Assalamu’alaikum...wrt.
Saudara
dan saudari yang hamba hormati, pada hari ini Rabu 25 Januari 2012 bersamaan 1
Rabiul Awal 1433 hijrah menandakan bulan yang mulia bersempenna dengan bulan
kelahiran Junjungan Mulia Baginda Rasulullah s.a.w. yang lebih terkenal dengan
Bulan Maulidurrasul. Maka bersempena dengan bulan Maulidurrasul ini marilah
kita sama-sama perbanyakan selawat dan menghidupkan majlis ‘maulud’
untuk memperingati Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam mencari berkat Mukjizat
Baginda Rasulullah s.a.w. InsyaAllah.
Dengan ini
juga hamba sambung kisah Ayahnda Nuh a.s.
Setelah
Ayahnda Nuh a.s. mengucapkan kata-katanya tenggelamlah
Kan'aan disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan mata ayahndanya,
tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut kawan-kawannya dan
pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.
Nabi Nuh bersedih hati dan berdukacita atas kematian
puteranya dalam keadaan kafir tidak beriman dan belum mengenal Allah.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Huud ayat 45 dan 46.
“Beliau berkeluh-kesah dan berseru
kepada Allah: "Ya Tuhanku, sesungguhnya puteraku itu adalah darah dagingku
dan adalah bahagian dari keluargaku dan sesungguhnya janji-Mu adalah janji
benar dan Engkaulah Maha Hakim yang Maha Berkuasa (45)." Kepadanya Allah
berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya dia puteramu itu tidaklah termasuk
keluargamu, karena ia telah menyimpang dari ajaranmu,
melanggar perintahmu menolak dakwahmu dan mengikuti jejak orang-orang yang
kafir daripada kaummu. Keluarkan coretan namanya dari daftar
keluargamu. Hanya mereka yang telah menerima dakwahmu
mengikuti jalanmu dan beriman kepada-Ku dapat engkau masukkan dan golongkan ke
dalam barisan keluargamu yang telah Aku janjikan perlindungannya dan terjamin
keselamatan jiwanya. Adapun orang-orang yang mengingkari risalahmu,
mendustakan dakwahmu dan telah mengikuti hawa nafsunya dan tuntutan Iblis,
pastilah mereka akan binasa menjalani hukuman yang
telah Aku tentukan walau mereka berada dipuncak gunung. Maka
janganlah engkau sesekali menanyakan tentang sesuatu yang engkau belum ketahui.
Aku ingatkan janganlah engkau sampai tergolong ke dalam
golongan orang-orang yang bodoh (46)."
Ayahnda
Nuh a.s. sedar segera setelah menerima teguran dari
Allah bahwa cinta kasih sayangnya kepada anaknya telah menjadikan ia lupa akan
janji dan ancaman Allah terhadap orang-orang kafir termasuk puteranya sendiri. Ayahnda
Nuh a.s. sedar bahawa ia tersilap pada saat ia
memanggil puteranya untuk menyelamatkannya dari bencana banjir yang didorong
oleh perasaan naluri darah yang menghubungkannya dengan puteranya padahal
sepatutnya cinta dan taat kepada Allah s.w.t. harus mendahului cinta kepada
keluarga dan harta-benda. Ia sangat sesalkan kelalaian
dan kealpaannya itu dan menghadap kepada Allah memohon ampun dan maghfirahnya
dengan berseru:
"Ya
Tuhanku aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan yang terlaknat, ampunilah
kelalaian dan kealpaanku sehingga aku menanyakan sesuatu yang aku tidak
mengetahuinya. Ya Tuhanku bila Engkau tidak
memberi ampun dan maghfirah serta menurunkan rahmat bagiku, nescaya aku menjadi
orang yang rugi."
(Surah Huud ayat 47)
Setelah
air bah itu mencapai puncak keganasannya dan habis binasalah kaum Nuh yang
kafir dan zalim sesuai dengan kehendak dan hukum Allah. Ketika
itu berserulah orang yang beriman terhadap orang kafir yang telah binasa,
“Jauhlah orang-orang zalim dari rahmat dan kasih sayang Allah
ta’ala.” Apabila semua orang kafir hancur binasa akibat
banjir besar itu, Allah s.w.t. memerintahkan bumi untuk menelan air bah itu dan
memerintahkan langit agar berhenti menurunkan hujan maka surutlah lautan air
diserap bumi kemudian terdamparlah kapal Nuh a.s. di
atas gunung "Juudi".
Firman Allah s.w.t. dalam surah Huud ayat 44.
“Dan difirmankan, ‘Wahai
bumi telanlah airmu, dan wahai langit (hujan) berhentilah, dan air pun
disurutkan, perintah pun selesai dan bahtera itu pun berlabuh di atas al-Juudi,
dan dikatakan, ‘binasalah orang-orang yang zalim.”
Setelah
bahtera berlabuh di atas gunung, dan bumi telah menelan airnya, Allah s.w.t.
memerintahkan Ayahnda Nuh a.s. turun dari bahtera ke dataran. Ayahnda Nuh a.s., keluarganya dan seluruh pengikutnya dengan menerima
berkah Allah ta’ala, dan kelak akan menjadi umat yang beriman. Sebahagian
dari mereka akan menikmati kenikmatan dunia. Tetapi
mereka tidak mendapat berkah Allah ta’ala kerana itu mereka menyimpang
dari kebenaran dan disesatkan oleh syaitan yang mengakibatkan mereka akan menerima azab dari Allah s.w.t.
Dengan
iringan perintah Allah kepada Nabi Nuh a.s.: "Wahai Nuh, turunlah dengan selamat
sejahtera dan penuh keberkatan dai Kami atasmu dan atas umat-umat (yang mukmin)
dari orang-orang yang bersamamu. Dan ada (pula) umat-umat
yang Kami beri kesenangan pada mereka (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka
akan ditimpa azab yang pedih dari Kami."
Surah Huud ayat 48.
Kisah Ayahnda Nuh a.s.
Dalam Al-Quran
Al-Quran
menceritakan kisah Nabi Nuh a.s. dalam 43 ayat dari 28 surah di antaranya surah
Nuh dari ayat 1 sehinga 28, juga dalam surah "Huud" ayat 27 sehingga
48 yang mengisahkan dialog Nabi Nuh a.s. dengan kaumnya dan perintah pembuatan
kapal serta keadaan banjir yang menimpa di atas mereka.
Pengajaran
Dari Kisah Ayahnda Nuh a.s.
Bahawasanya hubungan antara manusia yang terjalin
karena ikatan persamaan kepercayaan atau penamaan aqidah dan pendirian adalah
lebih erat dan lebih berkesan daripada hubungan yang terjalin karena ikatan
darah atau kelahiran. Kan'aan yang
walaupun ia adalah anak kandung Ayahnda Nuh a.s., oleh Allah s.w.t. dikeluarkan
dari bilangan keluarga ayahndanya karena ia menganut kepercayaan dan agama
berlainan dengan apa yang dianut dan didakwahkan oleh ayahndanya sendiri,
bahkan ia berada di pihak yang memusuhi dan menentangnya.
Maka
dalam pengertian inilah dapat difahami firman Allah dalam Al-Quran yang
bermaksud: "Sesungguhnya para mukmin
itu adalah bersaudara." Demikian pula hadis Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud: "Tidaklah sempurna iman
seseorang kecuali jika ia menyintai saudaranya yang beriman sebagaimana ia
menyintai dirinya sendiri.” Juga peribahasa yang berbunyi: "Adakalanya
engkau memperolehi seorang saudara yang tidak dilahirkan oleh ibumu."
Dalam
akhir kisah Ayahnda Nuh a.s. ini, Allah s.w.t.
menghadapkan pembincaraan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seraya berfirman, “Kisah Nuh dan kaumnya yang Kami
ceritakan kepadamu (Muhammad) adalah khabar ghaib; kamu dan umatmu tidak
mengetahui kisah ini secara detail sebelum Kami turunkan wahyu tentang kisah
ini kepadamu. Maka sabarlah dalam menghadapi penghinaan dari kaummu, seperti
kesabaran Nuh dahulu. Kerana, akibat yang kamu peroleh adalah
keberuntungan sebagaimana yang pernah diperolehi Nuh. Dan
akibat yang baik itu sentiasa akan diperoleh oleh orang-orang yang
bertakwa.”
Surah Huud ayat 49.
Secebis Kisah Ayahnda Idris a.s
“Dan
(ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Dzulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar.”
Surah al-Anbia’ ayat 85.
Tidak
banyak keterangan yang didapati tentang kisah Ayahnda Idris a.s.
di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah Nabi-nabi.
Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris a.s.
iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57:
"Dan
ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka), kisah Idris yang terdapat (tersebut)
di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah
seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi (56). Dan
Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi (57)."
Ayahnda
Idris a.s. adalah keturunan keenam dari Ayahnda Adam a.s. putera dari Yarid bin
Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s. dan adalah keturunan
pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam a.s. dan Syith a.s.
Ayahnda
Idris a.s. menurut sesetengah riwayat dilahirkan dan bermukim
di Mesir , daerah Munaf. Ayahnda Idris a.s. diberi
nama Hurmus Al-Haramisah, berasal
dari bahasa Yunani Armia, kemudian
diistilahkan menjadi (Arab) Hurmus. Menurut orang-orang Ibrani Baginda bernama Khunukh yang diarabkan menjadi Ukhnukh.
Kemudian Allah s.w.t. dalam Al-Quran menamakannya Idris. Kelompok lain mengatakan
bahawa Nabi Idris a.s. dilahirkan dan dibesarkan di Babilonia. Ayahnda Idris a.s. berdakwah untuk agama Allah s.w.t. mengajarkan tauhid
dan beribadat menyembah Allah ta’ala serta memberi beberapa pendoman
hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri dari seksaan di akhirat
dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Baginda hidup sampai usia 82 tahun.
Diantara beberapa nasihat dan kata-kata
mutiaranya ialah : ~
1.
Kesabaran yang disertai iman kepada
Allah membawa kemenangan.
2.
Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari
Tuhannya dengan amal-amal solehnya.
3.
Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah niatmu
demikian pula puasa dan solatmu.
4.
Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntup sumpah
dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.
5.
Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta
penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah.
6.
Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, karena mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya.
7.
Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan
memuaskannya.
8.
Tanpa membagi-bagikan nikmat yang diperolehnya seorang tidak dapat bersyukur
kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.
Dalam
hubungan dengan firman Allah s.w.t. bahawa Ayahnda Idris a.s. diangkat
kemartabat tinggi, Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi
Idris a.s. wafat tatkala berada di langit keempat dibawa oleh Malaikat. Wallahu 'alam bissawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan