Ayahnda

Ayahnda

Ahad, 31 Mac 2013

Mukjizat dan Karamah


"Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya : "Jadilah" - maka jadilah ia."
Surah Yasin ayat 82.

Assalamu'alaikum...wrt, hari ini AHAD 31/03/2013M bersamaan 19 Jamadil Awal 1434H juga bersamaan 11 Hamal 10,001 tahun PuSaka, hamba nukilkan sebagai renungan dan santapan jiwaku, saudara dan saudari yang dihormati sekalian. Semoga ianya bermanafaat untuk kita semua.

Mukjizat ialah suatu kejadian atau perkara yang mencarik adat atau luar biasa. Kejadian mukjizat adalah kejadian yang diluar hukum tabi'i (natural law) dan melampaui kemampuan fikiran akal manusia untuk memahaminya. Dengan kata lain, kejadian itu menghairankan dan seolah-olah tidak masuk akal.

Ada dua perkataan yang membawa pengertian luar biasa atau mukjizat ini dalam pendapat orang-orang sufi. Patut kita ketahui perbezaan antara kedua-dua perkataan itu meskipun perbezaannya halus sekali.

Perkataan MUKJIZAT bererti perlakuan atau tindakan Allah Ta'ala secara langsung dalam hukum-hukum dan alam tabi'i dan kemanusiaan. Dalam mukjizat tindakan itu bukan diminta oleh manusia dan tidak tidak ada manusia campur tangan dalam kejadian atau perkara luar biasa itu.

Kedua ialah perkataan KARAMAH (keramat). Perkataan ini membawa pengertian bahawa kejadian atau perkara luar biasa itu berlaku melalui manusia. Ini bererti Allah Ta'ala melakukan perkara luar biasa itu melalui alat atau wakil iaitu manusia. Pada zahirnya manusia itu melakukan perkara luar biasa itu tetapi pada hakikatnya adalah Allah Ta'ala jua.

Walau bagaimanapun, dalam kedua-dua hal itu pada hakikatnya adalah kuasa dan izin Allah Ta'ala jua. Allah Ta'ala jua yang bekerja dan bertindak dalam kedua-dua hal itu. Wallahu'alam.


Abdullah Yusuf Ali rah. dalam tafsir Al-Quran ada menulis : "Orang-orang kerohanian dikurnia oleh Allah Ta'ala suatu keistimewaan iaitu mereka diperlihatkan rahsia-rahsia alam kerohanian dan mereka ditunjukkan cara-cara bagaimana mengelakkan diri daripada maksiat dan api neraka. Masing-masing bertanggungjawab atas dirinya sendiri. Kurniaan Allah Ta'ala ini meliputi semua orang tetapi bukan semua orang menerima kurniaan yang sama taraf dan sama darjat.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang orang-orang yang diistimewakan dengan rahsia-rahsia tersebut : "Sesungguhnya Allah ada suatu minuman yang disediakan untuk para Auliya-Nya. Apabila mereka minum minuman itu, mereka menjadi bersih. Apabila mereka bersih, mereka menjadi bijaksana. Apabila mereka bijaksana, mereka terbang ke atas. Apabila mereka naik ke atas, mereka mencapai. Apabila mereka mencapai, mereka bersatu. Apabila mereka bersatu, mereka berpisah. Apabila mereka berpisah, mereka fana (lenyap). Apabila mereka fana, mereka baqa (kekal). Apabila mereka baqa, mereka jadi raja. Kemudian mereka berada dalam Majlis Yang Haqq di Hadrat Allah Yang Maha Tinggi."

Sheikh al-Habib r.a. berkata : "Jika seseorang itu mengetahui rahsia dirinya, pasti dia akan menitiskan air mata pada setiap nafas yang dihembusnya."


Cerita-cerita tentang kehidupan dan pengalaman ahli Sufi penuh dengan perkara dan kejadian yang luar biasa. Ada khabarnya mereka mengembara ke angkasa lepas, menghidupkan orang yang telah mati, menyembuhkan penyakit dan berbagai-bagai lagi. Peristiwa yang paling terkenal ialah Mikraj Nabi Besar Muhammad s.a.w. Dalam mikraj itu Baginda s.a.w. mempelajari banyak rahsia-rahsia Ketuhanan dan berjumpa dengan roh para Nabi, dan Baginda s.a.w. menerima arahan dan ajaran serta petunjuk daripada Allah s.w.t.

Ibnu Arabi r.a., seorang Sufi terkenal yang hidup lapan abad yang lalu dikhabarkan telah mengembara ke bulan dan menulis dengan terperinci tentang rupa permukaan bulan dan suasana di sana. Pada hal para angkasawan Amerika Syarikat hanya baru abad ini sahaja mengenali bulan dan permukaannya.

Adalah diceritakan bahawa Sheikh Jajaluddin Rumi r.a. tatkala berumur 6 tahun telah menghairankan rakan-rakan sepermainannya apabila beliau melompat ke langit dan hilang terus petang hari itu dan khabarnya beliau dibawa mengembara ke gugusan-gugusan bintang di langit tinggi.

Cerita-cerita seperti ini banyak terjadi dan disaksikan oleh orang ramai dan ini tidak dapat dinafikan semata-mata kerana ia mungkin mustahil menurut pendapat sains atau akal biasa.


Cuba sama-sama kita fikirkan tentang gelombang radio. Gelombang radio ini telah wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu lagi tetapi zaman sekarang baru dijumpai, dikenali, diukur dan digunakan oleh manusia. Perkara-perkara ghaib itu melampaui keupayaan akal manusia untuk memahaminya, manusia hanya dapat mengetahuinya jika diizinkan Allah Ta'ala.

Mukjizat memang benar ada terjadi. Orang biasa mungkin hairan takjub melihat kejadian mukjizat itu. Allah Maha Kuasa. Dia boleh melakukan apa sahaja. Tidak ada yang tidak sanggup dibuat-Nya. Semuanya mungkin dan semuanya sanggup dibuat-Nya. Baik perkara luar biasa mahupun perkara biasa boleh dilakukan-Nya. Tetapi sekiranya perkara luar biasa itu terjadi kepada seseorang manusia biasa, maka mungkin menghairankan ramai orang.

Kita ambil misalan daripada kehidupan zaman moden ini. Misalnya, dengan menggunakan telefon, kita boleh menekan 7 atau 8 nombor dan kemudian kita boleh bercakap dengan seseorang yang lain dan di mana sahaja dalam sesuatu bandar. Dengan menambah 2 angka lagi, kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja dalam negeri berlainan. Dengan menambah beberapa nombor lagi, kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh ceruk dunia ini. Dengan menggunakan telefon pintar mudah alih (pelbagai jenama dan jenis sekarang ini) keupayaan telefon itu diperluaskan lagi. Dengan bantuan sistem komputer sekarang ini, seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang rentetan (sequence) nombor yang betul, seseorang itu boleh memindahkan berjuta-juta ringgit dari satu akaun bank ke satu akaun bank yang lain walaupun beribu-ribu batu jauhnya. Tetapi jika anda kemukakan nombor 15 angka yang sama kepada seorang yang lain yang tidak memiliki kod penyampaian (access code) yang betul, tiada apa-apa yang akan terjadi. Wallahu'alam.


Dalam satu pengertian, apa yang seseorang Sufi buat untuk mendapatkan keramat, adalah seumpama kerja-kerja komputer itu juga. Allah Ta'ala berfirman bahawa Al-Quran itu adalah petunjuk, dan tidak ada satu perkara pun tertinggal, semuanya ada terkandung di dalam Al-Quran. Ini adalah satu kebenaran walaupun ada orang yang menafikannya kerana Al-Quran itu adalah datang dari Allah Yang Maha Benar.

Ada Sheikh Sufi yang berkata bahawa setiap ayat Al-Quran itu sekurang-kurangnya mengandungi 18,000 makna (maksud). Sudah tentu fikiran manusia tidak boleh memuatkan 18,000 makna dalam satu ayat. Apa yang dimaksudkan ialah dalam setiap ayat Al-Quran itu ada maksud dan makna yang sangat banyak. Makna dan maksud itu pula dapat dipandang dari segi peringkat yang ghaib, dari segi peringkat sel, atom, pecahan atom (sub-atomic) dan sebagainya. Semua itu tidak dapat dilihat dan diukur dengan cara sains dan teknologi moden dan tidak terfikir oleh akal manusia.

Kita tentu tahu beberapa perkara tentang bunyi-bunyi huruf dan kesan-kesan irama dan getaran dalam bacaan Al-Quran. Setiap huruf itu ada hubungan antara alam Ketuhanan dan alam kemanusiaan. Oleh yang demikian, bagi orang Sufi apabila perkataan ALLAH disebut, rantaian getaran terbit dari dalam jiwa yang paling dalam yang mengingatkan Sufi itu kepada Allah Ta'ala.


Sebenarnya Allah Ta'ala tatkala hendak menghantarkan roh kepada seseorang manusia, telah menyerapkan ilmu dan kepatuhan (ketaatan) kepada perintah Allah. Dalam roh itu telah dibekali dengan ilmu dan kepatuhan tadi. Ilmu dan kepatuhan itu menyerap dalam badan, mental dan roh manusia. Kemudian Allah Ta'ala memerintahkan roh supaya memasuki setitik darah (benih manusia), maka kehidupan manusia pun bermula. Dari sejak itu hayat manusia tidak lain hanya bayangan Penciptanya.

Al-Quran itu juga digelar Al-Kitab. Al-Quran itu adalah himpunan maklumat dan idea semua perkara dan perencanaan Pencipta (atau digelar juga Lauhul-Mahfuz). Allah Ta'ala berfirman bahawa tidak ada sesuatu perkara pun yang tertinggal oleh Al-Quran. Firman Allah Ta'ala lagi yang lebih kurang maksudnya, sekiranya semua pokok dijadikan pena dan semua air lautan dijadikan tinta (dakwat), dan ditambah lagi sebanyak itu, namun ilmu dalam Al-Quran itu tidak akan habis-habis ditulis.

Dengan menyebut huruf pertama dalam perkataan Al-Quran (iaitu Qaf) akan menggetarkan lubuk mental dan jiwa yang paling dalam. Kemudian terus membaca bunyi huruf  RA, lalu jiwa itu melambai dan mengajak kembalinya semua perkara kepada Yang Esa. Huruf 'Ain merintis idea tentang rantaian titah Allah Ta'ala yang diturunkan untuk mengatur seluruh alam makhluk ini. Tiga huruf tersebut menyedarkan kita tentang keluasan dan kedalaman Perencanaan Pencipta dan menyedarkan tentang tujuan hidup kita. Huruf yang keempat pula iaitu Alif menyedarkan ingatan kepada Al-Khaliq, menyedarkan ke-DUA-an wujud (iaitu wujud hamba dan wujud Tuhan) dan tentang perpisahan hamba dengan Allah Ta'ala. Sebenarnya ini adalalah suatu hakikat (sebenarnya), bukan hanya idea sahaja. Wallahu'alam.


Sains Sufisme dipelajari dalam suatu kumpulan tertutup iaitu kumpulan kerohanian yang tersendiri. Ilmu yang dimiliki ahli Sufi diperolehi dari lubuk jiwa yang paling dalam dan pula berkaitan dengan kewujudan semesta raya ini. Allah Ta'ala telah menyediakan 'jalan dan peraturan' untuk menggunakan ilmu ini bagi menimbulkan perkara luar biasa atau mencarik adat (iaitu mukjizat) dalam alam kemanusiaan. Misalnya dengan menyebut sesuatu formula atau bacaan (nama Allah) atau ayat Al-Quran dengan bilangan tertentu dapat mengelakkan bencana daripada musuh. Begitu juga boleh digunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai formula. Perkataan "ayat" bererti juga mukjizat.

Ada amalan Sufi yang menimbulkan kesan pada jiwa sama seperti kesan mendirikan solat (sembahyang) selama 700 tahun. Amalan ini sendiri hanya memerlukan masa lebih kurang lima saat. Bukan setiap orang boleh melakukan amalan ini. Bagi sesetengah orang, ianya seperti memberi satu suntikan penisilin kepada seekor lalat yang mengidap selsema.

Dengan beramal secara berjemaah, kesannya tidak terhingga lagi hebatnya hingga tidak dapat dihutung walaupun dengan konsep abstrak matetatik. Ada seorang Sufi yang menyempurnakan sebutan formula atau zikir hingga berpuluh-puluh juta kali sebutan.


Seseorang yang menyaksikan pengubatan secara Sufi itu, walaupun secara luar biasa, tidak banyak memerhatikan apa yang berlaku. Pesakit datang ke hadapan ahli Sufi, lalu Sufi itu membaca sesuatu dan menghembuskan kepada orang yang sakit itu. Sebentar kemudian pesakit itu sembuh. Tetapi orang tidak melihat betapa lamanya ahli Sufi itu beramal sebelum dapat melakukan perkara yang luar biasa itu. Mungkin ahli Sufi itu bersuluk dan beruzlah selama 30 tahun, berzikir dan membaca nama-nama Allah Ta'ala atau ayat-ayat Al-Quran tertentu selama 50 juta kali, untuk menyembuhkan seseorang. Mungkin tujuan utama ahli Sufi itu hidup di maya pada ini adalah untuk menyembuhkan penyakit orang sahaja.

Ada juga orang inginkan ahli Sufi itu menyediakan senarai penyakit dan formula tertentu untuk mengubati penyakit itu. Sebenarnya bukan formula itu yang menyembuhkan. Penyembuhan ialah penggunaan formula atau zikir iaitu melalui pengantara atau wakil nafas dan roh suci Sufi tersebut, dengan izin Allah Ta'ala jua. Formula itu mungkin tiada memberi faedah bagi orang biasa.

Fikiran dan badan manusia dikotori oleh najis, dan ini menyebabkan orang tidak dapat menggunakan ilmu hakiki yang terpendam dalam roh yang dikurniai Allah Ta'ala itu. Di samping itu pengaruh fahaman dan indoktrinasi masyarakat dan keluarga menghalang seseorang itu mencapai kesedaran bahawa ia adalah bayangan atau penzahiran (manifestasi) Allah Ta'ala sebenarnya.


Hati yang kotor dan ketidakseimbangan emosi manusia itu perlu dibersihkan dan diseimbangi serta diubat dengan secara bersungguh-sungguh. Tiap-tiap orang berlainan penyakitnya, maka dengan itu berlainan pulalah ubatnya.  Badan (jasad), fikiran (mental) dan jiwa (roh) seseorang itu perlu diubat.

Matlamat Sheikh Sufi, sebagai tabib, bukan sahaja menyembuhkan penyakit badan tetapi juga penyakit fikiran dan jiwa serta meluruskan cara hidup seseorang itu supaya berjalan atas jalan Allah yang lurus lagi diredhai oleh-Nya.

Seorang Sufi, Barkat Ali rah. pernah berkata : "Hanya hati yang boleh menyampaikan ilmu tentang hati. Ilmu ini dikurniai bukan dipelajari."

Pada mulanya ajaran kesufian itu hendaklah dipaksa kepada diri supaya mempercayainya. Sesiapa yang beramal bersungguh-sungguh dan menguji kebenarannya akan membuahkan iman sejadi dalam jiwanya. InsyaAllah.

Wallahu'alam.


Anaknda Bertuah Tun Fatimah.

Ya Hayyu Ya Qayyum

Kata-kata Hikmah dan Pesanan Ayahnda : 

1. Selagi dunia ini tidak kiamat, selagi itulah para Aulia' ada di muka bumi Allah Ta'ala ini.

2. Semasa Tok Wali hidup tidak mahu mencari. Bila sudah mati baru tahu (bahawa) dia itu seorang Tok Wali. Hendak buat apa lagi? Dia sudah mati. Dia sudah masuk alam lain. Lepas itu pakat pergi lawat kubur sajalah.

3. Perkara kerohanian tidak boleh difahami dengan akal, nafsu dan ilmu. Jika boleh dengan ilmu tentulah Imam Ghazali r.a. tidak mengaji dengan Yusuf Nasaji dan Sheikh Abdul Wahab Sya'rani r.a. tidak mengaji dengan Ali Khawas. Cukuplah mereka ini menjadi contoh.

Sekian, Wassalam.

Tanah tumpah darahku, Utan Aji Perlis Indera Kayangan.

Sabtu, 23 Mac 2013

Bumi dan Kehidupan 2


"Dia (Allah) menciptakan langit dan Bumi dengan (tujuan) yang benar; Dia memasukkan malam atas siang dan memasukkan siang atas malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Mulia lagi Maha Pengampun."

Surah Az-Zumar ayat 5.


"Dia (Allah) menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam) kemudian darinya Dia jadikan pasangan-nya dan Dia menurunkan delapan (8) pasang haiwan ternak untukmu. Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga (3) kegelapan. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Tuhan kamu, Tuhan yang memiliki kerajaan. Tidak ada tuhan selain Dia; maka mengapa kamu dapat dipalingkan?"

Surah Az-Zumar ayat 6.



Ahad, 17 Mac 2013

Bumi dan Kehidupan


"Dan Bumi telah dibentangkan-Nya untuk makhluk-Nya. Di dalamnya ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak mayang, dan biji-bijian yang berkulit dan bunga-bunga yang harum baunya."

Surah Ar-Rahman ayat 10 - 12.

Assalammu'alaikum...wrth, kepada saudara saudari sekalian. Mari sama-sama kita fikirkan dan renungkan:

1. Bumi telah dibentangkan-Nya = bumi ini dibentangkan (bagai permaidani yang besar dan luas) oleh Allah Ta'ala.

2. untuk makhluk-Nya = untuk makhluk-makhluk (Manusia, Jin, Haiwan dan lain-lain) ciptaan Allah Ta'ala.

3. ada kehidupan asas = tumbuh-tumbuhan (buah-buahan, biji-bijian, bunga-bungaan dan lain-lain) berbagai jenis.

Wallahu'alam... 

Jumaat, 15 Mac 2013

Adab Usul dan Asas Jemaah Dakwah Tabligh


Dzul Jalal Wal Iqram ذو الجلال و الإكرام - Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan; The Lord of Majesty and Generosity

Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Jumaat 15/03/2013M bersamaan 03/05/1434H tergerak hati hamba untuk mengajak saudara/saudari merenung dan mengulangkaji sejenak tentang asas dan usul yang telah digariskan oleh Ayahnda Maulana Muhammad Ilyas rah sebagai pengasas usaha Dakwah Tabligh. 

Jika sekiranya setiap 'karkun' atau rakan seusaha dalam gerakan jemaah ini menjaga adab usul dan berpegang teguh dengan asas-asas tersebut, maka mungkin dalam masa 23 tahun usaha Dakwah Tabligh akan dapat menjadi asbab seluruh umat manusia datang kepada Islam dan menjadi hamba Allah yang sehamba-hambanya. InsyaAllah.


Tertib: Usul Dakwah dan Tabligh

Dua puluh lapan usul tertib dalam dakwah dan tabligh sepertimana yang terdapat dalam buku Panduan Khuruj Fi Sabilillah, Ustadz Muhammad Qosim At-Timori, Jahabersa, cetakan 2003. Di Malaysia, disebut dua belas usul kerana di dalam muzakarah usul atau tertib ini, hanya memerhatikan dua belas usul pertama dan kelazimannya, 16 usul akan dimuzakarahkan.


Ada dua puluh lapan (28) adab usul yang harus dipatuhi oleh setiap da'ie ketika keluar di jalan Allah, iaitu;



1. Empat perkara yang diperbanyakkan;


·  Dakwah ilallah - Dakwah ijtima'i, dakwah infradi, dakwah umumi dan dakwah khususi.
· Ta'lim wal ta'lum - Ta'lim infradi, ta'lim ijtimai, halaqah tajwid, fadhilah amal dan muzakarah sifat-sifat sahabat.
· Zikir dan Ibadah - Zikir: membaca Subhanallah, wal hamdulillah, walaa ilaaha illallah, wallahu akbar; selawat, istighfar dan tilawah Al-Quran. Ibadah: Ibadah fardhu, wajib, sunat dan mustahab.
·  Khidmat - Khidmat kepada diri sendiri, rombongan jemaah, (kariah)kampung dan amir jemaah.


2. Empat perkara yang dikurangkan;


·  Kurangkan masa makan dan minum.
·  Kurangkan masa tidur dan rehat.
·  Kurangkan percakapan yang sia-sia.
·  Kurangkan masa di luar masjid.


3. Empat perkara yang ditinggalkan; 


·  Ishraaf (perbuatan boros atau membazir).
·  Berharap (dalam hati) kepada makhluk.
·  Meminta kepada makhluk.
·  Menggunakan barang orang lain tanpa izin.


4. Empat perkara yang tidak boleh disentuh;


·  Perbedaan aqidah.
·  Khilafiah/ mazhab.
·  Politik, aib masyarakat, pangkat serta derma.
·  Berdebat (mujadalah).


5. Empat perkara yang dijaga; 


·  Mengutamakan amal ijtima'i daripada amal infradi.
·  Kehormatan masjid.
·  Ketaatan kepada amir jemaah.
·  Sabar dan tahamul (ketahanan dalam menghadapi ujian).


6. Empat perkara yang dijauhkan;


·  Tankish (merendahkan).
·  Tankind (mengkritik).
·  Tardid (menafikan atau menolak sama sekali).
·  Taqobul (membanding-bandingkan).


7. Empat pilar (tiang/ dasar) agama;


·  Ahli dakwah (tabligh, da'ie, juru dakwah).
·  Tadris (para ulama, pengasuh/mudir pondok pesantren/ madrasah, majlis ta'lim).
·  Kanka (mursyid, ahli tareqat) dan
·  Musanif (para pengarang kitab).




Al Hakam الحكم - Maha Menetapkan/ Menghukum; The Judge, the Arbitrator



Ustadz Muhammad Qosim At-Timori menukilkan asas-asas usaha dakwah seperti yang terdapat di dalam buku Panduan Khuruj Fi Sabilillah; Jahabersa cetakan pertama 2003. 


Asas Usaha Dakwah ini ialah:



1. Usaha melalui individu atau usaha berjamaah dan bukan usaha ijtima besar-besaran. Usaha dakwah ini tidak mengandalkan bayan atau ceramah atau kefasihan dalam berbicara akan tetapi kerja, zuhud. Inilah usaha yang mesti dikerjakan oleh setiap individu, atau mesti dilakukan dalam berjemaah.


2. Usaha melalui hati dan bukan pikiran. Sejauh mana hatimu menangis, sejauh mana hatimu risau atau sejauh mana terbakarnya hati, atau sejauh mana risau runsingnya hati bukan bagaimana pemikiranmu bekerja, atau bagaimana pemikiranmu membuat rancangan, atau bukan bagaimana pemikiranmu membuat rencana atau bukan bagaimana pemikiran filosofi yang tinggi-tinggi untuk mendapatkan gagasan-gagasan.




