Ayahnda

Ayahnda

Selasa, 29 Januari 2013

Siapakah Ayahnda?



Assalammu’alaikum…wrt, hari ini Selasa 29/1/2013M bersamaan 17 RabiulAwal 1434H bersamaan 10 Dalu 10,001 PuSaka, genablah 4 bulan Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub kembali ke Rahmatullah meninggalkan dunia yang fana’ ini. Walaupun jasadnya telah disemadikan namun kerohaniannya masih giat bertugas di abad-15 hijrah ini. Maka pada artikel kali ini hamba coretkan riwayat hidup Ayahnda sebagai mengenang dan memperingati perjuangan serta pengorbanan juga nasihat Ayahnda. Semoga hamba sekeluarga, sanak-saudara Ayahnda, para murid Ayahnda juga saudara dan saudari sekalian mendapat kebaikan dan ‘Berkat Ayahnda’ dengan izin Allah Ta’ala dan berkat mukjizat Rasulullah s.a.w. Dengan ini hamba persembahkan nukilan kali ini; Siapakah Ayahnda?


Kalau kamu hendak tahu siapa saya! 
Tanyalah Allah Ta'ala dan Rasulullah s.a.w. Jangan tanya orang! 
Selaku umat Rasulullah s.a.w. di abad 15 ini. Saya akan bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan dan mempertahankan perjalanan Ahlullah ini.
(Kata-kata hikmat dan pesanan Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub)

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Ankabut ayat 69; "Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk Kami (memfana'kan diri di dalam kebesaran Kami), pastilah Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami (keredhoan Kami). Dan sesungguhnya Allah s.w.t. benar-benar beserta dengan orang-orang yang berbuat baik."

Maksud hadis; "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. kebaikan, nescaya diberi faham urusan agama."


Biodata Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub Al-Kedahi.

Ayahnda berasal daripada dua keturunan. Sebelah bapa berasal daripada keturunan Panglima Raja Legeh iaitu kawasan Selatan Patani. Sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan Panglima Raja Laos yang turun ke daerah Sintok, Kedah.

Ayahda dan Bonda Syeikh Mahmud Al-Majzub

Ayahnda dilahirkan di Kampung Kepala Parit, Jalan Tokai, Alor Setar, Kedah iaitu pada 27 Jamadilakhir 1362 Hijrah bersamaan 8 Julai 1943 Masihi. Ayahnda dibesarkan di Kampung Selarung Panjang, Jalan Kangkung, Simpang Empat, Kedah darul Aman.

Ayahnda dibesarkan di bawah asuhan datuknya Haji Ismail bin Haji Deris iaitu seorang ulama' daripada Legeh, Patani sehingga beliau berusia 10 tahun. Ketika berumur 10 tahun, datuknya telah meninggal dunia.

Ayahnda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Simpang Empat sejak beliau berusia 8 hingga 13 tahun. Kemudian beliau menyambung pelajarannya pada tahun 1956 di Pondok Nahdhah, Batu 12, Bukit Besar, Kedah dalam bidang agama sehingga mendapat sijil 4 Senawi selama 8 tahun.

Pada tahun 1965 Ayahnda menyambung pelajarannya di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selama 2 tahun iaitu dalam bidang pengajian Nahu, Feqah dan Hadis. Selepas itu beliau melanjutkan pelajarannya ke India pada awal tahun 1967 iaitu di Deoband selama 4 bulan. Oleh sebab beliau menghadapi masalah bahasa pengantar iaitu Bahasa Urdu sedangkan beliau lebih mahir dalam Bahasa Arab, maka beliau memohon untuk menuntut di Kolej Jamaliah, Madras 12, Perambor, India. Di Kolej ini beliau mendalami bidang Usuluddin selama 2 tahun sehingga mendapat Syahadah Afdal Ulama' (B.A. In Islamic Study).

Di Kolej Jamaliah ini juga, Ayahnda mula menghayati bidang kesufian dibawah asuhan gurunya, Syeikh Maulana Abdul Bari. Maulana Abdul Bari dan pengikut-pengikutnya pernah menguji kebolehan dan keperibadian Ayahnda dengan meminta pandangan beliau tentang peribadi penuntut-penuntut Thailand yang tidak disenangi perawakannya oleh mereka. Ayahnda memberitahu pendapatnya bahwa, "Orang beginilah yang patut kita asuh supaya mereka mendapat iman dan agar kemudiannya mereka akan menjadi contoh apabila mereka pulang kelak". Serantak itu juga, mereka menjawab, "Abul Khair" iaitu menggelarinya sebagai "Bapa Kebaikan".


Ayahnda pulang daripada pengajiannya ke Malaysia pada akhir tahun 1968. Pada masa itu, beliau banyak mengamalkan selawat dan dapat menghabiskan selawatnya sebanyak 5.6 juta (5 600 000) dalam tempoh 5 tahun. Hasil daripada banyak membaca selawat ini, beliau mendapat kekuatan kerohanian. Kebetulan pada masa itu, berlaku peristiwa 13 Mei 1969. Pada masa itu banyak berlaku peristiwa-peristiwa karomah yang mendorong beliau mengharungi perjalanan kerohanian dengan lebih serius iaitu pada tahun 1970.


Ayahnda kemudiannya masuk ke dalam hutan untuk bersendirian dan bermunajat kepada Allah Ta'ala agar dirinya mendapat bimbingan seorang guru rohani yang benar-benar tinggi di sisiNya. Doanya dimakbulkan iaitu pada malam Isnin di Bukit Enggang, Sik, Kedah bersamaan 12 RabiulAwal 1392 Hijrah. Beliau diberi petunjuk oleh Allah Ta'ala untuk berguru dengan seorang guru rohani yang bernama Tok Ayah Said iaitu pada tahun 1972.

Tok Ayah Said

Tok Ayah Said adalah murid kepada Wali Ismail Lundang Paku di Kelantan. Ayahnda mendapat bimbingan dibawah asuhan Tok Ayah Said selama 13 tahun. Selama tempoh latihan kerohanian berbentuk kesufian ini, beliau sentiasa beruzlah dan beribadat bersendirian di dalam hutan sehingga hilang segala perasaan takut kepada makhluk Allah Ta'ala yang lain seperti jin, syaitan dan segala binatang buas.

Wali Ismail Lundang Paku

Selepas itu Ayahnda melakukan latihan ibadahnya di dalam tanah selama 16 bulan. Genap latihan kerohanian kesufiannya selama 9 tahun iaitu dari tahun 1970 hingga ke tahun 1979, Allah Ta'ala kemudiannya mendorong beliau mengerjakan Ibadat Haji ke Kota Mekah.

Semasa Ayahnda tinggal di Kota Mekah, berlaku satu peristiwa penting iaitu pada hari Selasa 1 Muharam 1400 Hijrah yang merupakan hari 'Kepala Abad ke-15'. Selepas 10 Muharam, beliau kembali ke Malaysia untuk menyambung latihan kerohanian beliau.

Peristiwa penawanan Kota Mekah oleh Pengikut Mahdi Palsu

Pada awal tahun 1981, Ayahnda digerakkan oleh Allah Ta'ala untuk menjelajah dunia bagi mendalami lagi ilmu beliau di bidang kerohanian kesufian ini. Beliau melawat markas-markas Tabligh seperti Markas Jemaah Tabligh di Madras, Markas Jemaah Tabligh di Delhi, Markas Tabligh di Lahore dan kemudiannya ke Markas Jemaah Tabligh di Karachi selama 10 hari.

Dari Karachi Ayahnda bertolak ke Kota Mekah, juga untuk tujuan latihan kerohanian. Disana, beliau ke Jabal Nur untuk beribadat. Semasa beliau di Kota Mekah ini juga beliau telah kehabisan wang perbelanjaan. Beliau tidak meminta bantuan daripada sesiapa sebaliknya hidup dengan roti sabil dan air zam-zam selama 40 hari. Kebetulan pada masa itu akhir bulan Ramadhan dan berlanjutan sehingga Jemaah Haji datang. Di sana beliau mengajar bidang kerohanian, kesufian kepada beberapa orang muridnya. Apabila Jemaah Haji datang, murid-muridnya akan memberi bimbingan atau ceramah kepada Jemaah-jemaah Haji. Mereka juga menguruskan korban untuk Jemaah Haji pada tahun itu. Hasil daripada pengurusan korban ini beliau dapat mengumpulkan sedikit wang untuk dijadikan tambang balik ke tanah air.

Ayahnda tinggal di Kota Mekah selama 6 bulan. Sebelum pulang ke tanah air iaitu Malaysia apada akhir tahun 1981, beliau berazam untuk membawa isterinya, Jamaliah ke Kota Mekah bagi menunaikan Haji. Sekembali beliau ke Malaysia, isterinya Jamaliah telah menjual tanahnya untuk pergi ke Kota Mekah bersama Ayahnda bagi menunaikan Haji. Baliau kemudiannya tinggal di Kota Mekah selama 16 bulan. Pada masa itu beliau sempat menunaikan ibadah haji sebanyak 2 kali.

Di Kota Mekah itulah iaitu pada 12 Rejab 1403 Hijrah bersamaan dengan tahun 1983, Ayahnda telah tamat sebahagian daripada latihan kerohaniannya selama 13 tahun. Allah Ta'ala kemudiannya memberi petunjuk agar beliau menyambung latihan kerohanian kesufiannya di Asia.

Madrasah Nurul Iman Hulu Langat

Berpusatkan Malaysia, Ayahnda mengembangkan ajarannya. Pengajaran beliau berkembang pesat di Asia terutama di Asia Tenggara. Pada tahun 1984, tamatlah kes perbicaraan dengan Majlis Agama Islam Kedah. Pada tahun 1985, guru kerohanian beliau iaitu Tok Ayah Said telah meninggal dunia. Selepas kematian Tok Ayah Said, beliau semakin giat cuba memperbaiki dirinya dalam bidang kerohanian sehingga tahun 1989.

Hasil daripada kesungguhan dan ketabahan Ayahnda, akhirnya beliau mendapat alamat gelaran "Abdul Qadir Al-Kedahi'. Beliau cuba mempraktikkan secara istiqamah pangkat atau kebolehan beliau ini dalam kerohanian kesufian selama 4 tahun.

Apabila genab usia latihan kerohanian beliau selama 23 tahun, Ayahnda kemudiannya berjaya mendirikan Madrasah Nurul Iman di Hulu Langat, salah satu Madrasah yang telah berjaya didirikan. Madrasah ini menjadi tonggak pengajaran beliau di Asia. Muridnya kini semakin luas meliputi negara Asia Tenggara, India, Pakistan, Eropah, Afrika dan Asia Barat. 

Wallahu'alam.

Antara kata-kata Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub Al-Kedahi di dalam Ruhul Zikri sebagai memperkenalkan dirinya:

1. Guru saya beritahu, "Mahmud, jarang orang yang dapat tiga helai jubah". Sehingga abad 14 hijrah tidak ada yang dapat 3 helai jubah.Orang abad 14H hanya dapat 2 helai jubah. (Jubah adalah pangkat-pangkat di dalam alam kerohanian)

2. Saya diasuh oleh 3 orang Aulia Allah yang berpangkat Abdal : (1) Haji Hussain Dol, (2) Maulana Abdul Bari, (3) Tok Ayah Said

Haji Hussain Dol

3. Untuk mendapat ilmu ini (kesufian), saya kena menghabiskan masa selama 40 tahun (1969 - 2009). Kamu pula hendak dapat dengan sambil-sambilan. Kutip di tepi-tepi jalan.

4. Perjalanan saya ini adalah "Perjalanan Uwaisiah". Uwais Al-Qarni berpangkat Imaman.

5. Bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana ada orang-orang yang mengatakan saya sesat, ini adalah satu pingat daripada Allah s.w.t. kepada saya. Takkanlah orang-orang yang ikut Musa a.s. dan Rasulullah s.a.w., Firaun dan Abu Lahab nak kata betul!

6. Para Aulia' yang bertugas di muka bumi ini ada seramai lapan ratus lima puluh enam orang (856). - Rujuk Kitab Tanwirul Qulub karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi.

7. Saya buat kerja saya. Saya tidak kisah orang hendak marah atau suka!

8. Satu orang Tuan Guru (Sg. Pau Kedah) komen apa yang saya anjurkan. Saya bagitau dia, "Pak Cik! Kalau Mahmud buat ikut hati - mati. Ikut nafsu - lesu. kalau Mahmud buat kerana Allah - MasyaAllah. Tengoklah nanti bagaimana Mahmud gila (Majzub) memimpin manusia ke jalan Allah Ta'ala".

9. Abad 15 hijrah ialah abad 'kebnagkitan Islam'. 



Sanad Guru (Terjemahan)

Ini adalah sanad yang berkat bagi guru kami Al-'Arif Billah Al-Hj Mahmud bin Hj. Abdul Rahman Al-Majzub Al-Kedahi, semoga Allah Ta'ala memanjangkan umurnya yang berkat. Maka adalah sanad ilmu perjalanan kesufian ini bersambung dengan Rasulullah s.a.w. yang mulia, penutup pangkat kenabian dan penghulu di dua alam. Maka inilah tertib susunan sanad, oleh itu hendaklah kamu memeliharanya agar kamu semua menjadi orang-orang yang bersyukur kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Allah 'Azza Wa Jalla telah menurunkan serta mengajarnya dengan wahyu dan ilham, maka turunlah Saiyidina Jibril 'Alaihissalam kepada Penghulu kami dan tempat berpegang kami, Penghulu segala mursalin dan Imam orang-orang yang bertakwa, ikutan orang-orang yang mencintai Allah, dialah Habibullah dan Khalilullah yang tidak boleh dipertikaikan lagi, Baginda juga merupakan Penghulu bagi dua alam (alam jin dan manusia) Muhammad Mustofa (yang dipilih lagi disucikan) Wal Mujtaba (dan manusia yang terpilih lagi berjaya) Abul Qosim (Ayah kepada Qosim) mencurah rahmat Allah Yang Maha Tinggi dan memberi berkat dan kesejahteraan ke atas Baginda dan keluarganya serta para sahabatnya dan orang-orang yang ada hubungan dengan Baginda sekaliannya. Maka telah menerima dan beramal dengan Toriqat ini daripada Baginda :

01. Amirul Mukminin Asadullah Al-ghalib Sayyidina Ali bin Abi Tolib
02. Kemudian telah menerima daripadanya Al-Qutub Sayyidina Hassan bin Ali bin Abi Tolib
03. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Abu Muhammad Jabir
04. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Said Al-Ghazwani
05. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Fathu As-Su'ud
06. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Saad
07. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Said
08. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Ahmad Marwani
09. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Ibrahim Al-Basri
10. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Zainuddin Al-Ghazwani
11. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Syamsuddin
12. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Tajuddin
13. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Nuruddin
14. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Fakhruddin
15. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Tuqayyuddin Al-Fuqair
16. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Abdul Rahman Al-Madani
17. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Al-Kabir Maulai Abdul Salam bi Masyis
18. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Al-Syahir Abu Hasan Al-Syazili
19. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Khalifahnya Abu Al-Abbas Al-Mursi
20. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Arif Al-Kabir Sidi Ahmad bin Ato'illah
21. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Arif Al-Kabir Sidi Daud Al-Bakhili
22. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Arif Sidi Muhammad Sofa Bahru Al-Sofa
23. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Arif Sidi Ali bin Wafa
24. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Wali Al-Syahir Sidi Yahya Al-Qadiri
25. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Wali Al-Syahir Ahmad bin Uqbah Al-Hadhromi
26. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Wali Al-Kabir Sidi Ahmad Zaroq
27. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Ahmad bin Yunus
28. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Ali bin Abdullah
29. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Syeikh Abu Al-Qosim Al-Wazir Al-Ghazi
30. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Ahmad bin Idris
31. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Ibrahim Al-Rasyid
32. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Syeikhuna (Guru kami) Al-Syeikh Abdul Somad Tabal Al-Kelantani yang masyhur dengan panggilan Tuan Somad atau Tuan Taba
33. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Al-Syeikh Ismail (Tok Wali Ismail Lundang Paku Kelantan)
34. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Syeikhuna (Guru kami) Said yang dikenali Ayah Said Salor Kelantan
35. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Syeikhuna (Guru kami) Wa Sanaduna (sandaran kami) Wa Fakhruna (kebanggaan kami) Syeikh Mahmud bin Abdul Rahman Al-Kedahi Al-Malizi


Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub Al-Kedahi merupakan pendukung Tariqot Ahmadiah Qodiriah.

Wallahu'alam.


Undang-undang Perjalanan Kesufian

1.     Wirid-wirid biasa hendaklah diamalkan. Sekiranya bersolah di tempat orang ramai maka hendaklah wirid berseorangan dan perlahankan seboleh-boleh yang dapat. Lebih afdhal lagi dibuat di rumah sendiri.

2.     Kebebasan bergaul selagi tidak melanggar hokum syarak.

3.     Berbuat baik sesame manusia lebih-lebih lagi dengan orang jahil (maksud jahil di sini ialah jahil dalam erti kesufian).

4.     Memberi salam kepada sesiapa sahaja yang beragama Islam.

5.     Jangan sekali-kali suka ambil tahu rahsia orang lain dan jangan ambil tahu akan kesalahan orang lain. Carilah kesalahan diri sendiri.

6.     Kuat bekerja mencari nafkah yang halal. Jangan berdiam diri seperti burung malas.

7.     Setiap orang mestilah berdakwah sekurang-kurangnya kepada diri sendiri.

8.     Berkekalan menuntut ilmu di mana jua.

9.     Sentiasa menolong orang yang dalam kesempitan.

10.  Bersedekah kepada fakir miskin dan pada jalan keredhaan Allah Ta’ala.

11.  Lazimkan menziarahi orang-orang yang sakit dan yang meninggal dunia.

12.  Sentiasa melazimkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dalam segenap urusan.

13.  Jangan berjauhan dari majlis-majlis agama, majlis zikrullah dan majlis selawat.

14.  Banyakan berdoa untuk kebaikan orang Muslimin.

15.  Buatlah semua ini hanya semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t.



Pesanan Ayahnda.

Pesanan Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub, bahawa orang-orang yang baru mendapat rahmat Allah Ta’ala, yang hendak mendorong diri mengikuti acara beribadat orang-orang salaf, hendaklah melakukan 2 perkara ini, iaitu :

1.     Memperbanyakan Selawat dan Istighfar sekurang-kurangnya;

i) 40,000 Selawat ii) 40,000 Istighfar


2.     Pagar Diri iaitu; Mengamalkan bacaan Ayat Kursi setiap pagi dan petang sebanyak 7 kali sepanjang hidup.

Selepas itu barulah boleh mengikuti acara berzikir dengan sepenuhnya. Kalau tidak, ditakuti kekecohan nafsunya membawa syak wasangka kepada HALQAH ZIKIR. Itulah yang telah berlaku kepada orang awam dengan membuat bermacam-macam tohmahan mengikut hawa nafsu mereka.


(Kami Berlindung Dengan Allah Daripada Perkara Tersebut)

Pondok Derang, Kedah.

3 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. salam sejahtera wahai Ab,semoga kita semua sentiasa dalam peliharaanNya...ayahanda itu pasti seorang yang hebat...segala yang terbaik buatnya annur doakan....

    BalasPadam
  3. Wassalam, terima kasih kpd saudara Rafiz Rahim dan puteri annur, semoga kita semua dirahmati Allah Ta'ala... InsyaALLAH. p/s: Ab sempat baca komen Saudara Rafiz td, tq :) dan annur perlu berguru sebelum masuk hutan...

    BalasPadam