Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 7 November 2013

Saat Kehancuran Firaun


Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Khamis 07 November 2013M bersamaan 03 Muharram 1435H sempena awal tahun hijrah 1435, hamba mengucapkan Salam Ma'al Hijrah kepada saudara dan saudari pembaca sekalian. Semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat serta mendapat rahmat daripada Allah Ta'ala. 

Pada artikel kali ini, dalam gaya cerpen, hamba mengajak sekalian pembaca untuk bersama-sama hamba mengembara dengan menggunakan kuasa minda dan rohani masing-masing ke istana Firaun di saat Ayahnda Musa a.s. dan Ayahnda Harun a.s. menjalankan usaha dakwah kepada Firaun dan kaumnya. Semoga dengan cara ini dapat kita sama-sama menghayati suasana di zaman Firaun dan seterusnya sama-sama kita dapat menjadikan kisah ini sebagai panduan serta pengajaran dalam menghadapi zaman realiti kita di zaman kini


Berdakwah di Istana Firaun

Sebuah istana besar dan indah tersergam di tebing sungai Nil. Tembok batu dan pagar besi tegak tegap mengelilingi istana itu. Di pintu besar beberapa orang bersenjata, tegak berkawal. Dan di setiap pintu masuk ke ruang istana itu sahaja pengawalnya. Memang tidak mudah untuk masuk ke dalam istana itu.

Di situlah Firaun tinggal bersama isterinya Asiah dan dayang-dayang yang sentiasa melayaninya. Di situlah Firaun menetapkan dirinya sebagai Tuhan. Di situlah dia melakukan segala kezaliman dan kekejaman terhadap rakyatnya terutama Bani Israil. Tetapi di situ juga Nabi Musa a.s. diselamatkan, diasuh dan dibesarkan.

Tidak semua orang dapat masuk ke kawasan istana, apatah lagi dalam istana. Untuk bertemu Firaun setiap orang mesti melalui berbagai penyiasatan. Jika tersilap, berjumpa Firaun tidak, keluar semula pun tidak. Sebenarnya orang ramai pun tidak suka berkunjung ke istana Firaun raza zalim penghisap darah rakyat. Hanya mereka tidak berdaya hendak menentang. Mereka menunggu pemimpin yang dapat menghadapi kesombongan dan kekejaman Firaun.


Memang sudah cukup Firaun menikmati kemewahan dan kepuasan hidup dari darah dan nyawa orang lain. Kekejaman yang dilakukannya sudah sampai ke puncaknya. Kini masanya sudah tiba. Ya, masanya sudah tiba bagi mengakhiri segala kemewahan dan kekejaman Firaun.

Di balai penghadapan, dua orang lelaki tidak terpesona dengan kebesaran Firaun, malahan mereka tidak gentar menghadapi tindakan Firaun. Mereka mencabar Firaun yang dilaknatkan oleh Allah Ta’ala. Mereka tidak akan tunduk kepada Firaun.

Dengan angkuh Firaun bertanya, “Siapa kamu berdua?” Seluruh pembesar Firaun tertumpu ke arah tetamu itu.

Nabi Musa a.s. menjawab, “Kami, Musa dan Harun, adalah pesuruh Allah yang diutuskan kepadamu.” Terbeliak mata Firaun mendengar kata-kata itu. Dia semacam tidak faham.

“Supaya kamu membebaskan Bani Israil daripada diperhambakan dan ditindas dan menyerahkan mereka kepada kami, supaya mereka dapat menyembah Allah dengan bebas dan menghindari seksamu.”  Tegas Nabi Musa a.s.


Pertama kali Firaun mendengar kata-kata seperti itu, di dalam istananya pula. Betapa berani orang yang berkata begitu. Orang yang hadir merasa ngeri mendengar kata-kata itu. Mereka ngeri kerana itu memungkinkan kepala dan badan orang yang berkata terpenggal.

Tersentak Firaun. Dia berdiri dengan megah. Tangannya menuding ke arah Nabi Musa a.s., lalu terluncur kata-kata, “Bukankah kamu Musa yang kamu asuh sejak bayi?  Kamu tinggal bersama-sama kami di dalam istana ini sampai kamu remaja. Dan di sinilah kamu diasuh!”

Suara Firaun yang kuat itu tidak sedikit pun mengerunkan Nabi Musa a.s. dengan tenang dia menentang kata-kata Firaun, “Apakah pemeliharaanmu terhadapku dulu sebagai tanda kebaikanmu? Bukankah itu sebagai tanda kekejemanmu terhadap bayi Bani Israil?”

Serba salah Firaun mendengar sanggahan Nabi Musa a.s. Dia tidak pernah berhadapan dengan orang seperti Nabi Musa a.s. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan.

Firaun menggeleng-gelengkan kepala. Baginya Nabi Musa a.s. orang yang tidak mengenang budi. “Begini rupanya, Musa, engkau lupakan kebaikan kami kepadamu,” jelas Firaun.

Dengan tegas Nabi Musa a.s. berkata, “Bahawasanya kamu telah memeliharaku sejak bayi; itu bukanlah satu jasa yang dapat kamu banggakan. Aku jatuh ketanganmu adalah akibat kekejaman dan kezalimanmu, iaitu ketika kamu memerintahkan orang-orangmu menyembelih setiap bayi lelaki yang lahir, sehingga ibuku terpaksa membiarkan aku terapung-apung di sungai Nil dalam sebuah peti. Lalu ada orang yang mengambil aku dan dibawa ke sini (istana). Oleh itu aku terselamat dari hukuman sembelih.”


Tercengang sejenak Firaun mendengar Bani Musa a.s. berbicara dengan begitu lancar dan petah. Rasa takjubnya segera disembunyikan di sebalik pertanyaan dengan suara kasar.  “Bukankah kamu yang membunuh seorang dari golongan Qibti, sedangkan kamu sehingga sekarang masih bebas, tidak menerima hukuman. Tidaklah ini tanda kebaikan kami?’ kata Firaun.

Nabi Musa a.s. menjawab, “Oh, itu adalah perbuatan yang tidak sengaja, namun peristiwa itu mengandungi rahmat dan hikmat, sebab semasa aku di perantauan, setelah aku melarikan diri dari kekejamanmu. Allah telah mengurniakan hikmat dan ilmu kepadaku, lalu Dia mengutuskan aku sebagai Rasul-Nya.”
“Rasul?” Tanya Firaun mencelah.

“Ya, rasul Allah. Dan aku ke mari adalah dalam rangka melaksanakan tugasku sebagai Rasul untuk mengajak kamu dan kaummu menyembah Allah dan meninggalkan kezaliman serta penindasanmu terhadap Bani Israil.” Jelas nabi Musa a.s.


Bagai dirantap-rentap jantung Firaun mendengar kata-kata Nabi Musa a.s., kerana baru ini orang menyebut Allah di hadapannya, dan ini bererti cabaran terhadap ketuhanan dirinya sendiri.

Dia bertanya, “Siapakah Tuhan yang engkau sebut-sebut, hai Musa? Adakah Tuhan di dunia ini selain aku yang layak disembah dan dipuja?”

Memang pertanyaan yang seperti itu yang dikehendaki oleh Nabi Musa a.s., biar semua yang hadir tahu kepalsuan tuhan Firaun. Dia menjawab, “Dia Tuhanku dan Tuhan nenek moyangmu serta Tuhan sekalian alam.”

“Siapakah Tuhan sekalian alam itu?” Tanya Firaun gugup.

“Dia Tuhan langit dan bumi dan setiap yang ada di langit dan bumi.” Jawab Nabi Musa a.s.

Firaun tidak berdaya berhujah lagi. Dia berpaling kepada para pembesar istana. “Sudahkah kamu mendengar kata-kata Musa? Sudahkah kamu tahu siapa Tuhan Musa?” Lagaknya yang kasar dan angkuh memaksa semua pembesar mengiakan kata-kata Firaun.

“Sesungguhnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini orang gila.” Helah Firaun untuk mengelakkan orang ramai terpesona.


Dengan tenang Nabi Musa a.s. bersma saudaranya Nabi Harun a.s. menerima tuduhan itu. Nabi Musa a.s. menyeru mereka menggunakan fikiran. Tidak mungkin manusia menjadi tuhan manusia!

Sekali lagi Firaun bertanya kepada Nabi Musa a.s., “Siapakah Tuhan kamu berdua?”

Nabi Musa a.s. tidak berubah sikap. Kata Nabi Musa a.s., “Tuhan kami, Tuhan yang telah memberi setiap makhluk suatu bentuk kejadian, kemudian memberi petunjuk kepadanya.”

Firaun bertanya tentang orang-orang zaman silam yang menyembah berhala dengan tujuan untuk mematikan hujah Nabi Musa a.s., namun Nabi Musa a.s. dapat menjawabnya; “Hidayah dan risalah Allah ada di setiap zaman dan orang yang menentang risalah-Nya, berpaling dari kebenaran, mereka tetap akan menerima azab.”



Ucapan itu menampakkan kemenangan menyebelahi Nabi Musa a.s. Pembesar yang hadir tahu hakikat ini. Pada kali inilah mereka menyaksikan seorang muda menentang Firaun.

Firaun rasa malu. Dia mesti melindungi segala kelemahannya, lalu dia membuat keputusan, “Musa, sekiranya kamu mempercayai Tuhan selain aku, maka kamu ku masukkan ke dalam penjara.”

“Apakah kamu akan memasukkan aku ke dalam penjara kalau aku dapat membuktikan kebenaran dakwahku?” Tanya Nabi Musa a.s.

Sambil mencebir bibirnya Firaun menjawab, “Tunjukkanlah tanda-tanda yang dapat membuktikan kebenaranmu.”

Firaun dan setiap yang hadir menanti-nanti Nabi Musa a.s. menunjukkan tanda-tanda itu. Suasana di ruang penghadapan itu sunyi sekejap. Semua tertumpu kepada Nabi Musa a.s.


Cabaran terhadap Nabi Musa a.s.

Nabi Musa a.s. sudah bersedia untuk membuktikan kerasulannya. Bukti itu bukan rekaan dan ciptaannya. Juga bukan dicari atau sihir yang boleh dipelajari. Bukti itu anugerah Allah, suatu mukjizat yang hanya dikurniakan kepada orang sepertinya, seperti Nabi Salih a.s. dan Nabi Ibrahim a.s.

Firaun tidak pernah menghargai hak dan kemampuan orang lain juga telah bersedia untuk menyaksikan bukti itu. Ke kanan ke kiri dia menoleh. Di kanannya pembesar, di kirinya ahli nujum istana. Dia begitu percaya bukti itu tidak lebih daripada pertunjukan anak-anak yang masih mentah.

Ahli nujum menganggukkan kepalanya tanda setuju untuk menyaksikan bukti kerasulan Nabi Musa a.s., para pembesar juga begitu. Haman terutama sekali yang berbuat seperti ahli nujum itu.


Maka dengan lagak paling angkuh Firaun berkata kepada Nabi Musa a.s., “Sekarang tunjukkan bukti itu kepadaku, jika tidak…..” terhenti suaranya sambil menjeling kea rah pengawal-pengawal istana yang memegang pedang dan lembing.

Dengan menyebut nama Allah dan berdoa kepada-Nya, Nabi Musa a.s. melemparkan tongkatnya ke lantai. Tongkat itu bertukar menjadi ULAR YANG AMAT BESAR dan bergerak ke arah Firaun.

Gempar!! Tongkat menjadi Ular Raksasa. Tersentak Firaun. Dia berdiri dan meninggalkan kerusinya. Tidak sepatah kata tercetus dari mulutnya. Matanya terbeliak. Dadanya berdebar dan tubuhnya menggeletar.


Ular Raksasa itu semakin hampir kepada Firaun. Ahli nujum tidak dapat menyekat kemaraan ular itu. Puas dia membaca mentera, hamper kering air liurnya, namun ular mukjizat itu tidak berhenti. Dia memerhatikan Firaun dengan cemas. Belum pernah dia mengalami keadaan sedemikian.

Haman dan orang ramai juga tercengang. Masing-masing bingkas hendak menyelamatkan diri. Pengawal-pengawal istana bertemperian. Setiap kali mereka cuba mengacahkan pedang dan lembing, pedang dan lembing itu terlepas dari tangan mereka. Mereka gementar dan menggeletar.

“Ular!.... Ular!” suara mereka terputus-putus. Sedangkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tenang sahaja melihat peristiwa mukjizat itu.

Pucat sungguh muka Firaun. Ular Raksasa itu sudah begitu hampir.  Dengan suara terketar-ketar dia memohon kepada Nabi Musa a.s., “Musa, demi lapan belas tahun aku memeliharamu, panggillah kembali ular ini.”


Dengan tenang Nabi Musa a.s. mengambil ular itu. Demi disentuhnya sahaja kepada Ular Raksasa itu, ia bertukar menjadi tongkat semula. Kedengaran Firaun melepaskan nafas sesaknya sejenak tadi. Orang ramai juga menjadi lega.

Mukjizat yang menggemparkan itu rupa-rupanya belum cukup untuk membuka hati mereka supaya beriman kepada Allah Ta’ala. Kedudukan, kemewahan dan nafsu mereka menutup rapat pintu hati mereka. Mereka tidak Nampak cahaya keimanan dan kebahagiaan abadi.

Firaun menunjukkan kesombongannya lagi, “Musa, bukti itu belum cukup bagiku! Ada bukti lain yang dapat kamu tunjukkan?”

“Baik, lihatlah tanganku.” Sahut Nabi Musa a.s. Dia memasukkan kedua belah tangannya ke saku kiri dan kanannay. Lalu dikeluarkan semula. Kelihatan tangan itu bercahaya memancar-mancar. Silau mata Firaun dan setiap orang yang melihatnya. Tidak terdaya Firaun menentang kedua-dua mukjizat Nabi Musa a.s.


Kali ini Firaun tersilap orang. Nabi Musa a.s. bukan Bani Israil seperti yang pernah diseksanya. Nabi Musa a.s. kini Rasul Allah.

Firaun tahu dia tidak terdaya menentang Nabi Musa a.s. Ahli nujum istana juga tahu dia tidak berdaya menentang Nabi Musa a.s. Begitu juga pembesar istana. Namun kedudukan dan nafsu mereka tidak mengakui hakikat ini.

“Kamu!, Kamu! dan kamu!,” teriak Firaun dengan lantang. Tangannya menuding muka ahli nujum dam pembesar istana. Haman yang selalunya tegak menatap muka Firaun tunduk tersipu-sipu. “Kamu sudah saksikan sihir kedua-dua orang gila ini. Mereka ingin mengalahkan kita dengan sihir itu. Kamu mahu mengaku kalah? Kamu mahu membiarkan mereka?” suara Firaun lantang, bergema seluruh istana.

Nabi Musa a.s. tetap tenang dan bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan. Dia menghampiri Nabi Harun a.s. serta membisikkan sesuatu supaya mereka bertawakal kepada Allah Ta’ala.

Firaun menoleh ke arah Haman. Orang lain juga memperhatikannya. Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. juga begitu. Gelisah Haman, lalu dia mengumpulkan segala kekuatannya, terluncur cadangan dari mulutnya. “Musa dan Harun mesti dikalahkan dengan sihir juga, sehingga mereka terhapus dari bumi ini.” Jelas Haman.
Tersenyum Nabi Musa a.s. mendengar kata-kata Haman. Dia begitu yakin, kebatilan mesti akan lenyap dan kebenaran akan menjadi kenyataan.


“Negeri Mesir mempunyai ramai ahli nujum dan ahli sihir. Kita kumpulkan mereka untuk menentang Musa dan Harun.” Cadang Haman lagi. Firaun bersetuju dengan cadangannya itu. Dan esok upacara menentang mukjizat Nabi Musa a.s. akan diadakan. Nabi Musa a.s. bersedia untuk menghadapi cabaran dari ahli sihir seluruh Mesir.

Perlawanan itu diadakan di padang yang luas. Firaun dan para pembesar hadir. Orang ramai yang ingin menyaksikan juga hadir.


Perlawanan antara Sihir dan Mukjizat.

Perlawanan dimulakan pada hari yang ditetapkan. Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tampil ke tengah padang. Nabi Musa a.s. berkata kepada para ahli sihir, “Celaka besar sesiapa yang mendustakan Allah. Kamu sekalian sudah mendustakannya. Kamu kira mukjizat ini sebagai sihir? Kamu samakan sihir dengan mukjizat, yang hak dengan yang batil? Sesiapa yang cuba memalsukan yang hak dan membenarkan yang batil, maka dia akan kalah dan akan rugi.”

Kata-kata Nabi Musa a.s. meresap ke dalam hati para ahli sihir. Berbelah bagi hati mereka kini. Terbayang di fikiran mereka tawaran istimewa Firaun, namun bayangan itu kian pudar, dikaburi oleh hikmat kata-kata Nabi Musa a.s.


Mereka terasa tidak berdaya hendak menentang Nabi Musa a.s., tetapi suara Firaun mengganggu mereka dari memikirkan kata-kata itu. “Wahai ahli sihir! Kamu tentu mahu wang, harta dan perempuan. Sekarang tunjukkan kepandaianmu kepada Musa!” jerit Firaun.

Ahli sihir berbaris. Mereka melontarkan tongkat dan tali. Melingkar-lingkar tongkat dan tali itu menjadi ular. Berbagai-bagai rupa, bentuk dan saiznya. Gementar dan seram oaring yang menyaksikannya, namun Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tetap tenang. Allah memberi kekuatan peribadi kepada mereka, “Jangan takut, hai Musa, kamulah yang lebih unggul.”

Nabi Musa a.s. melemparkan tongkatnya ke tengah-tengah lingkaran ular itu. Serta-merta tongkat itu menjadi ular yang amat besar. Seekor demi seekor ular ahli sihir itu ditelan oleh ular Nabi Musa a.s. Akhirnya tidak ada satu pun yang tinggal.



Gempar lagi! Orang ramai terpegun melihat peristiwa itu. Firaun berpeluh menyaksikannya. Haman tunduk menggigil dan ahli sihir terpaku membisu.

Firaun pulang dengan dendam yang tidak terlerai. Dia diiringi Haman dan para pembesar. Ahli-ahli sihir bergerak mendapatkan Nabi Musa a.s. Mereka tunduk dan mengakui kerasulan Nabi Musa a.s. Mereka insaf dan bertaubat tentang apa yang pernah mereka lakukan dulu.

“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya Dia mengampunkan kesalahan dan dosa kami mengerjakan sihir yang kau (Firaun) paksakan ke atas kami. Dan Allah lebih baik dan lebih kekal.” 
(maksud al-Quran, surah Taha ayat 73)

Di istana Firaun, Haman dan orang-orang yang hatinya tertutup dari cahaya hidayah Allah terus merancang tindakan jahat yang akan mempercepatkan kehancuran diri mereka sendiri.

Nota : Semua gambar dalam artikel ini adalah sekadar hiasan.

Wallahu’alam.



Sekian wassalam.

Utan Aji, Perlis Indera Kayangan.

Isnin, 21 Oktober 2013

Nasihat Nabi Khidhir a.s.



Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Isnin 21 Oktober 2013M bersamaan 16 Zulhijah 1434H sempena selesainya ibadah Haji tahun ini, hamba nukilkan nasihat Nabi Khidhir a.s. kepada Nabi Musa a.s. juga untuk pelajaran dan pedoman kepada kita bersama sebagai ummat Nabi Muhammad s.a.w. di akhir zaman ini.

Umar Al-Khattab r.a. menceritakan, Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Saudaraku, Musa a.s. berkata, ‘Wahai Tuhanku, perlihatkan kepadaku orang yang Engkau tampakkan kepadaku di perahu’.”

Allah Ta’ala menurunkan wahyu kepada Musa a.s., “Hai Musa, kamu akan melihatnya.”

Tidak lama kemudian datang Nabi Khidhir a.s., dengan aroma yang harum dan mengenakan pakaian berwarna putih. Khidhir a.s. berkata, “Salam sejahtera atas kamu wahai Musa bin Imran. Sesungguhnya Tuhanmu menyampaikan salam kepada kamu beserta rahmat-Nya.”

Musa a.s. berkata, “Dialah As-Salam dan kepada-Nya kesejahteraan serta dari-Nya kesejahteraan. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang nikmat-nikmatNya tidak dapat aku hitung dan aku tidak mampu  bersyukur kepada-Nya kecuali dengan pertolongan-Nya.”


Kemudian Musa a.s. berkata, “Aku ingin engkau memberiku nasihat yang dengannya Allah memberikan manfaat kepadaku sepeninggalan kamu.”

Khidhir a.s. berkata,
“Wahai pencari ilmu, sesungguhnya orang yang berbicara tidak lebih mudah jemu daripada orang yang mendengarkan. Maka janganlah kau buat orang yang ada di sekitarmu menjadi jemu ketika engkau berbicara kepada mereka. Ketahuilah bahawa hatimu merupakan bejana (bekas). Maka perhatikan apa yang diisikan ke dalam bejanamu. Kenalilah dunia dan buang ia di belakangmu, kerana dunia bukan merupakan tempat tinggal mu, dan apa yang ditetapkan bagimu tidak ada di dunia.


Ekspresi Tangan Syahadat

Dunia dijadikan sebagai perantara hidup hamba, agar mereka mencari bekal darinya untuk tempat kembali. Hai Musa, letakkan dirimu pada kesabaran, tentu engkau akan selamat dari dosa. Wahai Musa, pusatkan minatmu kepada ilmu kalau memang engkau menghendakinya. Sesungguhnya ilmu itu bagi orang yang berminat kepadanya. Janganlah engkau menjadi mudah kagum kepada perkataan yang disampaikan panjang lebar, kerana banyak perkataan mendatangkan aib bagi orang yang berilmu dan dapat membocorkan rahsia  yang mestinya ditutupi. Tetapi semestinya engkau berkata sedikit, kerana yang demikian itu termasuk taufik dan kebenaran.

Berpalinglah dari orang bodoh dan bersikap lemah-lembut terhadap orang yang dungu, kerana yang demikian itu merupakan kelebihan para ahli hikmah dan hiasan orang yang berilmu. Jika ada  orang bodoh yang mencacimu, diamlah di depannya lalu menyingkir dari sisinya secara hati-hati, kerana kelanjutannya tetap menggambarkan kebodohannya terhadap dirimu dan caciannya akan semakin bertambah.



Wahai anak keturunan Imran, jangan engkau terlihat memiliki ilmu kecuali sedikit. Sesungguhnya asal keluar dan asal berbuat merupakan tindakan menceburkan diri kepada sesuatu yang tidak jelas dan memaksakan diri.

Wahai anak keturunan Imran, janganlah sekali-kali engkau membukakan pintu yang tidak engkau ketahui untuk apa pintu itu ditutup, dan jangan tutup pintu yang tidak engkau ketahui untuk apa ia dibuka.

Wahai anak Imran, siapa yang tidak berhenti dari dunia, maka dunia itu yang akan melahapnya. Mana mungkin seseorang menjadi ahli ibadah jika hasratnya kepada dunia tidak pernah habis? Siapa yang menghinakan keadaan dirinya dan membuat tuduhan terhadap Allah tentang apa yang ditakdirkan baginya, mana mungkin akan menjadi orang zuhud? Adakah orang yang telah dikalahkan oleh hawa nafsunya akan berhenti dari syahwat? Mana mungkin pencarian ilmu masih bermanfaat bagi orang yang dipagari kebodohan?



Perjalanan akan menuju ke akhirat dengan meninggalkan dunia. Wahai Musa, belajar apa yang engkau amalkan agar engkau mengamalkannya dan jangan engkau menampakkan amalmu agar engkau disebut-sebut, sehingga engkau mendapatkan kerosakan dan orang lain mendapatkan cahaya.

Wahai anak Imran, jadikanlah zuhud dan takwa pakaianmu, jadikanlah ilmu dan zikir sebagai perkataanmu, kerana yang demikian itu membuat Tuhanmu redha. Berbuatlah kebaikan, kerana engkau jiga harus melakukan yang lainnya. Engkau telah mendapatkan nasihat jika engkau menghafalnya.”

Setelah itu Nabi Khidhir a.s. berpaling meninggalkannya, sehingga tinggal dalam keadaan sedih.
(Direkodkan oleh at-Tobrani)


Intisari Nasihat Nabi Khidhir a.s.

  1. Etika ketika berucap, jangan bercakap hingga menyebabkan orang lain yang mendengar menjadi jemu.
  2. Hati itu seperti bekas air, setiap orang perlu berhati-hati dalam menentukan apa yang dimasukkan ke dalamnya.
  3. Anjuran agar mengabaikan dunia dan nikmatnya, kerana dunia bukan tempat tinggal manusia yang abadi.
  4. Dunia hanya medium bagi manusia mencari bekalan sebelum berangkat ke akhirat yang kekal abadi.
  5. Sifat sabar boleh menghindari seseorang itu daripada maksiat dan dosa.
  6. Perlu bersungguh-sungguh dan berminat dalam menuntut ilmu.
  7. Percakapan yang banyak tidak bermanfaat sekiranya bahannya hanya membuka keaiban dan mendedahkan rahsia kepada orang lain.
  8. Percakapan yang sedikit tetapi berhikmah itu lebih bermanfaat.
  9. Anjuran agar tidak berkawan dengan orang bodoh kerana kebodohannya itu akan menyusahkan orang lain. 


  10. Orang yang bijak akan mendekati mereka yang kurang ilmu bagi membimbing mereka.
  11. Sekiranya ada orang mencaci maki, usah membalasnya. Sebaliknya berdiam diri sahaja dan segera berpaling daripadanya. Sekiranya dibalas segala cercaannya, dia akan semakin galak mencaci.
  12. Jangan berbangga dengan ilmu yang ada dan menunjuk-nunjukkannya kepada orang lain.
  13. Jangan mengharuskan perkara yang diharamkan sekiranya tidak tahu mengapa ia diharamkan.
  14. Orang yang terlalu asyik mengejar dunia, akhirnya akan dimusnahkan oleh dunia itu sendiri.
  15. Ibadah tidak dapat dilakukan dengan sempurna sekiranya seorang itu masih terlalu mengharapkan dunia.
  16. Seorang yang zuhud tidak akan menyalahkan Allah di atas segala kekesalan dan kekurangan yang dihadapinya.
  17. Orang yang tewas dengan hawa nafsunya sendiri akan berterusan diperhambai nafsunya.
  18. Orang yang membiarkan dirinya dalam kebodohan tidak dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya.
  19. Kewajipan mempelajari segala ibadah yang mahu diamalkan.
  20. Tidak sesekali menunjuk-nunjukkan amal perbuatan yang dilakukan kepada orang lain kerana ia menyebabkan amalan itu sia-sia.
  21. Sentiasa bersikap zuhud dan takwa.
  22. Bercakap berdasarkan ilmu dan zikir.

Wallahu’alam. Sekian Wassalam.


Tasik Permai Ampang Selangor Darul Ehsan.

Ahad, 29 September 2013

13 kali Salman al-Farsi bertanya soalan : “Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?”


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Ahad 29 September 2013 Masihi bersamaan 23 Zulkaedah 1434 Hijrah bersempena musim haji tahun ini dan genap setahun (tahun Masihi) Ayahnda Syeikh Mahmud al Majzub kembali kerahmatullah serta genapnya setahun Ayahnda bertugas di alam kerohanian sepenuhnya. 

Pada kali ini hamba yang banyak dosa dan yang serba lemah lagi daif ini menukilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas tentang pertanyaan Salman al Farsi  kepada Baginda Rasulullah s.a.w. mengenai peristiwa akhir zaman. Semoga nukilan kali ini menjadi pengajaran dan pedoman untuk hamba dan saudara saudari yang dihormati sekalian.

Allahyarham Ayahnda Syeikh Mahmud al Majzub al Kedahi sentiasa dikenang dan ilmu yang disampaikannya akan sentiasa diamalkan, insyaAllah.

Ibnu Abbas r.a. menceritakan, ketika Haji Wada’, Rasulullah s.a.w. memegang pintu Kaabah, kemudian menghadapkan wajahnya kepada orang ramai. Lalu berkata kepada mereka :

“Wahai sekalian orang Islam, antara tanda-tanda kiamat ialah solat tidak lagi didirikan, kehendak syahwat diikuti, para pemimpin mengkhianati dan para menteri pula melakukan perbuatan fasik.”

Tiba-tiba, Salman al-Farsi r.a. bangun ke arah Baginda s.a.w. dan berkata, “Demi ayah dan ibuku sebagai tebusan wahai Rasulullah, apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?”(1)

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu kemungkaran dianggap sebagai perbuatan yang baik, sedangkan perbuatan yang baik dianggap sebagai kemungkaran.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (2) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu hati orang Islam larut di dalam badannya seperti garam larut di dalam air. Ini kerana, dia melihat kemungkaran tetapi tidak sanggup mengubahnya.”

Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Anwar Ibrahim menziarahi Ayahnda sekitar tahun 2008


“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (3) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu seorang pengkhianat dipercayai, sedangkan orang yang amanah dianggap pengkhianat. Pendusta dianggap seorang yang jujur, sedangkan orang yang jujur dianggap sebagai pendusta.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (4) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Orang paling mulia ialah orang beriman  yang berjalan di tengah golongan manusia dalam keadaan takut, sekiranya dia berbicara mereka akan memakannya, dan jika dia tidak berbicara, dia akan mati kerana menahan kemarahan di dalam dirinya. Wahai Salman, satu bangsa itu tidak akan mulia sekiranya golongan yang kuat memakan yang lemah.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (5) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu, hujan jarang turun, anak-anak  sangat dibenci, orang hina berada di mana-mana dan orang mulia pula sukar ditemui.”



“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (6) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu orang kaya disanjung tinggi, agama dijual dengan dunia, kesenangan dunia dicari melalui amalan akhirat. Lelaki dan lelaki  menjalinkan hubungan (homosex) dan wanita juga mengadakan hubungan bersama wanita (lesbian). Mereka adalah sebahagian umat saya yang mendapat laknat Allah.

Wahai Salman. Ketika itu, umat saya disusuli oleh bangsa lain yang tubuh mereka manusia, tetapi hati mereka adalah hati syaitan. Sekiranya umat saya bersuara, mereka dibunuh. Dan sekiranya diam, darah mereka dihalalkan. Mereka tidak menyayangi anak kecil dan tidak menghormati orang tua.

Alangkah buruk perbuatan mereka. Ahli keluarga dikasari. Hukum mereka boleh dibicarakan (hokum hakam dipermainkan). Wanita diangkat menjadi pemimpin. Mereka meminta pendapat daripada kanak-kanak. Anak kecil dipuja. Mempunyai ramai tentera. Orang lelaki menggunakan emas sebagai perhiasan dan mereka juga mengamalkan zina. Ramai penyanyi wanita muncul. Al-Quran dilagukan bacaannya. Orang hina lebih kerap disuruh bercakap.”

Salman r.a. berkata, “Demi ayah dan ibu saya sebagai tebusan wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan orang hina lebih kerap disuruh bercakap?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Dia diminta membicarakan masalah secara umum, yang sebelumnya tidak pernah dibicarakan.”



“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (7) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, masjid-masjid dihiasi dengan beraneka perhiasan seperti gereja dan biara yang dihiasi dengan pelbagai hiasan. Mushaf al-Quran dihiasi dengan emas, mimbar-mimbar dibuat dengan begitu lebar. Terdapat banyak saf jemaah, tetapi hati manusia saling berjauhan. Perkataan mereka juga pelbagai macam. Siapa yang mendapat kurniaan, dia bersyukur. Sedangkan yang tidak beroleh apa-apa menjadi kufur.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (8) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, akan datang umat saya yang menjadi tawanan-tawanan dari timur dan barat. Orang yang lemah akan binasa dan mendapat kecelakaan dari Allah. Sekiranya bercakap, mereka akan dibunuh, tetapi sekiranya diam, mereka tetap dibunuh. Mati dalam ketaatan kepada Allah lebih baik daripada hidup dalam kedurhakaan kepada Allah.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (9) Salman r.a. bertanya lagi.



Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, isteri bersekutu dengan suami dalam urusan suami (Isteri juga melakukan kerja-kerja suami). Seorang anak menderhakai bapanya tetapi berbuat baik terhadap sahabatnya. Mereka memakai kulit biri-biri di atas hati serigala (peribahasa arab). Ulama mereka lebih buruk daripada bangkai (ulama pada waktu itu sangat jahat).”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (10) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, ibadah mereka hanya dengan membaca lafaz-lafaz yang tidak mereka fahami kandungannya (tidak diketahui maknanya dan tidak mengamalkannya). Mereka disebut sebagai orang yang kotor oleh kerajaan langit dan bumi.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (11) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, kitab Allah (Al-Quran) dijadikan nyanyian. Kitab Allah diletakkan pada punggung mereka (dilupakan). Mereka tidak menegakkan hukum yang ditetapkan Allah dan mereka mematikan sunnah saya. Mereka menghidupkan amalan bida'ah. Tidak menyuruh orang lain berbuat baik dan tidak menghalang kemungkaran. Ketika itu, anak-anak kecil melamar seperti melamar wanita. Pasar-pasar makin banyak.”



“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (12) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Sekiranya masing-masing berkata, ‘Aku tidak menjual dan aku tidak membeli (tiada lagi akad jual beli dilafazkan).’ Sedangkan tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah. Pada masa tersebut, orang yang berkuasa adalah orang jahat yang merampas hak orang ramai dan menakut-nakutkan mereka. Engkau akan melihat ramai orang menggeletar ketakutan.

Ketika itu, ibadah haji dibesar-besarkan. Orang terkenal (dan kaya) menunaikan haji kerana hawa nafsu. Golongan pertengahan pula kerana mahu berniaga. Orang miskin pula menunaikan haji kerana mahu berbangga dan mendapat gelaran.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (13) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman.”

(Muhyiddin Al-Araby, Muhadharat Al-Abrer dan An-Nabhany, Hujjatullah Alal-Alamin)


Segala pujian hanya untuk Allah yang Maha berkuasa lagi Maha Mengetahui segalanya...


Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosaku, dosa kedua orang tuaku, dosa kedua mertuaku, dosa nenek moyangku, dosa isteri/suami dan anak cucuku, dosa guruku, dosa ustaz dan ustazahku, dosa syeikhku, dosa maulanaku, dosa saudaraku, dosa sahabatku, dosa jiranku, dosa orang kampungku, dosa kaum muslimin dan muslimat seluruh alam yang masih hidup mahupun yang telah mati.

Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosa besar kami, dosa kecil kami, dosa yang kami sengaja dan tak sengaja, dosa yang kami buat terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, dosa yang kami sedar atau tak sedar.

Ya Allah Ya Tuhanku, limpahkan nur hidayat dan taufiq-Mu kepada kami dan seluruh ummat Nabi Muhammad s.a.w. di seluruh alam ini supaya kami dan seluruh ummat dapat mentaati segala perintahMu dan meninggalkan segala laranganMu dengan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. 

Perbaikilah dan sempurnakanlah iman, amal, mu'amalat, mu'asyarat dan akhlaqiat kami. Hidupkanlah masjid kami dan masjid seluruh alam dengan amalan dakwah, ta'alim ta'alum, ibadah dan khidmat seperti amalan masjid Nabawi di zaman Rasulullah s.a.w.

Jadikanlah kampung kami dan kampung umat seluruh alam seperti kampung Madinah al Munawarah di zaman Rasulullah s.a.w. Jadikanlah rumah kami dan rumah umat Islam seluruh alam seperti rumah sahabat di zaman Rasulullah s.a.w. Jadikanlah diri kami dan diri setiap umat Islam seluruh alam mempunyai sifat seperti sahabat Rasulullah s.a.w. yakni Hakikat dua kalimat Syahadah, Hakikat Solah yg khusyuk dan khuduq, Hakikat Ilmu, Hakikat Zikir, Hakikat Ikramulmuslimin, Hakikat Ikhlas niat, dan Hakikat Berkorban diri juga harta untuk agama Allah Ta'ala.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. serta selawat dan salam kepada ahli keluarga dan para sahabat baginda s.a.w.
Amin Ya Rabbal'alamin.

Sekian wassalam....

Bersama sahabat karib, Jaafar.
oleh
Amirrullatif 
di kampung Sungai Baru Utan Aji, Perlis.

Jumaat, 6 September 2013

Kedatangan Yang Dinantikan


Assalammu'alaikum...wrth. Hari ini Jumaat 06/09/2013M bersamaan 30 Syawal 1434H, sempena penghulu segala hari, hamba nukilkan beberapa khutbah Baginda Rasulullah s.a.w. tentang kedatangan 3 insan yang ditunggu-tunggu di akhir zaman ini untuk renungan diri hamba dan saudara saudari seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w.



Kedatangan Imam yang Dinantikan.

Abu Umamah r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah kepada mereka dan menyebutkan masalah Dajjal. Rasulullah s.a.w. bersabda,

Lalu Madinah dibersihkan dari hal-hal kotor sebagaimana tungku api yang membersihkan besi dari karat. Hari itu disebut yaumul-khalash.

Ummu Syarik bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah orang Arab pada masa itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ketika itu jumlah mereka hanya sedikit dan kebanyakan mereka berada di Baitul-Maqdis. Imam mereka adalah al-Mahdi, seorang lelaki yang soleh. Ketika imam mereka, al-Mahdi maju ke hadapan bagi mengimami solat subuh, tiba-tiba Isa putera Maryam turun tepat pada waktu solat subuh. Lalu imam itu mundur secara spontan agar Nabi Isa dapat maju ke depan. Isa meletakkan tangan di bahu al-Mahdi dan berkata, “Maju ke hadapan dan teruskan solat, kerana solat ini didirikan bagi kamu.”

Lalu Nabi Isa pun solat bersama imam mereka.”


Ibnu Mas’ud r.a. menyatakan, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

Sekiranya kehidupan dunia hanya berbaki satu malam, tentu Allah Ta’ala akan memanjangkan malam itu, hingga seseorang berkuasa terhadap anggota keluargaku, Dia memasukkan namanya ke dalam namaku, memasukkan nama ayahnya ke dalam nama ayahku. Dia mengisi dunia dengan keadilan dan persamaan, sebagaimana sebelumnya mengisi dunia dengan kezaliman. Dia membahagikan harta dengan adil, menjadikan orang kaya ada di dalam hati umat, al-Mahdi hidup selama tujuh atau sembilan tahun, kemudian tidak ada lagi kebaikan dalam hidup setelah al-Mahdi.”

Ibnu Mas’ud r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Ada berita gembira bagi kalian tentang kedatangan al-Mahdi, seorang lelaki dari umatku yang berasal dari Quraisy, yang muncul ketika manusia sedang berselisih dan bergaduh, lalu dia memenuhi dunia ini dengan keadilan, sebagaimana dunia itu sebelumnya dipenuhi dengan penyelewengan dan kezaliman. Setiap penghuni langit dan penghuni bumi redha kepadanya. Dia membahagikan harta secara saksama di antara manusia, memenuhi hati umat Muhammad dengan kekayaan dan mencipta keadilan di tengah mereka, hingga dia menyuruh seorang penyeru untuk berseru,

Siapa pun yang mempunyai keperluan, hendaklah menemui saya.’

Ternyata yang menemuinya hanya seorang saja, yang datang untuk meminta-minta. Dia berkata kepadanya orang itu, ‘Temuilah seorang pelayan, nescaya dia akan memberikannya.’

Orang itu lalu menemui pelayan yang dimaksudkan dan berkata, ‘Saya adalah utusan al-mahdi kepadamu agar engkau memberikan harta kepadaku.’ Pelayan itu memberinya harta hingga dia tidak mampu membawanya. Maka dia hanya mengambil harta menurut kemampuan membawanya, lalu dia beranjak pergi. Tetapi kemudian orang ini menyesal dan berkata, ‘Aku adalah umat Muhammad yang paling rakus. Setiap orang memiliki harta ini, lalu orang lain meninggalkannya.’ Maka dia meninggalkan harta itu dan berkata, ‘Kami tidak mahu menerima sesuatu pun yang diberikan kepada kami.’

Al-Mahdi hidup selama enam atau tujuh atau Sembilan tahun, dan tidak ada kebaikan dalam hidup sepeninggalannya.”
(al-Jawab Al-Muqni’. Al-Imam Muhammad Asy-Syanqaithy)


Intisari Khutbah
  • Rasulullah s.a.w. memberikan berita gembira kepada umatnya mengenai kedatangan seorang pemimpin yang soleh dan adil di akhir zaman nanti.
  • Madinah akan dibersihkan daripada orang munafik dan kafir pada hari yang dikenali sebagai yaumul-khalash.
  • Ketika kemunculan Dajjal, jumlah orang Arab sangat sedikit dan kebanyakannya berada di Baitul-Maqdis.
  • Ketua orang Islam pada masa itu adalah Imam al-Mahdi, seorang lelaki yang soleh.
  • Nabi Isa akan diturunkan kembali ke dunia ketika Imam Mahdi dan pengikutnya mahu mengerjakan solat subuh.
  • Nabi Isa bersolat di belakang Imam Mahdi sebagai penghormatan kepada beliau sebagai seorang ketua.
  • Imam Mahdi adalah seorang pemimpin yang adil dan saksama. Dia menghapuskan kezaliman dan penganiayaan.
  • Imam Mahdi hidup dalam masyarakat Islam selama enam, tujuh atau Sembilan tahun.
  • Selepas pemergian Imam Mahdi, kehidupan masyarakat kembali tidak harmoni.

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.


Kedatangan semula Nabi Isa a.s. ke Dunia.

Abu Hurairah r.a. menceritakan, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,

Demi Tuhan yang diriku ada pada tangan-Nya, begitu cepat putera Maryam turun di tengah kalian sebagai hakim yang adil. Lalu dia menghancurkan salib, membunuh babi, membebaskan jizyah dan harta benda melimpah sehingga tidak seorang pun mahu menerimanya. Sehingga satu sujud lebih berharga daripada dunia dan seisinya.”

Kemudian Abu Hurairah r.a. berkata, “Bacalah sesuka kalian,

Setiap ahli Kitab akan beriman kepadanya (Nabi Isa) sebelum kematiannya. Hari kiamat itu akan menjadi saksi terhadap mereka.”
(Surah an-Nisa’ ayat 159)

(Direkodkan oleh al-Bukhari, Muslim dan at-Tarmizi)

Abu Hurairah r.a. juga melaporkan, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda;

Di antara saya dan Nabi Isa tidak ada seorang nabi dan dia akan turun. Sekiranya kamu melihatnya pasti kamu mengenali dirinya sebagai seorang lelaki berperawakan sederhana. Kulitnya putih kemerah-merahan. Mengenakan dua helai pakaian. Rambutnya seakan-akan meneteskan air sedangkan tidak ada air yang membasahinya. Lalu dia memerangi manusia atas nama Islam, memusnahkan salib, membunuh babi dan membebaskan jizyah. Pada masa itu pula, Allah memusnahkan semua agama kecuali Islam dan membinasakan al-Masih Dajjal. Kemudian, bumi menjadi aman, hingga singa merumput dengan unta, harimau dengan lembu, serigala dengan kambing dan anak-anak bermain-main dengan ular berbisa. Nabi Isa berada di bumi selama empat puluh tahun. Kemudian meninggal dunia dan orang Islam menyembahyangkannya.”

(Direkodkan oleh Abu Daud, al-Hakim dan Ahmad)


Intisari Khutbah
  • Rasulullah s.a.w. menjelaskan peristiwa penting yang akan berlaku pada masa hadapan, iaitu kemunculan semula Nabi Isa yang diangkat ke langit.
  • Nabi Isa a.s. akan menjadi seorang pemimpin manusia yang adil dan saksama.
  • Kemakmuran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. membawa kesejahteraan kepada rakyatnya sehingga digambarkan tiada lagi orang mahu menerima zakat atau sedekah. Ini menunjukkan semua orang mendapat keperluan hidup yang mencukupi.
  • Golongan ahli kitab yang masih beriman dengan ajaran Nabi Isa a.s. yang sebenar, pasti akan beriman dengannya apabila dia muncul semula.
  • Nabi Isa a.s. akan muncul selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup para nabi.
  • Berdasarkan perwatakan yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w., orang beriman pasti dapat mengenali Nabi Isa a.s. apabila ia muncul dalam kalangan mereka.
  • Perwatakan Nabi Isa a.s. yang digambarkan dalam hadis ini;
    • Berperwatakan sederhana
    • Berkulit putih kemerahan
    • Memakai dua helai pakaian
    • Rambutnya bersih hingga kelihatan seperti sentiasa basah

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.



Kedatangan Dajjal dan Cubaannya

Safinah menceritakan, Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah kepada kami. Sabdanya;

Ketahuilah, tidak ada seorang nabi pun sebelum saya melainkan dia memperingatkan umatnya tentang Dajjal. Mata kirinya buta, sedangkan kelopak mata sebelah kanannya tebal sehingga menutupi biji mata. Di antara dua matanya tertulis perkataan ‘kafir’. Dia muncul sambil membawa dua lembah, satu syurga dan yang lain neraka. Nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka. Dia juga disertai dua malaikat yang menyerupai dua nabi di antara beberapa nabi. Sekiranya engkau menghendaki, maka engkau dapat menamai keduanya dengan nama mereka, yang nama bapa mereka adalah sama.

Seorang malaikat berada di sebelah kananya dan seorang lagi berada di sebelah kirinya. Ia adalah cubaan. Dajjal berkata, ‘Bukankah aku tuhan kamu? Bukankah aku dapat menghidupkan dan mematikan?’

Salah seorang malaikat berkata, ‘Kamu berdusta.’ Dan, siapa pun yang mendengar perkataan Dajjal, tentu dia menyertainya, seraya berkata, ‘Kamu benar’.

Hal ini didengar orang ramai, sehingga mereka menyangka malaikat yang berupa nabi itu, membenarkannya. Ia adalah satu cubaan.

Kemudian Dajjal melanjutkan perjalanan hingga tiba di Madinah. Dia tidak diizinkan masuk ke sana. Dia berkata, ‘Ini adalah tempat tinggal orang itu.’ Maksudnya adalah Rasulullah s.a.w. Lalu dia melanjutkan perjalanan hingga sampai di Syam. Lalu Allah membinasakannya di sebuah jalan di atas bukit yang tinggi.”

Seorang sahabat dari kalangan Ansar menceritakan, Rasulullah s.a.w. bernah berdiri di tengah kami, lalu bersabda;

Saya memberikan peringatan kepada kalian tentang al-Masih (Dajjal), yang buta matanya.” Dia berkata, “Saya kira beliau mengucapkan matanya sebelah kiri.” Beliau berkata, “Dia membawa gunung dari roti dan sungai yang mengalir air. Tandanya, dia menetap di bumi selama empat puluh hari, yang kekuasaannya mencapai setiap tempat minum di pinggir jalan. Dia tidak dapat mendatangi empat masjid, iaitu Masjid Kaabah, Masjid Rasulullah, Masjid al-Aqsa dan Thur. meski pun begitu maka ketahuilah Allah itu tidak buta sebelah matanya.”

Ibnu Aun berkata, “Saya pasti beliau juga berkata, “Dia menguasai seorang lelaki, membunuhnya kemudian menghidupkannya, namun dia tidak dapat menguasai yang lainnya.”

(Direkodkan oleh Ahmad dalam Musnad al-Imam Ahmad)


Intisari Khutbah
  • Setiap nabi memberitahu kepada umatnya mengenai kedatangan Dajjal.
  • Mata kiri Dajjal buta, sedangkan kelopak mata kanannya tebal sehingga menutup biji matanya.
  • Di antara dua matanya terdapat tulisan Arab ; ‘kafir’.
  • Dajjal membawa syurga dan neraka yang telah diterbalikkan keduanya. Lalu apa yang didakwa syurga sebenarnya adalah neraka.
  • Dajjal diiringi oleh dua malaikat yang menyerupai wajah dua orang nabi. Seorang malaikat berada di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.
  • Dajjal mendakwa dirinya sebagai tuhan.
  • Malaikat yang bersama dengannya menafikannya, tetapi orang ramai diperdayakan hingga menganggap malaikat yang menyerupai nabi itu menerima ketuhanan Dajjal.
  • Dajjal pergi ke Madinah tetapi tidak dapat memasukinya.
  • Dajjal hidup selama empat puluh hari.
  • Dajjal tidak dapat mendatangi empat masjid; Masjid Kaabah, Masjid Rasulullah, Masjid al-Aqsa dan Thur.
  • Dajjal dapat menghidupkan seorang lelaki.

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.

Video Bonus... Jabbarullah! Jabbarullah!! Jabbarullah!!! (Jabbal Thur?)


Wallahu'alam.
Sekian Wassalam...

Utan Aji Perlis Indera Kayangan.