3. Usaha melalui qadam dan bukan kalam. Asas usaha ini adalah pergerakan kaki dan bukan penamu. Sejauhmana kakimu bergerak, sejauh mana anda bergerak melalui kaki-kakimu. Sebab anda mesti pergi kepada khalayak ramai. Mereka yang sudah datang ke mesjid mereka mencintai agama. Sedangkan mereka yang belum datang ke mesjid belum mencintai agama. Oleh karena itu maksud dakwah adalah untuk orang-orang ini. Jamaah yang sudah datang ke mesjid kita beri ta'lim. Usaha ta'lim dengan duduk dalam majlis. Akan tetapi dakwah dengan terjun ke bawah, kita datang dari orang ke orang, dari toko ke toko, maksudnya sejauh mana anda bergerak dengan kaki-kakimu, karena kerja ini bukanlah kerja 'sastrawan'. Anda harus berenang dalam lautan manusia, menyelam dalam laut dan mendapatkan mutiara-mutiara. Kita berusaha mendapatkan sedemikian orang yang dapat menerima fikir iman dan amal.


4. Usaha melalui Jan dan bukan Mal, usaha melalui diri bukan harta. Mal (harta) adalah keperluan bagi kita, mal untuk kesenangan kita. Sebagai umpama: jika anda hendak menghafalkan surat Fathihah, apakah anda mesti membelanjakan puluhan atau ratusan ringgit untuk menghafal? Tentu tidak! yang diperlukan adalah masa dan kesungguhan. Karena itu tasykil (ajakan) kita adalah orangnya bukan wangnya atau hartanya. Apabila anda hendak mentasykil, seseorang katakan bahwa "kami memerlukan diri anda dan bukan wang anda". 


5. Usaha dengan tawadhu dan bukan aninah. Asas usaha dakwah adalah merendah diri dan bukan sombong atau membanggakan diri. Sombong adalah sifat syaitan. Kita mesti merasa tidak ada apa-apanya. Saya ini kecil. Kita mesti merendah. Sebagaimana pohon apabila sarat dengan buahnya maka ia merunduk. Atau seperti timba apabila hendak menimba air, maka harus dicemlungkan. Demikian pula apabila anda hendak merunduk hatinya maka anda akan dapat buat usaha dalam semua kalangan masyarakat, jika tidak anda akan mengalami berbagai kesulitan.





6. Usaha dakwah dengan damai dan bukan perang (bermusuhan). Anda mesti berdamai dengan semua orang baru anda akan dapat buat usaha.

7. Usaha melalui ittihad dan bukan ikhtilaf. Asas usaha dakwah adalah kesatuan dan bukan perbedaan-perbedaan. Anda berusaha menjauhi perbedaan-perbedaan. Banyak perkara yang dapat kita cari yang membawa pada persatuan. Jikalau anda hendak menyatukan umat, maka sedapat mungkin menjauhkan hal-hal yang membawa kepada perpecahan.

8. Usaha melalui musyawarah dan bukan melalui kediktatoran. Musyawarah adalah mengambil usulan (cadangan) atau pendapat sebelum membuat keputusan. Apabila sudah diambil keputusan maka semua bersifat sami'na waatho'na. Tetapi seorang diktator tidak memerlukan musyawarah, tidak memerlukan pendapat orang lain. Dalam perkara-perkara kolektif yang menyangkut ummat, maka musyawarah adalah sangat penting.

9. Usaha melalui amru bil ma'ruf dan bukan nahi anil munkar. Asas usaha dakwah kita adalah yad'una ilakhoir, menyeru kepada yang baik. Sebagaimana enam sifat kita semua ma'ruf. Apabila gelap maka adakanlah lampu. Apabila amal yang baik hidup maka amal-amal buruk akan pergi. Ketika muadzin melaungkan adzan, apa yang ia serukan? Ia tidak membuat larangan-larangan atau jangan buat ini atau itu. Dengan demikian usaha dakwah kita yaitu mengajak manusia: Hai saudara! marilah ke mesjid, mari duduk ta'lim, mari hadir dalam mesyuwarah, mari duduk dalam majlis, mari ikut jaulah, mari ikut keluar khuruj di jalan Allah, inilah dakwah kita. Bayi yang baru lahir memerlukan ASI (Air Susu Ibu) yang segar dari ibunya bukan daging dan buah-buahan.


10. Usul dan bukan Furu. Asas usaha dakwah kita adalah usaha atas akar dan bukan cabang-cabangnya.

11. Asas usaha dakwah kita adalah Qulyah dan bukan Juz'iyah. Hal-hal yang bersifat universal, hukum-hukum yang umum akan diterima oleh semua orang, tetapi hati-hati karena diantaranya terdapat banyak masalah yang membawa kepada khilafiah. Sebagai contoh: mengajak kepada shalat dapat diterima oleh semua orang, tetapi bahasan shalat secara detail terdapat masalah masail.

12. Asas usaha dakwah kita adalah Ijmal dan bukan Tafshil. Ijmal ertinya singkat, tepat, pendek dan bukan tafsir artinya uraian-uraian secara panjang lebar, penjelasan, argumentasi secara mendetail. Usaha dakwah adalah deklarasi (keterangan atau maklumat), karena itu mesti pendek, tepat dan ringkas.


13. Asas usaha kita adalah Tamsir bukan Tanfir. Tamsir artinya kabar gembira dan bukan tanfir artinya kabar buruk, kebencian. Dalam usaha dakwah ini kita sampaikan kabar gembira. Memberitahukan keutamaan-keutamaan, pahala-pahala, fadhilah-fadhilah, menyampaikan perkara-perkara yang manis, supaya semua orang dapat menerimanya. Jangan kita mengkritik, menyakiti perasaan orang lain dan kita mencerca atau melukai.

14. Asas usaha dakwah kita adalah Istidar dan bukan Ishtihar. Istidar maknanya secara senyap-senyap dan bukan Ishtihar artinya propaganda dengan publikasi untuk pamer kehebatan. Maulana Ilyas rah.a berkata: "Sekiranya usaha ini telah berjalan 1000km tetapi kita mesti merasa masih pendek." Usaha ini adalah kerja kerohanian yang berkaitan dengan iman yakin, dan ikhlas. Sifat-sifat ini ada di dalam hati dan bukan untuk kemasyhuran.

15. Asas usaha dakwah kita adalah Akhirat dan bukan Dunia. Setiap orang berfikir untuk memperbaiki kehidupan dunia mereka, kebalikan dari ini dimana semua nabi memberitahu manusia tentang kesenangan akhirat. Setiap orang berfikir bagaimana dunia saya dapat lebih baik, kebalikan dari ini, Da'i berfikir bagaimana akhirat saya menjadi lebih baik.



Wallahu a'lam.

Sumber : http://karkuzaridakwahiman.blogspot.com/2010/06/asas-asas-usaha-dakwah_07.html



Doa tatkala melihat cermin muka/diri.

Selasa, 12 Mac 2013

Pasrah kepada Allah : Kisah Ayahnda Ayyub a.s.


Assalammu'alaikum...wrt, malam ini Isnin 11/03/2013M bersamaan malam 29 Rabiul'Akhir 1434H juga bersamaan 21 Hut 10,001 tahun PuSaka, hamba nukilkan kisah tentang kecekalan dan kepasrahan Ayahnda Ayyub a.s. dalam menghadapi cobaan dan ujian daripada Allah Ta'ala dalam kehidupan dunia yang sementara ini. Semoga dengan kisah ini akan menjadi pengajaran dan tauladan buat diri kita sebagai hamba Allah Ta'ala yang sentiasa diuji dan dicoba akan keimanan kita kepada-Nya.

Cobaan kepada Ayahnda Ayyub a.s.

Ayahnda Ayyub a.s. adalah seorang Nabi yang disebutkan di dalam Al-Quran. Firman Allah Ta'ala yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. menyebutkan, "Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub dan anak cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman, dan Kami berikan Zabur kepda Daud." 
Surah An-Nisa' ayat 163.

Ayahnda Ayyub a.s. adalah keturunan Ibrahim a.s., ibunya anak Nabi Luth a.s. Menurut riwayat, isterinya bernama Lia binti Ya'qub a.s. Riwayat lain mengatakan Rahmah binti Afraim. Dan riwayat lain lagi mengatakan Mansya binti Yusuf a.s. bin Ya'qub a.s. Ibnu Jarir Ath-Thabary menyebutkan bahwa Nabi Ayyub a.s. meninggal dunia ketika berusia 93 tahun. Riwayat lain menyebutkan bahwa Nabi Ayyub a.s. hidup lebih lama. Ibnu Abbas r.a. mengatakan, dinamakan Ayyub kerana dia selalu pasrah kepada Allah Ta'ala dalam seluruh keadaan.


Ayahnda Ayyub a.s. adalah seorang yang benar-benar bertakwa, penyayang terhadap orang-orang miskin, memelihara janda-janda dan anak-anak yatim serta memuliakan orang-orang lemah. Dia berdakwah terhadap kaumnya, mengajak untuk beribadah hanya kepada Allah semata-mata.

Ulama Tarikh dan Tafsir meriwayatkan bahwa Ayahnda Ayyub a.s. adalah seorang kaya yang memiliki berbagai kekayaan, binatang ternak, hamba sahaya, barang-barang perhiasan, tanah yang luas di kampung Al-Batsinah, daerah Hauran, di samping mempunyai anak dan keluarga besar. Suatu masa, semua itu menjadi hilang, disamping adanya cobaan beberapa macam penyakit pada tubuhnya. Sehingga tidak ada sebagian tubuhnya pun kecuali hati dan lisannya yang ia pergunakan untuk zikir kepada Allah Ta'ala.

Segala cobaan itu Ayahnda Ayyub a.s. hadapi dengan penuh kesabaran dan kepasrahan siang, malam, pagi dan petang selalu diisi dengan zikir kepada Allah Ta'ala. Cobaan yang demikian itu berlangsung lama sehingga orang lain tidak mahu duduk bersamanya. Orang-orang dekat pun (kerabat) menjadi jijik, kemudian Ayahnda Ayyub a.s. diusir dari tempat tinggalnya dan diasingkan di luar perkampungan.


Putuslah hubungan dengan orang lain, tak seorang pun menaruh belas kasihan terhadap dirinya kecuali isterinya. Sang isteri selalu menyediakan keperluannya kerana dia sadar kebaikan dan kasih sayang Ayyub a.s. kepadanya. Dia  berusaha mengimbanginya dengan penuh kesadaran  akan keadaan suaminya itu dan bersedia mencukupkan keperluan dan kepentingannya. Lama-kelamaan keadaan isterinya menjadi lemah. Hartanya semakin berkurang, sehingga akhirnya si isteri terpaksa menjadi buruh upahan orang lain untuk menanggung keperluan suaminya. Namun dia tetap sabar bersama suaminya menghadapi cobaan habisnya harta kekayaan dan kematian anak-anaknya.  Lebih-lebih lagi menghadapi musibah suaminya berupa kesempitan ruang gerak dalam menanamkan kekuasaan dan pengabdian terhadap umat manusia, padahal sebelumnya dia hidup penuh kebahagiaan dan kenikmatan.

Dalam menghadapi cobaan yang demikian itu Ayahnda Ayyub a.s. bersikap sabar, pasrah, memuji dan bersyukur. Sehingga Ayahnda Ayyub a.s. menjadi teladan kesabaran yang harus diikuti, dan diteladani bagi orang yang tertimpa berbagai macam musibah. (Ibnu Katsir, Al-Bidayah wan Nihayah, Juz 1)

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan lamanya waktu Ayahnda Ayyub a.s. mendapat cobaan itu. Ada yang berpendapat selama tiga tahun, tujuh tahun, beberapa bulan dan ada juga yang berpendapat selama delapan belas tahun.


Kisah Ayahnda Ayyub a.s. dalam Al-Quran

Al-Quran menerangkan bahwa Nabi Ayyub a.s. dicoba dengan penyakit pada tubuhnya dahn dia memohon kepada Allah Ta'ala. Permohonannya dikabulkan dengan sembuhnya penyakit, dan dikembalikan pada keluarganya.

"Dan (ingatlah) kisah Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya, (Ya, Tuhanku), 'Sesungguhnya akun telah ditimpa penyakit (Penyakit yang terdapat di dalam jiwa, kelemahan dan lain-lain) dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.' Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipatgandakan bilangan mereka sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah." 
Surah Al-Anbia' ayat 83 dan 84.

"Dan ingatlah akan hamba kami Ayyub ketika ia menyeru Tuhannya, sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan siksaan. (Allah berfirman), 'Hentakkanlah kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum. Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami  dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran. Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput) maka pukullah dengan itu (isterimu) dan janganlah kamu melanggar sumpah.' Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. Dia sebaik-baik hamba, sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)."

Surah Shod ayat 41 hingga 44.

Ayahnda Ayyub a.s. banyak mengembalikan persoalan kepada Allah Ta'ala. Allah Ta'ala memujinya dengan firman ni'ma 'l-'abdi kerana ia bersifat pasrah kepada Allah Ta'ala.


Yang dimaksudkan dengan gangguan syaitan kepadanya dengan kepayahan dan siksaan ialah, syaitan selalu mengganggu selama ia menderita sakit dan mengganggu kesabarannya dalam menghadapi musibah yang menimpanya. Maka Ayahnda Ayyub a.s. pasrah kepada Allah Ta'ala hingga mampu mencegah godaan syaitan itu dengan menyembuhkan penyakit atau dengan taufik-Nya dan Ayahnda Ayyub a.s. menyerahkan kepada Allah Ta'ala dengan penuh kesabaran.

Tentang bagaimana cara menyembuhkannya, firman Allah Ta'ala menjelaskan, "Hentakkan kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum." Maksudnya hentakkan kakimu pada tanah, Ayahnda Ayyub a.s. menuruti perintah Tuhannya itu. Ketika itu Allah Ta'ala menjadikannya sumbur yang memancarkan air dingin, kemudian memerintahkan mandi di dalamnya serta minum air dari sumber itu. Dengan lantaran itu, Allah Ta'ala menyembuhkan penyakit yang dideritai Ayahnda Ayyub a.s., baik penyakit lahir atau batin.

Al-Maragy dalam tafsirnya menjelaskan, "Ayat ini menunjukkan makna, bahwa penyakit yang dideritai Ayahnda Ayyub a.s. adalah penyakit kulit yang tidak menular. Sejenis penyakit gatal atau sejenisnya yang membuatkan payah dan menderita, tetapi tidak menyebabkan kematian. Pengertian air di sini menunjukkan mata air yang mengandungi unsur perubatan, sehingga dapat menjadi sebab penyembuhan penyakit itu. Air itu memberi faedah bagi pengubatan lahiriah, dan dapat memberi faedah penyembuhan dengan cara diminum. Sebagaimana kita ketahui tentang mata air-mata air yang dijadiukan kolam-kolam di Eropah, Mesir dan lain-lainnya, dipergunakan untuk penyembuhan penyakit-penyakit kulit dan batiniah."


Perlaksanaan sumpah Ayahnda Ayyub a.s. dilaksanakan ketika menderita sakit untuk mencambuk isterinya seratus kali setelah sembuh, lantaran sang isteri pergi untuk suatu keperluan, tetapi datang terlambat kepada suaminya. Allah Ta'ala memerintahkan perlaksanaan sumpah Ayahnda Ayyub a.s. itu dengan seringan-ringannya dengan mengambil seikat rumput (sejenis rumput yang berbau harum atau sejenisnya) untuk memukul isterinya dengan sekali pukulan sahaja. Pukulan satu kali itu sudah dapat dianggap sama dengan seratus kali cambukan (rotan). Dengan demikian bebaslah Ayahnda Ayyub a.s. dari sumpahnya. Inilah kaedah jalan keluar orang yang bertaqwa dan taat kepada Allah s.w.t. Apalagi sumpah itu melanda hak isterinya yang sabar, jujur dan baik hati. Inilah yang diinsyaratkan Allah Ta'ala dengan firman-Nya, "Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu (isterimu) dan janganlah kamu melanggar sumpah."

Wallahu'alam.

Setiap umat Islam perlu/mesti berwaspada... 

Buatlah persediaan untuk kuatkan roh, jiwa dan raga (rohani, mental dan jasmani)

Tiga perkara perlu dilakukan oleh setiap ummat Islam untuk menguatkan rohani, jiwa dan jasmani : 
1. Buatlah segala sesuatu semata-mata kerana Allah ta'ala, 
2. Jangan menipu, 
3. Kawal kemarahan. 
Dalam usaha menghadapi huru hara dan fitnah akhir zaman, latih diri dan buat persediaan mulai sekarang... Semoga ada limpahan rahmat Allah ta'ala kepada kita semua...



CEBIS DOA SITI ZULAIKA

Tuhanku…
Seandainya telah kau catatkan dia milikku
Tercipta untuk diriku
Dekatkanlah dia padaku
Satukan hatinya dengan hatiku
Tiupkanlah kemesraan antara kami
Agar kebahagian itu kekal abadi
Dan tuhanku yang maha pengasih
Seiringkanlah kami dalam melayari hidup ini
Ketepian yang sejahtera.

Tetapi tuhanku…
Seandainya kau takdirkan dia bukan milikku
Bawalah dia jauh dari pandanganku
Luput dari ingatanku
Dan peliharalah diriku dari rasa kecewa.

Ya tuhanku yang maha mengerti…
Berikanlah aku kekuatan melontar bayangan ke dada langit
Hilang bersama senja merah
Dan gelap pekat awan
Agar aku rasa bahagia
Walaupun tanpa dirinya

Dan tuhanku yang tercinta…
Gantikanlah yang telah  pergi
Tumbuhkan kembali yang telah hilang
Meskipun tiada serupa dengan dirinya

Jika benar cinta itu sejati
Maka bebaskanlah ia
Jika benar cinta itu suci
Ia akan datang dengan sendirinya
Tetapi jika ia pergi dan tidak berkunjung lagi
Maka anggaplah cinta ini
Memang tidak wujud dari awal lagi.



Tauladan dari kisah Ayahnda Ayyub a.s.

1. Sabar Terhadap Cobaan Penyakit.

Dalam kisah Ayahnda Ayyub a.s. dan penyakit yang menimpa dirinya, sehingga ia berdoa kepada Allah Ta'ala agar disembuhkan dari penyakit itu, kemudian Allah Ta'ala menerima permohonannya dan menyembuhkan penyakitnya, serta nikmat Allah Ta'ala yang dilimpahkan berlipat ganda sesudah ia bersikap sabar. Semuanya itu mengandungi pengajaran bagi orang-orang Mukmin, bahwa Ayahnda Ayyub adalah teladan bagi mereka ketika mereka ditimpa cobaan berupa penyakit.

Para Nabi a.s. pun tidak terhindar dari cobaan, bahkan mereka adalah orang yang paling banyak mendapat cobaan. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang yang paling berat cobaannya adalah para Nabi kemudian orang-orang soleh dan seterusnya. Seseorang akan dicoba sesuai dengan ketaatan beragamanya, jika teguh agamanya maka akan ditambah pula cobaannya."

Jelaslah bagi kita bahwa cobaan tidak menunjukkan suatu penderitaan, kerana kesenangan dan penderitaan itu bukan merupakan akibat dari kebaikan dan keburukan amal perbuatan. Alasannya ialah, bahwa dunia bukan tempat pembalasan, tetapi tempat ujian dan ladang untuk akhirat. Dan buah kesabaran adalah pahala dan berlipatnya kebaikan. Ayahnda Ayyub a.s. ketika diuji dengan penuhnya rizki dan anak-anaknya, serta penyakit yang menimpa tunuhnya, ia bersabar dan bersyukur. Maka Allah Ta'ala menyayanyi dan menyembuhkan penyakit serta memberi ganti berlipat ganda bagi sesuatu yang hilang baik berupa anak maupun rizki.

Oleh sebab itu, Allah Ta'ala berfirman pada akhir kisah Ayahnda Ayyub a.s., "... dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah." Maksudnya, sebagai peringatan bagi penyembah-penyembah Allah Ta'ala untuk bersabar terhadap cobaan seperti kesabaran Nabi Ayyub a.s. sampai mereka mendapat kemurahan kasih sayang Allah Ta'ala sebagaimana yang diberikan Allah Ta'ala kepada Ayahnda Ayyub a.s. di dunia dan di akhirat. Kerananya, jika diingat cobaan dan kesabaran Ayahnda Ayyub a.s. yang paling hebat pada zamannya itu, mereka akan membiasakan kesabaran dalam menghadapi gelombang hidup di dunia.

Demikianlah, kesabaran merupakan senjata para Nabi dan orang-orang bertaqwa dan penegak kebenaran. Tidak seorang Nabi pun atau pemimpin dan penegak kebenaran yang berhasil tanpa kesabaran tersebut. Layak untuk diingat dan diperhatikan bahwa Al-Quran telah menganjurkan kesabaran, memuji kesabaran, memgangkat kedudukan dan memuji orang-orang penyabar. Di dalam Al-Quran disebut sampai 70 kali, dan merupakan penyebutan Al-Quran terbanyak mengenai keutamaan sifat SABAR.

Rasulullah s.a.w. berwasiat tentang kesabaran dengan sabdanya, "Kesabaran itu setengah dari iman" selanjutnya "Barangsiapa bersabar maka Allah memberikan sifat kesabaran padanya, tak seorangpun diberi suatu pemberian yang baik dari kesabaran."

Peribahasa Arab yang telah popular mengatakan, "Kesabaran itu kenderaan pertolongan."


2. Pasrah kepada Allah Ta'ala.

Dalam kisah Ayahnda Ayyub a.s., ajaran kepasrahan adalah doa dan kepatuhan, sebagaimana kepasrahan Ayahnda Ayyub a.s. kepada Tuhannya. Ia menyebut asma Allah Al-Husna, sifat-sifat Allah yang mulia sehingga dapat menghilangkan musibah.


3. Berobat (berikhtiar)

Kisah ayahnda Ayyub a.s. juga mengandungi ajaran wajib berobat, kerana Allah Ta'ala memerintahkan minum dan mandi dengan air yang memancar dari bawah kakinya. Dan itu merupakan upaya (ikhtiar) penyembuhan, sehingga tidak semata-mata hanya doa tanpa adanya ikhtiar.


4. Kasih Sayang Terhadap Isteri.

Terakhir kisah Ayahnda Ayyub a.s. mengandungi ajaran berupa kewajiban menggauli isteri secara baik. Ayahnda Ayyub a.s. adalahorang yang berbuat baik terhadap isterinya ketika ia sedang kaya dan sihat. Isterinya pun menyantuninya ketika ia menderita, walaupun ia pernah berbuat kesalahan yang mengakibatkan Ayahnda Ayyub a.s. mengucapkan sumpah untuk memukulnya sesudah sembuh penyakitnya. Tetapi Allah Ta'ala memerintahkan agar tidak melaksanakan sesuatu dengan sumpahnya hanya untuk menghormati hak isteri kepada suaminya. Kemudian Allah Ta'ala memberi keringanan dan kemudahan dalam melaksanakan sumpahnya sehingga ia terhindar dari pelaksanaan sumpah suami sebagaimana mestinya.

Sekian wassalam.

Derang, Kedah Darul Aman, Malaysia.