Ayahnda

Ayahnda

Rabu, 5 September 2012

Sifat-sifat sebagai Daie ke arah kesatuan fikir, usaha, perjuangan, dan matlamat sebagai Satu Ummat.


 

Assalammu'alaikum...wrt, alhamdulillah hari ini Rabu, 05/09/2012M bersamaan 18 Syawal 1433H. Pada artikel kali ini hamba persembahkan nasihat ulamak  kepada para daie di Malaysia khususnya dalam usaha mendakwahkan agama Islam yang mulia ini. Semoga kita semua mendapat sedikit sebanyak pengajaran dari nasihat tersebut. InsyaAllah.

Sifat Pertama : Sifat Sabar dan Syukur.

Bayan Akhir Maulana Saad al-Khandahlawi selepas Istimak Malaysia pada 13 Julai 2009 di Nilai N9.

Tuan-tuan, saudara/i yang mulia,

Maksud dari setiap amal adalah mendapat keredhaan Allah s.w.t. Begitu juga tanda sempurnanya iman seseorang itu bukanlah dari bantuan ghaib Allah s.w.t. kerana apabila para sahabat tanya apakahtandanya seseorang itu beriman, Rasulullah s.a.w. menjawab maksudnya, “Apabila kamu membuat kebaikan mengembirakan kamu dan bilamana kamu berbuat yang buruk (tidak baik) kamu berasa sedih. Maka kamu adalah seorang yang beriman.”

Maulana Saad Al-Khandahlawi

Maulana Saad memberitahu, kita perlu cerita tentang iman beserta alamat-alamat (tanda-tanda) iman. Satu masa sekumpulan sahabat telah datang berjumpa Nabi s.a.w. dan menceritakan bahwa dalam diri mereka ada 15 perkara.

Nabi s.a.w. pun minta mereka terangkan. Mereka menerangkan;

5 perkara yang kamu perintah beriman ialah :
1.   Percaya kepada Allah s.w.t.
2.   Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul a.s.
3.   Percaya Malaikat a.s.
4.   Percaya kepada Kitab-kitab.
5.   Percaya kepada Takdir.

5 perkara yang kamu perintah untuk beramal ialah :
1.   Kami mengucap dua kalimah syahadah.
2.   Kami menunaikan Sembahyang.
3.   Kami berpuasa di bulan Ramadhan.
4.   Kami keluarkan Zakat.
5.   Kami tunaikan Haji.

5 perkara lagi adalah sifat-sifat masa kami zaman jahiliah lagi iaitu :
1.   Kami bersabar apabila dalam kesusahan.
2.   Kami bersyukur apabila dalam kesenangan.
3.   Kami redha dengan ketetapan Allah s.w.t.
4.   Apabila kami berhadapan dengan musuh kami berani.
5.  Apabila musuh kami kesusahan kami tidak gembira atas musibah yang menimpa mereka.

Maka Nabi s.a.w. pun bersabda; “Fuqaha udabak kayadhu ambia”, maksudnya “Kamu ini fuqaha iaitu orang-orang fakeh (orang yang mempunyai kefahaman yang sempurna tentang agama), udabak ialah seorang yang mahir dalam adab Arab dan bahasa Arab (adab ialah mengambil berat tentang sunnah Nabi s.a.w.), kalaulah pintu kenabian masih terbuka mereka layak menjadi nabi kerana sifat-sifat yang mereka miliki.”

Inilah sifat-sifat yang patut ada pada orang beriman. Iman adalah itaat kerana keimanan yang ada dalam hati seseorang itu tempat zahirnya ialah ketaatannya. Iman adalah taat. Tanda orang itu beriman ialah dia taat dengan segala perintah Allah s.w.t. Dalam satu hadis Nabi s.a.w. kaitkan iman itu dengan 2 perkara iaitu sabar dan syukur.

Apakah sabar dan apakah syukur yang sebenar? Kita kena faham…. Maulana Saad memberitahu, sabar ialah kita menahan diri kita dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Kesyukuran ialah kita menundukkan diri kita, menggunakan diri kita mengikut perintah Allah s.w.t. Syukur bukanlah balasan bagi nikmat, apabila kita ada sesuatu kita bersyukur. Seseorang itu tidak ada apa-apa, tidak ada duit, tidak ada rumah, dan tiada segalanya tetapi dia tetap gunakan dirinya mentaati perintah Allah s.w.t. maka dialah orang yang bersyukur.

Begitu juga ibadat bukan balasan bagi nikmat. Ibadat adalah hak Allah s.w.t. Nikmat-nikmat dunia ini bukanlah balasan dari ibadat yang kita lakukan kerana nikmat dunia ini hina di sisi Allah s.w.t., nikmat dunia tidak layak dijadikan balasan bagi ibadat yang dilakukan. Seseorang yang telah mati, dia minta untuk balik ke dunia sekejap sahaja untuk sebut satu Subhanallah dan untuk itu dia sanggup mengorbankan seluruh hartanya kalau dia ada harta sebanyak dunia ini. Allah s.w.t. tidak akan terima permintaannya. Seluruh dunia ini tidak ada nilai berbanding dengan satu Subhanallah. Jadi bagaimana duni ini hendak dijadikan balasan untuk ibadat?

Kalaulah seluruh manusia beriman kepada Allah s.w.t., taat dengan perintahNya dan mereka semua tidak diberi apa-apa balasan semasa di dunia, ini adalah hak Allah s.w.t. Kalaulah seluruh manusia beriman kepada Allah s.w.t., taat dengan perintahNya, tetapi di akhirat semua mereka dimasukkan ke Neraka, tiada siapa boleh persoalkan kerana ini adalah hak Allah s.w.t. HAK MUTLAK ALLAH S.W.T.

Tuan-tuan, saudara/i yang mulia,

Untuk seseorang itu diterima oleh Allah Ta’ala sebagai daie-Nya, menjadi ikutan manusia dalam agama, terlebih dulu ia hendaklah berusaha supaya Allah Ta’ala terima dia dengan cara dia menyempurnakan dalam dirinya segala sifat-sifat yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala, samada dalam kehidupan infradi (berseorangan) atau dalam kehidupan ijtimae (beramai-ramai). Kerana seorang yang mula membuat usaha ini, kehidupannya bukan kehidupan infradi lagi bahkan seluruh kehidupannya menjadi ijtimae; dia akan menjadi ikutan, menjadi perhatian orang ramai, cara kehidupan dia, pergaulan dia, muamalah dia, nikah kawin dia, segala pergerakannya akan menjadi perhatian.

Oleh itu dia perlu menyempurnakan semua sifat-sifat dan ijtimaenya mengikut yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala supaya Allah s.w.t. terima dia menjadi ikutan manusia, asbab hidayah kepada manusia.

Seperti Ayahnda Ibrahim a.s., Allah Ta’ala telah ujinya dengan 30 perkara (ujian) dan Ayahnda Ibrahim a.s. telah sempurnakan ke semua 30 sifat tersebut samada dalam bentuk ibadat, fitrah atau dalam bentuk pengorbanan meninggalkan keluarga, tanah air untuk agama Allah s.w.t. Apabila Ayahnda Ibrahim telah Berjaya menyempurnakan sifat-sifat itu barulah Allah Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya Aku akan jadikan kamu sebagai imam bagi manusia”.

Maulana Yusuf Al-Khandahlawi

Sifat Kedua : Sabar dan Tahamul (sanggup menanggug kesusahan).

Sifat penting penting yang perlu ada bagi seorang daie ialah dia ada kemampuan (keupayaan) untuk menanggung segala susah payah dalam usaha agama. Segala perkara yang dia tidak suka atau tidak ingini yang berlaku semasa dia buat usaha agama atau berlaku pada pihak yang didakwahkah, dia perlu tanggung dengan penuh sabar. Maulana Yusuf Khandahlawi berkata, kesabaran atau kesanggupan seorang daie menanggung kepayahan semasa ia berdakwah akan menjadi asbab hidayat. Inilah sifat yang perlu ada pada setiap orang yang membuat usaha agama (Usaha atas Iman) iaitu Sifat sabar dan TAHAMUL.


Sifat Ketiga : Tawadhuk (Rendah Diri).

Nabi-Nabi a.s. dan Rasul-Rasul a.s. telah dilatih oleh Allah Ta’ala dengan mengembala kambing, kerana dengan mengembala kambing mereka ditarbiah untuk mendapat sifat sabar, tahamul dan merendah diri sebab semasa mengembala kambing mereka menghadapi bermacam-macam keadaan cuaca panas, sejuk dan berbagai kesusahan untuk menjaga kambing-kambing tersebut. Allah s.w.t. sengaja melatih Para Nabi dan Rasul dengan mengembala kambing untuk mewujudkan sifat-sifat sabar, tahamul dan kanaah (merendah diri), kerana itulah sifat-sifat utama yang perlu ada bagi seorang daie.



Sifat Keempat : Sifat Pemaaf (memaafkan kesalahan sesama mukmin)


Sifat keempat ini khas untuk Karkun dan sesama umat Islam. Kita perlu berlemah lembut, tidak keras, tidak kasar dalam usaha menjalankan usaha agama terhadap saudara seIslam. Dalam usaha agama ini ada usul-usul (adab usul), dan usul-usul ini untuk kita muzakarahkan. Usul bukan untuk kita buat muhafadhah (hukuman), seorang yang melanggar usul kita tidak boleh hukum dia bahkan ia untuk dimuzakarahkan. Kerana dalam usaha ini sudah pasti ada ‘rakan-rakan seusaha’ yang langgar usul kerana mereka bukan malaikat, pasti mereka melakukan kesalahan, dan kesilapan. Jadi jika ada rakan-rakan yang  melanggar usul, kita perbaiki dengan cara muzakaharah usul-usul tersebut untuk peringatan kepada rakan seusaha yang lain.



Pada zaman Nabi s.a.w., jika berlaku perkara tersebut, baginda s.a.w. akan kumpulkan para sahabat dan muzakarahkan (bincangkan). Nabi s.a.w. Cuma akan sebut, “Mengapa ada orang yang buat seperti ini dan seperti itu”. Dengan cara itu, orang yang melakukan kesilapan terus sedar akan kesilapannya. Oleh itu, jika ada rakan seusaha dalam usaha ini melakukan kesilapan bukan tugas kita menangkap dan menghukum mereka tetapi kita perlu membuat hubungan baik dengannya sehingga dia sedia terima cakap kita. Apabila kita muzakarahkan, dia akan terima cakap kita. Kita jangan jauhkan diri kita dengan dia, bahkan kita makin rapat dengan dia, menjadi sahabat baik dia sehingga dia dengan terpaksa atau redha menerima nasihat kita.



Kesalahan-kesalahan yang dibuat oleh rakan seusaha, hendaklah kita tutup dan jangan kita ceritakan kesalahan-kesalahan tersebut dimana-mana. Inilah cara supaya kesalahan itu dapat dihilangkan. Kata Saidina Umar r.a., “hapuskan kebatilan dengan kamu tidak menyebutkannya”. Hari ini kebatilan semakin tersebar keseluruh dunia sebab kita bercakap tentang kebatilan tersebut. Oleh itu, cara untuk membetulkan kesalahan/kesilapan rakan kita ialah jangan kita sebut kesilapan dia, kita hanya muzakarah/bincangkan tentang usul dan perkara yang baik/kebenaran.



Seterusnya kita kena anggap kesalahan mereka itu kecil sahaja, supaya kita jangan besar-besarkan kesilapan kecil rakan seusaha kita. Kadang-kadang niat baik untuk baiki rakan seusaha, kita besar-besarkan, kita hebah-hebahkan kesalahanya sedangkan cara untuk membetulkan ialah jangan sebut kesilapan tersebut dan anggap itu perkara kecil.



Dalam Al-Quran Allah s.w.t. ada berfirman, “Hilangkanlah keburukan dengan kebaikan, maka kamu akan dapati musuh menjadi sahabat karib kamu, tetapi orang yang dapat membuat perkara ini hanya orang yang ada sifat kesabaran”. Allah s.w.t. telah perintah Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. sebelum pergi berjumpa Firaun, “Bercakaplah dengannya dengan lemah lembut”. Begitu juga apabila Nabi Muhammad s.a.w. hantar sahabat pergi berdakwah, Nabi s.a.w. berpesan; “Berlemah lembutlah dengan mereka”. Oleh itu, dalam usaha agama mestilah ada kelembutan sesama rakan seusaha (karkun).

Satu lagi perkara yang penting ialah apabila seseorang membuat kesilapan/kesalahan kita jangan keluarkan dia dari usaha ini, tidak sisihkan dia dari usaha ini, kerana kita bukan satu company atau syarikat dimana kita boleh pecat sesiapa dari jawatannya. Kita bukan satu persatuan yang ada ahli-ahli yang mana kita boleh batalkan keahliannya. Usaha daie adalah usaha setiap umat Nabi Muhammad s.a.w., kerja dakwah ini adalah kerja setiap umat Nabi Muhammad s.a.w. tiada persoalan untuk kita pecat sesiapa atau kita buang sesiapa. Dalam usaha ini tiada seorang pun dimakzurkan atau diuzurkan mungkin sebab kesihatan dimaafkan. Kita perlu terus ambil usaha dari dia dan berusaha dekat dengan dia.


Sifat kelima : Tiada hasad dengki.

Diantara sifat para sahabat r.hum yang mulia ialah tidak timbul rasa benci kepada orang yang membuat kesilapan dan apabila mereka  melihat kebaikan atau kelebihan ada pada seseorang mereka tidak berhasad dengki pada orang itu. Sifat ini amat-amat penting dalam usaha agama  kerana hasad adalah bahaya yang paling besar kerana ia akan menghancurkan ijtimaeyat (kesatuan) diantara rakan-rakan seusaha.

Perasaan hasad ialah apabila kita tengok kebaikan atau kelebihan orang lain kita rasa cemburu dan kita rasa benci pada seseorang yang membuat kesilapan. Sifat hasad dan benci akan menghancurkan ijtimaeyat dalam usaha agama sedangkan ijtimaeyat dalam usaha agama adalah amat penting.


Sifat keenam : Taat dengan keputusan amer (pemimpin).

Para sahabat r.hum telah dilatih oleh Nabi s.a.w. untuk sentiasa taat dengan keputusan yang telah dibuat oleh Nabi s.a.w., taat pada amer (pemimpin) walaupun pemimpin itu kecil daripada mereka. Kalau orang yang besar menjadi amer mudah untuk taat tetapi jika orang kecil menjadi amer, ini merupakan ujian yang besar kepada orang yang besar untuk taat. Nabi s.a.w. pernah bersabda marhumnya, “kamu kena taat kepada amer kamu walaupun ia hamba Habsyi yang berkulit gelap”.


Sifat ketujuh : Boleh bergaul dengan semua lapisan masyarakat.

Untuk tarbiah umat ini, kita kena ikhtilat umat. Kita kena masuk dalam umat, kita tidak boleh bergaul dengan umat tertentu sahaja bahkan kita kena bergaul dengan semua lapisan umat barulah segala kebaikan dalam golongan itu akan berpindah dalam diri kita.

Hari ini umat telah dipecah-pecahkan olehusaha batil, dibahagikan kepada golongan-golongan tertentu. Melalui usaha ini kita hendak hapuskan perpecahan tersebut. Hari ini orang Islam berkata, kami adalah golongan bisnessman/peniaga. Ulamak berkata, ‘mengganggap diri kita sebagai peniaga bermakna kita menisbatkan/menghubungkan diri kita dengan kaum Nabi Suib a.s., kalau kita kata kita petani atau tuan-tuan tanah maka kita menisbatkan diri kita dengan kaum Saba’.

Hari ini umat telah dipecah-pecahkan mengikut golongan-golongan seperti peniaga, petani, jurutera, peguam, ahli agama dan bermacam-macam lagi. Usaha kita ini sekarang bagaimana kita hendak hilangkan perpecahan ini dan berusaha bawa mereka kepada umat fana, dimana setiap orang merasa dirinya adalah umat Nabi Muhammad s.a.w. bukan dari golongan sekian, bangsa sekian atau keturunan sekian.

Apabila perasan satu hati kepada umat ini ujud dalam diri, mereka merasakan mereka adalah satu, tidak berpecah-pecah maka akan wujud perasaan kasih sayang antara satu sama lain, inilah maksud dalam usaha kita ini.



Sifat kelapan : Bermesyuarat dan taat dengan keputusan mesyuarat.

Perkara ini amat penting dalam usaha agama. Tanggungjawab yang paling penting dalam usaha ini ialah setiap dari kita hendaklah jadikan mesyuarat sebagai ijtimae. Mensyuaratlah atas dasar ketaatan.

Tiga perkara penting dalam mesyuarat ialah ijtimaeyat, ahniyat dan taat. Pentingnya mesyuarat ini sehingga Allah Ta’ala sebut dalam Al-Quran; “orang mukmin ialah yang mendirikan solat dan menjalankan urusan-urusannya dengan mesyuarat”. Solat adalah satu amalan ijtimae dan mesyuarat juga satu amalan ijtimae. Solat adalah perkara yang paling penting dalam ibadat, begitu juga mesyuarat adalah perkara yang sangat penting dalam usaha agama. Sebagaimana solat mendatangkan sifat taat begitu juga mesyuarat mendatangkan sifat taat kepada Allah s.w.t.

Oleh itu kita hendaklah menjadikan mesyuarat ini ijtimae, maknanya mesyuarat bukan untuk orang ‘tabligh’ sahaja tetapi mesyuarat untuk seluruh umat, kita satukan umat.

Maulana Saad bercerita, dalam satu safar (perjalanan) beliau singgah di sebuah masjid, waktu belum masuk Asar. Dalam masjid ada ramai orang dan masing-masing dengan amal mereka; ada yang membaca Al-Quran, ada yang berzikir dan di satu sudut ada beberapa orang sedang mesyuarat. Maulana tanya, “Apa kamu sedang buat?” Mereka jawab, “Kami sedang mesyuarat”. Maulana tanya, “Kamu mesyuarat, tapi kenapa orang yang lain kamu tidak panggil sama?” Merika beritahu, “Orang yang lain itu bukan ahli jemaah”. Maulana Saad terkejut kemudian berkata, “Mengapa mesyuarat yang ijtimae dijadikan seolah-olah program tabligh! Tujuan mesyuarat ialah untuk menjadikan setiap orang Islam ada fikir bagaimana hendak menyelamatkan iman dan Islam yang semakin tenat”. Kemudian Maulana telah pergi ke mimbar dan minta semua orang berkumpul dan beritahu, “Ada masalah penting yang perlu kita mesyuaratkan”. Semua orang telah berkumpul dan Maulana Saad telah berkata, “Bahawa hari ini agama Islam di seluruh dunia telah semakin mundur, jadi bagaimana kita hendak selamatkan agama kita? Jadi kita duduk di sini untuk mesyuarat”. Kemudian mereka berkata, “Sebelum ini tiada orang yang beritahu mereka, kalau macam ini setiap petang kami akan duduk bermesyuarat”.


Maulana Ilyas Al-Khandahlawi

Penutup

Tuan-tuan, saudara/i yang mulia,

Kerja ini (dakwah) adalah kerja Allah s.w.t. Maka Allah Ta’ala boleh ambil siapa-siapa sahaja untuk buat kerja ini. Maulana Ilyas rah pernah menulis surat kepada seorang yang membuat usaha, kata-katanya dalam surat tersebut, “Kerja ini adalah kerja Allah s.w.t., bukan suatu yang pelik jika Allah Ta’ala mengambil kerja dari kamu yang Allah Ta’ala tidak pernah ambil dari sesiapa pun sebelum ini”.

Allah Ta’ala boleh ambil kerja dari sesiapa yang Allah Ta’ala kehendaki. Allah Ta’ala telah ambil kerja dari burung ababil, dalam masa yang singkat sahaja Allah Ta’ala telah hapuskan musuh-Nya. Oleh kerana Allah Ta’ala boleh ambil kerja dari sesiapa pun maka jika Allah Ta’ala ambil kerja dari seseorang, kita tidak boleh dengki atau tidak setuju kerana ini menunjukkan kita seolah-olah tidak redha dengan keputusan Allah s.w.t. sedangkan Allah Ta’ala berfirman maksudnya, “Allah yang pilih di kalangan malaikat-malaikatNya dan rasul-rasulNya yang Dia kehendaki. Allah yang tahu di mana Dia hendak letakkan risalahNya”.

Sebenarnya usaha dakwah ini akan maju dengan bantuan Allah s.w.t. dan dengan berkat doa orang-orang yang hampir dengan Allah Ta’ala yakni para Aulia’ (wali-wali Allah). Dalam sebuah hadis ada menceritakan, ada orang yang pakaiannya compang camping, rambut kusut masai, badannya berdebu tapi apabila dia bersumpah maka Allah s.w.t akan sempurnakan sumpahnya yakni orang yang majzub (gila kepada Allah).

Sesungguhnya usaha-usaha batil yang berlaku di seluruh dunia untuk menyesatkan orang Islam adalah terhadap orang miskin, orang yang tidak dipedulikan oleh sesiapa, bukan kepada orang Khawas (orang ternama dan berkedudukan). Oleh itu kita kena banyak buat hubungan dengan mereka supaya mereka tidak dipengaruhi oleh orang-orang kafir.

Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan balik dari Thaif telah singgah di satu tempat, Nabi s.a.w. telah dakwah Usybah bin Syaibah iaitu orang khawas dan sebenarnya ketika itu Nabi s.a.w. sendiri tidak tahu dia orang khawas. Usyabah bin Syaibah telah memeluk Islam. Nabi s.a.w. telah jalankan usaha dakwah kepada semua golongan sehingga kepada raja-raja. Tetapi kebanyakan usaha Rasulullah s.a.w. tertumpu kepada orang-orang miskin, orang yang tidak dipedulikan bukan kepada orang-orang khawas.

Wallahu’alam.

Sekian wassalam…

2 ulasan:

  1. salam sejahtera tuan rumah,mohon laluan ya...

    annur setuju dgn apa yg sdr Ab bincangkan,tepat sekali...ini secara detail,secara general annur sarankan berkawan dengan semua...tapi tatasusila,adab sopan,budi bahasa haruslah dijaga...

    ttg konsep bersyukur,annur rasa makna mudahnya,kita hargai apa yg kita ada...dgn cara kita jaga elok2...

    wallahualam,sekadar berpendapat...

    BalasPadam
  2. salam kembali...

    Terima kasih atas saranan yang saudari annur berikan, hamba hargainya...
    Hamba juga setuju dengan konsep bersyukur tersebut...

    Semoga kita semua menjadi hamba Allah s.w.t. yang sentiasa bersyukur dan mendapat keredhaanNya di dunia juga di akhirat...

    Aminnn ya Rabbal'alamin...

    BalasPadam