Assalamu’alaikum…wrt,
Hari ini Isnin
28/05/2012M bersamaan 07/07/1433H.
Ayuh sama-sama kita
ikuti sambungan kisah Ayahnda Ibrahim a.s., selamat membaca.
Setelah dilantik
sebagai Nabi dan Rasul Allah, Iman Ayahnda Ibrahim a.s. semakin hari semakin
kukuh. Ibadahnya semakin mantap. Hatinya lebih merasa kecintaan dan kerinduan
kepada Allah ‘azza wajalla.
Persoalan yang timbul
di kepalanya bukan lagi persoalan alam nyata; tentang matahari, bulan dan
bintang; tentang tanah, gunung, sungai dan pohon-pohon. Ayahnda Ibrahim a.s.
sudah memikirkan tentang kehidupan yang lebih kekal abadi di akhirat.
Bagaimanakah Allah ta’ala menghidupkan manusia yang telah mati? Tubuh telah
hancur menjadi tanah. Bagaimana tubuh itu dapat dikumpulkan semula?
Ayahnda Ibrahim a.s.
ingin tahu sangat jawapan kepada soalan ini. Di daerah yang tenang itu juga dia
bermohon kepada Allah s.w.t., (maksudnya) “Tunjukkan kepadaku bagaimana Engkau
mengadakan hari kebangkitan dan menghidupkan manusia yang telah mati?” Allah
s.w.t. menurunkan wahyu (maksudnya), “Apakah engkau belum beriman, ya Ibrahim?”
Ayahnda Ibrahim a.s. menjawab (maksudnya), “Tidak, sekali-kali tidak. Ya
Tuhanku. Bukankah Engkau telah memberi wahyu kepadaku, dan aku telah percaya
dan mengakui kebenarannya, tetapi tentang ini aku hanya mahu mententeramkan
jiwaku yang sering bertanya mengenainya.”
Allah Maha Mengetahui
suara hati hamba-Nya itu. Dia memperkenankan permohonannya. Allah memerintahkan
Ayahnda Ibrahim a.s. menangkap empat jenis burung, dan memberitahu
perkara-perkara yang perlu dilakukan.
Ayahnda Ibrahim a.s.
mematuhi perintah itu. Dia mencari dan menangkap empat ekor burung.
Disembelihnya burung-burung itu, lalu dipotong-potong. Dipisah-pisahkan setiap
anggota burung yang sudah mati itu. Kemudian dihancurkan lumat-lumat, digaulkan
kesemuanya menjadi satu longgokan. Setelah itu dijadikan empat longgok,
diletakkan di kemuncak empat bukit yang berasingan.
Ayahnda Ibrahim a.s.
menyeru keempat-empat burung yang sudah lumat itu. Tercengang Ayahnda Ibrahim
a.s. melihat longgokan daging, tulang dan bulu burung-burung itu bergerak,
bercantum dan bertukar menjadi burung semula serta dapat terbang menuju ke
arahnya. “Masya Allah! Subhanallah!” itu sahaja yang dapat diucapkan oleh
Ayahnda Ibrahim a.s. sebagai tanda kekaguman dan keyakinannya terhadap
kekuasaan Allah yang menghidupkan dan mematikan manusia dan menghidupkannya
semula.
Burung Helang, Burung Gagak, Burung Merak dan Ayam Jantan.
Dia sujud, kemudian
bangun. Bibirnya mengucapkan, “Apabila
Allah berkehendakkan sesuatu, maka tidak ada siapa yang dapat menghalang akan
terjadinya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”
Ayanda
Ibrahim a.s. Berdakwah.
Kembali Ayahnda Ibrahim
a.s. ke rumahnya. Malam itu dia tidur dengan
tenang hingga ke pagi. Pada pagi itu dilihatnya, seperti biasa ayahnya
menyembah berhala. Ditunggunya sehingga ayahnya selesai. Dia mahu berbicara
tentang ibadah kepada Allah dan menyembah berhala.
“…Ayahku! Kenapa ayah
sembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat
menolongmu sedikit pun?” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 42).
“Ini tuhanku dan tuhan
datuk nenekku,” jawab ayahnya dengan suara keras. Tenang Nabi Ibrahim a.s.
mendengarnya. “Ayahku! Sesungguhnya telah datang kepadaku suatu ilmu yang tidak
pernah datang kepadamu (ayah). Oleh itu ikutlah aku, akan kutunjukkan (ku
pimpin) ayah jalan yang betul.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 43)
Dengan mencebikkan
bibir ayahnya berkata, “Engkau hendak menunjukkan aku jalan yang betul. Engkau
masih mentah! Apakah engkau lebih pandai dari aku?”
“Ayahku! Janganlah ayah
menyembah syaitan. Syaitan itulah yang menderhaka kepada Allah yang telah
melimpahkan rahmat-Nya!” “Ayahku! Aku sangat bimbang, ayah akan kena azab dari
al-Rahman (Allah), kerana ayah menyembah yang selain-Nya. Lantaran itu ayah akan
menjadi teman syaitan di dalam neraka.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 44
& 45)
Ayahnya menjawab,
“Patutkah engkau membenci tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya, jika
engkau tidak berhenti dari menyeru dan menasihatiku, aku akan lontarmu dengan
batu, dan lebih baik engkau tinggalkan aku untuk selama-lamanya.” (Maksud
Al-Quran, surah Maryam ayat 46)
Nabi Ibrahim a.s. masih
tenang. Dia berkata,”Selamat tinggal ayah; aku akan mohon kepada Tuhanku supaya
mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsan-Nya
kepadaku.” (Maksud Al-Quran, surah Maryam ayat 47)
Dakwah Ayahnda Ibrahim
a.s. kepada bapanya, Azar gagal. Bukan sekadar itu bapanya menentangnya dengan
keras dan mengugutnya. Namun Nabi Ibrahim a.s. tetap menghormatinya, sebagai
ayah. Dengan sopan dia meninggalkan orang tua itu. "Salamku dan selamat tinggal
untuk bapaku, aku pohonkan keampunan Tuhan bagi bapa, kerana bapaku harus
dihormati. Dan aku pohonkan keampunan bagimu dan kaumku atas apa yang kamu
sembah selain Allah. Dan aku berdoa kepada Allah semoga doaku ini tidak menjadi
punca kesengsaraan.”
Doa itu sentiasa
diingatinya dalam setiap dakwah yang disampaikan kepada orang ramai; dengan
harapan orang yang mahu beriman. Orang ramai menolak seruannya. Mereka terus
menyembah berhala dan semakin jauh mereka tersesat. Ayahnda Ibrahim a.s. tidak
putus asa. Dia cuba mengajak orang ramai berfikir.
“Adakah patung-patung
yang kamu sembah itu dapat melihat? Adakah patung-patung itu dapat mendengar?
Adakah manfaat yang boleh kamu dapati setelah kamu menyembahnya? Atau apakah
bahaya yang akan menimpa kalau kamu meninggalkannya.” Demikian Tanya Ayahnda
Ibrahim a.s. Tersentak mereka mendengar pertanyaan Ayahnda Ibrahim a.s. Mereka
tidak menduga seorang muda yang mereka hormati mengemukakan pertanyaan itu.
Salah seorang dari
mereka menjawab, “Kami lakukan ini kerana inilah yang kami dapati dari nenek
moyang kami semenjak dulu.” Orang ramai yang mendengar jawapan itu senyap
sejenak. Dengan tenang dan sopan Ayahnda Ibrahim a.s. berkata, “…Kamu dan nenek
moyang kamu telah tersesat…” Orang ramai yang sedang berada di sekeliling
berhala merasa tersinggung dengan kata-kata Ayahnda Ibrahim a.s. “Apakah kamu
sengaja menghina kami, Ibrahim? Atau kamu hanya bermain-main?” Tanya mereka serentak.
Ayahnda Ibrahim a.s.
menatap wajah mereka. Dia menjawab dengan tegas,”Aku berkata benar. Aku tidak
pernah main-main. Aku membawa kepada kamu agama yang benar. Aku diutus oleh
Allah kepada kamu untuk membawa agama yang benar. Tuhan yang layak kamu sembah
ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi.” Berhenti sejenak dia. Tidak ada
seorang pun yang dapat menentang mata Ayahnda Ibrahim a.s. ketika itu. Mereka
tergamam; terpesona dengan kata-kata Ayahnda Ibrahim a.s. yang tepat dan padat.
“Tentang patung-patung
yang kamu sembah itu hanyalah batu-batu yang diukir, yang tidak dapat berbuat
apa-apa. Kamu sembah dia kerana kamu dipengaruhi oleh syaitan yang berusaha
menyesatkan kamu,” jelas Ayahnda Ibrahim a.s. lagi. Mendengar Ayahnda Ibrahim
a.s. memperkecilkan patung-patung yang mereka sembah, ada di antara mereka yang
menentang, “Ibrahim! Kawal sedikit kata-katamu itu!” Ayahnda Ibrahim a.s.
memperhati ke arah orang itu. Dia tidak membantah secara melulu teguran itu.
Diberinya peluang orang itu bercakap.
“Ibrahim! Kami bukan
orang sesat,” kata orang yang cuba membela agama berhala mereka. “Kami bukan
dirasuk syaitan! Akal kami masih waras,” katanya lagi dengan suara yang
lantang. “Betul!” orang ramai menyokong kata-kata orang itu. Gemuruh suara mereka
tidak sedikit pun menggugat kekuatan iman, atau memberi kesan apa-apa kepada
Ayahnda Ibrahim a.s.
“Kamilah yang mewarisi
patung-patung ini dari datuk nenek kami. Kamilah yang masih menghormati
kepercayaan yang diwariskan kepada kami. Kami menolak seruan kamu, Ibrahim,”
mereka berkata serentak. Ayahnda Ibrahim a.s. diam lagi. Mereka menduga Ayahnda
Ibrahim a.s. tidak dapat menentang mereka. Salah seorang daripada mereka
bertanya sambil mengejek, “Ibrahim, tidakkah kamu sedar bahawa ada di antara patung-patung
ini yang diukir oleh ayahmu?” sambil menunjuk ke arah sebuah patung.
Pedih sekali hati
Ayahnda Ibrahim a.s. mendengar pertanyaan itu. Terbayang di hadapannya wajah
ayahnya. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya tanpa sebarang kata. Masih
terngiang-ngiang lagi ditelinganya jeritan ayahnya, “Apakah engkau benci kepada
tuhanku, Ibrahim? Kalau engkau tidak berhenti dari tindakanmu ini, engkau akan
kulontar dengan batu. Akan kuhancurkan badanmu… sebelum aku marah, tinggalkan
rumah ini! Engkau tak ada lagi dalam hatimu!”
Nabi Ibrahim a.s. cuba
melupakan ayahnya dan kata-kata ayahnya itu. Dia menarik nafas panjang, lalu
dikumpulkan seluruh kekuatan hatinya yang bermula dari keimanan dan tawakkal
kepada Allah s.w.t. Dengan kekuatan itu dia berkata, “Ayahku adalah seperti
kamu. Aku tidak setuju dengan apa yang dilakukannya.” Mereka mengejek-ngejek
Nabi Ibrahim a.s. Mereka tuduh Nabi Ibrahim a.s. sudah menderhaka kepada
ayahnya sendiri. Mereka tuduh Nabi Ibrahim a.s. orang yang melupakan warisan
nenek moyangnya.
Ejekan itu tidak
sedikit pun memberi kesan pada diri Ayahnda Ibrahim a.s. Dia tetap tabah,
tenang dan sabar. Dia menjelaskan tentang Tuhan yang sebenarnya. “Fikirkan
dengan akal kamu.” Kata Ayahnda Ibrahim a.s. “Lihatlah dengan mata kamu,
moga-moga kamu dapat melihat petunjuk ini. Allah ta’ala itulah yang menjadikan
aku, lalu Dia memberi petunjuk kepadaku. Dialah yang mengadakan makanan dan
minumanku. Kalau aku sakit Dialah yang menyembuhkan aku. Dialah yang mematikan
dan menghidupkan aku kembali. Kepadanya aku tidak putus-putus memohon ampun
atas kesalahanku pada hari perhitungan nanti.” Begitu tegas dan jelas Ayahnda
Ibrahim a.s. menerangkan kepada mereka.
Keterangan ini tidak
memberi kesan apa-apa kepada mereka yang masing-masing telah terkunci hatinya oleh
kejahilan. Mereka meninggalkan Ayahnda Ibrahim a.s. seorang diri. Namun,
rupa-rupanya di antara mereka yang meninggalkan Nabi Ibrahim a.s. ada yang
dapat hidayah untuk menerima seruannya. Hati mereka berbisik, “Memang benar
kata-kata Ibrahim itu, esok kau akan kutemui. Esok aku akan beriman kepada
Allah dan kepadamu.”
Bersambung …..
insyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan