Assalammu'alaikum...wrth, saudara dan saudari yang dihormati sekalian. Hari ini Selasa 03/03/2015 Masihi bersamaan 13 Jamadil Awwal 1436 Hijriah.
“Dan apakah orang yang kafir tidak
mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah bercantum,
kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air, Kami jadikan segala
sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (30)
“Dan telah kami jadikan di bumi ini
gunung ganang yang kukuh (pasak) supaya bumi itu tidak goncang bersama mereka
dan telah Kami jadikan di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat
petunjuk.” (31)
“Dan Kami jadikan langit itu
sebagai atap yang terpelihara, sedang mereka berpaling daripada segala tanda
(kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.” (32)
“Dan Dialah (Tuhan) yang telah
menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Kedua-duanya itu beredar di
atas garis edarnya masing-masing.” (33)
“Kami tidak menjadikan hidup kekal
bagi seorang manusia pun sebelum kamu; maka jika kamu mati, apakah mereka akan
kekal?” (34)
“Tiap-tiap yang berjiwa (bernyawa)
akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan
sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu
dikembalikan.” (35)
Firman
Allah Ta’ala dalam surah Al-Anbiya’ ayat : 30 hingga 35.
Harut dan Marut
Prakata
oleh Muhammad Yasin Owadally penulis buku Harut & Marut Malaikat Yang
Dimurkai.
Walaupun
ramai penulis Islam menggelakkan diri untuk menghuraikan hakikat disebalik dua
malaikat Allah yang disebut di dalam Al-Quran, saya dengan sepenuh hati
mengambil tugas berat ini untuk menuliskan kepada anda kisah yang paling tepat
mengenai dua malaikat Harut dan Marut.
Sebenarnya,
anda akan mendapat maklumat yang diperlukan mengenai dua malaikat ini melalui
penulisan ini. Dua malaikat ini yang sehingga kini masih tergantung kepala ke
bawah di dalam sebuah telaga di tempat yang tidak diketahui. Harut dan Marut tinggal
di dunia ini pertamanya sebagai ibrah
(pengajaran) dan keduanya sebagai ujian
kepada manusia. Bakal murid yang mengamalkan sihir mengerumuni mereka untuk
belajar, tetapi mereka berdua selalu memberitahu: “Kami hanyalah sebagai ujian,
berhati-hatilah! Selalulah ingat Allah dan jangan syirik.” Mereka mengajar
manusia segala liku-liku ilmu khusus dan lain-lain sains kesihiran : Astrologi
(ilmu Nujum), kimia, kira-mengira, ilmu kesembuhan dan lain-lain.
Siapakah
Harut dan Marut? Mengapa mereka rosak (sesat)? Apa yang mereka ajarkan? Di mana
mereka sekarang? Persoalan-persoalan ini dan banyak lagi jawapan di dalam
penulisan ini. Saya berharap anda sekalian akan dapat memahami kisah yang
sebenar mengenai Harut dan Marut. Semoga Allah menerima penulisan ini serta
mengampuni pembaca dan penulis.
ALLAH
MAHA MENGETAHUI KISAH SEGALA UMAT.
Siapa Harut dan Marut?
Al-Suddi
rah. berkata, salah satu perkara mengenai Harut dan Marut ialah kecaman dan
penghinaan mereka terhadap manusia di muka bumi dan hukuman ke atas mereka.
Jadi mereka pun dihantar ke dunia bersama dengan 10 keinginan hawa nafsu
sebagaimana manusia dan mereka berjanji kepada Allah untuk menjalankan keadilan
di antara manusia. Mereka dihantar ke Babylon, Dunbawand.
Harut
telah dihantar sebagai hakim sedangkan Marut sebagai guru dengan arahan supaya
mengelakkan perlakuan dosa-dosa besar, penyembahan berhala, perzinaan,
pembunuhan dan minum arak. Mereka hidup seperti manusia dengan makan dan minum.
Penghakiman mereka pun dipuji. Mereka mengadilan dan mengajar sehingga petang
kemudian mereka naik ke langit dan pada pagi esoknya mereka turun semula.
Mereka
meneruskan pengadilan dengan cemerlang sehinggalah seorang wanita datang
mengadu tentang suaminya. Namanya ialah Zuhrah (Venus), Baidhakht dalam bahasa
Nabaten dan Anahidh dalam bahasa Parsi. Dia sangat cantik. Kecantikan dan daya
tarikannya menggoda Harut dan Marut.
Zuhrah
tahu bahawa Harut dan Marut ini bukanlah manusia biasa. Dia berfikir bahawa
mereka mestilah makhluk lain yang menjelma sebagai manusia yang mempunyai suatu
rahsia tertentu. Maka dia pun cuba sedaya upayanya membongkar rahsia mereka
dengan menggunakan kecantikan dan tipu dayanya.
Rahsia Harut dan Marut
Harut
dan Marut selalu naik ke langit dan turun semula ke tempat tinggal mereka di
dunia dengan sekelip mata apabila menyebut nama Allah Yang Maha Agung.
Zuhrah
yang tahu sejak awal lagi bahawa dua orang ini adalah makhluk yang luar biasa
cuba dengan segala cara yang terbaik untuk mengcungkil rahsia mereka. Dia pun
menjemput Harut dan Marut ke rumahnya. Zuhrah menyediakan mereka dengan makanan
yang sangat enak dan layanan yang istimewa.
Hasilnya
kedua-dua malaikat ini telah terpikat kepada kecantikan Zuhrah. Mereka
benar-benar terpikat dengan kecantikannya sehingga salah satunya berkata kepada
yang lain, “Bagaimana sekiranya dia menggembirakanku!” Dan yang kedua pun
berkata, “Aku mahu berkata yang sama, tetapi aku malu di depanmu.” Yang pertama
berkata lagi, “Apakah kamu mahu aku sebutkan itu di depannya?” Yang kedua
menjawab, “Ya, tetapi bagaimana Allah Ta’ala akan menghukum kita?” Maka yang
pertama berkata lagi, “Kita akan mengharapkan Rahmat Allah.”
Di
suatu masa yang lain, apabila Zuhrah datang untuk membawakan aduan terhadap
suaminya, mereka berkata kepadanya mengenai dirinya. Zuhrah berkata, “Tidak,
sehinggalah kamu memberi kemenangan kepadaku terhadap suamiku.” Maka mereka pun
membuat keputusan yang memihak kepada Zuhrah. Dengan ini dia berjanji untuk
bertemu dengan mereka. Kedua-dua malaikat ini pun pergilah kepadanya.
Ketika
mereka cuba melakukan perbuatan zina dengannya, Zuhrah berkata kepada mereka,
“Tidak! Sehinggalah kamu mensyirikkan Allah, minum arak, membunuh seorang dan
sujud di depan berhala ini!” Kemudian salah seorangnya berkata, “Kembali
kepadanya.” Tetapi Zuhrah berkata, “Tidak sehingga kamu meminum arak.” Mereka
pun diberi minum arak. Tarian Zuhrah disertai dengan muzik dicucuk dengan
suasana kesyaitanan. Jadi mereka tidak boleh menolaknya. Mereka lupa dengan
tujuan perutusan mereka. Mereka telah melakukan beberapa dosa untuk memenangi
Zuhrah.
Pada
ketika mereka melakukan perzinaan, seorang peminta sedekah lalu dan melihat apa
yang sedang berlaku di dalam rumah Zuhrah. Untuk memelihara nama baik mereka,
peminta sedekah itu dibunuh. Walau bagaimanapun ketika mereka berkeadaan mabuk
mereka pun mendedahkan rahsia besar mereka kepada Zuhrah, yang mana Allah telah
kurniakan kepada mereka. Nama Agung Allah Ta’ala. Maka Zuhrah telah mengetahui rahsia
yang dia inginkan itu.
Zuhrah
yang telah mengetahui akan nama Allah Ta’ala, suatu ketika menyebut nama itu
lalu dia hilang daripada permukaan bumi. Dia tidak kelihatan lagi. Allah Ta’ala
melupakannya akan perkataan untuk dia turun semula ke bumi. Walau bagaimanapun
Allah Ta’ala mengampuninya tetapi dia tidak dibenarkan masuk syurga. Sebaliknya
Allah Ta’ala menukar dan menjelmakannya kepada bentuk planet (Bintang) Zuhrah
(Venus). Dia tetap begitu sehingga akhir zaman. Zuhrah (Venus) boleh dilihat di
angkasa raya pada waktu pagi atau malam.
Iktibar
kepada Malaikat yang lain
Ketika
Harut dan Marut sedang melakukan dosa akibat kemabukan arak, Allah Ta’ala pun
membuka pintu langit dan para malaikat di langit dapat melihat apa yang sedang
dilakukan oleh dua malaikat tersebut. Para malaikat di langitpun berkata: “Maha
Suci Engkau, Engkau Maha mengetahui.”
Malaikat-malaikat
yang lain mengambil iktibar dari kejadian ini sebagai pengajaran dan amaran.
Mereka pun berhenti mengecam dan mengutuk manusia. Mereka juga berhenti
daripada menganggap diri mereka dapat melakukan lebih baik walaupun diberikan
keinginan nafsu syahwat.
Allah
Maha Sempurna IlmuNya mengenai kelemahan manusia kerana nafsu dan keinginannya.
Tetapi bagaimanapun Dia mahu manusia mencapai maksud yang paling tinggi
walaupun manusia menjurus ke arah maksiat. Fikirkanlah betapa sifat tamak dan
keinginan-keinginan manusia menariknya melakukan dosa. Tetapi jika selalu ingat kepada Allah, sebenarnya
inilah amalan yang terbaik yang perlu dilakukan dan ganjaran baginya ada di
dunia ini dan di akhirat tidak terbatas banyaknya.
Sekarang,
manusia bukan sahaja menjadi sasaran syaitan. Justeru manusia terpaksa berjuang
menghadapi nafsunya sendiri. Betapa tinggi darjat seorang manusia walaupun ia
diletakkan dengan semua rintangan dan jerat-jerat ini, lalu menuju ke pintu
Jannah.
Seorang
penyair sufi pernah berkata: “Dengan penuh gembira aku meluncur mengharungi
ombak badai yang ganas, kerana kehidupan tanpa kesukaran (kepayahan, mujahadah)
merupakan neraka bagi si berani.”
Semoga
Allah Ta’ala menolong kita mencapai tempat (maqam) tujuan kita dengan jayanya
dan tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu dan keinginan kita tetapi menjadikan
kita penguasa ke atas keinginan-keinginan kita. Semoga Allah Ta’ala memelihara
kita daripada pemikiran-pemikiran kesyaitanan.
Aaminn….
Allah mengazab Harut dan Marut
Dua
malaikat, Harut dan Marut juga terdedah dan tidak kebal sebagaimana manusia,
mereka juga tidak Berjaya keluar daripada jerat dan tipu daya wanita. Sepuluh
keinginan nafsu syahwat ini yang Allah berikan kepada mereka seolah-olah
seumpama sepuluh syaitan (kejahatan) yang terpaksa mereka berjuang untuk
menghapuskannya, tetapi itu bukanlah tugas yang mudah walaupun mereka adalah
malaikat.
Mereka
tidak tahu sama sekali betapa manusia terpaksa berjuang dan bermujahadah
menghadapi desakan dan suruhan kejahatan keinginan hawa nafsunya; betapa
manusia kena tegak dan istiqamah seumpama gunung untuk berhadapan dengan angin
taufan godaan, bisikan-bisikan jahat dan lain-lainnya.
Harut
dan Marut dengan bongkaknya mengatakan mereka boleh buat lebih baik daripada
manusia untuk mengekalkan keadilan dan keamanan di muka bumi, tetapi malangnya
mereka menjadi mangsa seorang wanita cantik.
Apabila
Harut dan Marut kembali deperti sediakala, mereka sedar bahawa mereka telah
melanggar batas dan apa yang telah berlaku ke atas mereka. Mereka cuba naik ke
langit dengan menyebut Nama Allah Yang Maha Agung tetapi mereka tidak boleh
lagi kerana telah dilupakan. Justeru itu, tahulah mereka betapa benarnya firman
Allah Ta’ala itu.
Allah
berfirman kepada mereka: “Kamu menghina manusia lantaran sifat tabii mereka
yang suka membuat kesilapan, sekarang kamu telah lihat betapa dengan diberikan
keinginan syahwat sebagaimana mereka, kamu juga tidak ada bezanya melakukan
sebagaimana mereka dan semua kezalimannya menjadi milik kamu!”
Harut
dan Marut diberi pilihan samada menerima azab di dunia atau azab sengsara yang
kekal abadi di neraka. Mereka memilih untuk menebus dosa mereka di dunia ini.
Mereka dibelenggu (dirantai) di pergelangan kaki (buku lali) sehingga ke
tengkuk dan dimasukkan ke dalam sebuah perigi di Babil. (Juga disebut bahawa
Allah telah mengilhamkan Nabi Sulaiman a.s. memberi pilihan kepada dua malaikat
akan azab di dunia atau azab di akhirat.- riwayat Ibnu Masud, Ibnu Abbas dan
Kaab Al-Ahbar)
Harut
dan Marut digantung kedua-dua kaki mereka dalam keadaan azab, sejak itu
sehingga ke hari ini. Dikatakan mereka digantung setiap hari pada kaki mereka
di antara Magrib dan Isyak. Beginilah azab ke atas mereka sehingga hari kiamat.
Mereka akan diampun dan akan dikembalikan kepada keadaan asal mereka sebagai
malaikat.
Inshaa Allah. (menurut Ibnu Abbas – lihat Syarahul Quran oleh Tabari jilid 2, m/s 484)
Inshaa Allah. (menurut Ibnu Abbas – lihat Syarahul Quran oleh Tabari jilid 2, m/s 484)
Guru Sihir yang besar
Harut
dan Marut diletakkan di dalam perigi dan mereka mulalah bercakap kepada manusia
yang datang untuk belajar, ucapan-ucapan yang diajar oleh Harut dan Marut
itulah SIHIR. Kedua-duanya mulalah mengajar manusia ilmu sihir dan mereka
adalah guru sihir yang besar.
Harut
dan Marut diikat dan dirantai di dalam perigi di bumi Babylon sehinggalah ke
hari Kiamat; Dikatakan juga bahawa mereka hanya dilarang naik ke langit tetapi
menjadi sebagaimana mereka (malaikat). – Kisah para Anbia oleh Abdullah
Al-Kisai, m/s 48.
Di
dalam Al-Quran Allah Ta’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 102:
“Dan mereka mengikuti apa (yakni
kitab-kitab sihir) yang dibawa oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman
dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir padahal Sulaiman
tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir
(mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang
diturunkan kepada dua malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang
kedua-duanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan;
‘Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir’. Maka
mereka mempelajari dari kedua-dua malaikat itu apa-apa yang dengan sihir itu
mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka
itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seseorang pun
kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat
kepadanya dan tidak memberi manafaat. Demi, sesungguhnya mereka telah menyakini
bahawa sesiapa yang menukarkannya (Kitab Allah) dengan sihir itu, tidaklah
baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka, menjual
dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.”
Al
Rabi bin Anas rah meriwayatkan: “Mereka berkata bahawa orang-orang Yahudi suatu
ketika bertanya Nabi Muhammad s.a.w. mengenai perkara-perkara di dalam Taurat,
tetapi bagi setiap pertanyaan mereka, Allah Ta’ala turunkan ayat Al-Quran untuk
menjawab pertanyaan mereka lalu mematahkan hujah mereka. Apabila mereka lihat
begini, lalu mereka berkata: “Orang ini mengetahui lebih banyak daripada apa
yang telah diturunkan kepada kita”. Kemudian mereka bertanya kepada Rasulullah
s.a.w. mengenai sihir dan berhujah mengenainya. Maka Allah Ta’ala menurunkan
ayat yang tersebut (Ayat 102 dalam surah Al-Baqarah).
Dan
syaitan-syaitan itu pergi kepada sebuah kitab dan menulis di dalamnya mengenai
sihir, wahyu dan apa-apa yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala dengannya; kemudian
mereka menanamkannya di bawah takhta Nabi Sulaiman a.s., tetapi Nabi Sulaiman
a.s. tidak mengetahui tentang perkara tersebut. Apabila Nabi Sulaiman a.s.
wafat, mereka gali dan keluarkan kitab sihir itu dan menipu orang ramai
dengannya, mereka berkata: “Ini adalah ilmu di mana Sulaiman sembunyikan dan
menyakiti orang ramai.”
Maka
Nabi Muhammad s.a.w. memberitahu mereka (orang Yahudi) riwayat ini dan mereka
meninggalkannya dan kecewa kerana Allah Ta’ala telah membatalkan bukti-bukti
(hujah) mereka. (Al Rabi 1647, juga Ibn Zaid 1648, Abu Jaafar Muhammad bin
Jarir Al Tabari di dalam Jamiul Bayan dan Tawil Al-Quran jilid 1 m/s 476)
Ibnu
Ishaq meriwayatkan: “Apabila syaitan menyedari akan kewafatan Nabi Sulaiman
a.s., mereka pun mulalah menulis beberapa bahagian ilmu sihir. Ditulis – Barang
siapa hendak mencapai sesuatu ini dan itu, maka lakukanlah demikian dan
demikian. Kemudian setelah mereka menyusun berbagai-bagai bentuk sihir, mereka
masukkan ke dalam buku dan mengecap dengan cap mohor yang sama bentuknya dengan
cap mohor Nabi Sulaiman a.s. Kemudian mereka menulis tajuknya demikian, ‘Ini
adalah khazanah ilmu yang Asaf, anak kepada Brakhya, yang soleh menulis untuk
Raja Sulaiman’. Kemudian mereka tanam di bawah takhtanya. Kemudian
keturunan-keturunan Bani Israil menggalinya, apabila mereka melakukan maksiat
dan apabila mereka mendapatinya mereka berkata: ‘Ini pastilah apa yang
dilakukan oleh Sulaiman’. Kemudian mereka menyebarkan dengan meluas sihir itu
di kalangan manusia. Mereka mengajar dan belajar mengenainya dan yang paling
biasa ialah di kalangan orang-orang Yahudi.”
Sebenarnya
syaitan adalah kafir bukannya Nabi Sulaiman a.s. Sebahagaian manusia pada zaman
tersebut telah diyakini dengan tipu daya syaitan sebagaimana yang telah mereka
sebutkan bahawa Nabi Sulaiman a.s. mendapat kekuasaannya menerusi sihir.
Malahan orang Yahudi pada zaman Rasulullah s.a.w. percaya Nabi Sulaiman a.s.
mengamalkan sihir. Kita telah diberitahu bahawa orang-orang Yahudi Madinah
berkata sesame mereka, “Tidakkah kamu kagum dengan Muhammad. Dia mendakwa
Sulaiman anak Daud sebagai Nabi! Demi Allah dia seorang ahli sihir.”
Berkenaan
dengan itu, Allah Ta’ala menurunkan ayat 102 dalam surah Al-Baqarah mengesahkan
imej Nabi Sulaiman a.s. yang sebenarnya dan menunjukkan kepada dunia bahawa
Sulaiman a.s. adalah hamba Allah yang percaya kepada Allah, seorang Nabi dan
bukannya ahli sihir.
Daripada ayat tersebut juga kita diberitahu bahawa dua malaikat akan mengajar manusia
ilmu sihir hanyalah setelah mereka memberi amaran kepada bakal-bakal murid ilmu
sihir itu. (Kami hanyalah sebagai ujian, maka lantaran itu percayalah dengan
petunjuk Allah).
Walau
bagaimanapun bukanlah daripada peristiwa itu sihir mula diamalkan, sebenarnya
Firaun telah disebut di dalam Al-Quran mengamalkan sihir dan juga kaum Nabi Nuh
a.s. telah menuduhnya mengamalkan sihir. Maka sihir bukanlah baru pada zaman
Nabi Sulaiman a.s. walau bagaimanapun berbagai-bagai jenis sihir telah
dipelajari oleh manusia untuk membinasakan manusia, tetapi sihir ini ialah untuk mencerai-beraikan si
suami daripada isterinya telah tersebar pada zaman itu bukannya baru hendak
bermula. Allah Maha Mengetahui.
Mengenai
Harut dan marut kita dapati dalam karya Imam Al-Ghazali kitab Ihya Ulumuddin
jilid 3, bab Cinta kepada Dunia m/s 184.
Sebuah
hadis yang diriwayatkan di mana Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jaga-jagalah
dengan dunia kerana ia adalah sihir yang lebih besar daripada Harut dan Marut.”
Dengan
ini sahlah dua malaikat ini pernah mengajar manusia tentang sihir tetapi
setelah member amaran berikut: “kami hanyalah ijian, lantaran itu berimanlah
dengan petunjuk Allah.”
Wallahu’alam.
Kampung Sungai Baru Utan Aji,
Perlis Indera Kayangan.