Dewasa
ini berbagai-bagai pandangan dan usaha yang telah dan sedang dijalankan untuk
menyatupadukan ummah, tetapi hasilnya masih kabur. Setengah-setangah dari
pandangan dan usaha itu mengikut acuan yang terkeluar dari garisan ahli sunnah
wal jamaah walaupun mereka membuat dakwaan yang mereka adalah pengikut
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.hum.
Dalam
artikel kali ini hamba bentangkan sebuah kertas kerja yang ringkas mengenai
pandangan dan cadangan dalam usaha menyatukan ummah pada zaman ini. Pandangan
dan cadangan ini disusun mengikut pandangan dan cadangan yang telah disaran dan
disampaikan oleh seorang hamba Allah yang telah mempraktikkan syariat dan
thoriq sehingga merasai kelazatan minuman hakikat dan makrifat, iaitu Syaikh
Mahmud al-Qadehi. Beliau ialah salah seorang tokoh sufi pada adab ke-15 Hijrah
ini. Beliau adalah pengasas Madrasah Nurul Iman dan pendokong Tarekat Ahmadiah
Qodiriah sedunia. Beliau menyarankan 5 asas penting untuk menyatukan ummah,
iaitu :
5 Asas Penyatuan Ummah
1. Kesedaran : Perasaan yang mahu mengaku kehambaan,
iaitu Taubat.
2. Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
3. Memperbayakkan zikrullah.
4. Mempraktikkan syariat dan thoriq mengikut acuan ahli
sunnah wal jamaah.
5. Menjauhi dan meninggalkan pendapat serta pandangan
yang terkeluar dari acuan ahli sunnah wal jamaah lebih-lebih lagi pandangan dan
pendapat acuan Yahudi dan Nasroni.
Asas
Pertama.
1.0 Kesedaran, iaitu perasaan yang mahu mengaku kehambaan.
Allah
s.w.t. telah menciptakan manusia dan Dia telah menyertakan di dalamnya dua
sifat. Pertama sifat “haiwaniah”. Kedua sifat “kemalaikatan”. Sifat haiwaniah
diselubungi oleh jasad makanan cacing dan nafsu ammarah yang tidak mengenal
Tuhannya. Inilah punca yang menyebabkan manusia menjadi sesat dan hina lebih
daripada haiwan sekiranya nafsu ammarahnya “mengkontrol” dirinya. Nafsu
kejadiannya sentiasa membelakangkan Allah s.w.t., dia tidak akan tunduk kepada
keagungan Allah s.w.t. bahkan sentiasa menentang Allah s.w.t. walaupun dalam
rupa kebaikan. Nafsu adalah musuh utama
manusia kerana di dalamnya terhimpun segala kejahatan manusia seperti yang
telah diinsyaratkan oleh Rasulullah s.a.w.:
“Sebesar-besar musuh kamu ialah nafsu kamu yang berada
di antara dua lambungmu.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Sifat
kemalaikatan pula diselubungi oleh Roh Latifah Rabbaniah yakni roh yang
mengenal Tuhannya, sentiasa tunduk dan patuh terhadap keagungan dan kebesaran
Allah s.w.t. Sewaktu di alam zuriat, Allah s.w.t. pernah berdialog dengan roh
seperti dirakamkan dalam surah al-a’raf ayat 172 :
“Bukankah Aku Tuhan kamu semua? (Roh-roh pun menjawab)
Bahkan kami menyaksikan Kaulah Rob kami.”
Tetapi
apabila roh ini ditiup ke dalam jasad maka roh telah dibelenggu oleh
nafsu-nafsu yang ganas lagi rakus. Kemuncak keganasan nafsu ialah apabila nafsu
berani membuat pengakuan “Akulah Tuhan”
seperti pengakuan yang dilakukan Namrud
dan Firaun. Rentetan dari pengakuan itu mereka mencari jalan untuk
menghapuskan kekasih-kekasih Allah s.w.t. dan jalan-jalan untuk menjadi kekasih
Allah s.w.t.
Semasa
Allah s.w.t. mencipta Adam a.s., malaikat dan azazil diperintah sujud kepada
Adam a.s., iaitu selepas ditiupkan “roh” ke dalam jasad Ayahnda Adam a.s.
Ketika jasad itu belum ditiupkan roh ke dalamnya, tidaklah Ayahnda Adam a.s.
mendapat kemuliaan untuk disujud oleh penduduk syurga.
“Ingatlah peristiwa ketika Tuhanmu berfirman kepada
para malaikat, “Sesungguhnya Aku akan menciptakan satu basyar (jasad Adam a.s.)
dari tanah. Apabila Aku telah sempurnakan kejadiannya kemudian Aku tiupkan di
dalamnya roh ciptaanKu, maka hendaklah kamu semua sujud baginya.” Maka sujudlah
para malaikat sekaliannya. Melaikan Iblis, dia berkelakuan sombong dan jadilah
dia dari golongan kafirin.”
(surah Shood ayat 71 – 74)
(surah Shood ayat 71 – 74)
Mengapakah
Allah s.w.t. memuliakan manusia (Adam a.s.) selepas ditiupkan roh ke dalam
jasadnya dengan memerintah para malaikat sujud kepadanya? Kerana di dalam roh
terdapat satu rahsia yang cukup besar iaitu kehambaan (mengenal Allah s.w.t.).
Sifat kehambaan adalah sifat kemalaikatan, iaitu sentiasa tunduk dan patuh
kepada keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Dia mengaku dialah jahil, hina,
terasa banyak dosa, daif, fakir-ilallah (berhajat kepada Allah s.w.t.) dan
berbagai-bagai lagi sifat mahmudah
yang lain. Roh ini juga Allah s.w.t. sebutkan daripada Aku pada ayat tadi.
Jasad pula Allah s.w.t. sebut dijadikan daripada tanah. Ini satu dalil tentang
kemuliaan yang terdapat pada roh kerana roh dari Allah s.w.t. Jasad pula dari
tanah, maknanya Allah s.w.t mengajar hambanya beradab denganNya. Yang baik-baik
itu hendaklah disandarkan kepada DIA
dan yang buruk dan keji itu hendaklah disandarkan kepada kita. Janganlah
sekali-kali kita menyandarkan segala kesalahan dan kecuaian kita kepada Allah
s.w.t. dan segala kebaikan itu atas kebolehan kita sendiri. Merendah dirilah
terhadap Allah s.w.t. Siapa yang tawaddhu’ Allah s.w.t akan memuliakannya dan
sesiapa yang ego Allah s.w.t. akan menghinakan dirinya.
Jasad
(nafsu) dia berlawanan dengan kejadian roh (sifat kemalaikatan) kerana dia
bersifat kebinatangan seperti rakus, zalim, ego (sombong), tamak, malas,
melayan kehendak syahwat perut serta kelamin dan berbagai-bagai sifat mazmumah yang lain.
Kenapa
Allah s.w.t. melaknat Iblis? Ini kerana iblis telah dipengaruhi oleh nafsunya,
dan iblis tidak bersifat dengan sifat kehambaan. Iblis menjadi kafir kerana
ego. Ego lah punca perpecahan dan
perbalahan. Langkah awal yang perlu kita lakukan untuk menghancurkan atau
membebaskan diri daripada kongkongan sifat kebinatangan dan datangkan dalam
diri jiwa malaikat ialah dengan kita mengaku, iaitu kitalah hamba yang berdosa,
mengaku terhadap dosa. Apabila adanya “tazallul”
akan timbullah “taslim”, “tabaddul”,
“takhaddua”, “takhassyua”, “taragghuban” dan “tamalluq”. Pengakuan terhadap
dosa telah dilakukan oleh bapa semua manusia (Ayahnda Adam a.s.), apabila
baginda dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi ini. Ayahnda Adam a.s.
memohon keampunan kepada Alah s.w.t. selama 40 tahun dengan mengalunkan :
“Ya Tuhan kami. Kami telah menzhalimi diri kami. Dan
andaikata Engkau tidak mengampuni kami dan tidak mengasihi kami, nescaya kami
menjadi orang yang rugi.” (surah Al-A’raf ayat 23)
Inilah
awal-awal urusan yang Ayahnda kita lakukan di atas permukaan bumi ini. Ayahnda
Adam a.s. beristigfar sehingga terlupa untuk menunaikan kehendak-kehendak
jasadnya, bahkan baginda pun terlupa juga denagan ibunda kita Hawa. Maknanya
kehendak kelamin pun baginda lupa kerana terlalu takut dengan kemurkaan Allah
s.w.t. dan hancur hati kepada Allah s.w.t.
Pengakuan
yang sama telah dilakukan Dzun Nun, iaitu Nabi Allah Yunus a.s. ketika baginda
berada didalam perut
ikan “Nun”. Baginda menyesal atas keterlanjuran yang Baginda telah lakukan.
Baginda telah membuat satu keputusan yang bercanggah dengan perintah Allah
s.w.t. kerana terpengaruh dengan perasaan dan pemikiran yang bercampur aduk
dengan jasad makanan cacing sehingga Baginda turut campur dalam kerja Tuhan
tentang urusan memberi “taufik dan hidayah.”
Baginda
Yunus a.s. bersungguh-sungguh bertaubat dengan penuh kehinaan kepada Allah
s.w.t. selama 40 hari. Baginda membaca istigfar yang ringkas tetapi cukup padat kerana di dalamnya terdapat kalimah tauhid dan kalimah menunjukkan
sifat kehambaan. Dengan berkat kesungguhan Baginda mengingati Allah s.w.t.,
sehingga hancur hati, maka Allah s.w.t. membebaskan Baginda dari tiga kegelapan
iaitu kegelapan malam, kegelapan dasar laut dan kegelapan perut ikan. Kisah ini
Allah s.w.t. rakamkan dalam surah Al-Ambia’ ayat 87 dan 88.
“Dan
ingatlah kisah Dzun Nun ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka
bahawa Kami tidak akan mampu menyempitkannya, (setelah mendapat kesusahan) maka
ia menyeru di dalam keadaan yang sangat gelap gelita, “Bahawa tiada Tuhan
selain Engkau, Maha suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang
yang zalim.” Maka Kami telah memperkenankan doanya dan melepaskannya dari
kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.”
Baginda
Rasulullah s.a.w telah mengakui bahawa doa Baginda Yunus a.s. ini merupakan
salah satu doa yang mustajab. :
“Adapun
nama Allah s.w.t. yang Maha Agung apabila dibuat doa dengannya pastilah
diterima dan apabila dibuat permintaan dengannya pasti diberi ialah doa (Nabi
Allah) Yunus bin Matta a.s.”
Perasaan
ego yang paling bahaya apabila
timbul rasa diri sudah sempurna dan terasa dirinya hampir dengan Allah s.w.t.
iaitu apabila dia melihat kepada ibadah dan amalan kebaikannya. Sebab itulah
Baginda Nabi Muhammmad s.a.w. sentiasa beristigfar tidak kurang dari 70 atau
100 kali dalam sehari. Istigfar Baginda adalah supaya pemikiran dan perasaan
jasadnya sejajar dengan pengakuan yang telah diikrarkan oleh ROH sewaktu di
alam zuriat. Banyaklah wahyu Allah s.w.t. turunkan kepada Baginda, supaya
Baginda dan ummatnya sentiasa bersesuaian dengan ikrar yang pernah mereka
lakukan di alam zuriat.
Salah satunya surah Al-Anfal ayat 17 :
Salah satunya surah Al-Anfal ayat 17 :
“Maka
bukanlah kamu semua membunuh mereka, tetapi Allah jualah yang membunuh mereka.
Dan bukanlah kamu melempar ketika kamu melempar tetapi Allah lah yang
melempar.”
Inilah
dinamakan akhlak Al-Quran yang terdapat pada peribadi Rasulullah s.a.w.
Peribadi Baginda telah menyatukan semua jenis bangsa manusia yang berlainan
bahasa dan warna kulit dalam menghadapkan wajah-wajah mereka kepada kiblat yang
satu.
Adapun
Iblis dilaknat sehingga hari kiamat walaupun dulunya ia digolongkan daripada
kalangan malaikat tetapi tidak mahu bertaubat disebabkan tidak mahu mengaku
kehambaan kepada Allah s.w.t., jadilah iblis musuh Allah s.w.t. dan musuh para
kekasih Allah s.w.t. kerana dosanya yang berpunca dari terasa dirinya sudah
sempurna dan lebih baik daripada Nabi Allah. Begitu jugalah hari ini masyarakat
tidak lagi mendekati dan mengikuti jejak langkah para kekasih Allah s.w.t.
iaitu para Ahlullah (wali Allah) kerana dosa yang timbul dari keangkuhan mereka sendiri.
Syeikh
Ahmad At-Thoillah mengatakan : “Sebab manusia jauh dari para wali Allah dan
tidak mengenal para wali Allah kerana maksiat yang meraka lakukan maka untuk
mengenal para wali Allah, bersungguh-sungguhlah bertaubat dan meninggalkan
maksiat.”
Orang
yang paling binasa adalah apabila membuat dosa tetapi tidak merasa berdosa.
Sabda
Rasulullah s.a.w. : “ Barangsiapa yang membuat dosa dalam ketawa akan masuk
neraka dalam keadaan menangis.” (Hadis
Riwayat Abu Naim)
Bersambung
….
Wallahu’alam.
masyaAllah. penulisan yang berbagai-bagai, Alhamdulillah. salam hormat tuan. :)
BalasPadamSalam hormat kembali buat cucu-cicit bani jawi, semuanya anugerah Allah s.w.t., Alhamdulillah...segala pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. semata-mata. Hamba hanya menjalankan amanah Allah s.w.t. di dunia yang sementara ini. Hamba mohon tunjuk ajar dan teguran daripada tuan dan juga semua insan yang sudi membaca tulisan hamba yang lemah dan banyak dosa ini. Jazakallah.
BalasPadam