Ayahnda

Ayahnda

Isnin, 8 Ogos 2011

Siapa mengenal dirinya ( Keturunan Ayahnda Adam a.s.) nescaya akan mengenal Tuhannya (Allah Rabbul 'Alamin)


-->

Muhasabah Diri

Tika ku sendirian…
Terkenangkan peristiwa silam
Saat indah bersama teman
Bermain bergembira tika bersama
Tak kira siang atau malam
Hatiku riang bersama teman
Padang hijau jadi igauan
Pohon rendang jadi teduhan
Air di kali jadi pemandian
Suka dan duka bersama teman

Tika ku sendirian…
Ku merenung diri sendiri
Melalui firasat cermin keimanan
Aku ini insan yang hina
Aku ini insan yang alpa
Aku insan penuh dosa
Aku insan tiada harta
Aku hamba yang hina dina
Aku hamba yang berkelana
Aku hanya insan biasa
Aku hanya menumpang di dunia

Aku harapkan kasih dan sayang
Aku harapkan cinta yang suci
Aku mencari kebahagiaan
Aku mencari kejayaan
Aku memohon keredhaan
Aku memohon pengampunan
Daripada Tuhan Yang Maha Berkuasa
Daripada Tuhan Yang Maha Pemurah
Daripada Tuhan Yang Maha Penyayang

Oh… Tuhanku
Ya Allah… makbulkanlah
Doa hamba yang hina ini
Limpahkan rahmat dan hidayat
Pada hamba dan juga ummat sejagat.

Madah Anaknda Bertuah

Assalamu'alaikum...wrt,
Kita tangguh sebentar kisah tentang Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa a.s., kali ini mari sama-sama kita hayati dan renungi kejadian diri kita sendiri sebagai manusia atau insan.


Firman Allah s.w.t. dalam surah Adz-Dzaariyat ayat 21 :



“Dan pada dirimu, mengapa tidak kamu perhatikan?”

Kita sama mengetahui bahwa manusia itu ada mempunyai tubuh kasar dan mempunyai tubuh halus. Yang dinamakan tubuh kasar itu adalah yang berbentuk badan, kepala, tangan, dan kaki. Dan badan kasar ini terdiri dari darah, daging, kulit dan tulang. Tubuh halus adalah ruh yang bersifat seni (halus). Akan tetapi jika manusia cuma mempunyai badan kasar dan dan badan halus (ruh) saja tanpa akal, maka manusia itu menjadi orang gila namanya. Kerana orang gila itu sudah hilang akalnya. Bukankah demikian?


Sesungguhnya yang menjadi tenaga atau dorongan dalam diri manusia, bukan hanya akal saja. Sesungguhnya manusia diperlengkapi oleh Tuhan dengan berbagai tenaga selain daripada ruh atau nyawa. Perinciannya adalah sebagai berikut :

1.      Jasmani
2.      Ruh
3.      Rawan
4.      Akal
5.      Hawa
6.      Nafsu
7.      Dunia
8.      Malaikat
9.      Syaitan

Marilah sama-sama kita cuba mambahas satu persatu apa guna dan manfaatnya dan apa karyanya masing-masing itu.


1.      Jasmani adalah tubuh kasar yang menempati ruh, dan gunanya ruh itu adalah menghidupkan jasmani itu dari ubun-ubun kepala sampai ke ujung kaki.


2.      Ruh (nyawa) yang menghidupi sekujur tubuh manusia dan menumbuhkan tubuh manusia sejak ia berada dalam kandungan sampai lahir di dunia dan sampai batas ajalnya.


3.      Rawan, adalah pekerjaan menghayal, membayangkan sesuatu baik hal-hal belum datang atau hal-hal yang telah lalu. Misalnya seorang pengarang, dia dapat menghayalkan sesuatu sehingga menjadi sebuah karangan, demikian juga pelukis, demikian juga orang yang sedang dilamun mabuk cinta tergambar dan terbayang hal-hal yang mengasyikkan padahal belum dialaminya. Hayal atau rawan ini tidak terdapat pada binatang. Semua orang ada ‘rawan’nya. Cuma ada kuat ada yang lemah. Jadi rawan itu bertempat dalam otak manusia. Oleh kerana itulah manusia sifatnya membangun. Kerana dia mempunyai khayal yang diterbitkan oleh rawan. Sekecil-kecilnya adalah membangun rumahtangga.


4.      Akal, adalah suatu nikmat pemberian Tuhan yang mahal harganya. Manusia diwajibkan beragama kerana akalnya. Akal inilah sebagai alat penerangan bagi manusia. Maka dengan akal inilah dapat memilih mana jalan yang baik dan mana jalan yang buruk. Dan dengan akal itu manusia boleh menimbang dan memberi putusan, bersalahkah dia atau tidak. Maka dalam agama Islam, dilarang orang minum minuman keras, kerana minuman itu akan merusak akalnya, meskipun cuma sebentar saja.


5.      Hawa, adalah perasaan. Tiap-tiap manusia mempunyai perasaan. Rasa senang, rasa susah, rasa puas, rasa tertekan, rasa cinta, rasa benci, rasa mulia, rasa hina dan sebagainya. Jadi orang yang tidak mempunyai perasaan samalah seperti orang yang sudah mati jiwanya.


6.      Nafsu, adalah keinginan. Ingin senang, ingin kaya, ingin pangkat, ingin mulia, ingin kemasyhuran, ingin nama baik. Pendeknya 1001 macam keinginan, akan tetapi hawa dengan nafsu adalah bergandingan. Jika orang sedang mendapat rasa sakit, tentu ingin sembuh. Jika sedang merasai susah tentu ingin senang. Jika sedang mempunyai rasa cinta  tentu ingin bertemu kepada yang dicintainya. Jika sedang merasa marah, ingin mengomel atau ingin memukul begitulah seterusnya.


7.      Dunia, adalah hobi atau kesenangan. Tiap-tiap manusia mempunyai hobi, tetapi hobi orang tidak serupa dan kadang-kadang berubah. Ada orang yang hobinya memelihara burung, ada yang senang mengumpulkan perbagai bekas, ada yang senang main judi, ada yang senang melaga  ayam dan bermacam-macam coraknya. Itulah dunianya manusia. Akan tetapi hobi yang tidak terlarang dalam agama adalah halal. Misalnya hobi mencari harta dengan jalan halal. Dengan berniaga, berusaha bertani dan sebagainya. Dan hobi yang terlarang oleh agama adalah haram. Umpamanya hobi main judi, hobi mencuri, hobi menipu dan sebagainya.


8.      Bahwa Malaikat itu jauh daripada manusia, padahal hakikatnya tidak demikian. Dia (malaikat) itu adalah dekat, sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Infithaar ayat 10 dan 11.


“Sesungguhnya atas kamu ada malaikat penjaga, malaikat itu mulia, menulis amal kamu”.

Kemudian selain dari pada jadi penjaga, malaikat itu di kala kita tidur, malaikat menjaga jangan sampai kemasukan semut ke lubang hidung kita, atau mulut kita yang sedang terbuka. Kerana tidak semua orang yang sedang tidur mulut tertutup, juga malaikat itu dapat kita minta bantuannya.

Cubalah ketika anda mau tidur, ucapkanlah demikian: “Hai malaikatku, bangunkanlah aku jam sekian untuk bangun solat tahajjud atau solat subuh”. Insya Allah pada waktunya sebagaimana yang saudara minta atau pesankan tiba-tiba mata saudara terbuka sendiri pada waktu itu. Hal yang demikin ini hamba telah kerjakan dan terbukti. Bolehlah saudara cuba asalkan niat yang baik!


9.      Syaitan. Sesungguhnya syaitan ini bukan jauh tempatnya. Dia bukan bertempat di kuburan atau di hutan tebal. Dia bertempat di dada manusia. Cubalah perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nas ayat 5 dan 6.


”Yang membuat gangguan di dada manusia, dari pada bangsa jin dan manusia”.

Maka jelas syaitan itu tempatnya di dada manusia. Cuba perhatikan ketika kita sedang sembahyang, macam perasaan kita digoda supaya ingat ini dan itu. Padahal sebelum kita takbiratul ihram tidak ingat apa-apa. Itulah salah satu hasil pekerjaan syaitan.

Tentu pembaca akan bertanya : “Apakah manfaatnya syaitan itu pada diri manusia? Sedang nyata-nyata ia mengganggu kekhusyu’kan dalam sembahyang?”

Tiap-tiap sesuatu yang Tuhan ciptakan pasti ada gunanya. Contohnya seperti api misalnya. Api ini sangat bersar manfaatnya bagi manusia bukan? Kita tidak akan hidup jika tanpa api. Justeru api itupun tidak sedikit membuat celaka kepada manusia. Maka jika manusia tidak berhati-hati menggunakan api, niscaya timbul kebakaran yang akan menjadi bahaya bagi manusia itu sendiri.

Demikian juga syaitan pada diri manusia. Syaitan itu asalnya jin, maka jin itu Tuhan jadikan daripada api. Dan adanya syaitan dalam diri manusia adalah untuk menerbitkan amarah atau ghodhob, sabagaimana Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan : “Amarah (ghodhob) itu daripada syaitan”.


Jadi tegasnya Allah s.w.t. jadikan syaitan pada manusia untuk menerbitkan amarah manusia dan kita dapat membayangkan bagaimana jika kiranya manusia tidak mempunyai amarah? Cuma barangkali orang yang berubah akalnya (sedang mabuk) yang tidak mempunyai amarah.

Akan tetapi boleh orang amarah kepada yang mempunyai kesalahan, tetapi jangan sampai merusakkan sesuatu atau merugikan orang lain atau merugikan diri sendiri.


Wallahu'alam.... sekian, Wassalam.

Sabtu, 6 Ogos 2011

Ayahnda Adam a.s. bernikah di dalam Syurga.



Sekian lama ku mencari,
Kekasih suci cinta sejati,
Baru kini ku temui,
Idaman jiwa kekasih hati.

Segala pujian ku hadapkan,
Kepada Allah kekasih hakiki,
Memberi cinta tulus suci,
Menjamin kasih kekal abadi.

Madah Anaknda Bertuah


Kita sudah tahu bahawa kejadian Adam a.s. asli memang dari tanah. Perlu kita ketahui bahwa ada beberapa perbezaan, tentang kejadian Ibunda Hawa a.s.

1.      Nabi Adam a.s. dijadikan tidak beribu-bapa.
2.      Nabi Tsist a.s. putera Adam dijadikan tanpa ibu.
3.      Nabi Isa a.s. ada ibu, tanpa bapa.
4.      Adapun manusia seumumnya mempunyai ibu dan bapa, meskipun tanpa nikah.

Kesemuanya itu adalah hikmat dan kekuasaan Allah s.w.t.

Riwayat lain menerangkan, setelah Ayahnda Adam a.s. kembali berada di taman Syurga, ketika itu ia dapat menikmati keindahan alam. Dilihatnya dua ekor burung hinggap di cabang pohon sedang bercumbu-cumbuan.


Ketika itu timbil fikiran dalam hati Adam a.s. : “Alangkah senangnya jika aku mempunyai teman seperti burung itu”. Adam a.s tengah asyik dilamun fikiran seperti itu, tiba-tiba datang angin syurga bertiup sepoi-sepoi basah, segar dan nyaman rasanya, lalu Adam a.s. tertidur di situ tidak berasa lagi sambil duduk bersandar di sebuah kursi.


Dikala itu Adam a.s. bermimpi bertemu seorang perempuan yang sangat cantik sekali, hingga Adam a.s. jatuh cinta kepadanya. Allah s.w.t. mengetahui apa yang dirasakan oleh Adam a.s. Maka ketika Adam a.s. tertidur Allah s.w.t. ciptakan seorang perempuan yang cantik parasnya, yang serupa dilihat dalam mimpi Adam a.s.


Menurut riwayat yang mu’tabar perempuan itu dijadikan dari tulang rusuk Adam a.s. yang sebelah kiri.

Sebagaiman firman Allah s.w.t. di dalam surah Ar-Rum ayat 21 :


“Daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, bahwa Ia telah menciptakan untukmu dari diri kamu akan isteri itu, supaya kamu dapat kesenangan kepadanya. Dan diciptakan di antara kamu (berdua) rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya dalam soal yang demikian itu adalah betul-betul menjadi tanda-tanda Allah bagi golongan yang suka mengunakan fikiran”.

Demikian keterangan ayat itu, bahwa Allah s.w.t jadikan isteri atau pasangan dari diri laki-laki itu sendiri, yang tentunya dari diri Adam a.s. juga asalnya.

Baiklah, kita kembali melihat Adam a.s. yang sedang tidur mimpi dan masih belum sedar, repanya masih asyik dalam mimpinya. Ketka itu muncullah seorang gadis cantik jelita laksana bidadari datang mendekati Adam a.s.. Kulitnya putih kuning kemerah-merahan, berwajah cantik dan raut tubuh yang molek dan menarik dengan gaya yang mulus elok. Memakai pakaian yang indah-indah serta perhiasan emas intan berlian.


Ditatap wajah Ayahnda Adam yang sedang tidur pulas dengan penuh ghairah dan kasih mesra dalam hatinya. Dipandangnya lama-lama, ia tidak berani membangunkan. Dan akhirnya Ayahnda Adam terbangun sendiri. Sungguh Ayahnda Adam terkejut riang melihat rupa prang yang berdiri di dekatnya serupa dengan yang dilihat dalam mimpinya tadi. Apakah dia masih dalam mimpi? Tidak, dia bukan mimpi lagi. Ini benar-benar kenyataan. Sungguh ta’jub benar Ayahnda Adam melihatnya. Matanya tidak berkedip memandang wajah gadia itu yang membuat gadis itu tunduk malu-maluan, dan menjadi merah pipinya yang menambahkan kecantikannya. Dengan lemah lembut Ayahnda Adam bertanya : “Siapakah engkau hai orang yang cantik? Dan siapakah namamu? Dan apakah maksud tujuanmu?”


“Aku adalah seorang perempuan. Tujuanku untuk menemani engkau. Namaku, terserah kepada engkau yang memberi nama padaku”.
Begitulah jawab gadis ini dengan suara yang manis hingga kelihatan giginya putih membayang gelas, lalu dibalas senyumannya oleh Ayahnda Adam sambil berkata : “Terima  kasih, kalau begitu aku namakan engkau “Hawa”.


Keduanya beradu pandangan. Mata bertemu mata. Kemudian timbullah antara keduanya rasa cinta dan kasih dalam hati masing-masing.
Seketika itu datang berahi Ayahnda Adam, rupanya ia tak tahan lagi, tiba-tiba tangannya cuba merangkul Ibunda Hawa ingin menciumnya. Lalu terdengar firman Allah s.w.t. : “Jangan engkau menyentuh dia, sebelum engkau dinikahkan dengan dia”.

Kemudian Allah s.w.t. memanggil berkumpul malaikat, akan melangsungkan pernikahan Adam dengan Hawa. Dinikahkan oleh Allah s.w.t. dengan ijab Kabul serta maskawin, mas dan perak yang diambil dari Syurga dan disaksikan oleh malaikat Jibrail a.s., Mikail a.s., Israfil a.s. dan Izra’il a.s. dan malaikat AlMuqorrobun serta disaksikan juga oleh para malaikat lainnya.


Selesai ‘aqad nikah keduanya diizinkan bertempat tinggal di dalam syurga, khusus untuk mereka berdua. Alangkah beruntungnya kedua pengantin baru, tinggal di tempat yang baru dan semuanya serba baru, makan dan minum serba ni’mat serta perawatan yang terjamin.
  

Demikianlah kisahnya Ayahnda Adam a.s. menikah di dalam Syurga.

Wallahu’alam.


Ahad, 31 Julai 2011

Proses kejadian Ayahnda Adam a.s.



Assalamualaikum…wrt, saudara/i yang mulia, pada artikel yang lalu kita telah mengetahui tentang asal usul tanah yang digunakan untuk membentuk jasad Ayahnda Adam a.s. Perlu juga kita ketahui bahawa jasad Ayahnda Adam a.s. dijadikan oleh Allah s.w.t. langsung dari tanah bumi yang sedang kita huni ini yang mana hakikatnya tubuh badan yakni jasad kasar kita sekaliannya juga berasal dari bahan tanah yang sama walaupun proses kejadian kita bermula dari setetes air yang hina.


“Kemudian Dia (Allah) menjadikan keturunannya (manusia) dari saripati air yang hina”.
Surah As-Sajadah : ayat 8

Namum proses kejadian jasad Ayahnda Adam a.s. yang sangat cantik, indah lagi amat sempurna itu telah melalui beberapa peringkat yang amat teliti oleh Yang Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana. Dengan ini marilah sama-sama kita hayati proses kejadian jasad Ayahnda Adam a.s.


“Sungguh benar Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.
 Surah At-Tin : ayat 4

Syahadan maka dijadikan pada tubuh Adam a.s. ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang di kepala, dan dua buah liang di bawah badan letaknya. Tujuh buah letaknya di kepala : Dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung, dan sebuah liang mulut. Yang dua macam di bawah badan : Sebuah liang kemaluan dan sebuah liang dubur.

Dijadikan pula lima buah panca indera :
  1. Mata alat penglihtan.
  2. Hidung alat penciuman.
  3. Telingan alat pendengaran.
  4. Mulut alat perasa manis, asam dan sebagainya.
  5. Anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan, untuk perasa halus, kasar dan sebagainya.

Ketika Allah s.w.t. akan jadikan patung Adam, tanah itu dicampuri air tawar, air asin, air hanyir, angin, dan api. Kemudian Allah s.w.t. resapkan NurhaqNya patung Adam dengan berbagai macam “sifat”. Lalu patung Adam itu digengam dengan gengaman “Jabarut”, kemudian diletakkan di dalam “Alam Malakut”


Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan “Patung Adam” adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampuri dengan istilah rempah-rempah, wangi-wangian dari Nur Sifat Allah s.w.t., dan disirami dengan air hujan “bahrul-Uluhiyah” Kemudian patung itu dibenamkan dengan air “Kudratul-‘Izzah-Nya” iaitu sifat “Jalal dan Jammal”, lalu diciptakan menjadi patung Adam yang sempurna.

Cuba perhatikan firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Insan (Ad-Dahr), ayat 1 yang bunyinya sebagi berikut :


 “Apakah tidak datang kepada manusia khabar berita suatu zaman yang tidak dapat disebut-sebut menurut perhitungan manusia?”

Yang maksudnya Allah s.w.t. ciptakan alam semesta dan termasuk Ayahnda Adam a.s. dalam waktu yang sangat lama, yang tidak dapat ditaksir dan dikira-kira menurut perhitungan manusia zaman sekarang.

Menurut keterangan ulama’, ketika patung Adam diselubungiNya dalam waktu 120 tahun, 40 tahun di tanah yang kering, 40 tahun di tanah yang basah, dan 40 tahun di tanah yang hitam dan berbau. Kemudian Allah s.w.t. merubah patung adam dengan rupa kemuliaan. Maka tertutuplah pemandangan mata malaikat daripada melikat hakikat yang sebenarnya. Mereka memandang rendah akan bakal kejadian Adam a.s. lantaran menurut penglihatan yang nyata asal kejadian Adam a.s. Tiada lain sebabnya dari kurang ma’rifat mereka. Memang para malaikat telah mengetahui bahawa Adam a.s. ini akan menjadi khalifah Tuhan di dunia. Sudah tentu mereka merasa hairan, mengapa orang yang akan menjadi khalifah Tuhan demikian asal kejadiannya. Berbeza dengan mereka bangsa malaikat yang mereka tahu bahawa asal kejadian mereka dari cahaya.


Demikian pula ruh, ketika ruh itu diperintahkan masuk ke dalam patung Adam, ia pun merasa enggan. Segan dan malas untuk masuk ke tubuh Adam yang masih merupakan petung yang kini sudah mengeras seperti batu. Ruh itu bukan masuk, malah ia berputar-putar, mengitari patung Adam yang terlantar, di situ dikelilingi malaikat yang menyaksikan seperti Jibril a.s., Mikail a.s., Israfil a.s., Izra’il a.s. dan lain-lain malaikat lagi.

Kemudian Allah s.w.t. menyuruh malaikat Izra’il a.s. untuk mamaksakan ruh itu masuk ke dalam tubuh Adam. Lalu akhirnya ruh itu mau tidak mau ia terpaksa menyerah di tangan Izra’il a.s. Ia dimasukkan ke tubuh Adam, lalu ruh itu masuk perlahan-lahan sampai batas kepalanya saja 200 tahun lamanya.

Demikianlah Allah s.w.t. memberi kekuatan kepada Izra’il a.s. dapat memasukkan ruh itu ke dalam tubuh kasar Adam a.s. Dahulu Izra’il a.s. yang ditugaskan mengambil tanah untuk Adam, dan kini dia pula yang ditugaskan untuk memasukkan ruh ke dalam tubuh Adam. Dan kemudian nanti Izra’il a.s. pulalah yang ditugaskan untuk mencabut nyawa Adam a.s.

Setelah ruh itu meresap di dalam kepala Adam, lalu terjadilah otak, dan tersusun urat-urat sarafnya dengan sempurna, iaitu seperti telah dikatakan selama 200 tahun. Kemudian terjadilah matanya. Seketika itu matanya melek terbuka melihat dan melirik ke kiri dan kekanan. Ia melihat juga ke bawah yang sebagian badannya masih merupakan tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menonton kejadian dia. Ketika itu telinga Adam telah dapat  mendengar betapa para malaikat mengucap tasbih memuji kebesaran Allah s.w.t., dengan macam-macam ucapan kalimat tasbih dengan lagu-lagu yang merdu sekali dan mengasyikkan.

Kemudian ketika ruh sampai batas hidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itu Allah s.w.t. ajarkan mengucap Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam a.s. pertama kali di hadirat Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t. berfirman: “Yarham kallah” (Semoga engkau diberi rohmat Allah). Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan, sunat mengucap “Alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya sunat mengucap “Yarham kallah”.
Kemudian ketika ruh sampai di mana dadanya, tiba-tiba saja ia mau bangun. Padahal sebagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras. Di sini menunjuki sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabaran). Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Isra’ ayat 11 :


“Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa”.

Maka ketika ruh itu sampai di mana perutnya maka terjadilah susunan isi perutnya dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar. Kemudian terus ruh itu meresap sampai ke seluruh tubuh Adam, tangan kaki, lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian bagus dan halus. Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Ayahnda Adam a.s.

Menurut riwayat ketika Adam a.s. masih berada di Syurga sangat bagus sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit kita sekarang ini. Kerana setelah Adam a.s. di turunkan ke dunia, terjadilah perubahan warna kulitnya. Sebagai peringatan, yang masih tinggal warnanya hanya pada kuku manusia. Hal ini kita boleh lihat meskipun orang kulitnya hitam, tapi warna kuku adalah sama, ialah putih kemerah-merahan.


Suatu keterangan bahawa Nabi Adam a.s. di juluki Abul-Basyar yakni “Ayahnda segala Manusia” dan Nabi Muhammad s.a.w. dijuluki “Abul-Ruh” atau “Abul-Arwah” yakni “Ayahnda segala ruh”.

Mari kita teruskan riwayat Ayahnda Adam a.s.!

Setelah kejadian Adam a.s. dengan sempurna, sebagai manusia baru, dialah jenis makhluk manusia yang pertama. Wajahnya bagus simpatik, tampan, pendek kata semua malaikat merasa kagum melihat Adam a.s. yang begitu bagusnaya. Mereka sama sekali tidak menyangka bahwa makhluk yang asalnya dari tanah, kini kelihatan bagus dan indahnya. Baik raut mukanya atau potongan tubuhnya.

Adam a.s. berganti rupa dengan memakai pakaian kebesaran dari Syurga, dengan memakai mahkota yang ditatah intan berlian, yang menambahkan keagungannya yang layak sebagai seorang raja atau khalifah. Tampaklah Adam a.s. dilihat oleh para malaikat, sangat anggun dan berwibawa. Cocok (sesuai)  pribadinya sebagai seorang raja. Adam a.s. duduk di kursi keemasan, yang bertatah intan permata, dikelilingi oleh para malaikat.

Kemudian setelah Adam a.s. duduk di atas kursi, lalu diusung oleh empat orang malaikat dan diiringi oleh beberapa banyak malaikat pula untuk diarak dan diperkenalkan di langit yang pertama sampai ke langit yang ketujuh, sampai ke syurga.


Di sanalah Adam a.s. dapat melihat segala barang yang ajaib daripada ciptaan Allah s.w.t. Adam a.s. dapat menyaksikan dengan mata kepala akan kebesaran kerajaan Allah s.w.t. yang meliputi langit dan bumi.

Selain dari itu agar supaya para malaikat dan makhluk lainnya dapat mengetahui akan kadar ketinggian derajat Adam a.s. disisi Allah s.w.t., bahawa Baginda Adam a.s. lah yang akan diangkat kelah menjadi Khalifah Tuhan Robbul Alami di muka bumi.

Menurut riwayat kurang lebih 100 tahun lamanya Adam a.s. diarak oleh malikat. Dan selesai show-acting itu, lalu Adam a.s. dibawa ke Syurga, yaitu tempat Adam a.s. mula-mula dijadikan.

Kemudian datanglah Jibrail a.s. membawa seekor kuda kenderaan dari Syurga. Bagus sekali kuda itu berbulu warna hijau kumbang, serta bersayap sangat indah sekali. Berkilau-kilauan, serta harum baunya. Kuda itu dapat bicara seperti manusia. Di belakangnya terdapat tempat duduk yang aman. Jibrail a.s. memegang kendati, Mikail a.s. duduk di sebelah kanan Adam a.s. dan Israfil a.s. duduk di sebelah kirinya.

Diceritakan di mana sahaja Adam a.s. bertemu malaikat, ketika ia diarak, selalu ia mengucapkan “Assalaamu’alaikum” yang dijawab oleh para malaikat : Wa’alaikummussalaam”. Firman Allah s.w.t : “Hai Adam, beginilah penghormatanmu yang akan diikuti oleh anak cucumu sampai hari kemudian”.

Wallahualam.

Isnin, 25 Julai 2011

Baginda Adam a.s. Ayahnda Seluruh Manusia


Pada suatu ketika Allah SubhanahuWata'ala menitahkan Malaikat Jibril a.s. supaya turun ke bumi untuk mengambil sebagian tanahnya yang akan dijadikan bahan untuk menciptakan jasad Ayahnda Adam a.s. Namun ketika sampai di bumi, bumi enggan tanahnya diambil untuk dijadikan jasad Adam, hingga bumi bersumpah, demi Allah ia tidak rela sebagian tanahnya akan dijadikan Adam. Kerana ia kuatir kelak Adam jadi ma'siat kepada Allah s.w.t.

Lalu Jibril a.s. kembali ke hadirat Tuhan, ia tidak dapat berbuat apa-apa mendengar sumpahnya bumi. Kemudian Allah s.w.t. menitah Malaikat Mikail a.s. Turun pula ke bumi dengan maksud yang sama, namun setelah mendengar perkataan bumi, seperti apa yang dikatakan kepada Jibril a.s., Mikail a.s. pun tidak dapat berbuat apa-apa lalu kembali ke hadirat Allah s.w.t. dengan tangan yang hampa. Kemudian Allah s.w.t. menyuruh Israfil a.s. turun ke bumi akan mengambil tanah. Tetapi Israfil a.s. pun tidak berdaya mendengar sumpahnya bumi. Ia kembali kehadirat Allah s.w.t. dengan tangan hampa juga.

Yang terakhir Allah s.w.t. menyuruh Malaikat Izra'il a.s. turun ke bumi untuk mengambil tanah. Firman Allah s.w.t. : "Hai Izra'il engkaulah kini yang Aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan bagaimana pun jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjakan atas perintah dan atas namaKu."


Begitulah setelah Izra'il a.s. tiba di atas bumi ia berkata: "Hai bumi, ketahuilah kedatanganku kemari atas perintah Allah s.w.t. dan atas nama Allah ta'ala. Jika engkau membantah atas pekerjaanku ini, berarti engkau membantah perintah Allah ta'ala, yang tentunya engkau tidak ingin menjadi makhluk yang durhaka kepada Allah ta'ala, bukan?" Mendengar perkataan Izra'il a.s. demikian bumi tidak dapat berkata apa-apa kecuali membiarkan Izra'il a.s.mengambil tanahnya dengan tidak banyak reaksi apa-apa.

Setelah Izra'il a.s. mengambil beberapa macam tanah, kembalilah dia kehadirat Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t.: "Ya Izra'il, pertama engkau yang Ku tugaskan untuk mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak engkau pula yang Aku tugaskan untuk mencabut ruh manusia." Jika demikian hamba kuatir yang hamba ini jadi dibenci anak-anak Adam kerana pekerjaaan hamba ini, kata Izra'il a.s. "Tidak" jawab Allah s.w.t.: "Mereka tidak akan memusuhi engkau. Aku yang mengaturnya. Lalu Aku jadikan sebab-sebab untuk mendatangkan kematian mereka. Sebab terbunuh, sebab terbakar, sebab sakit dan sebagainya."


Menurut keterangan para 'Ulamak bahawa tanah-tanah itu adalah seperti berikut :

  1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Muqaddis.
  2. Tanak Bukit Tursina.
  3. Tanah Iraq.
  4. Tanah Aden.
  5. Tanah Al-Kautsar.
  6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah.
  7. Tanah Paris.
  8. Tanah Khurasan.
  9. Tanah Babylon
10. Tanah India.
11. Tanah Syurga Firdaus.
12. Tanah Tha'if.


Kata Ibnu Abbas r.a :

  1. Kepala Adam a.s. dari tanah Baitul Muqaddis, kerana di situlah berada otok manusia, dan di situlah tempat akal.
  2. Telingannya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
  3. Dahinya dari tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah s.w.t.
  4. Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.
  5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar tempat untuk menarik perhatian.
  6. Giginya dari tanah telaga Al-Kautsar tempat memanis-manis.
  7. Tangan kanannya dari tanah Ka'abah (Baitullah), untuk mencari nafkah dan kerjasama, sesama manusia.
  8. Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinja'.
  9. Perutnya dari tanah Khurasan, tempat lapar dan haus.
10. Kemaluannya dari tanah Babylon. Di situ tempat birahi dan tipudaya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
11. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
12. Dua kakinya dari tanah India tempat berdiri dan jalan.
13. Hatinya dari tanah Syurga Firdaus, kerana di situ tempat iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
14. Lidahnya dari tanah Tha'if tempat mengucap Syahadah, bersyukur dan berdoa kepada Allah s.w.t.