Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 20 Oktober 2011

Asas Penyatuan Ummah 5 : Menjauhi dan Meninggalkan sebarang Pendapat atau Pandangan Yang Terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah Terutama Pendapat atau Pandangan Acuan Yahudi dan Nasrani



Assalamu’alaikum w.r.t. 

Di bawah tajuk ini, Allah s.w.t. yang maha Bijaksana, yang menjadikan semua makhlukNya dan Dialah Tuhan yang layak disembah dan ditaati mengikut aturcara yang telah Dia tetapkan. Dia tidak akan menerima sebarang rupa ketaatan dan jalan untuk menghampiri diri kepadaNya melainkan aturcara susunan itu mestilah mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w. Dia telah memberi banyak peringatan kepada ummat Islam supaya menjauhi daripada terjebak kepada pandangan, pendapat dan acuan musuh-musuhNya seperti yang terdapat dalam Al-Quran, kitab yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai seorang muslim, wajiblah mereka mengiktikadkan setiap perkara yang Rasulullah s.a.w. bawa dan kitabullah itu benar serta tidak ada keraguan di dalamnya walaupun satu huruf. Timbulnya keraguan disebabkan butanya mata hati dan kekufuran yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Sebahagian dari peringatan tersebut adalah firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’ ayat 144.

“Wahai orang-orang beriman janganlah kamu mengambil orang-orang kafir sebagai wali (teman, pelindung atau penolong) dengan meninggalkan orang-orang mukmin.”

Firman Allah s.w.t. lagi dalam surah al-Maidah ayat 51.


“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yahudi dan nasrani menjadi pemimpin (pembimbing) kamu kerana sebahagian mereka (yahudi dan nasrani) adalah menjadi pemimpin di kalangan mereka sendiri (untuk menghancurkan Islam). Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.”

Allah s.w.t. berfirman lagi dalam surah at-Taubah ayat 28.


“Wahai orang-orang mukmin sesungguhnya aqidah dan segala aturcara hidup orang musyrik adalah najis (Yakni Allah s.w.t. tidak menerimanya).”

Sebagai peringatan Allah s.w.t. berfirman lagi dalam surah al-Maidah ayat 57.


“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu bahan ejekan dan permainan, iaitu di kalangan orang yang telah diberi kitab sebelum kamu (yahudi dan nasara) dan orang-orang kafir. Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

Allah s.w.t. menjelaskan lagi melalui ayat 1 dalam surah al-mumtahanah.


“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengambil masuhKu dan musuhmu sebagai pembimbing kamu.”

Peringatan dari Allah s.w.t. Yang Maha Penyayang lagi melalui surah al-Baqarah ayat 120.


“Orang yahudi dan nasrani tidak akan sekali-kali bersetuju kepada mu sehingga kamu mengikut aturcara mereka (agama mereka). Katakanlah “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar” dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada mu (tentang kebenaran) maka tiadalah engkau dapat dari Allah (sesuatu pun) yang dapat membimbing dan memberi pertolongan.”

  
Semua peringatan yang Allah s.w.t. berikan kepada ummat Muhammad s.a.w. kerana kasihnya Dia kepada ummat ini. Dia tidak mahu ummat Islam terjerumus di lembah kehinaan dan boleh diperbodoh-bodohkan oleh musuh-musuh Allah s.w.t.

Sebab itulah kekasih kita Baginda Muhammad s.a.w. telah bersabda, “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.”
(Hadis riwayat Imam Al-Baihaqi)

Kenapa Islam itu mulia dan tidak ada yang mengatasinya? Salah satu jawapannya ialah Islam itu adalah agama Allah s.w.t. dan diberinya kitab yang menyuluh hidup manusia ciptaanNya. Adakah Tuhan selain Allah ta’ala yang menjadikan setiap sesuatu? Sudah tentu jawapannya tidak. Dia yang menjadikan kita sudah tentulah Dia maha mengetahui dengan perkara yang terbaik dan sesuai untuk kita jadikan pedoman semasa hidup di atas bumi yang Dia ciptakan ini. Tetapi apabila manusia mengambil pandangan kaum kafir sebagai pedoman tentulah perkara ini menyalahi dengan jalan keredhaanNya. Seolah-olah kita lebih mengetahui daripada Allah s.w.t. Sebab itulah masyarakat Islam pada hari ini di dalam teraba-raba. Dicucuk hidungnya oleh Yahudi dan Nasara, sehingga orang yang bertaraf ulama’ pun terpengaruh dengan aturcara yang Allah s.w.t. “istidrajkan” kepada Yahudi dan Nasrani dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah Allah. Lupakah mereka bahawa orang musyrik ini najis di sisi Allah s.w.t.? Maknanya mereka ini telah “memutannajiskan” ilmu Islam disebabkan butanya mata hati kerana mereka berasa angkuh dengan ilmu yang mereka perolehi. Tidakkah mereka sedar bahawa iblis itu pernah mengajar para malaikat, tetapi dilaknat oleh Allah s.w.t. kerana angkuh terhadap kekasih Allah s.w.t.


Orang-orang kafir terutamanya Yahudi dan Nasrani jiwanya penuh dengan seribu satu macam sifat mazmumah seperti hasad, dendam, bakhil, pengkianat, memusuhi para Nabi, Rasul dan orang mukmin. Mereka telah merancang untuk memusnahkan cahaya iman di dalam dunia ini lalu mereka telah menaja demokrasi. Apabila orang Islam mengambil ataurcara demokrasi untuk menghampirkan diri kepada Allah, maka mereka akan bermusuhan dengan para wali. Mereka tidak mengenal para wali yang hidup pada zaman mereka, sedangkan bermusuhan dengan para wali adalah salah satu dosa besar. Mereka berani memfatwakan keharaman dan berdosanya ke atas kekasih Allah s.w.t. yang tidak terjebak dengan aturcara demokrasi. Mereka menganggap aturcara para Aulia’ yang silsilahnya dengan Rasulullah s.a.w. adalah perbuatan sesat, jumud dan tidak syumul. Sebahagian daripada mereka yang terperangkap dengan acuan ini telah menafsirkan Al-Quran sehingga menyeleweng dari garis Ahli sunnah wal jamaah. Umpamanya firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 208,


 “Wahai orang mukmin masuklah kamu semua ke dalam agama Islam secara keseluruhannya.”

Ayat tersebut Allah s.w.t. turunkan kerana terdapat orang-orang Yahudi yang memeluk agama Islam tetapi mereka masih ingin mengamalkan amalan keyahudian mereka seperti membesarkan hari Sabtu dan merasa jijik untuk mamakan daging unta. Ayat ini diturunkan supaya kita keluar dari amalan keyahudian. Pada hari ini mereka menafsirkan ayat ini untuk ikut Yahudi. Jadi bagaimanalah mereka ini akan berjumpa dengan Allah s.w.t. dan Rasul pada hari pembalasan kelak?


Syaikhul Hadis Maulana Zakaria Al-Khandahlawi telah menulis di dalam satu karyanya yang berjudul “al-A’tad al-fi maratib ar-rijal” bahawa hanya ada dua dosa sahaja yang Allah s.w.t. istiharkan perang terhadap pelakunya iaitu menghina para Wali dan memakan riba. Beliau menyatakan bahawa para wali adalah benteng-benteng yang teguh bagi agama Allah s.w.t. Sekiranya tidak ada para wali maka akan rosaklah agama Allah. Di dalam kitab Tajul Arus Syaikh ibnu Atoillah as-Sakandari mengatakan para wali ialah pemelihara nur para Nabi. Sayidina Umar r.a. dan Sayidina Ali r.a. dua tokoh sahabat yang besar ini pun Rasulullah s.a.w. mewasiat supaya berjumpa dengan Akbarul Tabien Uwais al-Qarni. Rasulullah s.a.w. menyuruh keduanya meminta supaya Uwais mendoakan keampunan bagi keduanya. Kalaulah kedua sahabat yang agung ini yang sudah dijamin sebagai ahli syurga pun masih disuruh bersahabat dengan Uwais. Apatah orang-orang selain daripada keduanya yang tidak mendapat jaminan daripada Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w. apatah lagi orang-orang yang sentiasa membuat maksiat.


Mereka yakni para wali, Allah s.w.t. sembunyikan daripada manusia. Sama seperti Allah s.w.t. sembunyikan kenabian yang ada pada Nuh a.s. dari anaknya, seperti Nabi Luth a.s. dari isterinya, Nabi Ibrahim a.s. dari bapanya Azar, Nabi Musa a.s. dari bapa angkatnya Firaun dan Nabi Muhammad s.a.w. dari bapa saudaranya Abu Talib dan Abu Lahab. Mereka ini diibaratkan seperti batu permata yang terpendam di dalam bumi. Begitu juga para Aulia’ yang memelihara nur iman, sekiranya orang ramai tidak mencarinya maka mereka tidak dapat manfaatnya. Apabila para wali itu sudah wafat barulah diketahui dia seorang kekasih Allah s.w.t. Pada masa itu, yang hanya kita mampu lakukan ialah datang menziarahi makamnya sahaja, itupun sekadar untuk mengambil berkat sahaja tetapi segala nasihatnya tidak pernah didengar dan diamalkan. Hasilnya tetaplah manusia itu menjadi banduan dengan nafsu ammarahnya. Mereka hanya akan memuja-muja para Aulia’ yang sudah tidak ada seperti Ibrahim Adham, Tok Kenali dan lain-lain. Seolah-olah mereka mahu para Aulia’ yang sudah mati hidup kembali untuk memimpin mereka. Lebih baiklah mereka memohon kepada Allah s.w.t. supaya dihidupkan Rasulullah s.a.w. semula untuk memimpin mereka kerana dia adalah Saiyidul Mursalin, Baginda s.a.w. adalah kekasih Allah yang paling sempurna tidak ada cacat celanya, inilah yang lebih afdhal.


Pada hari ini masyarakat Islam menganggap para wali hidup sama sebagaimana tok sami hidup ataupun mereka membuat andaian mengikut pemikiran nafsu ammarah mereka tentang kewalian. Untuk mengenal para wali hendaklah kita bertanya kepada kekasih para wali iaitu Allah s.w.t. sendiri. Pohonlah petunjuk kepadaNya dengan rasa kehinaan dan air mata. Berselawatlah kepada nabi Muhammad s.a.w. semoga dengan nur selawat itu Allah s.w.t. membuka jalan kepada kita untuk berdamping dengan kekasih-kekasih Allah dan RasulNya.

Hanya dengan bimbingan para Wali sahaja yang dapat menyatukan ummat ini sebagaimana Rasulullah s.a.w. berjaya mendamaikan puak A’us dan Khazraj yang sentiasa bersengketa di Madinah kerana dihasut oleh Yahudi-yahudi di Madinah. Sebab itulah para Wali tidak terpengaruh dengan demokrasi yang ditaja oleh Yahudi dan Nasrani kerana didalamnya terdapat seribu satu macam belitan untuk menghancurkan ummat Islam dan manusia sejagat. Sebagaimana mereka membelit dan memupuk perasaan permusuhan di antara puak A’us dan Khazraj sebelum cahaya kerasulan sampai di Madinah.


Kegelapan demokrasi mula menyelubungi di dalam Negara kita selepas cahaya kewalian pudar disebabkan kewafatan ramai Aulia’ yang aktif dalam Negara ini seperti Syaikh Ismail Lundang Paku, Tok Kenali, Tok Selehong, Syaikh Muhammad Said Al-Linggi dan Syaikh Muhammad Nur Sg. Cincin di Gombak qaddasallah asrarahum.

Semua ulama’ solehin di dalam dunia menentang aturcara demokrasi dan mengatakan demokrasi bukan daripada Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w. Salah seorangnya Dr. Wahbah al-Zuhaili. Beliau menegaskan,

“Sesungguhnya demokrasi dalam fahaman barat dari dulu sehinggalah sekarang tidak selari dengan Islam.”


Pada hari ini ummat Islam keseluruhannya bermimpi pada siang hari apabila mereka berkehendakkan kepimpinan yang adil tetapi mereka tidak berusaha menjadi orang yang bertakwa. Sedangkan banyak di dalam hadis yang mulia, menyebutkan Allah s.w.t. melantik pemerintah bersesuaian dengan amalan penduduk bumi. Salah satu doa yang diajarkan kepada ummat ini yang menunjukkan dosa manusia ini akan menentukan pemerintah mereka:

“Ya Allah! Kami merayu kepadaMu janganlah Kau melantik penguasa keatas kami, disebabkan dosa-dosa kami orang-orang yang tidak belas kasihan terhadap kami.”

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-An’am ayat 129.


“Dan demikianlah kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi pemerintah bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan daripada dosa dan maksiat.”


Sekiranya mereka benar-benar bertakwa, Allah s.w.t. akan memilih pemimpin yang bertakwa juga untuk memimpin mereka. Sekiranya mereka tidak bertakwa, Allah s.w.t. akan memilih pemimpin yang tidak bertakwa dan zalim untuk menguruskan hidup mereka. Mereka benci dengan kezaliman pemimpin tetapi apabila pemimpin yang jahil ini menganjurkan majlis lalai dan maksiat mereka akan turut sama meramaikannya. Apabila mereka membuat derhaka kepada Allah s.w.t. maka Allah ta’ala akan melantik penderhaka yang lebih ganas untuk menzalimi diri mereka pula. Perlu ditegaskan di sini “Hanya dengan ketakwaan yang tinggi sahaja yang boleh menghancur dan menundukkan kesombongan dan kezaliman di muka bumi ini”, sebagaimana hancurnya kerajaan Namrud dan Firaun di tangan Nabi Allah Ibrahim a.s. dan Musa a.s.

Kesimpulannya, perlulah setiap individu ummat Islam pada hari ini kembali mempraktikkan agama Allah dengan mengikut contoh Rasulullah s.a.w. serta para sahabatnya. Cubalah mengamalkannya dengan kesungguhan hati, janganlah kita mengambil peduli dengan orang yang tidak mahu mengikutnya dan yang menentang. Pokoknya kita betulkan diri kita dengan Tuhan dahulu, kerana Allah s.w.t. memerintah ke atas tiap-tiap individu dahulu, barulah kepada orang yang lain sebagaimana firmanNya dalam surah at-Tahrim ayat 6:


“Wahai orang yang beriman peliharalah diri kamu…”

Allah s.w.t. menyebut tiap individu dulu, kemudian barulah disebut   dan “selepas itu selamatkan ahli kamu pula dari neraka”. Maknanya bermujahadahlah setiap individu itu untuk mencapai ke tahap takwa yang sampai ke darjah nafsu Mutmainnah sekurang-kurangnya, dari situ kekuatan iman yang ada pada dirinya akan mempengaruhi ahlinya. Janganlah kita asyik dan leka untuk membetulkan orang lain sehingga kita tidak ada masa untuk memikirkan tentang segala kecuaian yang ada dalam diri kita.


Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 44.


“Kenapakah kamu menyuruh orang lain membuat kebaikan walhal kamu telah melupakan diri kamu sendiri.”

Untuk mempraktikkan agama tidaklah perlu menunggu bilangan yang ramai. Sekiranya kita menunggu kuantiti, kita tidak akan mendapat kualiti. Kita akan diperbudak-budakkan oleh budak-budak dunia. Keseluruhan para Nabi dan Rasul bermula dari diri mereka sendiri dahulu.


Sultan Aulia’ Syaikh Abdul Qadir Al-Jilani menegaskan “Wahai hamba Allah kawallah bafsu kamu terlebih dahulu kemudian barulah mengawal nafsu orang lain. Sucikanlah nafsu kamu terlebih dahulu dan jangan ambil peduli dengan orang lain kerana anda terpaksa membersihkan banyak perkara. Ketahuilah diri anda sedang tengelam. Maka bagaimanakah kamu hendak menolong orang lain? Anda sendiri buta. Bagaimanakah kamu hendak menunjuk jalan kepada orang yang lain? Hanya orang yang pakar berenang yang boleh menyelamatkan orang lain dan hanya orang yang celik boleh memimpin orang yang buta. Hanya orang yang mempunyai ma’rifatullah yang boleh memimpin orang lain untuk mengenal Allah s.w.t. Bagaimana orang yang tidak ada ma’rifah hendak membawa orang lain mengenal Allah s.w.t.?

Daripada nasihat yang disampaikan Sultan Aulia’ ini, fahamlah kita seseorang itu tidak akan mendapat kemanisan iman, Islam dan ihsan dalam aturcara kekufuran dan kesyirikan, lebih-lebih lagi daripada aturcara Yahudi dan Nasrani. Kalaulah orang Islam yang fasik pun tidak boleh dipercayai, apatah lagi orang kafir.


Kesimpulannya kita tidak akan dapat melihat kejayaan dan merasa kemanisan iman sebagaimana salafus-soleh, melainkan kita perlu bersungguh-sungguh dalam Iman dan mengamalkan Amalan Soleh. Allah s.w.t. akan menganugerahkan kita kekuatan iman dan takwa sama seperti para Nabi, Rasul dan para Wali sekiranya kita mengikut landasan yang sama dengan mereka. Wajiblah keatas ummat Islam meninggalkan dan menjauhi fahaman-fahaman yang terkeluar daripada Ahli sunnah wal jamaah kerana fahaman dan aturcara musuh-musuh Allah tidak akan membuahkan takwa. Hanya orang-orang yang bertakwa sahaja yang mendapat petunjuk dari Al-Quran dan Sunnah serta diberi jalan-jalan keluar daripada ujian dunia, nafsu, syaitan, iblis dan kafir musyrikin. Mereka sahajalah yang boleh menyatukan ummat ini. Bagi orang-orang kafir pula Al-Quran itu akan menambahkan kerugian bagi mereka.

Firman Allah ta’ala,


“Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak di dalamnya, ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa”.
(Surah al-Baqarah ayat 2)


“Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, pastilah Allah membuka jalan-jalan keluar baginya (di dalam menghadapi ujian hidup di dunia)”.
(Surah al-Talaq ayat 2)



“Dan kami sentiasa menurunkan Al-Quran secara beransur-ansur. Ia adalah menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang mukmin dan sebaliknaya Al-Quran itu tidak menambahkan bagi orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua”.
(Surah al-Isra’ ayat 82)


Yang baik itu hanya semata-mata limpah kurnia Allah s.w.t. di bawah keberkatan Saiyidul Mursalin Muhammad Rasulullah s.a.w. dan dengan keberkatan kesultanan Syaikh Abdul Qadir al-Jilani dan 856 para Aulia’ pada abad ke 15 hijrah ini. Yang buruk dan salah itu disebabkan kekerohan dan kekaratan hati hamba yang lemah ini (penyusun) untuk memahami keagungan kalimah “La ila ha illallah Muhammadur rasulullah”.


Wallahu’alam.



Tamat artikel Asas Penyatuan Ummah.

3 ulasan:

  1. Semoga kita semua mendapat hidayah dan taufik agar insaf, sedar diri dan berusaha memperbaiki diri masing-masing sehingga menjadi orang yang benar-benar beriman dan bertakwa, semoga Allah akan menganugerahkan kepada kita pemimpin yang beriman, adil dan bertakwa, insya Allah.

    BalasPadam
  2. salam.

    artikel yang baik dan bermanfaat. Al fatihah kepada ayahanda.

    BalasPadam
  3. Salam buat hijabul crewz,

    Jazakallah.. artikel blog tuan juga sangat baik dan bermanafaat. Semoga dirahmati Allah s.w.t. dan mendapat berkat dari ayahnda.

    Semua insan yang lahir ke dunia ini pasti mempunyai ayahnda kecuali; Ayahnda Adam a.s., Ibunda Hawa a.s. dan Nabi Isa a.s.

    BalasPadam