Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 4 April 2013

Syariat, Tariqat dan Haqiqat : Saling memerlukan.


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Khamis 04/04/2013M bersamaan 23 Jamadil Awal 1434H juga bersamaan 15 Hamal 10,001 tahun PuSaka. Pada artikel kali ini, hamba akan nukilkan Rahsia Ilmu Batin (Haqiqat) dan hubungan erat antara Syariat, Tariqat dan Haqiqt untuk tatapan, renungan dan pelajaran buat diri hamba yang lemah ini juga buat saudara/i yang sudi  membacanya bersama-sama hamba. 

Sebelum hamba meneruskannya, izinkan hamba sentuh sedikit kisah kenabian Ayahnda Dzulkifli a.s.

Allah Ta'ala berfirman : "Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Dzulkifli, mereka semua termasuk orang-orang yang sabar, Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh." 
Surah Al-Anbia ayat 85 dan 86.

"Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa' dan Dzulkifli, semuanya termasuk orang-orang yang paling baik."
Surah Shod ayat 48.

Komentar Ibnu Katsir, " Yang jelas, Dzulkifli disebutkan di dalam Al-Quran disertai pujian, bersama Nabi-nabi lainnya. Hal ini menunjukkan bahwa ia adalah Nabi." Pendapat ini sangat popular.

Adapun dakwah dan risalahnya, di samping kepada siapa Ayahnda Dzulkifli a.s. diutus, Al-Quran tidak menyebutkan sama sekali, baik secara garis besar maupun terperinci.

Sedangkan Ahli Tarikh menyebutkan bahwa ia anak Nabi Ayyub a.s. Nama aslinya Basyar, yang diutus sesudah Ayahnda Ayyub a.s., dan Allah Ta'ala memberi nama Dzulkifli kerana ia sentiasa melakukan ketaatan dan memeliharanya secara istiqamah (berterusan).

Satu pertanyaan disini.... 
Adakah Nabi Dzulkifli a.s. diutuskan kepada satu kaum yang digelar BANGSA MIM? atau kepada BANI JAVI?

Wallaahu a'lam.


Syariat, Tariqat dan Haqiqat : Saling Memerlukan.

Baiklah, sekarang kita masuk dalam tajuk Syariat, Tariqt  dan Haqiqat saling memerlukan. Bagi memahami dengan lebih lanjut akan apa yang hamba nukilkan nanti, diharapkan saudara dan saudari rujuk kepada para guru Mursyid, para Ulama' atau para Masyaikh yang saudara/i kenali.

Syariat : Ertinya, anda menyembah Allah Ta'ala iaitu anda mengikut suruhan Allah Ta'ala dan menjauhi segala larangan-Nya dengan mengaku merendah diri dalam iktikad hati sama ada anda mengerjakan atau tidak, tetap zahirnya syariat.

Tariqat : Ertinya, seperti sesungguhnya anda sahajakan Allah Ta'ala dengan ilmu dan amal iaitu mengamalkan apa yang anda ketahui.

Haqiqat : Ia adalah faedah yang diperolehi daripada kedua-dua yang di atas tadi, iaitu bahawa anda melihat Allah Ta'ala dengan cahaya-Nya yang dipertaruhkan di tengah-tengah hati anda iaitu batin.

Oleh hal yang demikian, syariat dan haqiqat saling memerlukan antara satu sama lain iaitu tidak boleh dibilang zahir syariat melainkan sudah ada batin hakikat, dan juga tidak boleh dikatakan batin hakikat itu melainkan dengan zahir syariat. Oleh sebab itu Ulamak telah memberikan kata syarat : "Syariat tanpa hakikat itu hampa dan hakikat tanpa syariat batal."


Berkata Al-Qutubur Rabbani Walhaikal An-Nurani Maulana As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani q.s., "Tiap-tiap haqiqat yang tidak diperteguhkannya dengan syariat maka ianya zindiq."

Berkata Ibnu Ibad q.s., mengambil riwayat daripada sesetengah orang A'rif, "Barangsiapa mengatakan hakikat itu bersalahan dengan syariat, maka orang itu kafir." Hal ini demikian, kerana kedua-duanya itu adalah syariat Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, syariatnya yang batin itu dinamakan 'Haqiqat' dan syariat yang zahir itu dinamakan 'Feqah'. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan, dan kalau dipisahkan kedua-duanya itu nescaya membawa kecacatan dalam agama.

Sebagaimana kata Imam Junaid r.a. : "Barangsiapa mengetahui ilmu feqah (zahir syariat) tanpa mengetahui ilmu tasawuf (hakikat/batin syariat), maka sesungguhnya orang itu fasik. Dan barangsiapa mengetahui ilmu tasawuf tanpa ilmu feqah, maka sesungguhnya orang itu zindiq. Dan barangsiapa yang menghimpunkan kedua-duanya sekali (ilmu feqah dan ilmu tasawuf), maka sesungguhnya orang itu tahkik yang sebenarnya."

Syariat, tariqat dan haqiqat boleh diumpamakan buah kelapa, syariat itu seperti tempurung yang menjaga isi dan minyaknya. Tariqat itu seperti isinya, dan Haqiqat itu seperti minyaknya yang terdapat dalam isinya itu. Oleh itu tidak akan diperolehi minyak itu melainkan dengan memecahkan tempurungnya dan memerah isinya. Oleh sebab itulah, Allah Ta'ala dan Rasul-Nya menyuruh menyembunyikan rahsia Haqiqat itu daripada orang yang bukan ahlinya. Wallaahu a'lam.


Rahsia Ilmu Haqiqat disembunyikan.

Berkata Syeihkul Islam r.h. dalam kitab Syarah Hukum Ibnu Ruslan : Apa yang dimaksudkan denga  haqiqat itu ialah ilmu laduni yang bercahaya (nurani) yang diajarkan oleh Allah Ta'ala kepada segala roh sewaktu terucap perkataan Allah Ta'ala kepada mereka itu :

Ertinya; "(Allah bertanya) : 'Bukankah Aku ini Tuhan kamu?' (Maka sembah segala roh): 'Betul, Engkau Tuhan kami'." 
Surah Al-A'raaf ayat 172.

Dan lagi diinsyaratkan kepada segala roh dengan firman-Nya: Ertinya; "Dan Dia telah mengajarkan kepada Nabi Allah Adam a.s. nama-nama (benda-benda) seluruhnya."
Surah Al-Baqarah ayat 31.

Tetapi rahsia itu tersembunyi dalam roh dan tertutup oleh sebab memandang wujud yang gelap dengan berasa bimbang dengan karenah hawa nafsunya.  Apabila hilang hal-hal sedemikian, maka dengan taufiq (kekayaan) Allah Ta'ala, nescaya zahirlah rahsia ilmu hakikat. Inilah maksud yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ; "Barangsiapa mengamalkan apa yang diketahui, nescaya Allah Ta'ala mempusakakannya ilmu yang tidak diketahuinya (iaitu mendapatkan ilmu itu tanpa dia bersusah-payah belajar)."


Oleh itu, Allah Ta'ala akan membukakan dalam hatinya itu taufiq sedemikian dengan mendatangkan kepadanya segala makhluk sehingga syurga pun didatangkan juga.

Oleh itu, jelaslah pada kita bahawa ada ilmu yang disuruh oleh Allah Ta'ala dan Rasul-Nya menyembunyikannya daripada pengetahuan orang yang bukan ahlinya dengan berdalilkan Al-Quran dan Hadis secara atsar (bekas) sahabat dan pandangan Ulamak yang tersebut itu. Jadi terbatallah perkataan orang yang mengatakan, sesungguhnya Nabi dan Ulamak itu tidak ada menyembunyikan ilmu.

Ilmu yang disembunyikan itu ialah ilmu haqiqat. Oleh sebab itu, tidak harus sama sekali bagi Salik membaca kitab ilmu haqiqat sebelum ia tetap dalam syariat dan tariqat dan juga sebelum ia menerima talqi (terima ijazah) daripada guru yang pakar, yang wasil (yang sampai kepada Allah) lagi Mursyid Kamil Mukammil, juga sebelum kuat fahamannya (cukup faham) untuk menerima ilmu haqiqat. Ini amat penting kerana hal yang demikian itu akan menyebabkan ia terjerumus ke arah kesesatan selama-lamanya. Hal ini juga menyebabkan ia tidak dapat mencari jalan keluar sehingga ia mendakwa sesuatu hal yang diada-adakannya tanpa dalil dan mengiktikadkan segala iktikad yang tidak layak pada Hak Allah Ta'ala. Semoga dilindungi Allah Ta'ala akan kita daripada perkara sedemikian.

Maka berbahagialah bagi saudara yang menuntut dan berusaha mendapatkan rahsia yang tersembunyi itu supaya dapat menjadi ahlinya dan beroleh kemenangan di akhirat.


Berkata Imam Ghazali Hujjatul Islam dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin, "Barangsiapa tidak ada padanya bahagian ilmu ini iaitu Rahsia Ilmu Batin, nescaya ditakuti ia mati dalam kafir dan sekurang-kurangnya bahagian yang diperolehinya itu dapat mengembangkan rahsia ilmu batin dan dapat mentaslimkan (mensejahterakan, menyelamatkan, memberi pernghormatan) orang yang memilikinya."

Berkata sesetengah orang-orang A'rif, "Barangsiapa ada padanya dua perkara ini, nescaya tidak terbuka padanya sesuatu pun daripada ilmu ini (Rahsia Ilmu Batin) iaitu pertama : bida'ah, dan kedua : kibrun (sombong)."

Berkata sesetengahnya pula, "Barangsiapa yang kasih akan dunia atau kekal mengikuti hawa nafsu, nescaya ia tidak dapat merasakan tahkik dengan ilmu ini, walaupun ia bertahkik dengan ilmu yang lain, sekurang-kurangnya orang yang mengingkari ilmu ini akan menerima balasan siksa iaitu tidak diberi rasa (zauq) oleh Allah Ta'ala daripada rahsia ilmu batin itu."

Itulah ilmu segala orang yang benar (Siddiq) dan orang-orang yang hampir kepada Allah Ta'ala (Muqarrabin).

Wallaahu a'lam.


Sekian wassalam.

Derang, Kedah Darul Aman.

4 ulasan:

  1. Sama-sama Kasih, saudaraku Rafiz Rahim. Semoga kita semua beroleh kebaikan.

    BalasPadam
  2. تَفَكَّرُ سَاعَةِ خَيْرُ مِنْ عِبَادَةِ سَنَةِ
    “Tafakkur (mengingat Allah) satu detik lebih baik daripada beribadah setahun hati yang tidak mengingat Allah”

    BalasPadam