Assalamu’alaikum…wrt,
mari sama-sama kita hayati sambungan kisah Ayahnda Ibrahim a.s. Saudara/i boleh
rujuk Al-Quran dalam surah al-Anbiya’ ayat 59,60,62,63,64,65,66,67 dan 68 untuk
mendapatkan dalil naqli kisah yang hamba coretkan di bawah ini.
Hari ini Ahad,
03/06/2012M bersamaan 13/07/1433H.
Pesta tahunan sudah
hampir. Tiga hari lagi mereka akan keluar meninggalkan kota. Kota Babilon akan
menjadi lenggang. Hanya patung-patung yang tidak bernyawa itu yang tinggal
menjadi pengawal kota. Untuk merayakan pesta itu mereka membuat berbagai
persediaan. Mereka membuat berbagai kuih dan mereka menyembelih kambing. Lalu,
mereka hidangkan semua itu di hadapan patung-patung mereka sama ada di rumah
atau di tempat persembahan mereka.
Hari pesta telah tiba.
Pagi-pagi lagi seluruh penghuni Kota Babilon telah bersedia untuk keluar
meninggalkan berhala-berhala mereka dengan hidangan makanan yang sedap-sedap.
Sorak-sorai suara mereka sambil berjalan menuju ke padang pesta kawasan
pedalaman. Di sanalah mereka akan berpesta bagi memuaskan nafsu. Di sana mereka
akan bersuka ria, bercampur gaul lelaki perempuan dengan bebas. Di sanalah
mereka menari, menyanyi, mabuk dan macam-macam lagi.
Langit pagi itu semakin
cerah oleh serakan cahaya matahari yang bersinar. Namun hanya seorang sahaja
yang menyambut ketibaan siang di Kota Babilon pada pagi itu. Dia tidak keluar
bersama orang lain. Dia mempunyai rancangannya sendiri. Dengan sebilah kapak
besar dia keluar dari rumahnya. Hulu kapak itu dipegangnya erat-erat. Dia
melangkah dengan cekal menuju ke rumah berhala. Akan dihancurkan
berhala-berhala itu. Tekad ini sudah lama timbul di dalam hatinya. Hari ini
hari yang paling baik untuk melaksanakannya.
Tindakannya ini akan
menjadi bukti yang nyata bahawa patung-patung yang mereka sembah tidak sedikit
pun dapat memberi faedah kepada mereka. Mereka memerlukan bukti ini. Kata-kata
berhikmat tentang kekuasaan Allah ta’ala sudah tidak dapat membuka hati dan
mata mereka. “Biar mereka lihat. Biar mereka tahu,” bisik hati Ayahnda Ibrahim
a.s. sambil berjalan. Tidak ada siapa yang melihatnya di rumah berhala itu.
Berhala-berhala yang ada semuanya mati, tak bernyawa. Matanya buta dan
telinganya pekak.
Tersenyum Ayahnda
Ibrahim a.s. melihat berhala-berhala itu. Dia berkata sendirian bagai satu luahan,
‘Patung-patung! Mengapa tidak kamu makan makanan yang lazat ini,” sambil
diperhatikan hidangan makanan di kaki patung-patung itu. Diperhatikan
patung-patung itu. “Batu yang tidak bernyawa ini mereka sembah,” bisik hatinya
hairan. Kapak yang di tangannya dihayun-hayunkan. Kemudian dia tersenyum.
“Kapak inilah hadiah paling layak bagi patung-patung ini,” katanya lagi. Tiada
siapa yang mendengar kata-kata itu kecuali Allah s.w.t.
Kini kapak itu tidak
dihayunkan ke angin lagi. Satu demi satu patung yang di situ tumbang, pecah dan
berkecai, terkena hentakan kapak yang begitu kuat. Setelah beberapa lama, tidak
ada lagi patung yang berdiri, kecuali sebuah patung yang besar. Yang lain
semuanya telah menjadi ketul-ketul batu. Tempat itu menjadi seperti rumah yang
belum siap. Makanan yang terhidang di situ ada yang bertabur dan ada yang
terlungkup; bercampur batu dan pasir. Hanya haiwan sahaja yang memakannya.
Ayahnda Ibrahim a.s.
menghampiri patung yang besar. Kapak yang di tangannya dikalungkan ke leher
patung itu. “Nanti kau jawab kalau penyembah-penyembahmu bertanya,” katanya seorang diri. Dia melangkah
meninggalkan tempat itu.
Setelah beberapa hari
berpesta, orang ramai mulai pulang ke kota. Mereka menuju ke rumah penyembahan
itu untuk melakukan penyembahan setelah selesai segala pesta; setelah puas
segala rasa. Betapa terkejutnya mereka melihat keadaan patung-patung mereka
yang telah berkecai. Mereka tertanya-tanya, “Siapakah yang melakukan angkara
ini?” “Jahat! Jahat!” jerit mereka sambil marah marah. Ada pula yang menangis,
“Tuhan kita sudah hancur! hancur! Huhuhuu. Kita cari orang yang menghancurkan
Tuhan-tuhan kita,” kata mereka. “Kita hancurkan kepalanya kalau kita dapat!”
jerit mereka pula sambil melihat sekeliling.
Mereka duduk berbincang
di hadapan patung yang besar, yang tidak ditumbangkan oleh Ayahnda Ibrahim a.s.
Mereka mahu mencari orang yang bertanggungjawab, orang yang melakukan perbuatan
yang amat mencabar ini. “Aku fikir, ini perbuatan Ibrahim,” kata salah seorang
daripada mereka. “Ibrahim?” “Ya, Ibrahim, orang muda yang selalu menghina-hina
tuhan kita,” jelas orang itu lagi. “Aku pasti dia yang melakukannya,” kata
orang lain pula. Fikiran ini mendapat sokongan orang ramai. Mereka membuat
keputusan untuk menangkap Ayahnda Ibrahim a.s. “Kita cari Ibrahim!” kata salah
seorang daripada mereka dengan suara
yang lantang. “Mari! Kita cari!”
Ayahnda Ibrahim a.s.
tidak melarikan diri. Dia tahu keputusan mereka. Dia sedia ditangkap dan inilah
peluang baik untuk mengatakan sesuatu kepada mereka. Beberapa orang memegang
Ayahnda Ibrahim a.s. Diheretnya Ayahnda Ibrahim a.s. ke hadapan orang ramai.
Beberapa cacian dilemparkan kepadanya. Namun dia menghadapinya dengan berani
dan tenang.
“Kamukah yang
menghancurkan tuhan-tuhan kami?” Tanya ketua mereka yang menjadi hakim.
Pertanyaan ini amat menarik perhatian Ayahnda Ibrahim a.s. Dia menoleh ke arah
patung besar yang masih tegak itu. “Patung besar itu marah. Dialah yang
menghancurkan patung-patung lain. Lihatlah kapak dilehernya. Cubalah tanya
dia,” jawab Ayahnda Ibrahim a.s. sebagai sindiran. Jawapan ini menyusuk ke
telinga mereka. Lalu menyelinap ke dalam hati mereka bagaikan racun yang amat
berbisa.
“Kenapa kami mesti
bertanya kepada berhala itu. Dia tidak boleh berkata-kata,” jawab ketua itu.
Jawapan ini memberi peluang baik kepada Ayahnda Ibrahim a.s. untuk menyatakan
kepalsuan dan kesesatan mereka.
“Kalau
begitu, mengapa kamu sembah patung-patung itu; patung yang tidak dapat
bercakap, tidak dapat melihat, dan tidak dapat mendengar; patung yang tidak
dapat memberi manfaat atau membawa mudarat; bahkan tidak dapat menyelamatkan
dirinya dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan
kepercayaan dan penyembahan kamu itu.
Tidakkah kamu berfikir dengan akal yang sihat, bahawa apa yang kamu
lakukan adalah salah dan merupakan hasutan syaitan. Mengapa kamu tidak
menyembah Allah ta’ala yang menjadikan kamu, yang menciptakan alam sekeliling
kamu dan yang menjadikan kamu sebagai penguasa kepada kekayaan alam ini.
Alangkah hinanya kamu dengan kepercayaan dan penyembahan kamu itu.”
Jawapan Ayahnda Ibrahim
a.s. yang berupa pidato ini menjadikan mereka terpegun. Hati mereka bertambah
sakit dan kini mereka mencari jalan untuk menghapuskan Ayahnda Ibrahim a.s.
Bersambung... InsyaAllah ta'ala.
Bersambung... InsyaAllah ta'ala.
Hakikat Cinta
Teman kembalilah
Kembalilah mengukir ceria
Mengukir corak kehidupan
Kehidupan bahagia penuh keindahan
Keindahan hidup disirami iman
Iman mekar menjadi takwa
Takwa benteng ketahanan diri
Diri yang lemah akan dilindungi
Dilindungi oleh kekuatan Ilahi.
Ilahi jua yang Maha Mengetahui
Hakikat Cinta yang sejati
Marilah teman yang dikasihi
Bersama kita mengorak langkah
Menuju ke hadirat Ilahi
Menuju ke kampung kebahagiaan
Memohon keredhaan dari Ilahi
Agar kasih berpanjangan.
A.M.Latif - 22/01/1998 - Desaku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan