Ayahnda

Ayahnda

Sabtu, 7 Disember 2013

Ditelan Lautan


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Sabtu 07/12/2013M bersamaan 04/02/1435H juga bersamaan 15 Qus 10,001 Tahun PuSaka. Marilah sama-sama kita bermunajat memohon keampunan dan rahmat daripada Allah Ta'ala agar kita semua umat Rasulullah s.a.w. selamat di dunia dan di akhirat kelak.

Aku memohon keampunan Allah dari segala perkara yang melalaikan aku terhadap Allah, dan sedangkan segala sesuatu itu sekaliannya sentiasa tenggelam tunduk di dalam mengingati kebesaran Allah dengan mengucapkan tasbih dan memuji akan Allah.

Aku memohon keampunan Allah Tuhan sekalian Ummat Manusia. Aku memohon keampunan Allah dari segala kesalahan-kesalahan dosa.

Ya Allah! Engkaulah pembimbing, Engkaulah Zat yang sebenar-benarnya, tidak ada pembimbing yang sebenar-benarnya melainkan Dialah sahaja.

Cukuplah bagiku Tuhanku sahaja, Maha Besar, Maha Agong Allah, tidak ada di dalam perasaan batin hatiku melainkan hanya di dalam mabok cinta mengingati dan mengenang Allah sahaja. Nur Muhammad s.a.w. Nabi kita sentiasa di dalam pelukan rahmat Allah Ta’ala, tidak ada yang maujud sebenar-benarnya di dalam nyata zohir dan batin melainkan Zat Allah Ta’ala jua.


Tiada Ilah (tuhan) yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala, Raja pemilik, pemerintah sarwa (seluruh) alam. Zat Agong yang sebenar-benar lagi zohir yang nyata. Nabi Muhammad s.a.w. hamba dan pesuruh Allah yang berakhlak dengan segala akhlak kemuliaan, sidiq, tabliq, amanah berakhlak luhur sempurna kehambaan.

Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah. Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad kekasih Allah.

Tiada tuihan yang disembah, yang dimaksudkan, yang dicintai, yang maujud dengan yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala jua.

Allah itulah Dia Zat yang wajib wujud bagiNya semata-mata, yang mempunyai segala sifat-sifat Jalal, Jamal dan Kamal.

Tiada tuhan yang maujud, yang disembah dengan sebenar-benarnya malainkan Zat Allah Ta’ala. Nabi Muhammad s.a.w. itu ialah pesuruh Allah Ta’ala. Aku berikrar mengaku serta mengingatiNya tiap-tiap detik dan pernafasanku sebilang-bilang pencakupan ilmu Allah Ta’ala.

Tiada tuhan yang disembah yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala dan Zat Allah itulah sahaja yang Maha Besar lagi Maha Agong.


Ya Allah! Tuhan yang bersifat dengan kelembutan terhadap segala hamba-hambaNya yang Mukminin.
Ya Allah! Zat yang Maha Lemah-lembut yang kelembutanNya mengatasi dari segala yang lemah-lembut, lakukanlah kelemah-lembutanMu terhadap diri Kami di dalam mengharungi arus lautan takdirMu Ya Allah.

Allah Zat yang Maha Lemah-lembut terhadap segala hamba-hambaNya menganugerahkan kurnia kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Dialah Allah Tuhan yang Maha Gagah perkasa lagi Keras dan Menang.

Cukuplah Allah sahaja penolong kami dan sememangnyalah Dia sahaja sebaik-baik tempat penyerahan kami dan kepadaNya sahaja kami pertaruhkan segala pengharapan kami.

Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia akan membuka seluas-luas kejayaan baginya, dan Allah menganugerahkan kurnia kepadanya dengan anugerah kurnia yang tak terkira. Dan barangsiapa menyerah jiwa raganya kepada Allah maka sudah barang tentu cukuplah baginya segala-galanya. Sesungguhnya Allah yang menyampaikan segala urusanNya kepada matlamatNya. Sesungguhnya Allah menjadikan segala sesuatu itu ada qadar penentuannya.


Maka Allah akan menangkis segala bencana kejahatan mereka dari menimpai kamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala-galanya.

Terjunlah mengharungi ke dalam lautan pencelupan Agama Allah, dan sememangnya tidak ada yang lebih baik dari Allah dalam pencelupan AgamaNya dan sedangkan kami sekalian terhadapNya sahaja kami mengabdikan diri kami.


Katakanlah kepada mereka (yakni kaum kuffar), apakah kamu hendak berhujah (bertikam lidah) dengan kami dengan hujah-hujah yang palsu dan tidak beralasan tentang keEsaan Zat Allah yang Maha Esa? Sedangkan Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu dan untuk kami ganjaran amalan kebaikan yang ditaufiqkan kepada kami melakukannya. Dan untuk kamu balasan segala perbuatan kejahatan yang kamu lakukan. Dan kami terhadapNya sahaja kami mengabdikan diri kami seikhlas-ikhlas pengabdian.


Sekarang marilah sama-sama kita melayari minda ke zaman Nabi Musa a.s. dan Bani Israil yang sedang bergerak meninggalkan kerajaan Firaun yang zalim.

Di Dalam Istana Firaun

Firaun mundar-mandir di istananya. Dia menjadi bingung dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sekejap dia duduk dan sekejap dia bangun. Sesekali perutnya ditekan, bukan kerana sakit perut. Sesekali dia menepuk-nepuk dahinya bukan kerana sakit kepala.

“Kamu! Kamu! Kamu! Kamu semua memang tidak boleh diharap!” Firaun bersuara lantang meluahkan kemarahannya kepada para pembesar dan pengawal-pengawal istananya. Semuanya tunduk mengeletar.

Kata-kata Firaun itu memang benar, kerana segala usaha mereka untuk menyekat pengaruh Nabi Musa a.s. gagal. Orang yang di istana sendiri ada yang memeluk agama Nabi Musa a.s.

“Musa dan Bani Israil yang tidak mempunyai senjata dan yang hina itu pun kamu tidak boleh kawal!” jerit Firaun lagi.

“Mereka bergerak pada waktu senja tuanku,” salah seorang dari pengawal istana bersuara dalam ketakutan.

“Itu tidak kira! yang aku tahu kamu semua sudah diperbodohkan oleh Musa dan Bani Israil. Kenapa kamu tidak berkawal pada waktu senja?” tingkah Firaun. Terdiam pengawal itu melihat muka Firaun yang merah bagai udang dibakar.


“Aku sudah beritahu, perhatikan gerak-geri Musa dan Bani Israil. Rahsiakan rancangan kita!” Firaun melepaskan rasa geramnya.

“Sekarang aku tidak kira, sama ada di antara kamu yang membocorkan rahsia atau tidak. Aku mahu seluruh pengawal istana memburu Musa dan Bani Israil yang cuba lari dari Mesir!” perintah Firaun.

“Tetapi di mana kami hendak cari tuanku?” Tanya seorang pengawal.

“Dimana!!?” jerkah Firaun sambil merenung pengawal itu. “Sudah berapa lama jadi pengawal? Masih bodoh!” bentak Firaun.

“Ya, tuanku, ya sa..saa..saya bodoh,” gagap pengawal itu bersuara. Dia begitu takut kepada Firaun yang zalim dan kejam itu.

Melihat keadaan pengawal itu, Firaun ketawa terbahak-bahak. “Hah! Hah! Hah! Rupa-rupanya kamu masih tetap takut kepada aku,” kata Firaun dan ketawa lagi. “Hah! Hah! Hah! Betullah aku Tuhan kamu, hanya Musa dan Bani Israil sahaja yang tak percaya,” katanya lagi.

“Kamu semua jangan takut, aku Firaun, Haman dan seluruh pembesar Mesir akan mencari mereka. Kamu ikut sahaja. Bawa semua senjata, anak panah dan kuda ikut aku,” perintah Firaun.

Firaun berkuda di hadapan sekali. Para pembesar di belakangnya dan diikuti oleh para pengawal yang lengkap dengan senjata. Mereka keluar dari pintu besar istana.

“Kita menuju ke arah laut Merah!” pekik Haman.

“Laut Merah! Laut Merah!” sahut para pengawal serentak.

Mereka diberitahu Nabi Musa a.s. dan Bani Israil hendak berhijrah ke Palestin dan mereka masih dalam perjalanan ke sana.


Di Luar Istana Firaun 

Mereka nyalakan obor di luar istana. Setiap orang membawa satu obor. Dari jauh kelihatan seperti pesta api di istana Firaun. Hanya api itu yang kelihatan nyata di tengah malam yang dingin itu.

Derap telapak kaki kuda memecah kesunyian malam di tengah-tengah padang pasir. Obor-obor pula menerangi sekitar jalan yang mereka lalui. Lama juga mereka berkuda. Larian kuda mereka tidak sekuat pada mula-mula. Obor mereka pun sudah banyak yang malap atau padam. Malam itu sendiri diselerakkan gelapnya oleh cahaya sutera pagi.

Dalam kelam suasana fajar itu kelihatan bebayang kelompok manusia yang berdiri di tebing Laut Merah. Ada yang kelihatan tenang menghadapi laut yang berombak luas di hadapan dan ramai juga yang mundar-mandir.

Dalam kelam bercampur dingin angin laut waktu pagi, Firaun memekik, “Itu mereka di pantai! Mereka tidak dapat lari dari aku!”


Di Pantai Laut Merah

Angkatan Firaun sudah semakin hampir. Suara jerit orang-orang Firaun didengari oleh Nabi Musa a.s. dan Bani Israil. Derap kaki kuda pun semakin jelas.

Di antara daratan dan laut, Firaun semakin yakin dapat membunuh Nabi Musa dan dalam detik-detik begitu, sebahagian pengikut Nabi Musa a.s. mula menyalahkan Nabi Musa. Mereka sudah putus asa, kerana mereka rasa tidak ada lagi helah untuk menyelamatkan diri. Di belakang Firaun, di depan laut.

Derap kaki kuda semakin jelas, dan ombak dada Bani Israil semakin kerap bagaikan ombak Laut Merah. Mereka rasakan akan menemui maut yang mereka cuba hindari. “Musa, ke sinikah kamu bawa kami?” Tanya mereka yang kecewa. Nabi Musa a.s. tetap tenang dan tawakal.

“Ke mana kami harus pergi, Musa? Di belakang musuh sedang mengejar dan di depan laut luas yang tak menawarkan sebarang pertolongan. Kita tidak memiliki kapal. Apa yang harus kami buat untuk menyelamatkan diri?” Tanya orang yang bernama Yusya’ bin Nun.

Jawab Nabi Musa a.s., “Janganlah kamu bimbang dan cemas. Perjalanan ini adalah dengan perintah dan restu Allah Ta’ala kepadaku. Dialah (Allah) yang akan memberi jalan keluar serta menyelamatkan kita dari cengkaman musuh yang zalim.”


Kata-kata itu tidak dapat mententeramkan jiwa mereka yang belum kukuh imannya, lalu Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa .a.s. memukulkan tongkatnya ke air Laut Merah. “Pukulkanlah tongkatmu itu ke air, wahai Musa!”

Nabi Musa a.s. menurut perintah itu. Tongkatnya sudah mencecah air di pantai laut itu, lalu terbentanglah 12 lorong jalan di tengah-tengah laut itu. Terbentang dari pantai sebelah barat ke pantai sebelah timur. Air di kiri kanan setiap lorong bagaikan tembok yang tinggi.

Nabi Musa a.s. dan seluruh Bani Israil segera melalui jalan itu. Pada segala keraguan terhadap Nabi Musa a.s., bagaikan pagi yang berlalu pergi diusap cahaya siang.

Ditelan Laut Merah

Firaun yang melihat keadaan ini tercengang. Dia hairan seperti juga setiap yang menyaksikan peristiwa itu merasa hairan dan tercengang.

Nabi Musa a.s. dan Bani Israil terus berjalan dengan yakin, tawakal dan syukur kepada Allah Ta’ala. Firaun dan bala tenteranya mengekori dari belakang. Dengan bongkak Firaun berbohong, “Kamu semua lihat kekuasaanku sebagai Tuhan. Laut ini terbelah dan kita dapat melaluinya untuk menamatkan riwayat Musa dan Bani Israil di tengah-tengah lautan ini.”


Cuaca semakin cerah. Malam sudah berlalu dan siang baru tiba. Nabi Musa a.s. dan Bani Israil telah menjejaki pantai sebelah timur Laut Merah, Firaun dan bala tenteranya masih di tengah-tengah jalan Laut Merah. Tiba-tiba air laut bercantum semula, maka tenggelamlah Firaun dan semua tenteranya ditelan Laut Merah itu.

Firaun betul-betul kecewa dan insaf.  Dari dalam air yang tidak mengenal kekuasaan dan kesombongan sesiapa pun, Firaun bersuara dengan sesak, “Wahai Musa!, Tolonglah aku!, Sekarang aku percaya, bahwa tiada Tuhan selain Allah, yang telah diimani oleh Bani Israil dan sekarang aku beriman.”

Tetapi Allah tidak menerima keimanan Firaun. Masanya sudah terlalu lewat dan ajalnya sudah tiba. Firaun tenggelam dan akhirnya terapung di atas lautan sebagai bangkai yang tidak bernilai langsung. Betapa buruknya akhir riwayat hidup Firaun.

Wallahu’alam.


Daripada Abi Najih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. berkata : “Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w. akan suatu nasihatv yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami’. Lalu Baginda pun bersabda, ‘Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bida’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.”

Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

Keterangan ;

Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah s.a.w. bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini, iaitu :

Pertama ; Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

Kedua ; Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w., dan sunnah-sunnah khulafa Ar Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Ketiga ; Berpegang teguh kepada sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Abu bakar, Omar, Osman dan Ali r.a.hum) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala, iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalan ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.

Keempat ; Menjauhi perkara-perkara bid’ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bid’ah menurut pengertian syarak (bukan bid’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid’ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitulah bid’ah hasanah).

Petikan dari kitab Empat Puluh Hadis Peristiwa Akhir Zaman susunan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki)



Jika hendak hidup beriman
Serta mulia di sini Tuhan
Marilah kita hendak ingatkan
Wasiat Nabi di akhir zaman

Wajiblah kita menjaga diri
Cabaran hidup banyak sekali
Janganlah kita lupakan diri
Hidup ini menuju mati

Bila melihat mungkar yang nyata
Maka janganlah hanya mengata
Tapi bangkitlah menabur jasa
Membimbing umat jadi pelita

Umat Islam perlu didakwah
Nasihat baik serta berhikmah
Dengan semangat serta ukhuwah
Hubungan kita tambah meriah

Jadikan takwa sebagai jalan
Di dalam hidup sepanjang zaman
Taat dan patuh pada pimpinan
Selama Quran jadi pegangan

Sunnah Nabi dipegang teguh
Sunnah khulafa diikut penuh
Mesti waspada ajaran musuh
Bid’ah dholalah wajib dijauh


Wallahu'alam. Sekian Wassalam.
Pondok Derang Kedah Darul Aman.

Isnin, 25 November 2013

Ku Mencari Insan seperti Uwais Al-Qarani.



Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Isnin (25/11/2013) 25 November 2013 Masihi bersamaan (15/01/1435) 15 Muharram 1435 Hijrah. dalam artikel kali ini hamba nukilkan kisah tentang Uwais Al-Qarani r.a., seorang tabi'in dan auliya' sulong yang hidup di zaman Rasullullah s.a.w. tetapi dia tidak pernah bertemu wajah dengan Rasulullah s.a.w. Semoga dengan kisah Uwais Al-Qarani r.a. ini akan menjadi sedikit iktibar dan panduan untuk kita sebagai ummat di akhir zaman ini.

Daripada Mu’az r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sedikit daripada riya’ itu adalah sama dengan syirik. Barangsiapa yang memusuhi para Wali Allah, maka seolah-olah dia mahu melawan Allah dalam tandingan. Sesungguhnya Allah Ta’ala mencintai para hambaNya yang baik-baik, yang bertakwa serta menyembunyikan amalannya, yang apabila mereka menghilangkan diri tiada siapa yang menanyakannya, dan jika mereka berada di tengah-tengah khalayak ramai tiada siapa yang mengenali mereka. Hati mereka umpama cahaya petunjuk, mereka sentiasa menjauhkan diri dari segala tempat yang gelap berdebu.

Bersabda Nabi alaihis shalatu wassalam lagi; Manusia yang sangat aku banggakan di sisiku ialah seorang Mukmin yang ringan tangannya, tetapi banyak shalatnya, rezekinya serba mencukupi saja namun dia terus bersabar sehingga dia menemui Allah. Dia sentiasa memperbagusi peribadatannya terhadap Tuhannya, dia hanya seorang yang hina di mata ramai, segera matinya dan sedikit warisan yang ditinggalkannya serta tiada siapa yang akan menangisinya.


Berkata Syaikh Imam Abdullah bin As’ad Al-Yafi’I Al-Yamani rahimahullah Ta’ala di dalam kitabnya yang berjudul ‘Raudhur-Raiyahin’ pada hikayat 145, diceritakan bahwa Uwais Al-Qarani r.a. pernah mengutip makanannya dan pakaiannya dari tempat sampah, lalu dia digunggung (disalak) oleh anjing yang mencari makanan dari tempat yang sama. Maka berkata Uwais kepada anjing itu; “Ambillah makananmu dari apa yang ada di sisiku, dan jangan engkau menggunggungku lagi. Nanti (di hari kiamat) jika aku lepas meniti Sirat, tentulah aku lebih baik daripadamu. Kalau tidak, maka engkaulah yang lebih baik daripadaku!”

Uwais Al-Qarani r.a. : Nama penuhnya ialah Uwais bin Amir bin Juzu’ dari suku Qaran. Tergolong sebagai Tabi’in yang terulung, seorang tokoh zahid, pekaiannya tidak terurus, tidak memiliki apa pun. Ada berita yang mengatakan bahwa dia telah mati terbunuh pada pertempuran Shiffin di pihak Saiyidina Ali Karramallahu wajhah pada tahun 37 Hijrah.

Uwais Al-Qarani ini selalu dicemuh oleh kaum keluarganya sendiri, dikatakannya ‘orang gila’, dan semua kaum kerabatnya mengejek-ngejeknya, sehingga anak-anak kecil di jalanan pun turut mempermain-mainkannya dan selalu juga melimpar batu kepadanya, dan untuknya Imam Habib Abdullah Al-Haddad bermadah; 
Tuhan mengutamakan suatu kaum dengan minuman kesayanganNya
Mereka pun berkelana di antara kotanya dan perkampungannya
Orang bodoh menuduh mereka gila, namun hakikatnya tidaklah begitu
Hanya penyakit mabuk cinta yang ketara kini menimpa kaum itu
Disogokkan minuman cinta sebagai penawar kepada merananya
Malah mereka semakin kemabukan kepda siapa yang dicintainya
Di tengah malam gelap gelita tiada hentinya menyebut namanya
Untuk menyendiri dengan pencintanya Uwais bin Amir di antaranya.




Sebuah riwayat mengenai Uwais Al-Qarani

Tersebut di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w. : “Sesungguhnya Allah azzawajalla sangat cinta kepada makhlukNya yang bersih, suka menyembunyikan diri, yang suka berbuat kebajikan, yang kusut masai rambut di kepalanya, yang comot wajahnya, yang kempis perutnya, yang apabila mereka datang kepada para penguasa terus dihalau, yang bila meminang puteri orang yang senang tidak berjaya untuk dinikahkan, bila mereka tidak ada ditengah-tengah makhluk ramai  tidak dicari orang, bila mereka datang tidak disambut orang, jika sakit tidak dilawati orang, jika mati tidak dipedulikan orang.”

Para sahabat lalu bertanya : “Duhai Rasulullah! Bagaimana hendak mengetahui siapa orang itu?” Jawab Baginda  s.a.w. : “Itulah dia Uwais Al-Qarani.” Tanya mereka lagi : “Siapa Uwais Al-Qarani?” Jawab Rasulullah s.a.w. : “Orang itu pucat lesi, lebar kedua bahunya, sederhana tingginya, hitam manis kulitnya, janggutnya panjang hingga ke dadanya, sentiasa tunduk ke tempat sujudnya, meletakkan tangan kanannya ke atas tangan kirinya, sentiasa meratapi dirinya, koyak rabak pakaiannya, memakai pakaian yang kasar dan kain ridak yang kasar, di bumi mana pun tetap tiada dikenali orang, malah terkenal di penghuni langit, kalau dia bersumpah dengan nama Allah niscaya ditunaikan segala permintaannya. Ingatlah di bawah ketiak kirinya ada cahaya yang putih, dan nanti di hari kiamat akan dikatakan kepada semua orang, ‘masuklah ke dalam syurga!’, namun akan dikatakan kepada Uwais ‘tunggu di sini, dan berilah jaminanmu!’, lalu dia akan memberikan jaminannya kepada Allah Ta’ala akan ummat seperti suku-suku Rabi’ah dan Mudhar. Wahai Umar! Wahai Ali! Jika kedua kamu menemuinya, mintalah dia supaya memohonkan keampunan kepada ALLAH buat kamu, niscaya Allah akan mengampuni kamu”.


Perawi itu lalu menyambung : Maka kedua-dua sahabat Umar dan Ali radhiallahu-anhuma menanyakan selama sepuluh tahun, tiada siapa yang tahu tempatnya, sehingga pada akhir tahun akan wafatnya Umar r.a., dia lalu berdiri di atas Abu Qubais seraya menyeru dengan suaranya yang  keras ; “Wahai Ahli Yaman! Adakah di antara kamu orang yang namanya Uwais?!” Maka berdirilah seorang tua yang panjang janggutnya seraya menjawab : “Kami tidak tahu Uwais yang mana engkau maksudkan. Akan tetapi ada seorang anak saudaraku namanya Uwais juga, dan dia adalah seorang yang tidak dikenali orang, tidak punya apa-apa, dan orangnya terlalu hina sehingga patut kami memberitahu engkau tentang dirinya, dan sekarang dia sedang menunggu unta-unta kami, dia seorang yang tiada berharga dalam pandangan kami.”

Mendengar berita dari orang tua itu, Umar r.a. pura-pura tidak memberi sepenuh perhatiannya, lalu dia bertanya lagi : “Di mana anak saudaramu itu sekarang? Adakah dia berada di tanah haram kami?” Jawab orang tua itu : “Benar, dia ada di sini.” Umar r.a. bertanya lagi : “Di mana dia sekarang?” Jawab orang tua itu : “Di Arafat, di sebuah tempat namanya Arak.”

Sambung periwayatnya : Maka kedua-dua Umar dan Ali radhiallahu-anhuma menunggang kenderaan menuju ke Arafah dan mendapati Uwais Al-Qarani sedang bershalat di bawah sebatang pohon, manakala unta-unta jagaannya sedang berada di kelilingnya. Umar dan Ali pun mengikat keldai tunggangannya, kemudian menuju kepada Uwais seraya mengucapkan salam : “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.”

Mendengar ada orang yang datang, Uwais meringkaskan shalatnya, lalu menjawab salam kedua orang yang baru sampai di situ. Maka Umar dan Ali pun bertanya : “Siapa anda?” Jawab Uwais ; “Seorang penggembala unta yang mengambil upah untuk menggembala unta-unta ini.” Kedua pendatang itu berkata : “Kami datang ini bukan untuk bertanya anda tentang penggembalaan dan penyewaan, tetapi siapa namamu?”

Jawab Uwais : “Hamba Allah!” Keduanya pun menyambut : “Semua orang yang di langit dan di bumi, semuanya adalah hamba-hamba Allah, tetapi apa namamu yang diberikan oleh ibumu?”


Uwais kelihatan senang dengan Umar dan Ali radhiallahu-anhuma (sedang dia masih belum kenal dengan mereka). Uwais pun bertanya : “Wahai dua lelaki yang bertanya, apa kamu mahu dengan saya?” Kedua mereka pun menjelaskan sebab kedatangan mereka dengan berkata : “Nabi s.a.w. telah menerangkan sifatnya seorang yang bernama Uwais Al-Qarani, yang raut mukanya pucat lesi, dan matanya kuyu kecut, dan Baginda memberitahu kami lagi, bahwa di bawah bahu kirinya terdapat semacam tanda putih, sekarang cubalah tunjukkannya kepada kami, kalau memang itu ada padamu, memanglah engkau ini orang yang disifatkan oleh Nabi s.a.w.”

Uwais tidak dapat mengelak lagi, lalu dia pun menunjukkan kepada Umar dan Ali apa yang ada pada bawah bahunya, maka benarlah ada semacam tanda putih di situ, lalu kedua Umar dan Ali pun berkata : “Kami menyaksikan bahwa engkaulah Uwais Al-Qarani yang dikatakan Nabi s.a.w. itu, maka mohonkan keampunan bagi kami, moga-moga Allah turut mengampunimu.”

Uwais Al-Qarani merasa serba salah, lalu menjawab : “Aku tidak pernah mengkhususkan permohonan ampun buat diriku sendiri dan siapa pun dari anak Adam, akan tetapi aku hanya boleh memohon pengampunan buat semua makhluk di darat dan di laut dari kaum Mukminin dan Mukminat serta Muslimin dan Muslimat.”

Uwais Al-Qarani lalu menyambung bicaranya dengan berkata : “Wahai kedua lelaki! Allah telah mengenalkan kamu tentang keadaanku dan menampakkan kamu dari urusanku, tetapi siapa kamu ini?”

Ali r.a. segera menjawab ; “Ini adalah Umar, Amirul Mukminin. Dan aku adalah Ali bin Abu Thalib.” Mendengar ujar Ali itu, Uwais Al-Qarani segera bangun berdiri seraya mengucapkan : “Salam sejahtera ke atasmu, duhai Amirul Mukminin beserta rahmat Allah dan keberkahanNya, dan kepada engkau juga, duhai putera si Abu Thalib. Moga-moga Allah membalas kamu berdua terhadap apa yang telah kamu berdua berbuat kepada ummat ini dari segala macam kebaikan.”


Maka ujar Uwais itu disambut oleh kedua Umar dan Ali : “Dan engkau juga, duhai Uwais, moga-moga Allah membalasmu terhadap apa yang engkau lakukan dari segala kebaikan.” Kemudian Umar r.a. menambah pula : “Tunggulah dahulu di sini, sehingga aku balik ke Makkah, dan aku akan datang lagi membawa sedikit nafkah dari pemberianku, dan lebihan dari pakaian untukmu. Janjilah kita akan bertemu lagi di tempat ini.”

Uwais pun menjawab : “Tiada janji lagi antara kita bersama, duhai Amirul Mukminin, dan aku tidak akan menemuimu lagi sesudah hari ini. Tolong beritahuku, apa yang akan aku buat dengan nafkah itu? Apa yang akan aku buat dengan pakaian itu nanti? Bukankah engkau sudah lihat di badanku ini ada dua kain dari guni yang kasar, bila agaknya dia akan koyak rabak! Aku pun sudah punyai empat dirham untuk keperluanku, bila agaknya wang itu akan aku belanjakannya?! Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya di hadapanku dan di hadapanmu ada banyak rintangan, yang tiada dapat ditempuhinya selain orang yang kurus-kering badannya, ringan tiada berdaging, maka hendaklah engkau meringankan badanmu!”

Mendengar ujar itu, Umar r.a. pun memukul-mukul bumi dengan cambuknya, seraya menjerit dengan suara yang keras : “Alangkah baiknya, kalau Umar tiada diberanakkan ibunya! Alangkah baik kalau ibuku itu mandul, tidak dapat mengandungkanku! Wahai nasib! Siapa yang mahu mengambilnya dari tanganku serta menanggung semua tugasnya, (yakni dimaksudkan jawatan Khalifah).

Uwais Al-Qarani lalu berkata : “Wahai Amirul Mukminin! Berangkatlah kini ke tujuanmu, dan aku akan berangkat ke tujuanku!”

Umar r.a. pun pergi menuju ke Makkah, manakala Uwais pula menyeret unta gembalaannya untuk diserahkannya kepada tuan punyanya, dan dia pun berhenti dari bekerja sebagai pengembala, bahkan terus menghabiskan umurnya dalam ibadat hinggalah dia kembali ke rahmatullah.



Suatu riwayat lain mengenai Uwais Al-Qarani.

Tersebut di dalam Shahih Muslim, bahwa Saiyina Umar bin Al-Khattab r.a. berkata : “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda ; ‘Ada masanya akan datang kepada kamu Uwais bin Amir dengan suatu rombongan ahli yaman dari arah Murad, kemudian dari Qaran. Uwais ini pernah ditimpa penyakit sopak, lalu dia telah disembuhkan Allah dari penyakit itu, kecuali satu tempat yang sebesar dirham. Dia mempunyai seorang ibu yang dia sangat taat dan patuh kepadanya, yang kalau dia bersumpah dengan nama Allah niscaya akan dikabulkan Allah sumpahnya. Maka jika engkau dapat meminta dia mohonkan pengampunan buat dirimu, hendaklah engkau minta daripadanya’…. Dan seterusnya hingga ke akhir sabdanya, termasuk penemuan Umar dengan Uwais dan dia pun meminta Uwais memohonkan istighfar baginya, lalu Uwais memohonkan istighfar, sebagaimana yang disebutkan di atas, lalu Umar r.a. bertanya kepada Uwais : ‘Ke mana tujuanmu?” Jawabnya : ‘Kota Kufah.’ Umar menyambung : ‘Mahu anda saya tuliskan sepucuk surat kepada gabnornya?’ Jawab Uwais : ‘Tidak, aku menjadi orang  yang tidak terkenal lebih aku suka…. Hingga ke akhir bicaranya.”

Dalam suatu riwayat lain dari Muslim daripada Saiyidina Umar bin Al-Khattab r.a. katanya : “Pernah saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda ; ‘Sesungguhnya sebaik-baik golongan Tabi’in adalah seorang lelaki namanya Uwais, dia mempunyai seorang ibu yang sangat ditaatinya, dan ada padanya tanda putih, maka hendaklah kamu menyuruhnya memohon istighfar buat kamu!”



Orang yang berdiri di kemuncak zuhud.

Diriwayatkan daripada Alqamah bin Yazid r.a. dia berkata : “Kemuncak zuhud berhenti pada delapan orang dari kaum Tabi’in, di antaranya Uwais Al-Qarani. Kaum keluarganya menuduhnya sebagai seorang majnun (gila), lalu mereka membangunkan buatnya sebuah pondok di pintu rumah mereka. Ada kalanya sampai bertahun-tahun mereka tiada melihat wajah Uwais. Adapun rezekinya adalah dari kutipan biji-biji kurma, setiap petang dia menjual apa yang dikutipnya dari biji-bijian itu untuk dibelikan makanan sarapannya.”

Apabila Saiyidina Umar bin Al-Khattab r.a. dilantik menjadi Khalifah, pada suatu hari dia berpidato kepada orang ramai di musim Haji, katanya : “Wahai manusia! Cuba semua orang berdiri!” Mereka lalu berdiri. Katanya lagi : “Semua orang duduk, melainkan orang yang datang dari negeri Yaman”. Jadi yang bukan dari Yaman semuanya duduk. Katanya lagi : “Sekarang semua orang duduk, kecuali penduduk Murad”. Yang lain lalu duduk. Katanya lagi : “Sekarang semua orang duduk, melainkan siapa yang datang dari Qaran”. Semua orang duduk, kecuali seorang lelaki, dan dia adalah pamannya uwais.

Umar r.a. lalu menanyakannya : “Apakah engkau dari penduduk Qaran?” Jawabnya : “Benar” Tanya Umar lagi : “Apakah engkau kenal Uwais?” Jawabnya : “Buat apa engkau tanya orang ini, duhai Amirul Mukminin? Demi Allah, tiada seorang pun dari kaum kami yang lebih bodoh, gila dan selalu lapar daripadanya”.


Mendengar itu, Umar r.a. lalu menangis, kemudian menjawab : “Yang gila itu engkau, bukan dia. Sebab aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Akan masuk syurga dengan syafaatnya kumpulan orang seperti suku Rabi’ah dan Mudhar”.



Cerita-cerita mengenai diri Uwais Al-Qarani.

Adalah diriwayatkan daripada Ammar bin Yusuf Adh-Dhabbi, dia memberitakan : “Pernah seorang lelaki mennyai uwais Al-Qarani, ‘Bagaimana keadaanmu di pagi ini?’ Jawabnya, ‘Di waktu pagi aku mencintai Allah, dan di waktu petang aku memuji Allah. Buat apa engkau menanyakan hal seorang yang apabila di berpagi, dia tidak yakan akan berpetang. Dan bila dia berpetang, dia tidak yakin akan berpagi pula. Sesungguhnya maut dan ingatan kepada maut itu tidak memberi seorang Mukmin peluang untuk bergembira. Sesungguhnya hak Allah pada harta seorang Muslim tidak meninggalkan pada hartanya perak dan emas, dan sesungguhnya Amar ma’ruf dan nahi munkar tidak meninggalkan teman buat seorang mukmin. Dahulu apabila kami menyuruh mereka bernuat kebaikan, mereka lalu mencaci-maki kehormatan kami, dan ada pula orang-orang yang fasik turut membantu mereka, sehingga demi Allah ada di antara mereka yang melimpar kami dengan tulang-tulang. Demi Allah, walau apa pun yang berlaku, aku tidak akan meninggalkan tugas ini semata-mata kerana bangkangan mereka itu.’ Uwais lalu pergi meninggalkanku.”

Diriwayatkan daripada Haram bin Haiyan r.a. katanya : “Aku diberitahu bahwa Uwais Al-Qarani telah tiba di Kota Kufah, aku pun keluar rumah hanya untuk mencarinya, sehingga aku menemuinya sedang berada di tepi tebing sungai Furat waktu tengahari hendak berwudhuk. Aku terus kenal Uwais dengan sifat-sifatnya yang diberikan kepadaku. Dia itu seorang yang kurus-kering, sawa matang kulitnya, compang-camping pakaiannya, kepalanya botak dan gerun pandangan matanya. Aku lalu memberi salam kepadanya, maka dia menjawab salamku. Aku lalu menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengannya, tetapi dia enggan berjabat tangan denganku.”



Pendapat Imam Habib Abdullah Al-Haddad r.a. mengenai Uwais Al-Qarani.

Pada pandanganku, bahwa Uwais r.a. dengan hidupnya yang serba tidak terurus, pakaiannya yang compang-camping, makanannya yang tidak menentu, suka menyingkirkan diri dari orang ramai kerana sentiasa beruzlah, dan apa yang dituduhnya orang sebagai gila dengan hal ehwalnya yang dipandang rendah dan hina dan seterusnya. Ini adalah suatu bukti yang kuat bagi orang yang memilih hidup fakir yang sebenarnya bila berhadapan dengan Tuhan. Tidak perlu memandang orang yang mengingkari cara hidup yang semacam itu dengan mengatakan bahwa cara hidup yang terlampau menghinakan diri itu adalah berlawanan dengan sunnah, padahal orang itu tiada mengetahui bahwa sunnah yang terutama dalam hidup ialah membelakangi dunia, meninggalkan segala sesuatu yang bakal mengganggu penujuan diri kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.


Berita yang lain mengenai Uwais Al-Qarani.

Ada suatu riwayat lain daripada Ashbagh r.a. dia berkata : “Adalah Uwais Al-Qarani r.a. ini apabila tiba waktu petang, dia berujar, ‘Malam ini aku akan terus berukuk’, yakni bersembahyang tahajjud. Lalu dia terus bersembahyang sampai ke paginya. Ada kalanya dia berkata, ‘Malam ini ialah malam sujud’, maka dia akan bersujud sampai tiba waktu siang. Begitu pula, apabila tiba waktu petang, dia akan menyedekahkan semua yang ada dalam simpanannya berupa makanan atau pakaian seraya berdoa, ‘Ya Allah, ya Tuhanku! Siapa yang mati kelaparan pada malam ini, maka janganlah balakan aku! Siapa yang mati telanjang, maka janganlah balakan aku!”


Suatu riwayat daripada An-Nadhr bin Syumail bin Kharsyah Al-Mazini At-Tamimi r.a., dia berkata : “Adalah Uwais kerap mengutip lebihan makanan dari tempat sampah, lalu dia membasuhnya untuk dimakan sebahagiannya dan menyedekahkan sebahagian yang lain, seraya berdoa, ‘Ya Allah, ya Tuhanku! Aku bersihkan diriku kepadaMu daripada siapa pun yang tidur kelaparan pada malam ini!”


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Salamah r.a. dia berkata : “Pernah kami menakluki Adzerbaijan pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. sedang Uwais Al-Qarani turut berjuang di samping kami. Apabila kami hendak kembali, ternyata Uwais ditimpa sakit, lalu kami mengangkatnya tetapi rupanya dia tidak rela, sehingga sebentar lagi dia pun meninggal dunia. Apabila kami berhenti, ternyata di sisi kami sudah tersedia sebuah kubur siap tergali, dan di sampingnya ada air, kain kapan dan pacainya. Maka kami pun memandikannya dengan air itu serta mengapankannya. Kami pun menyembahyangkannya beramai-ramai, kemudian kami menguburkannya serta meninggalkan tempat itu.

Di tengah perjalanan ada ynag mengingatkan kami, kenapa kami tidak meletakkan tanda pada kuburnya itu. Kerana itu kami kembali lagi ke tempat Uwais Al-Qarani dikuburkan, namun kami tidak melihat lagi kuburnya tadi, atau apa-apa bekas pun.”

Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abu Laila rahimahullah Ta’ala, dia berkata : “Ketika kami berada di Shiffin, ada orang yang berteriak, ‘Apakah ada di antara kami seorang yang namanya Uwais Al-Qarani?’ Mereka mencari-carinya sehingga mendapatinya antara salah seorang yang mati di pihak Saiyidina Ali r.a. ** Mudah-mudahan Allah meridhainya beserta sekalian para Auliya’ dan Salihin. 

Wallahu ‘alam.

Demikian yang dibicarakan oleh Al-Yafi’I rahimahullah Ta’ala secara ringkas saja.


Derang Kedah darul Aman.





Khamis, 7 November 2013

Saat Kehancuran Firaun


Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Khamis 07 November 2013M bersamaan 03 Muharram 1435H sempena awal tahun hijrah 1435, hamba mengucapkan Salam Ma'al Hijrah kepada saudara dan saudari pembaca sekalian. Semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat serta mendapat rahmat daripada Allah Ta'ala. 

Pada artikel kali ini, dalam gaya cerpen, hamba mengajak sekalian pembaca untuk bersama-sama hamba mengembara dengan menggunakan kuasa minda dan rohani masing-masing ke istana Firaun di saat Ayahnda Musa a.s. dan Ayahnda Harun a.s. menjalankan usaha dakwah kepada Firaun dan kaumnya. Semoga dengan cara ini dapat kita sama-sama menghayati suasana di zaman Firaun dan seterusnya sama-sama kita dapat menjadikan kisah ini sebagai panduan serta pengajaran dalam menghadapi zaman realiti kita di zaman kini


Berdakwah di Istana Firaun

Sebuah istana besar dan indah tersergam di tebing sungai Nil. Tembok batu dan pagar besi tegak tegap mengelilingi istana itu. Di pintu besar beberapa orang bersenjata, tegak berkawal. Dan di setiap pintu masuk ke ruang istana itu sahaja pengawalnya. Memang tidak mudah untuk masuk ke dalam istana itu.

Di situlah Firaun tinggal bersama isterinya Asiah dan dayang-dayang yang sentiasa melayaninya. Di situlah Firaun menetapkan dirinya sebagai Tuhan. Di situlah dia melakukan segala kezaliman dan kekejaman terhadap rakyatnya terutama Bani Israil. Tetapi di situ juga Nabi Musa a.s. diselamatkan, diasuh dan dibesarkan.

Tidak semua orang dapat masuk ke kawasan istana, apatah lagi dalam istana. Untuk bertemu Firaun setiap orang mesti melalui berbagai penyiasatan. Jika tersilap, berjumpa Firaun tidak, keluar semula pun tidak. Sebenarnya orang ramai pun tidak suka berkunjung ke istana Firaun raza zalim penghisap darah rakyat. Hanya mereka tidak berdaya hendak menentang. Mereka menunggu pemimpin yang dapat menghadapi kesombongan dan kekejaman Firaun.


Memang sudah cukup Firaun menikmati kemewahan dan kepuasan hidup dari darah dan nyawa orang lain. Kekejaman yang dilakukannya sudah sampai ke puncaknya. Kini masanya sudah tiba. Ya, masanya sudah tiba bagi mengakhiri segala kemewahan dan kekejaman Firaun.

Di balai penghadapan, dua orang lelaki tidak terpesona dengan kebesaran Firaun, malahan mereka tidak gentar menghadapi tindakan Firaun. Mereka mencabar Firaun yang dilaknatkan oleh Allah Ta’ala. Mereka tidak akan tunduk kepada Firaun.

Dengan angkuh Firaun bertanya, “Siapa kamu berdua?” Seluruh pembesar Firaun tertumpu ke arah tetamu itu.

Nabi Musa a.s. menjawab, “Kami, Musa dan Harun, adalah pesuruh Allah yang diutuskan kepadamu.” Terbeliak mata Firaun mendengar kata-kata itu. Dia semacam tidak faham.

“Supaya kamu membebaskan Bani Israil daripada diperhambakan dan ditindas dan menyerahkan mereka kepada kami, supaya mereka dapat menyembah Allah dengan bebas dan menghindari seksamu.”  Tegas Nabi Musa a.s.


Pertama kali Firaun mendengar kata-kata seperti itu, di dalam istananya pula. Betapa berani orang yang berkata begitu. Orang yang hadir merasa ngeri mendengar kata-kata itu. Mereka ngeri kerana itu memungkinkan kepala dan badan orang yang berkata terpenggal.

Tersentak Firaun. Dia berdiri dengan megah. Tangannya menuding ke arah Nabi Musa a.s., lalu terluncur kata-kata, “Bukankah kamu Musa yang kamu asuh sejak bayi?  Kamu tinggal bersama-sama kami di dalam istana ini sampai kamu remaja. Dan di sinilah kamu diasuh!”

Suara Firaun yang kuat itu tidak sedikit pun mengerunkan Nabi Musa a.s. dengan tenang dia menentang kata-kata Firaun, “Apakah pemeliharaanmu terhadapku dulu sebagai tanda kebaikanmu? Bukankah itu sebagai tanda kekejemanmu terhadap bayi Bani Israil?”

Serba salah Firaun mendengar sanggahan Nabi Musa a.s. Dia tidak pernah berhadapan dengan orang seperti Nabi Musa a.s. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan.

Firaun menggeleng-gelengkan kepala. Baginya Nabi Musa a.s. orang yang tidak mengenang budi. “Begini rupanya, Musa, engkau lupakan kebaikan kami kepadamu,” jelas Firaun.

Dengan tegas Nabi Musa a.s. berkata, “Bahawasanya kamu telah memeliharaku sejak bayi; itu bukanlah satu jasa yang dapat kamu banggakan. Aku jatuh ketanganmu adalah akibat kekejaman dan kezalimanmu, iaitu ketika kamu memerintahkan orang-orangmu menyembelih setiap bayi lelaki yang lahir, sehingga ibuku terpaksa membiarkan aku terapung-apung di sungai Nil dalam sebuah peti. Lalu ada orang yang mengambil aku dan dibawa ke sini (istana). Oleh itu aku terselamat dari hukuman sembelih.”


Tercengang sejenak Firaun mendengar Bani Musa a.s. berbicara dengan begitu lancar dan petah. Rasa takjubnya segera disembunyikan di sebalik pertanyaan dengan suara kasar.  “Bukankah kamu yang membunuh seorang dari golongan Qibti, sedangkan kamu sehingga sekarang masih bebas, tidak menerima hukuman. Tidaklah ini tanda kebaikan kami?’ kata Firaun.

Nabi Musa a.s. menjawab, “Oh, itu adalah perbuatan yang tidak sengaja, namun peristiwa itu mengandungi rahmat dan hikmat, sebab semasa aku di perantauan, setelah aku melarikan diri dari kekejamanmu. Allah telah mengurniakan hikmat dan ilmu kepadaku, lalu Dia mengutuskan aku sebagai Rasul-Nya.”
“Rasul?” Tanya Firaun mencelah.

“Ya, rasul Allah. Dan aku ke mari adalah dalam rangka melaksanakan tugasku sebagai Rasul untuk mengajak kamu dan kaummu menyembah Allah dan meninggalkan kezaliman serta penindasanmu terhadap Bani Israil.” Jelas nabi Musa a.s.


Bagai dirantap-rentap jantung Firaun mendengar kata-kata Nabi Musa a.s., kerana baru ini orang menyebut Allah di hadapannya, dan ini bererti cabaran terhadap ketuhanan dirinya sendiri.

Dia bertanya, “Siapakah Tuhan yang engkau sebut-sebut, hai Musa? Adakah Tuhan di dunia ini selain aku yang layak disembah dan dipuja?”

Memang pertanyaan yang seperti itu yang dikehendaki oleh Nabi Musa a.s., biar semua yang hadir tahu kepalsuan tuhan Firaun. Dia menjawab, “Dia Tuhanku dan Tuhan nenek moyangmu serta Tuhan sekalian alam.”

“Siapakah Tuhan sekalian alam itu?” Tanya Firaun gugup.

“Dia Tuhan langit dan bumi dan setiap yang ada di langit dan bumi.” Jawab Nabi Musa a.s.

Firaun tidak berdaya berhujah lagi. Dia berpaling kepada para pembesar istana. “Sudahkah kamu mendengar kata-kata Musa? Sudahkah kamu tahu siapa Tuhan Musa?” Lagaknya yang kasar dan angkuh memaksa semua pembesar mengiakan kata-kata Firaun.

“Sesungguhnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini orang gila.” Helah Firaun untuk mengelakkan orang ramai terpesona.


Dengan tenang Nabi Musa a.s. bersma saudaranya Nabi Harun a.s. menerima tuduhan itu. Nabi Musa a.s. menyeru mereka menggunakan fikiran. Tidak mungkin manusia menjadi tuhan manusia!

Sekali lagi Firaun bertanya kepada Nabi Musa a.s., “Siapakah Tuhan kamu berdua?”

Nabi Musa a.s. tidak berubah sikap. Kata Nabi Musa a.s., “Tuhan kami, Tuhan yang telah memberi setiap makhluk suatu bentuk kejadian, kemudian memberi petunjuk kepadanya.”

Firaun bertanya tentang orang-orang zaman silam yang menyembah berhala dengan tujuan untuk mematikan hujah Nabi Musa a.s., namun Nabi Musa a.s. dapat menjawabnya; “Hidayah dan risalah Allah ada di setiap zaman dan orang yang menentang risalah-Nya, berpaling dari kebenaran, mereka tetap akan menerima azab.”



Ucapan itu menampakkan kemenangan menyebelahi Nabi Musa a.s. Pembesar yang hadir tahu hakikat ini. Pada kali inilah mereka menyaksikan seorang muda menentang Firaun.

Firaun rasa malu. Dia mesti melindungi segala kelemahannya, lalu dia membuat keputusan, “Musa, sekiranya kamu mempercayai Tuhan selain aku, maka kamu ku masukkan ke dalam penjara.”

“Apakah kamu akan memasukkan aku ke dalam penjara kalau aku dapat membuktikan kebenaran dakwahku?” Tanya Nabi Musa a.s.

Sambil mencebir bibirnya Firaun menjawab, “Tunjukkanlah tanda-tanda yang dapat membuktikan kebenaranmu.”

Firaun dan setiap yang hadir menanti-nanti Nabi Musa a.s. menunjukkan tanda-tanda itu. Suasana di ruang penghadapan itu sunyi sekejap. Semua tertumpu kepada Nabi Musa a.s.


Cabaran terhadap Nabi Musa a.s.

Nabi Musa a.s. sudah bersedia untuk membuktikan kerasulannya. Bukti itu bukan rekaan dan ciptaannya. Juga bukan dicari atau sihir yang boleh dipelajari. Bukti itu anugerah Allah, suatu mukjizat yang hanya dikurniakan kepada orang sepertinya, seperti Nabi Salih a.s. dan Nabi Ibrahim a.s.

Firaun tidak pernah menghargai hak dan kemampuan orang lain juga telah bersedia untuk menyaksikan bukti itu. Ke kanan ke kiri dia menoleh. Di kanannya pembesar, di kirinya ahli nujum istana. Dia begitu percaya bukti itu tidak lebih daripada pertunjukan anak-anak yang masih mentah.

Ahli nujum menganggukkan kepalanya tanda setuju untuk menyaksikan bukti kerasulan Nabi Musa a.s., para pembesar juga begitu. Haman terutama sekali yang berbuat seperti ahli nujum itu.


Maka dengan lagak paling angkuh Firaun berkata kepada Nabi Musa a.s., “Sekarang tunjukkan bukti itu kepadaku, jika tidak…..” terhenti suaranya sambil menjeling kea rah pengawal-pengawal istana yang memegang pedang dan lembing.

Dengan menyebut nama Allah dan berdoa kepada-Nya, Nabi Musa a.s. melemparkan tongkatnya ke lantai. Tongkat itu bertukar menjadi ULAR YANG AMAT BESAR dan bergerak ke arah Firaun.

Gempar!! Tongkat menjadi Ular Raksasa. Tersentak Firaun. Dia berdiri dan meninggalkan kerusinya. Tidak sepatah kata tercetus dari mulutnya. Matanya terbeliak. Dadanya berdebar dan tubuhnya menggeletar.


Ular Raksasa itu semakin hampir kepada Firaun. Ahli nujum tidak dapat menyekat kemaraan ular itu. Puas dia membaca mentera, hamper kering air liurnya, namun ular mukjizat itu tidak berhenti. Dia memerhatikan Firaun dengan cemas. Belum pernah dia mengalami keadaan sedemikian.

Haman dan orang ramai juga tercengang. Masing-masing bingkas hendak menyelamatkan diri. Pengawal-pengawal istana bertemperian. Setiap kali mereka cuba mengacahkan pedang dan lembing, pedang dan lembing itu terlepas dari tangan mereka. Mereka gementar dan menggeletar.

“Ular!.... Ular!” suara mereka terputus-putus. Sedangkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tenang sahaja melihat peristiwa mukjizat itu.

Pucat sungguh muka Firaun. Ular Raksasa itu sudah begitu hampir.  Dengan suara terketar-ketar dia memohon kepada Nabi Musa a.s., “Musa, demi lapan belas tahun aku memeliharamu, panggillah kembali ular ini.”


Dengan tenang Nabi Musa a.s. mengambil ular itu. Demi disentuhnya sahaja kepada Ular Raksasa itu, ia bertukar menjadi tongkat semula. Kedengaran Firaun melepaskan nafas sesaknya sejenak tadi. Orang ramai juga menjadi lega.

Mukjizat yang menggemparkan itu rupa-rupanya belum cukup untuk membuka hati mereka supaya beriman kepada Allah Ta’ala. Kedudukan, kemewahan dan nafsu mereka menutup rapat pintu hati mereka. Mereka tidak Nampak cahaya keimanan dan kebahagiaan abadi.

Firaun menunjukkan kesombongannya lagi, “Musa, bukti itu belum cukup bagiku! Ada bukti lain yang dapat kamu tunjukkan?”

“Baik, lihatlah tanganku.” Sahut Nabi Musa a.s. Dia memasukkan kedua belah tangannya ke saku kiri dan kanannay. Lalu dikeluarkan semula. Kelihatan tangan itu bercahaya memancar-mancar. Silau mata Firaun dan setiap orang yang melihatnya. Tidak terdaya Firaun menentang kedua-dua mukjizat Nabi Musa a.s.


Kali ini Firaun tersilap orang. Nabi Musa a.s. bukan Bani Israil seperti yang pernah diseksanya. Nabi Musa a.s. kini Rasul Allah.

Firaun tahu dia tidak terdaya menentang Nabi Musa a.s. Ahli nujum istana juga tahu dia tidak berdaya menentang Nabi Musa a.s. Begitu juga pembesar istana. Namun kedudukan dan nafsu mereka tidak mengakui hakikat ini.

“Kamu!, Kamu! dan kamu!,” teriak Firaun dengan lantang. Tangannya menuding muka ahli nujum dam pembesar istana. Haman yang selalunya tegak menatap muka Firaun tunduk tersipu-sipu. “Kamu sudah saksikan sihir kedua-dua orang gila ini. Mereka ingin mengalahkan kita dengan sihir itu. Kamu mahu mengaku kalah? Kamu mahu membiarkan mereka?” suara Firaun lantang, bergema seluruh istana.

Nabi Musa a.s. tetap tenang dan bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan. Dia menghampiri Nabi Harun a.s. serta membisikkan sesuatu supaya mereka bertawakal kepada Allah Ta’ala.

Firaun menoleh ke arah Haman. Orang lain juga memperhatikannya. Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. juga begitu. Gelisah Haman, lalu dia mengumpulkan segala kekuatannya, terluncur cadangan dari mulutnya. “Musa dan Harun mesti dikalahkan dengan sihir juga, sehingga mereka terhapus dari bumi ini.” Jelas Haman.
Tersenyum Nabi Musa a.s. mendengar kata-kata Haman. Dia begitu yakin, kebatilan mesti akan lenyap dan kebenaran akan menjadi kenyataan.


“Negeri Mesir mempunyai ramai ahli nujum dan ahli sihir. Kita kumpulkan mereka untuk menentang Musa dan Harun.” Cadang Haman lagi. Firaun bersetuju dengan cadangannya itu. Dan esok upacara menentang mukjizat Nabi Musa a.s. akan diadakan. Nabi Musa a.s. bersedia untuk menghadapi cabaran dari ahli sihir seluruh Mesir.

Perlawanan itu diadakan di padang yang luas. Firaun dan para pembesar hadir. Orang ramai yang ingin menyaksikan juga hadir.


Perlawanan antara Sihir dan Mukjizat.

Perlawanan dimulakan pada hari yang ditetapkan. Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tampil ke tengah padang. Nabi Musa a.s. berkata kepada para ahli sihir, “Celaka besar sesiapa yang mendustakan Allah. Kamu sekalian sudah mendustakannya. Kamu kira mukjizat ini sebagai sihir? Kamu samakan sihir dengan mukjizat, yang hak dengan yang batil? Sesiapa yang cuba memalsukan yang hak dan membenarkan yang batil, maka dia akan kalah dan akan rugi.”

Kata-kata Nabi Musa a.s. meresap ke dalam hati para ahli sihir. Berbelah bagi hati mereka kini. Terbayang di fikiran mereka tawaran istimewa Firaun, namun bayangan itu kian pudar, dikaburi oleh hikmat kata-kata Nabi Musa a.s.


Mereka terasa tidak berdaya hendak menentang Nabi Musa a.s., tetapi suara Firaun mengganggu mereka dari memikirkan kata-kata itu. “Wahai ahli sihir! Kamu tentu mahu wang, harta dan perempuan. Sekarang tunjukkan kepandaianmu kepada Musa!” jerit Firaun.

Ahli sihir berbaris. Mereka melontarkan tongkat dan tali. Melingkar-lingkar tongkat dan tali itu menjadi ular. Berbagai-bagai rupa, bentuk dan saiznya. Gementar dan seram oaring yang menyaksikannya, namun Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tetap tenang. Allah memberi kekuatan peribadi kepada mereka, “Jangan takut, hai Musa, kamulah yang lebih unggul.”

Nabi Musa a.s. melemparkan tongkatnya ke tengah-tengah lingkaran ular itu. Serta-merta tongkat itu menjadi ular yang amat besar. Seekor demi seekor ular ahli sihir itu ditelan oleh ular Nabi Musa a.s. Akhirnya tidak ada satu pun yang tinggal.



Gempar lagi! Orang ramai terpegun melihat peristiwa itu. Firaun berpeluh menyaksikannya. Haman tunduk menggigil dan ahli sihir terpaku membisu.

Firaun pulang dengan dendam yang tidak terlerai. Dia diiringi Haman dan para pembesar. Ahli-ahli sihir bergerak mendapatkan Nabi Musa a.s. Mereka tunduk dan mengakui kerasulan Nabi Musa a.s. Mereka insaf dan bertaubat tentang apa yang pernah mereka lakukan dulu.

“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya Dia mengampunkan kesalahan dan dosa kami mengerjakan sihir yang kau (Firaun) paksakan ke atas kami. Dan Allah lebih baik dan lebih kekal.” 
(maksud al-Quran, surah Taha ayat 73)

Di istana Firaun, Haman dan orang-orang yang hatinya tertutup dari cahaya hidayah Allah terus merancang tindakan jahat yang akan mempercepatkan kehancuran diri mereka sendiri.

Nota : Semua gambar dalam artikel ini adalah sekadar hiasan.

Wallahu’alam.



Sekian wassalam.

Utan Aji, Perlis Indera Kayangan.