Assalamualaikum…wrt, kita sambung semula kisah Ayahnda Adam a.s.
Pada suatu masa Allah s.w.t. memanggil berkumpul semua malaikat untuk sujud kepada Adam a.s., yang mana sujud kepadanya bukanlah sujud untuk menyembah Adam a.s., tapi sujud itu adalah sujud sebagai penghormatan terhadap Adam a.s., sesuai kedudukan Adam a.s. yang akan menjadi Khalifah Tuhan di dunia.
Kemudian semua malaikat sujud, kecuali Iblis sendiri yang tidak mau sujud; seperti yang Allah s.w.t. terangkan berturut-turut dalam surah Al-A’raf dari ayat 11 sampai ayat 25.
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka pun bersujud kecuali Iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. (11)
Seketika dilihat Iblis tidak mau sujud lalu Tuhan menegurnya :
“Apakah yang mencegah engkau bahwa engkau tidak mau sujud ketika Aku perintah engkau?” (12)
Jawab Iblis : “Saya lebih bagus dari dia. Kerana Tuhan jadikan saya dari api, sedang Tuhan jadikan dia dari tanah.”(12)
Begitulah jawab Iblis dengan sombong. Sudah barang tentu jawapan demikian, tidak sepantasnya diucapkan di hadapan Tuhan, apalagi perintah itu datang dari Tuhan. Sudah selayaknya sebagai makhluk Allah s.w.t., hendaknya ia tidak keberatan untuk melakukan perintah itu. Akan tetapi kerana kesombongannya itu ia berbuat demikian, berani membantah Tuhan.
Kemudian Tuhan berfirman : “Keluarlah engkau dari Syurga! Tidak pantas engkau begitu sombong di Syurga ini. Keluarlah engkau, betul-betul engkau menjadi orang yang hina.” (13)
Kata Iblis : “Cubalah beri tempoh untuk saya sampai hari dibangkitkan (Hari Kiamat).” (14)
Jawab Tuhan : “Sebetulnya engkau termasuk mereka yang yang diberi waktu (sampai hari kemudian)” (15)
Rupanya Iblis sudah menjadi nekat, setelah diberi waktu yang cukup lama sampai kiamat, bukan berfikir mau bertaubat atau minta maaf atas kata-katanya yang sudah terlanjur, malah semakin mengeluarkan ancaman terhadap Ayahnda Adam a.s. dan keturunannya.
Berkata Iblis : “Dari lantaran engkau telah sesatkan diri saya, pasti saya akan halangi mereka dari jalan Engkau yang lurus.” (16)
Kemudian Iblis berkata lagi ; “Pasti akan saya datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang, dari samping kanan dan dari samping kiri mereka. Dan engkau tidak dapati mereka yang banyak bersyukur (berterima kasih).” (17)
Jawab Tuhan : “Keluarlah kamu dari Syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya.” (18)
Demikianlah peristiwa Iblis yang tidak mau sujud kepada Adam a.s., dan akhirnya diusir dari Syurga.
Setelah Iblis melangkah keluar dari Syurga menuju ke neraka dengan lagak sombongnya sambil bersuil-siulan menunjuk sikap takabburnya.
Lalu Allah berfirman kepada Adam a.s. dan Hawa : “Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di Syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim.” (19)
Semakin membara kedengkian Iblis apabila mendengar firman Allah s.w.t. kepada Adam a.s. dan isterinya. Mulailah Iblis berpikir merancang tipu daya jahatnya terhadap Adam a.s. Semasa Adam a.s. dan Hawa bersenang-senang hidup di dalam Syurga lalu datanglah Iblis yakni Syaitan kepada Adam a.s. dan Hawa untuk menyuntik racun kemaksiatan dan menjalankan rencana tipu daya jahat Iblis laknatullah.
Maka syaitan membisikkan pikiran jahatnya kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka yaitu auratnya, (20)
dan syaitan berkata : “Tuhan kamu tidak melarangmu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam Syurga).” (20)
Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (21)
Sebetulnya buah Khuldi itu adalah Cuma kata-kata kiasan saja. Sesungguhnya semua buah tidak ada yang tinggal tetap kekal pada tangkainya. Pada suatu saat ia pasti lepas atau gugur dari tangkainya. Kecuali buah yang ada pada badan manusia. Itulah kata buah Khuldi. Begitulah pendapat ulama’ di dalam tafsir Al-Fairuz Zabadi.
Jadi yang dilarang oleh Allah s.w.t. di dalam Syurga bukanlah memakan buah pohon biasa. Tetapi dilarang memakan buah yang “KEKAL.” Cuba perhatikan ayat seterusnya.
Maka syaitan membujuk keduanya (untuk merasai buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasakan batang pohon itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya (kemaluan), dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun Syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka : “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari mendekati pohon itu dan Aku katakan kepadamu : Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?” (22)
Maka dalam ayat ini jelas dan terang Allah s.w.t. mengatakan “Dzaaqosy-syajarota.” Artinya merasakan batang pohon, dan bukan dikatakan “Dzaaqots-tsamarota.” Dalam pengertian bukan buah itu dimakan, cuma dirasakan oleh tubuh.
Jadi kesimpulannya, adalah Adam a.s dilarang bersetubuh dengan Hawa. Kerana di Syurga itu bukan tempat melahirkan anak. Tempat untuk melahirkan anak adalah di dunia. Sudah jelas Allah s.w.t. jadikan manusia lelaki dan perempuan untuk melahirkan keturunan.
Yang menjadi persoalan bagi Adam a.s., adalah bukan persetubuhannya, akan tetapi mengapa bujukan syaitan itu diturutnya. Padahal sebelumnya Allah s.w.t. telah berpesan dengan jelas “Walaa taqrobaa hadzihisy-syajaroh.” Artinya : “Jangan kamu berdua cuba mendekati pohon ini.” Tetapi pujukan atau ajakan syaitan yang diturutinya, bukan larangan Allah s.w.t. diperhatikan. Hanya di sini letak kesalahan.
Berbeza dengan sikap Iblis yang sombong dan takabbur, sebaliknya dengan sikap merendah diri dan insaf Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa segera sedar dan memohon ampun kepada Allah s.w.t. atas ketelanjuran yang dilakukan.
Keduanya berkata : “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.” (23)
Begitulah selayaknya budi pekerti Ayahnda Adam a.s. dan Ibunda Hawa yang perlu dicontohi dan ditauladani oleh kita yang mengaku sebagai anak cucu Ayahnda Adam a.s. dalam menjalani kehidupan di dunia ini semasa berhubung dengan sesiapa sahaja, apatah lagi ketika berhadapan dan berdoa memohon ampun kepada Allah s.w.t.
Maka Allah s.w.t. berfirman : “Turunlah kamu sekalian (Adam a.s., Hawa, dan Iblis syaitan), sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.(24) “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu kamu akan dibangkitkan”.(25)
Memang Adam a.s. dan Hawa serta malaikat sudah tahu termasuk Iblis juga bahwa dia pada suatu ketika harus turun ke bumi, kerana Adam a.s. akan menjadi khalifah. Cuba bila? Hanya Allah s.w.t. yang mengetahui.
Oleh sebab itu, ketika Iblis membangkang perintah Allah s.w.t. lantaran tidak mau sujud pada Adam a.s. lalu dia dipecat dari jawatannya sebagai Imam Al-Muqorrabuun, dan diusir dari Syurga . Kemudian secara tipu daya mendatangi Adam a.s. dan Hawa dan memperdayai keduanya jadi durhaka kepada Allah s.w.t.
Kemudian ternyata Adam a.s. dan Hawa terkena bujukan syaitan, maka keduanya pun mandapat hukuman, harus meninggalkan Syurga itu, dan ketika itu keduanya diturunkan ke bumi. Wallahu’alam.
Firman Allah s.w.t. : “Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagai mana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang yang tidak beriman.” (Al-Quran surah Al-A’raaf ayat 27)
Pertarungan Hati
Tika waktu berlalu pergi
Angin bayu memukul hati
Apakah gerangan maknanya ini
Hingga lamunanku dibawa pergi.
Oh waktu…
Hadirnya kini membawa erti
Hamparan terbentang medan perjuangan
Perjuangan bertemu antara hati
Demi menguji hakikat keimanan
Yakinkah daku pada pertarungan
Mungkinku patah atau megah
Waktunya ini perluku tempuh
Bersama kekuatan dan pasrah.
Diriku ini…
Tiada memiliki kekuatan itu
Hanya keyakinan menebal kini
Harapan bulat kepada yang berkuasa
Memohon kekuatan dari Yang Esa.
Madah Anaknda Bertuah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan