Ayahnda

Ayahnda

Rabu, 25 Januari 2012

Kasih Sayang Ayahnda Nuh a.s. dan Surutnya Banjir Besar



Assalamu’alaikum...wrt.

Saudara dan saudari yang hamba hormati, pada hari ini Rabu 25 Januari 2012 bersamaan 1 Rabiul Awal 1433 hijrah menandakan bulan yang mulia bersempenna dengan bulan kelahiran Junjungan Mulia Baginda Rasulullah s.a.w. yang lebih terkenal dengan Bulan Maulidurrasul. Maka bersempena dengan bulan Maulidurrasul ini marilah kita sama-sama perbanyakan selawat dan menghidupkan majlis ‘maulud’ untuk memperingati Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam mencari berkat Mukjizat Baginda Rasulullah s.a.w. InsyaAllah.

Dengan ini juga hamba sambung kisah Ayahnda Nuh a.s.

Setelah Ayahnda Nuh a.s. mengucapkan kata-katanya tenggelamlah Kan'aan disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan mata ayahndanya, tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut kawan-kawannya dan pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.


Nabi Nuh bersedih hati dan berdukacita atas kematian puteranya dalam keadaan kafir tidak beriman dan belum mengenal Allah.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Huud ayat 45 dan 46.

“Beliau berkeluh-kesah dan berseru kepada Allah: "Ya Tuhanku, sesungguhnya puteraku itu adalah darah dagingku dan adalah bahagian dari keluargaku dan sesungguhnya janji-Mu adalah janji benar dan Engkaulah Maha Hakim yang Maha Berkuasa (45)." Kepadanya Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya dia puteramu itu tidaklah termasuk keluargamu, karena ia telah menyimpang dari ajaranmu, melanggar perintahmu menolak dakwahmu dan mengikuti jejak orang-orang yang kafir daripada kaummu. Keluarkan coretan namanya dari daftar keluargamu. Hanya mereka yang telah menerima dakwahmu mengikuti jalanmu dan beriman kepada-Ku dapat engkau masukkan dan golongkan ke dalam barisan keluargamu yang telah Aku janjikan perlindungannya dan terjamin keselamatan jiwanya. Adapun orang-orang yang mengingkari risalahmu, mendustakan dakwahmu dan telah mengikuti hawa nafsunya dan tuntutan Iblis, pastilah mereka akan binasa menjalani hukuman yang telah Aku tentukan walau mereka berada dipuncak gunung. Maka janganlah engkau sesekali menanyakan tentang sesuatu yang engkau belum ketahui. Aku ingatkan janganlah engkau sampai tergolong ke dalam golongan orang-orang yang bodoh (46)."


Ayahnda Nuh a.s. sedar segera setelah menerima teguran dari Allah bahwa cinta kasih sayangnya kepada anaknya telah menjadikan ia lupa akan janji dan ancaman Allah terhadap orang-orang kafir termasuk puteranya sendiri. Ayahnda Nuh a.s. sedar bahawa ia tersilap pada saat ia memanggil puteranya untuk menyelamatkannya dari bencana banjir yang didorong oleh perasaan naluri darah yang menghubungkannya dengan puteranya padahal sepatutnya cinta dan taat kepada Allah s.w.t. harus mendahului cinta kepada keluarga dan harta-benda. Ia sangat sesalkan kelalaian dan kealpaannya itu dan menghadap kepada Allah memohon ampun dan maghfirahnya dengan berseru:
"Ya Tuhanku aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan yang terlaknat, ampunilah kelalaian dan kealpaanku sehingga aku menanyakan sesuatu yang aku tidak mengetahuinya. Ya Tuhanku bila Engkau tidak memberi ampun dan maghfirah serta menurunkan rahmat bagiku, nescaya aku menjadi orang yang rugi."
(Surah Huud ayat 47)


Setelah air bah itu mencapai puncak keganasannya dan habis binasalah kaum Nuh yang kafir dan zalim sesuai dengan kehendak dan hukum Allah. Ketika itu berserulah orang yang beriman terhadap orang kafir yang telah binasa, “Jauhlah orang-orang zalim dari rahmat dan kasih sayang Allah ta’ala.” Apabila semua orang kafir hancur binasa akibat banjir besar itu, Allah s.w.t. memerintahkan bumi untuk menelan air bah itu dan memerintahkan langit agar berhenti menurunkan hujan maka surutlah lautan air diserap bumi kemudian terdamparlah kapal Nuh a.s. di atas gunung "Juudi".


Firman Allah s.w.t. dalam surah Huud ayat 44.

“Dan difirmankan, ‘Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit (hujan) berhentilah, dan air pun disurutkan, perintah pun selesai dan bahtera itu pun berlabuh di atas al-Juudi, dan dikatakan, ‘binasalah orang-orang yang zalim.”

Setelah bahtera berlabuh di atas gunung, dan bumi telah menelan airnya, Allah  s.w.t. memerintahkan Ayahnda Nuh a.s. turun dari bahtera ke dataran. Ayahnda Nuh a.s., keluarganya dan seluruh pengikutnya dengan menerima berkah Allah ta’ala, dan kelak akan menjadi umat yang beriman. Sebahagian dari mereka akan menikmati kenikmatan dunia. Tetapi mereka tidak mendapat berkah Allah ta’ala kerana itu mereka menyimpang dari kebenaran dan disesatkan oleh syaitan yang mengakibatkan mereka akan menerima azab dari Allah s.w.t.


Dengan iringan perintah Allah kepada Nabi Nuh a.s.: "Wahai Nuh, turunlah dengan selamat sejahtera dan penuh keberkatan dai Kami atasmu dan atas umat-umat (yang mukmin) dari orang-orang yang bersamamu. Dan ada (pula) umat-umat yang Kami beri kesenangan pada mereka (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan ditimpa azab yang pedih dari Kami."
Surah Huud ayat 48.


Kisah Ayahnda Nuh a.s. Dalam Al-Quran

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Nuh a.s. dalam 43 ayat dari 28 surah di antaranya surah Nuh dari ayat 1 sehinga 28, juga dalam surah "Huud" ayat 27 sehingga 48 yang mengisahkan dialog Nabi Nuh a.s. dengan kaumnya dan perintah pembuatan kapal serta keadaan banjir yang menimpa di atas mereka.

Pengajaran Dari Kisah Ayahnda Nuh a.s.


Bahawasanya hubungan antara manusia yang terjalin karena ikatan persamaan kepercayaan atau penamaan aqidah dan pendirian adalah lebih erat dan lebih berkesan daripada hubungan yang terjalin karena ikatan darah atau kelahiran. Kan'aan yang walaupun ia adalah anak kandung Ayahnda Nuh a.s., oleh Allah s.w.t. dikeluarkan dari bilangan keluarga ayahndanya karena ia menganut kepercayaan dan agama berlainan dengan apa yang dianut dan didakwahkan oleh ayahndanya sendiri, bahkan ia berada di pihak yang memusuhi dan menentangnya.

Maka dalam pengertian inilah dapat difahami firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya para mukmin itu adalah bersaudara." Demikian pula hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidaklah sempurna iman seseorang kecuali jika ia menyintai saudaranya yang beriman sebagaimana ia menyintai dirinya sendiri.” Juga peribahasa yang berbunyi: "Adakalanya engkau memperolehi seorang saudara yang tidak dilahirkan oleh ibumu."


Dalam akhir kisah Ayahnda Nuh a.s. ini, Allah s.w.t. menghadapkan pembincaraan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seraya berfirman, “Kisah Nuh dan kaumnya yang Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) adalah khabar ghaib; kamu dan umatmu tidak mengetahui kisah ini secara detail sebelum Kami turunkan wahyu tentang kisah ini kepadamu. Maka sabarlah dalam menghadapi penghinaan dari kaummu, seperti kesabaran Nuh dahulu. Kerana, akibat yang kamu peroleh adalah keberuntungan sebagaimana yang pernah diperolehi Nuh. Dan akibat yang baik itu sentiasa akan diperoleh oleh orang-orang yang bertakwa.”
Surah Huud ayat 49.



Secebis Kisah Ayahnda Idris a.s


“Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Dzulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar.”
Surah al-Anbia’ ayat 85.

Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Ayahnda Idris a.s. di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah Nabi-nabi. Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris a.s. iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57:


"Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka), kisah Idris yang terdapat (tersebut) di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi (56). Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi (57)."


Ayahnda Idris a.s. adalah keturunan keenam dari Ayahnda Adam a.s. putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s. dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam a.s. dan Syith a.s.

Ayahnda Idris a.s. menurut sesetengah riwayat dilahirkan dan bermukim di Mesir , daerah Munaf. Ayahnda Idris a.s. diberi nama Hurmus Al-Haramisah, berasal dari bahasa Yunani Armia, kemudian diistilahkan menjadi (Arab) Hurmus. Menurut orang-orang Ibrani Baginda bernama Khunukh yang diarabkan menjadi Ukhnukh. Kemudian Allah s.w.t. dalam Al-Quran menamakannya Idris. Kelompok lain mengatakan bahawa Nabi Idris a.s. dilahirkan dan dibesarkan di Babilonia. Ayahnda Idris a.s. berdakwah untuk agama Allah s.w.t. mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah ta’ala serta memberi beberapa pendoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Baginda hidup sampai usia 82 tahun.

Diantara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah : ~

1.  Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan.
2. Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.
3. Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu.
4. Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntup sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.
5. Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah.
6. Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, karena mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya.
7. Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.
8. Tanpa membagi-bagikan nikmat yang diperolehnya seorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.


Dalam hubungan dengan firman Allah s.w.t. bahawa Ayahnda Idris a.s. diangkat kemartabat tinggi, Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris a.s. wafat tatkala berada di langit keempat dibawa oleh Malaikat. Wallahu 'alam bissawab.

Rabu, 18 Januari 2012

Ayahnda Nuh a.s. selesai Membuat Kapal (Bantera) dan peristiwa terjadinya Banjir Besar



Assalamu’alaikum..wrt,

Setelah selesai pekerjaan pembuatan kapal yang merupakan alat pengangkutan laut yang terbesar di dunia, Nabi Nuh menerima wahyu dari Allah: "Siap-siaplah engkau dengan kapalmu, bila tiba perintah-Ku dan terlihat tanda-tanda daripada-Ku maka segeralah angkut bersamamu di dalam kapalmu dan kerabatmu dan bawalah dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas bumi dan belayarlah dengan izin-Ku."

Saudara/i sekalian, sebelum hamba meneruskan kisah Ayahnda Nuh a.s. ingin dikesempatan ini hamba membangkitkan beberapa persoalan dan pendapat tentang persoalan tersebut. Pertama; Berapa besarkah saiz tubuh badan Ayahnda Nuh a.s. serta kaumnya pada zaman tersebut? Kedua; Berapakah besarkah saiz kapal (bahtera) yang dibina? Ketiga; Berapakah luas medan (kawasan) dakwah Ayahnda Nuh a.s. yang diamanahkan oleh Allah s.w.t.? Keempat; Bagaimanakah keadaan muka bumi di zaman Ayahnda Nuh a.s.? Kelima; Bagaimanakah keadaan kemajuan tamadun kaum Ayahnda Nuh a.s. ketika itu? Keenam; Berapa lamakah banjir besar telah melanda kaum Ayahnda Nuh a.s.? Ketujuh; Apakah yang telah berlaku dalam bahtera Ayahnda Nuh a.s. sepanjang pelayaran tersebut?

Persoalan pertama; ada pendapat mengatakan saiz tubuh Ayahnda Nuh a.s. dan kaum pada zamannya adalah seperti saiz anak-anak Ayahnda Adam a.s. yakni ketinggiannya antara 15 kaki hingga 30 kaki, cuba tuan-tuan bayangkan rupa paras tubuh manusia yang setinggi itu. Alasan bagi pendapat tersebut ialah jarak masa zaman Ayahnda Nuh a.s. hanya sekitar 1000 tahun dari zaman Ayahnda Adam a.s., maka perubahan saiz tubuh mereka tidaklah terlalu ketara. Wallahu’alam.


Persoalan kedua; terdapat banyak kajian dan pendapat tentang saiz kapal (bahtera) Ayahnda Nuh a.s., cuba tuan-tuan bayangkan jika saiz badan 83 atau 100 orang kaum Ayahnda Nuh a.s. yang beriman ditambah dengan sebegitu banyak pasangan haiwan serta tumbuhan akan dimuatkan dalam sebuah kapal, maka berapa besarkah saiz kapal yang perlu dibina? Tentulah sebuah kapal yang amat besar perlu dibina, seperti gambaran dibawah, mungkin benar saiz bahtera tersebut berdasarkan beberapa bukti penemuan rangka bahtera seperti yang kita telah maklumi. Wallahu’alam.


Persoalan ketiga; kebanyakan pendapat mengatakan bahwa medan usaha dakwah yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. kepada Ayahnda Nuh a.s. adalah kepada manusia yang ada di seluruh dunia ketika itu. Ada pendapat mengatakan hanya sekitar kawasan Timur Tenggah sahaja medan usaha Ayahnda Nuh a.s. Adakah ketika itu manusia hanya bermukim di satu tempat sahaja atau telah bertebaran ke serata tempat di muka bumi ini? Namun yang pastinya Ayahanda Nuh a.s. telah diberi tempoh masa selama 950 tahun untuk menjalankan seruan dakwahnya dan banjir besar telah menenggelami seluruh muka bumi ini. Sepertinya umat manusia ketika itu sudah terlalu ramai dan telah bertebaran keseluruh muka bumi ini. Wallahu’alam.


Persoalan keempat; tidak banyak pendapat yang membincangkan tentang keadaan bentuk muka bumi di zaman Ayahnda Nuh a.s., namun ada pendapat mengatakan keadaan muka bumi pada masa tersebut banyak daratan tanah besar berbanding dengan lautan. Kebanyakan benua yang ada sekarang ini bercantum kerana paras air laut rendah, sehingga pentas sunda menjadi tempat penempatan yang subur dan makmur. Pendapat lain mengatakan muka bumi adalah seperti yang kita dapati sekarang ini. Wallahu’alam.


Persoalan kelima; ada pendapat yang mengatakan tamadun zaman Ayahnda Nuh a.s. telah mencapai tahap yang amat tinggi berbanding zaman sains dan teknologi zaman kita sekarang ini. Telah terbentuk masyarakat yang berbilang lapisan dari rakyat biasa hingga ke peringkat pemimpin tertinggi dan telah terbentuk beberapa buah negara kota di serata pelusuk muka bumi ini. Pembangunan gedung-gedung dan bangunan-bangunan tinggi mencapai tahap moden dan lebuhraya-lebuhraya lebar telah terbina dengan kenderaan-kenderaan yang berbagai bentuk meliputi kenderaan darat, air dan udara. Sebab itulah Ayahnda Nuh a.s. dan pengikutnya dapat membina sebuah bahtera gergasi dengan bimbingan wahyu daripada Allah s.w.t. dan dengan menggunakan asbab musabab peralatan canggih yang ada pada ketika itu. Kemajuan sains dan teknologinya juga telah berkembang pesat sehingga didapati peralatan canggih sistem telekomunikasi dan sebagainya melebihi apa yang ada di zaman kita sekarang ini. Sehingga kaum Ayahnda Nuh a.s. ketika zaman kemuncuknya terlalu taksub dengan kemajuan dan kemewahan hingga mereka melupakan agama tauhid yang diwarisi oleh Nabi Idris a.s., dan mengabaikan amal ibadah mereka kepada Allah s.w.t. sehingga penyelewengan telah berlaku dalam agama yang benar bahkan mereka membina patung-patung sebagai sembahan seperti wadd, suwaa, yaghuts, ya’uq dan nasr.  Perkembangan kemajuan tamadun ini berlaku selama 2000 tahun yakni sejak Ayahnda Adam a.s. hingga ke zaman Ayahnda Nuh a.s. Cuba bandingkan dan bayangkan apa yang telah zaman kita capai sejak 2000 tahun lalu (sekarang tahun 2012M). Maka diutuskan oleh Allah s.w.t. Nabi Nuh a.s. untuk mendakwahkan kaumnya kembali kepada agama tauhid yang benar. Wallahu’alam.

Satu petikan dalam buku tentang sejarah dunia ada menyebut, ‘lebih kurang 3000SM, perjumpaan besi telah membolehkan pembinaan kapal-kapal yang lebih baik dan kenderaan beroda untuk memudahkan pengangkutan.’


Persoalan keenam; terdapat banyak pendapat tentang tempoh banjir besar yang telah melanda kaum Ayahnda Nuh a.s. antaranya ada mengatakan selama 40 hari 40 malam, ada mengatakan beberapa bulan, ada mengatakan selama 40 tahun dan ada mengatakan selama 100 tahun lebih bumi ditenggelami air. Namun apa yang pastinya seluruh manusia yang tidak beriman telah binasa, termasuk seluruh jenis haiwan serta tumbuhan telah musnah, seluruh negara kota telah binasa dan seluruh peralatan canggih ketamadunan zaman tersebut telah musnah hingga tiada lagi kesan yang dapat kita temui melaikan kesan rangka bahtera Ayahnda Nuh a.s. dan kesan kota tinggalan Yarfis salah seorang anak Ayahnda Nuh a.s. yang beriman. Wallahu’alam.



Persoalan ketujuh; Apakah yang telah berlaku dalam bahtera Ayahnda Nuh a.s. sepanjang pelayaran tersebut? Persoalan ini adalah bergantung kepada tempoh bahtera Ayahnda Nuh a.s. belayar. Marilah sama-sama kita mencari jawapannya, mengkaji dan fikirkannya kerana hakikatnya adalah hanya mereka-mereka dan kehidupan yang ada dalam bantera ini sahaja yang terselamat dari azab Allah s.w.t. yang kemudian nanti menjadi zuriat atau bibit-bibit asas kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan seterusnya di muka bumi ini sehingga ke hari ini. Wallahu’alam.



Peristiwa terjadinya Banjir Besar


“Sebelum mereka, telah mendustakan (pula) kaum Nuh maka mereka mendustakan hamba kami (Nuh) dan mengatakan : ‘Dia seorang gila dan dia sudah pernah diberi ancaman’ (9). Maka dia mengadu kepada Tuhannya : ‘Bahawasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan, oleh sebab itu tolonglah (aku)’ (10). Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan (mencurahkan) air yang tercurah (11). Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air- mata air maka bertemulah air-air itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan (12). Dan Kami angkut Nuh ke atas (bahtera) yang terbuat dari papan dan paku (13). Yang berlayar dengan pemeliharaan Kami sebagai balasan bagi orang-orang yang diingkari (Nuh) (14). Dan sesungguhnya telah Kami jadikan kapal itu sebagai pelajaran, maka adakah orang yang mau mengambil pelajaran? (15). Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku (16).”

(Surah al-Qamar ayat 9 hingga 16)


Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi banjir besar melanda seluruh kota dan desa menggenangi daratan yang rendah mahupun yang tinggi sampai mencapai puncak bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung dari air bah yang dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh a.s. yang telah terisi penuh dengan para orang mukmin dan pasangan makhluk yang diselamatkan oleh Ayahnda Nuh a.s. atas perintah Allah s.w.t.

Bayangkan dengan bercampurnya air masin (lautan) dan air tawar (hujan dan mata air) maka apakah jenis tumbuhan, haiwan di air dan di darat yang dapat hidup dalam banjir besar seumpama itu, inilah azab Allah s.w.t. yang dahsyat di dunia lagi.

“Dan Nuh berkata : ‘Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut nama Allah di waktu belayar dan berlabuhnya.’ Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah Huud ayat 41)

Dengan iringan "Bismillahi majrheha wa mursaha" belayarlah kapal Nabi Nuh a.s. dengan lajunya menyusuri lautan air, menentang angin yang kadang kala lemah lembut dan kadang kala ganas dan ribut. Di kanan kiri kapal terlihatlah orang-orang kafir bergelut melawan gelombang air yang menggunung berusaha menyelamat diri dari cengkaman maut yang sudah sedia menerkam mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang itu.


Tatkala Ayahnda Nuh a.s. berada di atas geladak kapal memperhatikan cuaca dan melihat-lihat orang-orang kafir dari kaumnya sedang bergelimpangan di atas permukaan air, tiba-tiba terlihatlah olehnya tubuh putera sulungnya yang bernama "Kan'aan" timbul tenggelam dipermainkan oleh gelombang yang tidak menaruh belas kasihan kepada orang-orang yang sedang menerima hukuman Allah itu. Pada saat itu, tanpa disadari, timbullah rasa cinta dan kasih sayang seorang ayah terhadap putera kandungnya yang berada dalam keadaan cemas menghadapi maut ditelan gelombang.

Ayahnda Nuh a.s. secara spontan, terdorong oleh suara hati kecilnya berteriak dengan sekuat suaranya memanggil puteranya: “Wahai anakku! Datanglah kemari dan gabungkan dirimu bersama keluargamu. Bertaubatlah engkau dan berimanlah kepada Allah agar engkau selamat dan terhindar dari bahaya maut yang engkau menjalani hukuman Allah.” Kan'aan, putera Nabi Nuh, yang tersesat dan telah terkena racun rayuan syaitan dan hasutan kaumnya yang sombong dan keras kepala itu menolak dengan keras ajakan dan panggilan ayahnya yang menyayanginya dengan kata-kata yang menentang: “Biarkanlah aku dan pergilah, jauhilah aku, aku tidak sudi berlindung di atas geladak kapalmu aku akan dapat menyelamatkan diriku sendiri dengan berlindung di atas gunung yang tidak akan dijangkau oleh air bah ini.”

Ayahnda Nuh a.s. menjawab: "Percayalah bahawa tempat satu-satunya yang dapat menyelamatkan engkau ialah bergabung dengan kami di atas kapal ini. Masa tidak akan ada yang dapat melepaskan diri dari hukuman Allah yang telah ditimpakan ini kecuali orang-orang yang memperolehi rahmat dan keampunan-Nya."

Setelah Ayahnda Nuh a.s. mengucapkan kata-katanya tenggelamlah Kan'aan disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan mata ayahnya, tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut kawan-kawannya dan pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.

“Dan bahtera itu belayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya (Nama anak Nabi Nuh a.s. yang kafir itu Kan’aan, sedang putra-putranya yang beriman ialah Sam, Ham dan Yarfis) – sedang anak itu berada di tempat yang jauh terpencil : ‘Hai anakku, naiklah (kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir.”

(Surah Huud ayat 42)

“Anaknya menjawab : ‘Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!’ Nuh berkata : ‘Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah (saja) Yang Maha Penyayang’. Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.”

(Surah Huud ayat 43)


Orang yang berpegang teguh dengan Agama seperti memegang Bara Api.

Ujian berat kita rasakan
Datang menimpa menjadi beban
Alangkah hebat godaan syaitan
Untuk meruntuh istana Iman.

Bersungguh kita menjaga Iman
Banyak cabaran di akhir zaman
Iman ibarat api di tangan
Setiap masa mahu lepaskan.


 Orang khianat disanjung sanjung
Orang amanah tidak didukung
Pemimpin zalim bunga dikalung
Mujahid Islam di tali gantung.

Bangkitlah wahai Pewaris Nabi
Jangan biarkan umat diuji
Teruskan Jihad ke jalan suci
Sebar luaskan Rahmat Ilahi.

Abu Ali al-Banjari an-Nadwi



Selasa, 3 Januari 2012

Permulaan datangnya Banjir Besar Zaman Ayahnda Nuh a.s.



Firman Allah s.w.t. dalam surah al-An’am ayat 65;


“Katakanlah : Dialah yang berkuasa untuk mengirimkan seksaan kepadamu, dari atas kamu atau dari bawah kakimu (azab yang datang dari atas seperti hujan batu, sambaran petir dan lain-lain. Yang datang dari bawah seperti gempa bumi, banjir dan sebagainya) atau Dia mencampurkan dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahaminya.”

Ubai bin Ka’ab r.a. ketika menafsirkan ayat di atas berkata, “Ada empat peristiwa yang pasti akan terjadi. Dua di antaranya terjadi 25 tahun sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w. Mereka berpuak-puak dengan mengikut hawa nafsu mereka dan sebahagian puak berselisih dengan puak yang lain, sedangkan dua peristiwa lagi yang pasti akan terjadi adalah tanah longsor dan gempa bumi.”


Umat-umat dan kaum-kaum yang sebelumnya, banyak yang telah dibinasakan oleh Allah dengan kelaparan, tenggelam, angina taufan dan sebagainya sehingga mereka musnah dari permukaan bumi ini, sedangkan bagi umat Rasulullah ini, Allah s.w.t. menjamin tidak akan dibinasakan dengan kelaparan dan tenggelam. Jika ada musibah kelaparan, banjir, angina taufan dan gempa bumi tetapi hal itu tidak membinasakan umat ini sekali gus.

Doa untuk Para Pembohong

Setelah Ayahnda Nuh a.s. mengerahkan segala kemampuannya dalam memberi dakwah dan petunjuk kepada kaumnya, ternyata usahanya mengalami jalan buntu. Baginda bersimpuh mengadukan hal kaumnya kepada Allah s.w.t.,


“Nuh berkata, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah mendustakan aku, kerana itu adakanlah keputusan antaraku dan antara mereka, dan selamatkanlah aku dan orang-orang yang Mukmin besertaku.”
(Surah asy-Syu’araa’ ayat 117 dan 118)

Selanjutnya, Ayahnda Nuh a.s. memohon agar kaumnya dihancurkan, 


“Nuh berkata, ‘Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, niscaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.”
(Surah Nuh ayat 26 dan 27)

Ayahnda Nuh a.s. berdoa kepada Allah s.w.t. agar melenyapkan semua orang kafir dari permukaan bumi ini, tak seorang pun yang perlu ditinggalkan. Kerana, jika dibiarkan orang-orang kafir berlarut-larut berbuat kesesatan, akan menyesatkan orang lain dari kebenaran, akan menyebarluaskan perbuatan dosa, bahkan akan mewariskan kesesatan itu kepada generasi penerusnya. Sebab bagaimanapun juga mereka itu akan hidup di lingkungan orang yang bercuat dosa dan kekufuran.


Membina Kapal (Safinatu an-Najah)

Allah s.w.t. mengabulkan doa Ayahnda Nuh a.s. Sebelum menghancurkan kaum yang tidah beriman, Allah s.w.t. menghendaki agar Ayahnda Nuh a.s. dengan risalahnya berupaya membuat sarana keselamatan bagi orang-orang Mukmin, dengan memberinya wahyu. Tetapi tak seorang pun mempercayai adanya wahyu itu kecuali orang-orang Mukmin, Allah s.w.t. memerintahkan agar Ayahnda Nuh a.s. tidak bersedih hati atas tuduhan bohong dan penghinaan orang-orang kafir kerana Allah s.w.t. akan menenggelamkan mereka semua. Allah s.w.t. memerintahkan membuat kapal(perahu) keselamatan (safinatu an-najah), dan diberitahu bahwa dalam pembuatan kapal(perahu) itu akan sentiasa mendapat inayah dan perlindungan Allah s.w.t. Allah melarang agar jangan merasa belas kasihan untuk menyelamatkan orang-orang kafir dengan kapal(perahu) itu, kerana mereka itu akan diberi hukuman dengan ditenggelamkan.

Dalam merakit kapal itu, Ayahnda Nuh a.s. tidak hanya sekadar berdoa kepada Allah s.w.t. Tetapi memanggil tukang-tukang kayu untuk mengerjakannya. Mereka dengan rajin dan tekun bekerja siang dan malam menyelesaikan pembinaan kapal yang diperintahkan itu.


Hal itu mengundang ejekan orang-orang kafir dan kesombongan mereka terhadap Ayahnda Nuh a.s. Mereka mengejek dan mengolok-olok dengan mengatakan: "Wahai Nuh! Sejak bila engkau telah menjadi tukang kayu dan pembuat kapal? Bukankah engkau seorang nabi dan rasul menurut pengakuanmu, kenapa sekarang menjadi seorang tukang kayu dan pembuat kapal. Dan kapal yang engkau buat itu di tempat yang jauh dari air ini adalah maksudmu untuk ditarik oleh kerbau ataukah mengharapkan angin yang akan menolak kapalmu ke laut? "Dan lain-lain kata ejekan yang diterima oleh Ayahnda Nuh a.s.

Ayahnda Nuh a.s. dengan sikap dingin dan tersenyum seraya menjawab: "Baiklah tunggu saja saatnya nanti, jika kamu sekarang mengejek dan mengolok-olok kami maka akan tibalah masanya kelak bagi kami untuk mengejek kamu dan akan kamu ketahui kelak untuk apa kapal yang kami siapkan ini. Tunggulah saatnya azab dan hukuman Allah menimpa atas diri kamu. Kerana aku telah mengetahui siapa yang akan ditimpa azab dan kehancuran, dan kamu juga akan mengetahuinya nanti siapa yang akan dijerumuskan ke dalam siksa dunia. Kemudian, kelak di akhirat akan mendapat siksa yang abadi."

Firman Allah s.w.t. dalam surah Huud ayat  36 hingga 39.

“Dan diwahyukan kepada Nuh, ‘Bahwasanya sekali-kali tidak akan beriman di antara kaummu, kecuali orang yang telah beriman (sahaja), kerana itu janganlah kamu bersedih hati tentang apa yang selalu mereka kerjakan (36). Dan buatlah bahtera (kapal) itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim itu; sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan (37). Dan mulailah Nuh membuat bahtera (kapal). Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan meliwati Nuh, mereka mengejeknya. Berkatalah Nuh : ‘Jika kamu mengejek kami, maka sesungguhnya kami (pun) mengejekmu sebagaimana kamu sekalian mengejek (kami) (38). Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan yang akan ditimpa azab yang kekal (39).”


Permulaan Datangnya Banjir

Setelah Ayahnda Nuh a.s. selesai membina kapal, tampaklah tanda-tanda akan datangnya azab, yakni memancarnya air dari tanah. Allah s.w.t. memerintahkan Ayahnda Nuh a.s. mengumpulkan semua jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan, masing-masing satu pasang (jantan dan betina) untuk dibawa serta ke dalam kapal pada saat banjir besar tiba yang akan memusnahkan seluruh kehidupan, sehingga dapat dijadikan bibit-bibit kehidupan sesudah banjir nanti. Demikian pula Allah s.w.t. memerintahkan agar Ayahnda Nuh a.s. membawa serta seluruh keluarganya dan orang-orang mukmin, kecuali seorang anak dan isterinya yang kafir.

Ayahnda Nuh a.s. segera menyiapkan kapalnya dan memerintahkan seluruh orang-orang mukmin, “Naiklah dengan mendahulukan kaki kanan serta berzikir kepada Allah sampai kalian turun nanti. Kerana kapal(perahu) itu sama sekali bukan sebagai sebab keselamatan kalian, akan tetapi hadapkanlah hati kalian kepada Allah kerana hakikatnya Dia-lah yang menjalankan dan memberhentikan kapal(perahu) ini, sebagaimana kalian menyebut (zikir) asma Allah, kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang terhadap hamba yang beriman sehingga kalian diselamatkan dari kebinasaan.” 


Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi banjir besar melanda seluruh kota dan desa menggenangi daratan yang rendah mahupun yang tinggi sampai mencapai puncak bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung dari air bah yang dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh yang telah terisi penuh dengan para orang mukmin dan pasangan makhluk yang diselamatkan oleh Ayahnda Nuh a.s. atas perintah Allah s.w.t.

Dengan iringan "Bismillah majraha wa mursaha" belayarlah kapal Nabi Nuh dengan lajunya menyusuri lautan air, menentang angin yang kadang kala lemah lembut dan kadang kala ganas dan ribut. Di kanan kiri kapal terlihatlah orang-orang kafir bergelut melawan gelombang air yang menggunung berusaha menyelamat diri dari cengkaman maut yang sudah sedia menerkam mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang itu.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Huud ayat  40 hingga 42.

“Hingga apabila perintah Kami dating dan dapur (permukaan bumi yang memancarkan air hingga menyebabkan timbulnya taufan) telah memancarkan air, Kami berfirman, ‘Muatkanlah ke dalam bahtera itu dari masing-masing binatang sepasang (jantan dan betina), dan keluargamu kecuali orang yang terdahulu ketetapan terhadapnya dan (muatkan pula) orang-orang yang beriman.’ Dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit (40). Dan Nuh berkata : ‘Naiklah kamu sekalian kedalamnya dengan menyebut nama Allah di waktu berlayar dan berlabuhnya.’ Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (41). Dan bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya (nama anak Ayahnda Nuh a.s. yang kafir itu Kan’aan, sedang putra-putranya yang beriman ialah Sam, Ham dan Yarfis) – sedang anak itu berada di tempat yang jauh terpencil : ‘Hai anakku, naiklah (kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir(42).”