Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Khamis 07 November 2013M bersamaan 03 Muharram 1435H sempena awal tahun hijrah 1435, hamba mengucapkan Salam Ma'al Hijrah kepada saudara dan saudari pembaca sekalian. Semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat serta mendapat rahmat daripada Allah Ta'ala.
Pada artikel kali ini, dalam gaya cerpen, hamba mengajak sekalian pembaca untuk bersama-sama hamba mengembara dengan menggunakan kuasa minda dan rohani masing-masing ke istana Firaun di saat Ayahnda Musa a.s. dan Ayahnda Harun a.s. menjalankan usaha dakwah kepada Firaun dan kaumnya. Semoga dengan cara ini dapat kita sama-sama menghayati suasana di zaman Firaun dan seterusnya sama-sama kita dapat menjadikan kisah ini sebagai panduan serta pengajaran dalam menghadapi zaman realiti kita di zaman kini
Berdakwah di Istana
Firaun
Sebuah istana besar dan
indah tersergam di tebing sungai Nil. Tembok batu dan pagar besi tegak tegap
mengelilingi istana itu. Di pintu besar beberapa orang bersenjata, tegak
berkawal. Dan di setiap pintu masuk ke ruang istana itu sahaja pengawalnya.
Memang tidak mudah untuk masuk ke dalam istana itu.
Di situlah Firaun
tinggal bersama isterinya Asiah dan dayang-dayang yang sentiasa melayaninya. Di
situlah Firaun menetapkan dirinya sebagai Tuhan. Di situlah dia melakukan
segala kezaliman dan kekejaman terhadap rakyatnya terutama Bani Israil. Tetapi
di situ juga Nabi Musa a.s. diselamatkan, diasuh dan dibesarkan.
Tidak semua orang dapat
masuk ke kawasan istana, apatah lagi dalam istana. Untuk bertemu Firaun setiap
orang mesti melalui berbagai penyiasatan. Jika tersilap, berjumpa Firaun tidak,
keluar semula pun tidak. Sebenarnya orang ramai pun tidak suka berkunjung ke
istana Firaun raza zalim penghisap darah rakyat. Hanya mereka tidak berdaya
hendak menentang. Mereka menunggu pemimpin yang dapat menghadapi kesombongan
dan kekejaman Firaun.
Memang sudah cukup
Firaun menikmati kemewahan dan kepuasan hidup dari darah dan nyawa orang lain.
Kekejaman yang dilakukannya sudah sampai ke puncaknya. Kini masanya sudah tiba.
Ya, masanya sudah tiba bagi mengakhiri segala kemewahan dan kekejaman Firaun.
Di balai penghadapan,
dua orang lelaki tidak terpesona dengan kebesaran Firaun, malahan mereka tidak
gentar menghadapi tindakan Firaun. Mereka mencabar Firaun yang dilaknatkan oleh
Allah Ta’ala. Mereka tidak akan tunduk kepada Firaun.
Dengan angkuh Firaun
bertanya, “Siapa kamu berdua?” Seluruh pembesar Firaun tertumpu ke arah tetamu
itu.
Nabi Musa a.s.
menjawab, “Kami, Musa dan Harun, adalah pesuruh Allah yang diutuskan kepadamu.”
Terbeliak mata Firaun mendengar kata-kata itu. Dia semacam tidak faham.
“Supaya kamu
membebaskan Bani Israil daripada diperhambakan dan ditindas dan menyerahkan
mereka kepada kami, supaya mereka dapat menyembah Allah dengan bebas dan
menghindari seksamu.” Tegas Nabi Musa a.s.
Pertama kali Firaun
mendengar kata-kata seperti itu, di dalam istananya pula. Betapa berani orang
yang berkata begitu. Orang yang hadir merasa ngeri mendengar kata-kata itu.
Mereka ngeri kerana itu memungkinkan kepala dan badan orang yang berkata terpenggal.
Tersentak Firaun. Dia
berdiri dengan megah. Tangannya menuding ke arah Nabi Musa a.s., lalu terluncur
kata-kata, “Bukankah kamu Musa yang kamu asuh sejak bayi? Kamu tinggal bersama-sama kami di dalam
istana ini sampai kamu remaja. Dan di sinilah kamu diasuh!”
Suara Firaun yang kuat
itu tidak sedikit pun mengerunkan Nabi Musa a.s. dengan tenang dia menentang
kata-kata Firaun, “Apakah pemeliharaanmu terhadapku dulu sebagai tanda
kebaikanmu? Bukankah itu sebagai tanda kekejemanmu terhadap bayi Bani Israil?”
Serba salah Firaun
mendengar sanggahan Nabi Musa a.s. Dia tidak pernah berhadapan dengan orang
seperti Nabi Musa a.s. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan.
Firaun
menggeleng-gelengkan kepala. Baginya Nabi Musa a.s. orang yang tidak mengenang
budi. “Begini rupanya, Musa, engkau lupakan kebaikan kami kepadamu,” jelas
Firaun.
Dengan tegas Nabi Musa
a.s. berkata, “Bahawasanya kamu telah memeliharaku sejak bayi; itu bukanlah
satu jasa yang dapat kamu banggakan. Aku jatuh ketanganmu adalah akibat
kekejaman dan kezalimanmu, iaitu ketika kamu memerintahkan orang-orangmu
menyembelih setiap bayi lelaki yang lahir, sehingga ibuku terpaksa membiarkan
aku terapung-apung di sungai Nil dalam sebuah peti. Lalu ada orang yang
mengambil aku dan dibawa ke sini (istana). Oleh itu aku terselamat dari hukuman
sembelih.”
Tercengang sejenak
Firaun mendengar Bani Musa a.s. berbicara dengan begitu lancar dan petah. Rasa
takjubnya segera disembunyikan di sebalik pertanyaan dengan suara kasar. “Bukankah kamu yang membunuh seorang dari
golongan Qibti, sedangkan kamu sehingga sekarang masih bebas, tidak menerima
hukuman. Tidaklah ini tanda kebaikan kami?’ kata Firaun.
Nabi Musa a.s.
menjawab, “Oh, itu adalah perbuatan yang tidak sengaja, namun peristiwa itu
mengandungi rahmat dan hikmat, sebab semasa aku di perantauan, setelah aku
melarikan diri dari kekejamanmu. Allah telah mengurniakan hikmat dan ilmu
kepadaku, lalu Dia mengutuskan aku sebagai Rasul-Nya.”
“Rasul?” Tanya Firaun
mencelah.
“Ya, rasul Allah. Dan
aku ke mari adalah dalam rangka melaksanakan tugasku sebagai Rasul untuk
mengajak kamu dan kaummu menyembah Allah dan meninggalkan kezaliman serta
penindasanmu terhadap Bani Israil.” Jelas nabi Musa a.s.
Bagai dirantap-rentap
jantung Firaun mendengar kata-kata Nabi Musa a.s., kerana baru ini orang
menyebut Allah di hadapannya, dan ini bererti cabaran terhadap ketuhanan
dirinya sendiri.
Dia bertanya, “Siapakah
Tuhan yang engkau sebut-sebut, hai Musa? Adakah Tuhan di dunia ini selain aku
yang layak disembah dan dipuja?”
Memang pertanyaan yang
seperti itu yang dikehendaki oleh Nabi Musa a.s., biar semua yang hadir tahu
kepalsuan tuhan Firaun. Dia menjawab, “Dia Tuhanku dan Tuhan nenek moyangmu
serta Tuhan sekalian alam.”
“Siapakah Tuhan
sekalian alam itu?” Tanya Firaun gugup.
“Dia Tuhan langit dan
bumi dan setiap yang ada di langit dan bumi.” Jawab Nabi Musa a.s.
Firaun tidak berdaya
berhujah lagi. Dia berpaling kepada para pembesar istana. “Sudahkah kamu
mendengar kata-kata Musa? Sudahkah kamu tahu siapa Tuhan Musa?” Lagaknya yang
kasar dan angkuh memaksa semua pembesar mengiakan kata-kata Firaun.
“Sesungguhnya Rasul
yang diutuskan kepada kamu ini orang gila.” Helah Firaun untuk mengelakkan
orang ramai terpesona.
Dengan tenang Nabi Musa
a.s. bersma saudaranya Nabi Harun a.s. menerima tuduhan itu. Nabi Musa a.s.
menyeru mereka menggunakan fikiran. Tidak mungkin manusia menjadi tuhan
manusia!
Sekali lagi Firaun
bertanya kepada Nabi Musa a.s., “Siapakah Tuhan kamu berdua?”
Nabi Musa a.s. tidak
berubah sikap. Kata Nabi Musa a.s., “Tuhan kami, Tuhan yang telah memberi
setiap makhluk suatu bentuk kejadian, kemudian memberi petunjuk kepadanya.”
Firaun bertanya tentang
orang-orang zaman silam yang menyembah berhala dengan tujuan untuk mematikan
hujah Nabi Musa a.s., namun Nabi Musa a.s. dapat menjawabnya; “Hidayah dan
risalah Allah ada di setiap zaman dan orang yang menentang risalah-Nya,
berpaling dari kebenaran, mereka tetap akan menerima azab.”
Ucapan itu menampakkan
kemenangan menyebelahi Nabi Musa a.s. Pembesar yang hadir tahu hakikat ini. Pada
kali inilah mereka menyaksikan seorang muda menentang Firaun.
Firaun rasa malu. Dia
mesti melindungi segala kelemahannya, lalu dia membuat keputusan, “Musa,
sekiranya kamu mempercayai Tuhan selain aku, maka kamu ku masukkan ke dalam
penjara.”
“Apakah kamu akan
memasukkan aku ke dalam penjara kalau aku dapat membuktikan kebenaran
dakwahku?” Tanya Nabi Musa a.s.
Sambil mencebir
bibirnya Firaun menjawab, “Tunjukkanlah tanda-tanda yang dapat membuktikan
kebenaranmu.”
Firaun dan setiap yang
hadir menanti-nanti Nabi Musa a.s. menunjukkan tanda-tanda itu. Suasana di
ruang penghadapan itu sunyi sekejap. Semua tertumpu kepada Nabi Musa a.s.
Cabaran terhadap Nabi
Musa a.s.
Nabi Musa a.s. sudah
bersedia untuk membuktikan kerasulannya. Bukti itu bukan rekaan dan ciptaannya.
Juga bukan dicari atau sihir yang boleh dipelajari. Bukti itu anugerah Allah,
suatu mukjizat yang hanya dikurniakan kepada orang sepertinya, seperti Nabi
Salih a.s. dan Nabi Ibrahim a.s.
Firaun tidak pernah
menghargai hak dan kemampuan orang lain juga telah bersedia untuk menyaksikan
bukti itu. Ke kanan ke kiri dia menoleh. Di kanannya pembesar, di kirinya ahli
nujum istana. Dia begitu percaya bukti itu tidak lebih daripada pertunjukan
anak-anak yang masih mentah.
Ahli nujum
menganggukkan kepalanya tanda setuju untuk menyaksikan bukti kerasulan Nabi
Musa a.s., para pembesar juga begitu. Haman terutama sekali yang berbuat
seperti ahli nujum itu.
Maka dengan lagak
paling angkuh Firaun berkata kepada Nabi Musa a.s., “Sekarang tunjukkan bukti
itu kepadaku, jika tidak…..” terhenti suaranya sambil menjeling kea rah
pengawal-pengawal istana yang memegang pedang dan lembing.
Dengan menyebut nama
Allah dan berdoa kepada-Nya, Nabi Musa a.s. melemparkan tongkatnya ke lantai.
Tongkat itu bertukar menjadi ULAR YANG AMAT BESAR dan bergerak ke arah Firaun.
Gempar!! Tongkat
menjadi Ular Raksasa. Tersentak Firaun. Dia berdiri dan meninggalkan kerusinya.
Tidak sepatah kata tercetus dari mulutnya. Matanya terbeliak. Dadanya berdebar
dan tubuhnya menggeletar.
Ular Raksasa itu
semakin hampir kepada Firaun. Ahli nujum tidak dapat menyekat kemaraan ular
itu. Puas dia membaca mentera, hamper kering air liurnya, namun ular mukjizat
itu tidak berhenti. Dia memerhatikan Firaun dengan cemas. Belum pernah dia
mengalami keadaan sedemikian.
Haman dan orang ramai
juga tercengang. Masing-masing bingkas hendak menyelamatkan diri.
Pengawal-pengawal istana bertemperian. Setiap kali mereka cuba mengacahkan
pedang dan lembing, pedang dan lembing itu terlepas dari tangan mereka. Mereka
gementar dan menggeletar.
“Ular!.... Ular!” suara
mereka terputus-putus. Sedangkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tenang
sahaja melihat peristiwa mukjizat itu.
Pucat sungguh muka
Firaun. Ular Raksasa itu sudah begitu hampir.
Dengan suara terketar-ketar dia memohon kepada Nabi Musa a.s., “Musa,
demi lapan belas tahun aku memeliharamu, panggillah kembali ular ini.”
Dengan tenang Nabi Musa
a.s. mengambil ular itu. Demi disentuhnya sahaja kepada Ular Raksasa itu, ia
bertukar menjadi tongkat semula. Kedengaran Firaun melepaskan nafas sesaknya
sejenak tadi. Orang ramai juga menjadi lega.
Mukjizat yang
menggemparkan itu rupa-rupanya belum cukup untuk membuka hati mereka supaya
beriman kepada Allah Ta’ala. Kedudukan, kemewahan dan nafsu mereka menutup
rapat pintu hati mereka. Mereka tidak Nampak cahaya keimanan dan kebahagiaan
abadi.
Firaun menunjukkan
kesombongannya lagi, “Musa, bukti itu belum cukup bagiku! Ada bukti lain yang
dapat kamu tunjukkan?”
“Baik, lihatlah
tanganku.” Sahut Nabi Musa a.s. Dia memasukkan kedua belah tangannya ke saku
kiri dan kanannay. Lalu dikeluarkan semula. Kelihatan tangan itu bercahaya
memancar-mancar. Silau mata Firaun dan setiap orang yang melihatnya. Tidak
terdaya Firaun menentang kedua-dua mukjizat Nabi Musa a.s.
Kali ini Firaun tersilap
orang. Nabi Musa a.s. bukan Bani Israil seperti yang pernah diseksanya. Nabi
Musa a.s. kini Rasul Allah.
Firaun tahu dia tidak
terdaya menentang Nabi Musa a.s. Ahli nujum istana juga tahu dia tidak berdaya
menentang Nabi Musa a.s. Begitu juga pembesar istana. Namun kedudukan dan nafsu
mereka tidak mengakui hakikat ini.
“Kamu!, Kamu! dan
kamu!,” teriak Firaun dengan lantang. Tangannya menuding muka ahli nujum dam
pembesar istana. Haman yang selalunya tegak menatap muka Firaun tunduk
tersipu-sipu. “Kamu sudah saksikan sihir kedua-dua orang gila ini. Mereka ingin
mengalahkan kita dengan sihir itu. Kamu mahu mengaku kalah? Kamu mahu
membiarkan mereka?” suara Firaun lantang, bergema seluruh istana.
Nabi Musa a.s. tetap
tenang dan bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan. Dia menghampiri Nabi
Harun a.s. serta membisikkan sesuatu supaya mereka bertawakal kepada Allah
Ta’ala.
Firaun menoleh ke arah
Haman. Orang lain juga memperhatikannya. Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s.
juga begitu. Gelisah Haman, lalu dia mengumpulkan segala kekuatannya, terluncur
cadangan dari mulutnya. “Musa dan Harun mesti dikalahkan dengan sihir juga,
sehingga mereka terhapus dari bumi ini.” Jelas Haman.
Tersenyum Nabi Musa
a.s. mendengar kata-kata Haman. Dia begitu yakin, kebatilan mesti akan lenyap
dan kebenaran akan menjadi kenyataan.
“Negeri Mesir mempunyai
ramai ahli nujum dan ahli sihir. Kita kumpulkan mereka untuk menentang Musa dan
Harun.” Cadang Haman lagi. Firaun bersetuju dengan cadangannya itu. Dan esok
upacara menentang mukjizat Nabi Musa a.s. akan diadakan. Nabi Musa a.s.
bersedia untuk menghadapi cabaran dari ahli sihir seluruh Mesir.
Perlawanan itu diadakan
di padang yang luas. Firaun dan para pembesar hadir. Orang ramai yang ingin
menyaksikan juga hadir.
Perlawanan antara Sihir
dan Mukjizat.
Perlawanan dimulakan
pada hari yang ditetapkan. Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tampil ke tengah
padang. Nabi Musa a.s. berkata kepada para ahli sihir, “Celaka besar sesiapa
yang mendustakan Allah. Kamu sekalian sudah mendustakannya. Kamu kira mukjizat
ini sebagai sihir? Kamu samakan sihir dengan mukjizat, yang hak dengan yang
batil? Sesiapa yang cuba memalsukan yang hak dan membenarkan yang batil, maka
dia akan kalah dan akan rugi.”
Kata-kata Nabi Musa
a.s. meresap ke dalam hati para ahli sihir. Berbelah bagi hati mereka kini. Terbayang
di fikiran mereka tawaran istimewa Firaun, namun bayangan itu kian pudar,
dikaburi oleh hikmat kata-kata Nabi Musa a.s.
Mereka terasa tidak
berdaya hendak menentang Nabi Musa a.s., tetapi suara Firaun mengganggu mereka
dari memikirkan kata-kata itu. “Wahai ahli sihir! Kamu tentu mahu wang, harta
dan perempuan. Sekarang tunjukkan kepandaianmu kepada Musa!” jerit Firaun.
Ahli sihir berbaris.
Mereka melontarkan tongkat dan tali. Melingkar-lingkar tongkat dan tali itu
menjadi ular. Berbagai-bagai rupa, bentuk dan saiznya. Gementar dan seram
oaring yang menyaksikannya, namun Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tetap
tenang. Allah memberi kekuatan peribadi kepada mereka, “Jangan takut, hai Musa,
kamulah yang lebih unggul.”
Nabi Musa a.s.
melemparkan tongkatnya ke tengah-tengah lingkaran ular itu. Serta-merta tongkat
itu menjadi ular yang amat besar. Seekor demi seekor ular ahli sihir itu
ditelan oleh ular Nabi Musa a.s. Akhirnya tidak ada satu pun yang tinggal.
Gempar lagi! Orang
ramai terpegun melihat peristiwa itu. Firaun berpeluh menyaksikannya. Haman
tunduk menggigil dan ahli sihir terpaku membisu.
Firaun pulang dengan
dendam yang tidak terlerai. Dia diiringi Haman dan para pembesar. Ahli-ahli
sihir bergerak mendapatkan Nabi Musa a.s. Mereka tunduk dan mengakui kerasulan
Nabi Musa a.s. Mereka insaf dan bertaubat tentang apa yang pernah mereka
lakukan dulu.
“Sesungguhnya kami
telah beriman kepada Tuhan kami, supaya Dia mengampunkan kesalahan dan dosa
kami mengerjakan sihir yang kau (Firaun) paksakan ke atas kami. Dan Allah lebih
baik dan lebih kekal.”
(maksud al-Quran, surah Taha ayat 73)
Di istana Firaun, Haman
dan orang-orang yang hatinya tertutup dari cahaya hidayah Allah terus merancang
tindakan jahat yang akan mempercepatkan kehancuran diri mereka sendiri.
Nota : Semua gambar dalam artikel ini adalah sekadar hiasan.
Wallahu’alam.
Sekian wassalam.
Utan Aji, Perlis
Indera Kayangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan