Ayahnda

Ayahnda

Ahad, 29 Disember 2013

Kisah Lembu Ajaib


Assalammu'alaikum...wrth, malam Isnin 30 Disember 2013M bersamaan 27 Safar 1435H juga bersamaan 09 Jadi 10,002 tahun PuSaka.

Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat 102, ayat yang lazimnya di baca oleh khatib semasa berkhutbah di atas mimbar pada setiap hari Jumaat.
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan sebagai muslim”.
Apa dia takwa yang sebenar-benarnya? Takwa yang dikehendaki ialah sama sewaktu roh membuat pengakuan di alam zuriat ketika Allah s.w.t. bertanya roh;
Bukankah Aku Rob (Tuhan) kamu semua?” Roh pun menjawab : “Bahkan (ya) Kami menyaksikan, Ya Allah, Eangkaulah Tuhan kami”.
(Surah Al-’Araaf ayat 172)
Pada masa itu mana ada jasad. Maknanya takwa yang tidak direti dan diperbudakkan oleh tanah, air, api dan angin; yakni jasad itulah dinamakan nafsu (Ammarah, Lawwamah dan Mulhammah). Yang dikehendaki Muslim ialah orang yang sampai darjah nafsu Mutmainnah dan ke atas (Rodhiah, Mardhiah dan Kamil)


Apakah Mutmainnah?
1. Mutmainnah ialah nafsu yang duduk atas garisan syariat yang sentiasa memikirkan jalan, bagi mendorong manusia ke jalan Allah s.w.t.
2. Apabila mendapat Mutmainnah, penyakit penat akan hilang.
3. Syurga bukan orang UMNO yang punya, bukan orang PAS yang punya. Syurga kepunyaan Allah s.w.t. Orang Mutmainnah dan ke atas sahaja yang Allah Ta’ala masukkan ke dalam syurga.
4. Sembahyang (solah) oarng yang di bawah nafsu Mutmainnah tidak ada connection (hubungan) dengan Latifah Rabbaniahiaitu roh yang telah membuat pengakuan terhadap Allah Ta’ala di alam zuriat lagi. Sembahyang orang sebegini, sembahyang mereka tidak boleh mencegah daripada fasyak dan mungkar.
5. Orang yang sampai darjah nafsu Mutmainnah, sudah menjadi wali, tapi wali yang awam sahaja.
6. Orang yang nafsu Mutmainnah sudah tidak ada lagi penyakit-penyakit hati.
7. Cakap logik (cakap orang yang belum sampai Mutmainnah) tetapi di dalamnya jijik (penuh dengan kekufuran dan kesyirikan).
8. Selagi mana tidak sampai (darjah) nafsu Mutmainnah, selagi itulah kamu tidak faham Al-Quran dan Hadis.
9. Selagi belum mencapai Mutmainnah selama itulah kafir. Belum Islam lagi.
10. Nafsu Mutmainnah ialah nafsu yang tidak ada sifat-sifat yang keji dan sudah bersih daripada sifat-sifat yang ganas.

11. Selagi belum Mutmainnah, selama itu punah-ranah.



Kisah Lembu Betina (Al-Baqarah)

Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya; “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata; “Apakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan?” Musa menjawab; “Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil”. (Surah Al-Baqarah ayat 67)

Hikmah Allah Ta’ala menyuruh menyembelih lembu ialah supaya hilang rasa penghormatan mereka kepada patung anak lembu yang pernah mereka sembah semasa ditipu daya oleh Samiri dahulu.

Mereka menjawab; “Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, agar Dia menerangkan kepada kami, lembu betina apakah itu?” Musa menjawab; “Sesungguhnya Allah berfirman bahwa lembu betina itu adalah lembu yang tidak tua dan tidak muda, pertengahan antara itu, maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu”. (Surah Al-Baqarah ayat 68)

Sungguh mudah perintah Allah kepada mereka (Bani Israil), yakni hanya sembelih sahaja mana-mana lembu betina; tetapi kerana sikap mereka yang degil dan banyak soal siasatnya maka perkara mudah telah menjadi sukar untuk mereka melaksanakannya.

Mereka berkata; “Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, agar Dia menerangkan kepada kami apa warnanya?” Musa menjawab; “Sesungguhnya Allah berfirman bahwa lembu betina itu adalah lembu betina yang kuning, yang kuning tua warnanya, lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya”. (Surah Al-Baqarah ayat 69)

Mereka berkata; “Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat lembu betina itu, kerana sesungguhnya lembu betina itu (masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami insyaaAllah akan mendapat petunjuk (untuk memperolehi lembu itu)”. (Surah Al-Baqarah ayat 70)

Inilah sikap yang keterlaluan Bani Israil yang patut kita jauhi, kerana sikap sebegitu akan menyebabkan kemurkaan Allah dan kesusahan akan menimpa diri kita sendiri.

Musa berkata; “Sesungguhnya Allah berfirman bahwa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, tidak ada belangnya”. Mereka berkata; “Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat lembu betina yang sebenarnya”. Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak dapat melaksanakan perintah itu (kerana lembu yang menurut syarat disebutkan itu sukar diperolehi, hampir mereka tidak dapat menemukannya). (Surah Al-Baqarah ayat 71)

Ayuh sama-sama kita menggunakan kaedah pelayaran minda untuk mengembara ke zaman Bani Israil sedang mencari lembu betina yang hampir-hampir tidak mereka temui itu.


Lembu Ajaib

“Lembu! Lembu! Lembu!” jerit orang ramai yang baru balik mencari lembu betina yang dikehendaki oleh Nabi Musa a.s. Girang sekali mereka. Sudah puas mereka mencari lembi seperti itu. Mereka mengiringi lembu itu ke padang pengadilan. Dengan menyembelih lembu itu orang ramai akan tahu siapa yang bertanggungjawab menbunuh ayah Rufqah, yakni Syam’un.

“Kita sudah dapat lembu betina itu!” pekik orang ramai yang sudah begitu lama menanti di padang itu. Mereka begitu pelik melihat keadaan lembu itu. Warnanya kuning. Setiap orang yang melihatnya akan tertarik. Kulitnya berkilau-kilauan bagai cahaya terpancar dari kulit itu. Tidak ada belang atau tompok-tompok sekalipun pada tapak dan kukunya.

“Wah! Wah! Cantiknya!”

“Cantiknya!!” kata orang ramai sambil mendekati lembu betina itu. Di antara orang ramai yang masih takjub dengan keistimewaan lembu itu, suara yang bertanyakan tuan punya lembu itu tenggelam dalam suasana bising. Bagi mereka tuan lembu tidak penting, tetapi lembu itu sendiri, kerana mereka mahu tahu siapakah yang bertanggungjawab membunuh Syam’un bin Naftali, orang tua kaya, alim dan pemurah.

Hanya Nadab bin Su’az, ketua pihak pendakwa tidak turut bergembira. Semakin dekat lembu itu ke padang, semakin pucat mukanya. Tidak sepatah kata pun terkeluar dari mulutnya.

“Nadab, ini lembunya. Kita pasti menang!” kata seorang sahabat Nadab, sambil tersenyum.

“Kita malahan engkau, bagi pihak pendakwa yang mewakili arwah Syam’un, bapa saudaramu itu pasti menang!” katanya sambil menuding-nuding tubuh Nadab dengan jari telunjuknya.

Nadab diam sahaja, hanya sesekali tersenyum pahit. Kawannya itu masih belum menyedari perubahan diri Nadab.

“Engkau pasti akan dapat berkahwin dengan Rufqah, yang cantik molek itu”. Sambung sahabat Nadab lagi sambil ketawa.



Nadab diam jua. Dia melayani batinnya yang amat kacau, akibat adanya lembu yang diperlukan untuk pengadilan.

“Cantik bukan? Rufqah tu cantik ya? Padanlah dengan Nadab!” kata kawannya lagi sambil ketawa riang.

“Kaya pula dia. Hai, jadi orang kayalah Nadab!” ketawa lagi dia. Dia tidak menghiraukan lembu yang dikerumuni oleh orang ramai, dan dia tidak menyedari Nadab sedang kebingungan. Kawannya itu ketawa lagi. Dia begitu gembira sehingga tidak disedarinya Nadab sudah tidak ada di sampingnya.

“Tapi, tapi jangan lupa bahagian aku! Jangan lupa!” sambil ketawa lagi. Ditolehnya, Nadab sudah tidak ada di sampingnya. Matanya liar melihat sekeliling. Dia bimbang kalau-kalau Nadab mungkir janji.

Di suatu sudut Nadab duduk termenung. Dia menutup kedua belah telinganya. Masih terdengar-dengar lagi kata-katanya sebentar tadi sebelum orang ramai dating membawa lembu itu. Kata-kata itu menyeksa batinnya sendiri. Dia malu dan menyesal. Dia cuba melupakannya tetapi tidak berdaya. Baru sebentar tadi dia berkata. Orang ramai pun masih ingat apatah lagi dia.

“Saya merasa dukacita kerana orang ramai mulai lupa kepada tuntutan darah bapa saudara saya, Syam’un. Orang-orang yang mencari lembu semua balik dengan tangan kosong. Lembu betina yang dicari tidak ada”.

Dia menutup telinganya kuat-kuat bagai tidak mahu mendengar kembali suaranya tadi, tetapi suara itu semakin lantang seperti lantangnya suara orang yang bersorak. Sorak kerana gembira melihat lembu ajaib itu.

“Saya pasti orang kampung inilah yang membunuh bapa saudara saya. Dan kalau kumpulan terakhir yang pulang nanti tidak membawa lembu, sya pasti kahwin dengan Rufqah dan sayalah yang akan mewarisi harta arwah ayahnya”.

Suara ini sudah tidak bermakna. Kepura-puraannya akan terbongkar. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah. Terbayang di kepalanya segala kejahatan yang pernah dilakukan. Dia bukan pemuda yang baik seperti Ilyab bin Azar. Dia jahat, budi pekertinya buruk, sebab itulah pinangannya terhadap Rufqah ditolak oleh bapa saudaranya sendiri.

Kini dia mmenyedari keburukan diri dan peribadinya. Dia tidak layak menjadi suami Rufqah yang baik dan cantik itu. Orang yang baik hanya layak untuk orang yang baik juga.



Pengadilan hampir dijalankan. Minassi bin Ilyasa’ ada di situ. Di samping Rufqah. Dialah yang memberitahu Rufqah lembu ajaib itu milik Ilyab bin Azar. Tunangannya Ilyab pun ada di situ untuk menyaksikan pengadilan terhadap pembunuh bakal mertuanya.

Kawan Nadab berpusing-pusing mencari Nadab. Dia menyelit-nyelit di celah-celah orang ramai. Matanya liar mencari sekitar. Dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri Nadab. Sepatutnya Nadablah yang paling bergembira pada hari itu.

Dia keluar dari kumpulan orang ramai. Dilihatnya di bawah sebatang pokok. Kelihatan Nadab sedang bertenggong. Berlari-lari dia ke arah Nadab. Dia memujuk Nadab supaya menyaksikan pengadilan paling bersejarah. Nadab dengan langkah yang lemah menuju ke tempat pengadilan, di padang berhampiran kubur Syam’un.

Dilihatnya lembu ajaib, Rufqah dan Ilyab ada di situ. Hatinya bertambah sakit. Namun dia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Tidak berani dia menatap wajah Rufqah. Hati kecilnya merintih dan menitislah air matanya.

Penyesalan, kekecewaan, dan rasa cemas bergelora dalam dirinya. Dia malu kepada kawannya. Dia malu kepada orang ramai. Dia menutup mukanya seakan-akan tidak mahu meyaksikan peristiwa pengadilan yang akan dijalankan oleh Nabi Musa Rasul pilihan Allah yang amat bijak dan adil.

Lembu betina itu disembelih atas perintah Nabi Musa a.s. Lidahnya dipotong lalu diberikan kepada Ilyab, lalu Ilyab memukulkan lidah itu kepada mayat Syam’un. Mayat itu bangun.

Nabi Musa a.s. bertanya, “Wahai Syam’un! Beritahu kami orang yang membunuh kamu”. terbuka mulut Syam’un lalu dia berkata, “Orang yang membunuh aku ialah Nadab bin Su’az, anak saudaraku sendiri”. Habis sahaja Syam’un menyebut kata-kata itu dia mati semula.

Orang ramai menjadi gempar. Mereka tidak menduga Nadab yang melakukan perbuatan terkutuk itu, padahal Nadab anak saudaranya dan orang yang menuntut bela atas kematiannya. Nadab begitu bijak berpura-pura.



Nabi Musa a.s. menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Nadab, “Bunuh balas bunuh!”. Menerima hukuman ini Nadab tidak berkata apa-apa lagi. Mukanya pucat, kawan karibnya meninggalkan Nadab seorang diri.
Ilyab kemudian berkahwin dengan Rufqah, gadis manis yang menjadi rebutan itu.

Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Baqarah ayat 72 dan 73;

“Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan”. Lalu Kami berfirman; “Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina itu!” Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan padamu tanda-tanda kekuasaan_nya agar kamu mengerti.

Demikinlah kisah penyembelihan lembu betina ajaib yang menjadi intisari dan nama bagi surah Al-Baqarah yakni surah yang ke dua selepas surah Al-Fatihah di dalam Kitabullah Al-Quranul Karim.

Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada kita semua agar tidak bersikap munafiq (berpura-pura), menipu, menganiaya, tamak haloba, berhasad dengki dan berlaku zalim sesama manusia. Wallahu’alam.


Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?
Daripada Ummul Mu’minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah s.a.w.) beliau berkata; “(pada suatu hari) Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini”, dan Baginda menemukan ujung ibu jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya : “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang sholeh?” Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”.
Hadis Riwayat Bukhari Muslim.
Keterangan:
Hadis di atas menerangkan bahwa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang sholeh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.
Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadis di atas, walaupun disebutkan secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi s.a.w. sendiri dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain. Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju-mundurnya Umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju-mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab.



Kemudian Ya’juj dan Ma’juj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam a.s.) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hampir tibanya hari qiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa itu dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan dipermukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahwa hari qiamat sudah dekat sekali tibanya.

Jangan biarkan umat binasa
Mungkar maksiat merajalela
Kita semua nanti merasa

Akibat buruk datang menimpa
 
Dinding Ya’juj Ma’juj mula terbuka
Tanda dunia akan binasa
Walaupun ada insan bertakwa
Bila mungkar sudah merata



Lima Maksiat Yang Disegerakan Balasannya
Daripada Ibnu Omar r.a. berkata; Berhadapan Rasulullah s.a.w. kepada kami (pada suatu hari) kemudian Baginda bersabda; “Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah s.w.t., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah :
1.Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha’un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum menimpa umat-umat yang telah lalu.
2.Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
3.Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah s.w.t.
4.Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
5.Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah s.w.t. yang terkandung dalam Al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat itu) Allah Ta’ala akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri”.
  Hadis Riwayat Ibnu Majah.

Keterangan:
Hadis di atas menerangkan bahwa;
1) Penyakit Tha’un dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.
2) Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pemimpin adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.
3) Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak mengeluarkan zakat harta benda.
4) Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Pelastin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya.
5) Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum-hukum Allah s.w.t. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.


Lima maksiat dibalas segera
Dalam dunia sebagai dera
Supaya insan insaf dan taqwa
Lalu memintaTaubat Nasuha

Bila zina zahir dan nyata
Penyakit berat akan menimpa
Sukat dan timbang tidak sempurna
Zalim pemimpin pasti dirasa

Bila zakat tidak diberi
Kemarau panjang pasti rasai
Janganlah mungkir janji Ilahi
Nanti musuh datang menguji

Syari’at Allah pasti tegakkan
Pedoman hidup jangan abaikan
Cuai dan taqsir mengakibatkan
Perang saudara yang merugikan


Hari kiamat pasti akan terjadi, di saat itu, langit akan pecah, gunung ganang akan berterbangan, bumi dan seisinya akan hancur leburSebelum itu banyak peristiwa yang akan mendahuluinya, sebagai petanda hampir tiba saatnyaKemerosotan umat Islam, para ulamaberkurangan, ujian besar terhadap iman, kemungkaran berleluasa di tengah-tengah masyarakat, keruntuhan moral, gempa bumi demi gempa bumi, peperangan demi peperangan…. Bahkan debaran jantung dunia sentiasa akan dikejutkan oleh peristiwa-peristiwa ganjil yang akan terjadi dari masa ke semasa.

Oleh itu, marilah kita renungkan bersama wasiat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. untuk kita dapat mengenali tanda-tanda golongan yang sesat. Maka dengan itu, kita akan terselamat dari mereka dan terus berada di garisan yang hak dan termasuk dalam golongan yang terselamatInsyaaAllah Ta’ala.

Sekian Wassalam...
Puncak Gunung Jerai, Kedah Darul Aman.

Sabtu, 7 Disember 2013

Ditelan Lautan


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Sabtu 07/12/2013M bersamaan 04/02/1435H juga bersamaan 15 Qus 10,001 Tahun PuSaka. Marilah sama-sama kita bermunajat memohon keampunan dan rahmat daripada Allah Ta'ala agar kita semua umat Rasulullah s.a.w. selamat di dunia dan di akhirat kelak.

Aku memohon keampunan Allah dari segala perkara yang melalaikan aku terhadap Allah, dan sedangkan segala sesuatu itu sekaliannya sentiasa tenggelam tunduk di dalam mengingati kebesaran Allah dengan mengucapkan tasbih dan memuji akan Allah.

Aku memohon keampunan Allah Tuhan sekalian Ummat Manusia. Aku memohon keampunan Allah dari segala kesalahan-kesalahan dosa.

Ya Allah! Engkaulah pembimbing, Engkaulah Zat yang sebenar-benarnya, tidak ada pembimbing yang sebenar-benarnya melainkan Dialah sahaja.

Cukuplah bagiku Tuhanku sahaja, Maha Besar, Maha Agong Allah, tidak ada di dalam perasaan batin hatiku melainkan hanya di dalam mabok cinta mengingati dan mengenang Allah sahaja. Nur Muhammad s.a.w. Nabi kita sentiasa di dalam pelukan rahmat Allah Ta’ala, tidak ada yang maujud sebenar-benarnya di dalam nyata zohir dan batin melainkan Zat Allah Ta’ala jua.


Tiada Ilah (tuhan) yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala, Raja pemilik, pemerintah sarwa (seluruh) alam. Zat Agong yang sebenar-benar lagi zohir yang nyata. Nabi Muhammad s.a.w. hamba dan pesuruh Allah yang berakhlak dengan segala akhlak kemuliaan, sidiq, tabliq, amanah berakhlak luhur sempurna kehambaan.

Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah. Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad kekasih Allah.

Tiada tuihan yang disembah, yang dimaksudkan, yang dicintai, yang maujud dengan yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala jua.

Allah itulah Dia Zat yang wajib wujud bagiNya semata-mata, yang mempunyai segala sifat-sifat Jalal, Jamal dan Kamal.

Tiada tuhan yang maujud, yang disembah dengan sebenar-benarnya malainkan Zat Allah Ta’ala. Nabi Muhammad s.a.w. itu ialah pesuruh Allah Ta’ala. Aku berikrar mengaku serta mengingatiNya tiap-tiap detik dan pernafasanku sebilang-bilang pencakupan ilmu Allah Ta’ala.

Tiada tuhan yang disembah yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala dan Zat Allah itulah sahaja yang Maha Besar lagi Maha Agong.


Ya Allah! Tuhan yang bersifat dengan kelembutan terhadap segala hamba-hambaNya yang Mukminin.
Ya Allah! Zat yang Maha Lemah-lembut yang kelembutanNya mengatasi dari segala yang lemah-lembut, lakukanlah kelemah-lembutanMu terhadap diri Kami di dalam mengharungi arus lautan takdirMu Ya Allah.

Allah Zat yang Maha Lemah-lembut terhadap segala hamba-hambaNya menganugerahkan kurnia kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Dialah Allah Tuhan yang Maha Gagah perkasa lagi Keras dan Menang.

Cukuplah Allah sahaja penolong kami dan sememangnyalah Dia sahaja sebaik-baik tempat penyerahan kami dan kepadaNya sahaja kami pertaruhkan segala pengharapan kami.

Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia akan membuka seluas-luas kejayaan baginya, dan Allah menganugerahkan kurnia kepadanya dengan anugerah kurnia yang tak terkira. Dan barangsiapa menyerah jiwa raganya kepada Allah maka sudah barang tentu cukuplah baginya segala-galanya. Sesungguhnya Allah yang menyampaikan segala urusanNya kepada matlamatNya. Sesungguhnya Allah menjadikan segala sesuatu itu ada qadar penentuannya.


Maka Allah akan menangkis segala bencana kejahatan mereka dari menimpai kamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala-galanya.

Terjunlah mengharungi ke dalam lautan pencelupan Agama Allah, dan sememangnya tidak ada yang lebih baik dari Allah dalam pencelupan AgamaNya dan sedangkan kami sekalian terhadapNya sahaja kami mengabdikan diri kami.


Katakanlah kepada mereka (yakni kaum kuffar), apakah kamu hendak berhujah (bertikam lidah) dengan kami dengan hujah-hujah yang palsu dan tidak beralasan tentang keEsaan Zat Allah yang Maha Esa? Sedangkan Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu dan untuk kami ganjaran amalan kebaikan yang ditaufiqkan kepada kami melakukannya. Dan untuk kamu balasan segala perbuatan kejahatan yang kamu lakukan. Dan kami terhadapNya sahaja kami mengabdikan diri kami seikhlas-ikhlas pengabdian.


Sekarang marilah sama-sama kita melayari minda ke zaman Nabi Musa a.s. dan Bani Israil yang sedang bergerak meninggalkan kerajaan Firaun yang zalim.

Di Dalam Istana Firaun

Firaun mundar-mandir di istananya. Dia menjadi bingung dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sekejap dia duduk dan sekejap dia bangun. Sesekali perutnya ditekan, bukan kerana sakit perut. Sesekali dia menepuk-nepuk dahinya bukan kerana sakit kepala.

“Kamu! Kamu! Kamu! Kamu semua memang tidak boleh diharap!” Firaun bersuara lantang meluahkan kemarahannya kepada para pembesar dan pengawal-pengawal istananya. Semuanya tunduk mengeletar.

Kata-kata Firaun itu memang benar, kerana segala usaha mereka untuk menyekat pengaruh Nabi Musa a.s. gagal. Orang yang di istana sendiri ada yang memeluk agama Nabi Musa a.s.

“Musa dan Bani Israil yang tidak mempunyai senjata dan yang hina itu pun kamu tidak boleh kawal!” jerit Firaun lagi.

“Mereka bergerak pada waktu senja tuanku,” salah seorang dari pengawal istana bersuara dalam ketakutan.

“Itu tidak kira! yang aku tahu kamu semua sudah diperbodohkan oleh Musa dan Bani Israil. Kenapa kamu tidak berkawal pada waktu senja?” tingkah Firaun. Terdiam pengawal itu melihat muka Firaun yang merah bagai udang dibakar.


“Aku sudah beritahu, perhatikan gerak-geri Musa dan Bani Israil. Rahsiakan rancangan kita!” Firaun melepaskan rasa geramnya.

“Sekarang aku tidak kira, sama ada di antara kamu yang membocorkan rahsia atau tidak. Aku mahu seluruh pengawal istana memburu Musa dan Bani Israil yang cuba lari dari Mesir!” perintah Firaun.

“Tetapi di mana kami hendak cari tuanku?” Tanya seorang pengawal.

“Dimana!!?” jerkah Firaun sambil merenung pengawal itu. “Sudah berapa lama jadi pengawal? Masih bodoh!” bentak Firaun.

“Ya, tuanku, ya sa..saa..saya bodoh,” gagap pengawal itu bersuara. Dia begitu takut kepada Firaun yang zalim dan kejam itu.

Melihat keadaan pengawal itu, Firaun ketawa terbahak-bahak. “Hah! Hah! Hah! Rupa-rupanya kamu masih tetap takut kepada aku,” kata Firaun dan ketawa lagi. “Hah! Hah! Hah! Betullah aku Tuhan kamu, hanya Musa dan Bani Israil sahaja yang tak percaya,” katanya lagi.

“Kamu semua jangan takut, aku Firaun, Haman dan seluruh pembesar Mesir akan mencari mereka. Kamu ikut sahaja. Bawa semua senjata, anak panah dan kuda ikut aku,” perintah Firaun.

Firaun berkuda di hadapan sekali. Para pembesar di belakangnya dan diikuti oleh para pengawal yang lengkap dengan senjata. Mereka keluar dari pintu besar istana.

“Kita menuju ke arah laut Merah!” pekik Haman.

“Laut Merah! Laut Merah!” sahut para pengawal serentak.

Mereka diberitahu Nabi Musa a.s. dan Bani Israil hendak berhijrah ke Palestin dan mereka masih dalam perjalanan ke sana.


Di Luar Istana Firaun 

Mereka nyalakan obor di luar istana. Setiap orang membawa satu obor. Dari jauh kelihatan seperti pesta api di istana Firaun. Hanya api itu yang kelihatan nyata di tengah malam yang dingin itu.

Derap telapak kaki kuda memecah kesunyian malam di tengah-tengah padang pasir. Obor-obor pula menerangi sekitar jalan yang mereka lalui. Lama juga mereka berkuda. Larian kuda mereka tidak sekuat pada mula-mula. Obor mereka pun sudah banyak yang malap atau padam. Malam itu sendiri diselerakkan gelapnya oleh cahaya sutera pagi.

Dalam kelam suasana fajar itu kelihatan bebayang kelompok manusia yang berdiri di tebing Laut Merah. Ada yang kelihatan tenang menghadapi laut yang berombak luas di hadapan dan ramai juga yang mundar-mandir.

Dalam kelam bercampur dingin angin laut waktu pagi, Firaun memekik, “Itu mereka di pantai! Mereka tidak dapat lari dari aku!”


Di Pantai Laut Merah

Angkatan Firaun sudah semakin hampir. Suara jerit orang-orang Firaun didengari oleh Nabi Musa a.s. dan Bani Israil. Derap kaki kuda pun semakin jelas.

Di antara daratan dan laut, Firaun semakin yakin dapat membunuh Nabi Musa dan dalam detik-detik begitu, sebahagian pengikut Nabi Musa a.s. mula menyalahkan Nabi Musa. Mereka sudah putus asa, kerana mereka rasa tidak ada lagi helah untuk menyelamatkan diri. Di belakang Firaun, di depan laut.

Derap kaki kuda semakin jelas, dan ombak dada Bani Israil semakin kerap bagaikan ombak Laut Merah. Mereka rasakan akan menemui maut yang mereka cuba hindari. “Musa, ke sinikah kamu bawa kami?” Tanya mereka yang kecewa. Nabi Musa a.s. tetap tenang dan tawakal.

“Ke mana kami harus pergi, Musa? Di belakang musuh sedang mengejar dan di depan laut luas yang tak menawarkan sebarang pertolongan. Kita tidak memiliki kapal. Apa yang harus kami buat untuk menyelamatkan diri?” Tanya orang yang bernama Yusya’ bin Nun.

Jawab Nabi Musa a.s., “Janganlah kamu bimbang dan cemas. Perjalanan ini adalah dengan perintah dan restu Allah Ta’ala kepadaku. Dialah (Allah) yang akan memberi jalan keluar serta menyelamatkan kita dari cengkaman musuh yang zalim.”


Kata-kata itu tidak dapat mententeramkan jiwa mereka yang belum kukuh imannya, lalu Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa .a.s. memukulkan tongkatnya ke air Laut Merah. “Pukulkanlah tongkatmu itu ke air, wahai Musa!”

Nabi Musa a.s. menurut perintah itu. Tongkatnya sudah mencecah air di pantai laut itu, lalu terbentanglah 12 lorong jalan di tengah-tengah laut itu. Terbentang dari pantai sebelah barat ke pantai sebelah timur. Air di kiri kanan setiap lorong bagaikan tembok yang tinggi.

Nabi Musa a.s. dan seluruh Bani Israil segera melalui jalan itu. Pada segala keraguan terhadap Nabi Musa a.s., bagaikan pagi yang berlalu pergi diusap cahaya siang.

Ditelan Laut Merah

Firaun yang melihat keadaan ini tercengang. Dia hairan seperti juga setiap yang menyaksikan peristiwa itu merasa hairan dan tercengang.

Nabi Musa a.s. dan Bani Israil terus berjalan dengan yakin, tawakal dan syukur kepada Allah Ta’ala. Firaun dan bala tenteranya mengekori dari belakang. Dengan bongkak Firaun berbohong, “Kamu semua lihat kekuasaanku sebagai Tuhan. Laut ini terbelah dan kita dapat melaluinya untuk menamatkan riwayat Musa dan Bani Israil di tengah-tengah lautan ini.”


Cuaca semakin cerah. Malam sudah berlalu dan siang baru tiba. Nabi Musa a.s. dan Bani Israil telah menjejaki pantai sebelah timur Laut Merah, Firaun dan bala tenteranya masih di tengah-tengah jalan Laut Merah. Tiba-tiba air laut bercantum semula, maka tenggelamlah Firaun dan semua tenteranya ditelan Laut Merah itu.

Firaun betul-betul kecewa dan insaf.  Dari dalam air yang tidak mengenal kekuasaan dan kesombongan sesiapa pun, Firaun bersuara dengan sesak, “Wahai Musa!, Tolonglah aku!, Sekarang aku percaya, bahwa tiada Tuhan selain Allah, yang telah diimani oleh Bani Israil dan sekarang aku beriman.”

Tetapi Allah tidak menerima keimanan Firaun. Masanya sudah terlalu lewat dan ajalnya sudah tiba. Firaun tenggelam dan akhirnya terapung di atas lautan sebagai bangkai yang tidak bernilai langsung. Betapa buruknya akhir riwayat hidup Firaun.

Wallahu’alam.


Daripada Abi Najih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. berkata : “Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w. akan suatu nasihatv yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami’. Lalu Baginda pun bersabda, ‘Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bida’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.”

Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

Keterangan ;

Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah s.a.w. bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini, iaitu :

Pertama ; Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

Kedua ; Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w., dan sunnah-sunnah khulafa Ar Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Ketiga ; Berpegang teguh kepada sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Abu bakar, Omar, Osman dan Ali r.a.hum) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala, iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalan ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.

Keempat ; Menjauhi perkara-perkara bid’ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bid’ah menurut pengertian syarak (bukan bid’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid’ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitulah bid’ah hasanah).

Petikan dari kitab Empat Puluh Hadis Peristiwa Akhir Zaman susunan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki)



Jika hendak hidup beriman
Serta mulia di sini Tuhan
Marilah kita hendak ingatkan
Wasiat Nabi di akhir zaman

Wajiblah kita menjaga diri
Cabaran hidup banyak sekali
Janganlah kita lupakan diri
Hidup ini menuju mati

Bila melihat mungkar yang nyata
Maka janganlah hanya mengata
Tapi bangkitlah menabur jasa
Membimbing umat jadi pelita

Umat Islam perlu didakwah
Nasihat baik serta berhikmah
Dengan semangat serta ukhuwah
Hubungan kita tambah meriah

Jadikan takwa sebagai jalan
Di dalam hidup sepanjang zaman
Taat dan patuh pada pimpinan
Selama Quran jadi pegangan

Sunnah Nabi dipegang teguh
Sunnah khulafa diikut penuh
Mesti waspada ajaran musuh
Bid’ah dholalah wajib dijauh


Wallahu'alam. Sekian Wassalam.
Pondok Derang Kedah Darul Aman.

Isnin, 25 November 2013

Ku Mencari Insan seperti Uwais Al-Qarani.



Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Isnin (25/11/2013) 25 November 2013 Masihi bersamaan (15/01/1435) 15 Muharram 1435 Hijrah. dalam artikel kali ini hamba nukilkan kisah tentang Uwais Al-Qarani r.a., seorang tabi'in dan auliya' sulong yang hidup di zaman Rasullullah s.a.w. tetapi dia tidak pernah bertemu wajah dengan Rasulullah s.a.w. Semoga dengan kisah Uwais Al-Qarani r.a. ini akan menjadi sedikit iktibar dan panduan untuk kita sebagai ummat di akhir zaman ini.

Daripada Mu’az r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sedikit daripada riya’ itu adalah sama dengan syirik. Barangsiapa yang memusuhi para Wali Allah, maka seolah-olah dia mahu melawan Allah dalam tandingan. Sesungguhnya Allah Ta’ala mencintai para hambaNya yang baik-baik, yang bertakwa serta menyembunyikan amalannya, yang apabila mereka menghilangkan diri tiada siapa yang menanyakannya, dan jika mereka berada di tengah-tengah khalayak ramai tiada siapa yang mengenali mereka. Hati mereka umpama cahaya petunjuk, mereka sentiasa menjauhkan diri dari segala tempat yang gelap berdebu.

Bersabda Nabi alaihis shalatu wassalam lagi; Manusia yang sangat aku banggakan di sisiku ialah seorang Mukmin yang ringan tangannya, tetapi banyak shalatnya, rezekinya serba mencukupi saja namun dia terus bersabar sehingga dia menemui Allah. Dia sentiasa memperbagusi peribadatannya terhadap Tuhannya, dia hanya seorang yang hina di mata ramai, segera matinya dan sedikit warisan yang ditinggalkannya serta tiada siapa yang akan menangisinya.


Berkata Syaikh Imam Abdullah bin As’ad Al-Yafi’I Al-Yamani rahimahullah Ta’ala di dalam kitabnya yang berjudul ‘Raudhur-Raiyahin’ pada hikayat 145, diceritakan bahwa Uwais Al-Qarani r.a. pernah mengutip makanannya dan pakaiannya dari tempat sampah, lalu dia digunggung (disalak) oleh anjing yang mencari makanan dari tempat yang sama. Maka berkata Uwais kepada anjing itu; “Ambillah makananmu dari apa yang ada di sisiku, dan jangan engkau menggunggungku lagi. Nanti (di hari kiamat) jika aku lepas meniti Sirat, tentulah aku lebih baik daripadamu. Kalau tidak, maka engkaulah yang lebih baik daripadaku!”

Uwais Al-Qarani r.a. : Nama penuhnya ialah Uwais bin Amir bin Juzu’ dari suku Qaran. Tergolong sebagai Tabi’in yang terulung, seorang tokoh zahid, pekaiannya tidak terurus, tidak memiliki apa pun. Ada berita yang mengatakan bahwa dia telah mati terbunuh pada pertempuran Shiffin di pihak Saiyidina Ali Karramallahu wajhah pada tahun 37 Hijrah.

Uwais Al-Qarani ini selalu dicemuh oleh kaum keluarganya sendiri, dikatakannya ‘orang gila’, dan semua kaum kerabatnya mengejek-ngejeknya, sehingga anak-anak kecil di jalanan pun turut mempermain-mainkannya dan selalu juga melimpar batu kepadanya, dan untuknya Imam Habib Abdullah Al-Haddad bermadah; 
Tuhan mengutamakan suatu kaum dengan minuman kesayanganNya
Mereka pun berkelana di antara kotanya dan perkampungannya
Orang bodoh menuduh mereka gila, namun hakikatnya tidaklah begitu
Hanya penyakit mabuk cinta yang ketara kini menimpa kaum itu
Disogokkan minuman cinta sebagai penawar kepada merananya
Malah mereka semakin kemabukan kepda siapa yang dicintainya
Di tengah malam gelap gelita tiada hentinya menyebut namanya
Untuk menyendiri dengan pencintanya Uwais bin Amir di antaranya.




Sebuah riwayat mengenai Uwais Al-Qarani

Tersebut di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w. : “Sesungguhnya Allah azzawajalla sangat cinta kepada makhlukNya yang bersih, suka menyembunyikan diri, yang suka berbuat kebajikan, yang kusut masai rambut di kepalanya, yang comot wajahnya, yang kempis perutnya, yang apabila mereka datang kepada para penguasa terus dihalau, yang bila meminang puteri orang yang senang tidak berjaya untuk dinikahkan, bila mereka tidak ada ditengah-tengah makhluk ramai  tidak dicari orang, bila mereka datang tidak disambut orang, jika sakit tidak dilawati orang, jika mati tidak dipedulikan orang.”

Para sahabat lalu bertanya : “Duhai Rasulullah! Bagaimana hendak mengetahui siapa orang itu?” Jawab Baginda  s.a.w. : “Itulah dia Uwais Al-Qarani.” Tanya mereka lagi : “Siapa Uwais Al-Qarani?” Jawab Rasulullah s.a.w. : “Orang itu pucat lesi, lebar kedua bahunya, sederhana tingginya, hitam manis kulitnya, janggutnya panjang hingga ke dadanya, sentiasa tunduk ke tempat sujudnya, meletakkan tangan kanannya ke atas tangan kirinya, sentiasa meratapi dirinya, koyak rabak pakaiannya, memakai pakaian yang kasar dan kain ridak yang kasar, di bumi mana pun tetap tiada dikenali orang, malah terkenal di penghuni langit, kalau dia bersumpah dengan nama Allah niscaya ditunaikan segala permintaannya. Ingatlah di bawah ketiak kirinya ada cahaya yang putih, dan nanti di hari kiamat akan dikatakan kepada semua orang, ‘masuklah ke dalam syurga!’, namun akan dikatakan kepada Uwais ‘tunggu di sini, dan berilah jaminanmu!’, lalu dia akan memberikan jaminannya kepada Allah Ta’ala akan ummat seperti suku-suku Rabi’ah dan Mudhar. Wahai Umar! Wahai Ali! Jika kedua kamu menemuinya, mintalah dia supaya memohonkan keampunan kepada ALLAH buat kamu, niscaya Allah akan mengampuni kamu”.


Perawi itu lalu menyambung : Maka kedua-dua sahabat Umar dan Ali radhiallahu-anhuma menanyakan selama sepuluh tahun, tiada siapa yang tahu tempatnya, sehingga pada akhir tahun akan wafatnya Umar r.a., dia lalu berdiri di atas Abu Qubais seraya menyeru dengan suaranya yang  keras ; “Wahai Ahli Yaman! Adakah di antara kamu orang yang namanya Uwais?!” Maka berdirilah seorang tua yang panjang janggutnya seraya menjawab : “Kami tidak tahu Uwais yang mana engkau maksudkan. Akan tetapi ada seorang anak saudaraku namanya Uwais juga, dan dia adalah seorang yang tidak dikenali orang, tidak punya apa-apa, dan orangnya terlalu hina sehingga patut kami memberitahu engkau tentang dirinya, dan sekarang dia sedang menunggu unta-unta kami, dia seorang yang tiada berharga dalam pandangan kami.”

Mendengar berita dari orang tua itu, Umar r.a. pura-pura tidak memberi sepenuh perhatiannya, lalu dia bertanya lagi : “Di mana anak saudaramu itu sekarang? Adakah dia berada di tanah haram kami?” Jawab orang tua itu : “Benar, dia ada di sini.” Umar r.a. bertanya lagi : “Di mana dia sekarang?” Jawab orang tua itu : “Di Arafat, di sebuah tempat namanya Arak.”

Sambung periwayatnya : Maka kedua-dua Umar dan Ali radhiallahu-anhuma menunggang kenderaan menuju ke Arafah dan mendapati Uwais Al-Qarani sedang bershalat di bawah sebatang pohon, manakala unta-unta jagaannya sedang berada di kelilingnya. Umar dan Ali pun mengikat keldai tunggangannya, kemudian menuju kepada Uwais seraya mengucapkan salam : “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.”

Mendengar ada orang yang datang, Uwais meringkaskan shalatnya, lalu menjawab salam kedua orang yang baru sampai di situ. Maka Umar dan Ali pun bertanya : “Siapa anda?” Jawab Uwais ; “Seorang penggembala unta yang mengambil upah untuk menggembala unta-unta ini.” Kedua pendatang itu berkata : “Kami datang ini bukan untuk bertanya anda tentang penggembalaan dan penyewaan, tetapi siapa namamu?”

Jawab Uwais : “Hamba Allah!” Keduanya pun menyambut : “Semua orang yang di langit dan di bumi, semuanya adalah hamba-hamba Allah, tetapi apa namamu yang diberikan oleh ibumu?”


Uwais kelihatan senang dengan Umar dan Ali radhiallahu-anhuma (sedang dia masih belum kenal dengan mereka). Uwais pun bertanya : “Wahai dua lelaki yang bertanya, apa kamu mahu dengan saya?” Kedua mereka pun menjelaskan sebab kedatangan mereka dengan berkata : “Nabi s.a.w. telah menerangkan sifatnya seorang yang bernama Uwais Al-Qarani, yang raut mukanya pucat lesi, dan matanya kuyu kecut, dan Baginda memberitahu kami lagi, bahwa di bawah bahu kirinya terdapat semacam tanda putih, sekarang cubalah tunjukkannya kepada kami, kalau memang itu ada padamu, memanglah engkau ini orang yang disifatkan oleh Nabi s.a.w.”

Uwais tidak dapat mengelak lagi, lalu dia pun menunjukkan kepada Umar dan Ali apa yang ada pada bawah bahunya, maka benarlah ada semacam tanda putih di situ, lalu kedua Umar dan Ali pun berkata : “Kami menyaksikan bahwa engkaulah Uwais Al-Qarani yang dikatakan Nabi s.a.w. itu, maka mohonkan keampunan bagi kami, moga-moga Allah turut mengampunimu.”

Uwais Al-Qarani merasa serba salah, lalu menjawab : “Aku tidak pernah mengkhususkan permohonan ampun buat diriku sendiri dan siapa pun dari anak Adam, akan tetapi aku hanya boleh memohon pengampunan buat semua makhluk di darat dan di laut dari kaum Mukminin dan Mukminat serta Muslimin dan Muslimat.”

Uwais Al-Qarani lalu menyambung bicaranya dengan berkata : “Wahai kedua lelaki! Allah telah mengenalkan kamu tentang keadaanku dan menampakkan kamu dari urusanku, tetapi siapa kamu ini?”

Ali r.a. segera menjawab ; “Ini adalah Umar, Amirul Mukminin. Dan aku adalah Ali bin Abu Thalib.” Mendengar ujar Ali itu, Uwais Al-Qarani segera bangun berdiri seraya mengucapkan : “Salam sejahtera ke atasmu, duhai Amirul Mukminin beserta rahmat Allah dan keberkahanNya, dan kepada engkau juga, duhai putera si Abu Thalib. Moga-moga Allah membalas kamu berdua terhadap apa yang telah kamu berdua berbuat kepada ummat ini dari segala macam kebaikan.”


Maka ujar Uwais itu disambut oleh kedua Umar dan Ali : “Dan engkau juga, duhai Uwais, moga-moga Allah membalasmu terhadap apa yang engkau lakukan dari segala kebaikan.” Kemudian Umar r.a. menambah pula : “Tunggulah dahulu di sini, sehingga aku balik ke Makkah, dan aku akan datang lagi membawa sedikit nafkah dari pemberianku, dan lebihan dari pakaian untukmu. Janjilah kita akan bertemu lagi di tempat ini.”

Uwais pun menjawab : “Tiada janji lagi antara kita bersama, duhai Amirul Mukminin, dan aku tidak akan menemuimu lagi sesudah hari ini. Tolong beritahuku, apa yang akan aku buat dengan nafkah itu? Apa yang akan aku buat dengan pakaian itu nanti? Bukankah engkau sudah lihat di badanku ini ada dua kain dari guni yang kasar, bila agaknya dia akan koyak rabak! Aku pun sudah punyai empat dirham untuk keperluanku, bila agaknya wang itu akan aku belanjakannya?! Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya di hadapanku dan di hadapanmu ada banyak rintangan, yang tiada dapat ditempuhinya selain orang yang kurus-kering badannya, ringan tiada berdaging, maka hendaklah engkau meringankan badanmu!”

Mendengar ujar itu, Umar r.a. pun memukul-mukul bumi dengan cambuknya, seraya menjerit dengan suara yang keras : “Alangkah baiknya, kalau Umar tiada diberanakkan ibunya! Alangkah baik kalau ibuku itu mandul, tidak dapat mengandungkanku! Wahai nasib! Siapa yang mahu mengambilnya dari tanganku serta menanggung semua tugasnya, (yakni dimaksudkan jawatan Khalifah).

Uwais Al-Qarani lalu berkata : “Wahai Amirul Mukminin! Berangkatlah kini ke tujuanmu, dan aku akan berangkat ke tujuanku!”

Umar r.a. pun pergi menuju ke Makkah, manakala Uwais pula menyeret unta gembalaannya untuk diserahkannya kepada tuan punyanya, dan dia pun berhenti dari bekerja sebagai pengembala, bahkan terus menghabiskan umurnya dalam ibadat hinggalah dia kembali ke rahmatullah.



Suatu riwayat lain mengenai Uwais Al-Qarani.

Tersebut di dalam Shahih Muslim, bahwa Saiyina Umar bin Al-Khattab r.a. berkata : “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda ; ‘Ada masanya akan datang kepada kamu Uwais bin Amir dengan suatu rombongan ahli yaman dari arah Murad, kemudian dari Qaran. Uwais ini pernah ditimpa penyakit sopak, lalu dia telah disembuhkan Allah dari penyakit itu, kecuali satu tempat yang sebesar dirham. Dia mempunyai seorang ibu yang dia sangat taat dan patuh kepadanya, yang kalau dia bersumpah dengan nama Allah niscaya akan dikabulkan Allah sumpahnya. Maka jika engkau dapat meminta dia mohonkan pengampunan buat dirimu, hendaklah engkau minta daripadanya’…. Dan seterusnya hingga ke akhir sabdanya, termasuk penemuan Umar dengan Uwais dan dia pun meminta Uwais memohonkan istighfar baginya, lalu Uwais memohonkan istighfar, sebagaimana yang disebutkan di atas, lalu Umar r.a. bertanya kepada Uwais : ‘Ke mana tujuanmu?” Jawabnya : ‘Kota Kufah.’ Umar menyambung : ‘Mahu anda saya tuliskan sepucuk surat kepada gabnornya?’ Jawab Uwais : ‘Tidak, aku menjadi orang  yang tidak terkenal lebih aku suka…. Hingga ke akhir bicaranya.”

Dalam suatu riwayat lain dari Muslim daripada Saiyidina Umar bin Al-Khattab r.a. katanya : “Pernah saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda ; ‘Sesungguhnya sebaik-baik golongan Tabi’in adalah seorang lelaki namanya Uwais, dia mempunyai seorang ibu yang sangat ditaatinya, dan ada padanya tanda putih, maka hendaklah kamu menyuruhnya memohon istighfar buat kamu!”



Orang yang berdiri di kemuncak zuhud.

Diriwayatkan daripada Alqamah bin Yazid r.a. dia berkata : “Kemuncak zuhud berhenti pada delapan orang dari kaum Tabi’in, di antaranya Uwais Al-Qarani. Kaum keluarganya menuduhnya sebagai seorang majnun (gila), lalu mereka membangunkan buatnya sebuah pondok di pintu rumah mereka. Ada kalanya sampai bertahun-tahun mereka tiada melihat wajah Uwais. Adapun rezekinya adalah dari kutipan biji-biji kurma, setiap petang dia menjual apa yang dikutipnya dari biji-bijian itu untuk dibelikan makanan sarapannya.”

Apabila Saiyidina Umar bin Al-Khattab r.a. dilantik menjadi Khalifah, pada suatu hari dia berpidato kepada orang ramai di musim Haji, katanya : “Wahai manusia! Cuba semua orang berdiri!” Mereka lalu berdiri. Katanya lagi : “Semua orang duduk, melainkan orang yang datang dari negeri Yaman”. Jadi yang bukan dari Yaman semuanya duduk. Katanya lagi : “Sekarang semua orang duduk, kecuali penduduk Murad”. Yang lain lalu duduk. Katanya lagi : “Sekarang semua orang duduk, melainkan siapa yang datang dari Qaran”. Semua orang duduk, kecuali seorang lelaki, dan dia adalah pamannya uwais.

Umar r.a. lalu menanyakannya : “Apakah engkau dari penduduk Qaran?” Jawabnya : “Benar” Tanya Umar lagi : “Apakah engkau kenal Uwais?” Jawabnya : “Buat apa engkau tanya orang ini, duhai Amirul Mukminin? Demi Allah, tiada seorang pun dari kaum kami yang lebih bodoh, gila dan selalu lapar daripadanya”.


Mendengar itu, Umar r.a. lalu menangis, kemudian menjawab : “Yang gila itu engkau, bukan dia. Sebab aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Akan masuk syurga dengan syafaatnya kumpulan orang seperti suku Rabi’ah dan Mudhar”.



Cerita-cerita mengenai diri Uwais Al-Qarani.

Adalah diriwayatkan daripada Ammar bin Yusuf Adh-Dhabbi, dia memberitakan : “Pernah seorang lelaki mennyai uwais Al-Qarani, ‘Bagaimana keadaanmu di pagi ini?’ Jawabnya, ‘Di waktu pagi aku mencintai Allah, dan di waktu petang aku memuji Allah. Buat apa engkau menanyakan hal seorang yang apabila di berpagi, dia tidak yakan akan berpetang. Dan bila dia berpetang, dia tidak yakin akan berpagi pula. Sesungguhnya maut dan ingatan kepada maut itu tidak memberi seorang Mukmin peluang untuk bergembira. Sesungguhnya hak Allah pada harta seorang Muslim tidak meninggalkan pada hartanya perak dan emas, dan sesungguhnya Amar ma’ruf dan nahi munkar tidak meninggalkan teman buat seorang mukmin. Dahulu apabila kami menyuruh mereka bernuat kebaikan, mereka lalu mencaci-maki kehormatan kami, dan ada pula orang-orang yang fasik turut membantu mereka, sehingga demi Allah ada di antara mereka yang melimpar kami dengan tulang-tulang. Demi Allah, walau apa pun yang berlaku, aku tidak akan meninggalkan tugas ini semata-mata kerana bangkangan mereka itu.’ Uwais lalu pergi meninggalkanku.”

Diriwayatkan daripada Haram bin Haiyan r.a. katanya : “Aku diberitahu bahwa Uwais Al-Qarani telah tiba di Kota Kufah, aku pun keluar rumah hanya untuk mencarinya, sehingga aku menemuinya sedang berada di tepi tebing sungai Furat waktu tengahari hendak berwudhuk. Aku terus kenal Uwais dengan sifat-sifatnya yang diberikan kepadaku. Dia itu seorang yang kurus-kering, sawa matang kulitnya, compang-camping pakaiannya, kepalanya botak dan gerun pandangan matanya. Aku lalu memberi salam kepadanya, maka dia menjawab salamku. Aku lalu menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengannya, tetapi dia enggan berjabat tangan denganku.”



Pendapat Imam Habib Abdullah Al-Haddad r.a. mengenai Uwais Al-Qarani.

Pada pandanganku, bahwa Uwais r.a. dengan hidupnya yang serba tidak terurus, pakaiannya yang compang-camping, makanannya yang tidak menentu, suka menyingkirkan diri dari orang ramai kerana sentiasa beruzlah, dan apa yang dituduhnya orang sebagai gila dengan hal ehwalnya yang dipandang rendah dan hina dan seterusnya. Ini adalah suatu bukti yang kuat bagi orang yang memilih hidup fakir yang sebenarnya bila berhadapan dengan Tuhan. Tidak perlu memandang orang yang mengingkari cara hidup yang semacam itu dengan mengatakan bahwa cara hidup yang terlampau menghinakan diri itu adalah berlawanan dengan sunnah, padahal orang itu tiada mengetahui bahwa sunnah yang terutama dalam hidup ialah membelakangi dunia, meninggalkan segala sesuatu yang bakal mengganggu penujuan diri kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.


Berita yang lain mengenai Uwais Al-Qarani.

Ada suatu riwayat lain daripada Ashbagh r.a. dia berkata : “Adalah Uwais Al-Qarani r.a. ini apabila tiba waktu petang, dia berujar, ‘Malam ini aku akan terus berukuk’, yakni bersembahyang tahajjud. Lalu dia terus bersembahyang sampai ke paginya. Ada kalanya dia berkata, ‘Malam ini ialah malam sujud’, maka dia akan bersujud sampai tiba waktu siang. Begitu pula, apabila tiba waktu petang, dia akan menyedekahkan semua yang ada dalam simpanannya berupa makanan atau pakaian seraya berdoa, ‘Ya Allah, ya Tuhanku! Siapa yang mati kelaparan pada malam ini, maka janganlah balakan aku! Siapa yang mati telanjang, maka janganlah balakan aku!”


Suatu riwayat daripada An-Nadhr bin Syumail bin Kharsyah Al-Mazini At-Tamimi r.a., dia berkata : “Adalah Uwais kerap mengutip lebihan makanan dari tempat sampah, lalu dia membasuhnya untuk dimakan sebahagiannya dan menyedekahkan sebahagian yang lain, seraya berdoa, ‘Ya Allah, ya Tuhanku! Aku bersihkan diriku kepadaMu daripada siapa pun yang tidur kelaparan pada malam ini!”


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Salamah r.a. dia berkata : “Pernah kami menakluki Adzerbaijan pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. sedang Uwais Al-Qarani turut berjuang di samping kami. Apabila kami hendak kembali, ternyata Uwais ditimpa sakit, lalu kami mengangkatnya tetapi rupanya dia tidak rela, sehingga sebentar lagi dia pun meninggal dunia. Apabila kami berhenti, ternyata di sisi kami sudah tersedia sebuah kubur siap tergali, dan di sampingnya ada air, kain kapan dan pacainya. Maka kami pun memandikannya dengan air itu serta mengapankannya. Kami pun menyembahyangkannya beramai-ramai, kemudian kami menguburkannya serta meninggalkan tempat itu.

Di tengah perjalanan ada ynag mengingatkan kami, kenapa kami tidak meletakkan tanda pada kuburnya itu. Kerana itu kami kembali lagi ke tempat Uwais Al-Qarani dikuburkan, namun kami tidak melihat lagi kuburnya tadi, atau apa-apa bekas pun.”

Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abu Laila rahimahullah Ta’ala, dia berkata : “Ketika kami berada di Shiffin, ada orang yang berteriak, ‘Apakah ada di antara kami seorang yang namanya Uwais Al-Qarani?’ Mereka mencari-carinya sehingga mendapatinya antara salah seorang yang mati di pihak Saiyidina Ali r.a. ** Mudah-mudahan Allah meridhainya beserta sekalian para Auliya’ dan Salihin. 

Wallahu ‘alam.

Demikian yang dibicarakan oleh Al-Yafi’I rahimahullah Ta’ala secara ringkas saja.


Derang Kedah darul Aman.