Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 26 Julai 2012

Tak Kenal maka Tak Cinta



Assalammu’alaikum…wrt, hari ini Rabu 25 / 07 /2012 bersamaan 05 / 09 / 1433 telah 5 hari umat Islam berpuasa Ramadhan dan pada hari ini genaplah setahun usia blog Berkat Ayahnda yang sedang saudara/i baca sekarang.

Alhamdulillah, sempena setahun jagung hamba yang lemah ini menulis di sini, ingin hamba mencoretkan sedikit butir peribadi dan sejarah hidup hamba ini. Supaya dengan penulisan ini akan menjadi renungan dan panduan untuk anak-anak, cucu cicit dan saudara-mara serta rakan taulan hamba di hari akan datang mengenali siapakah hamba yang serba lemah ini. InsyaAllah.


"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman), "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab, "Betul (Engkau Tuan kami),kami bersaksi." (Kami lakukan demikian itu) agar di hari Kiamat kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap (kesaksian) ini."      Surah Al-A'raf ayat 172.

Hamba tidak setuju dengan orang-orang yang hanya bercerita tentang datuk nenek mereka orang hebat, orang soleh dan tok wali. Dia sendiri pula macam mana? Sepatutnya dia boleh dapat lebih lagi, atau pun sekurang-kurangnya dapat sama macam datuk nenek mereka. Kalau guru buat matan, murid buat syarah. Ini tidak - masuk hutan! (tidak terpakai). Orang yang sebenar cinta Allah s.w.t. tidak akan takut menghadapi cabaran hidup dunia. Hidup atas dunia tidak mahu ikut Nabi, Aulia' atau orang soleh. Bila mati nak duduk sekali dengan orang soleh? ini cerita kartun namanya. Kenapa orang Islam yang dulu-dulu hebat dan kuat? Sebab mereka kuat berpegang dengan Allah s.w.t. dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kita sekarang tidak, sebab itulah orang Islam sekarang lemah. (Petikan dari kata-kata  Hikmah dan Pesanan Syeikh Mahmud Al-Majzub)

Suasana kampong hamba sekarang 2012

Hamba hanyalah orang biasa dan termasuk dalam kebanyakan rakyat Malaysia yang lain. Hamba dilahirkan di bumi Malaysia yang tercinta ini, tepatnya di Negeri Perlis Indera Kayangan. Pada tarikh 25 hari bulan Julai tahun 1976 (25/07/1976) hamba dilahirkan bersamaan malam 27 Rejab tahun 1396 hijrah (27/07/1396)


Nama penuh hamba Amirrullatif Bin Mohd (Mohammad) lahir di kampong Sungai Baru Utan Aji Perlis, dahulunya kampong ini dikenali sebagai Kampong Gelam Utan Aji Perlis. Mungkin sebab terdapat banyak pokok Gelam ketika itu. Kampong ini sebenarnya kampong asal ibunda hamba Sholeha binti Ahmad. Emak kandung ibu hamba Siti Roni binti Che Hassan juga telah dilahirkan dan dibesarkan di kampong ini. Namun Che Hassan lebih dikenali orang kampong sebagai ‘Tok Hassan Pendekar’, moyang hamba ini berasal dari Pattani yang berhijrah dan kawin dengan orang tempatan. Ibunda hamba merupakan anak kedua daripada empat beradik, yang sulong bernama Fatimah, ketiga Abdul Halim dan keempat Mohd Shah.

Ayahnda hamba Mohd atau Mohammad sebenarnya diberi nama oleh atuk hamba, cuma sewaktu mendaftar namanya di balai Polis dulunya ditulis MOHD. Nasab keturunan hamba ialah Amirrullatif bin Mohammad bin Bahari bin Jaafar bin Nayan bin Sulaiman bin Ibrahim. Kampong asal ayahnda hamba ialah kampong Alor Tok Terang dekat dengan Kampong Titi Tok Bandar atau lebih dikenali sebagai Kampong Seriab dalam kawasan Mukim Tok Kuning. Ayahnda hamba merupakan anak ke empat dari tujuh beradik, pertama Rahmah, kedua Abdul Karim, ketiga Derani, kelima Osman, keenam Abdul Hamid dan ketujuh Zakaria.

Kad Pengenalan ini dikeluarkan pada tahun 1988 dan pada tahun 1990 kad pengenalan baru diperkenalkan

Hamba pula merupakan anak sulong daripada lapan adik beradik. Kesemua adik beradik hamba lahir di rumah kampong Sungai Baru Utan Aji Perlis. Kami semua dibesarkan dalam suasana kampong yang aman dan damai. Kami semua juga telah mula belajar di sekolah yang sama yaitu Sekolah Kebangsaan Ujong Batu, Utan Aji, Perlis. Itulah sekolah yang terdekat sebab kami semua dari kecil terpaksa mengayuh sendiri basikal untuk ke sekolah.

Rumah asal masih ada hingga kini (beranda, dapur dan pelantar telah tiada)

Zaman hamba dulu, seawal 6.00 pagi telah bangun untuk mandi di telaga(perigi) yang sangat sejuk airnya untuk bersiap-siap ke sekolah. Setelah siap mandi, solat subuh (pada umur7 tahun hamba sudah mula menjaga solat 5 waktu) dan bersarapan pagi serta dibekalkan duit saku sebanyak 4 kupang (40sen), kadang kalanya tiada wang saku hanya bekalan nasi goreng sahaja disediakan oleh emak. Sekitar jam 6.30 pagi dengan berbasikal BMX hamba mula meredah keheningan pagi yang masih gelap, hanya jalan ban bertanah merah bercampur putih sahaja kelihatan sebagai panduan menuju kedepan. Sebelum pukul 7.00 pagi setiap hari hamba akan tiba di sekolah. Kalau sampai awal ke sekolah terpaksa duduk melengun (bertongkat dagu) depan pintu bilik darjah tunggu Pak Hashim atau Pak Dan penjaga sekolah datang buka pintu. Biasanya hamba budak yang paling awal tiba disekolah, tapi kadang kala ada kawan-kawan yang sampai dulu – jelez rasanya. Semasa zaman hamba bersekolah kami berlumba-lumba datang awal ke sekolah, menjadi satu kepuasan jika dapat mendahului kawan-kawan yang lain bab datang awal kesekolah – semangat nak belajar.

Jalan Ban (kampong) seperti dulu yang ni jalan baru, terus sampai SKUB.

Nama hamba Amirrullatif adalah gabungan nama amirrul dan latif. Latif adalah nama ayah kepada ibu ayahnda hamba, yaitu Tok Zaharah binti Latif @ Abdul Latif @ Sheikh Latif yang pernah tinggal di Kampong Timah Tasoh. Sekarang kampong Timah Tasoh telah menjadi Empangan Timah Tasoh. Nasabnya ialah Zaharah binti Sheikh Latif bin Lebai Kasim bin Tok Panjang (hanya gelarannya sahaja diketahui). Nenek hamba, Tok Zaharah seorang sahaja lagi orang tua dalam keluarga sebelah ayahnda hamba yang masih hidup dan sekarang usianya 84 tahun. Nenek hamba hanya mempunyai  tiga orang adik beradik, pertama Tok Hussin, kedua Tok Meliah dan nenek hamba yang ketiga (bongsu). Setelah kematian Sheikh Latif, nenek hamba berpindah ke Kampung Alor Tok Terang bersama ibunya Tok Minah, dan menetap di kampung tersebut hingga ke hari ini.

Gambar terkini Tok Zaharah binti Latif, pada usia 84 tahun (2012)

Ketika di usia muda belasan tahun dan selepas tamat sekolah pondok di Behor Mali, Simpang Empat Perlis, nenek hamba telah berkahwin dengan Tok Wan (Datuk) Bahari yang berasal dari kampong Utan Ibus, Simpang Empat, Perlis. Tok Wan Bahari juga hanya mempunyai tiga orang adik beradik. Tok Wan Bahari anak yang sulong, kedua Tok Melah dan ketiga Tok Putih. Tok Wan Bahari pernah memugar (membuka) tanah di Kampung Wai, Kuala Perlis, Perlis bersama dengan ayahnya Tok Jaafar bin Nayan. Tok Wan Bahari meninggal di usia yang agak muda setelah menderita sakit selama 10 tahun, Tok Wan Bahari telah meninggal dunia pada tahun 1973. Tiga tahun sebelum hamba dilahirkan.

Gambar Tok Wan Bahari bin Jaafar pada tahun 1963
Hadiahkan Al-Fatihah kepada arwah Tok Wan



Bersambung...insyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan