Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Jumaat ayat
10.
“Dan hendaklah
kamu semua (orang beriman) berzikir kepada ALLAH dengan
sebanyak-banyaknya. Mudah-mudahan kamu akan berjaya (di dunia dan
akhirat).”
Apabila disebut zikir, maka maksudnya ialah untuk mengingati Allah s.w.t.
Kesimpulannya, setiap perkara yang boleh membawa kita menghampirkan diri kepada
Allah s.w.t. dikira sebagai zikir seperti menghadiri majlis ilmu, menyebut
nama-nama Allah, menjauhi perkara yang haram, syubhat dan makruh, menunaikan
ibadah fardhu dan sunat, sembahyang, membaca Al-Quran, mentelaah kitab yang
bersesuaian dengan syariat dan thoriq, memandang wajah orang solehin, melihat kaabah dan lain-lain lagi
banyak disebut dalam Kitabullah dan sunnah Rasulullah s.a.w. Matlamat zikir untuk menghilangkan syirik
dan menghidupkan tauhid.
Adapun zikir-zikir yang dikhabarkan, semuanya adalah
ranting atau dahan dan cabang bagi kalimah tauhid iaitu “La ila ha
illallah”. Kalimah ini adalah awal-awal zikir yang diseru atau diajarkan
para Nabi dan Rasul a.h.s.m kepada umat mereka sejak dari Ayahnda Adam a.s. sehingga Ayahnda Muhammad Musthofa s.a.w. Ini adalah
kerana kalimah tauhid ini boleh
menghilangkan segala bentuk syirik, samada syirik jali (nyata) atau syirik khofi
(tersembunyi).
Kalimah La ila ha illallah ini
telah Rasulullah s.a.w. talkinkan
kepada para sahabatnya dan mereka telah mempraktikkannya sehingga menjadi orang
yang berjaya, mulia dan Allah s.w.t. telah redho kepada mereka dan mereka pun
redho Allah s.w.t. itu sebagai Tuhan mereka. Berperibadilah
mereka dengan peribadi yang maufakat dengan Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w.
Selaras dengan sabdaan Rasulullah s.a.w.:
“Aku dibangkit
(diutuskan) supaya menyempurnakan budi pekerti yang mulia.”
(Hadis riwayat al-Bazar)
Asalnya mereka hidup dalam kegelapan jahiliah dengan
budi pekerti yang terlalu rosak sehingga lebih ganas daripada
haiwan. Inilah keberkatan kalimah La
ila ha illallah. Rasulullah s.a.w.
telah menyeru manusia kepada kalimah yang agung ini dan ini adalah awal-awal lafaz zikir yang disampaikan
Baginda s.a.w. di Kota Mekah.
“Wahai manusia kamu sebutlah La ila ha illallah pastilah kamu semua beroleh kejayaan.”
(Hayatus Sahabah, Syaikh Yusuf
Khandahlawi)
Pada abad
ke-5 hijrah, Sultan Aulia’ Syaikh Abdul Qoder Al-Jilani telah berjaya memperbaiki ummah di zamannya dengan
mentalkinkan kalimah tauhid ini kepada mereka. Ramailah ahli maksiat yang bertaubat
apabila Sultan Aulia’ ini menghidupkan kembali Sunnah Rasulullah s.a.w. pada
zamannya. Dikatakan juga beliau telah berjaya
mengIslamkan lebih 500 orang Yahudi dan Nasroni. Ini semuanya adalah
karamah yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada Beliau dengan berkat kesungguhan
Beliau yang sentiasa melazimkan “La
ila ha illallah” sehingga menjadi darah daging
Beliau. Zikrullah telah meresapi dalam jiwa, dalam setiap
sel, dalam setiap keluar masuk pernafasannya, disetiap kerlipan matanya, pada
setiap langkahnya, dalam setiap gerak dan diamnya. Zikrullah juga terpancar dari setiap pertuturannya kerana
pemikirannya telah menjadi zikrullah. Sehinggakan kata-katanya telah
merobohkan setiap kota dan tembok kekufuran dan
kesyirikan di dalam hati manusia, kerana hati manusia lebih keras daripada batu
dan hanya dengan zikrullah sahaja yang dapat
melembutkannya.
Firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Ra’d ayat 28 :
“Ketahuilah! Hanya dengan zikrullah dapat menenangkan hati-hati
manusia”.
Apabila manusia melihat wajah “Tuan Syaikh ini” mereka
akan merasa tenang dan mereka pun turut teringat Allah
s.w.t. kerana Beliau adalah anak kunci
zikrullah.
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya sebahagian dari manusia itu
adalah anak kunci zikrullah bila mereka itu dipandang maka akan teringatlah
kepada Allah s.w.t.”
(Hadis dari Anas bin Malik r.a., riwayat ibnu Hibban)
Jadilah
Beliau pewaris bagi Rasulullah s.a.w. kerana Rasulullah s.a.w. juga tidak pernah lalai terhadap Allah s.w.t. dalam
setiap masa dan keadaan. Perkara ini telah dinyatakan oleh Ummul Mukminin Aisyah r.ha.
:
“Adalah
Rasulullah s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t. sepanjang
masanya.”
(Riwayat Muslim, Abu Dawud dan
at-Tarmizi)
Pada hari ini masyarakat Islam umumnya mengetahui dan
sedar sekiranya mereka menyembah patung emas, maka iman mereka akan tercabut dan
terkeluarlah mereka daripada Agama Islam yang suci ini, kerana ini adalah syirik yang nyata. Mereka tahu bahawasanya patung itu tidak boleh memberi manfaat dan
mudharat.
Tetapi sekiranya patung emas tersebut dileburkan dan
dibuat barang-barang perhiasan yang bermutu tinggi, boleh mendatangkan
keuntungan yang banyak sekiranya dijual, dianggap orang yang memiliki atau
memakainya sebagai mulia dan tokoh yang berjaya dalam hidup. Hidupnya sentiasa dalam
kemewahan. Pada masa itu datanglah satu keyakinan di
dalam hati umat Islam bahawa kemuliaan dan kehinaan sesuatu bangsa di dunia ini
dinilai mengikut pangkat dan harta kekayaan, seolah-olahnya perkara tersebut
memberi manfaat dan mudharat. Mereka akan
bertawakal kepada asbab, tidak lagi kepada Allah s.w.t. yang menjadikan asbab.
Walaupun dahi mereka sujud kepada Allah s.w.t., mulut mereka
melafazkan Allah hu Akbar tetapi hati mereka sujud kepada makhluk dan dipenuhi
dengan kebesaran dan kehebatan makhluk.
Walaupun mereka tidak menyembah patung emas tetapi jiwa
dan hati mereka telah tertambat dan tersungkur ditapak-tapak kaki perhiasan
dunia. Inilah syirik yang tersembunyi.
Jadilah mereka hamba kepada nafsu jahat mereka sendiri dan
hilanglah peribadi mukmin dalam hidup mereka. Lalailah
mereka daripada mengingati Allah s.w.t., banyaklah perintah dan larangan Allah
s.w.t. mereka abaikan. Seperti yang telah Allah s.w.t. ceritakan dalam
surah at-Takasur ayat 1 dan 2:
“Kamu telah
dilalaikan daripada mengerjakan amal soleh (oleh perbuatan berlumba-lumba untuk
mendapatkan sebanyak-banyaknya harta benda, anak pinak, pangkat dan
pengaruh). Sehinggalah kamu masuk kubur (mati
dalam keadaan lalai juga)”.
Firman Allah s.w.t. lagi dalam surah al-Imran ayat 139 :
“Dan janganlah
kamu semua merasa hina dan juga janganlah kamu berduka cita, kamu semuanya
mulia, mengatasi dari yang lain sekiranya kamu
benar-benar orang yang beriman”.
Kejatuhan dan kehinaan yang melanda ummat Islam kerana
jiwa dan peribadi mereka tidak lagi mewarisi jiwa dan peribadi “Ahli Tauhid”, iaitu jiwa dan peribadi
para nabi, Rasul, Malaikat dan para wali Allah. Bahkan mereka telah berperibadi
dan berjiwa ahli syirik dan kufur iaitu Qabil, Namrud, Firaun, Haman, Qarun, Abu
lahab, Abu Jahal, Ubaiy bin Khalaf, Abdullah bin Ubaiy dan musuh-musuh Allah
s.w.t. dan Rasul-Rasul yang lain. Maka Allah s.w.t. akan menghina mereka sama seperti Allah s.w.t. menghina
musuh-musuhnya, sebagaimana Allah s.w.t. menghinakan Namrud yang mempunyai
kerajaan yang luas hanya dengan seekor nyamuk sahaja. Disebabkan jiwa Namrud penuh dengan sifat mazmumah tetaplah Namrud
dengan kekufurannya sehingga dia mati.
Perkara ini telah ditegaskan oleh Baginda Saiyidina
Muhammad s.a.w. :
“Cinta dunia
itu punca segala kejahatan.”
(Riwayat ibnu Abu Dunya dan
al-Baihaqi)
Penawar untuk menyembuh ummat ini dari penyakit dan
keracunan akibat virus syirik dan kufur ini, kita kena kembali kepada asal dan
asas agama Islam iaitu “La ila ha illallah”.
Memperkasakan Aqidah ummat ini dengan memperbanyakkan “La ila ha illallah”. Mulakan kehidupan manusia ini dengan “La
ila ha illallah”. Disudahi kehidupan manusia ini pun
dengan “La ila ha illallah”. Sebutlah “La ila
ha illallah” sehingga menjadi darah dan daging sebagaimana ditulis dalam
kitab-kitan Tauhid.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 136 :
“Wahai orang
yang beriman hendaklah kamu semua terus beriman kepada Allah dan
RasulNya.”
Rasulullah s.a.w. telah bersabda
: “Perbaharui (perkuatkan) iman
kamu semua. Rasulullah s.a.w. ditanya, Bagaimana kami hendak memperbaharui iman
kami Ya Rasulullah? Rasulullah s.a.w. menjawab,
Perbanyakkanlah menyebut “La ila ha illallah”.
(Riwayat Ahmad dan Tabrani)
Daripada Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan dari Nabi s.a.w : “Apabila
anak-anakmu mulai bercakap, maka ajarkanlah mereka “La ila ha illallah” sebagai
ucapan yang mula-mula sekali dan apabila tiba waktu mati, ajarkanlah pula “La
ila ha illallah”. Kerana sesungguhnya siapa yang ucapan awalnya “La ila ha illallah” dan ucapan akhirnya “La ila ha illallah”
maka ia tidak ditanya tentang satu dosa pun walau ia hidup seribu tahun
sekalipun.”
(Fadhilat Zikir oleh Maulana
Zakaria)
Kenapa mereka tidak akan disoal
tentang dosa walaupun hidup 1000 tahun? Kerana mereka mendapat kekuatan iman
yang mampu memeliharanya
dari terjebak dalam kancah kemurkaan Allah s.w.t. dengan
keberkatan sentiasa melazimi kalimah toiyibah sejak mula-mula
bertutur sampai nyawanya di halkum. Sekiranya mereka
tergelincir dalam kancah tersebut, cepatlah mereka mendapat kesedaran.
Mereka pun kembali kepada Allah s.w.t. dengan hancur hati
mengaku atas kejahilan mereka. Maka Allah s.w.t.
membersihkan mereka daripada kekotoran dosa.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Orang yang
bertaubat dari dosa seperti orang yang tidak melakukan
dosa.”
(Hadis riwayat ibnu Majah dari ibnu
Mas’ud r.a.)
Daripada ayat dan hadis diatas, dapat difahami bahawa wajib atas setiap mukallaf menggilap
imannya. Sekiranya iman tidak
digilap lama kelamaan imannya akan pudar maka akan
bertapaklah di dalam hatinya kesyirikan, kekufuran, kemunafikan dan kefasikan.
Apabila hati manusia itu telah dipengaruhi kesyirikan dan kekufuran maka akan porak perandalah aturcara hidup mereka di atas bumi ini.
Akan hilanglah siddiq,
amanah, fathonah dan tabligh (seruan kearah iman dan amal soleh) dan
zahirlah penipuan, kianat, jahiliah dan seruan kepada kemungkaran.
Syirik dan kufur ini tidak wujud pada para Nabi, Rasul,
dan Wali Allah kerana mereka Khalifah Allah di muka bumi ini yang sentiasa
mendorong manusia dan jin untuk memparaktikkan syariat
dan thoriq supaya sampai kepada hakikat dan makrifat. Empat unsur ini (Syariat, Tarekat, Hakikat dan Makrifat)
tidaklah bercerai tanggal malah empat unsur ini mestilah wujud dalam setiap
individu muslim supaya jadilah dia mukmin yang
Kamil.
Zikir akan mendatangkan kesan
yang sempurna apabila seseorang itu mengaku diatas segala kekurangan dan
kezaliman dirinya kepada Allah s.w.t. (istigfar) dan berselawat atas Rasulullah
s.a.w. sehingga memadamkan segala waham (andaian dan sangkaan yang tidak pernah
senang dan berbetulan dengan apa yang Allah s.w.t. qodhakan) terlebih
dahulu.
Wajib atas
orang-orang yang mahu menghancurkan kerakusan nafsunya daripada lembah yang
tidak sihat (kekufuran, kesyirikan, kemunafikan dan kefasikan) dengan melakukan
3 perkara iaitu Istigfar, Selawat dan Zikir. Tiga amalan ini dimisalkan seperti tawas yang boleh
menjernihkan kekerohan dalam telaga tetapi hendaklah memasukkan sukatan tawas
yang mencukupi barulah air yang keroh itu akan jernih.
Apabila dimasukkan tawas, air yang keroh akan kembali
jernih kerana asalnya air memang jernih, yang mengeruhkannya adalah bekas
takungannya atau salirannya. Begitu jugalah manusia ini di dalam dirinya
tersimpan satu rahsia yang sangat berharga iaitu ROH LATIFAH RABBANIAH yang mengenal
Tuhannya dan Roh Latifah Rabbaniah ini bersifat kemalaikatan tetapi apabila roh
ini ditiupkan ke dalam jasad maka ia menjadi keroh.
Di sinilah perlunya kita memproses semula untuk
menjernihkan kembali roh tersebut.
Inilah satu proses (ISTIGFAR, SELAWAT dan
ZIKIR) yang telah dilalui oleh semua para Aulia’ dari dahulu sampai sekarang,
sehinggalah hari kiamat.
Bersambung …. InsyaAllah
ta’ala.
Wallahu’alam.
assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
BalasPadamduhai saudara yang baik budi lagi berhati mulia,
teruskanlah titipan pelayaranmu,
sesungguhnya kami sudi dan sedia membacanya,
salam hormat, salam penuh kasih dan sayang,
Wa'alaikumussalam..wrt,
BalasPadamJazakallah, segala pujian hanya untuk Allah Jalajalaluh. Terima kasih kerana sudi membaca nukilan hamba yang daif dan hina ini. Semoga cucu-cicit bani Jawi dan sekalian ummat mendapat sikit sebanyak manafaat dengan rahmat dan taufiq daripada Allah s.w.t. InsyaAllah.
Wassalam.