Ayahnda

Ayahnda

Selasa, 29 Januari 2013

Siapakah Ayahnda?



Assalammu’alaikum…wrt, hari ini Selasa 29/1/2013M bersamaan 17 RabiulAwal 1434H bersamaan 10 Dalu 10,001 PuSaka, genablah 4 bulan Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub kembali ke Rahmatullah meninggalkan dunia yang fana’ ini. Walaupun jasadnya telah disemadikan namun kerohaniannya masih giat bertugas di abad-15 hijrah ini. Maka pada artikel kali ini hamba coretkan riwayat hidup Ayahnda sebagai mengenang dan memperingati perjuangan serta pengorbanan juga nasihat Ayahnda. Semoga hamba sekeluarga, sanak-saudara Ayahnda, para murid Ayahnda juga saudara dan saudari sekalian mendapat kebaikan dan ‘Berkat Ayahnda’ dengan izin Allah Ta’ala dan berkat mukjizat Rasulullah s.a.w. Dengan ini hamba persembahkan nukilan kali ini; Siapakah Ayahnda?


Kalau kamu hendak tahu siapa saya! 
Tanyalah Allah Ta'ala dan Rasulullah s.a.w. Jangan tanya orang! 
Selaku umat Rasulullah s.a.w. di abad 15 ini. Saya akan bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan dan mempertahankan perjalanan Ahlullah ini.
(Kata-kata hikmat dan pesanan Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub)

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Ankabut ayat 69; "Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk Kami (memfana'kan diri di dalam kebesaran Kami), pastilah Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami (keredhoan Kami). Dan sesungguhnya Allah s.w.t. benar-benar beserta dengan orang-orang yang berbuat baik."

Maksud hadis; "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. kebaikan, nescaya diberi faham urusan agama."


Biodata Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub Al-Kedahi.

Ayahnda berasal daripada dua keturunan. Sebelah bapa berasal daripada keturunan Panglima Raja Legeh iaitu kawasan Selatan Patani. Sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan Panglima Raja Laos yang turun ke daerah Sintok, Kedah.

Ayahda dan Bonda Syeikh Mahmud Al-Majzub

Ayahnda dilahirkan di Kampung Kepala Parit, Jalan Tokai, Alor Setar, Kedah iaitu pada 27 Jamadilakhir 1362 Hijrah bersamaan 8 Julai 1943 Masihi. Ayahnda dibesarkan di Kampung Selarung Panjang, Jalan Kangkung, Simpang Empat, Kedah darul Aman.

Ayahnda dibesarkan di bawah asuhan datuknya Haji Ismail bin Haji Deris iaitu seorang ulama' daripada Legeh, Patani sehingga beliau berusia 10 tahun. Ketika berumur 10 tahun, datuknya telah meninggal dunia.

Ayahnda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Simpang Empat sejak beliau berusia 8 hingga 13 tahun. Kemudian beliau menyambung pelajarannya pada tahun 1956 di Pondok Nahdhah, Batu 12, Bukit Besar, Kedah dalam bidang agama sehingga mendapat sijil 4 Senawi selama 8 tahun.

Pada tahun 1965 Ayahnda menyambung pelajarannya di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selama 2 tahun iaitu dalam bidang pengajian Nahu, Feqah dan Hadis. Selepas itu beliau melanjutkan pelajarannya ke India pada awal tahun 1967 iaitu di Deoband selama 4 bulan. Oleh sebab beliau menghadapi masalah bahasa pengantar iaitu Bahasa Urdu sedangkan beliau lebih mahir dalam Bahasa Arab, maka beliau memohon untuk menuntut di Kolej Jamaliah, Madras 12, Perambor, India. Di Kolej ini beliau mendalami bidang Usuluddin selama 2 tahun sehingga mendapat Syahadah Afdal Ulama' (B.A. In Islamic Study).

Di Kolej Jamaliah ini juga, Ayahnda mula menghayati bidang kesufian dibawah asuhan gurunya, Syeikh Maulana Abdul Bari. Maulana Abdul Bari dan pengikut-pengikutnya pernah menguji kebolehan dan keperibadian Ayahnda dengan meminta pandangan beliau tentang peribadi penuntut-penuntut Thailand yang tidak disenangi perawakannya oleh mereka. Ayahnda memberitahu pendapatnya bahwa, "Orang beginilah yang patut kita asuh supaya mereka mendapat iman dan agar kemudiannya mereka akan menjadi contoh apabila mereka pulang kelak". Serantak itu juga, mereka menjawab, "Abul Khair" iaitu menggelarinya sebagai "Bapa Kebaikan".


Ayahnda pulang daripada pengajiannya ke Malaysia pada akhir tahun 1968. Pada masa itu, beliau banyak mengamalkan selawat dan dapat menghabiskan selawatnya sebanyak 5.6 juta (5 600 000) dalam tempoh 5 tahun. Hasil daripada banyak membaca selawat ini, beliau mendapat kekuatan kerohanian. Kebetulan pada masa itu, berlaku peristiwa 13 Mei 1969. Pada masa itu banyak berlaku peristiwa-peristiwa karomah yang mendorong beliau mengharungi perjalanan kerohanian dengan lebih serius iaitu pada tahun 1970.


Ayahnda kemudiannya masuk ke dalam hutan untuk bersendirian dan bermunajat kepada Allah Ta'ala agar dirinya mendapat bimbingan seorang guru rohani yang benar-benar tinggi di sisiNya. Doanya dimakbulkan iaitu pada malam Isnin di Bukit Enggang, Sik, Kedah bersamaan 12 RabiulAwal 1392 Hijrah. Beliau diberi petunjuk oleh Allah Ta'ala untuk berguru dengan seorang guru rohani yang bernama Tok Ayah Said iaitu pada tahun 1972.

Tok Ayah Said

Tok Ayah Said adalah murid kepada Wali Ismail Lundang Paku di Kelantan. Ayahnda mendapat bimbingan dibawah asuhan Tok Ayah Said selama 13 tahun. Selama tempoh latihan kerohanian berbentuk kesufian ini, beliau sentiasa beruzlah dan beribadat bersendirian di dalam hutan sehingga hilang segala perasaan takut kepada makhluk Allah Ta'ala yang lain seperti jin, syaitan dan segala binatang buas.

Wali Ismail Lundang Paku

Selepas itu Ayahnda melakukan latihan ibadahnya di dalam tanah selama 16 bulan. Genap latihan kerohanian kesufiannya selama 9 tahun iaitu dari tahun 1970 hingga ke tahun 1979, Allah Ta'ala kemudiannya mendorong beliau mengerjakan Ibadat Haji ke Kota Mekah.

Semasa Ayahnda tinggal di Kota Mekah, berlaku satu peristiwa penting iaitu pada hari Selasa 1 Muharam 1400 Hijrah yang merupakan hari 'Kepala Abad ke-15'. Selepas 10 Muharam, beliau kembali ke Malaysia untuk menyambung latihan kerohanian beliau.

Peristiwa penawanan Kota Mekah oleh Pengikut Mahdi Palsu

Pada awal tahun 1981, Ayahnda digerakkan oleh Allah Ta'ala untuk menjelajah dunia bagi mendalami lagi ilmu beliau di bidang kerohanian kesufian ini. Beliau melawat markas-markas Tabligh seperti Markas Jemaah Tabligh di Madras, Markas Jemaah Tabligh di Delhi, Markas Tabligh di Lahore dan kemudiannya ke Markas Jemaah Tabligh di Karachi selama 10 hari.

Dari Karachi Ayahnda bertolak ke Kota Mekah, juga untuk tujuan latihan kerohanian. Disana, beliau ke Jabal Nur untuk beribadat. Semasa beliau di Kota Mekah ini juga beliau telah kehabisan wang perbelanjaan. Beliau tidak meminta bantuan daripada sesiapa sebaliknya hidup dengan roti sabil dan air zam-zam selama 40 hari. Kebetulan pada masa itu akhir bulan Ramadhan dan berlanjutan sehingga Jemaah Haji datang. Di sana beliau mengajar bidang kerohanian, kesufian kepada beberapa orang muridnya. Apabila Jemaah Haji datang, murid-muridnya akan memberi bimbingan atau ceramah kepada Jemaah-jemaah Haji. Mereka juga menguruskan korban untuk Jemaah Haji pada tahun itu. Hasil daripada pengurusan korban ini beliau dapat mengumpulkan sedikit wang untuk dijadikan tambang balik ke tanah air.

Ayahnda tinggal di Kota Mekah selama 6 bulan. Sebelum pulang ke tanah air iaitu Malaysia apada akhir tahun 1981, beliau berazam untuk membawa isterinya, Jamaliah ke Kota Mekah bagi menunaikan Haji. Sekembali beliau ke Malaysia, isterinya Jamaliah telah menjual tanahnya untuk pergi ke Kota Mekah bersama Ayahnda bagi menunaikan Haji. Baliau kemudiannya tinggal di Kota Mekah selama 16 bulan. Pada masa itu beliau sempat menunaikan ibadah haji sebanyak 2 kali.

Di Kota Mekah itulah iaitu pada 12 Rejab 1403 Hijrah bersamaan dengan tahun 1983, Ayahnda telah tamat sebahagian daripada latihan kerohaniannya selama 13 tahun. Allah Ta'ala kemudiannya memberi petunjuk agar beliau menyambung latihan kerohanian kesufiannya di Asia.

Madrasah Nurul Iman Hulu Langat

Berpusatkan Malaysia, Ayahnda mengembangkan ajarannya. Pengajaran beliau berkembang pesat di Asia terutama di Asia Tenggara. Pada tahun 1984, tamatlah kes perbicaraan dengan Majlis Agama Islam Kedah. Pada tahun 1985, guru kerohanian beliau iaitu Tok Ayah Said telah meninggal dunia. Selepas kematian Tok Ayah Said, beliau semakin giat cuba memperbaiki dirinya dalam bidang kerohanian sehingga tahun 1989.

Hasil daripada kesungguhan dan ketabahan Ayahnda, akhirnya beliau mendapat alamat gelaran "Abdul Qadir Al-Kedahi'. Beliau cuba mempraktikkan secara istiqamah pangkat atau kebolehan beliau ini dalam kerohanian kesufian selama 4 tahun.

Apabila genab usia latihan kerohanian beliau selama 23 tahun, Ayahnda kemudiannya berjaya mendirikan Madrasah Nurul Iman di Hulu Langat, salah satu Madrasah yang telah berjaya didirikan. Madrasah ini menjadi tonggak pengajaran beliau di Asia. Muridnya kini semakin luas meliputi negara Asia Tenggara, India, Pakistan, Eropah, Afrika dan Asia Barat. 

Wallahu'alam.

Antara kata-kata Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub Al-Kedahi di dalam Ruhul Zikri sebagai memperkenalkan dirinya:

1. Guru saya beritahu, "Mahmud, jarang orang yang dapat tiga helai jubah". Sehingga abad 14 hijrah tidak ada yang dapat 3 helai jubah.Orang abad 14H hanya dapat 2 helai jubah. (Jubah adalah pangkat-pangkat di dalam alam kerohanian)

2. Saya diasuh oleh 3 orang Aulia Allah yang berpangkat Abdal : (1) Haji Hussain Dol, (2) Maulana Abdul Bari, (3) Tok Ayah Said

Haji Hussain Dol

3. Untuk mendapat ilmu ini (kesufian), saya kena menghabiskan masa selama 40 tahun (1969 - 2009). Kamu pula hendak dapat dengan sambil-sambilan. Kutip di tepi-tepi jalan.

4. Perjalanan saya ini adalah "Perjalanan Uwaisiah". Uwais Al-Qarni berpangkat Imaman.

5. Bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana ada orang-orang yang mengatakan saya sesat, ini adalah satu pingat daripada Allah s.w.t. kepada saya. Takkanlah orang-orang yang ikut Musa a.s. dan Rasulullah s.a.w., Firaun dan Abu Lahab nak kata betul!

6. Para Aulia' yang bertugas di muka bumi ini ada seramai lapan ratus lima puluh enam orang (856). - Rujuk Kitab Tanwirul Qulub karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi.

7. Saya buat kerja saya. Saya tidak kisah orang hendak marah atau suka!

8. Satu orang Tuan Guru (Sg. Pau Kedah) komen apa yang saya anjurkan. Saya bagitau dia, "Pak Cik! Kalau Mahmud buat ikut hati - mati. Ikut nafsu - lesu. kalau Mahmud buat kerana Allah - MasyaAllah. Tengoklah nanti bagaimana Mahmud gila (Majzub) memimpin manusia ke jalan Allah Ta'ala".

9. Abad 15 hijrah ialah abad 'kebnagkitan Islam'. 



Sanad Guru (Terjemahan)

Ini adalah sanad yang berkat bagi guru kami Al-'Arif Billah Al-Hj Mahmud bin Hj. Abdul Rahman Al-Majzub Al-Kedahi, semoga Allah Ta'ala memanjangkan umurnya yang berkat. Maka adalah sanad ilmu perjalanan kesufian ini bersambung dengan Rasulullah s.a.w. yang mulia, penutup pangkat kenabian dan penghulu di dua alam. Maka inilah tertib susunan sanad, oleh itu hendaklah kamu memeliharanya agar kamu semua menjadi orang-orang yang bersyukur kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Allah 'Azza Wa Jalla telah menurunkan serta mengajarnya dengan wahyu dan ilham, maka turunlah Saiyidina Jibril 'Alaihissalam kepada Penghulu kami dan tempat berpegang kami, Penghulu segala mursalin dan Imam orang-orang yang bertakwa, ikutan orang-orang yang mencintai Allah, dialah Habibullah dan Khalilullah yang tidak boleh dipertikaikan lagi, Baginda juga merupakan Penghulu bagi dua alam (alam jin dan manusia) Muhammad Mustofa (yang dipilih lagi disucikan) Wal Mujtaba (dan manusia yang terpilih lagi berjaya) Abul Qosim (Ayah kepada Qosim) mencurah rahmat Allah Yang Maha Tinggi dan memberi berkat dan kesejahteraan ke atas Baginda dan keluarganya serta para sahabatnya dan orang-orang yang ada hubungan dengan Baginda sekaliannya. Maka telah menerima dan beramal dengan Toriqat ini daripada Baginda :

01. Amirul Mukminin Asadullah Al-ghalib Sayyidina Ali bin Abi Tolib
02. Kemudian telah menerima daripadanya Al-Qutub Sayyidina Hassan bin Ali bin Abi Tolib
03. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Abu Muhammad Jabir
04. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Said Al-Ghazwani
05. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Fathu As-Su'ud
06. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Saad
07. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Said
08. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Ahmad Marwani
09. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Ibrahim Al-Basri
10. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Zainuddin Al-Ghazwani
11. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Syamsuddin
12. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Tajuddin
13. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Nuruddin
14. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Fakhruddin
15. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Tuqayyuddin Al-Fuqair
16. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Abdul Rahman Al-Madani
17. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Al-Kabir Maulai Abdul Salam bi Masyis
18. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Al-Syahir Abu Hasan Al-Syazili
19. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Khalifahnya Abu Al-Abbas Al-Mursi
20. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Arif Al-Kabir Sidi Ahmad bin Ato'illah
21. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Arif Al-Kabir Sidi Daud Al-Bakhili
22. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Arif Sidi Muhammad Sofa Bahru Al-Sofa
23. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Arif Sidi Ali bin Wafa
24. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Wali Al-Syahir Sidi Yahya Al-Qadiri
25. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Wali Al-Syahir Ahmad bin Uqbah Al-Hadhromi
26. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Wali Al-Kabir Sidi Ahmad Zaroq
27. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Ahmad bin Yunus
28. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Ali bin Abdullah
29. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Syeikh Abu Al-Qosim Al-Wazir Al-Ghazi
30. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Ahmad bin Idris
31. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Sidi Ibrahim Al-Rasyid
32. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Syeikhuna (Guru kami) Al-Syeikh Abdul Somad Tabal Al-Kelantani yang masyhur dengan panggilan Tuan Somad atau Tuan Taba
33. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Al-Qutub Al-Syeikh Ismail (Tok Wali Ismail Lundang Paku Kelantan)
34. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Syeikhuna (Guru kami) Said yang dikenali Ayah Said Salor Kelantan
35. Kemudian telah menerima daripadanya oleh Syeikhuna (Guru kami) Wa Sanaduna (sandaran kami) Wa Fakhruna (kebanggaan kami) Syeikh Mahmud bin Abdul Rahman Al-Kedahi Al-Malizi


Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub Al-Kedahi merupakan pendukung Tariqot Ahmadiah Qodiriah.

Wallahu'alam.


Undang-undang Perjalanan Kesufian

1.     Wirid-wirid biasa hendaklah diamalkan. Sekiranya bersolah di tempat orang ramai maka hendaklah wirid berseorangan dan perlahankan seboleh-boleh yang dapat. Lebih afdhal lagi dibuat di rumah sendiri.

2.     Kebebasan bergaul selagi tidak melanggar hokum syarak.

3.     Berbuat baik sesame manusia lebih-lebih lagi dengan orang jahil (maksud jahil di sini ialah jahil dalam erti kesufian).

4.     Memberi salam kepada sesiapa sahaja yang beragama Islam.

5.     Jangan sekali-kali suka ambil tahu rahsia orang lain dan jangan ambil tahu akan kesalahan orang lain. Carilah kesalahan diri sendiri.

6.     Kuat bekerja mencari nafkah yang halal. Jangan berdiam diri seperti burung malas.

7.     Setiap orang mestilah berdakwah sekurang-kurangnya kepada diri sendiri.

8.     Berkekalan menuntut ilmu di mana jua.

9.     Sentiasa menolong orang yang dalam kesempitan.

10.  Bersedekah kepada fakir miskin dan pada jalan keredhaan Allah Ta’ala.

11.  Lazimkan menziarahi orang-orang yang sakit dan yang meninggal dunia.

12.  Sentiasa melazimkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dalam segenap urusan.

13.  Jangan berjauhan dari majlis-majlis agama, majlis zikrullah dan majlis selawat.

14.  Banyakan berdoa untuk kebaikan orang Muslimin.

15.  Buatlah semua ini hanya semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t.



Pesanan Ayahnda.

Pesanan Ayahnda Syeikh Mahmud Al-Majzub, bahawa orang-orang yang baru mendapat rahmat Allah Ta’ala, yang hendak mendorong diri mengikuti acara beribadat orang-orang salaf, hendaklah melakukan 2 perkara ini, iaitu :

1.     Memperbanyakan Selawat dan Istighfar sekurang-kurangnya;

i) 40,000 Selawat ii) 40,000 Istighfar


2.     Pagar Diri iaitu; Mengamalkan bacaan Ayat Kursi setiap pagi dan petang sebanyak 7 kali sepanjang hidup.

Selepas itu barulah boleh mengikuti acara berzikir dengan sepenuhnya. Kalau tidak, ditakuti kekecohan nafsunya membawa syak wasangka kepada HALQAH ZIKIR. Itulah yang telah berlaku kepada orang awam dengan membuat bermacam-macam tohmahan mengikut hawa nafsu mereka.


(Kami Berlindung Dengan Allah Daripada Perkara Tersebut)

Pondok Derang, Kedah.

Selasa, 22 Januari 2013

Langit dan Bumi

Allahyarham Maulana Ibrahim (Pakteh) dalam kenangan (Al-Fatihah)

Assalammu'alaikum....wrt, hari ini Isnin 21/01/2013M bersamaan 09/03/1434H juga bersamaan 02/02/10,001 tahun PuSaka (bulan Dalu), sempena hari yang mulia (Isnin) dan bulan yang mulia ini (Rabi'ulAwal) marilah sama-sama kita perbanyakkan selawat dan salam kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w. Hari ini juga genaplah 4 bulan 2 hari Allahyarham Maulana Ibrahim (Pakteh) telah kembali ke rahmatullah. Hari ini juga genaplah umur anaknda Nur Fatimah Zahra 4 bulan 2 hari. Selamat makan, minum, mandi, tidur dan melihat keindahan dunia ini wahai anaknda.

Pada artikel kali ini hamba mengajak saudara dan saudari bersama-sama kita menerokai alam langit dan sedikit tentang bumi sebagai iktibar juga renungan tentang kekerdilan diri kita sebagai hamba kepada Allah Ta'ala yang Maha Hebat dan Maha Perkasa. Sebagai penutup artikel kali ini hamba paparkan serba sedikit pengajaran dari kisah Ayahnda Syu'aib a.s. buat panduan seluruh umat di dunia ini.


Nikmatilah suara dan keindahan langit dan bumi ciptaan Allah Ta'ala

Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Mukminuun ayat 17,

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan di atas kamu tujuh jalan (langit) dan Kami sekali-kali tidak lalai terhadap ciptaan Kami."


A.  Tingkatan kejadian Makhluk.

Peringkat atau susunan tingkatan kejadian makhluk atau alam ini merangkumi daripada bentuk-bentuk kehidupan yang paling kecil hingga sampai kepada Allah Ta'ala. Pembinaan peringkat ini direka bentuk oleh Allah Ta'ala, dipelihara dan diimbangi dengan sempurna oleh iradat-Nya. Secara kasar, seluruh makhluk atau kejadian ini terbahagi kepada dua bahagian. 

Pertama : Alam yang diketahui, meliputi alam nyata, dunia dan manusia (insan) seluruhnya.

Kedua : Alam yang tidak diketahui, meliputi alam langit dan yang ghaib.

Dunia atau alam di bawah, iaitu dunia di bawah bulan (sublunary world) adalah alam yang terjadi daripada empat perkara : 1) Kebumian, 2) Tumbuh-tumbuhan, 3) Kebinatangan dan 4) Kemanusiaan. Keempat-empat ini tersusun rapi. Kemanusiaan yang paling atas. Alam atau dunia ini diperintah oleh hukum-hukum tabi'i (natural law) dan tertakluk kepada tumbuh, membesar dan binasa, atau hidup dan mati.




B.  Manusia makhluk terbaik.

Di atas alam nyata itu terletak alam langit yang sebelas (11) bilangannya. Setiap langit ini diduduki oleh malaikat dan roh-roh manusia yang telah meninggal dunia. 

Alam kemanusiaan adalah penyambung alam bumi (dunia) dengan alam langit. Bagi kebanyakan manusia langit pertama itu dilambangkan atau diwakilkan oleh BULAN. Kita mula-mula mencapai pengetahuan alam langit dengan melihat bulan. Bagi mereka yang menduduki langit pertama (bulan), maka bulan menjadi bumi dan langit kedua melambangkan aspirasi yang lebih tinggi - Utarid (Mercury) itulah langit mereka. Demikianlah seterusnya susunan tingkatan (peringkat) langit-langit itu. Bumi dan segala isinya hingga langit pertama, bagaikan sebentuk cincin di tengah padang pasir yang luas. Langit pertama dan segala isinya  hingga langit kedua, bagaikan sebentuk cincin di tengah padang pasir yang luas. Demikianlah seterusnya saiz langit demi langit itu. 

Wallahu'alam.

Manusia menduduki tempat yang paling tinggi dalam heraki makhluk ini, kerana manusia diberi akal. Akal itu tidak ada pada pokok, binatang dan air. Makhluk yang rendah tingkatannya ini hanya boleh menurut naluri yang disediakan oleh Allah Ta'ala. Makhluk-makhluk tersebut taat hanya kepada hukum-hukum tabi'i yang telah Allah Ta'ala tetapkan. Seseorang itu tidak boleh berhujah dengan rusa, pasti ia melompat lari walau apapun tujuan kita menghampirinya. Begitu juga dengan binatang-binatang peliharaan. Anjing misalnya walaupun kita pelihara, ada yang juga naik berang lalu mambaham tuannya.


Binatang yang dijinak dan dipelihara biasanya hilang kehebatan tabi'i jenisnya. Binatang yang hebat semulajadinya, kerana disitulah tempat duduknya yang sebenar. Singa dan harimau tidak membunuh sewenang-wenangnya dalam alam semulajadinya. Memang singa dan harimau itu diciptakan Allah Ta'ala untuk membunuh dan kerana itu ia mesti membunuh. Itulah nalurinya yang dijadikan Allah Ta'ala.

Hanya manusia yang boleh menggunakan akal dan kita boleh memilih sama ada hendak membuat sesuatu atau tidak. Proses ini digelar ikhtiar. Dengan ihktiar kita boleh memilih. Seseorang manusia kalau kita katakan padanya sesuatu tindakan itu merbahaya dan boleh membunuhnya jika dilakukan, namun ia dengan pilihan atau ikhtiar tetap melakukannya dan tidak peduli pendapat orang lain. Binatang tidak ada kebebasan memilih. Ikan tetap ikan juga.

Keputusan pertimbangan mental yang kita buat tercapai melalui akal. Dengan kerana akal-lah manusia itu lebih tinggi darjatnya daripada makhluk yang lain dalam dunia ini. Wallahu'alam.


C.  Tujuh Lapis Langit (Lang-it, Lang-puri) atau Kayangan.



Apabila kita naik melepasi lapisan kebumian, kita masuk ke alam langit. Yang paling zahir ialah langit mintakul-buruj (zodiak) - Tujuh bilangannya. Inilah alam planet.

Yang pertama ialah BULAN. Warnanya putih dan keperakkan dan terbina daripada empat unsur termasuk eter/gas (ether).

Yang kedua ialah UTARID (Mercury). Warnanya kelabu. Allah Ta'ala berfirman bahwa Dia jadikan Utarid dengan campuran fikir-Nya, iaitu fikiran-Nya yang maha mendalam sekali.

Yang ketiga ialah ZUHRAH (Venus). Warnanya kuning. Zuhrah menguasai alam ibarat (misal), perumpamaan dan alam puisi. Allah Ta'ala berfirman bahwa Zuhrah dicipta dengan campuran khayalan-Nya atau imaginasi-Nya.

Yang keempat ialah MATAHARI (Sun). Ia dikuasai oleh Israfil a.s. - Malaikat Peniup Sangka Kala. Nabi s.a.w. dikatakan pernah bersabda bahwa Israfil memberitahu Baginda s.a.w. bahwa Izrail a.s. (Malaikat Maut) meneliti muka 70,000 orang setiap hari dan ia memilih siapa yang akan dipanggil untuk meninggalkan dunia ini. Allah Ta'ala jadikan Matahari dari cahaya hati-Nya dan pancaran Cinta-Nya.

Yang kelima ialah MARIKH (Mars). Warnanya merah darah. Izrail a.s. menguasai planet ini. Marikh diciptakan daripada Waham (keputusan) Allah Ta'ala.

Yang keenam ialah MUSTARI (Jupiter). Ia dikuasai oleh Mikail a.s. dan dijadikan dari cahaya Himmah (renungan fikiran) Allah Ta'ala.

Yang ketujuh ialah ZUHAL (Saturn). Warnanya hitam. Oleh kerana ia terletak di tempat paling tinggi dalam peringkat itu, maka ialah yang pertama diciptakan di kalangan planet-planet. Wallahu'alam.

Tujuh langit yang mula itu (dari paling rendah hingga ke peringkat paling tinggi) dinamakan " sama' " bererti langit. Perkataan sama' (langit) dikaitkan melalui bunyi sama' iaitu perkataan Arab bererti "renungan mental yang mendalam hingga ke peringkat dzauk". Setiap langit ada perkaitan dengan yang di atas dan yang di bawahnya.


D.  Penghuni di setiap lapis Langit.



Langit ini diduduki oleh pelbagai makhluk. Ada juga ditempatkan dalam salah-satu langit itu roh orang yang telah meninggal dunia dan sedang menunggu hari kiamat. Malaikat berada dalam langit-langit tersebut, bergantung kepada tugas dan pangkat masing-masing.

Disamping roh dan malaikat, Allah Ta'ala ciptakan juga Jin. Manusia dijadikan daripada unsur yang empat: angin, air,api dan tanah; tetapi Jin dari unsur "api yang tidak berasap". Menurut Al-Quran, Jin itu boleh membentuk dirinya seperti manusia. Biasanya Jin ini tidak membahayakan dan cenderung kepada manusia tetapi kemungkinan mereka boleh menjadi jahat. Mereka boleh mempengaruhi manusia dan mengganggu urusan manusia dan membuat ketidakseimbangan yang kita kenali sebagai penyakit. Perumpamaan yang terang ialah penyakit memulas perut pada bayi yang mudah dipengaruhi Jin. Beberapa bacaan dan herba tertentu dapat menghalau Jin itu. InsyaAllah.


E.  Kembara Rohani menerobos Angkasa.

Apabila roh dikeluarkan dari badan atau kehidupan keduniaannya, roh itu pun naik melalui lapisan-lapisan langit itu. Dengan itu seseorang masih terkenang kepada kedudukan dan keadaannya yang terdahulu dan juga memandang ke masa depan. Inilah hakikat wujud langit. Mereka yang percaya dengan reinkarnasi (kepercayaan bahwa roh dihidupkan semula ke dalam jasad lain) mendapat konsep tersebut disebabkan mereka sedikit saja mengetahui kejadian langit secara keseluruhan.

Apabila kita sampai ke langit paling tinggi dalam mintakul-buruj atau zodiak (zodiac), kita pun sampai di ambang pintu 'Arasy. Ini hanya perumpamaan saja kerana tidak ada orang yang boleh duduk atau mendekati singgahsana ('Arasy) Allah Ta'ala. Di sini langit ke lapan.



F.  Lapisan Langit di atas Sidratul Muntaha.

Langit ke lapan (8) ini merupakan had sempadan atau perbatasan alam fizikal (jasmaniah) kita ini. Alam yang kita kaji dan selidik dengan teropong, sinaran laser, dan gelombang radio sampai ke perbatasannya di langit ke lapan ini saja. Sungguhpun sains belum tiba ke sempadan ini, mungkin suatu hari nanti manusia sampai ke sana, jika diizinkan Allah Ta'ala.

Kejadian-kejadian yang berlaku di langit ke lapan diarahkan oleh Allah Ta'ala sendiri. Dalam alam rendah ini, Allah Ta'ala mengarah dan mewakilkan pengantara untuk melakukan kerja-Nya. Kalau kejadian seperti bintang berekor, komet atau tahi bintang (meteorite) terjadi dalam alam mintakul-buruj kita ini, maka id disebabkan oleh tindakan dari langit ke sembilan. Peredaran planet dalam langit dunia atau langit bumi ini diaturkan dari langit ini. Wallahu'alam.

Langit ke sembilan (9) ialah "bersifat hablur" (berbentuk seperti hablur) yang digelar 'Arasy (bererti singgahsana) Allah Ta'ala. Keadaannya tidak mampu diketahui akal manusia. Ia diluar konsep akal kita dan tidak dapat diperihalkan. Seorang sufi besar pernah berkata bahwa sesiapa yang dapat sampai ke 'Arasy, pasti akan lenyap daripada kita.

Langit ke sepuluh (10) tidak mengandungi planet dan bintang. Itulah sebabnya langit ini digelar "langit tanpa bintang". Disinilah sumber tempat digerakkan semua alam-alam yang lain itu dengan perintah Allah Ta'ala jua.

Langit ke sebelas (11) digelar "langit bagi segala langit" (Empyrean). Ia bercahaya. Di sini cahaya semata-mata. Syeikh Jalaluddin Rumi r.a. memperihalkan langit ini dengan katanya, "Apa peduli dengan langit bagi segala langit dan langit-langit yang dibawahnya? Perjalanan kita ialah menuju "Taman Mawar KESATUAN" iaitu 'kesatuan' hamba dengan Khaliqnya."



G.  Nur Muhammad (Roh Kenabian)

Allah Ta'ala menjelaskan dalam Al-Quran bahwa tatkala Dia hendak menciptakan makhluk; pertama yang dijadikan-Nya ialah Nur Muhammad (Roh Kenabian). Roh ini dijadikan dari Nur (Cahaya)-Nya sendiri. Dengan kata lain, bagi semua Nabi yang Allah Ta'ala hantar ke dunia ini dengan maklumat untuk manusia tentang kejadian makhluk, Allah Ta'ala jadikan bagi mereka satu roh. Dia utuskan dan letakkan roh ini ke dalam 124,000 bentuk manusia, silih berganti, perempuan dan lelaki, ada yang kita ketahui dan ada yang tidak kita ketahui. Roh kenabian itu terbit dari Nur Allah sendiri. Itulah sebabnya para anbiya' dapat mempengaruhi dunia ini dengan berkesan sekali. Allah Ta'ala memberi mereka kuasa pencahayaan ke atas alam ini.

Wallahu'alam.


H.  Bunga Ros (Mawar) simbol CINTA.

Selanjutnya Allah Ta'ala berfirman bahwa jika tidaklah dijadikan-Nya roh kenabian, tidaklah akan Dia jadikan alam semesta raya ini. Setelah Allah Ta'ala menjadikan Roh Kenabian ini, Allah Ta'ala menjadikan bunga ros atau bunga mawar. Inilah sebabnya bunga ros atau mawar memiliki bau yang sangat harum dan digelar "ibu segala wangian".

Sesiapa yang melihat bunga ros (mawar) akan tersenyum dan terasa sukacita. Orang dari seluruh dunia memulia dan menjaganya dengan baik. Sebenarnya bunga ros itu simbol CINTA itu sendiri.

Apabila kita bercakap tentang cinta dan kita mahu dicintai atau kita mencintai, maka apa yang kita maksudkan ialah kita harap dan rindu dengan 'CINTA HAKIKI' itu yang akan menguasai kita dan membakar kita menjadi abu hingga kita mati dalam kecintaan. Seseorang manusia tidak dapat memberi cinta begitu agung dan luhur terhadap seseorang yang lain. Hanya cinta Allah Ta'ala yang dapat menghancurkan kita. Inilah yang dicari oleh ahli Sufi dan orang Sufi yang mati dalam percubaan mencapai cinta itu.

Wallahu'alam.

Sama-sama kita kenangkan Junjungan Mulia, Manusia Agung Utusan Allah Ta'ala sebagai Ikutan Terbaik umat manusia seluruh alam hingga hari kiamat.
Perbanyakkan Selawat dan Salam keatas Baginda s.a.w.


I.  Di mana Bumi dipijak, di situ Langit dijunjung.

Bumi dan langit tidak dapat dipisahkan. Selagi ada langit selagi itu adanya bumi. Apabila runtuh roboh langit maka akan hancur binasalah bumi ini. Apabila lebur binasanya bumi ini akan musnah punahlah segala kehidupan di daratan, di lautan dan di mana jua makhluk itu berada. Janji Allah Ta'ala pasti berlaku, setiap amal kebaikan dan keburukan akan dihitung dan dibalas dengan setimpal di hari pengadilan kelak setelah hancur binasanya langit dan bumi.

Setiap yang berpijak di permukaan bumi pasti akan bersemadi di dalam perutnya bumi suatu masa nanti. Telah banyak dan terlalu banyak buktinya jika hendak diberitakan. Adakah mampu setiap yang masih hidup di bumi ini menjunjung langit? Apakah maksudnya langit dijunjung? Siapakah yang menguasai Langit dan Bumi? Bukan langit yang harus dijunjung namun perintah TUAN yang menguasai Langit itu yang wajib dijunjung oleh setiap yang hidup di Bumi yang akan binasa ini. Tiada manusia yang hidupnya menongkat langit. Maka ayuh saudara-saudariku yang bijak bistari, fikir-fikirkanlah dengan akalmu yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala. Selagi dirimu mampu berfikir dengan waras.

Wallahu'alam.

Untuk siapakah Bumi ini Allah Ta'ala ciptakan?  Adakah Bumi ini bulat (spera) seperti BOLA? atau Bumi ini terhampar bagai permaidani merah berlapis-lapis (7 lapis)? Nantikan pencerahannya di artikel yang akan datang. InsyaAllah.



J.  Pengajaran dan Tauladan dari kisah Ayahnda Syu'aib a.s.

1)  Islah dan Asasnya.

Dalam kisah Ayahnda Syu'aib a.s., Al-Quran menjelaskan kepada kita cara Islah yang harus ditempuhi, agar dapat memberi bekas amaliah dalam pembinaan masyarakat.

Firman Allah Ta'ala dalam kisah Ayahnda Syu'aib a.s.,

"..... Dan aku tidak berkehendak mengerjakan apa yang aku larang kamu daripadanya. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya lah aku kembali."
Surah Hud ayat 88.

 Brhenti sejenak dalam pernyataannya, "Dan aku tidak berkehendak mengerjakan yang aku larang kamu daripadanya". Ayahnda Syu'aib a.s. menekankan kepada kaumnya dalam perkataan ini, bahwa dirinya tidak akan mengerjakan larangan-larangan yang ditujukan kepada mereka. Ini merupakan ajaran bagi penegak kebenaran yang harus berhati-hati dalam bertingkah laku kerana dia akan menjadi 'cermin' keteladanan. Tingkah laku lebih memberikan bekas daripada pembicaraan, yang keduanya bersumber dari penegak kebenaran, berupa pembicaraan dan hukum.

Suatu nasihat yang disampaikan secara mantap sehingga dapat diterima secara rasional sama sekali tidak akan membuahkan suatu amalan jika pemberi nasihat tersebut tidak memulai mengamalkan segala perintahnya, dan meninggalkan segala larangannya. Oleh sebab itu, Allah Ta'ala mencela orang yang mengajak berbuat baik kepada orang lain, sedangkan dirinya tidak mengamalkannya.

Allah Ta'ala berfirman, 

"Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, sedang kamu melupakan dirimu sendiri."
Surah al-aqarah ayat 44.

Kemudian kita lanjutkan pernyataan Ayahnda Syu'aib a.s. pada ayat ini,

"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan." Maka tampak di sini bahwa kecintaan Ayahnda Syu'aib a.s. terhadap kebaikan merupakan kecintaan murni yang jauh dari maksud-maksud kebendaan. Inilah cara yang harus ditempuh oleh penegak kebenaran dan kebaikan untuk mencapai keberhasilan dan ridha Allah Ta'ala.

Menyeru berbuat baik dengan menghindarkan diri dari motivasi kebendaan dan kepentingan peribadi inilah yang pada akhirnya akan mendapat keberhasilan dan keberuntungan kerana sesuai dengan risalah yang benar. Kebenaran selalu akan mendapat sokongan, dan hawa nafsu akan selalu padam, yang mengakibatkan penyesalan dan kerugian.

Di mana pun, kebenaran akan selalu mendapat sokongan lantaran bersumber dari Al-Khaliq (Allah) pencipta alam dan pengelolanya. Hal ini diisyaratkan oleh akhir ayat, "Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya lah aku kembali."



3)  Kesan dan Pengaruh Solat.

Dalam kisah Ayahnda Syu'aib a.s., terkandung suatu penjelasan tentang pengaruh solat terhadap tingkah laku manusia, seperti dikatakan oleh kaumnya. Mereka berkata, "Hai Syu'aib, apakah solatmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang di sembah oleh bapak-bapak kami atau melarang kami berbuat apa-apa yang kami kehendaki tentang harta kami?"

Kaum Ayahnda Syu'aib a.s. mengamati pengaruh solat terhadap diri Ayahnda Syu'aib a.s. dan para pengikutnya. Bagaimana solat dapat merubah tingkah laku dan membebaskan dari penyembahan selain Allah Ta'ala, meninggalkan perbuatan menipu dalam menimbang dan menakar. Sehingga mereka sangat marah terhadap Ayahnda Syu'aib a.s. dengan mengucapkan perkataan tersebut. Kerana mereka sendiri masih tetap dalam pendirian lama, tidak mahu merubah tingkah laku dan keyakinan mereka.

Memang benar, solat dapat merubah mental pengikut Ayahnda Syu'aib a.s. kerana solat mempunyai sasaran pembentukan sikap mental yang bersih pada manusia sehingga dapat menggerakkan rasa takwa dan hati-hati. Di samping itu, solat juga mengingatkan manusia kepada keabadian hidup pada hari akhirat, 

"Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapat segala kebajikan di hadapkan (kehadapannya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya, ia ingin kalau kiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh...."
Surah Ali-Imran ayat 30.

Oleh sebab itu, solat mampu memelihara orang yang mengerjakannya dari kesalahan dan mencegah perbuatan keji, serta mengalihkan pandangan manusia dari dunia material yang penuh fitnah kepada keridhaan Allah Ta'ala. Al-Quran menjelaskan pengaruh solat sebagai berikut, 

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar."
Surah Al-Ankabut ayat 45.

Jadi, masyarakat akan kukuh dan stabil apabila anggota masyarakatnya mengerjakan solat danberibadah kepada Allah Ta'ala secara benar. Dengan sendirinya mereka akan terbebas dari sesembahan yang batil, kekuasaan thaghut dan kejahatan yang sukar dibenteras.



4)  Anjuran Berbuat Amanah.

Pada sisi lain yang dapat kita rujuk dari kisah Ayahnda Syu'aib a.s. adalah tuntutan amanah dan istiqomah dalam transaksi jual beli, larangan penipuan/kecurangan dalam takaran dan timbangan serta berbuat kerosakan di dunia. Sebab, semuanya itu mengakibatkan kemurkaan Allah Ta'ala dengan siksa yang pedih sebagaimana telah ditimpakan ke atas kaum Madyan dan penduduk Aikah.

Perlu dicatatkan di sini bahwa negara-negara moden sangat memperhatikan masalah timbangan dan takaran dengan menetapkan hukuman keras (contohnya Akta Timbang dan Sukat) terhadap orang-orang yang berbuat licik dalam masalah ini. Sedangkan Islam telah lebih dini menetapkan aturan-aturan yang baik dalam kehidupan sosial.

Islam tidak mencukupkan dengan peraturan-peraturan itu saja tetapi lebih jauh lagi mengajarkan, ".... dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang takaran dan timbangannya." Asy-Syai' di sini mengandung pengertian segala bentuk material dalam mu'amalah manusia, termasuk masalah pengertian ma'nawiyah, seperti memuliakan manusia dan menempatkannya sesuai dengan kemampuan, jasa dan pengorbanannya terhadap masyarakatnya. Sehingga tiap-tiap individu ditempatkan sesuai dengan martabat dan kemampuan ilmiahnya.

Kalimat wa la tabkhasu'n-nasa asyya'ahum merupakan wasiat Allah Ta'ala kepada kita untuk menghimpun segala segi kebaikan. Maksudnya agar manusia senantiasa berjalan di atas landasan kebaikan dalam segala aspek kehidupannya, sehingga terciptalah suatu masyarakat yang teratur dan baik.


Sekian wassalam.

Derang, Kedah Darul Aman.

Jumaat, 11 Januari 2013

Kisah Ayahnda Syu’aib a.s. diutus kepada kaum Madyan dan Aikah.

Pelangi Penuh 
Hamba snap pada 22/12/2012 semasa perjalanan ke Seberang Jaya

Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Jumaat 11/01/2013M bersamaan 28/02/1434H juga bersamaan 22/01/10,001 tahun PuSaka yakni telah berlalu 21hari dari tarikh 'keramat' 21/12/2012M. Dalam artikel kali ini hamba kongsi bersama saudara/i kisah kaum Madyan dan penduduk Aikah yang telah dibinasakan (bagai peristiwa kehancuran digambarkan dalam filem 2012) oleh Allah Ta'ala kerana keingkaran dan kezaliman mereka terhadap seruan Ayahnda Syu'aib a.s. yang telah diutuskan kepada mereka.

Ayahnda Syu’aib a.s. adalah salah seorang Nabi dari empat Nabi yang berkebangsaan Arab, Yakni Hud a.s., Shalih a.s., Syu’aib a.s. dan Muhammad s.a.w. Dikisahkan bahwa Ayahnda Syu’aib a.s. diberi julukan Khatibu ‘l-Anbiya’ kerana kefasihannya, balaghahnya, dan kelancarannya berbicara dalam berdakwah kepada kaumnya, agar mengimani kerasulannya.

Kaum Ayahnda Syu’aib a.s. adalah orang-orang Madyan (dikenali juga sebagai bangsa Madan, Mada, Madaya atau Madi), suatu perkampungan di daerah Mi’an terletak antara Syam dan Hijaz dekat danau Luth. Mereka itu keturunan Madyan ibnu Ibrahim a.s. (anaknda Nabi Ibrahim a.s. dari Isteri ketiga yakni Ibunda Keturah). Pencarian atau sumber pendapatan mereka adalah berdagang, kerana kota tersebut merupakan pangkalan kafilah-kafilah saudagar.


1. Kesesatan Kaum Madyan.

Orang-orang Madyan sudah tidak beriman kepada Allah Ta’ala dan menyembah selain Allah, di samping sebagai orang-orang yang paling licik dan curang dalam transaksi jual-beli. Jika mereka melakukan penjualan selalu mengurangai timbangan atau takaran. Kerananya Allah Ta’ala mengutus seorang Nabi dari kalangan mereka sendiri, yaitu Ayahnda Syu’aib a.s. Segera Ayahnda Syu’aib a.s. berdakwah mengajak beribadah hanya kepada Allah Ta’ala, dengan bekal mukjizat yang Allah Ta’ala berikan.

Ayahnda Syu’aib a.s. mencegah kaumnya agar tidak melanjutkan perbuatan-perbuatan buruk, dan menganjurkan mereka berbuat adil, di samping memperingatkan akibat dari perbuatan sesat. Ayahnda Syu’aib a.s. memperingatkan mereka bahwa sisa harta halal yang merupakan anugerah Allah Ta’ala kepada mereka, lebih baik daripada harta melimpah yang mereka kumpulkan melalui jalan haram.

Walaupun perkataan dan ucapan-ucapan Ayahnda Syu’aib a.s. dipercayai oleh kaumnya, tetapi masih tidak dapat mencegah mereka dari perbuatan-perbuatan buruk. Ayahnda Syu’aib a.s. adalah penasihat yang dapat dipercayai.

Sila lihat firman Allah Ta’ala dalam surah Hud ayat 84 hingga 86.
Dan firman Allah Ta’ala dalam surah al-A’raf ayat 85.


Di antara perbuatan sesat kaum Madyan ialah mereka duduk-duduk ditengah jalan mencegat orang-orang yang akan mendatangi dakwah Ayahnda Syu’aib a.s. ke jalan Allah Ta’ala. Di samping itu mereka menghina kerasulan (risalah Ayahnda Syu’aib a.s.), dan mengancam orang-orang Mu’min. Ayahnda Syu’aib a.s. melarang perbuatan mereka itu dan mengingatkan tentang nikmat Allah Ta’ala yang diberikan kepada mereka. Allah Ta’ala telah melipatgandakan harta dan memberikan kekayaan setelah merasakan kemiskinan, agar mereka mengkaji sejarah dan dapat mengambil iktibar tentang siksa Allah Ta’ala terhadap orang-orang yang berbuat kerusakan di dunia ini.

Kemudian Ayahnda Syu’aib a.s. mengemukakan pendapatnya, “Sesungguhnya kamu sekalian terdiri dari orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan dakwahku. Di antara kalian, ada orang yang kufur kepada Allah Yang Maha Bijaksana, agar mengadili masalah ini.”

Firman Allah Ta’ala dalam surah al-A’raf ayat 86 dan 87,

“Dan janganlah kamu duduk di tiap-tiap jalan dengan menakut-nakuti dan menghalang-halangi orang yang beriman dari jalan Allah, dan menginginkan agar jalan Allah itu bengkok. Dan ingatlah di waktu dahulunya kamu (berjumlah) sedikit, lalu perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan. Jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada apa yang aku diutus untuk menyampaikannya dan ada (pula) segolongan yang tidak beriman, maka bersabarlah hingga Allah menetapkan hukumnya di antara kita, dan Dialah Hakim yang sebaik-baiknya.”

Kenangan di Makam Purba (Makam Sultan Muhyiddin Mansor Syah) Ulu Melaka, Langkawi.


2. Penghinaan Terhadap Ayahnda Syu’aib a.s.

Orang-orang mencemohkan kata-kata Ayahnda Syu’aib a.s. dan mengejek, “Hai, apakah solatmu yang berbekas dalam dirimu sehingga engkau menjadi orang cerdik bijaksana, mengajak kami meninggalkan patung-patung sesembahan nenek moyang kami, untuk tidak membelanjakan harta kekayaan sesuai dengan kehendak kami? Bagaimana sikap seperti itu datang dari dirimu, padahal engkau bagi kami adalah orang yang bersifat penyantun lagi bijaksana?”

Ayahnda Syu’aib a.s. menjawab, “Hai kaumku, ceritakanlah kepadaku, andaikata kamu sekalian mempunyai alasan yang kuat lagi meyakinkan (tentang pendapatmu itu). Dan berilah kami rezeki yang lebih baik dari pemberian Tuhanku itu, andaikata kamu sekalian benar. Mana mungkin aku mengingkari Tuhan itu, apalagi mengingkari perintah dan larangan-Nya? Sesungguhnya dengan contoh dan nasihat yang ku sampaikan itu, aku tidak bermaksud lain, kecuali menunjukkan yang benar. Sekali-kali aku tidak dapat menunjukkan kebenaran itu kalau tidak ada pertolongan dan ketentuan Allah. Kerana hanya kepada Allah aku menyandarkan diri dan mengembalikan segala persoalan.”

Kemudian, Ayahnda Syu’aib a.s. melanjutkan perkataannya, “Hai kaumku, hendaknya pertentangan antara aku dan kamu ini janganlah sampai berlarut-larut hingga menyebabkan aku bersikap kejam terhadap kekufuran, yang dapat mengakibatkan kamu sekalian ditimpa musibah seperti kaum Nuh, Hud, Shalih, dan sebab-sebab kehancuran kaum Luth yang sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan kalian. Oleh sebab itu, ambil-lah pelajaran dari mereka sehingga kamu tidak tertimpa musibah yang mereka deritai, dan mohon ampunlah kepada Allah atas dosa-dosa yang kamu lakukan. Kembalilah ke jalan Allah dengan penuh penyesalan, sesungguhnya Allah Maha Penyayang dan Pengampun kepada hamba-hambaNya yang bertaubat.”

Sila lihat surah Hud ayat87 hingga 90.


3. Ancaman Terhadap Ayahnda Syu’aib a.s.

Demikianlah keadaan dakwah Ayahnda Syu’aib a.s. terhadap kaumnya, yang selalu mendapat tentangan dan ancaman para pembesar mereka, “Kami benar-benar akan mengusir kamu beserta orang-orang yang beriman dari kota kami ini, kecuali jika kalian kembali memeluk agama kami yang kamu tinggalkan itu.”

Ayahnda Syu’aib a.s. menjawab ancaman mereka, “Apakah kami harus kembali kepada ajaran-ajaran agama kalian yang kami benci kerana kerusakan ajarannya itu? Tidak mungkin, kerana apabila kami kembali kepada agamamu, berarti kami berbohong kepada Allah dan berbuat sesuatu yang tidak diperintahkan oleh-Nya. Padahal, Dia telah memberi petunjuk jalan yang benar. Tidak layak akau kembali kepada agama kalian kerana menurutkan kehendak dan kesenangan kamu belaka kecuali kalau Allah menghendakinya. Tetapi hal itu sekali-kali tidak mungkin kerana Tuhan kami Maha Mengetahui tentang perbuatan-perbuatan kami dan tidak mungkin memberi ridha untuk kembali kepada kebatilan-kebatilan kalian. Dia Maha Suci, Maha Mengetahui segala sesuatu. Kami hanya dapat memanjatkan doa kepada-Nya untuk memberi keputusan dengan adil tentang masalah kalian dan kami. Dia adalah seadil-adil Hakim.”

Sila lihat Firman Allah Ta’ala dalam surah al-A’raf ayat 88 dan 89.


Kemudian kaumnya kembali mengancam untuk merajamnya, dan mengatakan bahwa perbuatan itu jika dilakukan sejak dahulu, sampai sekarang pun takkan ada orang yang akan menghalanginya. Menurut mereka , tidak melakukan siksaan terhadap Ayahnda Syu’aib a.s. kerana suatu kebaikan keluarganya saja, bukan berarti keluarga Ayahnda Syu’aib a.s. termasuk orang-orang mulia yang dapat menghalangi mereka untuk membunuhnya.



Ayahnda Syu’aib a.s. menjawab, “Apakah keluargaku lebih patut kamu santuni daripada Allah Ta’ala, sehingga kamu campakkan wasiat-wasiatNya jauh-jauh dari kalian? Ingatlah, sesungguhnya Tuhanku Mengetahui segala sesuatu, dan akan memberi balasan terhadap manusia sesuai dengan amal perbuatannya.”

Sila rujuk firman Allah Ta’ala dalam surah Hud ayat 91 dan 92.


4. Kehancuran Kaum Madyan.

Datanglah perintah Allah Ta’ala untuk menghancurkan kaum Madyan sebagai balasan kelalaian-kelalaian mereka. Ayahnda Syu’aib a.s. dan orang-orang beriman diselamatkan kerana kasih sayang-Nya.  Orang-orang kafir disambar petir yang amat dahsyat diiringi gempa bumi yang mengakibatkan mereka terjungkir balik, mati bergelimpangan dan tersapu bersih (bagai peristiwa kehancuran digambarkan dalam filem 2012). Habislah riwayat mereka, lenyaplah bekas-bekas peninggalan, bahkan seolah-olah mereka tidak pernah bertempat tinggal di kota itu.

Kehancuran kaum Madyan dan jauhnya mereka dari rahmat Allah Ta’ala sama halnya dengan kehancuran kaum Tsamud.

Firman Allah Ta’ala, “Dan  tatkala dating azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dia dengan rahmat yang besar dari Kami, tetapi orang-orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya. Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, kebinasaanlah bagi penduduk Madyan sebagaimana kaum Tsamud telah binasa.”

Surah Hud ayat 94 dan 95.

Ayahnda Syu’aib a.s. melihat kehancuran kaumnya, kemudian berpaling meninggalkan mereka seraya berkata menghibur diri atas kengerian peristiwa yang menimpa mereka itu. “Aku telah sampaikan risalah Tuhanku pada kalian. Andaikan kalian mengamalkannya, niscaya akan menemui kebahagiaan. Aku telah sampaikan nasihat dengan cara sebaik-baiknya kepada kalian. Tetapi kalian bertahan dalam kesesatan. Bagaimana mungkin aku bersedih atas kehancuran kalian padahal kehancuran itu akibat logis atas kekufuran dan kelalaian kalian?”

Lihat surah al-A’raf ayat 93.


5. Ashhabu‘l-Aikah.

Sesudah Allah Ta’ala menghancurkan kaum Madyan dan menyelamatkan Ayahnda Syu’aib a.s. beserta pengikutnya, Allah Ta’ala mengutus Ayahnda Syu’aib a.s. kepada Ashhabu’l-Aikah yang tinggal di daerah subur dekat Madyan. Daerah itu dihuni oleh orang-orang yang hidupnya seperti kaum Madyan, selalu menghambakan diri pada nafsu dan berbuat maksiat.

Ayahnda Syu’aib a.s. berkata kepada mereka, “Aku diutus Tuhan untuk memberi petunjuk dan dipercaya menyampaikan risalah kepada kalian. Maka takutlah akan azab Allah dan ikutilah aku dalam menuruti perintah Allah. Sungguh aku tidak meminta upah dalam memberi petunjuk kepada kalian, tetapi Allah yang akan memberi pahala kepadaku.”

Di antara nasihat yang diberikan Ayahnda Syu’aib a.s. kepada mereka adalah, agar mereka jujur dalam menimbang dan menakar untuk orang lain. Jangan sampai mengurangi hak mereka, jangan membuat kerusakan di dunia dan agar mereka takut kepada Allah Ta’ala yang menciptakan mereka dan umat yang kuat sebelum mereka.

Nasihat tersebut tidak berbekas sama sekali dalam hati bahkan mereka membantah, “Engkau adalah seorang yang terkena sihir sehingga engkau dapat berkata demikian. Engkau sebenarnya orang yang seperti kami juga, tidak mungkin engkau mempunyai kelebihan dibanding kami dalam masalah risalah! Menurut hemat kami apa yang engkau sampaikan kepada kami adalah dusta, cobalah meminta kepada Tuhan engkau agar menurunkan siksa dari langit kepada kami.”

Ayahnda Syu’aib a.s. menjawab, “Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui maksiat yang kalian lakukan dan siksa yang patut menimpamu pada saat yang telah ditentukan.”


Kaum itu terus-terus membohongi Ayahnda Syu’aib a.s., maka Allah Ta’ala menurunkan siksa kepada mereka. Allah Ta’ala menurunkan hawa sangat panas yang menyesakkan nafas mereka, sehingga mereka keluar mencari tempat yang luas, agar mendapat tiupan udara segar.

Tiba-tiba terdapat awan yang menaungi, sehingga dengan ramai dan rasa riangnya berkumpul di bawah awan tersebut. Tiba-tiba datanglah angin kencang melemparkan mereka, dibayangi awan hitam pekat dan guntur yang menghancurkan. Hari itu merupakan siksa yang dahsyat dan sangat mengerikan (bagai peristiwa kehancuran digambarkan dalam filem 2012).

Sila rujuk surah Asy-Syu'ara’ ayat 176 hingga 191.

Wallahu'alam.


Sekian, wassalam.

@ 5.55ptg 11/01/2013 Derang, Kedah.