Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 26 Julai 2012

Tak Kenal maka Tak Cinta



Assalammu’alaikum…wrt, hari ini Rabu 25 / 07 /2012 bersamaan 05 / 09 / 1433 telah 5 hari umat Islam berpuasa Ramadhan dan pada hari ini genaplah setahun usia blog Berkat Ayahnda yang sedang saudara/i baca sekarang.

Alhamdulillah, sempena setahun jagung hamba yang lemah ini menulis di sini, ingin hamba mencoretkan sedikit butir peribadi dan sejarah hidup hamba ini. Supaya dengan penulisan ini akan menjadi renungan dan panduan untuk anak-anak, cucu cicit dan saudara-mara serta rakan taulan hamba di hari akan datang mengenali siapakah hamba yang serba lemah ini. InsyaAllah.


"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman), "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab, "Betul (Engkau Tuan kami),kami bersaksi." (Kami lakukan demikian itu) agar di hari Kiamat kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap (kesaksian) ini."      Surah Al-A'raf ayat 172.

Hamba tidak setuju dengan orang-orang yang hanya bercerita tentang datuk nenek mereka orang hebat, orang soleh dan tok wali. Dia sendiri pula macam mana? Sepatutnya dia boleh dapat lebih lagi, atau pun sekurang-kurangnya dapat sama macam datuk nenek mereka. Kalau guru buat matan, murid buat syarah. Ini tidak - masuk hutan! (tidak terpakai). Orang yang sebenar cinta Allah s.w.t. tidak akan takut menghadapi cabaran hidup dunia. Hidup atas dunia tidak mahu ikut Nabi, Aulia' atau orang soleh. Bila mati nak duduk sekali dengan orang soleh? ini cerita kartun namanya. Kenapa orang Islam yang dulu-dulu hebat dan kuat? Sebab mereka kuat berpegang dengan Allah s.w.t. dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kita sekarang tidak, sebab itulah orang Islam sekarang lemah. (Petikan dari kata-kata  Hikmah dan Pesanan Syeikh Mahmud Al-Majzub)

Suasana kampong hamba sekarang 2012

Hamba hanyalah orang biasa dan termasuk dalam kebanyakan rakyat Malaysia yang lain. Hamba dilahirkan di bumi Malaysia yang tercinta ini, tepatnya di Negeri Perlis Indera Kayangan. Pada tarikh 25 hari bulan Julai tahun 1976 (25/07/1976) hamba dilahirkan bersamaan malam 27 Rejab tahun 1396 hijrah (27/07/1396)


Nama penuh hamba Amirrullatif Bin Mohd (Mohammad) lahir di kampong Sungai Baru Utan Aji Perlis, dahulunya kampong ini dikenali sebagai Kampong Gelam Utan Aji Perlis. Mungkin sebab terdapat banyak pokok Gelam ketika itu. Kampong ini sebenarnya kampong asal ibunda hamba Sholeha binti Ahmad. Emak kandung ibu hamba Siti Roni binti Che Hassan juga telah dilahirkan dan dibesarkan di kampong ini. Namun Che Hassan lebih dikenali orang kampong sebagai ‘Tok Hassan Pendekar’, moyang hamba ini berasal dari Pattani yang berhijrah dan kawin dengan orang tempatan. Ibunda hamba merupakan anak kedua daripada empat beradik, yang sulong bernama Fatimah, ketiga Abdul Halim dan keempat Mohd Shah.

Ayahnda hamba Mohd atau Mohammad sebenarnya diberi nama oleh atuk hamba, cuma sewaktu mendaftar namanya di balai Polis dulunya ditulis MOHD. Nasab keturunan hamba ialah Amirrullatif bin Mohammad bin Bahari bin Jaafar bin Nayan bin Sulaiman bin Ibrahim. Kampong asal ayahnda hamba ialah kampong Alor Tok Terang dekat dengan Kampong Titi Tok Bandar atau lebih dikenali sebagai Kampong Seriab dalam kawasan Mukim Tok Kuning. Ayahnda hamba merupakan anak ke empat dari tujuh beradik, pertama Rahmah, kedua Abdul Karim, ketiga Derani, kelima Osman, keenam Abdul Hamid dan ketujuh Zakaria.

Kad Pengenalan ini dikeluarkan pada tahun 1988 dan pada tahun 1990 kad pengenalan baru diperkenalkan

Hamba pula merupakan anak sulong daripada lapan adik beradik. Kesemua adik beradik hamba lahir di rumah kampong Sungai Baru Utan Aji Perlis. Kami semua dibesarkan dalam suasana kampong yang aman dan damai. Kami semua juga telah mula belajar di sekolah yang sama yaitu Sekolah Kebangsaan Ujong Batu, Utan Aji, Perlis. Itulah sekolah yang terdekat sebab kami semua dari kecil terpaksa mengayuh sendiri basikal untuk ke sekolah.

Rumah asal masih ada hingga kini (beranda, dapur dan pelantar telah tiada)

Zaman hamba dulu, seawal 6.00 pagi telah bangun untuk mandi di telaga(perigi) yang sangat sejuk airnya untuk bersiap-siap ke sekolah. Setelah siap mandi, solat subuh (pada umur7 tahun hamba sudah mula menjaga solat 5 waktu) dan bersarapan pagi serta dibekalkan duit saku sebanyak 4 kupang (40sen), kadang kalanya tiada wang saku hanya bekalan nasi goreng sahaja disediakan oleh emak. Sekitar jam 6.30 pagi dengan berbasikal BMX hamba mula meredah keheningan pagi yang masih gelap, hanya jalan ban bertanah merah bercampur putih sahaja kelihatan sebagai panduan menuju kedepan. Sebelum pukul 7.00 pagi setiap hari hamba akan tiba di sekolah. Kalau sampai awal ke sekolah terpaksa duduk melengun (bertongkat dagu) depan pintu bilik darjah tunggu Pak Hashim atau Pak Dan penjaga sekolah datang buka pintu. Biasanya hamba budak yang paling awal tiba disekolah, tapi kadang kala ada kawan-kawan yang sampai dulu – jelez rasanya. Semasa zaman hamba bersekolah kami berlumba-lumba datang awal ke sekolah, menjadi satu kepuasan jika dapat mendahului kawan-kawan yang lain bab datang awal kesekolah – semangat nak belajar.

Jalan Ban (kampong) seperti dulu yang ni jalan baru, terus sampai SKUB.

Nama hamba Amirrullatif adalah gabungan nama amirrul dan latif. Latif adalah nama ayah kepada ibu ayahnda hamba, yaitu Tok Zaharah binti Latif @ Abdul Latif @ Sheikh Latif yang pernah tinggal di Kampong Timah Tasoh. Sekarang kampong Timah Tasoh telah menjadi Empangan Timah Tasoh. Nasabnya ialah Zaharah binti Sheikh Latif bin Lebai Kasim bin Tok Panjang (hanya gelarannya sahaja diketahui). Nenek hamba, Tok Zaharah seorang sahaja lagi orang tua dalam keluarga sebelah ayahnda hamba yang masih hidup dan sekarang usianya 84 tahun. Nenek hamba hanya mempunyai  tiga orang adik beradik, pertama Tok Hussin, kedua Tok Meliah dan nenek hamba yang ketiga (bongsu). Setelah kematian Sheikh Latif, nenek hamba berpindah ke Kampung Alor Tok Terang bersama ibunya Tok Minah, dan menetap di kampung tersebut hingga ke hari ini.

Gambar terkini Tok Zaharah binti Latif, pada usia 84 tahun (2012)

Ketika di usia muda belasan tahun dan selepas tamat sekolah pondok di Behor Mali, Simpang Empat Perlis, nenek hamba telah berkahwin dengan Tok Wan (Datuk) Bahari yang berasal dari kampong Utan Ibus, Simpang Empat, Perlis. Tok Wan Bahari juga hanya mempunyai tiga orang adik beradik. Tok Wan Bahari anak yang sulong, kedua Tok Melah dan ketiga Tok Putih. Tok Wan Bahari pernah memugar (membuka) tanah di Kampung Wai, Kuala Perlis, Perlis bersama dengan ayahnya Tok Jaafar bin Nayan. Tok Wan Bahari meninggal di usia yang agak muda setelah menderita sakit selama 10 tahun, Tok Wan Bahari telah meninggal dunia pada tahun 1973. Tiga tahun sebelum hamba dilahirkan.

Gambar Tok Wan Bahari bin Jaafar pada tahun 1963
Hadiahkan Al-Fatihah kepada arwah Tok Wan



Bersambung...insyaAllah.

Rabu, 18 Julai 2012

Keutamaan-keutamaan Ayahnda Ibrahim a.s.



Assalammu’alaikum…wrt, Alhamdulillah hari ini Selasa 17/07/2012M bersamaan 27/08/1433H, tiga hari lagi kita semua umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Di sini hamba mengucapkan kepada saudara/i sekalian dimana saja berada, Selamat menjalani ibadah Puasa Ramadhan dan Selamat berTerawih berjemaah beramai-ramai. Jadikan Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lepas. InsyaAllah.

Perbandingan antara Taurat dan Al-Quran dalam menyajikan kisah Ayahnda Ibrahim a.s.


Orang yang membandingkan datangnya kisah Ayahnda Ibrahim a.s. dari Perjanjian Lama dan Al-Quran, akan melihat adanya perbezaan yang besar antara keduanya. Maka ketika kita melihat bahwa Perjanjian Lama sangat ingin untuk mengisahkan kehidupan Ayahnda Ibrahim a.s. dan apa-apa yang terjadi di dalam hidupnya berupa perpindahan tempat, peristiwa-peristiwa, dan janji Allah s.w.t. yang diberikan kepadanya dan keturunannya untuk menjadi pemimpin di muka bumi. Kita mendapati bahwa Kita Suci Al-Quran menyajikan kehidupan Ayahnda Ibrahim a.s. yang khusus dengan penyajian yang ringkas.

Akan tetapi di dalam menyajikannya, Al-Quran menonjolkan segi-segi lain yang lebih banyak manfaatnya. Maka ia membicarakan kedudukan Ayahnda Ibrahim a.s. di sisi Tuhannya dan di dalam jihadnya di jalan Allah s.w.t. Al-Quran menganalisa kepribadian serta akhlaknya yang tinggi dan pengorbanannya. Dan berbicara tentang misi Tauhid yang diserukan, serta argumentasi-argumentasi logis yang dikemukakan terhadap kebatilan penyembahan berhala-berhala. Sebagaimana Al-Quran berbicara tentang Takwa Ayahnda Ibrahim a.s., doanya kepada Tuhannya, ketebalan imannya dan keikhlasannya kepada Tuhan yang tidak kita dapati di dalam Perjanjian Lama.

Ini adalah keistimewaan Al-Quran di dalam berbicara tentang kehidupan Ayahnda Ibrahim a.s. yang membuatnya mempunyai kedudukan khusus yang tidak dicapai oleh kitab-kitab Samawi lainnya.

Kedudukan Ayahnda Ibrahim a.s.


Kepada saudara/i pembaca sekalian, hamba sajikan sebahagian sifat-sifat Ayahnda Ibrahim a.s. yang disebutkan di dalam Al-Quran dan yang di dalamnya Allah s.w.t. menggambarkan Ayahnda Ibrahim a.s. sebagai contoh teladan bagi petunjuk, ketaatan dan syukur. Allah Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah lagi Hanif. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan), lagi yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus. Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.” Surah an-Nahl (16) ayat 120-122.

Allah s.w.t. menggambarkan Ayahnda Ibrahim a.s., bahwasanya dia adalah suatu umat; artinya bahwa dia sendiri adalah umat di antara umat-umat, kerana keadaannya yang memiliki segala keutamaan-keutamaan yang baik. Kalimat ini adalah tempat berkumpulnya perkataan-perkataan yang terus-menerus memuji Ayahnda Ibrahim a.s. Kerana setiap yang ada pada manusia dari hal-hal yang baik dan akhlak yang suci, telah dikumpulkan oleh Allah Ta’ala untuk nabi-Nya Ibrahim a.s. Dan oleh sebab itu, maka Ayahnda Ibrahim a.s. menjadi seorang imam yang ditauladani.


Dan Allah s.w.t. menggambarkan, bahwa dia adalah seorang yang hanif dan sekali-kali bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Tuhan, atau bahwa dia adalah seorang yang men-tauhidkan-Nya dan ikhlas beribadah kepada-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesiapa pun di antara makhluk-Nya. Dia juga orang yang khusyu’ dan taat kepada-Nya dan mengerjakan apa yang diperintahkan kepadanya. Sebagaimana dia juga orang yang bersyukur atas nikmat-nikmat Allah Ta’ala yang dilimpahkan kepadanya. Oleh kerana itu, ia berhak mendapat kedudukan seperti yang disebutkan dalam Al-Quran, “Allah telah memilihnya dan menunjukinya ke jalan yang lurus.”

Allah s.w.t. telah memilihnya untuk membawa risalah-Nya dan menunjukinya untuk menapaki jalan benar dan lurus yang menyampaikannya kepada redha Allah Ta’ala. Penggambaran itu sampai kepada Allah Ta’ala, firman-Nya; “Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.” Atau bahwa Allah s.w.t. menjadikan baginya sebutan yang baik di dunia dan di akhirat ia termasuk orang soleh yang diberi nikmat dengan syurga dan keridhaan-Nya.


Di antara apa yang digambarkan Allah Ta’ala di dalam Al-Quran itu adalah, “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan saya mohon juga) dari keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.” Surah Al-Baqarah ayat 124.

Allah s.w.t. telah memperlihatkan kepada kita bahwa Dia telah menguji Ayahnda Ibrahim a.s. dengan kewajiban-kewajiban Syari’at, perintah dan larangan. Maka Ayahnda Ibrahim a.s. menyempurnakan dan mengerjakannya dengan sebaik-baiknya. Kemudian Tuhannya berfirman, “Sesungguhnya Aku menjadikanmu seorang imam bagi manusia. Mereka mengikutimu dan menteladanimu.”  Ketika itu Ayahnda Ibrahim a.s. memohon agar menjadikan sebagian keturunannya juga imam-imam. Allah Ta’ala menjawab bahwa imamah (kepimpinan) ini tidak akan mengenai orang-orang yang zalim.


Dalam firman ini terdapat suatu isyarat bahwa di antara keturunannya ada orang-orang yang baik dan ada pula orang-orang yang durhaka. Kemudian perhatikanlah, bagaimana Allah Ta’ala memberitahukan kepada Ayahnda Ibrahim a.s. bahwa kepemimpinan itu tidak akan mengenai orang-orang yang zalim, kerana mereka bukanlah orang yang berhak untuk diteladani. Dan bagaimana pula Allah Ta’ala menghendaki untuk menjauhkan seluruh manusia dari orang-orang yang zalim dan meniadakan kepemimpinan mereka atas urusan-urusan manusia. Menurut pandangan Al-Quran, kezaliman itu adalah melampaui batas-batas Allah Ta’ala dan tidak mengikuti ajaran-ajaran-Nya.

Allah s.w.t. berfirman, “Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” Surah Al-Maidah ayat 45.

Dan Allah s.w.t. berfirman tentang Ayahnya Ibrahim a.s.. “Ceritakanlah (hai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam Al-Kitab (Al-Quran) ini. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.” Surah Maryam ayat 41.

Maknanya; Ceritakanlah hai Muhammad s.a.w. kepada kaummu kisah Ibrahim a.s., mudah-mudahan mereka dapat mengambil pelajaran daripadanya. Ini adalah Nabi yang digambarkan dengan As-Siddiq, yaitu kesungguhan dan kedalaman di dalam kebenaran. Ayahnda Ibrahim a.s. telah berhak menyandang gelarankan ini, kerana kelebihannya di dalam kebenarannya. Dan perhatikanlah, bagaimana Allah Ta’ala menggambarkan kebenarannya itu sebelum menggambarkannya dengan kenabian, untuk memperlihatkan kepada kita nilai dari kebenaran itu dan bahwasanya ia adalah salah satu di antara sendi-sendi daripada kenabian.


Allah s.w.t. melukiskan Ayahnda Ibrahim a.s. di dalam Al-Quran dengan firman-Nya, “Dan lembaran-lembaran Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji.” Surah An-Najm ayat 37.

Yaitu menyempurnakan segala apa yang diperintahkan Tuhan kepadanya dari sifat-sifat iman dan cabang-cabangnya. Dan dia tidak pernah mengesampingkan hal yang patut disyukurinya, kerana disibukkan oleh suatu urusan yang mulia. Dia tidak pula meremehkan perkara yang kecil, kerana urusan yang besar.

Dan Allah s.w.t. menceritakan kedudukan Ayahnda Ibrahim a.s. dengan firman-Nya, “Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya.” Surah Al-Insan ayat 125.

Suatu pendapat mengatakan, bahwa makna Al-Khalil dalam ayat tersebut di atas adalah orang yang dicintai di mana tidak ada cacat dalam kecintaan-Nya itu. Pendapat lain mengatakan bahwa Al-Khullah mengandungi kesempurnaan dan kedalaman cinta. Allah Ta’ala mencintai orang-orang yang suci di antara hamba-hambaNya. Dan Ayahnda Ibrahim a.s. adalah orang yang sempurna kecintaannya kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itu, ia memusuhi bapaknya dan kaumnya di jalan Allah Ta’ala. Dan oleh kerana itu, Allah s.w.t. mencintainya dan mengambilnya menjadi kesayangan-Nya.


Ayahnda Ibrahim a.s. orang yang muslim dan hanif.

Menurut pemahaman kebanyakan orang, bahwa Islam adalah sebuah nama yang telah diberikan Nabi Muhammad s.a.w. untuk agamanya, dan bahwa Baginda s.a.w. adalah orang yang pertama menemukan nama ini. Tidak ragu-ragu lagi bahwa hal ini adalah salah. Kerana pada hakikatnya, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Al-Quran, bahwa para Nabi Allah seluruhnya adalah orang muslim.

Dan sebagai pelopornya adalah Ayahnda Ibrahim a.s. yang telah meridhai nama ini untuk agamanya, lalu memberikan nama itu kepada para pengikutnya dan mewasiatkannya kepada keturunan-keturunannya. Maka Al-Quran berbicara kepada orang-orang Arab yang beriman kepada risalah Nabi Muhammad s.a.w. dan memeluk Islam, “Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu.” Surah Al-Haj ayat 78.

Dan Nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan untuk mengikuti agama Ibrahim a.s. yang berdasarkan ibadah kepada Allah Ta’ala semata-mata. Allah s.w.t. berfirman kepada Rasul-Nya Muhammad s.a.w.. “Kemudian kami wahyukan kepadamu (Muhammad s.a.w.), ‘Ikutilah agama Ibrahim, seorang yang hanif’. Dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” Surah Al-Nahl ayat 123.


Arti Islam : Apa sebenarnya Islam itu? Apa hakikat maknanya dengan mengambil pemahaman dari seluruh Nabi-nabi Allah? Ibnu Taimiyah di dalam mendifinasikannya, mengatakan, “Islam itu ialah, apabila seseorang menyerahkan dirinya kepada Allah Ta’ala dan bukan kepada yang lainnya. Kemudian ia beribadah kepada Allah Ta’ala dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, bertawakkal kepada-Nya semata-mata, berharap dan takut kepada-Nya semata-mata, dan mencintai Allah Ta’ala dengan kecintaan yang sempurna, tidak mencintai makhluk apapun seperti cintanya terhadap Allah Ta’ala. Bahkan ia mencintai, membenci, memerintah dan memusuhi kerana Allah Ta’ala. Maka barangsiapa yang enggan beribadah kepada Allah Ta’ala, bukanlah ia seorang yang muslim. Dan barangsiapa yang menyembah selain Allah Ta’ala bersama-Nya, bukanlah pula ia seorang 
muslim.”

Inilah dia Islam, dan inilah pula artinya. Dan tidak heran lagi bahwa Allah s.w.t. akan memuji orang-orang yang mengambil arti ini, berkemas dengan arti ini dan mengikuti ayahnda mereka Ibrahim a.s.

“Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan diri kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus?” Surah Al-Insan ayat 125.

Hadiahkan Al-Fatihah untuk arwah Pak Ngah Kasim

Orang yang menyerahkan diri kepada Allah Ta’ala adalah orang yang ikhlas beribadah kepada-Nya dan bekerja untuk mencari keridhaan-Nya. Sedang orang yang mengerjakan kebaikan adalah orang yang memperbaiki pekerjaannya, maka ia berbuat kebaikan-kebaikan. Dan kebaikan-kebaikan itu adalah amal soleh.

Dengan demikian, maka Islam adalah suatu janji, di mana manusia meletakkan jiwa, diri, hati, perasaan, perkataan, kesenangan-kesenangan, kemarahan dan keridhaannya pada pertimbangan-pertimbangan Allah Ta’ala.

Ayanda Ibrahim a.s. berkata kepada kaumnya, “Dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.” Surah Al-Mumtahanah ayat 4.


Dan ia berkata pula, “Sesungguhnya aku menghadapkan diri kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Tuhan.” Surah Al-An’am ayat 79.

Demikianlah ke-Islam-an Ayahnda Ibrahim a.s. Oleh sebab ke-Islam-annya itulah, maka Allah s.w.t. memilihnya. Allah Ta’ala berfirman, “Dan sesungguhnya Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. Ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘Tunduk patuhlah!’ Ibrahim menjawab, ‘Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam.” Surah Al-Baqarah ayat 130-131.

Wallahu’alam. Bersambung insyaAllah.

Jumaat, 6 Julai 2012

Nur Muhammad



Assalamu’alaikum…wrt, hari ini Khamis 05/07/2012M bersamaan 15/08/1433H yakni hari dan malam nisfu Sya’aban yang semua saudara/i sedia maklum, maka hamba nukilkan sedikit tentang NUR MUHAMMAD. Semoga kita semua dapat manfaat dari artikel ini dan semoga Allah s.w.t. memberi sedikit kefahaman untuk kita semua. InsyaAllah. Sebarang kesalahan dan kesilapan mohon agar diberi teguran kepada hamba yang serba lemah ini.

Asal usul mula kejadian alam semesta ini.

Sebenarnya dahulu alam semesta ini belum ada. Itu waktu sebelum ada perhitungan tahun, bulan, minggu dan hari. Kerana belum ada matahari dan bulan. Ketika itu Cuma yang ada Zat Yang Wajibul-Wujud, iaitu Zat Allah, Tuhan Yang Maha Pencipta. Oleh sebab itu “Dia” dinamakan “Kholiq” artinya Pencipta, dan alam semesta ini termasuk semua isinya dinamakan “makhluk” artinya yang diciptakan.

Jadi jelaslah bagi kita sekarang, adanya perhitungan tahun seperti sekarang ini, kerana adanya peredaran matahari dan bulan. Entah sudah berapa juta tahun umur Bumi ini hanya Allah s.w.t. yang mengetahui, manusia Cuma dapat mengira-gira saja. Cubalah perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Insan ayat 1;


“Apakah tidak datang (khabar berita) kepada manusia suatu zaman yang tidak dapat disebut-sebut (menurut perhitungan manusia).”


Maka dengan keterangan ayat di atas hanya Allah s.w.t. yang tahu bila dan sejak berapa lamanya dijadikan dunia ini serta isinya. Allah s.w.t. Maha Kuasa. Ia menciptakan alam semesta semuanya tidak menggunakan alat atau perkakas. Bila Dia akan menjadikan sesuatu, cukuplah dengan kalimat “Kun” jadilah lalu terjadilah seperti kehendak Allah s.w.t. Seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Yasin ayat 82 ;


“Sesungguhnya perintahnNya, apabila Ia menghendaki sesuatu, Cuma Ia berkata : Jadilah! Lalu terjadi.”

Firman Allah s.w.t. dalam hadis Qudsi ; “Aku adalah gudang yang tersembunyi. Maka Aku suka agar Aku dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya ia mengenal Aku.”

Dalam ayat yang lain Allah s.w.t. mengatakan, dalam surah Yunus ayat 3 ;


“Sesungguhnya Tuhan itu, adalah yang menciptakan beberapa langit dan bumi, di dalam enam masa. Kemudian Dia menciptakan serta Dialah yang mengatur dan Dialah yang menguasai seluruh apa pun yang berada di ‘Arasy dan alam lainnya.”


Jadi jelaslah yang mengatur semua kejadian alam, makhluk, manusia, binatang, matahari, bulan dan bintang, hidup dan mati, adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Untuk lebih jelasnya bacalah ayat Kursi (Surah Al-Baqarah ayat 255) ;


“Allah, tidak ada Tuhan kecuali Dia. Yang Maha Hidup, yang terus menerus mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Milik-Nya apa yang ada di langit dan apa yang ada di Bumi. Tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya. Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmu-Nya melainkan apa yang Dia kehendaki. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Para pembaca yang budiman.

Teranglah sudah bagi kita sekalian bahwa dulunya alam semesta ini tidak ada. Maka yang ada, ialah yang mengadakan alam semesta ini iaitu Zat Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t. ciptakan seluruh alam semesta langit dan bumi kerana Tuhan akan menjadikan manusia.

Sesungguhnya Allah s.w.t. ciptakan pertama-tama adalah yang dinamakan “Ruuhul A’zhom” dari Nur-Ahadiyah-Nya. Maka dari Ruuhul A’zhom itu Allah s.w.t. jadikan segala ruh makhluk yang bernyawa.

Apakah yang dinamakan “Ruuhul A’zhom” itu? Ialah sumber segala ruh. Yaitu Ruh Nabi Muhammad s.a.w.


Sesungguhnya Allah Ta’ala selain mempunyai sifat Al-Rahman dan Al-Rahim juga mempunyai sifat Jalaal dan Jammal, artinya Maha Perkasa dan Maha Indah. Maka dengan qudrat iradatNya, dengan sifat Jalaal dan Jammal-Nya diciptakan Nur Muhammad s.a.w., dari alam ‘adam’ kepada alam “wujud”, dari alam “abstrak” kepada alam “nyata” dalam keadaan sempurna, indah bentuk dan susunan semua alam yang maujud ini. Sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 106 ;


“Apakah engkau tidak mengetahui bahwa sesungguhnya Allah itu di atas tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa?”

Dari Ruuhul A’zhom itu, diciptakan ruh para Nabi, kemudian ruh para Wali, kemudian ruh para umat manusia. Kemudian ruh para malaikat, kemudian ruh bangsa jin, kemudian ruh bangsa haiwan dan kemudian ruh tumbuh-tumbuhan.

Selain itu Tuhan jadikan empat unsur atau anasir, yaitu air, api. Angin (udara) dan tanah. (Empat Unsur) Maka dari empat anasir itu, Tuhan jadikan jasad makhluk, dijadikan langit dan bumi, malaikat dan jin, manusia dan binatang serta lain-lainnya.

Pada riwayat lain, Allah s.w.t. jadikan suatu pohon namanya “Sajarotul-Yaqiin” atau Sajarotul-Muttaqiin”, suatu pohon raksasa. Tidak ada orang dapat menduga besarnya, hanya Allah Ta’ala yang Maha Mengetahui.


Kemudian Allah s.w.t. menjadikan Nur Muhammad itu, seperti burung merak. Lalu dimasukkan ke dalam kurungan mutiara, lalu digantungkan di Sajarotul-Yaqiin. Lalu ia bertasbih memuji Allah s.w.t. selama 70,000 tahun.

Kemudian diletakkan cermin “Haya” dekat kurungan itu. Demi setelah terlihat bayangannya di dalam cermin, tiba-tiba timbullah rasa malunya sehingga keluar keringat sekujur badannya. Dengan kudrat Ilahi dan hikmat, maka dari tiap butir keringat itu menjadi ruh umat manusia. Lalu mereka, Allah s.w.t. perintahkan lima kali sujud ketika itu. Itulah pula sebabnya umat Muhammad s.a.w. diwajibkan solat lima kali sehari semalam.

Kemudian berubahlah rupa merak itu menjadi wujud manusia dalam rupa yang amat indah, berdiri seperti orang sedang solat, di dalam keranda mutiara. Kemudian Allah s.w.t. perintahkan seluruh ruh-ruh itu tawaf yakni mengelilingi Lembaga Nur Muhammad itu, sambil mengucap tahmid dan tasbih ke hadrat Allah Ta’ala selama seratus ribu (100,000) tahun.


Kemudian Allah s.w.t. memandang kepada Nur Muhammad itu, lalu berkeringatlah sekujur badannya. Maka dari keringat 7 bahagian anggota Nur Muhammad, Allah s.w.t. ciptakan 7 bahagian/golongan makhluk.

1.      Dari keringat hidungnya, Allah Ta’ala ciptakan sekalian malaikat.
2.      Dari keringat mukanya, Allah Ta’ala jadikan ‘Arsy, Lauhil-Mahfuzh, Qolam dan lain-lain.
3.      Dari keringat dadanya, Allah Ta’ala jadikan Nabi-nabi dan Rasul-rasul, Ulama dan sebagainya.
4.      Dari keringat belakangnya, Allah Ta’ala jadikan Baitul-Makmur, Baitullah, Baitul-Muqaddis, dan tempat-tempat ibadat (masjid) diseluruh dunia.
5.      Dari keringat alisnya, Allah ta’ala jadikan ruh-ruh umat Muhammad s.a.w. lelaki dan perempuan.
6.      Dari keringat telinganya, Allah ta’ala jadikan ruh-ruh umat Yahudi, Nasrani dan orang yang sesat dari jalan Allah.
7.      Dari keringat kakinya, Allah ta’ala jadikan isi semesta alam dunia dari Timur sampai ke Barat.


Lalu Allah s.w.t. berkata kepada Nur Muhammad itu ; “Cubalah lihat mukamu.” Lalu ia memandang ke depan dilihat berupa Nur (Cahaya), kemudian dilihat ke belakang dilihatnya berupa Nur. Lalu ia memandang ke kiri dan ke kanan dilihatnya demikian juga. Itulah yang akan menjadi sahabatnya nanti di dunia, yaitu Saidina Abu Bakar r.a., Saidina Umar r.a., Saidina Usman r.a. dan Saidina Ali r.a. bin Abi Talib.

Kemudian Nur Muhammad lalu bertasbih ke hadirat Allah Ta’ala selama 70,000 tahun. Kemudian Allah s.w.t. jadikan dari Nur Muhammad itu, Nur sekalian para Nabi-nabi. Kemudian Allah s.w.t. jadikan ruh umat Muhammad s.a.w. dari Nur Muhammad, dan Allah s.w.t. jadikan ruh umat-umat yang lain dari Nur Nabinya masing-masing. Kemudian ruh-ruh umat Nabi Muhammad s.a.w. sama-sama mengucapkan kalimat tauhid ;


“TIADA TUHAN KECUALI ALLAH, NABI MUHAMMAD UTUSAN ALLAH”

Kemudian Alah s.w.t. jadikan sebuah pelita dari akik yang merah, yang bahagian luar dapat dilihat dari sebelah dalamnya kerana sangat beningnya. Seterusnya Allah s.w.t. ciptakan bentuk jasad Muhammad dan diletakkan dalam lampu itu. Ia berdiri seperti sedang solat. Kemudian ruh-ruh para Nabi mengelilingi bentuk jasad Nur Muhammad, serta mengucapkan “Subhaanallah dan Laailaahaillallah selama 100 tahun.

Bakat-bakat seseorang sudah ditentukan di alam arwah (ruh).


Kemudian sesudah itu, Allah s.w.t. memerintahkan ruh-ruh itu memandang kepada bentuk jasad Nur Muhammad, akan  tetapi pemandangan mereka itu tidak sama. Ada yang dapat melihat kepalanya, ada yang dapat melihat matanya saja dan sebagainya.

1.      Adapun ruh-ruh yang dapat melihat kepalanya, bila nanti lahir di dunia, dia akan menjadi pembesar, raja, atau presiden dan sebagainya.

2.      Yang melihat keningnya, akan menjadi raja yang adil.
3.      Yang meihat matanya, akan menjadi orang yang hafal Al-Quran.
4.      Yang melihat alisnya, akan menjadi seorang pelukis.
5.      Yang melihat telinganya, akan menjadi orang yang suka menuntut ilmu pengetahuan.
6.      Yang melihat pipinya, akan menjadi orang yang suka berbuat kebaikan kepada sesama manusia.
7.      Yang melihat bibirnya, akan menjadi pegawai raja.
8.      Yang cuma melihat hidungnya, akan menjadi ahli hukum, tabib, cerdik pandai dan sebagainya.
9.      Yang cuma dapat melihat mulutnya, akan menjadi orang yang suka berpuasa.
10.  Yang cuma dapat melihat giginya, akan menjadi orang tercantik di dunia.
11.  Yang cuma dapat melihat lidahnya, akan menjadi utusan raja-raja.
12.  Yang cuma dapat melihat tenggorokannya, akan menjadi penasihat, mubaligh, tukang propaganda dan para muezzin.
13.  Yang cuma dapat melihat janggutnya, akan menjadi orang yang suka berjuang di jalan Allah.
14.  Yang cuma dapat melihat tengkuknya, akan menjadi orang yang ahli dalam berniaga.
15.  Yang cuma dapat melihat depan lengannya, akan menjadi orang yang pandai menggunakan senjata, pandai memanah dan memacu kuda.
16.  Yang cuma dapat melihat lengan kanannya, akan menjadi orang yang ahli penangkap ikan.
17.  Yang cuma dapat melihat lengan kirinya, akan menjadi ahli penjahit pakaian.
18.  Yang cuma dapat melihat tapak tangan kanannya, akan menjadi tukang emas atau tukang timbangan.
19.  Yang cuma dapat melihat tapak tangan kirinya, akan menjadi tukang menimbang.
20.  Yang melihat belakang dua lengannya, akan menjadi orang dermawan.
21.  Yang cuma dapat melihat belakang tangan kanannya, akan menjadi orang yang pandai memasak.
22.  Yang cuma dapat melihat belakang tangan kirinya, akan menjadi orang yang bakhil (paling berhemat).
23.  Yang cuma dapat melihat ruas jari kanannya, akan menjadi tukang menjahit.
24.  Yang cuma dapat melihat ruas jari kirinya, akan menjadi juru tulis.
25.  Yang cuma dapat melihat dadanya, akan menjadi alim ulama, pengarang, ahli falsafah dan sebagainya.
26.  Yang cuma dapat melihat belakangnya, akan menjadi orang yang sangat berbakti kepada Tuhan.
27.  Yang cuma dapat melihat lambungnya, akan menjadi seorang pejuang.
28.  Yang cuma dapat melihat perutnya, akan menjadi orang yang tidak serakah kepada dunia.
29.  Yang cuma dapat melihat dua lututnya, akan menjadi orang yang banyak sekali melakukan sembahyang.
30.  Yang dapat melihat dua kakinya, akan menjadi ahli berburu.
31.  Yang dapat melihat tapak kakinya, akan menjadi orang yang suka mengembara keliling dunia.
32.  Yang dapat melihat bayangan saja, akan menadi penari, penyanyi dan pemain muzik.
33.  Yang dapat melihat keseluruhan anggota jasad Nur Muhammad?, Wallahu’alam.


Demikian masing-masing ruh itu tidak sama dan tidak semua yang dapat dilihatnya. Anda ada ruh diwaktu itu ada melihat lebih dari satu macam anggota tubuh Nur Muhammad, begitulah nanti anda lahir menjadi manusia yang mempunyai bakat lebih dari satu macam.

Dan sesiapa dari antara ruh-ruh itu tidak dapat melihat apa-apa di masa itu, kelak apabila dilahirkan ke alam dunia menjadi manusia yang tidak mempunyai bakat kecekapan apa-apa.

Jadi jelasnya bakat-bakat manusia yang kita buktikan di dunia ini, baik dia seorang pengarang, ahli pidato atau pelukis seni dan sebagainya, itu adalah bakat-bakat yang telah diperbekali semenjak dia berada di alam arwah oleh Allah Ta’ala.


Para pembaca yang budiman.

Ketahuilah sesungguhnya manusia ini, Tuhan Rabbul ‘alamin jadikan hidup berpindah-pindah dari tujuh (7) alam. Dari satu alam kepada satu alam.

1.      Alam Arwah, belum lagi mempunyai jasad kasar atau badan jasmani yang mana ketika itu pekerjaan para ruh itu cuma bertasbih dan memuji kepada Allah s.w.t.
2.      Alam Rahim, semasa berada di dalam rahim ibunya, ruh dimasukkan ke dalam janin ketika usia sekitar 4 bulan.
3.      Alam Dunia, sejak dilahirkan sehingga sampai saat menutup mata (mati). Di alam dunia ini mengembangkan bakatnya masing-masing.
4.      Alam Barzakh, suatu alam yang tersembunyi dari pandangan mata manusia dan jin, iaitu alam kubur, setelah ruh berpisah dari jasadnya.
5.      Alam Mizan, suatu alam dimana seluruh manusia dikumpulkan di mahkamah Allah Ta’ala untuk perhitungan amal.
6.      Alam Sirat, alam dimana setiap manusia akan melintas sebuat titian untuk menuju ke akhir perjalanan hidupnya. Yang Berjaya melintasnya akan ke syurga penuh nikmat, yang gagal akan jatuh ke dalam jurang neraka penuh azab sengsara.
7.      Alam Akhirat, suatu alam di mana ruh dengan jasad bersatu kembali, di sinilah alam yang terakhir. Suatu alam yang kekal abadi, yang tidak akan berpindah-pindah lagi buat selama-lamanya bagi manusia. Kerana itulah alam akhirat itu dinamakan alam “Baqo”, suatu alam yang kekal abadi.


Wallahu’alam. 



Sekian wassalam.