Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 25 Oktober 2012

Korban


Selamat menyambut hari raya haji/korban/aidil adha


Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Rabu, 24/10/2012M bersamaan 08/12/1433H. InsyaAllah dua hari lagi seluruh umat Islam akan merayakan Aidil Adha atau hari Raya Korban. Hari Raya Haji juga dinamakan oleh kebanyakan umat Islam. 

Istimewanya Hari Raya Haji/Korban tahun ini kerana akan disambut pada hari Jumaat (penghulu segala hari), dikenali juga 'Haji Akbar' di mana Solat Subuh pagi Jumaat di kebanyakan masjid  ahli jemaah akan bersujud sajadah, kemudian dalam waktu Dhuha umat Islam beramai-ramai akan bersolah sunat Aidil Adha, selepas itu ibadah KORBAN akan dilaksanakan dan kemuncaknya Seluruh umat Islam lelaki akil baligh akan solat Jumaat di Masjid seluruh dunia. Dan ibadah korban akan diteruskan hingga sebelum terbenam matahari 13 Zulhijjah 1433H. InsyaAllah.

Pata tahun 2009M juga hari Raya Haji disambut pada hari Jumaat.....'Haji Akbar'..... ada suatu peristiwa besar bakal berlaku.... wallahu'alam.


KORBAN - Menurut Mazhab Syafie.

Pengertian Korban

Korban ialah binatang yang disembelih yang terdiri daripada unta, lembu atau kambing untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala pada hari raya Haji.


Dalil Disyariatkan Korban

Dalil disyariatkannya ialah firman Allah Azzawajjala :

Maksudnya:
“Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai tanda syukur)”

(Surah Al-Kauthar 108:2)
Maksud berkorbanlah mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban.

Al-Bukhari (5245) dan Muslim (1966) meriwayatkan :

Nabi s.a.w. telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda s.a.w. menyembelih kedua-duanya dengan tangannya sendiri dan Baginda s.a.w. telah menyebut Nama Allah, bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut.


Hikmah Disyariatkan Korban

Seharusnya diketahui bahwa korban merupakan satu ibadah kepada Allah Ta'ala, dan hikmah serta faedah bagi sesuatu ibadah (selain dari hikmahnya untuk menyatakan pengabdian diri dan tunduk kepada Allah) merupakan satu perkara yang pasti ada pada setiap ibadah-ibadah yang disyariatkan.

Di antara hikmah yang paling unggul dan jelas yang berkaitan dengan ibadah korban ialah untuk menghidupkan erti pengorbanan yang besar sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Ayahnda Ibrahim a.s., ketika Allah Ta'ala mengujinya dengan perintah supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah Ta'ala menebusnya dengan suatu penyembelihan yang agung iaitu seekor kibasy yang diturunkan oleh Allah Ta'ala dan memerintahkan Ayahnda Ibrahim a.s. menyembelihnya (sebagai tebusan kepada anaknya). Semuanya berlaku setelah Ayahnda Ibrahim a.s. dan anaknya Ismail a.s. berusaha melaksanakan perintah Allah Ta'ala dengan keimanan yang benar dan yakin.

Selain daripada hikmah tersebut, ibadah korban juga mengandungi pengertian pertolongan kepada orang-orang fakir dan orang yang memerlukan pertolongan. Serta dapat menambah rasa gembira kepada mereka, ahli keluarga dan tanggungan pada hari raya. Dengan itu, akan lahirlah ikatan persaudaraan Islam yang kuat antara individu dalam masyarakat Islam dan dapat menanam semangat hidup bermasyarakat dan rasa kasih sayang ke dalam hati mereka.



Hukum Korban

Hukumnya ; Sunat Muakkad dan boleh menjadi wajib dengan dua sebab,

Pertama : Apabila seseorang mengisyaratkan kepada binatang-binatang yang sesuai untuk korban yang menjadi miliknya. Seperti dia menyatakan : "Ini korbanku" atau "Aku akan korbankan kambing ini", ketika itu korban manjadi wajib ke atasnya.

Kedua : Apabila dia mewajibkan ke atas dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala dengan korban. Seperti dia berkata : "Wajib ke atasku korban kerana Allah". Ketika itu, korban menjadi wajib ke atasnya sebagaimana jika dia mewajibkan mana-mana ibadah lain ke atas dirinya kerana perbuatan tersebut merupakan nazar yang wajib ditunaikan.


Siapakah yang Dituntut Supaya Berkorban?

Sesungguhnya korban disunatkan kepada sesiapa yang mempunyai syarat-syarat berikut,

1) Islam : Oleh itu ia tidak ditujukan kepada orang yang bukan Islam.

2) Baligh dan berakal : Oleh itu orang yang belum baligh dan tidak berakal, gugur taklif tersebut daripadanya.

3) Berkemampuan : Dengan memiliki harta yang lebih untuk korban iaitu melebihi daripada nafkah untuk dirinya dan mereka yang di bawah tanggungannya sama ada makanan, pakaian dan tempat tinggal, pada hari raya dan hari-hari Tasyrik.


 


Binatang yang Disyariatkan untuk Korban

Tidak sah korban kecuali dengan unta atau lembu (kerbau) atau kambing. Ini berdasarkan firman Allah Ta'ala ;


    Maksudnya:
    "Dan bagi tiap-tiap umat Kami syari‘atkan penyembelihan  (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”
    (Surah Al-Hajj 22:34)

Perkataan binatang ternakan sebagaimana dalam ayat di atas bermaksud tidak terkeluar daripada 3 jenis binatang ternakan iaitu unta, lembu dan kambing.

Juga berdasarkan bahwa tidak dinaqalkan/diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat r.hum bahwa mereka berkorban dengan binatang lain.

Yang paling afdhal ialah unta, kemudian lembu, kemudian kambing.

Harus korban dengan satu bahagian daripada tujuh bahagian unta dan lembu (seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian).

Diriwayatkan daripada Muslim (1318), daripada Jabir r.a. katanya :

"Kami melakukan korban bersama Rasulullah s.a.w. pada tahun Hudaibiyah dengan dibahagikan seekor unta kepada tujuh bahagian dan seekor lembu juga dibahagikan kepada tujuh bahagian."

Kalimah unta di sini adalah termasuk unta jantan dan betina.


Syarat-syarat binatang korban

i) Umur : Syarat bagi unta mestilah umurnya sudah memasuki tahun keenam dan syarat bagi lembu dan kambing (al-Maiz) mestilah umurnya sudah memasuki tahun ketiga.

Manakala syarat bagi kambing biri-biri (al-Dho'nu), mestilah umur sudah masuk tahun kedua atau gigi hadapannya telah gugur (kerana bersalin) walupun belum sampai satu tahun. Ini berdasarkan hadis riwayat Ahmad (2/245) daripada Abu Hurairah r.a. katanya, aku mendengar rasulullah s.a.w. bersabda : 
"Sebaik-baik binatang korban ialah kambing biri-biri yang berusia dua tahun."

ii) Selamat (tidak cacat) : Ketiga-tiga jenis binatang ternakan di atas mestilah tidak mempunyai kecacatan yang boleh menggurangkan dagingnya. Oleh itu kambing yang telah tiada otaknya disebabkan terlalu kurus, adalah tidak memadai untuk dikorbankan. Begitu juga binatang yang nyata tempangnya atau yang buta sebelah mata atau sakit atau yang terpotong sebahagian telinganya. Semua keadaan tersebut tidak memadai dan tidak sah untuk dibuat korban.

At-Tirmizi (1497) dan Abu Daud (2800) meriwayatkan daripada Al-Barra' bin Azib daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya :
"Empat perkara yang menyebabkan binatang korban tidak memadai (tidak sah) untuk dikorbankan. Yang jelas matanya buta sebelah, yang jelas sakitnya, yang jelas tempangnya dan yang terlalu kurus hingga tidak berotak".

Keaiban yang disebutkan di atas diqisaskan kepada semua jenis keaiban yang seumpamanya yang boleh menyebabkannya kurus dan kurang dagingnya.


Waktu Korban

Waktunya bermula selepas terbit matahari hari raya haji sekadar sempat ditunaikan dua rakaat sembahyang dan dua khutbah. Kemudian berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari tasyrik 11, 12, dan 13 Zulhijjah.

Waktu Afdhal untuk menyembelih ialah selepas selesai solat hari raya. Disebutkan dalam hadis riwayat Al-Bukhari (5225) dan Muslim (1961):
"Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini (hari raya) ialah kami sembahyang. Kemudian kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melaksanakan sunnah kami. Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya bukan untuk ibadah korban sedikit pun."

Makna perkataan : "Sesiapa yang telah menyembelih sebelum itu" ialah sebelum masuk waktu sembahyang hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar yang sempat didirikan sembahyang.

Ibnu Hibban (1008) meriwayatkan daripada Jabir bin Mut'in r.a. katanya : Sabda Rasulullah s.a.w. : 
"Setiap hari Tasyrik adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih)" 


Apa yang Dibuat dengan Korban Selepas Disembelih

Sekiranya korban itu wajib; sama ada dengan nazar atau ditentukan sebagaimana yang telah  dijelaskan, maka tidak harus bagi orang yang melakukan korban dan mereka yang di bawah tanggungannya memakan daging korban tersebut. Sekiranya salah seorang daripada mereka memakan sedikit daripadanya, maka hendaklah diganti dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian (sekadar daging yang dimakan).

Sekiranya korban itu sunat, narus baginya makan sekadar yang dikehendaki dengan syarat dia hendaklah bersedekah sedikit daripadanya. Yang paling afdhal ialah makan sedikit untuk keberkatan dan bakinya disedekahkan. Harus baginya makan satu pertiga, dan sati pertiga disedekahkan kepada fakir dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada sahabat-sahabat dan jiran-jiran sekalipun mereka adalah orang kaya.


Walau bagaimanapun, apa yang diberikan kepada orang kaya adalah hadiah untuk dimakan dan mereka tidak boleh menjualnya. Dan apa yang diberikan kepada orang fakir adalah untuk dimiliki. Oleh itu dia bebas, sama ada hendak memakannya atau menjualnya.

Dalilnya ialah firman Allah Ta'ala :


"Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila ia telah roboh (mati) maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur."
(Surah Al-Hajj ayat 36)

Perkataan unta (al-Budnu) yang terdapat di dalam al-Quran iaitu binatang unta yang disembelih oleh orang yang berihram haji untuk dihadiahkan kepada fakir miskin. Dan diqiaskan binatang-binatang korban yang lain dengannya.

Bagi orang yang berkorban, dia boleh sedekahkan kulit binatang korbannya atau dimanafaatkan untuk dirinya. Tetapi tidak boleh dijual atau diberi kepada penyembelih binatang korban sebagai upah kepada penyembelihannya. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadah korbannya.

Al-Baihaqi (9/294) meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. sabdanya : 
"Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya maka tidak ada korban baginya."


Sunat dan Adab-adab Ibadah Korban

Pertama : Apabila masuk 10 Zulhijjah dan dia berazam melakukan ibadah korban, dia disunatkan untuk tidak menghilangkan bulu atau memotong kuku. Oleh itu, dia hendaklah menjaga bulu dan kukunya dengan baik. Imam Muslim (1977) meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. sabdanya :
"Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin melakukan ibadah Korban, maka hendaklah dia tidak menghilangkan bulu dan kukunya."

