Ayahnda

Ayahnda

Isnin, 28 Mei 2012

Usaha atas Iman dan Dakwah Ayahnda Ibrahim a.s.



Assalamu’alaikum…wrt,

Hari ini Isnin 28/05/2012M bersamaan 07/07/1433H.

Ayuh sama-sama kita ikuti sambungan kisah Ayahnda Ibrahim a.s., selamat membaca.

Setelah dilantik sebagai Nabi dan Rasul Allah, Iman Ayahnda Ibrahim a.s. semakin hari semakin kukuh. Ibadahnya semakin mantap. Hatinya lebih merasa kecintaan dan kerinduan kepada Allah ‘azza wajalla.

Persoalan yang timbul di kepalanya bukan lagi persoalan alam nyata; tentang matahari, bulan dan bintang; tentang tanah, gunung, sungai dan pohon-pohon. Ayahnda Ibrahim a.s. sudah memikirkan tentang kehidupan yang lebih kekal abadi di akhirat. Bagaimanakah Allah ta’ala menghidupkan manusia yang telah mati? Tubuh telah hancur menjadi tanah. Bagaimana tubuh itu dapat dikumpulkan semula?


Ayahnda Ibrahim a.s. ingin tahu sangat jawapan kepada soalan ini. Di daerah yang tenang itu juga dia bermohon kepada Allah s.w.t., (maksudnya) “Tunjukkan kepadaku bagaimana Engkau mengadakan hari kebangkitan dan menghidupkan manusia yang telah mati?” Allah s.w.t. menurunkan wahyu (maksudnya), “Apakah engkau belum beriman, ya Ibrahim?” Ayahnda Ibrahim a.s. menjawab (maksudnya), “Tidak, sekali-kali tidak. Ya Tuhanku. Bukankah Engkau telah memberi wahyu kepadaku, dan aku telah percaya dan mengakui kebenarannya, tetapi tentang ini aku hanya mahu mententeramkan jiwaku yang sering bertanya mengenainya.”

Allah Maha Mengetahui suara hati hamba-Nya itu. Dia memperkenankan permohonannya. Allah memerintahkan Ayahnda Ibrahim a.s. menangkap empat jenis burung, dan memberitahu perkara-perkara yang perlu dilakukan.


Ayahnda Ibrahim a.s. mematuhi perintah itu. Dia mencari dan menangkap empat ekor burung. Disembelihnya burung-burung itu, lalu dipotong-potong. Dipisah-pisahkan setiap anggota burung yang sudah mati itu. Kemudian dihancurkan lumat-lumat, digaulkan kesemuanya menjadi satu longgokan. Setelah itu dijadikan empat longgok, diletakkan di kemuncak empat bukit yang berasingan.

Ayahnda Ibrahim a.s. menyeru keempat-empat burung yang sudah lumat itu. Tercengang Ayahnda Ibrahim a.s. melihat longgokan daging, tulang dan bulu burung-burung itu bergerak, bercantum dan bertukar menjadi burung semula serta dapat terbang menuju ke arahnya. “Masya Allah! Subhanallah!” itu sahaja yang dapat diucapkan oleh Ayahnda Ibrahim a.s. sebagai tanda kekaguman dan keyakinannya terhadap kekuasaan Allah yang menghidupkan dan mematikan manusia dan menghidupkannya semula.

Burung Helang, Burung Gagak, Burung Merak dan Ayam Jantan.

Dia sujud, kemudian bangun. Bibirnya mengucapkan, “Apabila Allah berkehendakkan sesuatu, maka tidak ada siapa yang dapat menghalang akan terjadinya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”

Ayanda Ibrahim a.s. Berdakwah.

Kembali Ayahnda Ibrahim a.s. ke rumahnya. Malam itu dia tidur dengan  tenang hingga ke pagi. Pada pagi itu dilihatnya, seperti biasa ayahnya menyembah berhala. Ditunggunya sehingga ayahnya selesai. Dia mahu berbicara tentang ibadah kepada Allah dan menyembah berhala.

“…Ayahku! Kenapa ayah sembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikit pun?” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 42).

“Ini tuhanku dan tuhan datuk nenekku,” jawab ayahnya dengan suara keras. Tenang Nabi Ibrahim a.s. mendengarnya. “Ayahku! Sesungguhnya telah datang kepadaku suatu ilmu yang tidak pernah datang kepadamu (ayah). Oleh itu ikutlah aku, akan kutunjukkan (ku pimpin) ayah jalan yang betul.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 43)


Dengan mencebikkan bibir ayahnya berkata, “Engkau hendak menunjukkan aku jalan yang betul. Engkau masih mentah! Apakah engkau lebih pandai dari aku?”

“Ayahku! Janganlah ayah menyembah syaitan. Syaitan itulah yang menderhaka kepada Allah yang telah melimpahkan rahmat-Nya!” “Ayahku! Aku sangat bimbang, ayah akan kena azab dari al-Rahman (Allah), kerana ayah menyembah yang selain-Nya. Lantaran itu ayah akan menjadi teman syaitan di dalam neraka.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 44 & 45)

Ayahnya menjawab, “Patutkah engkau membenci tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya, jika engkau tidak berhenti dari menyeru dan menasihatiku, aku akan lontarmu dengan batu, dan lebih baik engkau tinggalkan aku untuk selama-lamanya.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 46)


Nabi Ibrahim a.s. masih tenang. Dia berkata,”Selamat tinggal ayah; aku akan mohon kepada Tuhanku supaya mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsan-Nya kepadaku.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 47)

Dakwah Ayahnda Ibrahim a.s. kepada bapanya, Azar gagal. Bukan sekadar itu bapanya menentangnya dengan keras dan mengugutnya. Namun Nabi Ibrahim a.s. tetap menghormatinya, sebagai ayah. Dengan sopan dia meninggalkan orang tua itu. "Salamku dan selamat tinggal untuk bapaku, aku pohonkan keampunan Tuhan bagi bapa, kerana bapaku harus dihormati. Dan aku pohonkan keampunan bagimu dan kaumku atas apa yang kamu sembah selain Allah. Dan aku berdoa kepada Allah semoga doaku ini tidak menjadi punca kesengsaraan.”

Doa itu sentiasa diingatinya dalam setiap dakwah yang disampaikan kepada orang ramai; dengan harapan orang yang mahu beriman. Orang ramai menolak seruannya. Mereka terus menyembah berhala dan semakin jauh mereka tersesat. Ayahnda Ibrahim a.s. tidak putus asa. Dia cuba mengajak orang ramai berfikir.


“Adakah patung-patung yang kamu sembah itu dapat melihat? Adakah patung-patung itu dapat mendengar? Adakah manfaat yang boleh kamu dapati setelah kamu menyembahnya? Atau apakah bahaya yang akan menimpa kalau kamu meninggalkannya.” Demikian Tanya Ayahnda Ibrahim a.s. Tersentak mereka mendengar pertanyaan Ayahnda Ibrahim a.s. Mereka tidak menduga seorang muda yang mereka hormati mengemukakan pertanyaan itu.

Salah seorang dari mereka menjawab, “Kami lakukan ini kerana inilah yang kami dapati dari nenek moyang kami semenjak dulu.” Orang ramai yang mendengar jawapan itu senyap sejenak. Dengan tenang dan sopan Ayahnda Ibrahim a.s. berkata, “…Kamu dan nenek moyang kamu telah tersesat…” Orang ramai yang sedang berada di sekeliling berhala merasa tersinggung dengan kata-kata Ayahnda Ibrahim a.s. “Apakah kamu sengaja menghina kami, Ibrahim? Atau kamu hanya bermain-main?” Tanya mereka serentak.


Ayahnda Ibrahim a.s. menatap wajah mereka. Dia menjawab dengan tegas,”Aku berkata benar. Aku tidak pernah main-main. Aku membawa kepada kamu agama yang benar. Aku diutus oleh Allah kepada kamu untuk membawa agama yang benar. Tuhan yang layak kamu sembah ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi.” Berhenti sejenak dia. Tidak ada seorang pun yang dapat menentang mata Ayahnda Ibrahim a.s. ketika itu. Mereka tergamam; terpesona dengan kata-kata Ayahnda Ibrahim a.s. yang tepat dan padat.

“Tentang patung-patung yang kamu sembah itu hanyalah batu-batu yang diukir, yang tidak dapat berbuat apa-apa. Kamu sembah dia kerana kamu dipengaruhi oleh syaitan yang berusaha menyesatkan kamu,” jelas Ayahnda Ibrahim a.s. lagi. Mendengar Ayahnda Ibrahim a.s. memperkecilkan patung-patung yang mereka sembah, ada di antara mereka yang menentang, “Ibrahim! Kawal sedikit kata-katamu itu!” Ayahnda Ibrahim a.s. memperhati ke arah orang itu. Dia tidak membantah secara melulu teguran itu. Diberinya peluang orang itu bercakap.

“Ibrahim! Kami bukan orang sesat,” kata orang yang cuba membela agama berhala mereka. “Kami bukan dirasuk syaitan! Akal kami masih waras,” katanya lagi dengan suara yang lantang. “Betul!” orang ramai menyokong kata-kata orang itu. Gemuruh suara mereka tidak sedikit pun menggugat kekuatan iman, atau memberi kesan apa-apa kepada Ayahnda Ibrahim a.s.


“Kamilah yang mewarisi patung-patung ini dari datuk nenek kami. Kamilah yang masih menghormati kepercayaan yang diwariskan kepada kami. Kami menolak seruan kamu, Ibrahim,” mereka berkata serentak. Ayahnda Ibrahim a.s. diam lagi. Mereka menduga Ayahnda Ibrahim a.s. tidak dapat menentang mereka. Salah seorang daripada mereka bertanya sambil mengejek, “Ibrahim, tidakkah kamu sedar bahawa ada di antara patung-patung ini yang diukir oleh ayahmu?” sambil menunjuk ke arah sebuah patung.

Pedih sekali hati Ayahnda Ibrahim a.s. mendengar pertanyaan itu. Terbayang di hadapannya wajah ayahnya. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya tanpa sebarang kata. Masih terngiang-ngiang lagi ditelinganya jeritan ayahnya, “Apakah engkau benci kepada tuhanku, Ibrahim? Kalau engkau tidak berhenti dari tindakanmu ini, engkau akan kulontar dengan batu. Akan kuhancurkan badanmu… sebelum aku marah, tinggalkan rumah ini! Engkau tak ada lagi dalam hatimu!”

Nabi Ibrahim a.s. cuba melupakan ayahnya dan kata-kata ayahnya itu. Dia menarik nafas panjang, lalu dikumpulkan seluruh kekuatan hatinya yang bermula dari keimanan dan tawakkal kepada Allah s.w.t. Dengan kekuatan itu dia berkata, “Ayahku adalah seperti kamu. Aku tidak setuju dengan apa yang dilakukannya.” Mereka mengejek-ngejek Nabi Ibrahim a.s. Mereka tuduh Nabi Ibrahim a.s. sudah menderhaka kepada ayahnya sendiri. Mereka tuduh Nabi Ibrahim a.s. orang yang melupakan warisan nenek moyangnya.


Ejekan itu tidak sedikit pun memberi kesan pada diri Ayahnda Ibrahim a.s. Dia tetap tabah, tenang dan sabar. Dia menjelaskan tentang Tuhan yang sebenarnya. “Fikirkan dengan akal kamu.” Kata Ayahnda Ibrahim a.s. “Lihatlah dengan mata kamu, moga-moga kamu dapat melihat petunjuk ini. Allah ta’ala itulah yang menjadikan aku, lalu Dia memberi petunjuk kepadaku. Dialah yang mengadakan makanan dan minumanku. Kalau aku sakit Dialah yang menyembuhkan aku. Dialah yang mematikan dan menghidupkan aku kembali. Kepadanya aku tidak putus-putus memohon ampun atas kesalahanku pada hari perhitungan nanti.” Begitu tegas dan jelas Ayahnda Ibrahim a.s. menerangkan kepada mereka.

Keterangan ini tidak memberi kesan apa-apa kepada mereka yang masing-masing telah terkunci hatinya oleh kejahilan. Mereka meninggalkan Ayahnda Ibrahim a.s. seorang diri. Namun, rupa-rupanya di antara mereka yang meninggalkan Nabi Ibrahim a.s. ada yang dapat hidayah untuk menerima seruannya. Hati mereka berbisik, “Memang benar kata-kata Ibrahim itu, esok kau akan kutemui. Esok aku akan beriman kepada Allah dan kepadamu.”

Bersambung ….. insyaAllah.


Khamis, 24 Mei 2012

Armageddon



Assalamu’alaikum..wrt, sebelum hamba sambung kisah Ayahnda Ibrahim a.s. marilah sama-sama kita ulangkaji berita tentang ARMAGEDDON. Hamba yakin kebanyakan saudara/i telah maklum siapakah penulisnya. Sekadar peringatan ulangan untuk Umat Islam Sejagatraya walau mungkin telah ramai blogger menulis tentang ARMAGEDDON.

Hari ini Rabu 23/5/2012 @ 5/5/5 bersamaan 2/7/1433 @ 2 Rejab 1433
Bulan REJAB merupakan BULAN HARAM berperang, 
Jadi JANGAN BERPERANG.

ARMAGEDDON:

MEDAN PERANG DUNIA KETIGA

Apakah yang anda tahu tentang Armageddon (هرمجدون) ?

Ia adalah satu pertempuran dunia terhebat, peperangan senjata nuklear yang menghancur leburkan, beberapa tempat strategi peperangan yang besar, tempat tumpuan peperangan negara sekutu dunia yang menunggu-nunggu semua penduduk dunia hari ini, tempat percaturan dari segi agama serta politik, peperangan salib moden, dragon war yang melibatkan pelbagai pihak, peperangan yang paling dahsyat serta amat buruk dalam sejarah, detik permulaan berakhirnya umur dunia.


Peperangan Dunia Ketiga ‘Armageddon’

Perkataan ini adalah bahasa Hebrew yang  terdiri daripada dua potong ungkapan kata, iaitu هر (bermakna gunung) dan مجيدو (bermakna satu perlembahan di bumi Palestin). Oleh itu, perkataan ‘Armageddon’ bermaksud gunung Mageddo di Palestin.

Sekalipun kita lihat perkataan ini amat ringkas, tetapi mempunyai banyak maksudnya yang tersembunyi. Ianya menguasai dalam pemikiran para sarjana kristian khususnya para presiden Amerika, malahan dianggap sebagai satu penggerak utama dan hala tuju asasi bagi politik Amerika dan barat kristian secara umumnya.

Penulis telah mencatatkan dalam kitab ‘Usia Umat Islam’ secebis daripada kata-kata ungkapan para presiden, para sarjana, cendekiawan mereka tentang huraian maksud perkataan ‘Armageddon’ ini. Di sini penulis hanya menukilkan satu keterangan setiap kelompok kaum untuk memberikan sedikit gambaran tentang pegangan mereka tentang perkataan ‘Armageddon’ ini.


Presiden Amerika terdahulu, Ronald Reagen pernah berkata, “Generasi ini dengan makna tepatnya merupakan satu generasi yang akan melihat peristiwa Armageddon.”

Ketua usul kristian, Gerry Followel berkata, “Armageddon merupakan satu hakikat berstrategi, tetapi kita bersyukur kepada tuhan kerana gunung ini akan mengakhirkan orang ramai.”

Seorang penulis berbangsa Amerika, Gress Hallsel berkata dalam bukunya ‘Hikayat dan Politik’, “Kita percaya seperti orang kristian bahawa sejarah manusia akan berakhir dalam satu peperangan yang dikenali dengan Armageddon. Pertempuran ini akan memahkotakan pengembalian Isa. Dengan kembalinya, beliau akan menguasai semua orang hidup dan orang mati secara sama rata.”

Nukilan ini dipetik daripada buku ‘Hikayat dan Politik’ karangan Gress Hallsel, buku ‘Drama Berakhirnya Zaman’ karangan Oural Robertson dan buku ‘Berakhirnya Keagungan Bulatan Bumi’ karangan Hall Liendsey. Kedua-dua penulis terakhir ini yang termasyhur di Amerika mengandaikan bahawa bulatan bumi akan berakhir secara totalnya pada tahun 2000 Masihi atau tahun-tahun sekitarnya.


Adakah anda tahu apakah rahsianya orang barat beragama kristian sama ada pemimpin, sarjana, cendekiawan dan kebanyakan orang awam mereka amat mengambil berat dengan perkataan Armageddon ini?

Perkataan ini dirujukkan di dalam kitab Injil, kitab suci mereka yang menyebutkannya lebih dari satu tempat, sekalipun kitab Injil sudah diseleweng dan diubah-ubah. Oleh sebab itulah, satu perkataan yang suci, mempunyai maksud yang suci juga menurut pandangan mereka. Dari sinilah, mereka amat prihatin terhadap perkataan ini.

Terdapat dalam Safar Rukyah (16/16), “Roh-roh syaitan akan menghimpunkan tentera-tentera dunia semuanya di sebuah tempat yang dinamakan dengan Armageddon.”

Ini adalah pegangan orang awam, para cendekiawan dan para sarjana mereka. Inilah rahsia mereka amat mengambil berat terhadap istilah ‘Armageddon’ kerana ianya merupakan salah satu dari pegangan mereka. Semua ketua turus angkatan perang dan para tentera menyelaraskan kepada rahsia ini untuk diambil prihatin terhadap ‘Armageddon’ dengan satu sebab lain yang didedahkan oleh salah seorang penulis, Gress Hallsel dalam bukunya ‘Hikayat dan Politik’ halaman 40. Beliau mengatakan, “Para tentera, khususnya serangan golongan terdahulu, mengambil kira kawasan ini sebagai satu tempat yang strategik, di mana mana-mana ketua turus perang mampu menguasainya untuk menentang siapa sahaja yang melawan.”



Penulis kira, sebab inilah yang mendedahkan kepada kita tentang apakah sebabnya Amerika beriya-iya benar hendak menempatkan bangsa Yahudi dengan mendirikan sebuah negara di Palestin menggunakan ‘Perjanjian Balfore’ (Balfore ialah mengambil sempena Author James Balfore yang hidup antara 1848 – 1930 Masihi, yang menjadi Perdana Menteri Britain dalam tempoh jangkamasa 1902 – 1905 Masihi dan menjadi Menteri Luar dalam tempoh jangkamasa 1916 – 1919 Masihi. Pada tahun 1917, beliau telah mengadakan satu perjanjian yang akan menjamin hak bangsa Yahudi untuk mendirikan negara kebangsaan mereka di Palestin) dan berusaha mempertahankannya, kerana negara yang akan dibangunkan ini (selaras dengan ketamakan mereka) ialah satu perkhemahan ketenteraan mereka di ‘Armageddon’. Di sinilah mereka akan merangka pelbagai tektik peperangan untuk menyusun sebarang strategi akan datang demi menghadapi sebarang kemungkinan.

Apa yang menghairankan kita, ketika kita lihat pelbagai kata-kata ungkapan Ahli Kitab yang bersepakat untuk mengambil kira ‘Armageddon’ sebagai satu pegangan dan satu hakikat kebenaran yang mereka tunggu-tunggu, kita lihat kebanyakan orang Islam, malahan lebih ramai lagi tidak tahu menahu tentang istilah ‘Armageddon’ sedikit pun. Sebaliknya, mereka sering menyanggah siapa sahaja yang hendak mengingatkan mereka tentang bahayanya satu masa yang akan datang dan begitulah seseorang itu memusuhi apa yang mereka sendiri tidak tahu.

Semua penganut agama kristian percaya bahawa Nabi Isa AS ialah tuhan mereka yang sebenarnya (The Jesus is the Christ), beliau akan turun pada akhir zaman dan datang dari arah langit semata-mata hendak menyusun strategi peperangan di ‘Armageddon’ menggunakan senjata nuklear yang amat dahsyat. Lalu, Nabi Isa AS mereka akan mengambil para pengikutnya untuk mengangkat mereka di atas gumpalan awan sehinggalah mereka tidak merasai kehebatan suasana peperangan yang amat menghancurkan. Mereka percaya, para pengikut agama kristian akan sentiasa berada di atas awan sehingga peperangan selesai untuk menghapuskan segala bentuk kejahatan atau dengan nama yang lebih tepat bagi mereka ialah hendak menghapuskan golongan pengganas.


Dalam Injil Lukes (12: 25 – 37), Nabi Isa AS dikatakan berbicara kepada para pengikut agama kristian, “Aku akan datang juga dan akan mengambil kamu semua. Laksanakanlah usaha kamu sebaik mungkin yang boleh diperkukuhkan dan isyarat kamu sentiasa dinyalakan. Kamu seperti manusia yang sentiasa menunggu-nunggu ketuanya sehinggalah kembali dari singgahsana raja. Bila dia datang dan mengetuk pintu, kamu berikanlah peluang waktu kepadanya. Berbahagialah kepada para hamba kerana bila ketuanya datang, mereka tidak tidur malam …”

Oleh sebab itulah, para penganut agama kristian sentiasa menunggu peristiwa ‘Armageddon’, malahan mereka berdoa agar Nabi Isa AS dapat segera muncul. Mereka sentiasa mendendangkan, “Wahai Masih! Marilah. Kekasih kami Yasu’. Amin, marilah.”

Kita tahu, mereka percaya Nabi Isa AS hanya akan muncul bila satu kawasan sudah disiap sediakan baginya untuk menghapuskan semua umat lain atau segala kejahatan dalam pertempuran ‘Armageddon’. Dari sini, pentingnya untuk diambil tahu tentang bahayanya perkataan ini dan kita mesti menjelaskan secara khusus tentang hakikat sebenar ‘Armageddon’.


Penjelasan maksud istilah ‘Armageddon


Untuk menghilangkan salah faham yang berlaku pada sebahagian orang, kita katakan, maksud sebenarnya tentang istilah ‘Armageddon’ bukannya terletak pada lafaz dan perkataannya, tetapi apa yang dimaksudkan sebenarnya ialah pada kefahaman dan makna yang tersirat di dalamnya. Perkataan ini mengandungi banyak rahsia. Jika sebahagian orang Islam hanya memerhatikan istilah luaran perkataan tersebut tanpa meneliti apa yang tersirat di dalamnya dan hanya melihat kulitnya sahaja tanpa mengupas isi dalamnya, mereka akan terus memalingkan diri semata-mata bila disebut kalimah ‘Armageddon’ dengan alasan perkataan ini tidak terdapat dalam sunnah. Berdasarkan kepada alasan ini, mereka terus memejamkan mata, menutup hatinya dan meletakkan jari telunjuk di kedua lubang cuping telinganya sehingga tidak dapat mendengar lagi bid’ah ini.

Penulis katakan kepada mereka, biarkanlah perkataan itu sebagai sebuah kalimah dan  fahamilah maksud yang tersirat di dalamnya, iaitu sebuah peperangan yang akan dilakukan oleh negara pakatan dunia bersenjatakan nuklear yang menghancur leburkan dalam masa yang terdekat ini. Anda boleh juga menamakan peperangan ini dengan ‘Peperangan Dunia Ketiga’ dengan mengambil kira semua Ahli Kitab sentiasa menyalakan api peperangan ini lalu mereka menamakannya dengan istilah ‘Armageddon’. Nama ini adalah berasal dari bahasa Hebrew yang dicipta. Anda lihat, kita boleh menghuraikan permasalahan ini dan dapat menghilangkan sebarang keraguan hebat yang sentiasa berkisar dalam dada kita semata-mata hanya mendengar istilah baru ‘Armageddon’.


Adakah ‘Armageddon’ satu pertempuran yang hebat?

Jawapannya, pertempuran di Armageddon hebat juga, tetapi pertempuran yang lebih hebat berlaku sebaik-baik sahaja selepas peristiwa di Armageddon selesai.

Kita boleh menghuraikan ciri-ciri peperangan di Armageddon dengan perkara di bawah ini, iaitu:

a)   peperangan yang berlaku antara negara pakatan dunia blok barat (Amerika, Eropah dan sekutunya) dengan negara pakatan blok timur (Russia, China, Iran dan sekutunya) yang turut sama diikuti oleh sebahagian besar penduduk dunia.

b) negara utama tempat pertempuran ialah tanah dataran gunung Mageddo di Palestin.

c)   satu peperangan senjata nuklear pemusnah yang boleh menghancurkan kebanyakan peralatan perang strategik untuk menghapuskannya secara total.

d) satu pengantar kepada sebuah pertempuran yang lebih hebat, kerana Amerika, Eropah dan sekutunya akan meminta bantuan daripada orang Islam untuk menghancurkan negara blok timur berfahaman komunis dan Syiah, iaitu China, Russia, Iran dan negara sekutunya).


Kemudian, negara sekutu blok barat (Amerika, Eropah dan sekutunya) akan menajamkan pedang dan mengilatkan mata pedang mereka untuk menghapuskan orang-orang Islam di dalam satu pertempuran yang lebih hebat lagi, iaitu,

a)   berlaku selepas peristiwa di Armageddon sejagat dan berlaku sebaik-sebaik sahaja selepas peristiwa itu tamat dalam masa beberapa bulan sahaja.

b) pertempuran secara langsung antara barat pembawa salib dengan orang Islam.

c)   berlaku di Syria berhampiran dengan bandar Damsyik.

d) sebuah peperangan menggunakan kuda dan pedang.

e)   tempohnya hanya selama 4 hari sahaja.

f)   kemenangan di akhirnya ialah di pihak orang Islam di bawah teraju kepemimpinan Imam Mahdi.

Kita katakan, terdapat ciri-ciri khusus antara dua buah pertempuran yang akan berlaku, iaitu Armageddon dan sebuah peperangan salib yang lebih hebat lagi. Dalam pertempuran di Armageddon, kemenangan berada di pihak negara sekutu blok barat (Amerika, Eropah dan sekutunya) bersama sebahagian negara Islam yang bersekongkol dengan mereka. Dengan makna yang lebih sahih sebagaimana yang disebutkan dalam sebahagian hadis Rasulullah SAW ialah para musuh negara sekutu blok barat, iaitu negara-negara blok timur berfahaman komunis dan Syiah. Kemenangan dalam peperangan Salib yang lebih hebat lagi ialah berada di pihak orang Islam yang dapat mengalahkan negara sekutu blok barat (Amerika, Eropah dan sekutunya).

Kita boleh ringkaskan, dua buah peperangan ini adalah satu peperangan dalam satu kali perjalanan. Ketika pihak Amerika, Eropah serta sekutunya dan sebahagian negara Islam kembali dari peperangan di Armageddon ke negara masing-masing, tetapi pihak Amerika mempunyai niat hendak belot dan menyalahi janji kepada sebahagian negara Islam sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
(وفي نيتهم الغدر)
yang bermaksud: “Mereka mempunyai niat hendak memungkiri janji dan belot.”

Ianya adalah satu peperangan yang lama dalam dua buah hala tuju yang berbeza, malahan beberapa buah hala tuju yang dimulai dengan memusnahkan negara Iraq dan ditamatkan dalam satu peperangan salib yang lebih hebat lagi. Kemungkinan peristiwa tersebut mengingatkan mereka tentang peristiwa di Armageddon sahaja tanpa melibatkan satu peperangan Salib yang lebih hebat lagi. Sedangkan peperangan di Armageddon itu adalah sebuah peperangan lama yang termasuk dalam tahapnya yang terakhirnya ialah pertempuran Salib yang lebih hebat lagi.


Berdasarkan kepada makna yang tersirat ini juga termasuk di dalamnya satu ungkapan kata salah seorang ketua bala tentera pihak blok barat, Bush, “Ianya satu peperangan salib yang berlaku dalam satu jangkamasa lama yang berlangsung selama 10 tahun.”

Sebelum kita berpindah kepada fakta lain, kita sebutkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang kita jadikannya sebagai satu panduan asas untuk memahami rentetan peperangan ini.

Rasulullah SAW bersabda:
(ستصالحكم الروم صلحا آمنا، فتغزون أنتم وهم عدوا من وراءهم، فتنصرون وتغنمون وتسلمون، ثم تنزلون بمرج ذي تلول، فيقول رجل من الروم فيرفع الصليب، ويقول: غلب الصليب، فيقوم إليه رجل من المسلمين، فيقتله. فغدر الروم وتكون الملاحم فيجتمعون لكم في ثمانين غاية مع كل غاية اثنا عشر ألفا)
yang bermaksud: “Pihak Rom (Amerika, Eropah dan sekutunya) akan saling mengadakan sebuah perjanjian baik dengan kamu. Lantas kamu bersama dengan mereka akan terus memerangi musuh dari sebalik mereka (Russia, China, Iran dan sekutunya). Kamu mencapai kemenangan, memperolehi harta rampasan perang dan mendapatkan keselamatan. Kemudian kamu kembali dan tiba di sebuah tempat bernama Maraj Zi Thulul di Lubnan. Tiba-tiba salah seorang tentera pihak sekutu Amerika mengangkat salib, seraya berteriak, salib akan menang! Salah seorang pihak kaum Muslimin bangun untuk datang menemuinya, tetapi dia dibunuhnya. Dengan itu, jelaslah pihak Amerika dan sekutu telah memungkiri janjinya. Berlakulah satu pertempuran salib terhebat. Mereka menyerang kamu dari arah 80 penjuru dan setiap serangan penjuru itu mempunyai kekuatan 12,000 orang tentera.”

Hadis ini hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah, Imam Ibnu Hibban.


Serangan di Afghanistan memarakkan lagi peristiwa di Armageddon

Bagaimana boleh terjadi dua pasukan tentera berkumpul di satu tempat, blok barat dan timur menuju ke arah tempat perkhemahan yang sama dan mereka boleh berhimpun di Armageddon untuk bertempur hebat? Adakah Amerika menyerang Afghanistan pada lewat akhir beberapa tahun lalu merupakan satu nyalaan untuk menyemarakkan lagi pertempuran dan kehebatannya?

Penulis rasa, gerakan Amerika dan Britain (Rom pembawa salib) dengan beralasan menghancurkan tempat persembunyian golongan pengganas di Afghanistan hanyalah semata-mata sebagai satu pengantar pendedahan yang buruk terhadap ketetapan niat mereka mempercepatkan lagi peristiwa di Armageddon. Memerangi orang Islam di Afghanistan yang dimaksudkan sebagai golongan pengganas, tidak perlu (di samping kekuatan Amerika yang besar) lebih dari beberapa jam atau lebih pun beberapa hari kerana mereka tahu peperangan akan dilangsungkan selama 10 tahun. Dengan ini, mereka datang untuk meninggalkan sisa tempoh tersebut, datang menyerang dan mengepung. Secara pastinya, negara sekutu blok timur tidak sekali-kali akan merasa takjub secara umumnya sebagaimana yang mereka beritakan.


Kemungkinan berlakunya salah satu senario berikut sehingga boleh berlakunya peperangan di Armageddon, kedua negara sekutu barat serta timur akan pergi menuju ke tempat yang sama dan kedua angkatan tentera akan terus bertarung menunjukkan taringnya:

a) Negara sekutu Amerika dan Britain akan menyerang Iraq dengan andaian Iraq yang mula menunjukkan kekuatan senjata nuklearnya sekali lagi. Atau diandaikan Iraq yang sengaja menempah diri menghentam puak pengganas biologi di Amerika, Eropah atau Israel. Dengan isyarat daripada Russia dan China, Iraq membantah dan terus menyerang Israel menggunakan peluru berpandu. Serangan berterusan, para tentera kedua pihak terus bersedia, lalu kekuatan Amerika serta negara sekutunya membuat perkhemahan tentera di Israel kerana di Israel tempatnya tumpuan pertempuran yang dimaksudkan. Kekuatan negara sekutu blok timur terdiri dari Russia, China dan sekutunya bergerak ke arah Israel. Kedua angkatan tentera bertemu di Armageddon. Peperangan dunia berlaku, Armageddon menjadi tempat tumpuan utama dan tempohnya semuanya bebas. Ini adalah salah satu andaian yang mungkin akan berlaku.

b) China dan Russia meminta kekuatan Amerika dan Britain kembali semula ke negara masing-masing kerana penempatan mereka di sesebuah kawasan terlalu lama dan melampaui had batasannya. Tujuan kedatangan mereka sebagaimana yang mereka beritahu sentiasa melemahkan kedudukan negara lain dan sengaja berdusta. Khususnya, kewujudan mereka dalam satu jangkamasa yang amat lama di Laut Mediterranean, di Lautan Hindi, di Teluk Arab akan menimbulkan ketakutan China serta Russia, seterusnya mengancam keamanan antarabangsa. Negara blok timur cuba membataskan ketamakan mereka untuk mengaut minyak petrol di negara Teluk, di Asia dan di Laut Khazwin.

Tetapi, kekuatan angkatan tentera Amerika, Britain dan negara sekutunya daripada negara Eropah tetap berdegil serta menolak permintaan tersebut, malah terus mengekalkan perkhemahan mereka. Malahan mereka beralasan tindakan mereka itu mendapat restu dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.


Dari sini, negara blok barat dan timur sering bertukar-tukar memberikan peringatan dan amaran. Akhirnya mereka akan bertempur di Armageddon. Walau macam manapun, tempat peperangan dan medan utamanya ialah di Israel di Armageddon, kerana Amerika dan Eropah sudah mengumpulkan kekuatannya di sana.

Walau bagaimana pun, menurut setiap senario yang berlaku, negara sekutu barat yang terdiri dari Amerika, Eropah dan negara sekutunya akan meminta bantuan dari sebahagian negara Islam dan saling membuat perjanjian. Mereka sama-sama bersepakat bersekongkol dalam satu pasukan perang menentang musuh mereka. Mengapa Amerika, Eropah dan negara sekutunya beriya-iya benar hendak meminta bantuan agar sebahagian negara Islam turut sama berkecimpung dalam peperangan sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa Amerika mengusir keluar Iraq dari negara Kuwait pada tahun 1990 Masihi dahulu? Begitu juga sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa pengusiran keluar golongan Toliban di Afghanistan, Amerika meminta bantuan dari puak pakatan Utara beberapa tahun yang lalu? Jawapannya jelas!! Amerika meletakkan golongan Islam yang tertipu ini di barisan hadapan untuk menghadapi serangan saudara seIslam mereka atas daratan, lalu nasib mereka akan mengalami kerugian seumur hidup, di mana roh mereka dapat diterbangkan. Kebanyakan golongan Islam ini terkorban dalam perang saudara, sementara Amerika dan sekutunya hanya menunggu habuan rampasan perang di belakang dengan ketawa terbahak-bahak!!

Selasa, 8 Mei 2012

Kelahiran dan Kebangkitan Ayahnda Ibrahim a.s.



Assalamu’alaikum…wrt, saudara/i pembaca yang hamba hormati. Dalam artikel sebelum ini telah kita ketahui dan dapat kita bayangkan suasana masyarakat serta kepercayaan kaum di zaman Ayahnda Ibrahim a.s. dalam artikel kali ini marilah sama-sama minda dan rohaniah kita masuk ke zaman awal kelahiran dan kebangkitan Ayahnda Ibrahim a.s. sebagai Rasul Allah s.w.t. Ayuh…bersama-sama.

Mahkota dan Mimpi Namrud.

Raja Namrud terjaga dari tidurnya. Dia terjaga lebih awal pada pagi itu. Tetapi keadaannya tidak seperti biasa. Dia duduk termenung. Sesekali matanya dipejamkan, kemudian celik semula. Termenung lagi dia.

Telatahnya itu diperhatikan oleh Azar, pengawal peribadinya yang amat setia. “Tuanku,” kata Azar dengan  hormat. Raja namrud masih termenung juga. Kemudian dia membeliakkan matanya, bagai ada sesuatu yang mengganggu perasannya.

“Katakan kepada patik apa yang tuanku menungkan.” Kata Azar lagi. “Mimpi, beta bermimpi,” kata Raja Namrud. Mahkota yang terletak di atas meja ditunjukkannya. Azar hairan mendengarkan jawapan Raja Namrud. “Mimpi baik Tuanku?” Tanya Azar, sambil memberikan mahkota itu kepada Raja Namrud. “Tidak!” suaranya keras. Mahkota itu dipakainya, kemudian ditanggalkan semula.


“Mahkota ini,” suaranya terhenti dan dia tunduk memperhatikan permaidani tebal di bilik itu. Didongakkan kepalanya dan dengan matanya yang merah diperhatikan perhiasan di bilik itu. Mahkota yang ditangan ditatapnya dengan hati-hati. “Mahkota ini mahu dihancurkan,” bisik hatinya mengingatkan mimpinya. “Aku tidak rela,” bisik hatinya lagi. Mahkota itu direnungnya lagi. Dia memikirkan istana dan kerajaanya. Istana yang besar dan indah itu adalah miliknya. Tidak ada siapa yang dapat memilikinya. Hanya Namrud raja Babilon di Iraq sahaja yang memiliki semua kemewahan dan kekuasaan.

Kemudian dia memerintahkan Azar, “Azar! Kumpulkan seluruh ahli nujum dan suruh mereka mengadap beta!” Dengan segera Azar melaksanakan perintah Raja Namrud yang kasar dan kejam itu. Memang tidak ada sesiapa yang berani membantah perintah Raja Namrud, yang mengakui dirinya Tuhan.


Ahli nujum sudah berkumpul. Tunduk mengadap Raja Namrud di Balai Pengadapan. ‘Beta mahu kamu memberitahu beta tentang mimpi beta,” kata Raja Namrud. Matanya liar memperhatikan ahli nujum. “Beta bermimpi ada seorang budak masuk ke bilik beta, lalu dia menghancurkan mahkota beta.” kata Raja Namrud. Para ahli nujum membuat tilikan dan ramalan bersama, bahwa suatu masa nanti akan lahir seorang budak lelaki yang akan menyingkirkan Raja Namrud dari istana dan kerajaannya. Raja Namrud terperanjat mendengar ramalan itu. “Apa kata kamu!? Tahta beta hendak dirampas oleh budak!?” Suara Raja Namrud lantang, bergema di dewan itu. Para ahli nujum tunduk, menjawab serentak, “Begitulah ramalan kami.”

Raja Namrud mengarahkan Azar membuat peraturan dan arahan. Dia melarang orang berkahwin. Dia memerintahkan suami isteri bercerai. Dia menyuruh pengawalnya menyiasat perempuan yang mengandung dan memaksa mereka menggugurkan kandungan masing-masing. Orang ramai menjadi cemas dan gelisah. Mereka tidak berani hendak menentang peraturan dan arahan Raja Namrud. Masyarakat menjadi tidak tenteram. Rumahtangga kucar kacir dan hancur. Anak-anak terbiar dan isteri ditinggalkan suami.


Setiap hari ada sahaja pengawal yang menyiasat dari rumah ke rumah (gash). Sesiapa yang melanggar peraturan dan perintah Raja Namrud akan dihukum bunuh. Azar sendiri meninggalkan isterinya keseorangan. Tugasnya setiap hari ialah melayani Raja Namrud, memerintahkan nujum memberitahu sama ada budak lelaki yang dimimpikan oleh Raja Namrud sudah lahir atau belum. Disamping itu dialah pembuat patung-patung yang menjadi pujaan dan sembahan Raja Namrud dan orang ramai.

Isteri Azar tidak sanggup terus hidup sendirian. Telah lama Azar tidak balik. Maka pada satu malam yang sunyi ketika pengawal terlena kaku bagai patung-patung di istana Raja Namrud, dia pergi mendapatkan Azar. Azar menerimanya. Selepas itu dia balik dengan selamat, hanya dia dan suaminya tahu apa yang telah berlaku. Itu menjadi rahsia mereka berdua.


Tidak lama sesudah peristiwa itu ahli hujum memberitahu Raja Namrud bahwa kanak-kanak lelaki itu kini sedang dikandung oleh seorang perempuan. Raja Namrud menjadi berang. Hatinya bimbang kerana dirasakan ramalan ahli nujum itu benar. Dia memerintahkan pengawalnya mencari perempuan yang sedang mengandung. Tidak ada perempuan yang tidak kecut hatinya. Ada yang menyesal menjadi perempuan. Mereka takut orang membawa fitnah. Nanti mereka akan menjadi mangsa Raja Namrud dan orang-orangnya yang tidak pernah mengenal belas kasihan.

Isteri Azar juga bimbang kerana dialah sebenarnya yang sedang dicari dan dia tahu dia sedang mengandung. Azar juga tahu tetapi rahsia itu adalah di antara dia dengan isterinya. Isteri Azar berdoa siang malam semoga dirinya dan anak yang sedang dikandungnya dilindungi Tuhan langit dan bumi yakni Allah s.w.t.

“Ya Tuhanku, padaMu aku berlindung. Ya Tuhanku lindungilah diriku dan kandunganku dari orang-orang yang hasad dan zalim.” Demikian doa isteri Azar kepada Allah ta’ala, disebalik rasa cemas dan bimbang. Dengan susah dan sulit isteri Azar melindungi perutnya. Berbagai helah dibuat. Semakin hari dirasakannya kandungan itu semakin besar. Dia tidak kerap keluar rumah, hanya jika perlu. Dia memakai baju labuh dan besar. Hanya kepada Allah ta’ala dia bertawakkal. Sehingga Sembilan bulan dia mengandung tidak ada seorang pun pengawal raja yang memeriksanya. Untuk itu dia bersyukur. Namun, bagaimana nasib anaknya nanti setelah lahir ke dunia? Dia masih diburu oleh kebimbangan.


Raja Namrud juga bimbang. Sebab sudah puas dicari, namun perempuan yang sedang mengandung tidak ditemui oleh pengawalnya. Dia merasakan kehancuran kerajaannya semakin dekat.

Suatu hari Azar pulang ke rumah. Isterinya mengadu bahwa dia sudah hamper hendak melahirkan anak. Azar mulai cemas. Dia meminta isterinya pergi ke pinggir kota Babilon, di situ tempat yang tidak pernah dikunjungi orang. Di situ ada gua. Demi cintanya pada anak yang dikandungnya, dia melangkahkan kaki berjalan menuju ke pinggir kota. Langkahnya yang lemah itu diiringi oleh doa kepada Allah ta’ala. “….lindungilah aku, lindungilah anakku….” Hanya doa itu bersama-samanya menuju ke gua di pinggir kota. Azar sendiri tidak pergi menghantarnya.

Perlahan-lahan dan berhati-hati dia masuk ke gua itu. Diperhatikan ke luar supaya tidak ada pengawal raja yang memperhatikannya. Diperhatikan di dalam gua itu supaya tidak ada binatang berbahaya yang menunggu. Diletakkan punggungnya di atas kain yang dibentangkannya. Dia bersandar. Dia terlentang, kemudian lahirlah seorang bayi. Bayi yang berkat dan mulia itu diberi nama IBRAHIM. Dia sendiri yang menguruskan bayi itu. Dibersihkannya dan diselimutkannya. Tidak kedengaran sedikit pun tangisan dari bayi yang bertuah ini.


Di luar, di kota pengawal terus mencari bayi yang baru lahir seperti yang diramalkan oleh ahli-ahli nujum Negara. Di dalam gua itu seorang ibu sedang mendakap seorang bayi. Mulut ibu itu tidak berhenti-henti berdoa, “…lindungilah anak ini. Lindungilah dia dari  bahaya…” Ibu yang berkat itu meninggalkan bayinya keseorangan kemudian balik ke rumahnya. Bagi ibu itu, biar anaknya mati sendiri jangan mati dibunuh oleh Raja Namrud yang kejam dan zalim.

Allah Maha Kaya dan Allah Maha Melindungi. Allah ta’ala memerintahkan Jibrail a.s. memelihara dan menjaga bayi suci itu. Jibrail a.s. memegang tangan bayi itu, lalu dimasukkan ibu jari bayi ke mulut. Dari jari itu air, susu dan madu mengalir masuk ke dalam mulut bayi. Bayi itu sihat dan selamat. Setiap kali ibunya berkunjung bayi itu semakin sihat. Alhamdulillah…kepada Allah ta’ala ibu itu bersyukur.

Ayahnda Ibrahim a.s. dilantik sebagai Rasul

Ayahnda Ibrahim a.s. meningkat dewasa dalam asuhan Malaikat Jibrail a.s. Tiada siapa  pun dapat menemuinya dalam proses kedewasaan itu selain ibunda dan ayahndanya. Malahan tiada tangan yang dapat menyakiti kulitnya. Segala-galanya di bawah lindungan Allah s.w.t. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan kekuatan dan kekuasaan Allah azzawajalla.


Kawasan gua yang lengang dan tenang itu memberi kesempatan kepada Ayahnda Ibrahim a.s. untuk memikirkan hakikat diri dan alam. Pohon-pohon yang rimbun di sekitarnya membayangkan kesuburan hatinya. Burung-burung yang terbang mencabar fikirannya untuk mencari kebebasan seluas mungkin. Di situ dia selalu bertafakur tentang alam, tentang siang dan malam, bulan dan bintang, tentang hidup, tentang mati dan tentang manusia. Dia berdiri tegak. Siang dilihatnya matahari dengan panasnya. Malam dilihatnya bulan dengan cahayanya. Sesekali didepangkan kedua belah tangannya bagaikan mahu menahan angin yang sedang bertiup.

Siapakah yang menjadikan alam, bulan, matahari dan angin? Siapakah yang menyusun pertukaran siang dengan malam? Siapakah yang menumbuhkan dan menghidupkan pokok-pokok? Siapakah yang menjadikan manusia, burung dan haiwan lain? Pertanyaan ini kian hari kian kerap timbul dalam fikirannya. Tiada siapa yang dapat memantunya untuk memberi jawapan. Tidak mungkin jawapan itu dapat ditanya kepada masyarakat yang tenggelam dalam gelombang jahiliah. Masyarakat sudah begitu jauh tersesat. Ayahnya sendiri menjadi pengukir patung yang disembah oleh orang ramai. Masyarakat tidak pernah memikirkan persoalan seperti yang difikirkan oleh Ayahnda Ibrahim a.s. Bagi mereka Raja Namrud itulah Tuhan mereka,patung-patung itulah juga Tuhan-tuhan mereka.


Ayahnda Ibrahim a.s. begitu terasing dari masyarakatnya. Dia tidak percaya Raja Namrud yang menjadikan bulan dan matahari dan lain-lainnya. Dia tidak percaya patung-patung yang mereka puja dan sembah menjadikan semua itu. Dia begitu pasti yang menjadikan alam, matahari, bulan dan bintang mesti yang lebih berkuasa daripada segala-galanya. Dia itulah Allah Yang Maha Besar.

“Kemudian apabila dia (Nabi Ibrahim) melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia; Inikah Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari terbenam dia berkata pula; Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).” Maksud Surah al-An’am ayat 78.

“Sesungguhnya aku hadapkan mukaku dan diriku kepada Allah yang mencipta langit dan bumi, sedangkan aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).” Maksud Surah al-An’am ayat 79.

Ini cukup diyakininya. Fikirannya berkata begitu dan hatinya merasa begitu. Biarpun orang lain tidak merasa begitu. Oleh itu dia adalah satu-satunya manusia yang terselamat daripada segala bentuk kepercayaan syirik dan amalan mungkar – Salamun ‘ala Ibrahim (Salam sejahtera untuk Ibrahim).


Gua itu ditinggalkan. Langkahnya teratur sebagai membayangkan betapa teraturnya fikiran dan hati orangnya. Dia menuju ke kota Babilon. Kian hampir ke kota kian hilang ketenangan dan ketenteraman. Penderitaan rakyat bawahan dirasai di sana-sini, di sebalik kemewahan golongan pembesar yang bertuhankan Raja Namrud.

Rasa gelisah mula meraba-raba hati Ayahnda Ibrahim a.s. Rasa itu memujuk hatinya supaya turut merasai nasib manusia yang amat malang itu, iaitu di antara mereka yang karam dalam kemiskinan dan penindasan dengan mereka yang hanyut dalam kekufuran dan kemewahan hidup. Di  sana berhala, di sini berhala. Orang-orang yang tidak mengenal Allah s.w.t. melutut di bawah berhala itu. Suasana ini mencabar hati Ayahnda Ibrahim a.s. untuk menyatakan tentangan.

Begitu derita sekali hatinya melihat dan memikirkan semua itu. Untuk apa akal mereka? Patutkah patung-patung itu mereka sembah? “Oh Tuhanku! Berilah petunjuk kepadaku. Sekiranya Engkau tidak memberi petunjuk kepadaku, sesungguhnya aku akan tersesat seperti orang lain yang telah tersesat dan teraniaya,” demikian doa Ayahnda Ibrahim a.s.

Di ulang-ulang doa ini pagi petang, siang dan malam. Berjalan dia berdoa. Berhenti dia berdoa. Duduk dia berdoa. Berdiri dia berdoa. Tidak ada daya lain baginya selain berdoa kepada Allah ta’ala. Doa senjata orang yang beriman. Doa itu dimakbulkan Allah s.w.t. Ayahnda Ibrahim a.s. diberi hidayah oleh Allah s.w.t., dan dilantik menjadi Nabi dan Rasul Allah.


Semenjak itu Ayahnda Ibrahim a.s. menerima wahyu dari Allah ’azza wajalla tenang aqidah syariat agama Islam. Dia juga menerima wahyu tentang alam nyata dan alam ghaib, tentang dunia dan akhirat.

Sekian, bersambung insyaAllah ta’ala.