Ayahnda

Ayahnda

Jumaat, 6 September 2013

Kedatangan Yang Dinantikan


Assalammu'alaikum...wrth. Hari ini Jumaat 06/09/2013M bersamaan 30 Syawal 1434H, sempena penghulu segala hari, hamba nukilkan beberapa khutbah Baginda Rasulullah s.a.w. tentang kedatangan 3 insan yang ditunggu-tunggu di akhir zaman ini untuk renungan diri hamba dan saudara saudari seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w.



Kedatangan Imam yang Dinantikan.

Abu Umamah r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah kepada mereka dan menyebutkan masalah Dajjal. Rasulullah s.a.w. bersabda,

Lalu Madinah dibersihkan dari hal-hal kotor sebagaimana tungku api yang membersihkan besi dari karat. Hari itu disebut yaumul-khalash.

Ummu Syarik bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah orang Arab pada masa itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ketika itu jumlah mereka hanya sedikit dan kebanyakan mereka berada di Baitul-Maqdis. Imam mereka adalah al-Mahdi, seorang lelaki yang soleh. Ketika imam mereka, al-Mahdi maju ke hadapan bagi mengimami solat subuh, tiba-tiba Isa putera Maryam turun tepat pada waktu solat subuh. Lalu imam itu mundur secara spontan agar Nabi Isa dapat maju ke depan. Isa meletakkan tangan di bahu al-Mahdi dan berkata, “Maju ke hadapan dan teruskan solat, kerana solat ini didirikan bagi kamu.”

Lalu Nabi Isa pun solat bersama imam mereka.”

video

Ibnu Mas’ud r.a. menyatakan, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

Sekiranya kehidupan dunia hanya berbaki satu malam, tentu Allah Ta’ala akan memanjangkan malam itu, hingga seseorang berkuasa terhadap anggota keluargaku, Dia memasukkan namanya ke dalam namaku, memasukkan nama ayahnya ke dalam nama ayahku. Dia mengisi dunia dengan keadilan dan persamaan, sebagaimana sebelumnya mengisi dunia dengan kezaliman. Dia membahagikan harta dengan adil, menjadikan orang kaya ada di dalam hati umat, al-Mahdi hidup selama tujuh atau sembilan tahun, kemudian tidak ada lagi kebaikan dalam hidup setelah al-Mahdi.”

Ibnu Mas’ud r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Ada berita gembira bagi kalian tentang kedatangan al-Mahdi, seorang lelaki dari umatku yang berasal dari Quraisy, yang muncul ketika manusia sedang berselisih dan bergaduh, lalu dia memenuhi dunia ini dengan keadilan, sebagaimana dunia itu sebelumnya dipenuhi dengan penyelewengan dan kezaliman. Setiap penghuni langit dan penghuni bumi redha kepadanya. Dia membahagikan harta secara saksama di antara manusia, memenuhi hati umat Muhammad dengan kekayaan dan mencipta keadilan di tengah mereka, hingga dia menyuruh seorang penyeru untuk berseru,

Siapa pun yang mempunyai keperluan, hendaklah menemui saya.’

Ternyata yang menemuinya hanya seorang saja, yang datang untuk meminta-minta. Dia berkata kepadanya orang itu, ‘Temuilah seorang pelayan, nescaya dia akan memberikannya.’

Orang itu lalu menemui pelayan yang dimaksudkan dan berkata, ‘Saya adalah utusan al-mahdi kepadamu agar engkau memberikan harta kepadaku.’ Pelayan itu memberinya harta hingga dia tidak mampu membawanya. Maka dia hanya mengambil harta menurut kemampuan membawanya, lalu dia beranjak pergi. Tetapi kemudian orang ini menyesal dan berkata, ‘Aku adalah umat Muhammad yang paling rakus. Setiap orang memiliki harta ini, lalu orang lain meninggalkannya.’ Maka dia meninggalkan harta itu dan berkata, ‘Kami tidak mahu menerima sesuatu pun yang diberikan kepada kami.’

Al-Mahdi hidup selama enam atau tujuh atau Sembilan tahun, dan tidak ada kebaikan dalam hidup sepeninggalannya.”
(al-Jawab Al-Muqni’. Al-Imam Muhammad Asy-Syanqaithy)

video

Intisari Khutbah
  • Rasulullah s.a.w. memberikan berita gembira kepada umatnya mengenai kedatangan seorang pemimpin yang soleh dan adil di akhir zaman nanti.
  • Madinah akan dibersihkan daripada orang munafik dan kafir pada hari yang dikenali sebagai yaumul-khalash.
  • Ketika kemunculan Dajjal, jumlah orang Arab sangat sedikit dan kebanyakannya berada di Baitul-Maqdis.
  • Ketua orang Islam pada masa itu adalah Imam al-Mahdi, seorang lelaki yang soleh.
  • Nabi Isa akan diturunkan kembali ke dunia ketika Imam Mahdi dan pengikutnya mahu mengerjakan solat subuh.
  • Nabi Isa bersolat di belakang Imam Mahdi sebagai penghormatan kepada beliau sebagai seorang ketua.
  • Imam Mahdi adalah seorang pemimpin yang adil dan saksama. Dia menghapuskan kezaliman dan penganiayaan.
  • Imam Mahdi hidup dalam masyarakat Islam selama enam, tujuh atau Sembilan tahun.
  • Selepas pemergian Imam Mahdi, kehidupan masyarakat kembali tidak harmoni.

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.


Kedatangan semula Nabi Isa a.s. ke Dunia.

Abu Hurairah r.a. menceritakan, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,

Demi Tuhan yang diriku ada pada tangan-Nya, begitu cepat putera Maryam turun di tengah kalian sebagai hakim yang adil. Lalu dia menghancurkan salib, membunuh babi, membebaskan jizyah dan harta benda melimpah sehingga tidak seorang pun mahu menerimanya. Sehingga satu sujud lebih berharga daripada dunia dan seisinya.”

Kemudian Abu Hurairah r.a. berkata, “Bacalah sesuka kalian,

Setiap ahli Kitab akan beriman kepadanya (Nabi Isa) sebelum kematiannya. Hari kiamat itu akan menjadi saksi terhadap mereka.”
(Surah an-Nisa’ ayat 159)

(Direkodkan oleh al-Bukhari, Muslim dan at-Tarmizi)

Abu Hurairah r.a. juga melaporkan, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda;

Di antara saya dan Nabi Isa tidak ada seorang nabi dan dia akan turun. Sekiranya kamu melihatnya pasti kamu mengenali dirinya sebagai seorang lelaki berperawakan sederhana. Kulitnya putih kemerah-merahan. Mengenakan dua helai pakaian. Rambutnya seakan-akan meneteskan air sedangkan tidak ada air yang membasahinya. Lalu dia memerangi manusia atas nama Islam, memusnahkan salib, membunuh babi dan membebaskan jizyah. Pada masa itu pula, Allah memusnahkan semua agama kecuali Islam dan membinasakan al-Masih Dajjal. Kemudian, bumi menjadi aman, hingga singa merumput dengan unta, harimau dengan lembu, serigala dengan kambing dan anak-anak bermain-main dengan ular berbisa. Nabi Isa berada di bumi selama empat puluh tahun. Kemudian meninggal dunia dan orang Islam menyembahyangkannya.”

(Direkodkan oleh Abu Daud, al-Hakim dan Ahmad)

video

Intisari Khutbah
  • Rasulullah s.a.w. menjelaskan peristiwa penting yang akan berlaku pada masa hadapan, iaitu kemunculan semula Nabi Isa yang diangkat ke langit.
  • Nabi Isa a.s. akan menjadi seorang pemimpin manusia yang adil dan saksama.
  • Kemakmuran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. membawa kesejahteraan kepada rakyatnya sehingga digambarkan tiada lagi orang mahu menerima zakat atau sedekah. Ini menunjukkan semua orang mendapat keperluan hidup yang mencukupi.
  • Golongan ahli kitab yang masih beriman dengan ajaran Nabi Isa a.s. yang sebenar, pasti akan beriman dengannya apabila dia muncul semula.
  • Nabi Isa a.s. akan muncul selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup para nabi.
  • Berdasarkan perwatakan yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w., orang beriman pasti dapat mengenali Nabi Isa a.s. apabila ia muncul dalam kalangan mereka.
  • Perwatakan Nabi Isa a.s. yang digambarkan dalam hadis ini;
    • Berperwatakan sederhana
    • Berkulit putih kemerahan
    • Memakai dua helai pakaian
    • Rambutnya bersih hingga kelihatan seperti sentiasa basah

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.



Kedatangan Dajjal dan Cubaannya

Safinah menceritakan, Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah kepada kami. Sabdanya;

Ketahuilah, tidak ada seorang nabi pun sebelum saya melainkan dia memperingatkan umatnya tentang Dajjal. Mata kirinya buta, sedangkan kelopak mata sebelah kanannya tebal sehingga menutupi biji mata. Di antara dua matanya tertulis perkataan ‘kafir’. Dia muncul sambil membawa dua lembah, satu syurga dan yang lain neraka. Nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka. Dia juga disertai dua malaikat yang menyerupai dua nabi di antara beberapa nabi. Sekiranya engkau menghendaki, maka engkau dapat menamai keduanya dengan nama mereka, yang nama bapa mereka adalah sama.

Seorang malaikat berada di sebelah kananya dan seorang lagi berada di sebelah kirinya. Ia adalah cubaan. Dajjal berkata, ‘Bukankah aku tuhan kamu? Bukankah aku dapat menghidupkan dan mematikan?’

Salah seorang malaikat berkata, ‘Kamu berdusta.’ Dan, siapa pun yang mendengar perkataan Dajjal, tentu dia menyertainya, seraya berkata, ‘Kamu benar’.

Hal ini didengar orang ramai, sehingga mereka menyangka malaikat yang berupa nabi itu, membenarkannya. Ia adalah satu cubaan.

Kemudian Dajjal melanjutkan perjalanan hingga tiba di Madinah. Dia tidak diizinkan masuk ke sana. Dia berkata, ‘Ini adalah tempat tinggal orang itu.’ Maksudnya adalah Rasulullah s.a.w. Lalu dia melanjutkan perjalanan hingga sampai di Syam. Lalu Allah membinasakannya di sebuah jalan di atas bukit yang tinggi.”

Seorang sahabat dari kalangan Ansar menceritakan, Rasulullah s.a.w. bernah berdiri di tengah kami, lalu bersabda;

Saya memberikan peringatan kepada kalian tentang al-Masih (Dajjal), yang buta matanya.” Dia berkata, “Saya kira beliau mengucapkan matanya sebelah kiri.” Beliau berkata, “Dia membawa gunung dari roti dan sungai yang mengalir air. Tandanya, dia menetap di bumi selama empat puluh hari, yang kekuasaannya mencapai setiap tempat minum di pinggir jalan. Dia tidak dapat mendatangi empat masjid, iaitu Masjid Kaabah, Masjid Rasulullah, Masjid al-Aqsa dan Thur. meski pun begitu maka ketahuilah Allah itu tidak buta sebelah matanya.”

Ibnu Aun berkata, “Saya pasti beliau juga berkata, “Dia menguasai seorang lelaki, membunuhnya kemudian menghidupkannya, namun dia tidak dapat menguasai yang lainnya.”

(Direkodkan oleh Ahmad dalam Musnad al-Imam Ahmad)

video

Intisari Khutbah
  • Setiap nabi memberitahu kepada umatnya mengenai kedatangan Dajjal.
  • Mata kiri Dajjal buta, sedangkan kelopak mata kanannya tebal sehingga menutup biji matanya.
  • Di antara dua matanya terdapat tulisan Arab ; ‘kafir’.
  • Dajjal membawa syurga dan neraka yang telah diterbalikkan keduanya. Lalu apa yang didakwa syurga sebenarnya adalah neraka.
  • Dajjal diiringi oleh dua malaikat yang menyerupai wajah dua orang nabi. Seorang malaikat berada di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.
  • Dajjal mendakwa dirinya sebagai tuhan.
  • Malaikat yang bersama dengannya menafikannya, tetapi orang ramai diperdayakan hingga menganggap malaikat yang menyerupai nabi itu menerima ketuhanan Dajjal.
  • Dajjal pergi ke Madinah tetapi tidak dapat memasukinya.
  • Dajjal hidup selama empat puluh hari.
  • Dajjal tidak dapat mendatangi empat masjid; Masjid Kaabah, Masjid Rasulullah, Masjid al-Aqsa dan Thur.
  • Dajjal dapat menghidupkan seorang lelaki.

Rujukan : Kitab Khutbah Rasulullah, Wasiat Agung Buat Umat Tercinta oleh Rohidzir Rais terbitan PTS Islamika 2011.

Video Bonus... Jabbarullah! Jabbarullah!! Jabbarullah!!! (Jabbal Thur?)
video


Wallahu'alam.
Sekian Wassalam...

Utan Aji Perlis Indera Kayangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan