Ayahnda

Ayahnda

Selasa, 3 Mac 2015

Harut dan Marut


Assalammu'alaikum...wrth, saudara dan saudari yang dihormati sekalian. Hari ini Selasa 03/03/2015 Masihi bersamaan 13 Jamadil Awwal 1436 Hijriah.

“Dan apakah orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah bercantum, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (30)

“Dan telah kami jadikan di bumi ini gunung ganang yang kukuh (pasak) supaya bumi itu tidak goncang bersama mereka dan telah Kami jadikan di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk.” (31)

“Dan Kami jadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara, sedang mereka berpaling daripada segala tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.” (32)

“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Kedua-duanya itu beredar di atas garis edarnya masing-masing.” (33)

“Kami tidak menjadikan hidup kekal bagi seorang manusia pun sebelum kamu; maka jika kamu mati, apakah mereka akan kekal?” (34)

“Tiap-tiap yang berjiwa (bernyawa) akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (35)

Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Anbiya’ ayat : 30 hingga 35.


Harut dan Marut

Prakata oleh Muhammad Yasin Owadally penulis buku Harut & Marut Malaikat Yang Dimurkai.

Walaupun ramai penulis Islam menggelakkan diri untuk menghuraikan hakikat disebalik dua malaikat Allah yang disebut di dalam Al-Quran, saya dengan sepenuh hati mengambil tugas berat ini untuk menuliskan kepada anda kisah yang paling tepat mengenai dua malaikat Harut dan Marut.

Sebenarnya, anda akan mendapat maklumat yang diperlukan mengenai dua malaikat ini melalui penulisan ini. Dua malaikat ini yang sehingga kini masih tergantung kepala ke bawah di dalam sebuah telaga di tempat yang tidak diketahui. Harut dan Marut tinggal di dunia ini pertamanya sebagai ibrah (pengajaran) dan keduanya sebagai ujian kepada manusia. Bakal murid yang mengamalkan sihir mengerumuni mereka untuk belajar, tetapi mereka berdua selalu memberitahu: “Kami hanyalah sebagai ujian, berhati-hatilah! Selalulah ingat Allah dan jangan syirik.” Mereka mengajar manusia segala liku-liku ilmu khusus dan lain-lain sains kesihiran : Astrologi (ilmu Nujum), kimia, kira-mengira, ilmu kesembuhan dan lain-lain.

Siapakah Harut dan Marut? Mengapa mereka rosak (sesat)? Apa yang mereka ajarkan? Di mana mereka sekarang? Persoalan-persoalan ini dan banyak lagi jawapan di dalam penulisan ini. Saya berharap anda sekalian akan dapat memahami kisah yang sebenar mengenai Harut dan Marut. Semoga Allah menerima penulisan ini serta mengampuni pembaca dan penulis.

ALLAH MAHA MENGETAHUI KISAH SEGALA UMAT.



Siapa Harut dan Marut?

Al-Suddi rah. berkata, salah satu perkara mengenai Harut dan Marut ialah kecaman dan penghinaan mereka terhadap manusia di muka bumi dan hukuman ke atas mereka. Jadi mereka pun dihantar ke dunia bersama dengan 10 keinginan hawa nafsu sebagaimana manusia dan mereka berjanji kepada Allah untuk menjalankan keadilan di antara manusia. Mereka dihantar ke Babylon, Dunbawand.

Harut telah dihantar sebagai hakim sedangkan Marut sebagai guru dengan arahan supaya mengelakkan perlakuan dosa-dosa besar, penyembahan berhala, perzinaan, pembunuhan dan minum arak. Mereka hidup seperti manusia dengan makan dan minum. Penghakiman mereka pun dipuji. Mereka mengadilan dan mengajar sehingga petang kemudian mereka naik ke langit dan pada pagi esoknya mereka turun semula.

Mereka meneruskan pengadilan dengan cemerlang sehinggalah seorang wanita datang mengadu tentang suaminya. Namanya ialah Zuhrah (Venus), Baidhakht dalam bahasa Nabaten dan Anahidh dalam bahasa Parsi. Dia sangat cantik. Kecantikan dan daya tarikannya menggoda Harut dan Marut.

Zuhrah tahu bahawa Harut dan Marut ini bukanlah manusia biasa. Dia berfikir bahawa mereka mestilah makhluk lain yang menjelma sebagai manusia yang mempunyai suatu rahsia tertentu. Maka dia pun cuba sedaya upayanya membongkar rahsia mereka dengan menggunakan kecantikan dan tipu dayanya.



Rahsia Harut dan Marut

Harut dan Marut selalu naik ke langit dan turun semula ke tempat tinggal mereka di dunia dengan sekelip mata apabila menyebut nama Allah Yang Maha Agung.

Zuhrah yang tahu sejak awal lagi bahawa dua orang ini adalah makhluk yang luar biasa cuba dengan segala cara yang terbaik untuk mengcungkil rahsia mereka. Dia pun menjemput Harut dan Marut ke rumahnya. Zuhrah menyediakan mereka dengan makanan yang sangat enak dan layanan yang istimewa.

Hasilnya kedua-dua malaikat ini telah terpikat kepada kecantikan Zuhrah. Mereka benar-benar terpikat dengan kecantikannya sehingga salah satunya berkata kepada yang lain, “Bagaimana sekiranya dia menggembirakanku!” Dan yang kedua pun berkata, “Aku mahu berkata yang sama, tetapi aku malu di depanmu.” Yang pertama berkata lagi, “Apakah kamu mahu aku sebutkan itu di depannya?” Yang kedua menjawab, “Ya, tetapi bagaimana Allah Ta’ala akan menghukum kita?” Maka yang pertama berkata lagi, “Kita akan mengharapkan Rahmat Allah.”

Di suatu masa yang lain, apabila Zuhrah datang untuk membawakan aduan terhadap suaminya, mereka berkata kepadanya mengenai dirinya. Zuhrah berkata, “Tidak, sehinggalah kamu memberi kemenangan kepadaku terhadap suamiku.” Maka mereka pun membuat keputusan yang memihak kepada Zuhrah. Dengan ini dia berjanji untuk bertemu dengan mereka. Kedua-dua malaikat ini pun pergilah kepadanya.

Ketika mereka cuba melakukan perbuatan zina dengannya, Zuhrah berkata kepada mereka, “Tidak! Sehinggalah kamu mensyirikkan Allah, minum arak, membunuh seorang dan sujud di depan berhala ini!” Kemudian salah seorangnya berkata, “Kembali kepadanya.” Tetapi Zuhrah berkata, “Tidak sehingga kamu meminum arak.” Mereka pun diberi minum arak. Tarian Zuhrah disertai dengan muzik dicucuk dengan suasana kesyaitanan. Jadi mereka tidak boleh menolaknya. Mereka lupa dengan tujuan perutusan mereka. Mereka telah melakukan beberapa dosa untuk memenangi Zuhrah.

Pada ketika mereka melakukan perzinaan, seorang peminta sedekah lalu dan melihat apa yang sedang berlaku di dalam rumah Zuhrah. Untuk memelihara nama baik mereka, peminta sedekah itu dibunuh. Walau bagaimanapun ketika mereka berkeadaan mabuk mereka pun mendedahkan rahsia besar mereka kepada Zuhrah, yang mana Allah telah kurniakan kepada mereka. Nama Agung Allah Ta’ala. Maka Zuhrah telah mengetahui rahsia yang dia inginkan itu.

Zuhrah yang telah mengetahui akan nama Allah Ta’ala, suatu ketika menyebut nama itu lalu dia hilang daripada permukaan bumi. Dia tidak kelihatan lagi. Allah Ta’ala melupakannya akan perkataan untuk dia turun semula ke bumi. Walau bagaimanapun Allah Ta’ala mengampuninya tetapi dia tidak dibenarkan masuk syurga. Sebaliknya Allah Ta’ala menukar dan menjelmakannya kepada bentuk planet (Bintang) Zuhrah (Venus). Dia tetap begitu sehingga akhir zaman. Zuhrah (Venus) boleh dilihat di angkasa raya pada waktu pagi atau malam.



Iktibar kepada Malaikat yang lain

Ketika Harut dan Marut sedang melakukan dosa akibat kemabukan arak, Allah Ta’ala pun membuka pintu langit dan para malaikat di langit dapat melihat apa yang sedang dilakukan oleh dua malaikat tersebut. Para malaikat di langitpun berkata: “Maha Suci Engkau, Engkau Maha mengetahui.”

Malaikat-malaikat yang lain mengambil iktibar dari kejadian ini sebagai pengajaran dan amaran. Mereka pun berhenti mengecam dan mengutuk manusia. Mereka juga berhenti daripada menganggap diri mereka dapat melakukan lebih baik walaupun diberikan keinginan nafsu syahwat.

Allah Maha Sempurna IlmuNya mengenai kelemahan manusia kerana nafsu dan keinginannya. Tetapi bagaimanapun Dia mahu manusia mencapai maksud yang paling tinggi walaupun manusia menjurus ke arah maksiat. Fikirkanlah betapa sifat tamak dan keinginan-keinginan manusia menariknya melakukan dosa. Tetapi jika selalu ingat kepada Allah, sebenarnya inilah amalan yang terbaik yang perlu dilakukan dan ganjaran baginya ada di dunia ini dan di akhirat tidak terbatas banyaknya.

Sekarang, manusia bukan sahaja menjadi sasaran syaitan. Justeru manusia terpaksa berjuang menghadapi nafsunya sendiri. Betapa tinggi darjat seorang manusia walaupun ia diletakkan dengan semua rintangan dan jerat-jerat ini, lalu menuju ke pintu Jannah.

Seorang penyair sufi pernah berkata: “Dengan penuh gembira aku meluncur mengharungi ombak badai yang ganas, kerana kehidupan tanpa kesukaran (kepayahan, mujahadah) merupakan neraka bagi si berani.”

Semoga Allah Ta’ala menolong kita mencapai tempat (maqam) tujuan kita dengan jayanya dan tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu dan keinginan kita tetapi menjadikan kita penguasa ke atas keinginan-keinginan kita. Semoga Allah Ta’ala memelihara kita daripada pemikiran-pemikiran kesyaitanan.

Aaminn….



Allah mengazab Harut dan Marut

Dua malaikat, Harut dan Marut juga terdedah dan tidak kebal sebagaimana manusia, mereka juga tidak Berjaya keluar daripada jerat dan tipu daya wanita. Sepuluh keinginan nafsu syahwat ini yang Allah berikan kepada mereka seolah-olah seumpama sepuluh syaitan (kejahatan) yang terpaksa mereka berjuang untuk menghapuskannya, tetapi itu bukanlah tugas yang mudah walaupun mereka adalah malaikat.

Mereka tidak tahu sama sekali betapa manusia terpaksa berjuang dan bermujahadah menghadapi desakan dan suruhan kejahatan keinginan hawa nafsunya; betapa manusia kena tegak dan istiqamah seumpama gunung untuk berhadapan dengan angin taufan godaan, bisikan-bisikan jahat dan lain-lainnya.

Harut dan Marut dengan bongkaknya mengatakan mereka boleh buat lebih baik daripada manusia untuk mengekalkan keadilan dan keamanan di muka bumi, tetapi malangnya mereka menjadi mangsa seorang wanita cantik.

Apabila Harut dan Marut kembali deperti sediakala, mereka sedar bahawa mereka telah melanggar batas dan apa yang telah berlaku ke atas mereka. Mereka cuba naik ke langit dengan menyebut Nama Allah Yang Maha Agung tetapi mereka tidak boleh lagi kerana telah dilupakan. Justeru itu, tahulah mereka betapa benarnya firman Allah Ta’ala itu.


Allah berfirman kepada mereka: “Kamu menghina manusia lantaran sifat tabii mereka yang suka membuat kesilapan, sekarang kamu telah lihat betapa dengan diberikan keinginan syahwat sebagaimana mereka, kamu juga tidak ada bezanya melakukan sebagaimana mereka dan semua kezalimannya menjadi milik kamu!”

Harut dan Marut diberi pilihan samada menerima azab di dunia atau azab sengsara yang kekal abadi di neraka. Mereka memilih untuk menebus dosa mereka di dunia ini. Mereka dibelenggu (dirantai) di pergelangan kaki (buku lali) sehingga ke tengkuk dan dimasukkan ke dalam sebuah perigi di Babil. (Juga disebut bahawa Allah telah mengilhamkan Nabi Sulaiman a.s. memberi pilihan kepada dua malaikat akan azab di dunia atau azab di akhirat.- riwayat Ibnu Masud, Ibnu Abbas dan Kaab Al-Ahbar)

Harut dan Marut digantung kedua-dua kaki mereka dalam keadaan azab, sejak itu sehingga ke hari ini. Dikatakan mereka digantung setiap hari pada kaki mereka di antara Magrib dan Isyak. Beginilah azab ke atas mereka sehingga hari kiamat. Mereka akan diampun dan akan dikembalikan kepada keadaan asal mereka sebagai malaikat. 
Inshaa Allah. (menurut Ibnu Abbas – lihat Syarahul Quran oleh Tabari jilid 2, m/s 484)



Guru Sihir yang besar

Harut dan Marut diletakkan di dalam perigi dan mereka mulalah bercakap kepada manusia yang datang untuk belajar, ucapan-ucapan yang diajar oleh Harut dan Marut itulah SIHIR. Kedua-duanya mulalah mengajar manusia ilmu sihir dan mereka adalah guru sihir yang besar.

Harut dan Marut diikat dan dirantai di dalam perigi di bumi Babylon sehinggalah ke hari Kiamat; Dikatakan juga bahawa mereka hanya dilarang naik ke langit tetapi menjadi sebagaimana mereka (malaikat). – Kisah para Anbia oleh Abdullah Al-Kisai, m/s 48.

Di dalam Al-Quran Allah Ta’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 102:


“Dan mereka mengikuti apa (yakni kitab-kitab sihir) yang dibawa oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang kedua-duanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan; ‘Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir’. Maka mereka mempelajari dari kedua-dua malaikat itu apa-apa yang dengan sihir itu mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seseorang pun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat kepadanya dan tidak memberi manafaat. Demi, sesungguhnya mereka telah menyakini bahawa sesiapa yang menukarkannya (Kitab Allah) dengan sihir itu, tidaklah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka, menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.”

Al Rabi bin Anas rah meriwayatkan: “Mereka berkata bahawa orang-orang Yahudi suatu ketika bertanya Nabi Muhammad s.a.w. mengenai perkara-perkara di dalam Taurat, tetapi bagi setiap pertanyaan mereka, Allah Ta’ala turunkan ayat Al-Quran untuk menjawab pertanyaan mereka lalu mematahkan hujah mereka. Apabila mereka lihat begini, lalu mereka berkata: “Orang ini mengetahui lebih banyak daripada apa yang telah diturunkan kepada kita”. Kemudian mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai sihir dan berhujah mengenainya. Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat yang tersebut (Ayat 102 dalam surah Al-Baqarah).

Dan syaitan-syaitan itu pergi kepada sebuah kitab dan menulis di dalamnya mengenai sihir, wahyu dan apa-apa yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala dengannya; kemudian mereka menanamkannya di bawah takhta Nabi Sulaiman a.s., tetapi Nabi Sulaiman a.s. tidak mengetahui tentang perkara tersebut. Apabila Nabi Sulaiman a.s. wafat, mereka gali dan keluarkan kitab sihir itu dan menipu orang ramai dengannya, mereka berkata: “Ini adalah ilmu di mana Sulaiman sembunyikan dan menyakiti orang ramai.”

Maka Nabi Muhammad s.a.w. memberitahu mereka (orang Yahudi) riwayat ini dan mereka meninggalkannya dan kecewa kerana Allah Ta’ala telah membatalkan bukti-bukti (hujah) mereka. (Al Rabi 1647, juga Ibn Zaid 1648, Abu Jaafar Muhammad bin Jarir Al Tabari di dalam Jamiul Bayan dan Tawil Al-Quran jilid 1 m/s 476)


Ibnu Ishaq meriwayatkan: “Apabila syaitan menyedari akan kewafatan Nabi Sulaiman a.s., mereka pun mulalah menulis beberapa bahagian ilmu sihir. Ditulis – Barang siapa hendak mencapai sesuatu ini dan itu, maka lakukanlah demikian dan demikian. Kemudian setelah mereka menyusun berbagai-bagai bentuk sihir, mereka masukkan ke dalam buku dan mengecap dengan cap mohor yang sama bentuknya dengan cap mohor Nabi Sulaiman a.s. Kemudian mereka menulis tajuknya demikian, ‘Ini adalah khazanah ilmu yang Asaf, anak kepada Brakhya, yang soleh menulis untuk Raja Sulaiman’. Kemudian mereka tanam di bawah takhtanya. Kemudian keturunan-keturunan Bani Israil menggalinya, apabila mereka melakukan maksiat dan apabila mereka mendapatinya mereka berkata: ‘Ini pastilah apa yang dilakukan oleh Sulaiman’. Kemudian mereka menyebarkan dengan meluas sihir itu di kalangan manusia. Mereka mengajar dan belajar mengenainya dan yang paling biasa ialah di kalangan orang-orang Yahudi.”

Sebenarnya syaitan adalah kafir bukannya Nabi Sulaiman a.s. Sebahagaian manusia pada zaman tersebut telah diyakini dengan tipu daya syaitan sebagaimana yang telah mereka sebutkan bahawa Nabi Sulaiman a.s. mendapat kekuasaannya menerusi sihir. Malahan orang Yahudi pada zaman Rasulullah s.a.w. percaya Nabi Sulaiman a.s. mengamalkan sihir. Kita telah diberitahu bahawa orang-orang Yahudi Madinah berkata sesame mereka, “Tidakkah kamu kagum dengan Muhammad. Dia mendakwa Sulaiman anak Daud sebagai Nabi! Demi Allah dia seorang ahli sihir.”

Berkenaan dengan itu, Allah Ta’ala menurunkan ayat 102 dalam surah Al-Baqarah mengesahkan imej Nabi Sulaiman a.s. yang sebenarnya dan menunjukkan kepada dunia bahawa Sulaiman a.s. adalah hamba Allah yang percaya kepada Allah, seorang Nabi dan bukannya ahli sihir.

Daripada ayat tersebut juga kita diberitahu bahawa dua malaikat akan mengajar manusia ilmu sihir hanyalah setelah mereka memberi amaran kepada bakal-bakal murid ilmu sihir itu. (Kami hanyalah sebagai ujian, maka lantaran itu percayalah dengan petunjuk Allah).


Walau bagaimanapun bukanlah daripada peristiwa itu sihir mula diamalkan, sebenarnya Firaun telah disebut di dalam Al-Quran mengamalkan sihir dan juga kaum Nabi Nuh a.s. telah menuduhnya mengamalkan sihir. Maka sihir bukanlah baru pada zaman Nabi Sulaiman a.s. walau bagaimanapun berbagai-bagai jenis sihir telah dipelajari oleh manusia untuk membinasakan manusia, tetapi  sihir ini ialah untuk mencerai-beraikan si suami daripada isterinya telah tersebar pada zaman itu bukannya baru hendak bermula. Allah Maha Mengetahui.

Mengenai Harut dan marut kita dapati dalam karya Imam Al-Ghazali kitab Ihya Ulumuddin jilid 3, bab Cinta kepada Dunia m/s 184.

Sebuah hadis yang diriwayatkan di mana Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jaga-jagalah dengan dunia kerana ia adalah sihir yang lebih besar daripada Harut dan Marut.”

Dengan ini sahlah dua malaikat ini pernah mengajar manusia tentang sihir tetapi setelah member amaran berikut: “kami hanyalah ijian, lantaran itu berimanlah dengan petunjuk Allah.”


Wallahu’alam.


Kampung Sungai Baru Utan Aji,
Perlis Indera Kayangan.