Ayahnda

Ayahnda

Selasa, 30 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Selamat Hari Merdeka ke 54


Assalammu'alaikum..wrt, sempena hari lebaran yang mulia pada 1 Syawal 1432 dan hari kemerdekaan negara Malaysia tercinta pada 31 Ogos 2011, hamba merakamkan ucapan Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin serta Selamat menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke 54 kepada seluruh muslimin dan muslimat serta seluruh rakyat Malaysia.


Marilah kita sebagai rakyat Malaysia bersatu hati dan bersama-sama membangunkan negara tercinta. Juga kita sebagai ummat Islam marilah sama-sama kita bekerjasama memupuk semangat cintakan tanahair yang aman makmur dengan semangat perpaduan sebagai hamba Allah s.w.t. dan anak bangsa keturunan Ayahnda Adam a.s. Usahlah kita mengenang sengketa lama, ayuhlah menuju kehadapan bersama membina kedamaian dan kesejahteraan.


Kemerdekaan ertinya bebas mengamalkan cara hidup yang terbaik yakni Islam dalam suasana yang aman, damai dan sejahtera di sebuah negara Malaysia yang harmoni berbilang bangsa dan agama.


Semoga kemerdekaan yang sedang kita nikmati ini akan di kekalkan oleh Allah s.w.t sehingga ke akhir hayat kita dan ke akhir hayat bumi ini. Renungkan firman Allah s.w.t., "Barangsiapa bersyukur maka Kami tambah nikmat kepadanya, barangsiapa kufur (tak bersyukur) ingatlah bahawa azab Kami amat pedih." Marilah sama-sama kita bersyukur kepada Allah s.w.t. serta tidak lupa juga kita berterima kasih kepada usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan negara Malaysia tanahair kita yang tercinta. Segala kebaikan akan di balas dengan kebaikan jua hendaknya, InsyaAllah.


Bebaskan dan merdekakan dirimu dari belenggu hawa nafsu amarah dan sifat-sifat mazmumah (buruk dan keji), hiasilah dirimu dengan sifat-sifat mahmudah (baik dan mulia). Berusahalah wahai insan membina jasmani dan rohanimu sehingga menjadi insan yang Kamil (sempurna) sebelum ajal dan maut datang menjemputmu kembali ke hadapan mahkamah Allah s.w.t. Wassalam. Wallahu'alam.


Ahad, 28 Ogos 2011

Ayahnda Adam a.s. bukan penghuni Bumi Pertama.



Assalammu'alaikum..wrt,

Islam sebenarnya tidak menolak perkembangan ilmu pengetahuan, bahkan sebaliknya mengakui penemuan-penemuan dan berbagai dalil yang dipakai.

Ilmu Antropologi menentukan bahwa bumi ini telah dihuni oleh bermacam-macam jenis manusia sebelum Ayahnda Adam a.s. Berdasarkan penemuan-penemuan tengkorak manusia dan tulang-tulang yang telah membatu di berbagai tempat di bumi ini, yang menurut penyelidikan para ahli dikatakan bahwa umur tengkorak dan tulang itu sudah satu miliun tahun, atau seperempat miliun tahun dan yang lain berpendapat kurang dari seperempat miliun tahun.


Berdasarkan penyelidikan, fosil orang Jawa adalah fosil paling tua, menyusul fosil orang Viking, Solo, Baltadon, Hilldabraj, dan Tunisia. Melalui proses evolusi panjang jenis manusia itu akhirnya sampai kepada fosil orang Neandertal yang diperkirakan sebagai nenek moyang manusia berakal. Jenis manusia tersebut hidup di dunia kira-kira tahun 130 ribu sampai dengan tahun 8000 SM. Kemudian berkembang dan menyebar ke beberapa bahagian dunia.

Al-Quran mengisyaratkan bahwa ada makhluk yang sudah hidup di bumi sebelum Adam a.s.,


“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…” (Surah al-Baqarah ayat 30)

Para Mufassir dalam mentafsirkan Al-Khalifah ada dua pendapat :


Pertama, bahwa di dunia ini sudah ada sejenis atau bermacam-macam jenis manusia yang sudah punah akibat peperangan. Kerana itu para malaikat terkejut kehairanan ketika Allah s.w.t. akan menjadikan Adam a.s. dan keturunannya sebagai khalifah di bumi. Sebab, berdasarkan pengalaman; mereka berkeyakinan bahwa Adam a.s. pun akan berlaku seperti penghuni bumi sebelumnya. Oleh kerana itu ketika Allah s.w.t. berfirman kepada mereka, mereka berkata,


“Mengapa Engkau hendak menjadikan (Khalifah) di bumi itu orang yang akan berbuat kerusakan padanya, dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” (Surah al-baqarah ayat 30)


Kedua, Allah s.w.t. menamakan Khalifah kerana sebagai pemegang amanat Allah s.w.t. dalam melaksanakan hokum antara para mukallaf di dunia. Ia adalah pengelola dan penguasa semua makhluk Allah s.w.t. Dengan demikian kita mengetahui bahwa ketentuan-ketentuan Ilmu pengetahuan yang berpandangan bahwa ada jenis manusia penduduk bumi ini sebelum Adam a.s. yang telah punah berjalan searah dan beriringan dengan dalil naqli dalam Al-Quran.

Berapa tahun umurnya dunia ini?



Diceritakan ketika Ayahnda Musa a.s. munajat kepada Allah Robbul ‘Alamin di Bukit Thursina, maka pada saat itu berkesempatan Nabi Musa a.s. bertanya kepada Allah s.w.t. dengan mengajukan beberapa pertanyaan.

Satu pertanyaan Ayahnda Musa a.s. telah Allah s.w.t. jawab : “ Pertama-tama aku jadikan adalah Nur Muhammad. Kemudian Ku jadikan Durratul-Baidhoo’ dari Nur Muhammad. Dari Durratul-Baidhoo’ Aku jadikan 70,000 negeri di cakrawala, (Jadi kita guna istilah sekarang ialah 70,000 planet di angkasaraya). Maka satu planet itu luasnya 70 kali Bumi. Tiap-tiap planet itu dijadikan penghuninya 70,000 makhluk bukan bangsa jin, dan bukan bangsa manusia, dan juga bukan bangsa malaikat. Kesemuanya dijadikan dengan kamilat ‘Kun fayakun’. Mereka beribadat padaKu sampai 70,000 tahun. Kemudiannya, mereka jadi berdurhaka kepadaKu, lalu Aku binasakan mereka dan seluruh cakrawala itu semuanya.


Kemudian sesudah itu Aku jadikan lagi 80,000 buah negeri (planet) yang besarnya Cuma 10 kali Bumi. Semua berada di cakrawala yang bertingkat-tingkat. Di planet-planet itu Aku ciptakan sebangsa unggas yang memakan tumbuhan-tumbuhan, biji-bijian. Lama-kelamaan unggas-unggas itu pun punah (musnah). Kemudian baru Aku jadikan 20,000 makhluk sebangsa manusia dari cahaya secara beransur-ansur sampai mereka itu punah semuanya.


Kemudian setelah berselang 70,000 tahun sesudah itu, baru Aku jadikan Qalam, Lauhil-mahfuzh, ‘Arsy dan Kursi dan malaikat. Maka setelah kira-kira 70,000 tahun lagi barulah Aku jadikan syurga dan neraka. Kemudian setelah itu baru Aku jadikan makhluk manusia yang namanya Adam, bukan bapakmu Adam yang sekarang ini, hai Musa.

Aku jadikan dia dari awal Adam sampai keturunannya yang terakhir 10,000 tahun lamanya. Setelah itu aku jadikan pula Adam yang lain dengan keturunannya yang terakhir dalam masa 10,000 tahun.


Demikian seterusnya Aku jadikan tiap-tiap Adam sampai keturunannya dalam masa 10,000 tahun, ganti-berganti, sampai mencapai 10,000 orang Adam. Maka Adam yang sekarang inilah yang ke 10,000 kalinya.”

Demikianlah keterangan yang hamba kutib, dari kitab “Permulaan dijadikan langit dan bumi” oleh Al-‘Alamah Syaikh Nuruddin Ali.

Para pembaca yang budiman.

Jika kita renungkan keterangan di atas itu, jelaslah bagi kita bahwa umur dunia ini sudah lama benar, atau sudah sangat tua. Cuba bayangkan, setiap Adam Tuhan ciptakan sampai anak keturunannya yang terakhir adalah memakan waktu sampai 10,000 tahun. Maka berapakah jumlah 10,000 x 10,000 tahun?

                        10,000 x 10,000 = 100,000,000 tahun

Jadi jelasnya bumi kita telah dihuni oleh manusia yang pertama Tuhan ciptakan, sampai Adam yang terakhir di zaman kita ini adalah lama masanya memakan waktu seratus juta tahun. Kalau pada tahun 1978 ahli kajipurba telah menemui tengkorak manusia di Tanah Jawa yang sudah berumur 300,000 tahun itu belumlah seberapa jika dibandingkan dengan keterangan dan pendapat ulama’ Islam Syeikh Nuruddin Ali, bahwa bumi kita ini telah dihuni manusia sudah seratus juta tahun lamanya.

Untuk memperkuatkan keterangan bahwa sudah tua umurnya dunia ini, pernah diceritakan oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. tentang pengalaman dan penglihatan Baginda dalam perjalanan Isra’ dan Mi’rajnya, iaitu nampak ada seorang wanita memanggil-manggil dan merayu nama Baginda. Wanita itu sudah sangat tua namun masih nampak cantik rupanya, memakai pakaian yang indah serta perhiasan yang gemerlapan emas, intan dan berlian.

Lalu Nabi Muhammad s.a.w bertanya kepada Jibrail. Siapakah gerangannya wanita itu? Jawab Jibril : “Itulah dunia!”

Kita kini sama dapat membuktikan dengan mata bahwa apa yang dilihat oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah betul-betul dunia, semakin tua bertambah cantik. Yang dimaksudkan dengan dunia adalah negeri atau bumi di mana tempat manusia ‘bersemayam.’


Cubalah kita perhatikan Bandar-bandaraya, kota-kotaraya di Malaysia yang semakin hari pembangunannya semakin hebat dengan bangunan-bangunannya, menara-menaranya yang menjulang tinggi, jalanraya, lebuhraya semakin lebar dan luas dengan lampu-lampunya yang berwarna-warni di waktu malam. Bukan di Malaysia saja, bahkan seluruh di dunia sedang membangun.


Apakah ertinya bangun dalam bahasa Arabnya? Bahasa Arabnya adalah “Qiyaamah.” Jadi jelas dunia sekarang sudah mulai mau kiamat di mana-mana! Sudah dihias, atau sedang dihias dunia oleh manusia. Inilah menunggu detik-detik sampai saatnya masa terakhir bagi dunia ini. Menandakan zaman akhir bahwa ciri-ciri dan alamatnya adalah Allah s.w.t. tidak akan mengutus seorang Nabi sesudah Nabi Muhammad s.a.w. kerana pribadi Baginda s.a.w sudah menjadi predikat Nabi Akhir Zaman.

Cubalah pembaca renungkan!

Jumaat, 19 Ogos 2011

Riwayat Hidup Ayahnda Adam a.s. ketika diturunkan ke Bumi.



Riwayat menyatakan bahawa Ayahnda Adam a.s. diturunkan pada bulan Muharram tanggal 10. Maka di waktu malam gelap gulita Adam a.s. dan Ibunda Hawa harus turun kebumi termasuklah jua Iblis yang menggoda yang jadi biang keladinya.

Dengan mengucur air mata Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa mau tidak mau harus menerima nasibnya. “Tangan mengencang, bahu memikul.”

Pada malam itulah Jibrail a.s. membawa Adam a.s. dan Hawa turun ke bumi. Ayahnda Adam a.s. diturunkan atas Bukit Ruhun di Surandib atau Pulau Sailan (Cylon), sedang Ibunda Hawa di Jiddah. Begitulah akibatnya kedua insan yang telah melanggar larangan Tuhan, harus berpisah dari segala kesenangannya di Syurga, dan kini menuntut penghidupan baru yang serba sukar.


Tersebut di dalam riwayat, setelah Adam a.s. diturunkan ke dunia, hampir seratus tahun lamanya keduanya tidak bertemu. Dan bagaimanakah seterusnya jika Ayahnda Adam a.s. hingga sampai ajal ia tidak bertemu dengan Ibunda Hawa? Sudah barang tentu tidak akan ada turunannya seperti sekarang ini.

Kemudian Allah s.w.t memerintahkan malaikat Jibrail a.s. turun ke bumi mendapatkan Ayahnda Adam a.s. supaya melakukan ibadat haji, yakni tawaf bersama Ibunda Hawa. Dengan melakukan tawaf tujuh kali pusingan sebagai keduanya menyatakan taubat kepada Allah s.w.t. Maka dengan jalan begitu dosa keduanya akan diampuni Allah s.w.t.


Kemudian atas petunjuk Jibrail a.s. bahwa Ayahnda Adam a.s. harus menemui Ibunda Hawa di Juddah. Demikianlah Adam a.s. lalu pergi mencari Hawa. Setelah berbulan-bulan berjalan barulah Ayahnda Adam a.s. bertemu dengan Ibunda Hawa di padang Arafah. Itulah sebabnya dinamakan padang Arafah, artinya mengenal kembali.

Setelah Ayahnda Adam a.s. menceritakan bahawa keduanya diwajibkan Tawaf tujuh kali mengitari Hajarul-Aswad. Maka untuk mendirikan tempat ibadat dititahkan malaikat oleh Allah s.w.t. mengambil batu dari Syurga untuk dijadikan ‘tugu' atau Ka’abah. Dan disaat itu dibangunkan sebuah tempat ibadat yang dinamakan “Baitul Makmur” dengan bantuan para malaikat. Selesai masjid itu lalu ditengah-tengahnya diletakkan ‘Hajarul-Aswab’. Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa lalu tawaf sambil mengucapkan : 


“Ya Tuhan kami. Kami telah menzhalimi diri kami. Dan andaikata Engkau tidak mengampuni kami dan tidak mengasihi kami, nescaya kami menjadi orang yang rugi.”

Demikian keduanya mengucapkan kata-kata itu sambil menangis, kerana dosanya takut tidak diampuni.

Demikian diceritakan dalam riwayat itulah masjid pertama yang didirikan di zaman Ayahnda Adam a.s. Kemudian ketika taufan dan banjir di zaman Ayahnda Nuh a.s. masjid Baitul Makmur dipindahkan ke langit yang ke tujuh yang kini dijadikan qiblat untuk ibadat para malaikat di situ. Ketika Ayahnda Baginda Muhammmad s.a.w mikraj, baginda pernah sembahyang di situ menjadi Imam jemaah para malaikat.

Kembali kita bicarakan riwayat Ayahnda Adam a.s. setelah beliau bertemu kembali dengan Ibunda Hawa, lalu mereka bergerak ke tanah yang subur dan aman untuk mendirikan rumah kediaman sehingga mempunyai beberapa orang anak. Maka dari anak cucu keturunan Ayahnda Adam a.s. meluas dan tersebar ke mana-mana seluruh pelusuh muka bumi. Sehingga menjadi bermacam-macam bangsa dan bersuku-suku puak manusia.

Sebagaimana Allah s.w.t menyatakan di dalam surah Al-Hujurat ayat 13 :


“Hai sekalian manusia, sebetulnya Kami ciptakan kamu asal dari seorang lelaki (Ayahnda Adam a.s.) dan seorang perempuan (Ibunda Hawa). Dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, agar kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling berbakti di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Di bawah ini di cantumkan beberapa ayat dari surah Ar-Rum ayat 22 dan 23, serta ayat 26 dan 27. Semoga cukup sebagai bahan pengetahuan dan pemikiran kita semua..


“Dan dari tanda-tanda kekuasaanNya (Allah), Ia ciptakan beberapa langit dan bumi. Dan dijadikannya berbeza-beza bahasamu serta berlainan warna kulitmu. Sesungguhnya dalam soal yang demikian itu adalah benar-benar suatu tanda-tanda bagi orang-orang yang berilmu pengetahuan.” (22)

“Dan dari tanda-tanda kekuasaanNya, ialah tidurmu di waktu malam. Dan di waktu siang usahamu mencari kurniaNya (rezeki). Sesungguhnya dalam soal yang demikian itu, adalah benar-benar suatu tanda-tanda bagi golongan yang suka mendengar.” (23)


“Dan kepunyaanNya siapa saja yang ada di langit dan di bumi. Semuanya hanya tunduk kepadaNya (Allah).” (26)

Dialah yang menciptakan manusia dari permulaan kemudian Dia yang mengulangnya hidup kembali, kerana itu sangat mudah atasNya dan Dia mempunyai sifat yang Maha Tinggi, di langit dan di bumi, dan di alam Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.” (27)

Demikianlah para pembaca sekalian, kita telah bicarakan riwayat Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa serta Iblis laknatullah yang membuat gara-gara, sehingga ketiganya dikeluarkan dari Syurga. Wallahu’alam.


Dunia ini hanya lakonan
Cuma lakonan semata
Namun aku bukan artisnya
Tapi aku tetap menjadi seorang dari mereka.

Besok semua akan dikumpul
Dihitung segala watak dan lakonannya
Watak yang betulkah yang kita lakonkan?
Kita ikut arahan pengarah atau ikut nafsu sendiri?
Tidakkah kau ingat!
Tidakkah kau sedar!!
Saat itu semakin hampir!!
Kini kita perlu ingat,
Saat itu pasti akan tiba
Tiba dengan seketika
Tempoh masa yang amat singkat.

Bersabarlah kita hanya berlakon
Lakonan hidup di dunia
Dunia yang sementara.

Madah Anaknda Bertuah

SELAMAT PERPUASA DAN BERIBADAT SEPANJANG BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK


SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE-54, INGAT JANGAN TERLALU GEMBIRA SEBAB KITA MASIH DALAM PENJARA DI DUNIA INI. JANGAN LUPA BAYAR ZAKAT FITRAH.

Isnin, 15 Ogos 2011

Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa serta Iblis keluar dari Syurga.



Assalamualaikum…wrt, kita sambung semula kisah Ayahnda Adam a.s.

Pada suatu masa Allah s.w.t. memanggil berkumpul semua malaikat untuk sujud kepada Adam a.s., yang mana sujud kepadanya bukanlah sujud untuk menyembah Adam a.s., tapi sujud itu adalah sujud sebagai penghormatan terhadap Adam a.s., sesuai kedudukan Adam a.s. yang akan menjadi Khalifah Tuhan di dunia.

Kemudian semua malaikat sujud, kecuali Iblis sendiri yang tidak mau sujud; seperti yang Allah s.w.t. terangkan berturut-turut dalam surah Al-A’raf dari ayat 11 sampai ayat 25.


Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka pun bersujud kecuali Iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. (11)

Seketika dilihat Iblis tidak mau sujud lalu Tuhan menegurnya :

“Apakah yang mencegah engkau bahwa engkau tidak mau sujud ketika Aku perintah engkau?” (12)

Jawab Iblis : “Saya lebih bagus dari dia. Kerana Tuhan jadikan saya dari api, sedang Tuhan jadikan dia dari tanah.”(12)


Begitulah jawab Iblis dengan sombong. Sudah barang tentu jawapan demikian, tidak sepantasnya diucapkan di hadapan Tuhan, apalagi perintah itu datang dari Tuhan. Sudah selayaknya sebagai makhluk Allah s.w.t., hendaknya ia tidak keberatan untuk melakukan perintah itu. Akan tetapi kerana kesombongannya itu ia berbuat demikian, berani membantah Tuhan.

Kemudian Tuhan berfirman : “Keluarlah engkau dari Syurga! Tidak pantas engkau begitu sombong di Syurga ini. Keluarlah engkau, betul-betul engkau menjadi orang yang hina.” (13)

Kata Iblis : “Cubalah beri tempoh untuk saya sampai hari dibangkitkan (Hari Kiamat).” (14)


Jawab Tuhan : “Sebetulnya engkau termasuk mereka yang yang diberi waktu (sampai hari kemudian)” (15)


Rupanya Iblis sudah menjadi nekat, setelah diberi waktu yang cukup lama sampai kiamat, bukan berfikir mau bertaubat atau minta maaf atas kata-katanya yang sudah terlanjur, malah semakin mengeluarkan ancaman terhadap Ayahnda Adam a.s. dan keturunannya.

Berkata Iblis : “Dari lantaran engkau telah sesatkan diri saya, pasti saya akan halangi mereka dari jalan Engkau yang lurus.” (16)


Kemudian Iblis berkata lagi ; “Pasti akan saya datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang, dari samping kanan dan dari samping kiri mereka. Dan engkau tidak dapati mereka yang banyak bersyukur (berterima kasih).” (17)

Jawab Tuhan : “Keluarlah kamu dari Syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya.” (18)

Demikianlah peristiwa Iblis yang tidak mau sujud kepada Adam a.s., dan akhirnya diusir dari Syurga.


Setelah Iblis melangkah keluar dari Syurga menuju ke neraka dengan lagak sombongnya sambil bersuil-siulan menunjuk sikap takabburnya.

Lalu Allah berfirman kepada Adam a.s. dan Hawa : “Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di Syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim.” (19)


Semakin membara kedengkian Iblis apabila mendengar firman Allah s.w.t. kepada Adam a.s. dan isterinya. Mulailah Iblis berpikir merancang tipu daya jahatnya terhadap Adam a.s. Semasa Adam a.s. dan Hawa bersenang-senang hidup di dalam Syurga lalu datanglah Iblis yakni Syaitan kepada Adam a.s. dan Hawa untuk menyuntik racun kemaksiatan dan menjalankan rencana tipu daya jahat Iblis laknatullah.

Maka syaitan membisikkan pikiran jahatnya kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka yaitu auratnya, (20)



dan syaitan berkata : “Tuhan kamu tidak melarangmu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam Syurga).” (20)

Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (21)


Sebetulnya buah Khuldi itu adalah Cuma kata-kata kiasan saja. Sesungguhnya semua buah tidak ada yang tinggal tetap kekal pada tangkainya. Pada suatu saat ia pasti lepas atau gugur dari tangkainya. Kecuali buah yang ada pada badan manusia. Itulah kata buah Khuldi. Begitulah pendapat ulama’ di dalam tafsir Al-Fairuz Zabadi.

Jadi yang dilarang oleh Allah s.w.t. di dalam Syurga bukanlah memakan buah pohon biasa. Tetapi dilarang memakan buah yang “KEKAL.” Cuba perhatikan ayat seterusnya.

Maka syaitan membujuk keduanya (untuk merasai buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasakan batang pohon itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya (kemaluan), dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun Syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka : “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari mendekati pohon itu dan Aku katakan kepadamu : Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?” (22)

Maka dalam ayat ini jelas dan terang Allah s.w.t. mengatakan “Dzaaqosy-syajarota.” Artinya merasakan batang pohon, dan bukan dikatakan “Dzaaqots-tsamarota.” Dalam pengertian bukan buah itu dimakan, cuma dirasakan oleh tubuh.

Jadi kesimpulannya, adalah Adam a.s dilarang bersetubuh dengan Hawa. Kerana di Syurga itu bukan tempat melahirkan anak. Tempat untuk melahirkan anak adalah di dunia. Sudah jelas Allah s.w.t. jadikan manusia lelaki dan perempuan untuk melahirkan keturunan.

Yang menjadi persoalan bagi Adam a.s., adalah bukan persetubuhannya, akan tetapi mengapa bujukan syaitan itu diturutnya. Padahal sebelumnya Allah s.w.t. telah berpesan dengan jelas “Walaa taqrobaa hadzihisy-syajaroh.” Artinya : “Jangan kamu berdua cuba mendekati pohon ini.” Tetapi pujukan atau ajakan syaitan yang diturutinya, bukan larangan Allah s.w.t. diperhatikan. Hanya di sini letak kesalahan.


Berbeza dengan sikap Iblis yang sombong dan takabbur, sebaliknya dengan sikap merendah diri dan insaf Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa segera sedar dan memohon ampun kepada Allah s.w.t. atas ketelanjuran yang dilakukan.

Keduanya berkata : “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.” (23)

Begitulah selayaknya budi pekerti Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa yang perlu dicontohi dan ditauladani oleh kita yang mengaku sebagai anak cucu Ayahnda Adam a.s. dalam menjalani kehidupan di dunia ini semasa berhubung dengan sesiapa sahaja, apatah lagi ketika berhadapan dan berdoa memohon ampun kepada Allah s.w.t.


Maka Allah s.w.t. berfirman : “Turunlah kamu sekalian (Adam a.s., Hawa, dan Iblis syaitan), sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.(24) “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu kamu akan dibangkitkan”.(25)


Memang Adam a.s. dan Hawa serta malaikat sudah tahu termasuk Iblis juga bahwa dia pada suatu ketika harus turun ke bumi, kerana Adam a.s. akan menjadi khalifah. Cuba bila? Hanya Allah s.w.t. yang mengetahui.

Oleh sebab itu, ketika Iblis membangkang perintah Allah s.w.t. lantaran tidak mau sujud pada Adam a.s. lalu dia dipecat dari jawatannya sebagai Imam Al-Muqorrabuun, dan diusir dari Syurga . Kemudian secara tipu daya mendatangi Adam a.s. dan Hawa dan memperdayai keduanya jadi durhaka kepada Allah s.w.t.

Kemudian ternyata Adam a.s. dan Hawa terkena bujukan syaitan, maka keduanya pun mandapat hukuman, harus meninggalkan Syurga itu, dan ketika itu keduanya diturunkan ke bumi. Wallahu’alam.


Firman Allah s.w.t. : “Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagai mana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang yang tidak beriman.”       (Al-Quran surah Al-A’raaf ayat 27)


Pertarungan Hati

Tika waktu berlalu pergi
Angin bayu memukul hati
Apakah gerangan maknanya ini
Hingga lamunanku dibawa pergi.

Oh waktu…
Hadirnya kini membawa erti
Hamparan terbentang medan perjuangan
Perjuangan bertemu antara hati
Demi menguji hakikat keimanan
Yakinkah daku pada pertarungan
Mungkinku patah atau megah
Waktunya ini perluku tempuh
Bersama kekuatan dan pasrah.

Diriku ini…
Tiada memiliki kekuatan itu
Hanya keyakinan menebal kini
Harapan bulat kepada yang berkuasa
Memohon kekuatan dari Yang Esa.

Madah Anaknda Bertuah.


Khamis, 11 Ogos 2011

Asal-usul Empat Unsur Kejadian Tubuh Manusia.



Assalamu'alaikum..wrt


Riwayat bermula ta’kala Nur Muhammad (akan dibincang pada artikel yang lain) datang berkunjung kepada empat unsur, yaitu ; tanah, air, api, dan angin atas perintah Tuhan Yang Maha Esa.

Pertama-tama Nur Muhammad datang mengunjungi angin. Dikala itu dilihat angin sedang bermegah-megah bertiup berputar-putar. Setelah mendengar Nur Muhammad memberi salam lalu angin berhenti dan membalas salamnya.


Kata Nur Muhammad : “Hai angin, jika engkau sadar dan mengetahui kadar derajat dirimu, niscaya engkau tidak bermegah-megah secara demikian itu. Tahukah engkau kerendahan dirimu?”

Jawab angin dengan rasa terkejut : “Tidak.Aku merasa puas dengan diriku.”

Kata Nur Muhammad : “Tahukah engkau hai angin, meskipun engkau mempunyai tenaga yang cukup besar dan mempunyai kekuatan yang luar biasa, akan tetapi engkau pada suatu ketika akan dapat diperintah oleh manusia dan engkau akan melayani kehendak manusia.”

Kata angin : “Jika begitu, engkau makhluk yang tiada cacat celanya dan mempunyai martabat yang tinggi.”

Jawab Nur Muhammad : “Tidak, hai angin. Aku adalah makhluk Tuhan yang tidak sunyi daripada kesalahan. Hanya Allah Tuhan Yang Maha Suci daripada sifat kerendahan dan kekurangan.”

Kemudian Nur Muhammad pergi mengunjungi api. Dilihat api sedang berkobar menyala-nyala dengan dahsyatnya. Maka setelah mendengar Nur Muhammad mengucap salam lalu api berhenti serta menjawab salamnya.


Kata Nur Muhammad : “Mengapa engkau membanggakan dirimu dengan kukuatanmu, apakah engkau tidak tahu, bahwa suatu ketika kekuatanmu yang begitu luar biasa dan tenagamu yang begitu dahsyat akan digunakan untuk keperluan hidup manusia.”

Mendengar kata Nur Muhammad demikian, terkejut api kerana ada lagi makhluk yang lebih kuat daripadanya. Kata api kemudian : “Kalau begitu, beruntunglah engkau. Rupanya engkau makhluk yang mulia di sisi Tuhan.”

Nur Muhammad menjawab : “Tidak, aku adalah makhluk ciptaan Tuhan. Hanya Dialah Yang Maha Mulia dan Maha Besar yang patut mendapat pujian dari makhluknya.”

Kemudian Nur Muhammad datang mengunjungi air. Dilihatnya air sedang memuaskan dirinya diperlihatkan tenaganya dan kekuatannya. Mendengar Nur Muhammad mengucapkan salam lalu air berhenti dan membalas salamnya.

Kata Nur Muhammad : “Hai air, tahukah engkau akan kekurangan dirimu?”

“Tidak” jawab air dengan terkejut.

Kata Nur Muhammad : “Tahukah engkau pada suatu ketika, pada saat yang sangat lama, engkau akan digunakan tenagamu untuk kepentingan hidup manusia.”

Kata air : “Jika demikian, engkaulah makhluk yang mulia.”

Jawab Nur Muhammad : “Tidak, aku tidak lebih hanya sebagai makhluk Allah. Hanya Allah yang patut menerima pujian dan sanjungan dari makhlukNya.”

Kemudian Nur Muhammad pergi mengunjungi tanah. Dilihatnya tanah tenang-tenang saja tidak nampak sifat sombong dan congkak. Ia membalas salam dengan hormat ketika Nur Muhammad mengucap salam.


Kata Nur Muhammad : “Akulah Nur Muhammad yang kelak akan menjadi kekasih Tuhan Rabbul ‘Alamin. Di antara keempat-empat unsur makhluk Tuhan, hanya engkaulah yang mempunyai sifat tawaddhu’ merendahkan diri.”

Kemudian Nur Muhammad kembali ke hadirat Tuhan melaporkan kunjungannya kepada keempat-empat unsur makhluk Tuhan itu.

Firman Allah s.w.t. : “Semuanya sudah aku ketahui. Oleh kerana itu Aku bermaksud akan menjadikan tubuh Adam dari tanah dan akan aku campurkan pula tiga macam unsur itu. Yaitu air, angin, dan api.”


Dengan keterangan riwayat di atas, kita sekarang akan membahas empat unsur itu yang ada pada manusia. Ia akan menjadi bahan pelengkap dalam tubuh manusia. Jika kurang salah satu daripadanya, maka tiadalah jadi sempurna kejadian manusia.

1.      Amarah dari unsur api.
2.      Kemauan dari unsur angin.
3.      Cita-cita dari unsur air.
4.      Sabar dari unsur tanah.

Untuk menyelidiki lebih lanjut dapat dibuktikan secara objektif pada manusia adanya.

1.      Telinga dari unsur api.
2.      Mata dari unsur air.
3.      Hidung dari unsur angin.
4.      Mulut dari unsur tanah.



Telinga adalah unsur api.


Telinga dari unsur api, kerananya orang mudah tersinggung perasaannya lantaran mendengar cemuhan, celaan, makian dan sindiran. Orang lekas menjadi marah jika kena sindiran dan hasutan, umpatan dan kata-kata yang menyakitkan hati.

Sebaliknya orang menjadi lembut hatinya, berkurang amarahnya, jika mendengar kata-kata yang baik, sopan, merendah dan menyenangkan. Api akan menjadi padam bila disiram air.

Mata adalah unsur air.


Air adalah sifatnya adil. Air dapat dibuat ukuran, misalnya tukang kayu atau tukang batu untuk mendirikan rumah biasanya menggunakan “waterpas” yang menjadi ukuran, miring atau datar.

Bukankah dengan melihat sinar mata seseorang dapat kita mengetahui orang itu membenci atau menyintai kita. Dapat kita meneka seorang wanita, benci atau cinta setuju atau tidak dari sinar matanya. Dapat kita memperhatikan sinar mata orang jahat atau orang baik dari sinar matanya.

Suatu pengaduan dan laporan tidak dapat diterima begitu saja, jika belum dapat dibuktikan dan dilihat mata. Tidak dapat diakui sah keterangan atau pengakuan seseorang jika belum disaksikan oleh saksi mata. Mengapa? Kerana mata itu unsur air.

Hidung adalah unsur angin.


Ia adalah alat penciuman. Alat penunjuk adanya bau-bauan. Dengannya orang jadi mengetahui adanya bau wangi, bau busuk, hanyir, tengik dan sebagainya.

Udara adalah sebagian daripada angin yang tidak bergerak. Dan udara dapat menyebarkan bau-bauan, dan kemudian ditangkap oleh hidung, lantaran hidung ini adalah unsur angin.

Mulut adalah unsur tanah.

Mulut adalah sama sifatnya dengan tanah. Ia selalu menerima apa saja yang datang kepadanya, dan tidak ditolaknya. Cuba perhatikan. Tiap-tiap makhluk yang mati; manusia, binatang, daun-daunan, kayu-kayuan, bila jatuh di tanah apalagi dipendam di dalam tanah, diterima oleh tanah, dan lama-lama menjadi tanah.

Demikian sifat mulut manusia. Sejak celik matanya, dari pagi sampai petang, sampai ia masuk tidur, cubalah perhatikan berapa macam benda yang masuk di mulutnya; nasi, ikan, daging, sayu-sayuran, air kopi, air teh, asap rokok dan sebagainya ini menunjukkan bukti bahwa mulut adalah unsur tanah.


Itulah keempat-empat unsur tadi yang menjadi bahan pelengkap bagi tubuh manusia, dan andaikata kurang salah satu daripadanya, bererti tidak sempurna lagi keadaan manusia.

Sebagaimana kita ketahui bahwa tanah itu adalah tempat bercucuk tanam. Bertanam padi, menanam cabai dan sebagainya. Jika orang bertanam benih padi maka yang tumbuh sudah tentu pokok padi, bila orang menanam benih cabai maka yang akan tumbuh pokok cabai. Dan belum ada kejadian orang menanam benih bawang, lalu jadi tumbuh pokok cabai dan sebaliknya.
Demikian pula mulut manusia, jika digunakan untuk menyebar kebaikan di tengah manusia, maka kebaikan yang akan tumbuh di tengah-tengah masyarakat manusia. Dan andaikata jika disebarkan fitnah dan hasutan di tengah-tengah manusia, maka kekacauan dan keonaran yang akan tumbuh tersebar sebagaimana pepatah arab mengatakan : “Mendapat bahaya seseorang dari kerana lidah. Akan naik derajat seseorang dari kerana tutur katanya yang bagus. Misalnya seorang peniaga, perniagaannya jadi laris dan cepat maju kerana propagandanya.”

Pepatah Melayu pula ada mengatakan: “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa” dan “Yang gurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.”

Demikianlah keterangan empat unsur sebagai bahan pelengkap diri manusia. Semoga dengan keterangan ini akan memberi sedikit sebanyak pengajaran dan faedah untuk diri hamba, tuan-tuan hamba, saudara dan saudari sekalian. Wallahu’alam.

Firman Allah Ta’ala dalam hadis Qudsi : “Hai anak Adam, memadailah dengan yang sedikit, supaya kayalah engkau, dan tinggal olehmu dengki supaya senanglah hatimu, dan jauh olehmu akan segala yang haram supaya ikhlas agamamu, dan barangsiapa meninggal akan mengumpat nescaya zahirlah kasih untuknya, dan barangsiapa menjauhkan dirinya daripada semua manusia nescaya sejahteralah ia dari segala fitnahnya. Dan barangsiapa yang sedikitlah perkataannya nescaya sempurnalah akalnya. Dan siapa yang redha dengan barang yang sedikit nescaya percayalah ia kepada Allah s.w.t.”