Kedua : Disunatkan kepada orang yang berkorban menyembelih binatang korbannya sendiri. Sekiranya dia tidak boleh melakukannya kerana uzur atau lain-lain, maka dia hendaklah hadir bersama menyaksikan penyembelihan yang dilakukan.
Al-Hakim (4/222) meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Fatimah r.a.
"Bangunlah kepada korbanmu dan saksikanlah ia kerana sesungguhnya (dengan tertitisnya) titisan darah yang pertama maka akan diampunkan dosamu yang terdahulu. Fatimah bertanya : Wahai Rasulullah, ini adalah untuk kita Ahlil Bait sahaja atau untuk kita dan orang-orang Islam seluruhnya? Rasulullah menjawab : Bahkan untuk kita dan untuk orang-orang Islam seluruhnya."

Ketiga : Sunat bagi hakim (pemerintah) orang-orang Islam atau pemimpin mereka untuk berkorban menggunakan harta Baitul Mal bagi pihak orang-orang Islam. Sesungguhnya diriwayatkan daripada Muslim (1967) :
"Rasulullah s.a.w. telah korbankan seekor kibasy. Dan Baginda mengucapkan semasa sembelih : Dengan nama Allah, Ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan umat Muhammad. Baginda menyembelih di tempat sembahyang, di mana orang ramai berkumpul untuk sembahyang. Dan Baginda menyembelih binatang tersebut dengan tangan Baginda sendiri."

Al-Bukhari meriwayatkan di dalam sahihnya (5232) daripada Ibnu Umar r.a. katanya :
"Rasulullah s.a.w. menyembelih (binatang korbannya) di tempat didirikan sembahyang."

Wallahu'alam....

Ibadah qurban menurut pandangan Islam

IBADAT KORBANclik


Korban

Jumaat, 12 Oktober 2012

Sifat-sifat ahli nafsu yang Tujuh



Assalammu’alaikum…wrt, hari ini Khamis 11/10/2012M bersamaan 25/11/1433H marilah sama-sama kita merenung ke dalam diri kita yakni bermuhasabah di tingkat (darjah) manakah kedudukan nafsu diri kita masing-masing berpandukan beberapa sifat-sifat ahli nafsu yang hamba nukilkan pada artikel kali ini.


Pertama : Nafsu Ammarah

1.      Bakhil
2.      Tamak dan labakan harta dunia
3.      Panjang angan-angan
4.      Sombong takabbur
5.      Ingin dan kasihkan kemegahan
6.      Ingin namanya terkenal masyhur
7.      Hasad dengki
8.      Dendam kesumat
9.      Khianat dan niat jahat
10. Bertabiat lalai kepada Allah Ta’ala
11. Dan lain-lain sifat mazmumah (sifat tercela)


Kedua : Nafsu Lawwamah

1.      Mencela kepada kesalahan diri sendiri
2.      Bertabiat berfikir (bertafakkur)
3.      Terdapat perasaan kecut hati bila bersalah
4.      Terdapat perasaan mengkritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan
5.      Hairan kepada diri sendiri kerana disangka dirinya lebih baik (ujub)
6.      Membuat suatu kebajikan kerana hendak memperlihatkan kepada orang (ria’)
7.      Memperdengar kepada orang suatu pujian yang dibuatnya supaya mendapat pujian orang (sumaah)
8.      Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat keaiban hati


Ketiga : Nafsu Mulhamah

1.      Tak sayangkan harta (sakhawah)
2.      Berasa cukup dengan kurniaan harta yang ada (kanaah)
3.      Berilmu laduni atau ilham
4.      Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (tawadhuk)
5.      Taubat yang benar-benar (hakiki)
6.      Sabar yang hakiki
7.      Tahan menanggung kesusahan
8.      Dan lain-lain daripada sifat yang terpuji


Keempat : Nafsu Mutmainnah

1.      Murah hati dan tak lekat wang di tangan kerana bersedekah
2.      Tawakkal yang benar
3.      Bersifat arif dan bijaksana
4.      Kuat beribadat
5.      Syukur yang benar
6.      Ridha pada segala hukuman Allah Ta’ala
7.      Takwa yang benar
8.      Dan lain-lain lagi daripada sifat hati yang waja lagi terpuji


Kelima : Nafsu Rodhiah

1.      Zahid
2.      Ihklas
3.      Warak
4.      Tinggalkan perkara-perkara yang bukan kerjanya
5.      Tunai dan tegakkan hokum-hukum Allah Ta’ala
6.      Dan lain-lain lagi daripada sifat kerohanian yang tinggi-tinggi


Keenam : Nafsu Mardhiyyah

1.      Elok dan tinggi budi dan kesusilaan, umpama Nabi-nabi
2.      Lemah lembut dalam pergaulan masyarakat ramai sebagaimana perangai Nabi-nabi
3.      Sentiasa rasa selesa berdamping dengan Allah Ta’ala
4.      Sentiasa berfikir pada kebesaran Allah Ta’ala
5.      Ridha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah Ta’ala
6.      Dan lain-lain lagi daripada sifat budi kesusilaan yang terpuji


Ketujuh : Nafsu Kamil

Ibarat Emas Bermutu Sepuluh.


Kata-kata hikmah dan nasihat Allahyarham Ayahnda Syeikh Mahmud al-Majzub untuk renungan kita bersama.

Orang yang hendak perjuangkan agama tetapi dia tidak ke mana-mana (yakni masih diselubungi dengan hawa nafsu syahwat), mereka ini semua akan menjadi ‘perosak agama’.

Agama ialah bersifat peribadi dengan sifat peribadi Rasulullah s.a.w. dan membuat amalan soleh.

Buat zikir, istigfar, selawat dan semua perintah Allah s.w.t. bukannya hendak ubah atau menolak Qodho Allah, tetapi adalah untuk kita mendapat sifat Redho dengan Qodho Allah Ta’ala.

Nafsu Mutmainnah ialah nafsu yang tak ada sifat-sifat yang keji dan sudah bersih daripada sifat-sifat yang ganas.

Selagi mana tak sampai (darjah) nafsu Mutmainnah, selama itulah kamu tak faham Al-Quran dan Hadis.

Mengapa manusia mudah terpengaruh dengan suasana kekufuran dan kesyirikan? Sebab mereka masih duduk dalam nafsu Ammarah. Nafsu yang penuh kekufuran.

Orang yang ikhlas dibenci oleh orang nafsu Ammarah.

Tiada makhluk Allah Ta’ala yang paling biadab melainkan nafsu Ammarah. Apa yang Tuhan beri, dia tak mahu dan apa yang Tuhan tak beri, dia mahu. Apa yang Tuhan suruh, dia tak buat dan apa yang Tuhan larang, dia buat!

Nafsu Ammarah mana ada redho sebab dia durhaka dengan Allah Ta’ala.


Mujahadah, ialah menundukkan nafsu untuk mengikuti garisan syariat dan toriq serta meninggalkan keinginan nafsu dalam setiap aspek kehidupan.

Kalau orang kata kamu jahat. Kamu jangan marah. Kalau kamu marah, maknanya kamu memang jahat.

Berzikir, beristigfar dan berselawatlah, sehingga menjadi darah daging. Dikatakan menjadi darah daging, ialah setiap sel-sel kita tunduk kepada keagungan dan kebesaran Allah Ta’ala, sebagaimana pengakuan yang Roh Latifah Robbaniah telah buat di alam Roh dahulu.

Wallahu’alam…

Sekian wassalam.

Jumaat, 5 Oktober 2012

Sentuhan Kisah Ayahnda Luth a.s sebagai pengajaran


Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Jumaat 05/10/2012M bersamaan 19 Zulkaedah 1433H. Pada artikel kali ini hamba coretkan kisah Ayahnda Luth a.s. sebagai renungan bersama dan semoga sama-sama kita memohon keampunan kepada Allah Ta'ala dan memohon perlindungan-Nya dari perbuatan buruk kaum Luth dan mohon dijauhkan azab siksa seperti yang ditimpakan kepada penduduk negeri Sodom.

Dalam artikel yang lalu telah diceritakan bahwa Nabi Ibrahim a.s. berhijrah dari Kota Harran yang terletak di bahagian utara Mesopotamia menuju ke Palestina dengan ditemani isterinya Sarah a.s. dan orang-orang yang beriman, di antaranya adalah Luth bin Haran anak saudaranya.

Kemudian, setelah tersebarnya bencana kelaparan di Palestina, berangkatlah keluarga Nabi Ibrahim a.s. dan Ayahnda Luth a.s. menuju Mesir. Dan setelah benturan-benturan kelaparan itu mereda, keduanya kembali dari Mesir dengan membawa banyak binatang-binatang ternak yang telah dihadiahkan kepada mereka oleh Raja Mesir.


Oleh kerana padang-padang tempat mengembala telah sempit, tidak cukup untuk ternak-ternak mereka yang banyak itu, dan kerana perkara itu telah menimbulkan perkelahian antara para pengembala Ayahnda Ibrahim a.s. dan para pengembala Ayahnda Luth a.s. Ayahnda Ibrahim a.s. berpendapat untuk membahagi tanah bersama Ayahnda Luth a.s. demi menjaga perselisihan. Maka Ayahnda Ibrahim a.s. menyerahkan kepada Ayahnda Luth a.s. untuk memilih tanah yang sesuai baginya. Kemudian Ayahnda Luth a.s. memilih daerah Yordan yang kemudian di situ berdiri dua kota, Sodom dan Amurah. Ayahnda Luth a.s. bermukim di Kota Sodom.

Penduduk kota Sodom adalah manusia-manusia paling durhaka dan paling kufur, dan paling buruk perangainya. Mereka selalu menghadang di jalan untuk merompak, mengunjungi tempat-tempat kemungkaran dan tenggelam di dalam kemungkaran yang mereka lakukan. Dan mereka telah menciptakan suatu kekejian yang belum pernah dilakukan oleh seseorang di antara manusia sebelum mereka, yaitu liwat (homosex). Oleh kerana itu, Allah s.w.t. mengutus nabiNya Luth a.s. dengan membawa risalah Ilahi untuk memberikan petunjuk kepada mereka dan memperingatkan akan keburukan perbuatan mereka.


Risalah Ayahnda Luth a.s.


Ayahnda Luth a.s. mengajak kaumnya untuk beriman kepad Allah s.w.t. dan menakut-nakuti mereka akan azab Allah Ta’ala dan menyuruh mereka untuk meninggalkan maksiat-maksiat dan kemungkaran-kemungkaran. Ayahnda Luth a.s. berkata kepada mereka, “Sesungguhnya aku adalah Rasul kepercayaan yang diutus Allah Ta’ala kepada kamu untuk menyampaikan risalah-Nya dan takutlah akan azab Allah Ta’ala, kerjakanlah perintahku yang aku serukan kepadamu, dan aku tidak meminta balasan dari kamu atas petunjuk dan bimbingan yang telah aku berikan kepadamu, kerana balasanku hanyalah dari Allah s.w.t. Raja dan Pemelihara alam semesta. Maka tidaklah patut bagi kamu untuk merusak tabiat-tabiat kamu dan menyalahi aturan hidup yang alami, sehingga kamu berbuat kekejian dengan kaum laki-laki, dan meninggalkan wanita-wanita yang diciptakan Allah Ta’ala untuk menjadi isteri-isteri kamu, kerana sesungguhnya tabiat itu adalah agar laki-laki mengadakan hubungan dengan wanita. Maka mengapakah kamu merusakan tabiat-tabiat kamu dengan melakukan kemungkaran itu? Sesungguhnya kamu benar-benar telah melampaui batas dengan melakukan maksiat ini.”

Akan tetapi, kebanyakan daripada mereka tidak mengikuti seruan Ayahnda Luth a.s., mereka malah mengancamnya, seraya berkata, “Jika kamu tidak berhenti menjelek-jelekkan kami, niscaya kami akan mengusirmu dari negeri kami ini”. Ayahnda Luth a.s. menjawab, “Sesungguhnya aku mengingkari apa yang kamu kerjakan dan membenci apa yang kamu lakukan.”

Rujuk Al-Quran surah Al-Isra’ ayat 160-168, dan Surah Al-Ankabut ayat 28-29.


Para Malaikat menuju Kota Sodom.



Dalam kisah Nabi Ibrahim a.s yang lalu telah diceritakan bahwa para malaikat telah turun kepadanya sebagai tetamu yang menjelma sebagai anak-anak muda, dan di antara yang dikhabarkan kepadanya adalah bahwa mereka akan pergi menghancurkan kaum Nabi Luth a.s. kerana perbuatan mereka yang keji.

Hati Nabi Ibrahim a.s. tergoncang ketika ia mengetahui bahwa para malaikat akan menghancurkan penduduk Sodom, kerana di dalam negeri itu terdapat anak saudaranya, Luth a.s., lalu berkata kepada para malaikat, “Sesungguhnya di dalam negeri itu ada Luth”. Para malaikat menjawab, “Kami telah mengetahui bahwa di situ ada Luth, dan kehancuran tidak akan menimpa kecuali atas orang-orang kafir yang tidak beriman kepada Allah Ta’ala. Sedangkan Luth dan keluarganya dan orang-orang yang beriman bersamanya, maka sesungguhnya mereka akan selamat seluruhnya, kecuali isterinya. Sesungguhnya ia akan menerima kehancuran sebagaimana orang-orang kafir, dan ia tidak akan selamat walaupun ia isteri Luth, kerana ia telah berbuat keburukan, ia telah mengkianati suaminya dan terus-menerus berada di dalam permusuhan dan kekafiran.

Rujuk Al-Quran surah Al-Ankabut ayat 31-32.


Para Malaikat bertamu kepada Ayahnda Luth a.s.


Para malaikat meninggalkan Nabi Ibrahim a.s., lalu pergi menuju negeri Sodom. Bergantilah mereka menjadi tetamu kepada Ayahnda Luth a.s., sedangkan dia tidak mengetahui hakikat mereka. Dan Ayahnda Luth a.s. merasakan dadanya sangat sempit, kerana mereka adalah orang yang sangat baik paras rupanya, dan dia takut kalau-kalau mereka mendapat penganiayaan dari kamumnya.

Namun demikian, bahwa kewajipan menerima tamu itu adalah menjaga mereka dari segala penganiayaan dan menyelamatkan mereka dari segala apa yang dibenci. Maka terbayanglah di dalam benak Ayahnda Luth a.s. bahaya-bahaya yang akan dia terima akibat daripada menerima mereka sebagai tetamu itu. Ayahnda Luth a.s. berkata di dalam hatinya, "Ini adalah hari kebencian dan kesetiaan yang sangat kejam".

Tersebarlah di kalangan kaumnya berita tentang datangnya para tetamu yang berparas tampan kepada Ayahnda Luth a.s. Maka bersegeralah mereka menuju rumahnya dan berkumpul di sekeliling rumah untuk melakukan perbuatan keji dengan para tetamu Ayahnda Luth a.s.


Dan apabila Ayahnda Luth a.s. melihat bahwa kaumnya telah berkumpul di sekitar rumahnya, maka dia berusaha menghalangi niat buruk mereka. Lalu Ayahnda Luth a.s. cuba menawarkan anak-anak perempuannya kepada pemimpin-pemimpin mereka untuk dijadikan isteri (sekadar basa-basi dan dia tidak bermaksud bersungguh-sungguh, semoga dengan demikian mereka merasa malu dan menghentikan niat buruk terhadap tetamunya) sebagai ganti dari perbuatan keji terhadap para tetamunya. Dan Ayahnda Luth a.s. berharap semoga ada di antara mereka seorang lelaki yang mengerti dan mendapat petunjuk kebenaran lagi berpaling dari kebatilan, lalu menolongnya di dalam menolak kezaliman kaumnya.

Kaumnya tidak suka mendengar perkataan Ayahnda Luth a.s., bahkan mereka menjawab, "Sesunggunnya kamu benar-benar tahu bahwa kami tidak mempunyai selera sedikit pun untuk mengahwini anak-anak perempuanmu, dan sesungguhnya tidak ragu-ragu lagi bahwa kamu tahu apa yang kami inginkan."


Ayahnda Luth a.s. mengemukakan kepada tetamunya bahaya yang mengancam mereka, seraya berkata kepada mereka, "Seandainya adanya kamu sekalian bersamaku menambah kekuatan bagiku, sehingga dapat mengadakan perlawanan terhadap mereka, niscaya aku akan menjaga kamu, atau seandainya aku mempunyai sekelompok penolong dan kaum kerabat yang kuat supaya dapat dijadikan sandaran, niscaya aku akan meminta pertolongan mereka untuk menjaga kalian. Akan tetapi aku tidak mempunyai jalan untuk melawan mereka demi menjaga kamu sekalian."

Sila rujuk Al-Quran surah Huud ayat 77 - 80.


Azab Allah s.w.t. terhadap penduduk Sodom.

Dan sedang kekecohan telah menjadi-jadi di depan rumah Ayahnda Luth a.s., sedangkan dia juga belum berhasil untuk memberi pengertian kepada kaumnya, maka Allah Ta'ala  perintahkan para malaikat  membutakan mata mereka setelah hampir saja mereka mendapatkan keinginan mereka yang diinginkan itu. Maka bercerai-berailah kekuatan mereka, lalu kembali ketempat mereka dalam keadaan hina-dina.

"Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata meraka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-ancamanKu."
(Al-Quran surah Al-Qamar ayat 37)

Tidak lama para malaikat menyamar, lalu mereka menjelaskan hakikat mereka kepada Ayahnda Luth a.s. dan memeritahu kepadanya tentang sebab kedatangan mereka, yaitu mereka akan menghancurkan kaumnya setelah membutakan mata mereka agar tidak dapat selamat dari kehancuran itu dan para malaikat pun akan menyelamatkan Ayahnda Luth a.s. dari kejahatan kaumnya.



Para malaikat berkata kepada Ayahnda Luth a.s., "Mereka tidak akan dapat mencelakakan kamu dan tidak akan mencemarkan namamu terhadap kami. Maka berangkatlah kamu bersama keluargamu pada waktu malam, dan keluarlah dari negeri ini bersama mereka, dan jangan sampai ada seorang pun yang tertinggal di belakang agar ia tidak terkena azab yang mengerikan ini. Adapun isterimu yang menghianatimu, maka biarkanlah, jangan sampai ia termasuk orang-orang yang keluar bersamamu, kerana ia harus menerima kehancuran yang telah ditakdirkan menimpa kaummu. Dan sesungguhnya waktu kehancuran mereka itu pada waktu subuh, dan itu sudah dekat."

Dan tatkala azab yang ditakdirkan Allah Ta'ala atas mereka itu terjadi, maka dibalikkan negeri itu, yang di atas dijadikan berada di bawah, sambil mereka dihujani dengan batu-batu dari tanah yang keras terbakar, susul-menyusul berjatuhan di atas mereka sebagai azab dari Allah Ta'ala bagi mereka. Dan azab Allah Ta'ala tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim lagi fasik.

Sila rujuk Al-Quran surah Huud ayat 81-83.




Dan negeri yang ditimpa azab itu adalah negeri yang sekarang dikenal dengan Laut Mati atau Danau Luth.  Sebagian sarjana berpendapat bahwa Laut Mati belum ada sebelum peristiwa tersebut. Laut itu ada disebabkan goncangan yang membuat bagian atas dari negeri ini berada di bawah, bahkan menjadi lebih rendah dari permukaan air laut sekitar empat ratus meter. Dan pada tahun-tahun yang lalu telah tersiar berita-berita tentang penemuan peninggalan kota-kota kaum Sodom di sekitar Laut Mati.

Wallahu'alam...

Sekian wassalam.