Ayahnda

Ayahnda

Ahad, 31 Mac 2013

Mukjizat dan Karamah


"Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya : "Jadilah" - maka jadilah ia."
Surah Yasin ayat 82.

Assalamu'alaikum...wrt, hari ini AHAD 31/03/2013M bersamaan 19 Jamadil Awal 1434H juga bersamaan 11 Hamal 10,001 tahun PuSaka, hamba nukilkan sebagai renungan dan santapan jiwaku, saudara dan saudari yang dihormati sekalian. Semoga ianya bermanafaat untuk kita semua.

Mukjizat ialah suatu kejadian atau perkara yang mencarik adat atau luar biasa. Kejadian mukjizat adalah kejadian yang diluar hukum tabi'i (natural law) dan melampaui kemampuan fikiran akal manusia untuk memahaminya. Dengan kata lain, kejadian itu menghairankan dan seolah-olah tidak masuk akal.

Ada dua perkataan yang membawa pengertian luar biasa atau mukjizat ini dalam pendapat orang-orang sufi. Patut kita ketahui perbezaan antara kedua-dua perkataan itu meskipun perbezaannya halus sekali.

Perkataan MUKJIZAT bererti perlakuan atau tindakan Allah Ta'ala secara langsung dalam hukum-hukum dan alam tabi'i dan kemanusiaan. Dalam mukjizat tindakan itu bukan diminta oleh manusia dan tidak tidak ada manusia campur tangan dalam kejadian atau perkara luar biasa itu.

Kedua ialah perkataan KARAMAH (keramat). Perkataan ini membawa pengertian bahawa kejadian atau perkara luar biasa itu berlaku melalui manusia. Ini bererti Allah Ta'ala melakukan perkara luar biasa itu melalui alat atau wakil iaitu manusia. Pada zahirnya manusia itu melakukan perkara luar biasa itu tetapi pada hakikatnya adalah Allah Ta'ala jua.

Walau bagaimanapun, dalam kedua-dua hal itu pada hakikatnya adalah kuasa dan izin Allah Ta'ala jua. Allah Ta'ala jua yang bekerja dan bertindak dalam kedua-dua hal itu. Wallahu'alam.


Abdullah Yusuf Ali rah. dalam tafsir Al-Quran ada menulis : "Orang-orang kerohanian dikurnia oleh Allah Ta'ala suatu keistimewaan iaitu mereka diperlihatkan rahsia-rahsia alam kerohanian dan mereka ditunjukkan cara-cara bagaimana mengelakkan diri daripada maksiat dan api neraka. Masing-masing bertanggungjawab atas dirinya sendiri. Kurniaan Allah Ta'ala ini meliputi semua orang tetapi bukan semua orang menerima kurniaan yang sama taraf dan sama darjat.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang orang-orang yang diistimewakan dengan rahsia-rahsia tersebut : "Sesungguhnya Allah ada suatu minuman yang disediakan untuk para Auliya-Nya. Apabila mereka minum minuman itu, mereka menjadi bersih. Apabila mereka bersih, mereka menjadi bijaksana. Apabila mereka bijaksana, mereka terbang ke atas. Apabila mereka naik ke atas, mereka mencapai. Apabila mereka mencapai, mereka bersatu. Apabila mereka bersatu, mereka berpisah. Apabila mereka berpisah, mereka fana (lenyap). Apabila mereka fana, mereka baqa (kekal). Apabila mereka baqa, mereka jadi raja. Kemudian mereka berada dalam Majlis Yang Haqq di Hadrat Allah Yang Maha Tinggi."

Sheikh al-Habib r.a. berkata : "Jika seseorang itu mengetahui rahsia dirinya, pasti dia akan menitiskan air mata pada setiap nafas yang dihembusnya."


Cerita-cerita tentang kehidupan dan pengalaman ahli Sufi penuh dengan perkara dan kejadian yang luar biasa. Ada khabarnya mereka mengembara ke angkasa lepas, menghidupkan orang yang telah mati, menyembuhkan penyakit dan berbagai-bagai lagi. Peristiwa yang paling terkenal ialah Mikraj Nabi Besar Muhammad s.a.w. Dalam mikraj itu Baginda s.a.w. mempelajari banyak rahsia-rahsia Ketuhanan dan berjumpa dengan roh para Nabi, dan Baginda s.a.w. menerima arahan dan ajaran serta petunjuk daripada Allah s.w.t.

Ibnu Arabi r.a., seorang Sufi terkenal yang hidup lapan abad yang lalu dikhabarkan telah mengembara ke bulan dan menulis dengan terperinci tentang rupa permukaan bulan dan suasana di sana. Pada hal para angkasawan Amerika Syarikat hanya baru abad ini sahaja mengenali bulan dan permukaannya.

Adalah diceritakan bahawa Sheikh Jajaluddin Rumi r.a. tatkala berumur 6 tahun telah menghairankan rakan-rakan sepermainannya apabila beliau melompat ke langit dan hilang terus petang hari itu dan khabarnya beliau dibawa mengembara ke gugusan-gugusan bintang di langit tinggi.

Cerita-cerita seperti ini banyak terjadi dan disaksikan oleh orang ramai dan ini tidak dapat dinafikan semata-mata kerana ia mungkin mustahil menurut pendapat sains atau akal biasa.


Cuba sama-sama kita fikirkan tentang gelombang radio. Gelombang radio ini telah wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu lagi tetapi zaman sekarang baru dijumpai, dikenali, diukur dan digunakan oleh manusia. Perkara-perkara ghaib itu melampaui keupayaan akal manusia untuk memahaminya, manusia hanya dapat mengetahuinya jika diizinkan Allah Ta'ala.

Mukjizat memang benar ada terjadi. Orang biasa mungkin hairan takjub melihat kejadian mukjizat itu. Allah Maha Kuasa. Dia boleh melakukan apa sahaja. Tidak ada yang tidak sanggup dibuat-Nya. Semuanya mungkin dan semuanya sanggup dibuat-Nya. Baik perkara luar biasa mahupun perkara biasa boleh dilakukan-Nya. Tetapi sekiranya perkara luar biasa itu terjadi kepada seseorang manusia biasa, maka mungkin menghairankan ramai orang.

Kita ambil misalan daripada kehidupan zaman moden ini. Misalnya, dengan menggunakan telefon, kita boleh menekan 7 atau 8 nombor dan kemudian kita boleh bercakap dengan seseorang yang lain dan di mana sahaja dalam sesuatu bandar. Dengan menambah 2 angka lagi, kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja dalam negeri berlainan. Dengan menambah beberapa nombor lagi, kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh ceruk dunia ini. Dengan menggunakan telefon pintar mudah alih (pelbagai jenama dan jenis sekarang ini) keupayaan telefon itu diperluaskan lagi. Dengan bantuan sistem komputer sekarang ini, seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang rentetan (sequence) nombor yang betul, seseorang itu boleh memindahkan berjuta-juta ringgit dari satu akaun bank ke satu akaun bank yang lain walaupun beribu-ribu batu jauhnya. Tetapi jika anda kemukakan nombor 15 angka yang sama kepada seorang yang lain yang tidak memiliki kod penyampaian (access code) yang betul, tiada apa-apa yang akan terjadi. Wallahu'alam.


Dalam satu pengertian, apa yang seseorang Sufi buat untuk mendapatkan keramat, adalah seumpama kerja-kerja komputer itu juga. Allah Ta'ala berfirman bahawa Al-Quran itu adalah petunjuk, dan tidak ada satu perkara pun tertinggal, semuanya ada terkandung di dalam Al-Quran. Ini adalah satu kebenaran walaupun ada orang yang menafikannya kerana Al-Quran itu adalah datang dari Allah Yang Maha Benar.

Ada Sheikh Sufi yang berkata bahawa setiap ayat Al-Quran itu sekurang-kurangnya mengandungi 18,000 makna (maksud). Sudah tentu fikiran manusia tidak boleh memuatkan 18,000 makna dalam satu ayat. Apa yang dimaksudkan ialah dalam setiap ayat Al-Quran itu ada maksud dan makna yang sangat banyak. Makna dan maksud itu pula dapat dipandang dari segi peringkat yang ghaib, dari segi peringkat sel, atom, pecahan atom (sub-atomic) dan sebagainya. Semua itu tidak dapat dilihat dan diukur dengan cara sains dan teknologi moden dan tidak terfikir oleh akal manusia.

Kita tentu tahu beberapa perkara tentang bunyi-bunyi huruf dan kesan-kesan irama dan getaran dalam bacaan Al-Quran. Setiap huruf itu ada hubungan antara alam Ketuhanan dan alam kemanusiaan. Oleh yang demikian, bagi orang Sufi apabila perkataan ALLAH disebut, rantaian getaran terbit dari dalam jiwa yang paling dalam yang mengingatkan Sufi itu kepada Allah Ta'ala.


Sebenarnya Allah Ta'ala tatkala hendak menghantarkan roh kepada seseorang manusia, telah menyerapkan ilmu dan kepatuhan (ketaatan) kepada perintah Allah. Dalam roh itu telah dibekali dengan ilmu dan kepatuhan tadi. Ilmu dan kepatuhan itu menyerap dalam badan, mental dan roh manusia. Kemudian Allah Ta'ala memerintahkan roh supaya memasuki setitik darah (benih manusia), maka kehidupan manusia pun bermula. Dari sejak itu hayat manusia tidak lain hanya bayangan Penciptanya.

Al-Quran itu juga digelar Al-Kitab. Al-Quran itu adalah himpunan maklumat dan idea semua perkara dan perencanaan Pencipta (atau digelar juga Lauhul-Mahfuz). Allah Ta'ala berfirman bahawa tidak ada sesuatu perkara pun yang tertinggal oleh Al-Quran. Firman Allah Ta'ala lagi yang lebih kurang maksudnya, sekiranya semua pokok dijadikan pena dan semua air lautan dijadikan tinta (dakwat), dan ditambah lagi sebanyak itu, namun ilmu dalam Al-Quran itu tidak akan habis-habis ditulis.

Dengan menyebut huruf pertama dalam perkataan Al-Quran (iaitu Qaf) akan menggetarkan lubuk mental dan jiwa yang paling dalam. Kemudian terus membaca bunyi huruf  RA, lalu jiwa itu melambai dan mengajak kembalinya semua perkara kepada Yang Esa. Huruf 'Ain merintis idea tentang rantaian titah Allah Ta'ala yang diturunkan untuk mengatur seluruh alam makhluk ini. Tiga huruf tersebut menyedarkan kita tentang keluasan dan kedalaman Perencanaan Pencipta dan menyedarkan tentang tujuan hidup kita. Huruf yang keempat pula iaitu Alif menyedarkan ingatan kepada Al-Khaliq, menyedarkan ke-DUA-an wujud (iaitu wujud hamba dan wujud Tuhan) dan tentang perpisahan hamba dengan Allah Ta'ala. Sebenarnya ini adalalah suatu hakikat (sebenarnya), bukan hanya idea sahaja. Wallahu'alam.


Sains Sufisme dipelajari dalam suatu kumpulan tertutup iaitu kumpulan kerohanian yang tersendiri. Ilmu yang dimiliki ahli Sufi diperolehi dari lubuk jiwa yang paling dalam dan pula berkaitan dengan kewujudan semesta raya ini. Allah Ta'ala telah menyediakan 'jalan dan peraturan' untuk menggunakan ilmu ini bagi menimbulkan perkara luar biasa atau mencarik adat (iaitu mukjizat) dalam alam kemanusiaan. Misalnya dengan menyebut sesuatu formula atau bacaan (nama Allah) atau ayat Al-Quran dengan bilangan tertentu dapat mengelakkan bencana daripada musuh. Begitu juga boleh digunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai formula. Perkataan "ayat" bererti juga mukjizat.

Ada amalan Sufi yang menimbulkan kesan pada jiwa sama seperti kesan mendirikan solat (sembahyang) selama 700 tahun. Amalan ini sendiri hanya memerlukan masa lebih kurang lima saat. Bukan setiap orang boleh melakukan amalan ini. Bagi sesetengah orang, ianya seperti memberi satu suntikan penisilin kepada seekor lalat yang mengidap selsema.

Dengan beramal secara berjemaah, kesannya tidak terhingga lagi hebatnya hingga tidak dapat dihutung walaupun dengan konsep abstrak matetatik. Ada seorang Sufi yang menyempurnakan sebutan formula atau zikir hingga berpuluh-puluh juta kali sebutan.


Seseorang yang menyaksikan pengubatan secara Sufi itu, walaupun secara luar biasa, tidak banyak memerhatikan apa yang berlaku. Pesakit datang ke hadapan ahli Sufi, lalu Sufi itu membaca sesuatu dan menghembuskan kepada orang yang sakit itu. Sebentar kemudian pesakit itu sembuh. Tetapi orang tidak melihat betapa lamanya ahli Sufi itu beramal sebelum dapat melakukan perkara yang luar biasa itu. Mungkin ahli Sufi itu bersuluk dan beruzlah selama 30 tahun, berzikir dan membaca nama-nama Allah Ta'ala atau ayat-ayat Al-Quran tertentu selama 50 juta kali, untuk menyembuhkan seseorang. Mungkin tujuan utama ahli Sufi itu hidup di maya pada ini adalah untuk menyembuhkan penyakit orang sahaja.

Ada juga orang inginkan ahli Sufi itu menyediakan senarai penyakit dan formula tertentu untuk mengubati penyakit itu. Sebenarnya bukan formula itu yang menyembuhkan. Penyembuhan ialah penggunaan formula atau zikir iaitu melalui pengantara atau wakil nafas dan roh suci Sufi tersebut, dengan izin Allah Ta'ala jua. Formula itu mungkin tiada memberi faedah bagi orang biasa.

Fikiran dan badan manusia dikotori oleh najis, dan ini menyebabkan orang tidak dapat menggunakan ilmu hakiki yang terpendam dalam roh yang dikurniai Allah Ta'ala itu. Di samping itu pengaruh fahaman dan indoktrinasi masyarakat dan keluarga menghalang seseorang itu mencapai kesedaran bahawa ia adalah bayangan atau penzahiran (manifestasi) Allah Ta'ala sebenarnya.


Hati yang kotor dan ketidakseimbangan emosi manusia itu perlu dibersihkan dan diseimbangi serta diubat dengan secara bersungguh-sungguh. Tiap-tiap orang berlainan penyakitnya, maka dengan itu berlainan pulalah ubatnya.  Badan (jasad), fikiran (mental) dan jiwa (roh) seseorang itu perlu diubat.

Matlamat Sheikh Sufi, sebagai tabib, bukan sahaja menyembuhkan penyakit badan tetapi juga penyakit fikiran dan jiwa serta meluruskan cara hidup seseorang itu supaya berjalan atas jalan Allah yang lurus lagi diredhai oleh-Nya.

Seorang Sufi, Barkat Ali rah. pernah berkata : "Hanya hati yang boleh menyampaikan ilmu tentang hati. Ilmu ini dikurniai bukan dipelajari."

Pada mulanya ajaran kesufian itu hendaklah dipaksa kepada diri supaya mempercayainya. Sesiapa yang beramal bersungguh-sungguh dan menguji kebenarannya akan membuahkan iman sejadi dalam jiwanya. InsyaAllah.

Wallahu'alam.


Anaknda Bertuah Tun Fatimah.

Ya Hayyu Ya Qayyum

Kata-kata Hikmah dan Pesanan Ayahnda : 

1. Selagi dunia ini tidak kiamat, selagi itulah para Aulia' ada di muka bumi Allah Ta'ala ini.

2. Semasa Tok Wali hidup tidak mahu mencari. Bila sudah mati baru tahu (bahawa) dia itu seorang Tok Wali. Hendak buat apa lagi? Dia sudah mati. Dia sudah masuk alam lain. Lepas itu pakat pergi lawat kubur sajalah.

3. Perkara kerohanian tidak boleh difahami dengan akal, nafsu dan ilmu. Jika boleh dengan ilmu tentulah Imam Ghazali r.a. tidak mengaji dengan Yusuf Nasaji dan Sheikh Abdul Wahab Sya'rani r.a. tidak mengaji dengan Ali Khawas. Cukuplah mereka ini menjadi contoh.

Sekian, Wassalam.

Tanah tumpah darahku, Utan Aji Perlis Indera Kayangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan