Ayahnda

Ayahnda

Selasa, 11 Oktober 2011

Asas Penyatuan Ummah 4 : Mempraktikkan Syariat dan Thoriq mengikut acuan Ahli Sunnah wal Jamaah



Assalamu’alaikum..wrt,

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 31.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) jika kamu semua mencintai Allah maka hendaklah kamu semua mengikuti Aku (Rasulullah s.a.w.)”

Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 119.


“Wahai orang mukmin hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan juga hendaklah kamu bersama dengan para ‘siddiqin’.”

Sebuah hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi dari Abu Najih Al-‘Irbad bin Sariyah r.a., beliau berkata : “Rasulullah s.a.w. memberikan nasihat kepada kami yang membuat hati kami bergetar dan bercucuran air mata. Maka kami bertanya, ‘Ya Rasulullah! Seolah-olah nasihat ini nasihat yang terakhir, maka berilah kami wasiat. Nabi s.a.w. bersabda : “Aku wasiatkan kamu agar tetap bertakwa kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia, serta patuhlah dan taat kepada pemimpin walaupun yang berkuasa ke atasmu seorang hamba sahaya. Dan barang siapa yang hidup di antara kamu selepas aku, akan melihat banyak sekali perselisihan (ideologi). Oleh itu wajib atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa ur-rasyidin (para Siddiqin Al-Muqarrabin) yang sentiasa dibimbing oleh Allah (dalam memahami Iman, Islam dan Ihsan) dan gigitlah akannya dengan geraham-gerahammu dan jauhilah segala hal yang diada-adakan dalam agama, kerana sesungguhnya semua bida’ah (selain jalan para Nabi, Rasul dan para Wali Allah / Assidiqqin) itu adalah  sesat.


Dalam kita menuju “Mardhotillah” untuk mendapat kecintaan dari Allah s.w.t. dan selamat dari kesesatan, tidak boleh tidak mestilah mengikut saluran syariat dan thoriq Ahli sunnah wal jamaah. Setiap aturcara hidup dan ibadat yang tidak mengikut acuan Ahli sunnah wal jamaah tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Tidak akan ujud ketenangan, kedamaian, keamanan, keunggulan, kesempurnaan, kehebatan dan perpaduan apabila ummat ini menjauhi dan meninggalkan Syariat dan Thoriq Ahli sunnah wal jamaah. Yang akan ujud hanyalah kemurkaan dan kelaknatan daripada Allah s.w.t. yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Contohnya sebagaimana yang telah Allah s.w.t. hancurkan ummat para Nabi yang terdahulu apabila mereka meninggalkan dan menjauhi susunan yang Allah s.w.t. bangkitkan kekasih-kekasihNya. Semasa peperangan Uhud, tentera Islam mendapat kekalahan walaupun Rasulullah s.a.w. hidup dan turut berperang bersama mereka, kerana mereka telah meninggalkan perintah Baginda s.a.w.


Sejarah juga telah membuktikan apabila ummat Islam mendapat kehinaan daripada Allah s.w.t. melalui bangsa Mongol, iaitu apabila mereka meninggalkan segala ajaran Rasulullah s.a.w. Bangsa Mongol yang dipandang hina pada masa itu telah meranapkan empayar Islam. Mereka telah meranapkan kerajaan Abbasiah dan Khawarizam yang pada zaman itu merupakan tempat kegemilangan tamadun dunia.


Begitu juga kerajaan Islam di Sepanyol semuanya musnah apabila ummat Islam mula meninggalkan Kitabullah dan Sunnah Rasul s.a.w. Mereka mula membuat kemungkaran dengan nikmat yang Allah s.w.t. anugerahkan. Apabila nikmat tidak digunakan mengikut saluran syariat dan thoriq Ahli sunnah wal jamaah, itu bukan dinamakan syukur tetapi kufur namanya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim ayat 7:


“Dan (ingatlah) apabila Tuhanmu memaklumkan, “Sekiranya kamu bersyukur, pastilah Aku tambahi nikmat bagi kamu dan jika kamu kufur sesungguhnya azabKu sangat pedih.”

Sabda Rasulullah s.a.w.: “ Apabila manusia mula menonjol-nonjolkan ilmu walhal mengabaikan ‘praktikalnya’, berkasih sayang di mulut tetapi bermusuhan di dalam hati dan memutuskan silaturrahim. Allah s.w.t. akan melaknat mereka disebabkan perbuatan tersebut dan mereka akan menjadi tuli dan buta (tidak mendengar dan melihat kebenaran lagi dan hiduplah di dalam kesesatan).”
(Ruj; Buku Kesan-kesan Dosa)


Berbalik kepada keadaan ummat Islam semasa kehinaan yang mereka temui di tangan bangsa Mongol, pada masa yang sama Allah s.w.t. telah memilih sebahagian dari ummat Islam yang lain untuk menyekat kemaraan keganasan tentera Mongol yang terdiri daripada kalangan hamba sahaya, iaitu golongan Mamluk. Kenapa Allah s.w.t. memilih mereka? Kerana mereka ini telah berpegang teguh dengan salah seorang Khulafa ur-Rasyidin Al-Mahdiyin di zaman itu, iaitu Sultanul-Ulama’ Syeikh I’zuddin bin Abd As-Salam. Ditangan Allah s.w.t. lah kemuliaan dan kehinaan seseorang itu.

Allah s.w.t. memuliakan seseorang apabila dia hidup dengan Agama Allah s.w.t. mengikut acuan Ahli sunnah wal jamaah. Jika mereka berbuat sebaliknya, Allah s.w.t. akan menimpakan kehinaan di dunia dan di akhirat. Doa-doa mereka tidak lagi dimakbulkan kerana doa itu hanya menjadi senjata kepada golongan yang benar-benar mukmin di sisi Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Doa itu hanya menjadi senjata bagi orang yang beriman”
(Riwayat al-Bukhari)


Orang mukmin tidak berani melanggar batas-batas garisan syariat dan thoriq. Syariat dan thoriq akan mengangkat seseorang ke makam “ihsan”.

Apabila hilangnya syariat dan thoriq dalam kehidupan seseorang manusia tidaklah ia mencapai tahap yang paling tinggi dan sempurna dalam agama Allah s.w.t iaitu “Makam Ihsan”.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Ihsan itu kamu memperhambakan diri kamu kepada Allah s.w.t. seolah-olah kamu melihatNya, sekiranya kamu tidak mampu melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu.”
(Hadis riwayat Muslim)


Apabila tidak ujudnya ihsan dalam diri setiap individu yang mengaku muslim, maka dia akan membuat andaian terhadap agama Allah s.w.t. di atas pemikiran dan acuan yang terkeluar dari Ahli sunnah wal jamaah. Mereka akan memahami Al-Quran dan Sunnah mengikut fahaman perasaan mereka yang bercampur aduk dengan nafsu kebinatangan mereka, bahkan mereka ini lebih sesat dan hina lebih daripada haiwan dan lebih bahaya daripada “dajjal”. Maka tertutuplah pintu Rahmat dari Allah s.w.t. dan terbukalah pintu kehinaan dari Allah s.w.t. akibat daripada usaha tangan mereka sendiri. Mereka akan menjual agama mereka kerana  mahukan habuan dunia. Walhal dunia ini tidaklah bernilai di sisi Allah walaupun sekadar sebelah sayap nyamuk.
Tercatat dalam sejarah peradaban manusia, tentang keteguhan Iman seorang hamba Abdi yang berkulit hitam, Saidina Bilal r.a. Beliau lebih rela jasadnya dikenakan berbagai-bagai siksaan daripada tunduk kepada kekufuran dan kesyirikan. Tetaplah beliau mentauhidkan Allah s.w.t., untuk menyerah dan mengikut kemahuan musuh Allah s.w.t. tidak sama sekali. Akhirnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah menebusnya daripada tuannya yang zalim dan memerdekakan Bilal r.a. semata-mata kerana Allah s.w.t.


Telah berfirman Allah s.w.t. dalam surah al-Fath ayat 29, “Muhammad itu hanya seorang utusan Allah dan orang-orang yang beserta dengannya tidak tunduk kepada kekufuran dalam segenap aspek dan segenap sel, serta menunai dan memelihara hak-hak orang mukmin dan muslim.”

Inilah natijah yang akan diperolehi apabila mengikut saluran syariat dan thoriq yang Allah s.w.t. utuskan para Nabi dan Rasul a.s.w.slm, iaitu “tidak akan diperbudak-budakkan oleh budak-budak dunia.”


Sekiranya seseorang itu hanya mengamalkan zahir syariat sahaja tanpa thoriq. Maka jiwanya tidak akan terbentuk sebagai jiwa para sahabat r.ahum. Jiwanya kosong dari tauhid. Zahirnya nampak soleh tetapi batinnya toleh. Jadilah mereka orang yang fasik dan munafik. Dalam kefasikan tidak akan ada permaufakatan dan bimbingan dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 108,


 “Hendaklah kamu semua bertakwa kepada Allah dan taatlah kepada perintahnya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (orang yang terkeluar dari garisan ahli sunnah wal jamaah).”

Mereka akan membuat kerosakan dibumi Allah s.w.t. ini. Tetapi pada sangkaan mereka, mereka sentiasa membuat kebajikan.

Telah berfirman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 11 dan 12,


“Dan bila dikatakan pada mereka (para munafikin) “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi” Mereka menjawab “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan kebaikan”. Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang melakukan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

Di sinilah kepentingan thoriq, iaitu untuk menyedarkan dan membuka segala kelemahan dan keburukan diri sendiri. Apabila dia sedar bahawa dirinya ada kelemahan maka dia akan cuba memperbaikinya. Kerana thoriq ialah mempraktikkan zahir syariat yang diambil dari ulama’ solehin di bawah pengawasan Ahli Makrifah, iaitu orang yang telah sampai ke makam Ihsan. Sebagaimana para sahabat telah diawasi oleh Ahli Makrifah yang paling agung dan sempurna, Saiyidul Mursalin Muhammad s.a.w.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 151,


“Sebagaimana kami telah mengutus seorang utusan dari golonganmu yang dapat mambacakan ayat-ayat kami (mengkhabarkan tanda-tanda keagungan dan keesaan Kami) kepada kamu dan menyucikan jiwa-jiwa kamu (dari kekufuran dan kesyirikan) dan mengajarkan kamu Al-Kitab (Al-Quran) dan hikmah (sunnah Rasul yang zahir dan batinnya) dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui sebelum ini (iaitu mengatur kehidupan dengan berlandaskan agama tauhid supaya ia menjadi bekal untuk hari akhirat yang dulunya kamu hidup dalam kegelapan, kesyirikan dan kekufuran).”

Kenapa para sahabat mendapat kekuatan iman yang cukup mantap? Jawapannya kerana mereka mengambil agama daripada seorang manusia yang telah suci dari kerakusan dan kejahatan nafsu, orang yang berjiwa kemalaikatan, kekasih Allah s.w.t., makhluk yang paling sempurna pengenalannya kepada Allah s.w.t., iaitu Rasulullah s.a.w.


Masyarakat Islam pada hari ini menjadi porak peranda kerana mengambil agama bukan dari Ahli Makrifat. Ahli Makrifat ini telah berjaya memproses jiwanya dari kekotoran zulmah nafsu syahwat dan mereka mengenal bisikan dan hasutan iblis dan syaitan. Merekalah orang yang ikhlas kerana mereka dapat menghayati ‘la hau la wa la qu wata illa billah’ dalam setiap aspek hidup dan ibadah. Inilah yang dinamakan para Ahlullah atau Aulia’ Allah. Mereka ini dapat memahami agama kerana mereka mengambil agama daripada Aulia’ yang lebih dahulu dari mereka yang mana sanad sisilahnya sampai kepada Khatimul Anbia’ Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w. pula menerimanya daipada Allah s.w.t. dengan perantaraan malaikat Jibril a.s.

Kesimpulannya mereka mengambil agama ini daripada seorang kekasih Allah kepada kekasih Allah sehingga sampai kepada kekasih Allah yang paling Agung. Mereka tidak mengambil agama Allah s.w.t. daripada manusia yang masih dibelenggu oleh nafsu dan iblis yang sentiasa derhaka kepada Allah s.w.t. Maka inilah punca masyarakat Islam menjadi haru biru kerana mengambil agama bukan daripada para Aulia’.


Perlulah kita memahami dengan mendalam kerana agama Allah s.w.t. tidak diwahyukan kepada manusia yang berjiwa kotor. Semua para Nabi dan Rasul tidak terpengaruh oleh unsur-unsur ganas nafsu haiwan dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada lagi kenabian. Maka tugas menghayati dan mempraktikkan agama ini diteruskan oleh para sahabat r.a.hum yang telah memproses dirinya supaya berbetulan dengan apa yang Allah s.w.t. telah bangkitkan Rasul di bawah asuhan Baginda s.a.w. Selepas itu tugas ini diteruskkan oleh tabiin, tabi ul tabien sehinggalah hari kiamat. Mereka ini semuanya telah memproses, memperbaiki diri mereka mengikut susunan dan aturcara yang sama dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya, sehingga mereka pun terselamat dari kongkongan nafsu dan kesyirikan. Agama Islam ini tidak boleh difahami dengan kegelapan nafsu, ia mestilah difahami dengan nafsu-nafsu yang telah disucikan daripada kekerohan syirik dan kufur sekurang-kurangnya pada peringkat nafsu Mutmainnah.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Waqiah ayat 79,


“Tidak boleh menyentuhnya (Al-Quran) melaikan orang-orang yang telah menyucikan dirinya.”  Adapun sebahagian maksud yang tersirat didalam ayat ini. “Tidaklah dapat memahami nur dan mukjizat Al-Quran melainkan orang-orang yang telah bebas daripada kerakusan nafsu-nafsu yang ganas, kesyirikan dan kekufuran iaitu orang yang telah sampai ke makam Ihsan.”

Sebab itulah Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada para mukmin supaya menyertai “hambaNya yang Siddiqin”.


“Wahai orang-orang mukmin bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu menyertai para siddiqin.”

Nabi Muhammad s.a.w. yang sangat mengasihi ummatnya telah memberi satu garis panduan kepada ummatnya dalam urusan mengambil dan menerima agama, sabagaimana satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seseorang itu beragama sama seperti orang yang ia kasih. Oleh itu hendaklah di kalangan kamu memerhati siapakah yang patut dikasihinya.”


Sekiranya dia mengambil agama dari orang yang Allah s.w.t. kasih maka dia akan beragama seperti kekasih Allah. Tetapi sekiranya ia mengambil agama dari orang fasik, maka dia akan beragama seperti orang yang derhaka kepada Allah s.w.t.

Bersambung …. InsyaAllah ta’ala.

Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan