Ayahnda

Ayahnda

Isnin, 22 Julai 2013

Pengajaran daripada Ulat Bulu



Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Isnin 22 Julai 2013M bersamaan 13 Ramadhan 1434H sempena bulan Al-Mubarak dan penuh keberkatan ini, marilah sama-sama kita menghayati pengalaman dan pesanan Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub tentang ilmu Kesufian atau Perjalanan Ahlullah (Perjalanan Aulia' seumpama perjalanan seekor Ulat Bulu). Semoga artikel kali ini sedikit sebanyak memberi pengajaran dan pemahaman kepada hamba dan saudara saudari sekalian. InsyaAllah. Selamat berpuasa dan selamat beramal Ibadah. 


Pengalaman Ayahnda.

Pengajaran daripada seekor ulat bulu. Dulu saya selalu ke Masjid (Masjid Batu 5, Sik). Kemudian berlaku “accident” (salah faham) di antara saya dan ahli  masjid. Mereka hendak buat Maulud. Saya syorkan kepada mereka supaya majlis Maulud tahun ini diubah sikit aturcaranya. Saya syorkan supaya majlis jamuan dibuat  di luar masjid tidak di dalam masjid seperti biasa. Mereka tidak setuju dan mereka pun  marah. Saya cakap berpandukan kitab i’aanatutthalibin Jilid 2 dalam bab puasa pada bahagian iktikaf.  Tujuan saya syor begitu supaya boleh menghormati masjid.


Akhirnya mereka sedar kesilapan mereka, kami pun berdamailah. Buatlah majlis pendamaian di dalam  masjid. Semasa majlis itu berjalan, tiba-tiba datanglah seekor ulat bulu, merayap berhenti depan saya.  Pada masa itu Allah s.w.t.  mencampakkan kepada saya dapat memahami bahasa ulat bulu. Boleh kefaham  bahasa ulat bulu? Kamu jangan guna kepala otakkamu! Kalau Allah Ta’ala beri faham apa salahnya.  Bahasa manusia sesama manusia pun kita tidak boleh faham kalau Allah Ta’ala tidak bagi faham.

Ada yang boleh faham bahasa Inggeris, ada yang tidak faham. Ada yang faham bahasa Tamil, ada yang tidak faham. Ulat bulu itu beritahu saya, “Mahmud! Awak macam sayalah. Sudahlah hitam berbulu pulak. Kalau kena orang, orang pun gatal. Semua orang benci. Sekarang lebih baik kita masuk suluk-khalwat  (ulat bulu masuk kepompong). Sampai kita jadi rama-rama dan bila sudah menjadi rama-rama bolehlah kita terbang bebas, badan pun cantik dan ramai orang suka”.


Saya berpengalaman di dalam kerohanian dan di dalam jazbah sudah 33 tahun (1969 – 2002). Takkanlah kamu boleh faham dalam masa 3 minit! Untuk mendapat ilmu ini (kesufian), saya kena habiskan masa selama  33 tahun. Kamu pula hendak dapat dengan sambil-sambilan. Kutip di tepi-tepi jalan. Bagaimana kamu hendak dapat ilmu? Jadi lembulah! Kira nak makan sahaja.

Saya mengajar ilmu para Wali bukannya ilmu tok sami!  Saya menceritakan perjalanan Muqarrabin. Oleh itu janganlah kamu menghukum (membuat andaian) di atas pandangan orang-orang hasanah. Kerana kebaikan orang-orang hasanah adalah kekejian bagi orang muqarrabin.


Wali Allah.

Kenal Allah s.w.t. lebih mudah daripada kenal para wali, kerana mereka Allah s.w.t.  pakaikan dengan sifat kekurangan. Sebagaimana kafir musyrikin tidak kenal Rasulullah s.a.w. (walhal Rasulullah s.a.w., Allah  Ta’ala pakaikan Baginda dengan penuh sifat-sifat kesempurnaan). Hendak kenal wali tanyalah Allah Ta’ala, jangan tanya orang.

Para Aulia’ yang bertugas di muka bumi ini ada seramai lapan ratus lima puluh enam orang (856) dalam satu-satu zaman. (rujuk kitabTanwirul Qulub – Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi)


Batu permata yang tersimpan di dalam bukit pun kalau tidak dikorek dan tidak digali, tetap tersimpan di  dalam bukit sebagai batu permata selama-lamanya. Kalau manusia tidak korek dan prosesnya,  maka manusia tidak akan dapat manfaat daripadanya. Begitu juga kayu balak yang banyak terdapat di  dalam hutan. Kayu jati atau kayu meranti pun, kalau tidak ditebang dan diproses, tidak boleh dibuat kerusi, almari,  perabot, rumah dan lain-lain. Akhirnya kayu balak tersebut mati kemudian reput dan tidak mendatangkan hasil. Begitu jugalah para Aulia’, mereka Allah Ta’ala rahsiakan (sembunyikan)  dari pengetahuan manusia. Kalau manusia tidak mencari mereka (Wali Allah), maka mereka tidak dapatlah manfaat daripadanya.

Selagi dunia ini tidak kiamat, selagi itulah para Aulia’ ada di muka bumi Allah  ini. Semasa Tok Wali hidup tidak mahu mencari. Apabila sudah mati baru tahu (bahawa) dia itu seorang Tok Wali. Hendak buat apa lagi? Dia sudah mati. Dia sudah masuk alam lain. Lepas itu pakat pergi lawat kubur sajalah.


Kerohanian.

Perkara kerohanian tidak boleh difahami dengan akal, nafsu dan ilmu. Jika boleh dengan ilmu, sudah tentu  Imam Ghazali (rah) tidak mengaji dengan Yusuf Nasaji dan Syeikh Abdul Wahab Sya’rani (rah)  tidak mengaji dengan Ali Khawas. Cukuplah mereka ini sebagai contoh.


Dalam perjalanan Ahlullah, selagi belum Mutmainnah dikira orang baru. Walaupun dah 30 tahun ikut tapi belum Mutmainnah dikira masih orang baru. Manusia, ramai yang tidak dapat taufik hidayah sebab ikut nafsu Ammarah kemudian berdoa kepada Tuhan. Sepatutnya kena tinggalkan nafsu dahulu. Allah Ta’ala jadikan nafsu Ammarah supaya kita tinggalkan bukan ikut. Kemerdekaan sebenar ialah apabila bebas daripada belenggu hawa nafsu.

Orang yang dikatakan Dai’e ilallah (Penyeru-pendakwah kejalan Allah) ialah orang (nafsu) Rodhiah ke atas. Mujahadah ialah menundukkan nafsu untuk mengikuti garisan syariat dan thoriq serta meninggalkan keinginan nafsu dalam setiap aspek kehidupan.


Hamba Allah.

Saya berdoa kepada Allah s.w.t. hendak jadi hamba Allah Ta’ala, bukan hendak jadi wali. Saya hendak bawa kamu jadi hamba Allah Ta’ala. Saya tidak ajar kamu melampau (berani dan semangat yang tidak ketahuan). Saya tidak ajar kamu jadi pengecut. Saya ajar kamu jadi hamba Allah Ta’ala yang bertakwa.


Saya hamba Allah s.w.t. macam kamu juga. Saya tidak tahu melainkan apa yang Allah Ta’ala bagitahu. Kalau Dia tidak bagitahu, saya pun tidak tahu. Saya mengajar kamu taat bukannya taksub. Dalam agama ada taat dan tidak ada taksub! Aturcara yang kita buat ini adalah sebahagian yang telah dilakukan oleh para Aulia’ yang besar-besar. Oleh itu janganlah kita taksub.

Saya mengaji (ilmu perjalanan Ahlullah) dengan air mata (banyak menangis). Matlamat saya bukannya batu, kayu (bangunan) dan ramai orang ikut, tetapi saya hendak orang yang bersungguh-sungguh mengikuti garis Syariat dan Thoriq.


Nasihat Ayahnda.

Saya bodoh, sebab itu saya patuh nasihat guru. Kamu semua cerdik sebab itu kamu ingkar susunan guru. Saya ikut cakap guru. Mati, matilah! Saya tidak ikut nafsu. Kalau saya ikut nafsu, samalah macam kamu! Saya berjalan (di dalam perjalanan sufi) tidak kisahkan orang. Jangan kacau orang. Orang kacau kita, tidak mengapa.


Saya hanya boleh nasihat, saya tidak boleh memberi manfaat dan mudarat. Buat ibadat nak fadilat nanti berkulat. Buat nak berkat nanti melekat. Sekiranya apa yang saya anjurkan, sampaikan atau yang saya lakukan ini tidak maufakat dengan garisan Al-Quran dan Sunnah, tolong jangan pakai. Saya menerima setiap kritikan yang membina.

Jika kulit saya kamu salin ketubuhkamu, darah saya kamu tukar ke dalam jasad kamu, daging dan tulang saya kamu pakai sekalipun! Kamu tidak akan dapat sebagaimana saya dapat sekiranya kamu tidak bersungguh-sungguh sebagaimana saya bersungguh-sungguh dengan Allah Ta’ala.

Jalan saya sudah teroka. Saya mahu kamu berjalan sahaja. Saya bukan suruh kamu buat jalan lain. Saya kalungkan mutiara di leher anjing, mudah-mudahan ia manjadi kambing.


Wallahu’alam.

Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang Selangor.