Ayahnda

Ayahnda

Isnin, 21 Oktober 2013

Nasihat Nabi Khidhir a.s.



Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Isnin 21 Oktober 2013M bersamaan 16 Zulhijah 1434H sempena selesainya ibadah Haji tahun ini, hamba nukilkan nasihat Nabi Khidhir a.s. kepada Nabi Musa a.s. juga untuk pelajaran dan pedoman kepada kita bersama sebagai ummat Nabi Muhammad s.a.w. di akhir zaman ini.

Umar Al-Khattab r.a. menceritakan, Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Saudaraku, Musa a.s. berkata, ‘Wahai Tuhanku, perlihatkan kepadaku orang yang Engkau tampakkan kepadaku di perahu’.”

Allah Ta’ala menurunkan wahyu kepada Musa a.s., “Hai Musa, kamu akan melihatnya.”

Tidak lama kemudian datang Nabi Khidhir a.s., dengan aroma yang harum dan mengenakan pakaian berwarna putih. Khidhir a.s. berkata, “Salam sejahtera atas kamu wahai Musa bin Imran. Sesungguhnya Tuhanmu menyampaikan salam kepada kamu beserta rahmat-Nya.”

Musa a.s. berkata, “Dialah As-Salam dan kepada-Nya kesejahteraan serta dari-Nya kesejahteraan. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang nikmat-nikmatNya tidak dapat aku hitung dan aku tidak mampu  bersyukur kepada-Nya kecuali dengan pertolongan-Nya.”


Kemudian Musa a.s. berkata, “Aku ingin engkau memberiku nasihat yang dengannya Allah memberikan manfaat kepadaku sepeninggalan kamu.”

Khidhir a.s. berkata,
“Wahai pencari ilmu, sesungguhnya orang yang berbicara tidak lebih mudah jemu daripada orang yang mendengarkan. Maka janganlah kau buat orang yang ada di sekitarmu menjadi jemu ketika engkau berbicara kepada mereka. Ketahuilah bahawa hatimu merupakan bejana (bekas). Maka perhatikan apa yang diisikan ke dalam bejanamu. Kenalilah dunia dan buang ia di belakangmu, kerana dunia bukan merupakan tempat tinggal mu, dan apa yang ditetapkan bagimu tidak ada di dunia.


Ekspresi Tangan Syahadat

Dunia dijadikan sebagai perantara hidup hamba, agar mereka mencari bekal darinya untuk tempat kembali. Hai Musa, letakkan dirimu pada kesabaran, tentu engkau akan selamat dari dosa. Wahai Musa, pusatkan minatmu kepada ilmu kalau memang engkau menghendakinya. Sesungguhnya ilmu itu bagi orang yang berminat kepadanya. Janganlah engkau menjadi mudah kagum kepada perkataan yang disampaikan panjang lebar, kerana banyak perkataan mendatangkan aib bagi orang yang berilmu dan dapat membocorkan rahsia  yang mestinya ditutupi. Tetapi semestinya engkau berkata sedikit, kerana yang demikian itu termasuk taufik dan kebenaran.

Berpalinglah dari orang bodoh dan bersikap lemah-lembut terhadap orang yang dungu, kerana yang demikian itu merupakan kelebihan para ahli hikmah dan hiasan orang yang berilmu. Jika ada  orang bodoh yang mencacimu, diamlah di depannya lalu menyingkir dari sisinya secara hati-hati, kerana kelanjutannya tetap menggambarkan kebodohannya terhadap dirimu dan caciannya akan semakin bertambah.



Wahai anak keturunan Imran, jangan engkau terlihat memiliki ilmu kecuali sedikit. Sesungguhnya asal keluar dan asal berbuat merupakan tindakan menceburkan diri kepada sesuatu yang tidak jelas dan memaksakan diri.

Wahai anak keturunan Imran, janganlah sekali-kali engkau membukakan pintu yang tidak engkau ketahui untuk apa pintu itu ditutup, dan jangan tutup pintu yang tidak engkau ketahui untuk apa ia dibuka.

Wahai anak Imran, siapa yang tidak berhenti dari dunia, maka dunia itu yang akan melahapnya. Mana mungkin seseorang menjadi ahli ibadah jika hasratnya kepada dunia tidak pernah habis? Siapa yang menghinakan keadaan dirinya dan membuat tuduhan terhadap Allah tentang apa yang ditakdirkan baginya, mana mungkin akan menjadi orang zuhud? Adakah orang yang telah dikalahkan oleh hawa nafsunya akan berhenti dari syahwat? Mana mungkin pencarian ilmu masih bermanfaat bagi orang yang dipagari kebodohan?



Perjalanan akan menuju ke akhirat dengan meninggalkan dunia. Wahai Musa, belajar apa yang engkau amalkan agar engkau mengamalkannya dan jangan engkau menampakkan amalmu agar engkau disebut-sebut, sehingga engkau mendapatkan kerosakan dan orang lain mendapatkan cahaya.

Wahai anak Imran, jadikanlah zuhud dan takwa pakaianmu, jadikanlah ilmu dan zikir sebagai perkataanmu, kerana yang demikian itu membuat Tuhanmu redha. Berbuatlah kebaikan, kerana engkau jiga harus melakukan yang lainnya. Engkau telah mendapatkan nasihat jika engkau menghafalnya.”

Setelah itu Nabi Khidhir a.s. berpaling meninggalkannya, sehingga tinggal dalam keadaan sedih.
(Direkodkan oleh at-Tobrani)


Intisari Nasihat Nabi Khidhir a.s.

  1. Etika ketika berucap, jangan bercakap hingga menyebabkan orang lain yang mendengar menjadi jemu.
  2. Hati itu seperti bekas air, setiap orang perlu berhati-hati dalam menentukan apa yang dimasukkan ke dalamnya.
  3. Anjuran agar mengabaikan dunia dan nikmatnya, kerana dunia bukan tempat tinggal manusia yang abadi.
  4. Dunia hanya medium bagi manusia mencari bekalan sebelum berangkat ke akhirat yang kekal abadi.
  5. Sifat sabar boleh menghindari seseorang itu daripada maksiat dan dosa.
  6. Perlu bersungguh-sungguh dan berminat dalam menuntut ilmu.
  7. Percakapan yang banyak tidak bermanfaat sekiranya bahannya hanya membuka keaiban dan mendedahkan rahsia kepada orang lain.
  8. Percakapan yang sedikit tetapi berhikmah itu lebih bermanfaat.
  9. Anjuran agar tidak berkawan dengan orang bodoh kerana kebodohannya itu akan menyusahkan orang lain. 


  10. Orang yang bijak akan mendekati mereka yang kurang ilmu bagi membimbing mereka.
  11. Sekiranya ada orang mencaci maki, usah membalasnya. Sebaliknya berdiam diri sahaja dan segera berpaling daripadanya. Sekiranya dibalas segala cercaannya, dia akan semakin galak mencaci.
  12. Jangan berbangga dengan ilmu yang ada dan menunjuk-nunjukkannya kepada orang lain.
  13. Jangan mengharuskan perkara yang diharamkan sekiranya tidak tahu mengapa ia diharamkan.
  14. Orang yang terlalu asyik mengejar dunia, akhirnya akan dimusnahkan oleh dunia itu sendiri.
  15. Ibadah tidak dapat dilakukan dengan sempurna sekiranya seorang itu masih terlalu mengharapkan dunia.
  16. Seorang yang zuhud tidak akan menyalahkan Allah di atas segala kekesalan dan kekurangan yang dihadapinya.
  17. Orang yang tewas dengan hawa nafsunya sendiri akan berterusan diperhambai nafsunya.
  18. Orang yang membiarkan dirinya dalam kebodohan tidak dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya.
  19. Kewajipan mempelajari segala ibadah yang mahu diamalkan.
  20. Tidak sesekali menunjuk-nunjukkan amal perbuatan yang dilakukan kepada orang lain kerana ia menyebabkan amalan itu sia-sia.
  21. Sentiasa bersikap zuhud dan takwa.
  22. Bercakap berdasarkan ilmu dan zikir.

Wallahu’alam. Sekian Wassalam.


Tasik Permai Ampang Selangor Darul Ehsan.

2 ulasan: