Ayahnda

Ayahnda

Ahad, 29 September 2013

13 kali Salman al-Farsi bertanya soalan : “Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?”


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Ahad 29 September 2013 Masihi bersamaan 23 Zulkaedah 1434 Hijrah bersempena musim haji tahun ini dan genap setahun (tahun Masihi) Ayahnda Syeikh Mahmud al Majzub kembali kerahmatullah serta genapnya setahun Ayahnda bertugas di alam kerohanian sepenuhnya. 

Pada kali ini hamba yang banyak dosa dan yang serba lemah lagi daif ini menukilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas tentang pertanyaan Salman al Farsi  kepada Baginda Rasulullah s.a.w. mengenai peristiwa akhir zaman. Semoga nukilan kali ini menjadi pengajaran dan pedoman untuk hamba dan saudara saudari yang dihormati sekalian.

Allahyarham Ayahnda Syeikh Mahmud al Majzub al Kedahi sentiasa dikenang dan ilmu yang disampaikannya akan sentiasa diamalkan, insyaAllah.

Ibnu Abbas r.a. menceritakan, ketika Haji Wada’, Rasulullah s.a.w. memegang pintu Kaabah, kemudian menghadapkan wajahnya kepada orang ramai. Lalu berkata kepada mereka :

“Wahai sekalian orang Islam, antara tanda-tanda kiamat ialah solat tidak lagi didirikan, kehendak syahwat diikuti, para pemimpin mengkhianati dan para menteri pula melakukan perbuatan fasik.”

Tiba-tiba, Salman al-Farsi r.a. bangun ke arah Baginda s.a.w. dan berkata, “Demi ayah dan ibuku sebagai tebusan wahai Rasulullah, apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?”(1)

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu kemungkaran dianggap sebagai perbuatan yang baik, sedangkan perbuatan yang baik dianggap sebagai kemungkaran.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (2) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu hati orang Islam larut di dalam badannya seperti garam larut di dalam air. Ini kerana, dia melihat kemungkaran tetapi tidak sanggup mengubahnya.”

Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Anwar Ibrahim menziarahi Ayahnda sekitar tahun 2008


“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (3) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu seorang pengkhianat dipercayai, sedangkan orang yang amanah dianggap pengkhianat. Pendusta dianggap seorang yang jujur, sedangkan orang yang jujur dianggap sebagai pendusta.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (4) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Orang paling mulia ialah orang beriman  yang berjalan di tengah golongan manusia dalam keadaan takut, sekiranya dia berbicara mereka akan memakannya, dan jika dia tidak berbicara, dia akan mati kerana menahan kemarahan di dalam dirinya. Wahai Salman, satu bangsa itu tidak akan mulia sekiranya golongan yang kuat memakan yang lemah.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (5) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu, hujan jarang turun, anak-anak  sangat dibenci, orang hina berada di mana-mana dan orang mulia pula sukar ditemui.”



“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (6) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu orang kaya disanjung tinggi, agama dijual dengan dunia, kesenangan dunia dicari melalui amalan akhirat. Lelaki dan lelaki  menjalinkan hubungan (homosex) dan wanita juga mengadakan hubungan bersama wanita (lesbian). Mereka adalah sebahagian umat saya yang mendapat laknat Allah.

Wahai Salman. Ketika itu, umat saya disusuli oleh bangsa lain yang tubuh mereka manusia, tetapi hati mereka adalah hati syaitan. Sekiranya umat saya bersuara, mereka dibunuh. Dan sekiranya diam, darah mereka dihalalkan. Mereka tidak menyayangi anak kecil dan tidak menghormati orang tua.

Alangkah buruk perbuatan mereka. Ahli keluarga dikasari. Hukum mereka boleh dibicarakan (hokum hakam dipermainkan). Wanita diangkat menjadi pemimpin. Mereka meminta pendapat daripada kanak-kanak. Anak kecil dipuja. Mempunyai ramai tentera. Orang lelaki menggunakan emas sebagai perhiasan dan mereka juga mengamalkan zina. Ramai penyanyi wanita muncul. Al-Quran dilagukan bacaannya. Orang hina lebih kerap disuruh bercakap.”

Salman r.a. berkata, “Demi ayah dan ibu saya sebagai tebusan wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan orang hina lebih kerap disuruh bercakap?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Dia diminta membicarakan masalah secara umum, yang sebelumnya tidak pernah dibicarakan.”



“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (7) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, masjid-masjid dihiasi dengan beraneka perhiasan seperti gereja dan biara yang dihiasi dengan pelbagai hiasan. Mushaf al-Quran dihiasi dengan emas, mimbar-mimbar dibuat dengan begitu lebar. Terdapat banyak saf jemaah, tetapi hati manusia saling berjauhan. Perkataan mereka juga pelbagai macam. Siapa yang mendapat kurniaan, dia bersyukur. Sedangkan yang tidak beroleh apa-apa menjadi kufur.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (8) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, akan datang umat saya yang menjadi tawanan-tawanan dari timur dan barat. Orang yang lemah akan binasa dan mendapat kecelakaan dari Allah. Sekiranya bercakap, mereka akan dibunuh, tetapi sekiranya diam, mereka tetap dibunuh. Mati dalam ketaatan kepada Allah lebih baik daripada hidup dalam kedurhakaan kepada Allah.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (9) Salman r.a. bertanya lagi.



Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, isteri bersekutu dengan suami dalam urusan suami (Isteri juga melakukan kerja-kerja suami). Seorang anak menderhakai bapanya tetapi berbuat baik terhadap sahabatnya. Mereka memakai kulit biri-biri di atas hati serigala (peribahasa arab). Ulama mereka lebih buruk daripada bangkai (ulama pada waktu itu sangat jahat).”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (10) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, ibadah mereka hanya dengan membaca lafaz-lafaz yang tidak mereka fahami kandungannya (tidak diketahui maknanya dan tidak mengamalkannya). Mereka disebut sebagai orang yang kotor oleh kerajaan langit dan bumi.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (11) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, kitab Allah (Al-Quran) dijadikan nyanyian. Kitab Allah diletakkan pada punggung mereka (dilupakan). Mereka tidak menegakkan hukum yang ditetapkan Allah dan mereka mematikan sunnah saya. Mereka menghidupkan amalan bida'ah. Tidak menyuruh orang lain berbuat baik dan tidak menghalang kemungkaran. Ketika itu, anak-anak kecil melamar seperti melamar wanita. Pasar-pasar makin banyak.”



“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (12) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Sekiranya masing-masing berkata, ‘Aku tidak menjual dan aku tidak membeli (tiada lagi akad jual beli dilafazkan).’ Sedangkan tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah. Pada masa tersebut, orang yang berkuasa adalah orang jahat yang merampas hak orang ramai dan menakut-nakutkan mereka. Engkau akan melihat ramai orang menggeletar ketakutan.

Ketika itu, ibadah haji dibesar-besarkan. Orang terkenal (dan kaya) menunaikan haji kerana hawa nafsu. Golongan pertengahan pula kerana mahu berniaga. Orang miskin pula menunaikan haji kerana mahu berbangga dan mendapat gelaran.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” (13) Salman r.a. bertanya lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Benar wahai Salman.”

(Muhyiddin Al-Araby, Muhadharat Al-Abrer dan An-Nabhany, Hujjatullah Alal-Alamin)


Segala pujian hanya untuk Allah yang Maha berkuasa lagi Maha Mengetahui segalanya...


Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosaku, dosa kedua orang tuaku, dosa kedua mertuaku, dosa nenek moyangku, dosa isteri/suami dan anak cucuku, dosa guruku, dosa ustaz dan ustazahku, dosa syeikhku, dosa maulanaku, dosa saudaraku, dosa sahabatku, dosa jiranku, dosa orang kampungku, dosa kaum muslimin dan muslimat seluruh alam yang masih hidup mahupun yang telah mati.

Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosa besar kami, dosa kecil kami, dosa yang kami sengaja dan tak sengaja, dosa yang kami buat terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, dosa yang kami sedar atau tak sedar.

Ya Allah Ya Tuhanku, limpahkan nur hidayat dan taufiq-Mu kepada kami dan seluruh ummat Nabi Muhammad s.a.w. di seluruh alam ini supaya kami dan seluruh ummat dapat mentaati segala perintahMu dan meninggalkan segala laranganMu dengan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. 

Perbaikilah dan sempurnakanlah iman, amal, mu'amalat, mu'asyarat dan akhlaqiat kami. Hidupkanlah masjid kami dan masjid seluruh alam dengan amalan dakwah, ta'alim ta'alum, ibadah dan khidmat seperti amalan masjid Nabawi di zaman Rasulullah s.a.w.

Jadikanlah kampung kami dan kampung umat seluruh alam seperti kampung Madinah al Munawarah di zaman Rasulullah s.a.w. Jadikanlah rumah kami dan rumah umat Islam seluruh alam seperti rumah sahabat di zaman Rasulullah s.a.w. Jadikanlah diri kami dan diri setiap umat Islam seluruh alam mempunyai sifat seperti sahabat Rasulullah s.a.w. yakni Hakikat dua kalimat Syahadah, Hakikat Solah yg khusyuk dan khuduq, Hakikat Ilmu, Hakikat Zikir, Hakikat Ikramulmuslimin, Hakikat Ikhlas niat, dan Hakikat Berkorban diri juga harta untuk agama Allah Ta'ala.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. serta selawat dan salam kepada ahli keluarga dan para sahabat baginda s.a.w.
Amin Ya Rabbal'alamin.

Sekian wassalam....

Bersama sahabat karib, Jaafar.
oleh
Amirrullatif 
di kampung Sungai Baru Utan Aji, Perlis.

Jumaat, 6 September 2013

Kedatangan Yang Dinantikan


Assalammu'alaikum...wrth. Hari ini Jumaat 06/09/2013M bersamaan 30 Syawal 1434H, sempena penghulu segala hari, hamba nukilkan beberapa khutbah Baginda Rasulullah s.a.w. tentang kedatangan 3 insan yang ditunggu-tunggu di akhir zaman ini untuk renungan diri hamba dan saudara saudari seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w.



Kedatangan Imam yang Dinantikan.

Abu Umamah r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah kepada mereka dan menyebutkan masalah Dajjal. Rasulullah s.a.w. bersabda,

Lalu Madinah dibersihkan dari hal-hal kotor sebagaimana tungku api yang membersihkan besi dari karat. Hari itu disebut yaumul-khalash.

Ummu Syarik bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah orang Arab pada masa itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ketika itu jumlah mereka hanya sedikit dan kebanyakan mereka berada di Baitul-Maqdis. Imam mereka adalah al-Mahdi, seorang lelaki yang soleh. Ketika imam mereka, al-Mahdi maju ke hadapan bagi mengimami solat subuh, tiba-tiba Isa putera Maryam turun tepat pada waktu solat subuh. Lalu imam itu mundur secara spontan agar Nabi Isa dapat maju ke depan. Isa meletakkan tangan di bahu al-Mahdi dan berkata, “Maju ke hadapan dan teruskan solat, kerana solat ini didirikan bagi kamu.”

Lalu Nabi Isa pun solat bersama imam mereka.”


Ibnu Mas’ud r.a. menyatakan, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

Sekiranya kehidupan dunia hanya berbaki satu malam, tentu Allah Ta’ala akan memanjangkan malam itu, hingga seseorang berkuasa terhadap anggota keluargaku, Dia memasukkan namanya ke dalam namaku, memasukkan nama ayahnya ke dalam nama ayahku. Dia mengisi dunia dengan keadilan dan persamaan, sebagaimana sebelumnya mengisi dunia dengan kezaliman. Dia membahagikan harta dengan adil, menjadikan orang kaya ada di dalam hati umat, al-Mahdi hidup selama tujuh atau sembilan tahun, kemudian tidak ada lagi kebaikan dalam hidup setelah al-Mahdi.”

Ibnu Mas’ud r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Ada berita gembira bagi kalian tentang kedatangan al-Mahdi, seorang lelaki dari umatku yang berasal dari Quraisy, yang muncul ketika manusia sedang berselisih dan bergaduh, lalu dia memenuhi dunia ini dengan keadilan, sebagaimana dunia itu sebelumnya dipenuhi dengan penyelewengan dan kezaliman. Setiap penghuni langit dan penghuni bumi redha kepadanya. Dia membahagikan harta secara saksama di antara manusia, memenuhi hati umat Muhammad dengan kekayaan dan mencipta keadilan di tengah mereka, hingga dia menyuruh seorang penyeru untuk berseru,

Siapa pun yang mempunyai keperluan, hendaklah menemui saya.’

Ternyata yang menemuinya hanya seorang saja, yang datang untuk meminta-minta. Dia berkata kepadanya orang itu, ‘Temuilah seorang pelayan, nescaya dia akan memberikannya.’

Orang itu lalu menemui pelayan yang dimaksudkan dan berkata, ‘Saya adalah utusan al-mahdi kepadamu agar engkau memberikan harta kepadaku.’ Pelayan itu memberinya harta hingga dia tidak mampu membawanya. Maka dia hanya mengambil harta menurut kemampuan membawanya, lalu dia beranjak pergi. Tetapi kemudian orang ini menyesal dan berkata, ‘Aku adalah umat Muhammad yang paling rakus. Setiap orang memiliki harta ini, lalu orang lain meninggalkannya.’ Maka dia meninggalkan harta itu dan berkata, ‘Kami tidak mahu menerima sesuatu pun yang diberikan kepada kami.’

Al-Mahdi hidup selama enam atau tujuh atau Sembilan tahun, dan tidak ada kebaikan dalam hidup sepeninggalannya.”
(al-Jawab Al-Muqni’. Al-Imam Muhammad Asy-Syanqaithy)


Intisari Khutbah
  • Rasulullah s.a.w. memberikan berita gembira kepada umatnya mengenai kedatangan seorang pemimpin yang soleh dan adil di akhir zaman nanti.
  • Madinah akan dibersihkan daripada orang munafik dan kafir pada hari yang dikenali sebagai yaumul-khalash.
  • Ketika kemunculan Dajjal, jumlah orang Arab sangat sedikit dan kebanyakannya berada di Baitul-Maqdis.
  • Ketua orang Islam pada masa itu adalah Imam al-Mahdi, seorang lelaki yang soleh.
  • Nabi Isa akan diturunkan kembali ke dunia ketika Imam Mahdi dan pengikutnya mahu mengerjakan solat subuh.
  • Nabi Isa bersolat di belakang Imam Mahdi sebagai penghormatan kepada beliau sebagai seorang ketua.
  • Imam Mahdi adalah seorang pemimpin yang adil dan saksama. Dia menghapuskan kezaliman dan penganiayaan.
  • Imam Mahdi hidup dalam masyarakat Islam selama enam, tujuh atau Sembilan tahun.
  • Selepas pemergian Imam Mahdi, kehidupan masyarakat kembali tidak harmoni.

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.


Kedatangan semula Nabi Isa a.s. ke Dunia.

Abu Hurairah r.a. menceritakan, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,

Demi Tuhan yang diriku ada pada tangan-Nya, begitu cepat putera Maryam turun di tengah kalian sebagai hakim yang adil. Lalu dia menghancurkan salib, membunuh babi, membebaskan jizyah dan harta benda melimpah sehingga tidak seorang pun mahu menerimanya. Sehingga satu sujud lebih berharga daripada dunia dan seisinya.”

Kemudian Abu Hurairah r.a. berkata, “Bacalah sesuka kalian,

Setiap ahli Kitab akan beriman kepadanya (Nabi Isa) sebelum kematiannya. Hari kiamat itu akan menjadi saksi terhadap mereka.”
(Surah an-Nisa’ ayat 159)

(Direkodkan oleh al-Bukhari, Muslim dan at-Tarmizi)

Abu Hurairah r.a. juga melaporkan, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda;

Di antara saya dan Nabi Isa tidak ada seorang nabi dan dia akan turun. Sekiranya kamu melihatnya pasti kamu mengenali dirinya sebagai seorang lelaki berperawakan sederhana. Kulitnya putih kemerah-merahan. Mengenakan dua helai pakaian. Rambutnya seakan-akan meneteskan air sedangkan tidak ada air yang membasahinya. Lalu dia memerangi manusia atas nama Islam, memusnahkan salib, membunuh babi dan membebaskan jizyah. Pada masa itu pula, Allah memusnahkan semua agama kecuali Islam dan membinasakan al-Masih Dajjal. Kemudian, bumi menjadi aman, hingga singa merumput dengan unta, harimau dengan lembu, serigala dengan kambing dan anak-anak bermain-main dengan ular berbisa. Nabi Isa berada di bumi selama empat puluh tahun. Kemudian meninggal dunia dan orang Islam menyembahyangkannya.”

(Direkodkan oleh Abu Daud, al-Hakim dan Ahmad)


Intisari Khutbah
  • Rasulullah s.a.w. menjelaskan peristiwa penting yang akan berlaku pada masa hadapan, iaitu kemunculan semula Nabi Isa yang diangkat ke langit.
  • Nabi Isa a.s. akan menjadi seorang pemimpin manusia yang adil dan saksama.
  • Kemakmuran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. membawa kesejahteraan kepada rakyatnya sehingga digambarkan tiada lagi orang mahu menerima zakat atau sedekah. Ini menunjukkan semua orang mendapat keperluan hidup yang mencukupi.
  • Golongan ahli kitab yang masih beriman dengan ajaran Nabi Isa a.s. yang sebenar, pasti akan beriman dengannya apabila dia muncul semula.
  • Nabi Isa a.s. akan muncul selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup para nabi.
  • Berdasarkan perwatakan yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w., orang beriman pasti dapat mengenali Nabi Isa a.s. apabila ia muncul dalam kalangan mereka.
  • Perwatakan Nabi Isa a.s. yang digambarkan dalam hadis ini;
    • Berperwatakan sederhana
    • Berkulit putih kemerahan
    • Memakai dua helai pakaian
    • Rambutnya bersih hingga kelihatan seperti sentiasa basah

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.



Kedatangan Dajjal dan Cubaannya

Safinah menceritakan, Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah kepada kami. Sabdanya;

Ketahuilah, tidak ada seorang nabi pun sebelum saya melainkan dia memperingatkan umatnya tentang Dajjal. Mata kirinya buta, sedangkan kelopak mata sebelah kanannya tebal sehingga menutupi biji mata. Di antara dua matanya tertulis perkataan ‘kafir’. Dia muncul sambil membawa dua lembah, satu syurga dan yang lain neraka. Nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka. Dia juga disertai dua malaikat yang menyerupai dua nabi di antara beberapa nabi. Sekiranya engkau menghendaki, maka engkau dapat menamai keduanya dengan nama mereka, yang nama bapa mereka adalah sama.

Seorang malaikat berada di sebelah kananya dan seorang lagi berada di sebelah kirinya. Ia adalah cubaan. Dajjal berkata, ‘Bukankah aku tuhan kamu? Bukankah aku dapat menghidupkan dan mematikan?’

Salah seorang malaikat berkata, ‘Kamu berdusta.’ Dan, siapa pun yang mendengar perkataan Dajjal, tentu dia menyertainya, seraya berkata, ‘Kamu benar’.

Hal ini didengar orang ramai, sehingga mereka menyangka malaikat yang berupa nabi itu, membenarkannya. Ia adalah satu cubaan.

Kemudian Dajjal melanjutkan perjalanan hingga tiba di Madinah. Dia tidak diizinkan masuk ke sana. Dia berkata, ‘Ini adalah tempat tinggal orang itu.’ Maksudnya adalah Rasulullah s.a.w. Lalu dia melanjutkan perjalanan hingga sampai di Syam. Lalu Allah membinasakannya di sebuah jalan di atas bukit yang tinggi.”

Seorang sahabat dari kalangan Ansar menceritakan, Rasulullah s.a.w. bernah berdiri di tengah kami, lalu bersabda;

Saya memberikan peringatan kepada kalian tentang al-Masih (Dajjal), yang buta matanya.” Dia berkata, “Saya kira beliau mengucapkan matanya sebelah kiri.” Beliau berkata, “Dia membawa gunung dari roti dan sungai yang mengalir air. Tandanya, dia menetap di bumi selama empat puluh hari, yang kekuasaannya mencapai setiap tempat minum di pinggir jalan. Dia tidak dapat mendatangi empat masjid, iaitu Masjid Kaabah, Masjid Rasulullah, Masjid al-Aqsa dan Thur. meski pun begitu maka ketahuilah Allah itu tidak buta sebelah matanya.”

Ibnu Aun berkata, “Saya pasti beliau juga berkata, “Dia menguasai seorang lelaki, membunuhnya kemudian menghidupkannya, namun dia tidak dapat menguasai yang lainnya.”

(Direkodkan oleh Ahmad dalam Musnad al-Imam Ahmad)


Intisari Khutbah
  • Setiap nabi memberitahu kepada umatnya mengenai kedatangan Dajjal.
  • Mata kiri Dajjal buta, sedangkan kelopak mata kanannya tebal sehingga menutup biji matanya.
  • Di antara dua matanya terdapat tulisan Arab ; ‘kafir’.
  • Dajjal membawa syurga dan neraka yang telah diterbalikkan keduanya. Lalu apa yang didakwa syurga sebenarnya adalah neraka.
  • Dajjal diiringi oleh dua malaikat yang menyerupai wajah dua orang nabi. Seorang malaikat berada di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.
  • Dajjal mendakwa dirinya sebagai tuhan.
  • Malaikat yang bersama dengannya menafikannya, tetapi orang ramai diperdayakan hingga menganggap malaikat yang menyerupai nabi itu menerima ketuhanan Dajjal.
  • Dajjal pergi ke Madinah tetapi tidak dapat memasukinya.
  • Dajjal hidup selama empat puluh hari.
  • Dajjal tidak dapat mendatangi empat masjid; Masjid Kaabah, Masjid Rasulullah, Masjid al-Aqsa dan Thur.
  • Dajjal dapat menghidupkan seorang lelaki.

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.

Video Bonus... Jabbarullah! Jabbarullah!! Jabbarullah!!! (Jabbal Thur?)


Wallahu'alam.
Sekian Wassalam...

Utan Aji Perlis Indera Kayangan.