Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Sabtu 07/12/2013M bersamaan 04/02/1435H juga bersamaan 15 Qus 10,001 Tahun PuSaka. Marilah sama-sama kita bermunajat memohon keampunan dan rahmat daripada Allah Ta'ala agar kita semua umat Rasulullah s.a.w. selamat di dunia dan di akhirat kelak.
Aku memohon keampunan Allah dari segala perkara yang melalaikan aku
terhadap Allah, dan sedangkan segala sesuatu itu sekaliannya sentiasa tenggelam
tunduk di dalam mengingati kebesaran Allah dengan mengucapkan tasbih dan memuji
akan Allah.
Aku memohon keampunan Allah Tuhan sekalian Ummat Manusia. Aku memohon
keampunan Allah dari segala kesalahan-kesalahan dosa.
Ya Allah! Engkaulah pembimbing, Engkaulah Zat yang sebenar-benarnya,
tidak ada pembimbing yang sebenar-benarnya melainkan Dialah sahaja.
Cukuplah bagiku Tuhanku sahaja, Maha Besar, Maha Agong Allah, tidak ada
di dalam perasaan batin hatiku melainkan hanya di dalam mabok cinta mengingati
dan mengenang Allah sahaja. Nur Muhammad s.a.w. Nabi kita sentiasa di dalam
pelukan rahmat Allah Ta’ala, tidak ada yang maujud sebenar-benarnya di dalam
nyata zohir dan batin melainkan Zat Allah Ta’ala jua.
Tiada Ilah (tuhan) yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala,
Raja pemilik, pemerintah sarwa (seluruh) alam. Zat Agong yang sebenar-benar
lagi zohir yang nyata. Nabi Muhammad s.a.w. hamba dan pesuruh Allah yang
berakhlak dengan segala akhlak kemuliaan, sidiq, tabliq, amanah berakhlak luhur
sempurna kehambaan.
Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah. Tiada tuhan
melainkan Allah, Nabi Muhammad kekasih Allah.
Tiada tuihan yang disembah, yang dimaksudkan, yang dicintai, yang maujud
dengan yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala jua.
Allah itulah Dia Zat yang wajib wujud bagiNya semata-mata, yang
mempunyai segala sifat-sifat Jalal, Jamal dan Kamal.
Tiada tuhan yang maujud, yang disembah dengan sebenar-benarnya malainkan
Zat Allah Ta’ala. Nabi Muhammad s.a.w. itu ialah pesuruh Allah Ta’ala. Aku
berikrar mengaku serta mengingatiNya tiap-tiap detik dan pernafasanku
sebilang-bilang pencakupan ilmu Allah Ta’ala.
Tiada tuhan yang disembah yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah
Ta’ala dan Zat Allah itulah sahaja yang Maha Besar lagi Maha Agong.
Ya Allah! Tuhan yang bersifat dengan kelembutan terhadap segala
hamba-hambaNya yang Mukminin.
Ya Allah! Zat yang Maha Lemah-lembut yang kelembutanNya mengatasi dari
segala yang lemah-lembut, lakukanlah kelemah-lembutanMu terhadap diri Kami di
dalam mengharungi arus lautan takdirMu Ya Allah.
Allah Zat yang Maha Lemah-lembut terhadap segala hamba-hambaNya menganugerahkan
kurnia kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Dialah Allah Tuhan yang Maha Gagah
perkasa lagi Keras dan Menang.
Cukuplah Allah sahaja penolong kami dan sememangnyalah Dia sahaja
sebaik-baik tempat penyerahan kami dan kepadaNya sahaja kami pertaruhkan segala
pengharapan kami.
Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia akan membuka
seluas-luas kejayaan baginya, dan Allah menganugerahkan kurnia kepadanya dengan
anugerah kurnia yang tak terkira. Dan barangsiapa menyerah jiwa raganya kepada
Allah maka sudah barang tentu cukuplah baginya segala-galanya. Sesungguhnya
Allah yang menyampaikan segala urusanNya kepada matlamatNya. Sesungguhnya Allah
menjadikan segala sesuatu itu ada qadar penentuannya.
Maka Allah akan menangkis segala bencana kejahatan mereka dari menimpai
kamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala-galanya.
Terjunlah mengharungi ke dalam lautan pencelupan Agama Allah, dan
sememangnya tidak ada yang lebih baik dari Allah dalam pencelupan AgamaNya dan
sedangkan kami sekalian terhadapNya sahaja kami mengabdikan diri kami.
Katakanlah kepada mereka (yakni kaum kuffar), apakah kamu hendak
berhujah (bertikam lidah) dengan kami dengan hujah-hujah yang palsu dan tidak
beralasan tentang keEsaan Zat Allah yang Maha Esa? Sedangkan Dialah Tuhan kami
dan Tuhan kamu dan untuk kami ganjaran amalan kebaikan yang ditaufiqkan kepada
kami melakukannya. Dan untuk kamu balasan segala perbuatan kejahatan yang kamu
lakukan. Dan kami terhadapNya sahaja kami mengabdikan diri kami seikhlas-ikhlas
pengabdian.
Sekarang marilah sama-sama kita melayari minda ke zaman Nabi Musa a.s. dan Bani Israil yang sedang bergerak meninggalkan kerajaan Firaun yang zalim.
Di Dalam Istana Firaun
Firaun mundar-mandir di
istananya. Dia menjadi bingung dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sekejap
dia duduk dan sekejap dia bangun. Sesekali perutnya ditekan, bukan kerana sakit
perut. Sesekali dia menepuk-nepuk dahinya bukan kerana sakit kepala.
“Kamu! Kamu! Kamu! Kamu
semua memang tidak boleh diharap!” Firaun bersuara lantang meluahkan
kemarahannya kepada para pembesar dan pengawal-pengawal istananya. Semuanya
tunduk mengeletar.
Kata-kata Firaun itu
memang benar, kerana segala usaha mereka untuk menyekat pengaruh Nabi Musa a.s.
gagal. Orang yang di istana sendiri ada yang memeluk agama Nabi Musa a.s.
“Musa dan Bani Israil
yang tidak mempunyai senjata dan yang hina itu pun kamu tidak boleh kawal!”
jerit Firaun lagi.
“Mereka bergerak pada
waktu senja tuanku,” salah seorang dari pengawal istana bersuara dalam
ketakutan.
“Itu tidak kira! yang
aku tahu kamu semua sudah diperbodohkan oleh Musa dan Bani Israil. Kenapa kamu
tidak berkawal pada waktu senja?” tingkah Firaun. Terdiam pengawal itu melihat
muka Firaun yang merah bagai udang dibakar.
“Aku sudah beritahu,
perhatikan gerak-geri Musa dan Bani Israil. Rahsiakan rancangan kita!” Firaun
melepaskan rasa geramnya.
“Sekarang aku tidak
kira, sama ada di antara kamu yang membocorkan rahsia atau tidak. Aku mahu
seluruh pengawal istana memburu Musa dan Bani Israil yang cuba lari dari
Mesir!” perintah Firaun.
“Tetapi di mana kami
hendak cari tuanku?” Tanya seorang pengawal.
“Dimana!!?” jerkah
Firaun sambil merenung pengawal itu. “Sudah berapa lama jadi pengawal? Masih
bodoh!” bentak Firaun.
“Ya, tuanku, ya
sa..saa..saya bodoh,” gagap pengawal itu bersuara. Dia begitu takut kepada
Firaun yang zalim dan kejam itu.
Melihat keadaan
pengawal itu, Firaun ketawa terbahak-bahak. “Hah! Hah! Hah! Rupa-rupanya kamu
masih tetap takut kepada aku,” kata Firaun dan ketawa lagi. “Hah! Hah! Hah!
Betullah aku Tuhan kamu, hanya Musa dan Bani Israil sahaja yang tak percaya,”
katanya lagi.
“Kamu semua jangan
takut, aku Firaun, Haman dan seluruh pembesar Mesir akan mencari mereka. Kamu
ikut sahaja. Bawa semua senjata, anak panah dan kuda ikut aku,” perintah
Firaun.
Firaun berkuda di
hadapan sekali. Para pembesar di belakangnya dan diikuti oleh para pengawal
yang lengkap dengan senjata. Mereka keluar dari pintu besar istana.
“Kita menuju ke arah
laut Merah!” pekik Haman.
“Laut Merah! Laut
Merah!” sahut para pengawal serentak.
Mereka diberitahu Nabi
Musa a.s. dan Bani Israil hendak berhijrah ke Palestin dan mereka masih dalam
perjalanan ke sana.
Di Luar Istana Firaun
Mereka nyalakan obor di
luar istana. Setiap orang membawa satu obor. Dari jauh kelihatan seperti pesta
api di istana Firaun. Hanya api itu yang kelihatan nyata di tengah malam yang
dingin itu.
Derap telapak kaki kuda
memecah kesunyian malam di tengah-tengah padang pasir. Obor-obor pula menerangi
sekitar jalan yang mereka lalui. Lama juga mereka berkuda. Larian kuda mereka
tidak sekuat pada mula-mula. Obor mereka pun sudah banyak yang malap atau
padam. Malam itu sendiri diselerakkan gelapnya oleh cahaya sutera pagi.
Dalam kelam suasana
fajar itu kelihatan bebayang kelompok manusia yang berdiri di tebing Laut
Merah. Ada yang kelihatan tenang menghadapi laut yang berombak luas di hadapan
dan ramai juga yang mundar-mandir.
Dalam kelam bercampur
dingin angin laut waktu pagi, Firaun memekik, “Itu mereka di pantai! Mereka
tidak dapat lari dari aku!”
Di Pantai Laut Merah
Angkatan Firaun sudah
semakin hampir. Suara jerit orang-orang Firaun didengari oleh Nabi Musa a.s.
dan Bani Israil. Derap kaki kuda pun semakin jelas.
Di antara daratan dan
laut, Firaun semakin yakin dapat membunuh Nabi Musa dan dalam detik-detik
begitu, sebahagian pengikut Nabi Musa a.s. mula menyalahkan Nabi Musa. Mereka
sudah putus asa, kerana mereka rasa tidak ada lagi helah untuk menyelamatkan
diri. Di belakang Firaun, di depan laut.
Derap kaki kuda semakin
jelas, dan ombak dada Bani Israil semakin kerap bagaikan ombak Laut Merah.
Mereka rasakan akan menemui maut yang mereka cuba hindari. “Musa, ke sinikah
kamu bawa kami?” Tanya mereka yang kecewa. Nabi Musa a.s. tetap tenang dan
tawakal.
“Ke mana kami harus
pergi, Musa? Di belakang musuh sedang mengejar dan di depan laut luas yang tak
menawarkan sebarang pertolongan. Kita tidak memiliki kapal. Apa yang harus kami
buat untuk menyelamatkan diri?” Tanya orang yang bernama Yusya’ bin Nun.
Jawab Nabi Musa a.s.,
“Janganlah kamu bimbang dan cemas. Perjalanan ini adalah dengan perintah dan
restu Allah Ta’ala kepadaku. Dialah (Allah) yang akan memberi jalan keluar serta
menyelamatkan kita dari cengkaman musuh yang zalim.”
Kata-kata itu tidak
dapat mententeramkan jiwa mereka yang belum kukuh imannya, lalu Allah Ta’ala
memerintahkan Nabi Musa .a.s. memukulkan tongkatnya ke air Laut Merah.
“Pukulkanlah tongkatmu itu ke air, wahai Musa!”
Nabi Musa a.s. menurut
perintah itu. Tongkatnya sudah mencecah air di pantai laut itu, lalu
terbentanglah 12 lorong jalan di tengah-tengah laut itu. Terbentang dari pantai
sebelah barat ke pantai sebelah timur. Air di kiri kanan setiap lorong bagaikan
tembok yang tinggi.
Nabi Musa a.s. dan
seluruh Bani Israil segera melalui jalan itu. Pada segala keraguan terhadap
Nabi Musa a.s., bagaikan pagi yang berlalu pergi diusap cahaya siang.
Ditelan Laut Merah
Firaun yang melihat
keadaan ini tercengang. Dia hairan seperti juga setiap yang menyaksikan
peristiwa itu merasa hairan dan tercengang.
Nabi Musa a.s. dan Bani
Israil terus berjalan dengan yakin, tawakal dan syukur kepada Allah Ta’ala.
Firaun dan bala tenteranya mengekori dari belakang. Dengan bongkak Firaun
berbohong, “Kamu semua lihat kekuasaanku sebagai Tuhan. Laut ini terbelah dan
kita dapat melaluinya untuk menamatkan riwayat Musa dan Bani Israil di
tengah-tengah lautan ini.”
Cuaca semakin cerah.
Malam sudah berlalu dan siang baru tiba. Nabi Musa a.s. dan Bani Israil telah
menjejaki pantai sebelah timur Laut Merah, Firaun dan bala tenteranya masih di
tengah-tengah jalan Laut Merah. Tiba-tiba air laut bercantum semula, maka
tenggelamlah Firaun dan semua tenteranya ditelan
Laut Merah itu.
Firaun betul-betul
kecewa dan insaf. Dari dalam air yang
tidak mengenal kekuasaan dan kesombongan sesiapa pun, Firaun bersuara dengan
sesak, “Wahai Musa!, Tolonglah aku!, Sekarang aku percaya, bahwa tiada Tuhan
selain Allah, yang telah diimani oleh Bani Israil dan sekarang aku beriman.”
Tetapi Allah tidak
menerima keimanan Firaun. Masanya sudah terlalu lewat dan ajalnya sudah tiba.
Firaun tenggelam dan akhirnya terapung di atas lautan sebagai bangkai yang
tidak bernilai langsung. Betapa buruknya akhir riwayat hidup Firaun.
Wallahu’alam.
Daripada Abi Najih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. berkata : “Telah menasihati
kami oleh Rasulullah s.a.w. akan suatu nasihatv yang menggetarkan hati kami dan
menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya
Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah
pesanan kepada kami’. Lalu Baginda pun bersabda, ‘Aku berwasiat akan kamu
supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada
pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya
sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan
yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah
para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui
kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah
itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bida’ah) yang
diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.”
Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.
Keterangan ;
Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada
Rasulullah s.a.w. bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman
yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang
kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia
mengikuti tunjuk ajar yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis
ini, iaitu :
Pertama ; Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua
dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.
Kedua ; Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin
walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka
berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w., dan sunnah-sunnah khulafa Ar
Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti
patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi s.a.w.
Ketiga ; Berpegang teguh kepada sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah para
khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Abu bakar, Omar, Osman dan Ali r.a.hum) yang
mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala, iaitulah berpegang
kepada fahaman dan amalan ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut
fahaman ini sahaja yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.
Keempat ; Menjauhi perkara-perkara bid’ah dholalah, iaitu apa jua
fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal
tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil,
maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bid’ah menurut
pengertian syarak (bukan bid’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid’ah menurut
pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitulah bid’ah hasanah).
Petikan dari kitab Empat Puluh Hadis Peristiwa Akhir Zaman susunan Ustaz
Ahmad Fahmi Zamzam (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki)
Jika hendak hidup beriman
Serta mulia di sini Tuhan
Marilah kita hendak ingatkan
Wasiat Nabi di akhir zaman
Wajiblah kita menjaga diri
Cabaran hidup banyak sekali
Janganlah kita lupakan diri
Hidup ini menuju mati
Bila melihat mungkar yang nyata
Maka janganlah hanya mengata
Tapi bangkitlah menabur jasa
Membimbing umat jadi pelita
Umat Islam perlu didakwah
Nasihat baik serta berhikmah
Dengan semangat serta ukhuwah
Hubungan kita tambah meriah
Jadikan takwa sebagai jalan
Di dalam hidup sepanjang zaman
Taat dan patuh pada pimpinan
Selama Quran jadi pegangan
Sunnah Nabi dipegang teguh
Sunnah khulafa diikut penuh
Mesti waspada ajaran musuh
Bid’ah dholalah wajib dijauh
Wallahu'alam. Sekian Wassalam.
Pondok Derang Kedah Darul Aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan