Ayahnda

Ayahnda

Jumaat, 21 Disember 2012

Dewa Dewi dan Langit

Kopiah dan Serban Rasulullah s.a.w.

Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Jumaat 21/12/2012M bersamaan 07/02/1434H bersamaan dengan 01 Jadi 10 001 Takwim Pergerakan Matahari (Rujuk pada takwin waktu Solat). Sempena penghulu segala hari, hari ke7 bulan Safar (kembara) dan hari pertama dibulan pertama tahun perkiraan gerakan Mata-hari, hamba nukilkan sebuah cacatan mengenai hakikat Dewa Dewi dan sedikit sentuhan tentang Langit. Semoga kita semua beroleh ilmu yang bermanafaat sebagai pedoman dalam perjalanan kita merentas Masa di Dunia yang Fana' menuju ke Akhirat yang Baqa'.


Petikan kata-kata oleh Brado Kapak dalam Fbnya mengenai tarikh 21/12/2012 : "Suatu perkara yang seharusnya kita bawa berfikir ialah, tarikh 'keramat' ini jatuh pada hari Jumaat. Hari penghulu bagi segala hari dan hari istimewa bagi ummat Islam kerana banyak amal ibadah yang digandakan pahala padanya. Dan Nabi kita, Junjungan Besar Muhammad SAW juga sudah memberitakan kepada kita bahawa Kiamat itu akan tiba pada hari Jumaat.


Secara tidak langsung, dunia sedang memasuki fasa awal zahirnya tanda-tanda besar akhir zaman. Secara tak langsung juga, dunia sedang memasuki fasa ke-2 KIAMAT. Dan secara tidak langsung juga, kita di Tanah Melayu ini, seharusnya bersedia lebih gigih lagi untuk mempertahankan tanah air ini daripada dijajah buat kali ke-7. Dan mempertahankan segala darah keturunan Ahlul Bait Nabi SAW, daripada dihapus-jarahkan dari bumi ini...

Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, para Ahlul Baitnya dan seluruh pewarisnya hingga akhir zaman. Salam dan selamat ke atas Imam yang dinanti, Imam Mahdi Muhammad Bin Abdullah. Semoga keselamatan dan kerahmatan serta HidayahNYA senantiasa bersama orang-orang yang benar dan yang menginginkan kebenaran. Keluarkanlah kami dari kegelapan waham dan sinarilah kami dengan cahaya kefahaman, Ya ALLAH. Perkenankanlah...." (Terima kasih kepada Bardo Kapak)




Dewa dan Dewi.

Manusia yang telah dapat kembali ke alam Lahut (Martabat Sampai) dan meningkat ke makam nafsu Kamil (Sempurna Segala Sifat Mulia lagi Terpuji) inilah merupakan manusia istimewa pilihan Allah Ta'ala yang mana mereka lah sebenarnya yang digelar dan dipandang sebagai Dewa (untuk lelaki) dan Dewi (untuk perempuan) oleh kebanyakan manusia sejak zaman dahulu hingga kini dan akhir zaman.

Dewa Dewi dalam anggapan penganut agama selain Islam, mereka menganggap sebagai Tuhan di langit, atau malaikat di langit dan orang-orang tertentu yang mempunyai sifat-sifat bagaikan Tuhan. Bagaimanapun dalam pandangan Syariat Islam semua anggapan mereka adalah syirik dan kufur. 

Namun dalam pandangan Tasawwuf Islam (Tariqat), manusia yang mempunyai sifat-sifat mulia lagi terpuji seperti sifat para Malaikat, Nabi dan Rasul juga yang memiliki beberapa sifat Ketuhanan seperti sangat Pemurah, amat Penyayang dan sebagainya adalah dikenali sebagai Rijalul Ghaib (yang hilang dari pandangan mata zahir tetapi tidak mati), Tok Keramat (yang sudah mati), Tok Wali atau Keramat Hidup (yang masih hidup), Pendamping (qarin) dan berbagai lagi gelaran diberi. Manusia seperti ini adalah hamba-hamba Allah Ta'ala yang telah sampai ke makam Makrifat Allah Ta'ala (Makrifatullah). 

Wallahu'alam.


Makrifat Allah Ta’ala.

Makrifat itu ialah mengenalkan diri-Nya (Allah Ta’ala) kepada hamba-Nya dalam ertikata sebagai suatu penganugerahan Allah Ta’ala kepada mereka melalui ilmu Laduni. Barangsiapa mengenal Allah Ta’ala, nescaya ia mengenal dirinya dan barangsiapa kenal dirinya, nescaya ia kenal akan Tuhannya dan barangsiapa kenal akan Tuhannya, nescaya ia berasa jahil akan dirinya. Maka tiap-tiap makrifat itu tertakluk kepada mengenal diri dan mengenal diri itu tertakluk kepada mengenal Tuhan dan mengenal Tuhan itu tertakluk kepada kejahilan dirinya.

Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. ; “Terlebih mengenal kamu akan Tuhannya, terlebih kamu mengenal akan diri-Nya.”

Makrifat Allah Ta’ala itu adalah jalan untuk menyampaikan kepada Kasyaf. Kasyaf ertinya terbuka daripadanya itu segala hakikat sesuatu yang menyampaikannya kepada fana’ daripada Allah Ta’ala, dan fana’ itu adalah jalan untuk menyampaikan kepada fana’ ul fana’ iaitu ia tidak melihat dirinya itu yang memfana’kan dirinya, hanya yang dilihatnya Allah Ta’ala saja yang memfana’kan dirinya. Fana’ ul fana’ itu adalah jalan yang menyampaikan kepada Baqa’ sebagai maksud yang dituntut.

Maqam inilah (Fana’ ul fana’) yang ditafsirkan, melalui pandangan anda sesungguhnya Allah Ta’ala itu meliputi tiap-tiap sesuatu. Ketika itu anda akan merasakan terlebih manis daripada madu dan terlebih lazat daripada susu.


Fana’ (Tidak sedarkan diri)

Fana’ terbahagi kepada tiga peringkat :

Pertama : Fana’ Ilmu iaitu seperti anda melihat segala makhluk itu kesemuanya hilang.

Kedua : Fana’ A’in iaitu seperti anda melihat dengan mata hati, sesungguhnya diri makhluk itu semuanya hilang.

Ketiga : Fana’ Hak iaitu seperti anda memandang, sesungguhnya segala makhluk itu sebenarnya kesemua hilang tanpa ada padanya wujud hakikat.

Oleh sebab itu Fana’ itu terbahagi kepada tiga bahagian :

Pertama : Fana’ segala perbuatan, seperti mereka berkata “Tidak ada yang berbuat hanya Allah Ta’ala sahaja.”

Kedua : Fana’ segala sifat, seperti mereka berkata “Tidak ada yang hidup hanya Allah Ta’ala sahaja.”

Ketiga : Fana’ segala zat, seperti mereka berkata “Yang maujud hanya Allah Ta’ala sahaja.”
Ketiga-tiga fana’ inilah yang diketahui.

Berkata sesetengah orang A’rif : “Barangsiapa memandang segala makhluk itu tidak ada perbuatan pada mereka itu, maka sesungguhnya ia beroleh kemenangan dan barangsiapa melihat mereka itu tidak hidup, maka sesungguhnya mereka beroleh perhimpunan (Libas). Barangsiapa pula melihat mereka itu tidak ada (a’dam) iaitu mereka tidak wujud sekali-kali, sesungguhnya ia telah sampai.” Begitulah hasil yang disebutkan oleh Syeikhul Islam dalam kitabnya, Syarah Hukum Ibnu Ruslan.


Martabat Sampai kepada Allah Ta'ala.

Berkata Syeikh Ibnu Ibad (rh) dalam kitabnya, Syarah Hukum Ibnu A'ta'aillah, "Orang-orang yang mempunyai jalan yang menyampaikannya kepada Allah Ta'ala diberi isyarat untuk sampai kepada ilmu hakiki Allah Ta'ala. Kearah ilmu hakiki Allah Ta'ala inilah kesudahan orang-orang Salik dan perjalanan orang-orang yang sampai ke arah-Nya. Maha Tinggi Allah Ta'ala daripada sampai kepada mafhum antara segala Zat-Nya."

Martabat sampai kepada Allah Ta'ala itu ada empat martabat :

Pertama : Sampai kepada martabat menjadi hamba Allah Ta'ala yang sebenarnya iaitu orang yang ikhlas mengerjakan ibadat untuk Allah Ta'ala dengan kehendak sendiri tanpa sebab yang lain, seperti diperolehi yakin dan zauq.

Kedua : Martabat Sampai kepada afa'l Allah Ta'ala iaitu orang yang menilik sesungguhnya segala perbuatan itu terbit daripada Allah Ta'ala dan hamba itu memfana'kan perbuatan dirinya dan yang lain.

Ketiga : Martabat Sampai kepada sifat Allah Ta'ala iaitu orang yang melihat sesungguhnya tidak ada yang hidup, hanya Allah Ta'ala saja.

Keempat : Martabat Sampai kepada Zat Allah Ta'ala iaitu orang yang memusyahadahkan, sesungguhnya tidak ada yang maujud itu hanya Allah Ta'ala saja.

Kelima : Dia (Allah) lah atas martabat sampai itu.

Berkata Syeikh kami Al-A'rif billah Maulana As-Syeikh Siddik bin Umar Khan (rh), "Pengertian Sampai itu menghendaki dua kewujudan iaitu wujud Allah dan wujud makhluk." Oleh hal yang demikian tentulah syirik kerana orang yang mentauhidkan Allah Ta'ala itu tidak melihat wujud itu dua, jadi bagaimana boleh datang Sampai itu?

Fahamkanlah wahai saudara-saudaraku akan hal ini dengan akal yang jernih dan susunan bahasa yang sempurna kerana sesungguhnya ia amat sulit dan sukar difahami. Maka berusahalah mencari dan berdamping dengan guru yang Mursyid lagi 'Arif billah. 

Wallahu'alam.


**Berpeganglah anda pada syariat Muhammad (Zahir), dengan mengiktikadkan dan memandang dengan mata hati (Batin) bahwa segala perbuatan yang baik dan jahat itu semuanya terbit daripada Allah Ta'ala. 

Pada ketika itu juga anda akan terlepas daripada syirik khafi dan semua perkara yang berbahaya itu. Hal ini demikian kerana jika anda memandang diri anda mempunyai perbuatan selain daripada Allah Ta'ala, sudah tentu anda tidak terlepas menghadapi syirik khafi, meskipun anda terlepas daripada syirik jali.

Biasakan diri anda dengan keadaan demikian **, kerana ia merupakan sifat yang amat mulia yang dapat menghampirkan diri anda pada masa akan datang iaitu akhirat. Oleh itu, anda memperolehi dua nikmat syurga, seperti firman Allah Ta'ala : 

"Dua syurga untuk orang-orang yang takut akan makam Tuhannya." 
Surah Ar-Rahman ayat 46.

Syurga yang pertama itu ialah syurga makrifat akan Allah Ta'ala di dunia ini. Manakala syurga yang kedua itu ialah syurga yang sudah maklum yang tersebut dalam Al-Quran yang mulia iaitu di akhirat yang akan datang.


Firman Allah s.w.t. pewaris Syurga Firdaus dalam surah Al-Mu’minun ayat 1 hingga 11.


“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman (1). (yaitu) Orang yang khusyuk dalam solatnya (2),  dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna (3), dan orang yang menunaikan zakat (4), dan orang yang memelihara kemaluannya (5), kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6). Tetapi barang siapa mencari di balik itu (zina, dan sebagainya), maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas (7). Dan (sungguh beruntung) orang yang memerlihara amanat-amanat dari janjinya (8), serta orang yang memelihara solatnya (9). Mereka itulah orang yang akan mewarisi (10), (yakni) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal di dalamnya (11).”


Keadaan para penduduk Syurga.

Para penduduk syurga dalam keadaan suci murni, kacak dan bercelak. Mereka sentiasa muda dan pakaian mereka tidak pernah kotor dan selekeh.

Golongan pertama yang masuk syurga kelihatan seperti bulan purnama. Mereka tidak pernah membuang air kecil dan besar serta meludah. Sikat mereka diperbuat dari emas dan bekas air mereka diperbuat dari misk dan nafas mereka berbau kemenyan.

Para penduduk syurga kebanyakannya adalah orang-orang miskin dan lemah. Rasulullah s.a.w. adalah orang yang pertama sekali mengetuk pintu syurga.
(Hadis Riwayat Muslim)

Di antara ciri-ciri penduduk syurga adalah seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Mahukah aku tunjukkan tentang penghuni syurga? Ia adalah orang yang lemah dan merendah diri (tawaduk). Jika ia bersumpah atas nama Allah, pasti Allah akan memperkenankan sumpahnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Yang paling ramai dari penduduk syurga adalah umat Nabi Muhammad s.a.w.  Rasulullah s.a.w. menyebutkan bahawa penduduk syurga berjumlah 120 saf (barisan) dan umat Muhammad s.a.w. berjumlah 80 saf dari 120 saf tersebut (yakni 2/3 dari penduduk syurga).


Adakah Dewa Dewi yakni Orang yang sampai Makam Makrifat Allah Ta'ala tinggal di langit?

Langit terdiri dari tujuh lapisan, daripada jarak 10,000 meter dari permukaan bumi hingga penghujung lapisan bintang-bintang adalah merupakan lapisan langit Pertama. Langit pertama inilah yang disebut sebagai Kayangan, dan kayangan inilah tempat bersemayamnya para Dewa dan Dewi (Manusia yang telah sampai kepada makam Makrifatullah). Maka di kemuncak tertinggi selepas Kayangan inilah bersemayamnya Roh dan Jasad Ayahnda Adam a.s. seperti yang kita semua maklum semasa peristiwa Isra' mikraj Rasulullah s.a.w. bertemu Ayahnda Adam a.s. selepas lapisan langit pertama.

Wallahu'alam.


Firman Allah Ta'ala,

“Dan sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh (lapis) langit di atas kamu, dan Kami tidaklah lengah terhadap ciptaan Kami.”
Surah Al-Mu’minun ayat 17. 

“Katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah dan salam sejahtera atas hamba-hambaNya yang dipilihNya. Apakah Allah yang lebih baik, ataukah apa yang mereka persekutukan?”
Surah An-Naml ayat 59.


Tujuh golongan yang dapat Bernaung di bawah naungan Allah Ta’ala.

Pada hari pertama pengadilan di padang Mahsyar, seluruh manusia berhimpun dari manusia pertama iaitu Nabi Adam a.s. sehinggalah manusia terakhir. Keadaan manusia pada hari itu sesuai dengan amalannya semasa di dunia dahulu.

Rasulullah s.a.w. menggambarkan ada tujuh (7) golongan manusia yang akan mendapat pertolongan dan naungan pada hari itu, menerusi sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tiada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah Ta’ala ialah;

1  1. Pemerintah yang adil,
2  2. Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadat kepada Tuhannya,
3  3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid,
4  4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah,
5  5. Orang yang dipujuk oleh wanita yang kaya lagi rupawan untuk berzina dengannya lalu ia menolak dengan berkata; ‘Aku takut kepada Allah’,
6  6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya,
7  7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tiada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah s.w.t.

(Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Sekian Wassalam....

Pondok Derang

Isnin, 10 Disember 2012

Pelajaran dan Teladan dari Kisah Ayahnda Yusuf a.s.

Ukiran AllahuAhad dalam tempat suluk Ayahnda. 

Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Ahad 09/12/2012M bersamaan 25 Muharram 1434H hamba nukilkan sebuah pengajaran dan teladan dari kisah Ayahnda Yusuf a.s. Semoga kita semua mendapat sedikit sebanyak manfaat sebagai pedoman hidup di dunia yang fana ini.

Firman Allah Ta'ala ;

Maksudnya : "Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (220). Mahukah Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun? (221). Mereka (Syaitan-syaitan) turun kepada setiap pendusta yang banyak berdosa (222), mereka menyampaikan hasil pendengaran mereka, sedangkan kebanyakan mereka orang-orang pendusta (223). Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat (224). Tidakkah engkau melihat bahwa mereka mengembara di setiap lembah (225), dan bahwa mereka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya (226). Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan berbuat kebajikan dan banyak mengingati Allah dan mendapat kemenangan setelah terzalimi (kerana menjawab puisi-puisi orang-orang kafir). Dan orang-orang yang zalim kelak akan tahu ke tempat mana mereka akan kembali (227).
(Surah Asy-Syu'ara' ayat 220 hingga 227)

Ayat Al-Quran dan maksudnya yang tersebut di atas hamba persembahkan untuk renungan dan peringatan buat diri hamba dan juga kepada para pembaca sekalian. Semoga kita semua menjadi insan yang mendapat ampunan dan keridhaan Allah Ta'ala. InsyaAllah.

Setiap umat Islam sedia maklum tentang kisah Ayahnda Yusuf a.s. seorang Nabi Allah yang amat cantik rupa parasnya bagaikan Malaikat dari langit. Ayahnda Yusuf a.s. merupakan putera ke-11 Nabi Ya'qub a.s. yang paling disayangi dan kisahnya dikianati abang-abangnya serta kisahnya dijual, dipelihara oleh menteri Mesir, digoda Zulaika dan difitnah seterusnya kisahnya dipenjarakan, mentafsir mimpi, berkhidmat kepada Raja Mesir dan akhirnya menjadi pembesar Mesir dimana mimpi Ayahnda Yusuf a.s. telah menjadi kenyataan - mimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan bersujud kepadanya. Hamba yakin ramai antara para pembaca sekalian sedia maklum kisah Ayahnda Yusuf a.s.

Ketika ziarah Makam di Lembah Bujang, Kedah.

Maka, di kesempatan ini hamba ingin berkongsi iktibar dan tauladan dari kisah Ayahnda Yusuf a.s. semoga menjadi bekalan dalam mengharungi lautan hidup di akhir zaman.

1. Pelajaran dari Keimanan Ayahda Ya'qub a.s.

Iman kepada Allah Ta'ala mempunyai pengaruh yang lebih besar dalam jiwa manusia yang mengakibatkan semakin tabah menghadapi musibah dan semakin tenang dalam menghadapi kesulitan dan ketakutan. Inilah contoh kehidupan Ayahnda Ya'qub a.s. yang hidup dalam rangkaian cobaan kepedihan dalam menghadapi perangai (ulah) putra-putranya terhadap saudara mereka sendiri, Yusuf a.s. dan Bunyamin. Ketika itu datanglah berita tentang kehilangan anak yang paling disayangi, Yusuf a.s., yang dikatakan telah dimakan serigala. "Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang ku mohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kalian ceritakan". Lihat surah Yusuf ayat 18.

Kita juga ketahui bahwa Ayahnda Ya'qub a.s. adalah seorang Mukmin yang mempunyai ketabahan iman. Ia hanya menyandarkan diri kepada inayah Allah Ta'ala dalam menghadapi musibah dengan penuh kepercayaan dan keyakinan. Terutama ketika anak-anaknya meminta agar Bunyamin diperkenankan untuk diajak bersama pergi ke Mesir. Kepergian mereka itu merupakan musibah bagi dirinya, lantaran ia khawatir terhadap perbuatan mereka dan bersedih atas perpisahannya dengan Yusuf a.s. "....Maka Allah adalah sebaik-baik penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang." Lihat surah Yusuf ayat 64.

Akhirnya kita mengetahui bahwa Ayahnda Ya'qub a.s. adalah seorang Mukmin yang tak kenal putus asa, penuh harapan masa mendatang yang dapat dibuktikan ketika ia menyuruh anak-anaknya untuk mencari Yusuf a.s. dan Bunyamin. Dia berkata, "Hai anak-anakku, pergilah kamu maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." Lihat surah Yusuf ayat 87.


Batu Sejadah tempat Ayahnda bersuluk.

2. Bukti ke Esaan Allah Ta'ala.

Meng-Esakan Allah Ta'ala adalah sasaran pertama dan utama ajaran Islam. Siapa pun yang mempelajari Al-Quran secara teliti, niscaya akan mengetahui bermacam-macam dalil tentang ke-Esaan Allah, dan menemui berbagai macam kepercayaan manusia yang bercampur aduk dengan kemusyrikan yang di dalamnya penuh khayal dan angan-angan menempati berbagai bentuk.

Perkataan Ayahnda Yusuf a.s. dalam menasihati orang-orang yang dipenjarakan sebagai berikut, "Dan aku mengikuti agama bapak-bapakku, yaitu Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub. Tiadalah patut bagi kami (para Nabi) mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah. Yang demikian itu adalah karunia Allah kepada kami dan kepada manusia (seluruhnya). Tetapi kebanyakan manusia itu tidak mensyukurinya. Hai kedua temanku dalam penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itu ataukah Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa? Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan sesuatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." Lihat surah Yusuf ayat 38 hingga 40.


3. Bahaya Pergaulan Lelaki dan Wanita bukan Mahram.

Dalam kisah Ayahnda Yusuf a.s. ini, digambarkan tentang kesesatan seorang wanita kerana tergila-gila mencintai seorang laki-laki. Ia berusaha dengan bersungguh-sungguh, terus menerus dan tak kenal putus asa untuk mengejar dan mendapatkan apa yang dimaksud dengan kesesatan itu.

Wanita adalah makhluk yang lemah. Akan tetapi dengan fitrah dan kesopanannya terhadap laki-laki, ia menjadi kuat tak dapat ditembus.

Dapat diambil kesimpulan bahwa apabila lelaki dan wanita berdua-duaan di tempat yang sepi, di tempat jauh dari perhatian keluarga maupun masyarakat, pasti akan menimbulkan bahaya yang akibatnya sama sekali tidak terpuji. Kemudian, timbul kehendak melakukan perbuatan yang keji di antara laki-laki dan perempuan itu. Kerananya, Islam melarang seorang laki-laki berduaan dengan seorang wanita tanpa disertai ayah, saudara laki-laki dan lain-lain yang telah ditentukan dalam syariat Islam.


4. Pelajaran tentang cara Memerangi Hawa Nafsu.

Dalam kisah Yusuf dan penolakan rayuan nafsu birahi seorang wanita adalah merupakan pelajaran dalam 'iffah, yakni menahan diri dari perbuatan yang tidak benar, menundukkan hawa nafsu dan menjinakkannya. Hal ini perlu dicontohi oleh orang yang menghendaki kemuliaan dan kehormatan manusiawiyah.

Nafsu birahi adalah suatu kekuatan yang mendorong manusia untuk melakukan perbuatan keji. Nafsu birahi inilah yang dapat memperhamba para pembesar dan pimpinan dalam sejarah. Baik sebagai raja atau panglima perkasa. Tetapi, menundukkan nafsu merupakan kunci kebesaran yang sebenarnya. Apalagi apabila cara menanggulangi nafsu birahi dan ancaman seperti yang dilakukan Ayahnda Yusuf a.s.

Ayahnda Yusuf a.s. menghindar dari godaan Isteri Al-Aziz kerana adanya suatu perasaan bahwa dia wajib memuliakan, ikhlas dan menahan diri untuk tidak mengkhianati Al-Aziz. Allah Ta'ala berfirman, "Dan wanita (Zulaika) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan menutup pintu, seraya berkata, 'Marilah ke sini'. Yusuf berkata, 'Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik.' Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidaklah beruntung."
Surah Yusuf ayat 23.


5. Kelebihan Sifat Sabar.

Kisah Ayahnda Yusuf a.s. merupakan pelajaran bagi kita untuk berlaku sabar. Itulah bekal yang harus dipersiapkan oleh setiap manusia dalam mengharungi kehidupannya agar mendapat akibat yang baik.

Manusia diciptakan selalu disertai adanya musibah, penderitaan, kefakiran dan sakit. Hilangnya seseorang yang dicintai dan disayangi merupakan penderitaan yang pedih. Semuanya itu memerlukan kesabaran dalam menghadapi disertai dengan suatu usaha secara sungguh-sungguh untuk memperoleh keselamatan yang diharapkan. Dan sesungguhnya kehidupan Ayahnda Yusuf a.s. merupakan mata rantai kehidupan yang penuh dengan penderitaan, dan berakhir dengan keberuntungan, kedudukan mulia dan kehidupan bahagia.


Kehidupan Ayahnda Yusuf a.s. dimulai dari dipisahkan dan berjauhan dari keluarga, disusuli dengan peristiwa cobaan penderitaan lain dengan dimasukkannya ke dalam penjara yang sangat hina, dan dimulai dengan sikap amanahnya.

Ayahnda Yusuf a.s. tetap teguh di atas dasar-dasar kebenaran, sabar menghadapi penderitaan, dan selalu mengharap turun rahmat Allah Ta'ala di dalam mencari jalan keluar dari perbuatan aniaya dan permusuhan itu. Allah Ta'ala berfirman, "Mereka berkata, 'Apakah kamu ini benar-benar Yusuf?' Yusuf menjawab, 'Aku lah Yusuf, dan ini saudaraku. Sesungguhnya Allah telah melimpahkan karunia-Nya kepada kami'. Sesungguhnya barang siapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak akan menyia-nyiakan pahala kepada orang-orang yang berbuat baik."
Surah Yusuf ayat 90.



6. Faedah Berbuat Baik.

Dalam kisah Ayahnda Yusuf a.s., terdapat berita gembira tentang fadilah berbuat baik dan penjelasan tentang pengaruh di dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Akan tetapi, apa itu ihsan? Dan apa pula maknanya? Ihsan berasal dari kata ahsana, lawan dari kata asa'a (berbuat keji), yang dapat diartikan pula suatu perbuatan yang penuh kesungguhan dan ketekunan.


Pertama-tama yang dapat kita pelajari tentang faedah ihsan dalam kisah ini adalah firman Allah Ta'ala yang berbunyi, "Dan tatkala dia cukup dewasa, Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik."
Surah Yusuf ayat 22.

Dengan demikian Ayahnda Yusuf a.s. diberi ilmu dan hikmah sesudah ia berbuat ihsan. Ilmu dan hikmah merupakan nikmat yang paling besar dalam kehidupan seseorang yang berjiwa besar. Hal tersebut tidak dapat dibandingkan kebesarannya dan keutamaannya dengan nikmat berupa harta.

Apakah yang telah diberikan Allah Ta'ala kepada Ayahnda Yusuf a.s.? Allah Ta'ala telah berikan kepadanya kedudukan, wibawa, dan kemuliaan sebagai imbalan perbuatan ihsannya.

Ozon - Menerobos Sukma

7. Memelihara Nama Baik.

Dalam kisah Ayahnda Yusuf a.s. terdapat pelajaran tentang memelihara nama baik dan mempertahankan kemuliaan dari perbuatan yang mengotori diri. Ayahnda Yusuf a.s. dihina dan dijerumuskan ke dalam kepekatan penjara bertahun-tahun, tanpa dosa.

Ketika ada kesempatan untuk memenuhi undangan raja, dia tidak bersedia mempergunakan kesempatan itu. Dia menolak penawaran raja yang akan mengeluarkannya dari penjara sebelum dapat dibuktikan bahwa dirinya di pihak yang benar. Firman Allah Ta'ala, "Raja berkata, 'Bawalah kepadaku'. Maka tatkala utusan itu datang kepada Yusuf, berkatalah Yusuf, 'Kembalilah kepada tuanmu dan tanyakanlah kepadanya bagaimana halnya wanita-wanita yang telah melukai tangan-tangan mereka. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui".
Surah Yusuf ayat 50.

Setelah raja mengadakan sidang yang dihadiri oleh para wanita, termasuk isteri Al-Aziz, dan dapat dibuktikan bahwa Ayahnda Yusuf a.s. tidak bersalah dan bebas dari tuduhan itu, dia rela keluar dari penjara dengan tegap dan terhormat. Sehingga dapat dikatakan bahwa Ayahnda Yusuf a.s. dipenjara bukan kerana kesalahannya, dan keluarnya dari penjara bukan kerana mendapat ampunan raja.


8. Memaafkan Perbuatan Buruk Orang Lain.

Dalam kisah ini, terdapat pelajaran tentang tasamuh, memaafkan orang yang berbuat tidak baik, dan menghadapinya dengan kebaikan. Sebenarnya Ayahnda Yusuf a.s. boleh saja ketika bertemu dengan saudara-saudaranya membalas dendam perbuatan mereka dan menyumbat mereka dalam penjara serta menyiksa dengan berbagai siksaan sebagai balasan perbuatan keji mereka.

Tetapi ketinggian jiwa dan kemuliaan budinya membebaskan diri dari rasa dendam. Kemuliaan dan ketinggian jiwanya menolak untuk melakukan balas dendam, yang pada umumnya dilakukan oleh setiap individu yang melampaui batas, dengan balasan yang lebih keji dan ganas. Ayahda Yusuf a.s. menjawab dengan lemah lembut dan penuh maaf atas perbuatan dosa mereka dan berkata, "...Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu atas kami, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu)..." Surah Yusuf ayat 92.


9. Berbuat Adil Terhadap Anak.

Dalam kisah Ayahnda Yusuf a.s. ini juga terdapat pelajaran tentang bagaimana cara memperlakukan anak secara adil. Anak, menurut tabiatnya biasa berlaku saling mendengki. Ia memerlukan kasih sayang kedua orang tua. Jika orang tua melalaikan dan tidak mengindahkan perasaannya, akan menimbulkan kebencian yang mendalam terhadap saudaranya. Dan perubahan sikap terhadap saudaranya segera timbul. Kerananya pilih kasih kedua orang tuanya akan menimbulkan permusuhan di kalangan anak-anak yang tidak henti-hentinya, bahkan akhirnya dapat mengakibatkan putusnya hubungan antara keluarga.

Ayahnda Yusuf a.s. sangat dekat dengan orang tuanya, Ya'qub a.s. kerana dia mempunyai tanda-tanda akan menjadi Nabi di kemudian hari. Hal ini diperkirakan pasti akan menimbulkan kedengkian saudara-saudaranya. Ternyata perhatian Ya'qub a.s. terhadap Yusuf a.s. lebih dari yang lainnya sehingga menimbulkan kedengkian dan kemarahan mereka terhadap Yusuf a.s. Sekali lagi, Ya'qub a.s. terlalu mengistimewakan perhatian kepada Yusuf a.s., sebenarnya tidak maksud lain kecuali untuk memelihara dari kedengkian saudaranya. Sebab, pada diri Yusuf a.s. tampak tanda-tanda kemuliaan dan kenabian, seperti di jelaskan dalam firman Allah Ta'ala sebagai berikut, "Ayahnya berkata, 'Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka akan membuat makar (untuk membinasakan)mu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia."
Surah Yusuf ayat 5.


Sekian, wassalam. Wallahu'alam.


Pondok Kampung Derang, Kedah Darul Aman.

Ahad, 2 Disember 2012

Naga dan Dewa Dewi

Masjid Kampung Manggol Bongor Putat


Assalammu'alaikum....wrt, hari ini Sabtu 01/12/2012M bersamaan 17/01/1434H sempena awal bulan 12 dan bulan terakhir bagi tahun Naga kali ini hamba nukilkan serba sedikit perkara tentang Naga dan Dewa Dewi. Semoga coretan mengenai tajuk ini akan membuka pintu minda dan hati para pembaca yang dihormati sekalian.

p/s : Tahun ini adalah istimewa kerana adanya satu tarikh menarik 12/12/12 yang mana kombinasi tarikh ini tidak pernah di alami dan tidak akan di alami lagi. Tahun hadapan tak mungkin kita temui tarikh 13/13/13, jadi marilah sama-sama kita fikirkan.

Sebagaimana yang semua pembaca sekalian maklum bahawa haiwan NAGA adalah termasuk dalam senarai 12 haiwan dalam kalender Cina. Dalam astrologi Cina, zodiak 12 bintang haiwan melambangkan 12 jenis personaliti berbeza. Secara tradisi, zodiak ini sentiasa bermula dengan bintang Tikus, dan terdapat juga banyak cerita mengenai asal-usul zodiak ini yang menerangkan sebab tikus menerajui zodiak.
Sila layari  Haiwan 12 untuk bacaan lanjut.
Anak Naga Api yang Comel

Namun dalam kalender Cina, Tahun NAGA mempunyai aura istimewa oleh masyarakat berbangsa Cina dan juga kepada bangsa-bangsa lain termasuk Mala-yu. Kerana ia ada kaitan dengan sifat dan personaliti Naga yang ada pada sesiapa yang lahir pada tahun Naga-Ra. Sifat istimewa yang tiada tandingannya. Wallahu'alam. Walaupun dalam kalender bangsa Mala-yu senarai haiwan 12 nya tidak ada haiwan NAGA ini. Sebenarnya dalam artikel kali ini hamba ingin berkongsi sikit pengetahun tentang sejarah Anbia' (Nabi dan Rasul utusan Allah Ta'ala) yang berkaitan dengan haiwan Naga ini.

Apakah kaitannya Anbia' a.s. dengan Naga? Seperti yang hamba jelaskan dalam artikel yang lepas, segala yang dicoretkan nanti adalah maklumat dari pengalaman hamba serta muzakarah dengan beberapa orang rakan dan guru kesufian. Hamba akan sedaya upaya cuba sampaikan berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan apa yang hamba coretkan tidak akan menjejaskan atau merosakkan akidah saudara dan saudari pembaca sekalian, insyaAllah. Hamba juga berharap pembaca sekalian dapat berfikiran terbuka dengan seluas-luasnya (Fikiran global dan alami) untuk memahami segala isi coretan kali ini. Dan juga jika ada salah silap serta sebarang kemusykilan, hamba harap tolonglah tegur dengan sopan santun dan budi bahasa yang luhur, hamba dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih atas setiap teguran.

Pertama : Hamba telah nyatakan bahawa Naga telah ada didunia ini sejak Allah s.w.t. turunkan Ayahnda Adam a.s. ke dunia ini. Dalam muzakarah hamba, sewaktu Ayahnda Adam a.s. di hukum penjara di Bumi selepas melanggar perintah Allah Ta'ala dengan memakan buah larangan, maka turunnya Ayahnda Adam a.s. adalah diiringi sepasang haiwan peliharaan Allah Ta'ala yakni Naga dengan perintah dan izin Allah Ta'ala jua. Sejak itulah induk Naga ini telah hidup dimuka Bumi dan membiak hingga sekarang sampai ke akhir zaman. Manakala Iblis laknatullah telah dilempar (direjam) ke dunia bersama sepasang ular besar yang telah bersubahat dengan Iblis membuat tipu daya terhadap Ayahnda Adam a.s. Wallahu'alam.

Naga Kilat @ Buraq

Kedua : Naga yang boleh bergerak sepantas kilat (dengan lain bahasa) yakni 'Buraq' merupakan haiwan tunggangan para ahli syurga di akhirat kelak. Dengan kelebihan ini Naga telah ditugaskan oleh Allah s.w.t. untuk membawa Para Nabi dan Rasul-Nya naik ke langgit dan bergerak dari satu ke tempat yang lain dengan pantasnya seperti peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad s.a.w., Nabi Idris a.s. yang naik melawat syurga dan neraka serta diizinkan menetap di langgit ke-4, Nabi Sulaiman a.s. yang bergerak melawat dari satu naga-ra ke satu naga-ra jajahannya dengan kadar yang sangat pantas dan lain-lain kisah Anbia' yang hamba tidak mengetahuinya. Wallahu'alam.

Ketiga : Naga mempunyai kebolehan dan kemampuan luar biasa di luar jangkaan sesiapa sahaja maka dengan sifat-sifat istimewa ini, Allah s.w.t. telah perintah dan izinkan haiwan Naga membantu para anbia' dalam usaha Dakwah yakni menyeru kaum dan umat manusia serta jin beriman kepada Allah Ta'ala. Contohnya seperti Tongkat Nabi Musa a.s. yang bertukar menjadi Ular Besar (Naga) menelan 'ular-ular' para ahli sihir Firaun laknatullah, dan kisah Naga yang membantu Iskandar Zulkarnain menyembur api untuk membina tembok besi menghalang Yakjut Makjut dan lain-lain kisah Anbia' yang hamba tidak mengetahuinya. Wallahu'alam.

Naga juga mempunyai nama-nama lain yang pernah disebut dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. contohnya seperti 'Dabbatul Ard' haiwan bumi yang akan keluar sebelum kiamat nanti dan 'Sajarul Akrar' yakni ular besar bermata merah berapi, berkuku panjangnya sebulan perjalanan yang akan menyiksa penghuni kubur di alam barzah nanti. 


Firman Allah Ta'ala dalam surah An-Naml ayat 82; "Dan apabila perkataan (ketentuan masa kehancuran alam) telah berlaku atas mereka, Kami keluarkan bagi mereka makhluk melata dari bumi, (ia) berbicara (kepada) mereka, sesungguhnya manusia (dahulunya) dengan ayat-ayat Kami, mereka tidak beriman (tidak yakin)."

wallahu'alam.

Gambaran Dabbatul Ard 
Awal Penciptaan Makhluk

Ketahuilah, semoga engkau diberi taufiq kepada segala yang dicintai dan diredhai Allah Ta'ala. Makhluk yang pertama diciptakan Allah Ta'ala adalah Ruh Muhammad s.a.w. (Sila lihat Nur Muhammad untuk bacaan lanjut). Ruh Muhammad s.a.w. diciptakan daripada cahaya 'Jamal' Allah. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam hadis Qudsi, "Aku ciptakan ruh Muhammad dari cahaya-Ku". Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Yang pertama diciptakan oleh Allah ialah ruhku. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah cahayaku. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah qalam. Dan yang pertama diciptakan oleh Allah ialah akal."

Ruh, cahaya, qalam dan akal pada dasarnya adalah satu, iaitu Hakikat Muhammad.

Hakikat Muhammad disebut 'Nur', kerana bersih dari segala kegelapan yang menghala kepada yang terang. Sebagaimana firman Allah Ta'ala : "Telah datang kepadamu cahaya dan kitab penerang dari Allah." 

Hakikat Muhammad disebut juga akal, kerana ia yang menemukan segala sesuatu. Hakikat Muhammad disebut qalam, kerana ia yang menjadi sebab perpindahan ilmu seperti halnya mata pena sebagai pengalih ilmu di alam huruf (pengetahuan yang tertulis). 

Hakikat Muhammad adalah ruh yang termurni sebagai makhluk pertama dan asal seluruh makhluk, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w., "Aku dari Allah dan Makhluk lain dari aku". Dan dari Ruh Muhammad itulah Allah menciptakan semua ruh di alam 'Lahut' dalam bentuk yang terbaik yang hakiki. Itulah nama seluruh manusia di alam Lahut. Alam Lahut adalah negeri asal. Setelah 4,000 tahun dari penciptaan Ruh Muhammad maka Allah menciptakan 'Arasy dari Nur Muhammad. Begitu pula seluruh makhluk lain yang diciptakan dari Nur Muhammad.

Pintu Rahsia Teratai
Hamba hasilkan gambarajah ini adalah ringkasan daripada segala ilmu yang terkandung dalam sebuah kitab kesufian karangan Sultan Aulia Gauts Al A'zam Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani Qaddassallahu Sirrahu.

Sebelum hamba sampaikan makna-makna yang tersurat dan tersirat pada Pintu Rahsia Teratai (PRT) ini, ingin hamba coretkan kata-kata aluan Ayahnda Sultan Aulia Gauts Al A'zam Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani Qaddassallahu Sirrahu di permulaan kitab karangannya: "Segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan. Allah tetap memberikan darjat bagi para ahli ibadah, dan qurbah bagi para ahli ma'rifat. Penulisan kitab ini adalah atas permintaan sebahagian penuntut ilmu. Mereka meminta agar kami membuatkan tulisan yang mencakup. Maka kami tulis sebuah kitab ringkas sesuai dengan permintaannya. Mudah-mudahan kitab ini memenuhinya dan siapa saja yang memerlukannya. Kitab ini kuberikan nama Sirrul Asrar Fima Yahtaju Ilaihi Al-Abrar (Rahsia terdalam dari segala rahsia dalam menjelaskan tentang apa yang diperlukan oleh ahli kebajikan). Di dalamnya kami bahas tentang Syariat, Tariqat, dan Hakikat dengan penyusunannya satu Muqaddimah dan 24 fasal, sejumlah 24 huruf pada kalimah Laailaa ha illallah Muhammadur Rasulullah. Juga sejumlah 24 jam dalam sehari semalam." 



Maka makna yang tersurat dan tersirat pada PRT ini, huruf jawi yang terdapat dalam setiap ruang dalam lingkaran luar bunga teratai adalah kalimah Laaillaa ha illallah (ruang 1 hingga 12 mula dari kiri ke kanan), dan kalimah Muhammadur Rasulullah (ruang 1 hingga 12 yang seterusnya) bermakna hakikat 2 kalimah syahadah yang perlu diamalkan dan menjadi peganggan sehingga sebati dengan darah daging, sehari semalam 24 jam seperti yang tersebut dalam kata-kata aluan di atas.


Makna huruf-huruf Jawi dalam setiap kelopak bunga teratai ialah: 

1.  'Dal' د maknanya Dakwah (kerja mengajak manusia kepada Allah Ta'ala)
2. 'Ta' ت maknanya Tabligh (menyampaikan ilmu Agama walaupun satu ayat)
3. 'Ta' ت maknanya Ta'alim dan Ta'alum (belajar ilmu Agama dan mengajarkannya)
4. 'Fa' ف maknanya Fathonah (berilmu lagi bijaksana)
5. 'A'in' ع maknanya Ibadat (melaksanakan segala perintah Allah Ta'ala)
6. 'Sood' ص maknanya Siddiq (benar dalam percakapan dan perbuatan)
7. 'Kha' خ maknanya Khidmat (buat kebaikan tanpa mengharapkan balasan)
8. 'Alif'  أ  maknanya Amanah (Jujur dalam setiap perbuatan)

Semua kelapan-lapan sifat yang tersebut ini perlu diusahakan supaya ada dalam diri setiap 'Salik' (orang yang sedang belajar dalam perjalanan 'muqarrabin' yakni menghampirkan diri kepada Allah Ta'ala). Jika telah wujud 8 sifat-sifat tersebut dan dapat di istiqamahkan, insyaAllah akan tercapailah 8 perkara yang 'sir' (lapan lagi kelopak kecil kosong@tersembunyi rahsia anugerah Allah Ta'ala), wallahu'alam.

Di tengah-tengah kelopak bunga teratai adalah biji-biji tasbih seperti yang hamba lukiskan dalam artikel yang lalu. Asasnya seumpama biji benih yang mempunyai dua bahagian (pucuk dan akar) dimana simbul ini mewakili hak Allah s.w.t. dan Hak Rasulullah s.a.w. yang wajib ditunaikan oleh setiap orang yang beriman.

Dan segala tarikh dan angka yang hamba tuliskan dibahagian bawah itu biarlah ia tetap menjadi rahsia diri hamba yang banyak dosa ini. Namun angka 1/3, 2/3 dan 3/3 adalah mewakili tingkatan nafsu Rodhiah, Mardhiyyah dan Kamil. Sila lihat artikel Tingkatan Nafsu. Wallahu'alam.



Kembara Ruhani

Selanjutnya ruh-ruh diturunkan ke alam yang terendah, dimasukkan pada makhluk yang terendah, iaitu jasad.  Sebagaimana firman Allah, "Kemudian Ku turunkan manusia ke tempat yang terendah". Proses turunnya adalah setelah ruh 'Latifah Robbaniyah' diciptakan di alam Lahut, maka diturunkan ke alam Jabarut dan dibalut dengan cahaya Jabarut. Sebagai pakaian antara dua alam, lapis kedua ini disebut ruh 'Sultani'. Selanjutnya diturunkan lagi ke alam Malakut dan dibalut dengan cahaya Malakut yang disebut ruh 'Ruhani'. Kemudian diturunkan lagi ke alam Mulki dan dibalut dengan cahaya Mulki. Lapisan keempat ini disebut ruh 'Jasmani'.

Selanjutnya Allah Ta'ala menciptakan badan (jasad) dari Mulki (bumi), sebagaimana firman Allah; "Dari bumi Aku mencipta kamu. Kepada bumi Aku mengembalikanmu. Dan dari bumi pulalah Aku mengeluarkanmu"

Setelah terwujud jasad, maka Allah memerintahkan ruh agar masuk kedalam jasad dan ruh masuk kedalam jasad, sebagaimana firman Allah; "Ku-tiupkan ruh dariKu ke dalam jasad". Ketika ruh Latifah Robbaniyah berapa di dalam jasad dan merasa senang berada pada jasad, ruh lupa akan perjanjian awal di alam Lahut, iaitu hari perjanjian; "Alastu birabbikum?" (Bukankah Aku ini Tuhanmu?) Ruh menjawab "Benar, Engkau adalah Tuhan kami". Kerana ruh lupa pada perjanjian awal, maka ruh tidak kembali ke alam Lahut sebagai tempat asal. Dengan kasihnya Allah menolong mereka dengan menurunkan kitab-kitab samawi sebagai peringatan tentang negeri asal bagi mereka, sesuai dengan firman Allah, "Berikanlah peringatan kepada mereka tentang hari-hari Allah", iaitu hari pertemuan antara Allah dengan seluruh arwah di alam Lahut.



Lain halnya dengan para Nabi, mereka datang ke Bumi, dan kembali ke Akhirat. Badannya di Bumi. sedangkan ruh intinya berada di negeri asal kerana adanya peringatan ini. Sangat sedikit orang yang sedar dan kembali serta berkeinginan dan sampai ke alam asal. 

Kerana sedikitnya manusia yang mampu kembali ke alam asal, maka Allah melimpahkan kenabian kepada ruh agung Muhammad Rasullulah s.a.w. Penutup penunjuk jalan dari kesesatan ke alam terang membuka hatinya. Nabi s.a.w. mengajak mereka agar kembali dan sampai serta bertemu dengan 'Jamal Allah' yang azali, sesuai dengan firman Allah; "Katakanlah: Ini adalah jalanku. Aku menjadak ke jalan Allah dengan pandangan yang jelas. Aku dan para pengikutku". Nabi s.a.w. bersabda; "Para sahabatku seperti bintang-bintang, mengikut yang mana pun kamu akan mendapat petunjuk". 

Pada ayat tadi dijelaskan bahwa Nabi s.a.w. mengajak manusia kembali kepada Allah dengan  pendangan yang jelas, yang di dalam Al-Quran disebut 'basyirah'. Basyirah adalah dari ruh asli yang terbuka pada mata hati bagi aulia' (wali-wali Allah). Basyirah tidak terbuka hanya dengan ilmu zahir sahaja, tetapi untuk membukanya harus dengan ilmu Ladunni batin (ilmu yang langsung dari Allah). Sesuai dengan firman Allah; "Kepada dia Ku berikan ilmu yang langsung dari Aku". Untuk menghasilkan basyirah manusia mengambilnya dari ahli basyirah dengan mengambil talqin dari seorang wali mursyid yang dapat menunjukkan jalan ke alam Lahut.



Wahai saudaraku, sadarlah dan bergegaslah untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu, sebagaimana firman Allah; "Bergegaslah kamu untuk memdapat ampunan dari Allah dan surga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa".

Wahai saudaraku, masuklah pada 'tariq' (jalan kembali kepada Allah) dan kembalilah kepada Tuhanmu bersama golongan ahli ruhani. Waktu sangat sempit, jalan hampir tertutup dan sulit mencari teman untuk kembali ke negeri asal (alam Lahut). Keberadaan kita di bumi yang hina dan yang akan hancur ini tidak hanya untuk berpangku dengan makan, minum dan memenuhi nafsu belaka. 

Dewa dan Dewi

Maka manusia yang telah dapat kembali ke alam Lahut dan meningkat ke makam nafsu Kamil inilah merupakan manusia istimewa pilihan Allah Ta'ala yang mana merekalah sebenarnya yang digelar dan dipandang sebagai Dewa (untuk lelaki) dan Dewi (untuk perempuan) oleh kebanyakan manusia sejak zaman dahulu hingga kini dan akhir zaman. Sebagaimana kalimat yang pernah kita dengar "Jika manusia itu baik maka ia lebih baik dari Malaikat dan sekiranya manusia itu jahat maka ia lebih jahat dari Syaitan". Wallahu'alam.


Bertuah siapa yang dapat melihat gambar Dewa

Seorang ahli syair berkata; "Nabimu selalu menunggu, sangat khawatir memikirkanmu". Sabda Nabi: "Aku mengkhawatirkan umatku yang ada di akhir zaman".

Sekian Wassalam.


Catatan ini hamba coretkan di Padang MatSirat, Ulu Melaka, Pulau Langkawi.