Assalamu’alaikum…wrt,
saudara/i pembaca yang hamba hormati. Dalam artikel sebelum ini telah kita
ketahui dan dapat kita bayangkan suasana masyarakat serta kepercayaan kaum di
zaman Ayahnda Ibrahim a.s. dalam artikel kali ini marilah sama-sama minda
dan rohaniah kita masuk ke zaman awal kelahiran dan kebangkitan Ayahnda Ibrahim
a.s. sebagai Rasul Allah s.w.t. Ayuh…bersama-sama.
Mahkota
dan Mimpi Namrud.
Raja Namrud terjaga
dari tidurnya. Dia terjaga lebih awal pada pagi itu. Tetapi keadaannya tidak
seperti biasa. Dia duduk termenung. Sesekali matanya dipejamkan, kemudian celik
semula. Termenung lagi dia.
Telatahnya itu
diperhatikan oleh Azar, pengawal peribadinya yang amat setia. “Tuanku,” kata
Azar dengan hormat. Raja namrud masih
termenung juga. Kemudian dia membeliakkan matanya, bagai ada sesuatu yang
mengganggu perasannya.
“Katakan kepada patik
apa yang tuanku menungkan.” Kata Azar lagi. “Mimpi, beta bermimpi,” kata Raja
Namrud. Mahkota yang terletak di atas meja ditunjukkannya. Azar hairan
mendengarkan jawapan Raja Namrud. “Mimpi baik Tuanku?” Tanya Azar, sambil
memberikan mahkota itu kepada Raja Namrud. “Tidak!” suaranya keras. Mahkota itu
dipakainya, kemudian ditanggalkan semula.
“Mahkota ini,” suaranya
terhenti dan dia tunduk memperhatikan permaidani tebal di bilik itu.
Didongakkan kepalanya dan dengan matanya yang merah diperhatikan perhiasan di
bilik itu. Mahkota yang ditangan ditatapnya dengan hati-hati. “Mahkota ini mahu
dihancurkan,” bisik hatinya mengingatkan mimpinya. “Aku tidak rela,” bisik
hatinya lagi. Mahkota itu direnungnya lagi. Dia memikirkan istana dan
kerajaanya. Istana yang besar dan indah itu adalah miliknya. Tidak ada siapa
yang dapat memilikinya. Hanya Namrud raja Babilon di Iraq sahaja yang memiliki
semua kemewahan dan kekuasaan.
Kemudian dia
memerintahkan Azar, “Azar! Kumpulkan seluruh ahli nujum dan suruh mereka
mengadap beta!” Dengan segera Azar melaksanakan perintah Raja Namrud yang kasar
dan kejam itu. Memang tidak ada sesiapa yang berani membantah perintah Raja
Namrud, yang mengakui dirinya Tuhan.
Ahli nujum sudah
berkumpul. Tunduk mengadap Raja Namrud di Balai Pengadapan. ‘Beta mahu kamu
memberitahu beta tentang mimpi beta,” kata Raja Namrud. Matanya liar memperhatikan
ahli nujum. “Beta bermimpi ada seorang budak masuk ke bilik beta, lalu dia
menghancurkan mahkota beta.” kata Raja Namrud. Para ahli nujum membuat tilikan
dan ramalan bersama, bahwa suatu masa nanti akan lahir seorang budak lelaki
yang akan menyingkirkan Raja Namrud dari istana dan kerajaannya. Raja Namrud
terperanjat mendengar ramalan itu. “Apa kata kamu!? Tahta beta hendak dirampas
oleh budak!?” Suara Raja Namrud lantang, bergema di dewan itu. Para ahli nujum
tunduk, menjawab serentak, “Begitulah ramalan kami.”
Raja Namrud mengarahkan
Azar membuat peraturan dan arahan. Dia melarang orang berkahwin. Dia
memerintahkan suami isteri bercerai. Dia menyuruh pengawalnya menyiasat
perempuan yang mengandung dan memaksa mereka menggugurkan kandungan masing-masing.
Orang ramai menjadi cemas dan gelisah. Mereka tidak berani hendak menentang
peraturan dan arahan Raja Namrud. Masyarakat menjadi tidak tenteram.
Rumahtangga kucar kacir dan hancur. Anak-anak terbiar dan isteri ditinggalkan
suami.
Setiap hari ada sahaja
pengawal yang menyiasat dari rumah ke rumah (gash). Sesiapa yang melanggar
peraturan dan perintah Raja Namrud akan dihukum bunuh. Azar sendiri
meninggalkan isterinya keseorangan. Tugasnya setiap hari ialah melayani Raja
Namrud, memerintahkan nujum memberitahu sama ada budak lelaki yang dimimpikan
oleh Raja Namrud sudah lahir atau belum. Disamping itu dialah pembuat
patung-patung yang menjadi pujaan dan sembahan Raja Namrud dan orang ramai.
Isteri Azar tidak
sanggup terus hidup sendirian. Telah lama Azar tidak balik. Maka pada satu
malam yang sunyi ketika pengawal terlena kaku bagai patung-patung di istana
Raja Namrud, dia pergi mendapatkan Azar. Azar menerimanya. Selepas itu dia
balik dengan selamat, hanya dia dan suaminya tahu apa yang telah berlaku. Itu
menjadi rahsia mereka berdua.
Tidak lama sesudah
peristiwa itu ahli hujum memberitahu Raja Namrud bahwa kanak-kanak lelaki itu
kini sedang dikandung oleh seorang perempuan. Raja Namrud menjadi berang.
Hatinya bimbang kerana dirasakan ramalan ahli nujum itu benar. Dia
memerintahkan pengawalnya mencari perempuan yang sedang mengandung. Tidak ada
perempuan yang tidak kecut hatinya. Ada yang menyesal menjadi perempuan. Mereka
takut orang membawa fitnah. Nanti mereka akan menjadi mangsa Raja Namrud dan
orang-orangnya yang tidak pernah mengenal belas kasihan.
Isteri Azar juga
bimbang kerana dialah sebenarnya yang sedang dicari dan dia tahu dia sedang
mengandung. Azar juga tahu tetapi rahsia itu adalah di antara dia dengan
isterinya. Isteri Azar berdoa siang malam semoga dirinya dan anak yang sedang
dikandungnya dilindungi Tuhan langit dan bumi yakni Allah s.w.t.
“Ya Tuhanku, padaMu aku
berlindung. Ya Tuhanku lindungilah diriku dan kandunganku dari orang-orang yang
hasad dan zalim.” Demikian doa isteri Azar kepada Allah ta’ala, disebalik rasa
cemas dan bimbang. Dengan susah dan sulit isteri Azar melindungi perutnya.
Berbagai helah dibuat. Semakin hari dirasakannya kandungan itu semakin besar.
Dia tidak kerap keluar rumah, hanya jika perlu. Dia memakai baju labuh dan
besar. Hanya kepada Allah ta’ala dia bertawakkal. Sehingga Sembilan bulan dia
mengandung tidak ada seorang pun pengawal raja yang memeriksanya. Untuk itu dia
bersyukur. Namun, bagaimana nasib anaknya nanti setelah lahir ke dunia? Dia
masih diburu oleh kebimbangan.
Raja Namrud juga
bimbang. Sebab sudah puas dicari, namun perempuan yang sedang mengandung tidak
ditemui oleh pengawalnya. Dia merasakan kehancuran kerajaannya semakin dekat.
Suatu hari Azar pulang
ke rumah. Isterinya mengadu bahwa dia sudah hamper hendak melahirkan anak. Azar
mulai cemas. Dia meminta isterinya pergi ke pinggir kota Babilon, di situ
tempat yang tidak pernah dikunjungi orang. Di situ ada gua. Demi cintanya pada
anak yang dikandungnya, dia melangkahkan kaki berjalan menuju ke pinggir kota.
Langkahnya yang lemah itu diiringi oleh doa kepada Allah ta’ala. “….lindungilah
aku, lindungilah anakku….” Hanya doa itu bersama-samanya menuju ke gua di
pinggir kota. Azar sendiri tidak pergi menghantarnya.
Perlahan-lahan dan berhati-hati
dia masuk ke gua itu. Diperhatikan ke luar supaya tidak ada pengawal raja yang
memperhatikannya. Diperhatikan di dalam gua itu supaya tidak ada binatang
berbahaya yang menunggu. Diletakkan punggungnya di atas kain yang
dibentangkannya. Dia bersandar. Dia terlentang, kemudian lahirlah seorang bayi.
Bayi yang berkat dan mulia itu diberi nama IBRAHIM. Dia sendiri yang
menguruskan bayi itu. Dibersihkannya dan diselimutkannya. Tidak kedengaran
sedikit pun tangisan dari bayi yang bertuah ini.
Di luar, di kota
pengawal terus mencari bayi yang baru lahir seperti yang diramalkan oleh
ahli-ahli nujum Negara. Di dalam gua itu seorang ibu sedang mendakap seorang
bayi. Mulut ibu itu tidak berhenti-henti berdoa, “…lindungilah anak ini.
Lindungilah dia dari bahaya…” Ibu yang berkat
itu meninggalkan bayinya keseorangan kemudian balik ke rumahnya. Bagi ibu itu,
biar anaknya mati sendiri jangan mati dibunuh oleh Raja Namrud yang kejam dan
zalim.
Allah Maha Kaya dan
Allah Maha Melindungi. Allah ta’ala memerintahkan Jibrail a.s. memelihara dan
menjaga bayi suci itu. Jibrail a.s. memegang tangan bayi itu, lalu dimasukkan
ibu jari bayi ke mulut. Dari jari itu air, susu dan madu mengalir masuk ke
dalam mulut bayi. Bayi itu sihat dan selamat. Setiap kali ibunya berkunjung bayi
itu semakin sihat. Alhamdulillah…kepada Allah ta’ala ibu itu bersyukur.
Ayahnda Ibrahim a.s.
dilantik sebagai Rasul
Ayahnda Ibrahim a.s.
meningkat dewasa dalam asuhan Malaikat Jibrail a.s. Tiada siapa pun dapat menemuinya dalam proses kedewasaan
itu selain ibunda dan ayahndanya. Malahan tiada tangan yang dapat menyakiti
kulitnya. Segala-galanya di bawah lindungan Allah s.w.t. Tidak ada daya dan
tidak ada kekuatan melainkan dengan kekuatan dan kekuasaan Allah azzawajalla.
Kawasan gua yang
lengang dan tenang itu memberi kesempatan kepada Ayahnda Ibrahim a.s. untuk
memikirkan hakikat diri dan alam. Pohon-pohon yang rimbun di sekitarnya
membayangkan kesuburan hatinya. Burung-burung yang terbang mencabar fikirannya
untuk mencari kebebasan seluas mungkin. Di situ dia selalu bertafakur tentang
alam, tentang siang dan malam, bulan dan bintang, tentang hidup, tentang mati
dan tentang manusia. Dia berdiri tegak. Siang dilihatnya matahari dengan
panasnya. Malam dilihatnya bulan dengan cahayanya. Sesekali didepangkan kedua
belah tangannya bagaikan mahu menahan angin yang sedang bertiup.
Siapakah yang
menjadikan alam, bulan, matahari dan angin? Siapakah yang menyusun pertukaran
siang dengan malam? Siapakah yang menumbuhkan dan menghidupkan pokok-pokok?
Siapakah yang menjadikan manusia, burung dan haiwan lain? Pertanyaan ini kian
hari kian kerap timbul dalam fikirannya. Tiada siapa yang dapat memantunya
untuk memberi jawapan. Tidak mungkin jawapan itu dapat ditanya kepada
masyarakat yang tenggelam dalam gelombang jahiliah. Masyarakat sudah begitu
jauh tersesat. Ayahnya sendiri menjadi pengukir patung yang disembah oleh orang
ramai. Masyarakat tidak pernah memikirkan persoalan seperti yang difikirkan
oleh Ayahnda Ibrahim a.s. Bagi mereka Raja Namrud itulah Tuhan
mereka,patung-patung itulah juga Tuhan-tuhan mereka.
Ayahnda Ibrahim a.s.
begitu terasing dari masyarakatnya. Dia tidak percaya Raja Namrud yang
menjadikan bulan dan matahari dan lain-lainnya. Dia tidak percaya patung-patung
yang mereka puja dan sembah menjadikan semua itu. Dia begitu pasti yang
menjadikan alam, matahari, bulan dan bintang mesti yang lebih berkuasa daripada
segala-galanya. Dia itulah Allah Yang Maha Besar.
“Kemudian
apabila dia (Nabi Ibrahim) melihat matahari sedang terbit (menyinarkan
cahayanya), berkatalah dia; Inikah Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari
terbenam dia berkata pula; Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas (bersih)
daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).”
Maksud Surah al-An’am ayat 78.
“Sesungguhnya
aku hadapkan mukaku dan diriku kepada Allah yang mencipta langit dan bumi,
sedangkan aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang-orang
yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).”
Maksud Surah al-An’am ayat 79.
Ini cukup diyakininya.
Fikirannya berkata begitu dan hatinya merasa begitu. Biarpun orang lain tidak
merasa begitu. Oleh itu dia adalah satu-satunya manusia yang terselamat
daripada segala bentuk kepercayaan syirik dan amalan mungkar – Salamun ‘ala
Ibrahim (Salam sejahtera untuk Ibrahim).
Gua itu ditinggalkan.
Langkahnya teratur sebagai membayangkan betapa teraturnya fikiran dan hati
orangnya. Dia menuju ke kota Babilon. Kian hampir ke kota kian hilang
ketenangan dan ketenteraman. Penderitaan rakyat bawahan dirasai di sana-sini,
di sebalik kemewahan golongan pembesar yang bertuhankan Raja Namrud.
Rasa gelisah mula
meraba-raba hati Ayahnda Ibrahim a.s. Rasa itu memujuk hatinya supaya turut
merasai nasib manusia yang amat malang itu, iaitu di antara mereka yang karam
dalam kemiskinan dan penindasan dengan mereka yang hanyut dalam kekufuran dan
kemewahan hidup. Di sana berhala, di
sini berhala. Orang-orang yang tidak mengenal Allah s.w.t. melutut di bawah
berhala itu. Suasana ini mencabar hati Ayahnda Ibrahim a.s. untuk menyatakan
tentangan.
Begitu derita sekali
hatinya melihat dan memikirkan semua itu. Untuk apa akal mereka? Patutkah
patung-patung itu mereka sembah? “Oh Tuhanku! Berilah petunjuk kepadaku.
Sekiranya Engkau tidak memberi petunjuk kepadaku, sesungguhnya aku akan
tersesat seperti orang lain yang telah tersesat dan teraniaya,” demikian doa
Ayahnda Ibrahim a.s.
Di ulang-ulang doa ini
pagi petang, siang dan malam. Berjalan dia berdoa. Berhenti dia berdoa. Duduk
dia berdoa. Berdiri dia berdoa. Tidak ada daya lain baginya selain berdoa
kepada Allah ta’ala. Doa senjata orang yang beriman. Doa itu dimakbulkan Allah
s.w.t. Ayahnda Ibrahim a.s. diberi hidayah oleh Allah s.w.t., dan dilantik
menjadi Nabi dan Rasul Allah.
Semenjak itu Ayahnda
Ibrahim a.s. menerima wahyu dari Allah ’azza wajalla tenang aqidah syariat
agama Islam. Dia juga menerima wahyu tentang alam nyata dan alam ghaib, tentang
dunia dan akhirat.
Sekian, bersambung
insyaAllah ta’ala.
Assalamu'alaikum...wrt,
BalasPadamHamba baharu sahaja mendapat berita dari blog The Malay Press, beritanya seperti berikut:
JUMAAT, MEI 25, 2012
YM Tuanku Nai Long Kassim kembali kerahmatullah
Bismillahirahmanirahim.
Assalamu'alaikum wbt.
Dimaklumkan.
Yang Mulia Tuanku Nai Long Kassim ibni Tuanku Nai Long Ahmad waris Khalifah Syarif Syah dan Tuanku Long Jaafar telah kembali ke rahmatullah selepas isya' tadi akibat sakit tua.
Jenazah baginda akan dikebumikan esok hari.
Sekian untuk makluman sidang pembaca yang dihormati.
Al Fatihah.
p/s : Allahyarham Pak Ngah Nai Long Kasim orang yang memakai baju kemeja merah muda seperti dalam gambar (gambar siapa ni? nak tau clik sini) 2 orang bergambar di Makam (batu Aceh) Tok Canai Aluih @ Makam Kaifa Tabim Sheikh Ali Raja yang Memerintah Kerajaan Syburi, Toung Oo Burma. Wallahu'alam.