Ayahnda

Ayahnda

Ahad, 10 Februari 2013

Pencipta nama Nagara Kedah Darul Aman



Assalamu'alaikum...wrt, hari ini Sabtu 9/2/2013M bersamaan 28 RabiulAwal 1434H sempena malam terakhir Majlis sambutan Maulidur Rasul dan Ijtimak Ulamak Turath Malaysia/Thailand 1434/2013 yang telah diadakan selama 3 hari 3 malam bertempat di Pondok Tuan Guru Haji Yahya, Kg. Teluk Dalam, Mukim Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah.... maka tergerak hati hamba untuk berkongsi sebuah catatan oleh Allahyarham Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah tentang sejarah Kedah Darul Aman.

Sebelum ini hamba telah menulis sebuah artikel mengenai Sejarah Kedah Darul Aman berdasarkan sepucuk surat rasmi yang dihantar oleh Allahyarham Nai Long Kasim Ibni Nai Long Ahmad kepada Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah Darul Aman bertajuk SEJARAH NEGERI KEDAH DARUL AMAN DIWUJUDKAN PADA TAHUN 1881 MASIHI OLEH PENJAJAH RAJA BUDDHA THAILAND RAMA V CHAKRI SUKHO THAI CHULALONGKORN. Clik di sini untuk membaca surat tersebut.

Dalam artikel kali ini marilah sama-sama kita merenung sebuah catatan Oleh Allahyarham Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah tentang siapakah pencipta nama Nagara Kedah Darul Aman. Kemudian kita bandingkan dengan kandungan surat oleh Allahyarham Nai Long Kasim Ibni Nai Long Ahmad mengenai Negeri Kedah Darul Aman. Kata kunci di sini Nagara dan Negeri.


 
ALLAHYARHAM USTAZ WAN MOHD SHAGHIR ABDULLAH 
(Al-Fatihah)



ADA yang berpendapat bahawa tokoh penyebar Islam di Aceh yang juga penyusun kitab Bahr Al-Lahut iaitu Syeikh Abdullah Arif adalah sahabat kepada tokoh ulama yang diperkenalkan pada kali ini.


Namun ada pula berpendapat bahawa kedua-dua Syeikh Abdullah ini adalah orang yang sama.


Syeikh Abdullah Arif di Aceh dikatakan berada di Aceh sekitar tahun 560H/1165M-1177M, sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yemen dan tiba di Kedah tahun 531 H.

Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.


Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M. Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.


Yaman

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.


Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 hlm 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.


Jika disemak dengan teliti kandungan buku tersebut, penulis menyimpulkan Islam datang ke Kedah jauh lebih awal daripada kedatangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.


Ini kerana dinyatakan dalam buku tersebut bahawa sesudah merdeka ditemui sebuah nisan di Langgar, Kedah yang berinskripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah/Alam dan tarikhnya 291H bersamaan 903M. Haji Ibrahim Ismail memetik dari kertas kerja berjudul ‘Sejarah Kedah Dalam Kebangkitan Islam’ (1982) oleh Ismail bin Haji Salleh.


Makam Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah

Selain itu, ia juga disebut oleh Abdullah Abbas Nasution dalam Islam 14 Abad dan manuskripnya diserahkan kepada penulis. Lihat juga Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman dalam Islam di Brunei Darussalam, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, cetakan pertama, 1992, halaman 30.



Mendahului


Melihat kepada perbandingan tahun kedatangan di antara kedua-dua tokoh ini iaitu Syeikh Abdullah Arif di Aceh (560H/1165M) dengan Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya di Kedah, ini bermakna Syeikh Abdullah al-Qumairi di Kedah mendahului kedatangan Syeikh Abdullah Arif di Aceh lebih kurang 29 tahun.


Namun apabila dibandingkan pula dengan tarikh batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar, Kedah pada tahun 291H/903M dengan tulisan M. Junus Djamil yang menyebut bahawa kerajaan Islam telah lahir di Perlak tahun 225H/840M, yang dilihat perbezaannya adalah lebih kurang 66 tahun.


Oleh itu, apabila dilihat tahun-tahun tersebut perbezaannya tidak jauh. Walaupun dinyatakan oleh Haji Ibrahim Ismail bahawa kerajaan itu lebih kurang 300 tahun lebih awal dari kewujudan Kedah (Lihat Sejarah Kedah Sepintas Lalu, halaman 18).


Kenangan di Makam Sultan Muzaffar Syah 1 Kedah Darul Aman

Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.


Namun, dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, bukan raja yang kesembilan, tetapi adalah raja yang ketujuh. Nama raja juga berbeza, raja Kedah menurut hikayat tersebut bernama Phra Ong Maha Wangsa.


Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I (mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.


Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Ini bererti dilakukan pengislaman secara massal.


Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara ulama (Syeikh Abdullah al-Qumairi) dengan umara (Sultan Muzaffar Syah I) tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.


Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.




Pintu Gerbang Kancaburi Kedah 



Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.

Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.



Wasiat


Pemandangan Gunung Jerai

Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.

Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/1166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).




Sama-sama kita lapangkan dada dan luaskan akal fikiran untuk mencernakan semua catatan sejarah ini. Wallahu'alam.


Gambar kenangan berhampiran Menara yang siap dibina di Padang Tok Syeikh.


Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi


* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.


* Berasal dari Yemen.


* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.


* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.


* Guru Sultan Muzaffar Syah I.


* Memberi nama Kedah Darul Aman.


* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai. 





Artikel di petik dari blog : http://ulama-nusantara.blogspot.com




Benarkah tarikh pada batu nesan 'Syeikh Abdul Qadir ibni Hussain Syah Alirah', bertarikh 291 Hijrah?


Derang Kedah.

2 ulasan:

  1. as salam AB yang sgt bertuah dunia & akhirat

    terima kasih berkongsi cerita & maklumat ttg bgmn kedatangan Islam ke kedah/tanah melayu/nusantara

    mengetahui sejarah & asal-usul sst perkara akan dpt menguatkan keazaman utk menghargai iman yg kita warisi

    Alhamdulillah Ya Allah, kerana Engkau telah hadirkan mubaligh islam lebih awal drpd kedatangan zionis/jesuits ke benua sebelah sini - portugis/belanda/sepanyol/british

    Islam inilah yg telah menguatkan jati diri serta sifat perjuangan yg sedia ada di dlm diri warga melayu nusantara

    BalasPadam
  2. Wassalammu'alaikum..wrt, saudaraku Wangsa gelar bangsaku,

    Sama-sama kasih kerna sudi membaca dan sudi berkongsi ulasan di sini.

    Sememangnya benar bicara saudara "Islam inilah yg telah menguatkan jati diri serta sifat perjuangan yg sedia ada di dlm diri warga melayu nusantara", tanpa Islam Malayu akan hilang, Melayu dan Islam tak dapat dipisahkan kerna Nur Islam telah lama bersatu dan bersemadi dalam jiwa bangsa Malayu di Nusantara ini. Wallahu'alam.

    Utusan Rasulullah s.a.w. yakni para sahabat Baginda s.a.w. seawal kurun pertama lagi telah tiba di alam Malayu untuk menyebaran Islam di rantau Nusantara ini.

    Alhamdulillah... kini telah banyak bukti kedatangan Islam di alam Malayu telah ditemui dan akan timbul lagi dan lagi bukti2 yg jelas dan nyata insyaAllah.

    BalasPadam