Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 2 Mei 2013

PRU13 : Penentu Rugi Untung 13 Negeri di Malaysia (552013)


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Khamis 02/05/2013M bersamaan 21 JamadilAkhir 1434H juga bersamaan 13 Syur 10,001 Tahun PuSaka. Hamba nukilkan sebuah ucapan kerohanian untuk tatapan dan renungan semua bakal Pemimpin dan para Pengundi sekelian yang akan bertemu dalam PRU13 pada 05/05/2013 Ahad ini. Semoga kita semua selamat dari segala mara bahaya dan bala bencana.

Laksanakanlah Perintah Allah Ta'ala dan Jauhilah larangan-Nya.

Hamba keluarkan dari kitab 'Fath al-Rabbani' Wasiat dan Nasihat Kerohanian yang disampaikan oleh Al-Sayyid Syaikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani r.a. di Madrasah al-Ma'murah, pada hari Jumaat 21 JamadilAkhir 545H. Semoga wasiat ini memberi manafaat dan kebaikan untuk kita semua sebagai Warga Bumi Bertuah bersempena PRU13 ini. 

LAKSANAKANLAH semua perintah ALLAH Ta'ala, dan jauhilah semua larangan-Nya. Sabarlah menerima semua cubaan dan ujian-Nya dan mendekatlah engkau kepada-Nya dengan amalan-amalan wajib dan sunat, sehingga engkau disebut sebagai seorang yang bangkit, orang yang beramal dan mencari pertolongan daripada Tuhan-mu dengan kesungguhan. Usahamu meninggalkan semua tuntutan keduniaan untuk datang ke pintu gerbang amal. Sedangkan itu adalah perbuatan yang akan menjadi amal bagimu.

Bermohonlah engkau dan berhina dinalah di hadapan-Nya sehingga dipersiapkan bagimu sarana untuk ketaatan. Kerana jika Dia menghendakimu untuk melakukan sesuatu itu, maka Dia akan mempersiapkan dirimu untuk itu. Dia benar-benar telah menyuruhmu, dan hendaklah engkau segera melakukannya, sedangkan Dia akan memberi pertolongan untukmu dalam melaksanakan perintah itu. Secara zahirnya hanya terlihat adanya perintah, tetapi secara batin, Dia akan memberi pertolongan. Pencegahan dari kederhakaan itu adalah secara zahiriah, sementara batinnya adalah wujudnya perlindungan-Nya.


Dengan pertolongan-Nya engkau bergantung, dengan pertolongan dan penjagaan-Nya engkau tinggal, dan dengan kekuatan-Nya engkau bersabar. Hadirlah engkau di sisiku dengan fikiranmu, keteguhanmu, niat dan tujuanmu. Hilangkanlah sangka burukmu kepadaku dan berbaik sangkalah engkau terhadapku. Apabila kamu telah benar-benar memanafaatkan apa yang aku ucapkan dan memahami semua pengertiannya.

Wahai orang yang bersangka buruk kepadaku...! Kelak akan kujelaskan kepadamu, bahawa semua yang aku lakukan bukanlah untuk keuntunganku sendiri, kerana aku telah memaksa dan menaklukkan hatimu. Beban berat dunia berada di atas kepalaku, sedangkan beban berat akhirat berada di dalam hatiku, sementara beban berat Allah al-Haq berada di dalam batinku. Apakah ada seseorang di antara kamu yang akan membantuku...? Barangsiapa di antara kamu yang ingin berbuat baik, maka tampillah ke hadapanku, gerakkanlah kepalamu dan pujilah Allah s.w.t.

Aku tidak memerlukan pertolongan daripada siapapun, selain daripada Allah Ta'ala. Berfikirlah kamu dan berakhlak baiklah kamu kepada kaum ini (para Zahidin) kerana merekalah yang mencabut semua kerosakan kamu serta menjadi pelita bagi bangsa dan manusia pada umumnya. Kerana merekalah bumi ini dipelihara. kalau tidak, apakah bumi ini akan dipelihara dengan kemunafikan, keria'kan dan kesyirikan...? Wahai orang munafik...! Wahai musuh-musuh Allah dan Rasul-Nya, wahai orang yang membuka jalan ke neraka.


Ya Allah....! Terimalah taubat kami dan taubat mereka...! Ya Allah...! Bangkitkanlah kami bersama mereka, kasihanilah kami dan mereka...! Kosongkanlah jiwa dan tubuh kami daripada selain Engkau. Jika memang dimestikan, maka biarkanlah anggota badan kami ini untuk ahli keluarga kami dalam urusan dunia, sedangkan jiwa kami untuk akhirat, manakala hati dan batin kami untuk Engkau Ya Allah...! Aminn...!

Wahai hamba...! Engkau tak mampu menciptakan sesuatu, sedangkan engkau mesti berusaha untuk menciptakannya. Engkau tidak akan mampu untuk mendatangkan sesuatu tetapi adalah suatu kewajiban bagimu untuk dan menetap di pintu amal, sehingga Dia memberi kemampuan kepadamu untuk beramal.

Dalam hal ini engkau hendaklah berusaha untuk membangun asas-asas amal itu dengan daya usahamu sendiri, sedangkan untuk seterusnya Allah Ta'ala akan memberikan taufiq kepadamu. Engkau adalah selaku hamba yang diberi tugas untuk membuat pilihan berkenaan dengan amal yang bakal engkau lakukan, sedangkan pemilik amal itu ialah Allah Ta'ala, yang telah memerintahkan kepadamu untuk segera melakukan ketaatan, dan Dia juga yang akan memberikan pertolongan kepadamu dalam melaksanakannya.


Celakalah engkau...! Engkau telah membelenggu dirimu dengan ketakutan kepada manusia dan dengan menumpukan sepenuh harapanmu kepadanya. oleh itu, lepaskanlah belenggu itu dari kedua-dua belah kakimu, sehingga engkau dapat berdiri untuk berkhidmat kepada Tuhanmu, dan jadilah engkau tenang di hadapan-Nya dengan kezuhudan terhadap dunia, menjauhi gelora hawa, nafsu, wanita dan segala isi dunia ini.

Jika pada azali semuanya itu sudah ditentukan untukmu, maka engkau akan memperolehi semuanya itu, dan semuanya itu akan datang kepadamu, tanpa melalui permintaan atau permohonanmu, sehingga engkau disebut sebagai seorang zahid oleh Allah Ta'ala, dan Dia akan memandangmu dengan pandangan kemuliaan. Sedangkan sesuatu bahagianmu tidak akan terlepas daripadamu. Bagaimanapun, selama engkau berpegang kepada kekuatan dan daya upayamu serta apa yang engkau miliki, maka tidak akan ada suatu pun yang datang dari alam ghaib.


Seorang ulama' berkata : "Selama di dalam hatimu terdapat sesuatu, maka tidak akan datang sesuatu pun dari alam ghaib kepadamu."

Ya Allah...! Kami bermohon kepada-Mu, agar Engkau menjauhkan kami daripada sikap yang selalu bersandar kepada sebab-musabab dan berhenti padanya bersama kejahilan kami, hawa kami, nafsu kami dan kebiasaan kami. Kami bermohon kepada-Mu agar terhindar daripada keburukan dalam semua keadaan.

"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada seksaan api neraka." (Surah al-Baqarah ayat 201)


Sekian Wassalam.
Pondok Derang Kedah Darul Aman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan