Ayahnda

Ayahnda

Sabtu, 7 Disember 2013

Ditelan Lautan


Assalammu'alaikum...wrth, hari ini Sabtu 07/12/2013M bersamaan 04/02/1435H juga bersamaan 15 Qus 10,001 Tahun PuSaka. Marilah sama-sama kita bermunajat memohon keampunan dan rahmat daripada Allah Ta'ala agar kita semua umat Rasulullah s.a.w. selamat di dunia dan di akhirat kelak.

Aku memohon keampunan Allah dari segala perkara yang melalaikan aku terhadap Allah, dan sedangkan segala sesuatu itu sekaliannya sentiasa tenggelam tunduk di dalam mengingati kebesaran Allah dengan mengucapkan tasbih dan memuji akan Allah.

Aku memohon keampunan Allah Tuhan sekalian Ummat Manusia. Aku memohon keampunan Allah dari segala kesalahan-kesalahan dosa.

Ya Allah! Engkaulah pembimbing, Engkaulah Zat yang sebenar-benarnya, tidak ada pembimbing yang sebenar-benarnya melainkan Dialah sahaja.

Cukuplah bagiku Tuhanku sahaja, Maha Besar, Maha Agong Allah, tidak ada di dalam perasaan batin hatiku melainkan hanya di dalam mabok cinta mengingati dan mengenang Allah sahaja. Nur Muhammad s.a.w. Nabi kita sentiasa di dalam pelukan rahmat Allah Ta’ala, tidak ada yang maujud sebenar-benarnya di dalam nyata zohir dan batin melainkan Zat Allah Ta’ala jua.


Tiada Ilah (tuhan) yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala, Raja pemilik, pemerintah sarwa (seluruh) alam. Zat Agong yang sebenar-benar lagi zohir yang nyata. Nabi Muhammad s.a.w. hamba dan pesuruh Allah yang berakhlak dengan segala akhlak kemuliaan, sidiq, tabliq, amanah berakhlak luhur sempurna kehambaan.

Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah. Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad kekasih Allah.

Tiada tuihan yang disembah, yang dimaksudkan, yang dicintai, yang maujud dengan yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala jua.

Allah itulah Dia Zat yang wajib wujud bagiNya semata-mata, yang mempunyai segala sifat-sifat Jalal, Jamal dan Kamal.

Tiada tuhan yang maujud, yang disembah dengan sebenar-benarnya malainkan Zat Allah Ta’ala. Nabi Muhammad s.a.w. itu ialah pesuruh Allah Ta’ala. Aku berikrar mengaku serta mengingatiNya tiap-tiap detik dan pernafasanku sebilang-bilang pencakupan ilmu Allah Ta’ala.

Tiada tuhan yang disembah yang sebenar-benarnya melainkan Zat Allah Ta’ala dan Zat Allah itulah sahaja yang Maha Besar lagi Maha Agong.


Ya Allah! Tuhan yang bersifat dengan kelembutan terhadap segala hamba-hambaNya yang Mukminin.
Ya Allah! Zat yang Maha Lemah-lembut yang kelembutanNya mengatasi dari segala yang lemah-lembut, lakukanlah kelemah-lembutanMu terhadap diri Kami di dalam mengharungi arus lautan takdirMu Ya Allah.

Allah Zat yang Maha Lemah-lembut terhadap segala hamba-hambaNya menganugerahkan kurnia kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Dialah Allah Tuhan yang Maha Gagah perkasa lagi Keras dan Menang.

Cukuplah Allah sahaja penolong kami dan sememangnyalah Dia sahaja sebaik-baik tempat penyerahan kami dan kepadaNya sahaja kami pertaruhkan segala pengharapan kami.

Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia akan membuka seluas-luas kejayaan baginya, dan Allah menganugerahkan kurnia kepadanya dengan anugerah kurnia yang tak terkira. Dan barangsiapa menyerah jiwa raganya kepada Allah maka sudah barang tentu cukuplah baginya segala-galanya. Sesungguhnya Allah yang menyampaikan segala urusanNya kepada matlamatNya. Sesungguhnya Allah menjadikan segala sesuatu itu ada qadar penentuannya.


Maka Allah akan menangkis segala bencana kejahatan mereka dari menimpai kamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala-galanya.

Terjunlah mengharungi ke dalam lautan pencelupan Agama Allah, dan sememangnya tidak ada yang lebih baik dari Allah dalam pencelupan AgamaNya dan sedangkan kami sekalian terhadapNya sahaja kami mengabdikan diri kami.


Katakanlah kepada mereka (yakni kaum kuffar), apakah kamu hendak berhujah (bertikam lidah) dengan kami dengan hujah-hujah yang palsu dan tidak beralasan tentang keEsaan Zat Allah yang Maha Esa? Sedangkan Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu dan untuk kami ganjaran amalan kebaikan yang ditaufiqkan kepada kami melakukannya. Dan untuk kamu balasan segala perbuatan kejahatan yang kamu lakukan. Dan kami terhadapNya sahaja kami mengabdikan diri kami seikhlas-ikhlas pengabdian.


Sekarang marilah sama-sama kita melayari minda ke zaman Nabi Musa a.s. dan Bani Israil yang sedang bergerak meninggalkan kerajaan Firaun yang zalim.

Di Dalam Istana Firaun

Firaun mundar-mandir di istananya. Dia menjadi bingung dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sekejap dia duduk dan sekejap dia bangun. Sesekali perutnya ditekan, bukan kerana sakit perut. Sesekali dia menepuk-nepuk dahinya bukan kerana sakit kepala.

“Kamu! Kamu! Kamu! Kamu semua memang tidak boleh diharap!” Firaun bersuara lantang meluahkan kemarahannya kepada para pembesar dan pengawal-pengawal istananya. Semuanya tunduk mengeletar.

Kata-kata Firaun itu memang benar, kerana segala usaha mereka untuk menyekat pengaruh Nabi Musa a.s. gagal. Orang yang di istana sendiri ada yang memeluk agama Nabi Musa a.s.

“Musa dan Bani Israil yang tidak mempunyai senjata dan yang hina itu pun kamu tidak boleh kawal!” jerit Firaun lagi.

“Mereka bergerak pada waktu senja tuanku,” salah seorang dari pengawal istana bersuara dalam ketakutan.

“Itu tidak kira! yang aku tahu kamu semua sudah diperbodohkan oleh Musa dan Bani Israil. Kenapa kamu tidak berkawal pada waktu senja?” tingkah Firaun. Terdiam pengawal itu melihat muka Firaun yang merah bagai udang dibakar.


“Aku sudah beritahu, perhatikan gerak-geri Musa dan Bani Israil. Rahsiakan rancangan kita!” Firaun melepaskan rasa geramnya.

“Sekarang aku tidak kira, sama ada di antara kamu yang membocorkan rahsia atau tidak. Aku mahu seluruh pengawal istana memburu Musa dan Bani Israil yang cuba lari dari Mesir!” perintah Firaun.

“Tetapi di mana kami hendak cari tuanku?” Tanya seorang pengawal.

“Dimana!!?” jerkah Firaun sambil merenung pengawal itu. “Sudah berapa lama jadi pengawal? Masih bodoh!” bentak Firaun.

“Ya, tuanku, ya sa..saa..saya bodoh,” gagap pengawal itu bersuara. Dia begitu takut kepada Firaun yang zalim dan kejam itu.

Melihat keadaan pengawal itu, Firaun ketawa terbahak-bahak. “Hah! Hah! Hah! Rupa-rupanya kamu masih tetap takut kepada aku,” kata Firaun dan ketawa lagi. “Hah! Hah! Hah! Betullah aku Tuhan kamu, hanya Musa dan Bani Israil sahaja yang tak percaya,” katanya lagi.

“Kamu semua jangan takut, aku Firaun, Haman dan seluruh pembesar Mesir akan mencari mereka. Kamu ikut sahaja. Bawa semua senjata, anak panah dan kuda ikut aku,” perintah Firaun.

Firaun berkuda di hadapan sekali. Para pembesar di belakangnya dan diikuti oleh para pengawal yang lengkap dengan senjata. Mereka keluar dari pintu besar istana.

“Kita menuju ke arah laut Merah!” pekik Haman.

“Laut Merah! Laut Merah!” sahut para pengawal serentak.

Mereka diberitahu Nabi Musa a.s. dan Bani Israil hendak berhijrah ke Palestin dan mereka masih dalam perjalanan ke sana.


Di Luar Istana Firaun 

Mereka nyalakan obor di luar istana. Setiap orang membawa satu obor. Dari jauh kelihatan seperti pesta api di istana Firaun. Hanya api itu yang kelihatan nyata di tengah malam yang dingin itu.

Derap telapak kaki kuda memecah kesunyian malam di tengah-tengah padang pasir. Obor-obor pula menerangi sekitar jalan yang mereka lalui. Lama juga mereka berkuda. Larian kuda mereka tidak sekuat pada mula-mula. Obor mereka pun sudah banyak yang malap atau padam. Malam itu sendiri diselerakkan gelapnya oleh cahaya sutera pagi.

Dalam kelam suasana fajar itu kelihatan bebayang kelompok manusia yang berdiri di tebing Laut Merah. Ada yang kelihatan tenang menghadapi laut yang berombak luas di hadapan dan ramai juga yang mundar-mandir.

Dalam kelam bercampur dingin angin laut waktu pagi, Firaun memekik, “Itu mereka di pantai! Mereka tidak dapat lari dari aku!”


Di Pantai Laut Merah

Angkatan Firaun sudah semakin hampir. Suara jerit orang-orang Firaun didengari oleh Nabi Musa a.s. dan Bani Israil. Derap kaki kuda pun semakin jelas.

Di antara daratan dan laut, Firaun semakin yakin dapat membunuh Nabi Musa dan dalam detik-detik begitu, sebahagian pengikut Nabi Musa a.s. mula menyalahkan Nabi Musa. Mereka sudah putus asa, kerana mereka rasa tidak ada lagi helah untuk menyelamatkan diri. Di belakang Firaun, di depan laut.

Derap kaki kuda semakin jelas, dan ombak dada Bani Israil semakin kerap bagaikan ombak Laut Merah. Mereka rasakan akan menemui maut yang mereka cuba hindari. “Musa, ke sinikah kamu bawa kami?” Tanya mereka yang kecewa. Nabi Musa a.s. tetap tenang dan tawakal.

“Ke mana kami harus pergi, Musa? Di belakang musuh sedang mengejar dan di depan laut luas yang tak menawarkan sebarang pertolongan. Kita tidak memiliki kapal. Apa yang harus kami buat untuk menyelamatkan diri?” Tanya orang yang bernama Yusya’ bin Nun.

Jawab Nabi Musa a.s., “Janganlah kamu bimbang dan cemas. Perjalanan ini adalah dengan perintah dan restu Allah Ta’ala kepadaku. Dialah (Allah) yang akan memberi jalan keluar serta menyelamatkan kita dari cengkaman musuh yang zalim.”


Kata-kata itu tidak dapat mententeramkan jiwa mereka yang belum kukuh imannya, lalu Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa .a.s. memukulkan tongkatnya ke air Laut Merah. “Pukulkanlah tongkatmu itu ke air, wahai Musa!”

Nabi Musa a.s. menurut perintah itu. Tongkatnya sudah mencecah air di pantai laut itu, lalu terbentanglah 12 lorong jalan di tengah-tengah laut itu. Terbentang dari pantai sebelah barat ke pantai sebelah timur. Air di kiri kanan setiap lorong bagaikan tembok yang tinggi.

Nabi Musa a.s. dan seluruh Bani Israil segera melalui jalan itu. Pada segala keraguan terhadap Nabi Musa a.s., bagaikan pagi yang berlalu pergi diusap cahaya siang.

Ditelan Laut Merah

Firaun yang melihat keadaan ini tercengang. Dia hairan seperti juga setiap yang menyaksikan peristiwa itu merasa hairan dan tercengang.

Nabi Musa a.s. dan Bani Israil terus berjalan dengan yakin, tawakal dan syukur kepada Allah Ta’ala. Firaun dan bala tenteranya mengekori dari belakang. Dengan bongkak Firaun berbohong, “Kamu semua lihat kekuasaanku sebagai Tuhan. Laut ini terbelah dan kita dapat melaluinya untuk menamatkan riwayat Musa dan Bani Israil di tengah-tengah lautan ini.”


Cuaca semakin cerah. Malam sudah berlalu dan siang baru tiba. Nabi Musa a.s. dan Bani Israil telah menjejaki pantai sebelah timur Laut Merah, Firaun dan bala tenteranya masih di tengah-tengah jalan Laut Merah. Tiba-tiba air laut bercantum semula, maka tenggelamlah Firaun dan semua tenteranya ditelan Laut Merah itu.

Firaun betul-betul kecewa dan insaf.  Dari dalam air yang tidak mengenal kekuasaan dan kesombongan sesiapa pun, Firaun bersuara dengan sesak, “Wahai Musa!, Tolonglah aku!, Sekarang aku percaya, bahwa tiada Tuhan selain Allah, yang telah diimani oleh Bani Israil dan sekarang aku beriman.”

Tetapi Allah tidak menerima keimanan Firaun. Masanya sudah terlalu lewat dan ajalnya sudah tiba. Firaun tenggelam dan akhirnya terapung di atas lautan sebagai bangkai yang tidak bernilai langsung. Betapa buruknya akhir riwayat hidup Firaun.

Wallahu’alam.


Daripada Abi Najih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. berkata : “Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w. akan suatu nasihatv yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami’. Lalu Baginda pun bersabda, ‘Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bida’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.”

Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

Keterangan ;

Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah s.a.w. bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini, iaitu :

Pertama ; Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

Kedua ; Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w., dan sunnah-sunnah khulafa Ar Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Ketiga ; Berpegang teguh kepada sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Abu bakar, Omar, Osman dan Ali r.a.hum) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala, iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalan ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.

Keempat ; Menjauhi perkara-perkara bid’ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bid’ah menurut pengertian syarak (bukan bid’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid’ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitulah bid’ah hasanah).

Petikan dari kitab Empat Puluh Hadis Peristiwa Akhir Zaman susunan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki)



Jika hendak hidup beriman
Serta mulia di sini Tuhan
Marilah kita hendak ingatkan
Wasiat Nabi di akhir zaman

Wajiblah kita menjaga diri
Cabaran hidup banyak sekali
Janganlah kita lupakan diri
Hidup ini menuju mati

Bila melihat mungkar yang nyata
Maka janganlah hanya mengata
Tapi bangkitlah menabur jasa
Membimbing umat jadi pelita

Umat Islam perlu didakwah
Nasihat baik serta berhikmah
Dengan semangat serta ukhuwah
Hubungan kita tambah meriah

Jadikan takwa sebagai jalan
Di dalam hidup sepanjang zaman
Taat dan patuh pada pimpinan
Selama Quran jadi pegangan

Sunnah Nabi dipegang teguh
Sunnah khulafa diikut penuh
Mesti waspada ajaran musuh
Bid’ah dholalah wajib dijauh


Wallahu'alam. Sekian Wassalam.
Pondok Derang Kedah Darul Aman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan