Ayahnda

Ayahnda

Rabu, 18 Januari 2012

Ayahnda Nuh a.s. selesai Membuat Kapal (Bantera) dan peristiwa terjadinya Banjir Besar



Assalamu’alaikum..wrt,

Setelah selesai pekerjaan pembuatan kapal yang merupakan alat pengangkutan laut yang terbesar di dunia, Nabi Nuh menerima wahyu dari Allah: "Siap-siaplah engkau dengan kapalmu, bila tiba perintah-Ku dan terlihat tanda-tanda daripada-Ku maka segeralah angkut bersamamu di dalam kapalmu dan kerabatmu dan bawalah dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas bumi dan belayarlah dengan izin-Ku."

Saudara/i sekalian, sebelum hamba meneruskan kisah Ayahnda Nuh a.s. ingin dikesempatan ini hamba membangkitkan beberapa persoalan dan pendapat tentang persoalan tersebut. Pertama; Berapa besarkah saiz tubuh badan Ayahnda Nuh a.s. serta kaumnya pada zaman tersebut? Kedua; Berapakah besarkah saiz kapal (bahtera) yang dibina? Ketiga; Berapakah luas medan (kawasan) dakwah Ayahnda Nuh a.s. yang diamanahkan oleh Allah s.w.t.? Keempat; Bagaimanakah keadaan muka bumi di zaman Ayahnda Nuh a.s.? Kelima; Bagaimanakah keadaan kemajuan tamadun kaum Ayahnda Nuh a.s. ketika itu? Keenam; Berapa lamakah banjir besar telah melanda kaum Ayahnda Nuh a.s.? Ketujuh; Apakah yang telah berlaku dalam bahtera Ayahnda Nuh a.s. sepanjang pelayaran tersebut?

Persoalan pertama; ada pendapat mengatakan saiz tubuh Ayahnda Nuh a.s. dan kaum pada zamannya adalah seperti saiz anak-anak Ayahnda Adam a.s. yakni ketinggiannya antara 15 kaki hingga 30 kaki, cuba tuan-tuan bayangkan rupa paras tubuh manusia yang setinggi itu. Alasan bagi pendapat tersebut ialah jarak masa zaman Ayahnda Nuh a.s. hanya sekitar 1000 tahun dari zaman Ayahnda Adam a.s., maka perubahan saiz tubuh mereka tidaklah terlalu ketara. Wallahu’alam.


Persoalan kedua; terdapat banyak kajian dan pendapat tentang saiz kapal (bahtera) Ayahnda Nuh a.s., cuba tuan-tuan bayangkan jika saiz badan 83 atau 100 orang kaum Ayahnda Nuh a.s. yang beriman ditambah dengan sebegitu banyak pasangan haiwan serta tumbuhan akan dimuatkan dalam sebuah kapal, maka berapa besarkah saiz kapal yang perlu dibina? Tentulah sebuah kapal yang amat besar perlu dibina, seperti gambaran dibawah, mungkin benar saiz bahtera tersebut berdasarkan beberapa bukti penemuan rangka bahtera seperti yang kita telah maklumi. Wallahu’alam.


Persoalan ketiga; kebanyakan pendapat mengatakan bahwa medan usaha dakwah yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. kepada Ayahnda Nuh a.s. adalah kepada manusia yang ada di seluruh dunia ketika itu. Ada pendapat mengatakan hanya sekitar kawasan Timur Tenggah sahaja medan usaha Ayahnda Nuh a.s. Adakah ketika itu manusia hanya bermukim di satu tempat sahaja atau telah bertebaran ke serata tempat di muka bumi ini? Namun yang pastinya Ayahanda Nuh a.s. telah diberi tempoh masa selama 950 tahun untuk menjalankan seruan dakwahnya dan banjir besar telah menenggelami seluruh muka bumi ini. Sepertinya umat manusia ketika itu sudah terlalu ramai dan telah bertebaran keseluruh muka bumi ini. Wallahu’alam.


Persoalan keempat; tidak banyak pendapat yang membincangkan tentang keadaan bentuk muka bumi di zaman Ayahnda Nuh a.s., namun ada pendapat mengatakan keadaan muka bumi pada masa tersebut banyak daratan tanah besar berbanding dengan lautan. Kebanyakan benua yang ada sekarang ini bercantum kerana paras air laut rendah, sehingga pentas sunda menjadi tempat penempatan yang subur dan makmur. Pendapat lain mengatakan muka bumi adalah seperti yang kita dapati sekarang ini. Wallahu’alam.


Persoalan kelima; ada pendapat yang mengatakan tamadun zaman Ayahnda Nuh a.s. telah mencapai tahap yang amat tinggi berbanding zaman sains dan teknologi zaman kita sekarang ini. Telah terbentuk masyarakat yang berbilang lapisan dari rakyat biasa hingga ke peringkat pemimpin tertinggi dan telah terbentuk beberapa buah negara kota di serata pelusuk muka bumi ini. Pembangunan gedung-gedung dan bangunan-bangunan tinggi mencapai tahap moden dan lebuhraya-lebuhraya lebar telah terbina dengan kenderaan-kenderaan yang berbagai bentuk meliputi kenderaan darat, air dan udara. Sebab itulah Ayahnda Nuh a.s. dan pengikutnya dapat membina sebuah bahtera gergasi dengan bimbingan wahyu daripada Allah s.w.t. dan dengan menggunakan asbab musabab peralatan canggih yang ada pada ketika itu. Kemajuan sains dan teknologinya juga telah berkembang pesat sehingga didapati peralatan canggih sistem telekomunikasi dan sebagainya melebihi apa yang ada di zaman kita sekarang ini. Sehingga kaum Ayahnda Nuh a.s. ketika zaman kemuncuknya terlalu taksub dengan kemajuan dan kemewahan hingga mereka melupakan agama tauhid yang diwarisi oleh Nabi Idris a.s., dan mengabaikan amal ibadah mereka kepada Allah s.w.t. sehingga penyelewengan telah berlaku dalam agama yang benar bahkan mereka membina patung-patung sebagai sembahan seperti wadd, suwaa, yaghuts, ya’uq dan nasr.  Perkembangan kemajuan tamadun ini berlaku selama 2000 tahun yakni sejak Ayahnda Adam a.s. hingga ke zaman Ayahnda Nuh a.s. Cuba bandingkan dan bayangkan apa yang telah zaman kita capai sejak 2000 tahun lalu (sekarang tahun 2012M). Maka diutuskan oleh Allah s.w.t. Nabi Nuh a.s. untuk mendakwahkan kaumnya kembali kepada agama tauhid yang benar. Wallahu’alam.

Satu petikan dalam buku tentang sejarah dunia ada menyebut, ‘lebih kurang 3000SM, perjumpaan besi telah membolehkan pembinaan kapal-kapal yang lebih baik dan kenderaan beroda untuk memudahkan pengangkutan.’


Persoalan keenam; terdapat banyak pendapat tentang tempoh banjir besar yang telah melanda kaum Ayahnda Nuh a.s. antaranya ada mengatakan selama 40 hari 40 malam, ada mengatakan beberapa bulan, ada mengatakan selama 40 tahun dan ada mengatakan selama 100 tahun lebih bumi ditenggelami air. Namun apa yang pastinya seluruh manusia yang tidak beriman telah binasa, termasuk seluruh jenis haiwan serta tumbuhan telah musnah, seluruh negara kota telah binasa dan seluruh peralatan canggih ketamadunan zaman tersebut telah musnah hingga tiada lagi kesan yang dapat kita temui melaikan kesan rangka bahtera Ayahnda Nuh a.s. dan kesan kota tinggalan Yarfis salah seorang anak Ayahnda Nuh a.s. yang beriman. Wallahu’alam.



Persoalan ketujuh; Apakah yang telah berlaku dalam bahtera Ayahnda Nuh a.s. sepanjang pelayaran tersebut? Persoalan ini adalah bergantung kepada tempoh bahtera Ayahnda Nuh a.s. belayar. Marilah sama-sama kita mencari jawapannya, mengkaji dan fikirkannya kerana hakikatnya adalah hanya mereka-mereka dan kehidupan yang ada dalam bantera ini sahaja yang terselamat dari azab Allah s.w.t. yang kemudian nanti menjadi zuriat atau bibit-bibit asas kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan seterusnya di muka bumi ini sehingga ke hari ini. Wallahu’alam.



Peristiwa terjadinya Banjir Besar


“Sebelum mereka, telah mendustakan (pula) kaum Nuh maka mereka mendustakan hamba kami (Nuh) dan mengatakan : ‘Dia seorang gila dan dia sudah pernah diberi ancaman’ (9). Maka dia mengadu kepada Tuhannya : ‘Bahawasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan, oleh sebab itu tolonglah (aku)’ (10). Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan (mencurahkan) air yang tercurah (11). Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air- mata air maka bertemulah air-air itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan (12). Dan Kami angkut Nuh ke atas (bahtera) yang terbuat dari papan dan paku (13). Yang berlayar dengan pemeliharaan Kami sebagai balasan bagi orang-orang yang diingkari (Nuh) (14). Dan sesungguhnya telah Kami jadikan kapal itu sebagai pelajaran, maka adakah orang yang mau mengambil pelajaran? (15). Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku (16).”

(Surah al-Qamar ayat 9 hingga 16)


Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi banjir besar melanda seluruh kota dan desa menggenangi daratan yang rendah mahupun yang tinggi sampai mencapai puncak bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung dari air bah yang dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh a.s. yang telah terisi penuh dengan para orang mukmin dan pasangan makhluk yang diselamatkan oleh Ayahnda Nuh a.s. atas perintah Allah s.w.t.

Bayangkan dengan bercampurnya air masin (lautan) dan air tawar (hujan dan mata air) maka apakah jenis tumbuhan, haiwan di air dan di darat yang dapat hidup dalam banjir besar seumpama itu, inilah azab Allah s.w.t. yang dahsyat di dunia lagi.

“Dan Nuh berkata : ‘Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut nama Allah di waktu belayar dan berlabuhnya.’ Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah Huud ayat 41)

Dengan iringan "Bismillahi majrheha wa mursaha" belayarlah kapal Nabi Nuh a.s. dengan lajunya menyusuri lautan air, menentang angin yang kadang kala lemah lembut dan kadang kala ganas dan ribut. Di kanan kiri kapal terlihatlah orang-orang kafir bergelut melawan gelombang air yang menggunung berusaha menyelamat diri dari cengkaman maut yang sudah sedia menerkam mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang itu.


Tatkala Ayahnda Nuh a.s. berada di atas geladak kapal memperhatikan cuaca dan melihat-lihat orang-orang kafir dari kaumnya sedang bergelimpangan di atas permukaan air, tiba-tiba terlihatlah olehnya tubuh putera sulungnya yang bernama "Kan'aan" timbul tenggelam dipermainkan oleh gelombang yang tidak menaruh belas kasihan kepada orang-orang yang sedang menerima hukuman Allah itu. Pada saat itu, tanpa disadari, timbullah rasa cinta dan kasih sayang seorang ayah terhadap putera kandungnya yang berada dalam keadaan cemas menghadapi maut ditelan gelombang.

Ayahnda Nuh a.s. secara spontan, terdorong oleh suara hati kecilnya berteriak dengan sekuat suaranya memanggil puteranya: “Wahai anakku! Datanglah kemari dan gabungkan dirimu bersama keluargamu. Bertaubatlah engkau dan berimanlah kepada Allah agar engkau selamat dan terhindar dari bahaya maut yang engkau menjalani hukuman Allah.” Kan'aan, putera Nabi Nuh, yang tersesat dan telah terkena racun rayuan syaitan dan hasutan kaumnya yang sombong dan keras kepala itu menolak dengan keras ajakan dan panggilan ayahnya yang menyayanginya dengan kata-kata yang menentang: “Biarkanlah aku dan pergilah, jauhilah aku, aku tidak sudi berlindung di atas geladak kapalmu aku akan dapat menyelamatkan diriku sendiri dengan berlindung di atas gunung yang tidak akan dijangkau oleh air bah ini.”

Ayahnda Nuh a.s. menjawab: "Percayalah bahawa tempat satu-satunya yang dapat menyelamatkan engkau ialah bergabung dengan kami di atas kapal ini. Masa tidak akan ada yang dapat melepaskan diri dari hukuman Allah yang telah ditimpakan ini kecuali orang-orang yang memperolehi rahmat dan keampunan-Nya."

Setelah Ayahnda Nuh a.s. mengucapkan kata-katanya tenggelamlah Kan'aan disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan mata ayahnya, tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut kawan-kawannya dan pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.

“Dan bahtera itu belayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya (Nama anak Nabi Nuh a.s. yang kafir itu Kan’aan, sedang putra-putranya yang beriman ialah Sam, Ham dan Yarfis) – sedang anak itu berada di tempat yang jauh terpencil : ‘Hai anakku, naiklah (kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir.”

(Surah Huud ayat 42)

“Anaknya menjawab : ‘Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!’ Nuh berkata : ‘Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah (saja) Yang Maha Penyayang’. Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.”

(Surah Huud ayat 43)


Orang yang berpegang teguh dengan Agama seperti memegang Bara Api.

Ujian berat kita rasakan
Datang menimpa menjadi beban
Alangkah hebat godaan syaitan
Untuk meruntuh istana Iman.

Bersungguh kita menjaga Iman
Banyak cabaran di akhir zaman
Iman ibarat api di tangan
Setiap masa mahu lepaskan.


 Orang khianat disanjung sanjung
Orang amanah tidak didukung
Pemimpin zalim bunga dikalung
Mujahid Islam di tali gantung.

Bangkitlah wahai Pewaris Nabi
Jangan biarkan umat diuji
Teruskan Jihad ke jalan suci
Sebar luaskan Rahmat Ilahi.

Abu Ali al-Banjari an-Nadwi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan