Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 13 Jun 2013

Keramat Hidup


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Khamis 13/06/2013M bersamaan 04/08/1434H. Bersempena bulan Syaaban yang juga dikenali sebangai bulan Rasulullah s.a.w., hamba nukilkan untuk renungan bersama saudara dan saudari sekalian tentang makna dan hakikat keramat atau karamah. Semoga beroleh manafaat.


Keramat Istiqamah dan Keramat yang menyalahi adat.

Berkata Imam Abul Qasim Al-Qusyairi (qs), "Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah yang memiliki keramat itu mendapat taufik yang kekal untuk mengerjakan ketaatan dan terpelihara daripada mengerjakan maksiat. Itulah yang dinamakan Istiqamah. Ia lebih baik daripada seribu keramat yang menyalahi adat." Sebagaimana kata sesetengah orang Arif : "Istiqamah itu lebih baik daripada seribu keramat. Ini kerana kadang-kadang dianugerahkan keramat yang menyalahi adat bagi orang yang belum sempurna Istiqamah."

Berkata Syeikh Ibnu Ibad (rh) dalam syarahannya, "Keramat yang sebenar itu ialah jika terhasil Istiqamah dan sampai kepadanya kesempurnaan. Tempat kembali Istiqamah itu kepada Dua Perkara. Pertama : Sah keimanan kepada Allah A'zzawajalla. Kedua : Patuh dan mengikut apa yang didatangkan oleh Rasulullah s.a.w. sama ada zahir maupun batin. Oleh itu, wajib ke atas hamba itu jangan berasa tamak melainkan kepada kedua-duanya."

Keramat yang menyalahi adat tidak diakui sah oleh ulamak yang sebenar kerana kadang-kadang keramat yang menyalahi adat itu dianugerahkan kepada orang yang belum sempurna Istiqamahnya.


Berkata Abul Hasan Asy-Syazali (ra), "Bahawa adat Istiqamah itu ada dua keramat yang saling berhimpun dan saling meliputi antara satu sama lain. Pertama : Keramat Iman iaitu bertambah yakin dan syuhud yang nyata dengan mata kepada. Kedua : Keramat A'mal iaitu mengikut dan patuh akan suruhan Allah Taala dan menjauhkan segala dakwaan dan tipu daya. Barangsiapa yang mendapat anugerah kedua-duanya sekali, kemudian dia mengigati perkara-perkara yang lain selain daripada kedua-duanya, maka hamba itu seorang yang pembohong kerana melakukan kesalahan meninggalkan ilmu dan amalan yang betul. Ini boleh diumpamakan seperti seorang yang mendapat kemuliaan kerana dapat duduk di hadapan raja yang suka padanya, kemudian dia berubah hati kerana ingin menjadi penggembala binatang dan meninggalkan tempatnya yang diredhai oleh raja itu."

Setiap keramat yang tidak disertai keredhaan daripada Allah Ta'ala maka orang yang memilikinya akan mendapat kebinasaan dan kerugian.


Berkata Saiyidi Abul Abbas Al-Murasi (r.a), “Bukanlah maksud keramat  itu orang yang mampu menggulungkan bumi, kemudian tiba-tiba dia berada di Mekkah dan di negeri-negeri lain tetapi maksud keramat yang sebenarnya ialah orang yang dapat menggulungkan segala sifat hawa nafsunya maka tiba-tiba dia sampai kepada Tuhannya.”


Diberitahu orang kepada Sahl bin Abdullah (r.a) tentang beberapa tanda keramat dan keramat-keramat yang menyalahi adat, maka dia berkata, “Ada tandanya, keramat-keramat yang menyalahi adat itu tetap akan hilang pada waktunya, tetapi keramat-keramat yang amat besar itu, Allah Ta’ala sendiri mengantikan perangai yang jahat ada pada diri anda dengan perangai yang terpuji.”

Berkata sesetengah Syeikh (q.s), “Jangan kamu berasa hairan kepada orang yang tidak memasukkan sesuatu ke dalam saku bajunya, iaitu apabila dia memasukkan tangannya ke dalam saku bajunya, maka dikeluarkan dari saku bajunya setiap barang yang dikehendakinya. Tetapi hairanlah kepada orang yang memasukkan sesuatu ke dalam saku bajunya, kemudian dimasukkan tangannya ke dalam saku bajunya, maka tidak diperolehi apa-apa pun.”

Diberitahu orang kepada Abi Muhammad Al-Murtaa’syi (r.a), “Sesungguhnya si Polan itu dapat berjalan di atas air.” Maka dijawabnya, “Hamba yang ditetapkan hatinya oleh Allah Ta’ala untuk menyalahkan hawa nafsunya itu lebih besar keramatnya daripada orang yang berjalan di atas air dan terbang di udara.”

Berkata Abu Yazid (r.a), “Sesungguhnya jika seseorang lelaki mendirikan sembahyang di atas air dan duduk bersila di atas udara, maka janganlah anda terpedaya dengan keadaan demikian hinggalah anda meneliti dan mempastikan sama ada dia ada mengerjalan suruhan Allah Ta’ala dan menjauhi larangan-Nya.”


Seorang memberitahu kepada Abu Yazid (r.a) bahawa ada orang mengatakan si Polan itu dapat sampai ke Mekkah dalam masa satu malam saja. Maka dijawab olehnya, “Syaitan juga boleh melakukannya dalam sekelip mata saja dari Timur ke Barat, padahal dia dilaknati Allah.” Kata seorang lagi, kepadanya, “Sesungguhnya si Polan dapat berjalan di atas air.” Maka dijawabnya, “Ikan di dalam air dan burung terbang di udara, hanrankah anda dengan keadaan demikian?”

Berkata Imam Junaid (r.a), “Terdinding hati orang-orang yang teristimewa (khas) itu jika hanya tertumpu kepada segala kenikmatan yang lazat yang berupa anugerah Allah Ta’ala dan terhenti kepada keramat-keramat.”


Keramat Maknawi

Bagi Ahli Allah, keramat-keramat yang Paling Baik dan afdhal ialah keramat Maknawi seperti Makrifat Allah Ta’ala, berasa teramat saying kepada-Nya, selalu mengagung-agungkanNya, berasa malu dan takut kepada-Nya, segera menunaikan segala suruhan-Nya dan menjauhkan segala larangan-Nya, sentiasa berasa yakin dan ikhlas serta berasa dalam keadaan yang benar ketika melaksanakan ketaatan seperti tidak mengatakan dirinya yang melakukan ketaatan dan kebaikan melainkan nikmat daripada Allah Ta’ala semata-mata, disamping kurniaan dan rahmat-Nya.


Oleh itu, sudah tentu mereka berasa gembira dengan keadaan demikian. Sebagaimana firman Allah Ta’ala : “Katakanlah, dengan kurnia Allah Ta’ala dan rahmat-Nya, hendahlah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan (lebih baik daripada mereka yang mengatakan amalannya daripada dirinya sendiri).” Surah Yunus ayat 58. Firman Allah Ta’ala lagi : “Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah daripada Allah Ta’ala.” Surah An-Nisa’ ayat 79.

Martabat Pertengahan (Wustha) adalah martabat khawas daripada orang-orang Abrar (wali-wali Allah) yang melihat segala ibadat yang dilakukan adalah nikmat daripada Allah Ta’ala untuk dirinyaq sendiri.

Martabat yan g Tertinggi (U’lya) adalah martabat orang-orang Khawasul Khawas (Wali-wali Allah yang Muqarrabin) iaitu orang-orang yang tidak melihat sekali-kali keupayaan dan kemampuannya melakukan ibadat kepada Allah Ta’ala, hanya apa yang dilihat segala ibadatnya itu adalah nikmat daripada Allah Ta’ala kepada Allah Ta’ala jua. Sepertimana firman Allah Ta’ala : “Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka daripada Allahlah (datangnya).” Surah An-Nahl ayat 53.


 Malah mereka redha akan segala perbuatan Allah Ta’ala ke atas dirinya, mereka berasa rindu untuk bertemu dengan Allah Ta’ala, sentiasa berpegang dan berserah kepada-Nya, sentiasa bersikap zahid akan dunia, hati mereka sentiasa hadir (rasa zauq) bersama Allah Ta’ala selama-lamanya, sentiasa bersyukur terhadap nikmat-Nya, dan sentiasa menjaga adab bersama-Nya sama ada zahir maupun batin.

Inilah keramat-keramat yang amat besar. Wallahu A’lam.

Sekian Wassalam.
Kuala Perlis, Perlis Indera Kayangan.

Ahad, 2 Jun 2013

Kasih Sayang-Nya


Assalammu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
Salam kasih sayang kepada semua yang sudi membaca nukilan hamba yang serba lemah ini.

Setiap Insan dan Makhluk yang pernah hidup dan akan hidup di Dunia ini....
tidak akan terlepas dari sentuhan kasih sayang-Nya. 
Maka berbahagialah barangsiapa yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.
Maka bergembiralah barangsiapa yang dapat mengenali-Nya.
Dialah Yang Maha Rahman (Pemurah) lagi Maha (Rahim) Penyayang.