Ayahnda

Ayahnda

Rabu, 21 September 2011

Asas Penyatuan Ummah 2 : Berselawat atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w


Assalammu'alaikum..wrt, marilah kita sama-sama ikuti dan hayati sambungan artikel 5 asas penyatuan ummah.

Firman Allah s.w.t. :

 
“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat atas Nabi Muhammad. Wahai orang beriman berselawatlah kamu keatas Nabi dan ucapkanlah salam dengan penghormatan yang sempurna.” (Al-Ahzab ayat 56)

Di dalam ayat di atas, Allah s.w.t. telah menegaskan sesungguhnya Dia dan para malaikatNya sentiasa berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w. Di sini tentulah terdapat banyak rahsia-rahsia yang Allah s.w.t. sembunyikan dalam amalan berselawat, sehingga Dia (Allah s.w.t.) yang menciptakan makhluk yang paling dicintaiNya (Nabi Muhammad s.a.w.) dan Allah s.w.t. berselawat ke atas kekasihNya sendiri. Adapun ibadat yang lain umpama sembahyang, puasa, haji dan lain-lainnya hanya diperintah atas hamba-hambaNya sahaja untuk melakukannya. Berlainan dengan selawat. Allah s.w.t. telah mengiklankan bahawa Allah s.w.t. sendiri melakukannya dan kemudian Allah s.w.t. mengundang orang-orang mukmin untuk turut serta berselawat denganNya dan para malaikatNya yang ma’sum.


 Allah s.w.t. telah menciptakan langit, bumi dan segala isinya semata-mata cintaNya terhadap Muhammad s.a.w. Kalaulah bukan kerana Nabi yang bongsu ini, tidaklah dijadikan semua makhluk sebab itulah Rasulullah s.a.w. diutus sebagai “Rahmatan Lil A’lamin” yakni sebagai rahmat untuk sekalian ‘alam. Untuk menjadi orang yang sentiasa dalam dakapan kasih sayang Allah s.w.t., tidak boleh tidak seseorang itu mestilah berselawat atas “Khatimil Ambia’, Saiyidul Mursalin”, kerana Baginda adalah lambang cinta Allah s.w.t. dan penghubung di antara makhluk dan khaliknya. Sesuatu doa yang tidak disertakan selawat di dalamnya tidaklah doa itu boleh menembusi pintu langit.

Perkara ini telah dibuktikan oleh “Akbarul Tabien” (Tabien yang Agung) Uwais Al-Qarni. Beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. tetapi imannya diakui oleh Nabi s.a.w. Doanya tidak dihijab. Beliau tidak dikenali oleh penduduk di bumi tetapi terkenal di kalangan penghuni langit. Jasadnya mengembala unta tetapi rohnya (kekuatan kerohaniannya) mengembala manusia beriman kepada Allah s.w.t. Dia melihat “Nur Rasulullah s.a.w.” merangkumi langit dan bumi. Ini adalah kerana kecintaan yang tinggi Uwais terhadap Rasulullah s.a.w. Tidak akan menjadi kekasih Allah s.w.t. melainkan seseorang itu mestilah mencintai dan kasih terhadap “Muhammad Habibullah s.a.w.” sebagaimana kasihnya Abu Bakar, Omar, Osman, Ali dan keseluruhan sahabat r.a.hum terhadap Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa cinta kepada sesuatu maka dia akan banyak menyebut atau mengingatinya.” (Hadis Riwayat al-firdausi)


Tanda seseorang itu cinta kepada Rasulullah s.a.w. tentulah dia banyak berselawat kepada Baginda. Sebab itulah semua para wali yang besar-besar, Allah s.w.t. telah ilhamkan kepada mereka selawat-selawat yang khususiah untuk membuktikan mereka itu memang sebenarnya kekasih-kekasih Allah s.w.t. Sebagaimana selawat yang dianugerahkan kepada Sultan Aulia’ Syaikh Muhyiddin Abdul Qoder Al-Jilani, Sidi Ahmad Badawi, Sidi Ahmad bin Idris dan lain-lain lagi qaddasallah hu asrarahum.

Di dalam hadis ada dikhabarkan bahawa setiap manusia itu ada syaitan yang mendampinginya termasuklah Rasulullah s.a.w. sendiri. Tetapi syaitan yang mendampingi Baginda telah menjadi Islam kerana Allah s.w.t. menolong Baginda. Ini adalah salah satu mukjizat Baginda. Di sinilah salah satu peranan selawat kerana Nur yang ada dalam selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w. boleh membakar dan menghancur-leburkan kerakusan nafsu dan tipu daya atau hasutan iblis, syaitan dan ifrit. Dengan berselawat, maka kita telah membuat saluran untuk menerima bantuan Allah s.w.t. dalam kita menghadapi musuh-musuh yang tidak dapat kita lihat dengan mata kepala jasad kita.


Dengan berselawat kita telah menghina Iblis dan kuncu-kuncunya kerana bagi Iblis musuh nombor “wahidnya” adalah Rasulullah s.a.w. Kita sedia maklum apa kerja Iblis? Tidak lain dan tidak bukan kerjanya hanya semata-mata hendak menghancurkan iman anak cucu Ayahnda Adam a.s. Apabila iman hancur dan hilang, akan zahirlah takabbur, hasad, dendam, tamak, kezaliman, penindasan, fitnah dan bermacam-macam unsur kemungkaran dan kerosakan di muka bumi ini. Contohnya kemungkaran yang pertama berlaku di muka bumi iaitu syahidnya Habil ditangan saudaranya sendiri, Qabil. Peristiwa ini berlaku kerana hasutan yang ditaja oleh Iblis, lalu Qabil tidak redho dengan keputusan yang dibuat oleh Ayahnda Adam a.s., walhal keputusan itu berdasarkan wahyu Allah s.w.t.

Sebab itulah Allah s.w.t. mempelawa para mukmin untuk turut serta berselawat atas kekasihNya supaya iman kita tidak boleh diperbudak-budakkan oleh nafsu, iblis, dunia dan kuncu-kuncunya. Dengan banyak berselawat pemikiran dan perasaan kita tidak mudah terpengaruh dengan suasana sekeliling dan keadaan masa yang Allah s.w.t. qodhakan. Tetaplah kita berpegang dengan Tuhan yang mentadbir sekelian alam. Dengan berselawat juga taubat kita akan diterima sebagaimana Allah s.w.t. menerima taubat Ayahnda Adam a.s. dengan keberkatan Muhammad s.a.w. Apabila taubat seseorang itu diterima barulah layak dia mendamping dirinya dengan Allah s.w.t.


Sabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa lupa berselawat keatasku telah sesatlah ia menuju jalan ke syurga.”         (Riwayat al-Baihaqi)

Orang-orang yang Allah s.w.t persilakan memasuki syurga hanyalah Mukmin yang sampai sekuruang-kurangnya ke tahap Nafsu Mutmainnah. Mereka inilah orang yang baru mengenal Allah s.w.t. dengan pengenalan yang “haq” dan telah tunduk pada keagungan Allah s.w.t. pengakuan yang diikrarkan semasa di alam zuriat, sebab itulah Allah s.w.t. menjemput mereka masuk dalam golongan orang yang mempunyai jiwa kehambaan, yang dinamakan golongan “muqarrabin”. Allah s.w.t. akan memperkenalkannya kepada para kekasih Allah s.w.t., kerana dia sudah membuka siaran rancangan tv yang sama dengan para aulia’ ini. Misalnya, sekiranya seseorang hendak menonton rancangan tv1 hendaklah dia memetik suis rancangan tv1. tetapi, kalau dia memetik selain daripada suis tv1, tidaklah dia boleh menonton rancangan tv1 di dalam skrin tv nya, kerana mereka berlainan saluran.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Fajr ayat 27, 28, 29 dan 30.


“Wahai orang yang berjiwa mutmainnah. Kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dalam keadaan redho dan diredhoi. Serta masuklah kamu dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.”

Kesimpulannya dengan berselawat, boleh memproses nafsu seseorang dari Ammarah ke peringkat nafsu Mutmainnah dan seterusnya ke tahap yang lebih tinggi lagi mengikut kesungguhan seseorang itu. Selagi mana manusia itu tidak boleh memproses dirinya ke tahap Nafsu Mutmainnah, nafsu yang sudah mendapat jaminan Allah s.w.t. untuk masuk syurga, selama itulah hidupnya punah ranah walaupun beliau sebesar-besar ulama’ pada zamannya. Ini kerana beliau masih dijajah oleh penyakit kekufuran, kesyirikan, kefasikan, dan kemunafikan. Penyakit-penyakit inilah yang akan menghalang Perpaduan Ummah. Mereka ini juga akan sentiasa diselubungi rasa takut kepada makhluk, bimbang dengan rezeki yang Allah s.w.t. telah jamin, keluh-kesah dan tidak redho dengan Qodha Allah s.w.t.


Hanya mereka yang bersungguh-sungguh mengaku segala kejahilan dan kezaliman dirinya dan sentiasa mencela dirinya kepada Allah s.w.t. dan berpegang teguh dengan Allah s.w.t. dalam setiap masa dan hal keadaan sahajalah yang Allah s.w.t. persilakan untuk memakai pakaian Mutmainnah. Sebab itulah para ulama’ solehin mengatakan bahawa selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. diumpamakan sebagai Murabbi yakni pendidik atau pembimbing manusia dalam proses membaiki diri untuk menjadi Muttaqin dan Muhsinin.

Bersambung …. InsyaAllah ta’ala.

Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan