Ayahnda

Ayahnda

Selasa, 12 Jun 2012

Antara Dakwah dan Api yang menjulang



Assalamu’alaikum…wrt, hari ini Selasa 12/06/2012M bersamaan 22/07/1433H, ayuhlah saudara/i, sama-sama kita ikuti sambungan kisah Ayahnda Ibrahim a.s. Selamat membaca…

Tindakan Ayahnda Ibrahim a.s. memecahkan berhala mereka merupakan suatu tindakan yang amat mencabar; bukan sekadar orang biasa tetapi juga  Raja Namrud. Namrud, raja yang mengakui dirinya sebagai tuhan yang amat meminati berhala.

Bagi mereka Nabi Ibrahim a.s. tidak boleh dibiarkan, lebih-lebih lagi setelah dia memperbodoh dan menghina mereka di dalam dewan pengadilan yang lalu. “Alangkah bodohnya kamu dengan penyembahan dan kepercayaan kamu.” Kata-kata ini mendorong mereka mengambil keputusan yang terakhir. Keputusan ini adalah juga keputusan Raja Namrud. “Kita tidak ada tindakan lain yang setimpal dengan kesalahan Ibrahim kecuali dengan membakarnya.” Itulah keputusan Namrud yang berhati Iblis.

Keputusan ini disokong oleh para pembesar dan ahli berhala, malahan juga ramai yang terpengaruh dengan mereka. “Kita bakar Ibrahim!” mereka memekik beramai-ramai. Mereka puas hati dengan keputusan itu. Bakar!.


Ayahnda Ibrahim a.s. tidak sedikit pun terkejut menerima keputusan ini, malahan gerun pun tidak. Segala tindakan yang dilakukannya sudah difikirkan sedalam-dalamnya. Dan oleh itu dia bersedia menerima sebarang akibat. Dia hanya mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Tidak sedikit pun ada di hatinya rasa ingin dihormati oleh manusia yang engkar kepada agama Allah ta’ala.

Kini, seluruh jiwa raganya diserahkan kepada Allah ta’ala kerana selama ini pun dia bertindak dan berjuang untuk menegakkan agama Allah s.w.t.

“Ibrahim!  Tidak takutkah kamu kepada api?” Tanya Namrud cuba menakut-nakutkan Ayahnda Ibrahim a.s. “Api juga makhluk Allah. Api tidak akan memberi apa-apa kesan kecuali dengan kehendak Allah ta’ala. Saya mempertaruhkan jiwa dan raga saya untuk Allah ‘azza wajalla,” jawab Ayahnda Ibrahim a.s. dengan tegas dan berani.


“Bakar dia! Jerit orang ramai. Mereka mencari kayu api seorang seberkas. Kayu itu mereka longgokkan di tengah padang. Banyak sekali kayu terkumpul. Selepas itu orang ramai datang berduyun-duyun. Raja Namrud juga datang. Dialah yang akan mengarahkan segala-galanya nanti. Pada pandangan mereka inilah kemuncak keagungan Raja Namrud dan berakhirnya riwayat dan dakwah Nabi Ibrahim a.s.

Orang-orang yang beriman menghadapi upacara ini dengan debaran. Gelisah, sedih dan doa kepada Allah s.w.t. Mereka tidak dapat melakukan apa-apa tindakan. Bilangan mereka terlalu sedikit dan terlalu lemah. “Ya Allah! Selamatkanlah Nabi Ibrahim a.s. Selamatkanlah agama-Mu,” demikian pinta mereka kepada Allah ta’ala.

Upacara itu akan dijalankan. Api yang dinyalakan mula membakar timbunan kayu itu, kemudian maraknya menjulang tinggi. Asap hitam berkepul-kepul di udara. Tiada siapa yang berani menghampirinya. Kalau ada burung yang terbang di atasnya akan hangus dan akan menjadi debu sebelum jatuh ke bumi.


Mata Raja Namrud memperhatikan api itu dengan galaknya. Dia tersenyum kejam sambil memperhati ke arah Nabi Ibrahim a.s. Orang ramai menanti upacara itu dengan debaran, biarpun mereka setuju dengan tindakan itu. Bulu roma meremang. Lalu keluar peluh sejuk dari kulit mereka. Manusia yang bernyawa mahu dihumbankan ke dalam api.

Orang-orang yang beriman merasa cemas pada detik-detik terakhir itu. Tak sanggup mereka melihat api yang sedang marak menjulang itu. Hanya doa dan harapan kepada Allah. Allah yang Maha Pelindung dan Penyelamat.

Api itu kian marak. Gemuruh bunyinya ditiup angin. Berdetak-detak bunyi kayu dijilat api. Cahaya merahnya menyambar setiap wajah mereka yang hampir. Cemas! Cemas! Namun Ayahnda Ibrahim a.s. menghadapinya dengan tenang. Julangan api dan bahangnya tidak memberi apa-apa kesan kepadanya. Dia bagaikan berada di bawah pohon yang rimbun. Panas tidak, bahang pun tidak. Tidak setitik pun peluhnya yang memerah dari tubuhnya. Mulutnya menyebut-nyebut nama Allah.


Raja Namrud menyuruh pengawalnya mencampakkan Nabi Ibrahim a.s. ke dalam api. “Campakkan Ibrahim! Campakkan sekarang!” suaranya kuat. Tidak ada siapa yang dapat mendekati api yang sedang marak itu. Tidak mudah bagi mereka untuk mencampakkan Nabi Ibrahim a.s. ke dalam api. Mereka membuat lastik gergasi dan jaring. Dimasukkan Nabi Ibrahim a.s. ke dalam jaring itu. Mereka ingin menghumbankan Nabi Ibrahim a.s. bagai melepaskan anak panah.

Mereka tarik beramai-ramai tali jaring itu. Namun tidak berdaya. Azar, ayah Nabi Ibrahim a.s. juga menolong menarik tali itu. Justeru tidak mahu ayahnya malu, Nabi Ibrahim a.s. berdoa kepada Allah ta’ala agar mereka yang beribu-ribu itu berdaya menarik tali itu. Akhirnya Nabi Ibrahim a.s. terhumban ke dalam api. Melihat keadaan ini, ada orang yang memekik cemas dan ada juga yang berlari tidak sanggup menyaksikannya.



“Wahai api sejuklah dan selamatlah ke atas (terhadap) Ibrahim.” (Surah al-Anbiya’ ayat 69)


Api yang marak itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada Nabi Ibrahim a.s. Setelah beberapa lama, api mulai reda. Julangannya melepaskan asap terus ke angkasa. Dan julangan itu kian mengecil, menjadi bara kemudian menjadi debu. Ayahnda Ibrahim a.s. tidak hangus sedikit pun. Dia berdiri tegak di tengah-tengah bara yang telah menjadi debu itu. Hanya tali ikatan tangan dan kakinya yang terbakar.

Dengan tenang Ayahnda Ibrahim a.s. melangkah keluar meninggalkan timbunan debu. Raja Namrud terpegun memperhatikannya. Orang ramai juga terpegun. Masing-masing membeliakkan mata. Mereka sungguh tidak menduga. Orang yang dibakar tidak hangus. Raja Namrud sendiri tidak dapat berkata apa-apa. Dia hanya mengetap gigi sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Di antara orang ramai ada yang mempercayai dakwah Ayahnda Ibrahim a.s. kerana peristiwa itu menjadi bukti kebenarannya. Itulah mukjizatnya yang dianugerahkan oleh Allah ‘azza wajalla. Raja Namrud meninggalkan padang itu dengan hampa dan kecewa. Orang ramai juga pulang ke rumah masing-masing dengan kehairanan yang tiada jawapannya.


Orang-orang yang beriman mendapatkan Nabi Ibrahim a.s. mengucapkan, “Selamatlah Nabi Ibrahim.” Mereka bersyukur kepada Allah s.w.t. Semenjak itu Ayahnda Ibrahim a.s. semakin yakin dan semakin giat menyebarkan dakwahnya. Dengan berani dia menyatakan kebenaran Agama Hanif (Islam) dan dengan tegas dia mengecam agama syirik yang mendewakan manusia (Raja Namrud) dan berhala.

Tindakan Ayahnda Ibrahim a.s. yang berani itu menyebabkan Raja Namrud berasa lebih bimbang dan cemas. Raja Namrud terus menaburkan fitnah, kononnya Nabi Ibrahim a.s. menggunakan sihirnya yang membahayakan keselamatan mereka. Dia memanggil Nabi Ibrahim a.s. ke istananya. Nabi Ibrahim a.s. datang  dengan berani dan tawakkal.

Raja Namrud bertanya Nabi Ibrahim a.s., “Apakah fitnah yang engkau sebarkan sehingga orang ramai tidak percaya bahawa aku tuhan mereka. Tidakkah engkau lihat aku mengatur kerajaanku. Aku menetapkan dan membatalkan sesuatu menurut kehendakku?”


Ayahnda Ibrahim a.s. menjawab, “Allah Tuhan yang disembah, lebih berkuasa daripada orang yang pernah berkuasa. Dia yang menghidupkan dan yang mematikan; pencipta langit dan matahari. Tetapi kamu Namrud, kamu mendapat kuasa dengan kekejaman. Kamu bercakap bohong. Saya dapat hidup adalah kerana perlindungan Allah ta’ala.”

Jawapan ini menjadikan penentangan Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s. semakin memuncak.

Bersambung, insyaAllah ta’ala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan