allah s.w.t. memilih mereka? Kerana mereka ini telah berpegang teguh dengan salah seorang Khulafa ur-Rasyidin Al-Mahdiyin di zaman itu, iaitu Sultanul-Ulama’ Syeikh I’zuddin bin Abd As-Salam. Ditangan Allah s.w.t. lah kemuliaan dan kehinaan seseorang itu.

Allah s.w.t. memuliakan seseorang apabila dia hidup dengan Agama Allah s.w.t. mengikut acuan Ahli sunnah wal jamaah. Jika mereka berbuat sebaliknya, Allah s.w.t. akan menimpakan kehinaan di dunia dan di akhirat. Doa-doa mereka tidak lagi dimakbulkan kerana doa itu hanya menjadi senjata kepada golongan yang benar-benar mukmin di sisi Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Doa itu hanya menjadi senjata bagi orang yang beriman”
(Riwayat al-Bukhari)


Orang mukmin tidak berani melanggar batas-batas garisan syariat dan thoriq. Syariat dan thoriq akan mengangkat seseorang ke makam “ihsan”.

Apabila hilangnya syariat dan thoriq dalam kehidupan seseorang manusia tidaklah ia mencapai tahap yang paling tinggi dan sempurna dalam agama Allah s.w.t iaitu “Makam Ihsan”.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Ihsan itu kamu memperhambakan diri kamu kepada Allah s.w.t. seolah-olah kamu melihatNya, sekiranya kamu tidak mampu melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu.”
(Hadis riwayat Muslim)


Apabila tidak ujudnya ihsan dalam diri setiap individu yang mengaku muslim, maka dia akan membuat andaian terhadap agama Allah s.w.t. di atas pemikiran dan acuan yang terkeluar dari Ahli sunnah wal jamaah. Mereka akan memahami Al-Quran dan Sunnah mengikut fahaman perasaan mereka yang bercampur aduk dengan nafsu kebinatangan mereka, bahkan mereka ini lebih sesat dan hina lebih daripada haiwan dan lebih bahaya daripada “dajjal”. Maka tertutuplah pintu Rahmat dari Allah s.w.t. dan terbukalah pintu kehinaan dari Allah s.w.t. akibat daripada usaha tangan mereka sendiri. Mereka akan menjual agama mereka kerana  mahukan habuan dunia. Walhal dunia ini tidaklah bernilai di sisi Allah walaupun sekadar sebelah sayap nyamuk.
Tercatat dalam sejarah peradaban manusia, tentang keteguhan Iman seorang hamba Abdi yang berkulit hitam, Saidina Bilal r.a. Beliau lebih rela jasadnya dikenakan berbagai-bagai siksaan daripada tunduk kepada kekufuran dan kesyirikan. Tetaplah beliau mentauhidkan Allah s.w.t., untuk menyerah dan mengikut kemahuan musuh Allah s.w.t. tidak sama sekali. Akhirnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah menebusnya daripada tuannya yang zalim dan memerdekakan Bilal r.a. semata-mata kerana Allah s.w.t.


Telah berfirman Allah s.w.t. dalam surah al-Fath ayat 29, “Muhammad itu hanya seorang utusan Allah dan orang-orang yang beserta dengannya tidak tunduk kepada kekufuran dalam segenap aspek dan segenap sel, serta menunai dan memelihara hak-hak orang mukmin dan muslim.”

Inilah natijah yang akan diperolehi apabila mengikut saluran syariat dan thoriq yang Allah s.w.t. utuskan para Nabi dan Rasul a.s.w.slm, iaitu “tidak akan diperbudak-budakkan oleh budak-budak dunia.”


Sekiranya seseorang itu hanya mengamalkan zahir syariat sahaja tanpa thoriq. Maka jiwanya tidak akan terbentuk sebagai jiwa para sahabat r.ahum. Jiwanya kosong dari tauhid. Zahirnya nampak soleh tetapi batinnya toleh. Jadilah mereka orang yang fasik dan munafik. Dalam kefasikan tidak akan ada permaufakatan dan bimbingan dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 108,


 “Hendaklah kamu semua bertakwa kepada Allah dan taatlah kepada perintahnya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (orang yang terkeluar dari garisan ahli sunnah wal jamaah).”

Mereka akan membuat kerosakan dibumi Allah s.w.t. ini. Tetapi pada sangkaan mereka, mereka sentiasa membuat kebajikan.

Telah berfirman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 11 dan 12,


“Dan bila dikatakan pada mereka (para munafikin) “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi” Mereka menjawab “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan kebaikan”. Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang melakukan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

Di sinilah kepentingan thoriq, iaitu untuk menyedarkan dan membuka segala kelemahan dan keburukan diri sendiri. Apabila dia sedar bahawa dirinya ada kelemahan maka dia akan cuba memperbaikinya. Kerana thoriq ialah mempraktikkan zahir syariat yang diambil dari ulama’ solehin di bawah pengawasan Ahli Makrifah, iaitu orang yang telah sampai ke makam Ihsan. Sebagaimana para sahabat telah diawasi oleh Ahli Makrifah yang paling agung dan sempurna, Saiyidul Mursalin Muhammad s.a.w.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 151,


“Sebagaimana kami telah mengutus seorang utusan dari golonganmu yang dapat mambacakan ayat-ayat kami (mengkhabarkan tanda-tanda keagungan dan keesaan Kami) kepada kamu dan menyucikan jiwa-jiwa kamu (dari kekufuran dan kesyirikan) dan mengajarkan kamu Al-Kitab (Al-Quran) dan hikmah (sunnah Rasul yang zahir dan batinnya) dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui sebelum ini (iaitu mengatur kehidupan dengan berlandaskan agama tauhid supaya ia menjadi bekal untuk hari akhirat yang dulunya kamu hidup dalam kegelapan, kesyirikan dan kekufuran).”

Kenapa para sahabat mendapat kekuatan iman yang cukup mantap? Jawapannya kerana mereka mengambil agama daripada seorang manusia yang telah suci dari kerakusan dan kejahatan nafsu, orang yang berjiwa kemalaikatan, kekasih Allah s.w.t., makhluk yang paling sempurna pengenalannya kepada Allah s.w.t., iaitu Rasulullah s.a.w.


Masyarakat Islam pada hari ini menjadi porak peranda kerana mengambil agama bukan dari Ahli Makrifat. Ahli Makrifat ini telah berjaya memproses jiwanya dari kekotoran zulmah nafsu syahwat dan mereka mengenal bisikan dan hasutan iblis dan syaitan. Merekalah orang yang ikhlas kerana mereka dapat menghayati ‘la hau la wa la qu wata illa billah’ dalam setiap aspek hidup dan ibadah. Inilah yang dinamakan para Ahlullah atau Aulia’ Allah. Mereka ini dapat memahami agama kerana mereka mengambil agama daripada Aulia’ yang lebih dahulu dari mereka yang mana sanad sisilahnya sampai kepada Khatimul Anbia’ Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w. pula menerimanya daipada Allah s.w.t. dengan perantaraan malaikat Jibril a.s.

Kesimpulannya mereka mengambil agama ini daripada seorang kekasih Allah kepada kekasih Allah sehingga sampai kepada kekasih Allah yang paling Agung. Mereka tidak mengambil agama Allah s.w.t. daripada manusia yang masih dibelenggu oleh nafsu dan iblis yang sentiasa derhaka kepada Allah s.w.t. Maka inilah punca masyarakat Islam menjadi haru biru kerana mengambil agama bukan daripada para Aulia’.


Perlulah kita memahami dengan mendalam kerana agama Allah s.w.t. tidak diwahyukan kepada manusia yang berjiwa kotor. Semua para Nabi dan Rasul tidak terpengaruh oleh unsur-unsur ganas nafsu haiwan dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada lagi kenabian. Maka tugas menghayati dan mempraktikkan agama ini diteruskan oleh para sahabat r.a.hum yang telah memproses dirinya supaya berbetulan dengan apa yang Allah s.w.t. telah bangkitkan Rasul di bawah asuhan Baginda s.a.w. Selepas itu tugas ini diteruskkan oleh tabiin, tabi ul tabien sehinggalah hari kiamat. Mereka ini semuanya telah memproses, memperbaiki diri mereka mengikut susunan dan aturcara yang sama dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya, sehingga mereka pun terselamat dari kongkongan nafsu dan kesyirikan. Agama Islam ini tidak boleh difahami dengan kegelapan nafsu, ia mestilah difahami dengan nafsu-nafsu yang telah disucikan daripada kekerohan syirik dan kufur sekurang-kurangnya pada peringkat nafsu Mutmainnah.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Waqiah ayat 79,


“Tidak boleh menyentuhnya (Al-Quran) melaikan orang-orang yang telah menyucikan dirinya.”  Adapun sebahagian maksud yang tersirat didalam ayat ini. “Tidaklah dapat memahami nur dan mukjizat Al-Quran melainkan orang-orang yang telah bebas daripada kerakusan nafsu-nafsu yang ganas, kesyirikan dan kekufuran iaitu orang yang telah sampai ke makam Ihsan.”

Sebab itulah Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada para mukmin supaya menyertai “hambaNya yang Siddiqin”.


“Wahai orang-orang mukmin bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu menyertai para siddiqin.”

Nabi Muhammad s.a.w. yang sangat mengasihi ummatnya telah memberi satu garis panduan kepada ummatnya dalam urusan mengambil dan menerima agama, sabagaimana satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seseorang itu beragama sama seperti orang yang ia kasih. Oleh itu hendaklah di kalangan kamu memerhati siapakah yang patut dikasihinya.”


Sekiranya dia mengambil agama dari orang yang Allah s.w.t. kasih maka dia akan beragama seperti kekasih Allah. Tetapi sekiranya ia mengambil agama dari orang fasik, maka dia akan beragama seperti orang yang derhaka kepada Allah s.w.t.

Bersambung …. InsyaAllah ta’ala.

Wallahu’alam.