Ayahnda

Ayahnda

Khamis, 28 Jun 2012

Dunia nilainya umpama sebelah sayap Nyamuk



Assalammu'alaikum...wrt, hari ini Rabu 27/06/2012M bersamaan 07/08/1433H hamba sambungkan kisah Ayahnda Ibrahim a.s. Semoga kita semua dapat mengambil manfaat kebaikan dari kisah ini, InsyaAllah.

Kita selalu memandang remeh kepada perkara yang kecil. Serangga yang kecil. Unggas yang kecil tetapi kita tidak tahu kadangkala yang kecil lebih berbisa daripada yang besar. Ular kapak kecil dikatakan lebih bisa daripada ular kapak besar. Jadi jangan pandang rendah pada yang kecil.
       
Sesetengah serangga kecil cukup berbisa dan hebat. Lihatlah nyamuk aedes, sudah ribuan orang yang maut kerana gigitannya. Orang yang hari ini kelihatan sihat tetapi dalam dua tiga hari meninggal dunia kerana penyakit denggi. Nyamuk lain juga tidak kurang bisanya yang menyumbang pelbagai penyakit kepada manusia termasuk malaria. Jadi untuk mencegahnya jagalah persekitaran kerana menjaga kebersihan dan persekitaran dituntut oleh Islam.


Nyamuk sebenarnya sejak ribuan tahun dulu sudah menjadi pembunuh. Ini terjadi apabila Allah SWT mengirim tentera nyamuk untuk membunuh Raja Namrud Kan'an dan tenteranya. Raja Namurd terlalu sombong untuk menerima dakwah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. dan beliau rasa tidak patut menuruti dakwah yang dibawa Nabi Ibrahim a.s.

Susulan dari kisah Ayahnda Ibrahim a.s. tidak hangus dibakar dalam api menyebabkan menentangan Raja Namrud semakin hebat keatas Ayahnda Ibrahim a.s. Bermula saat tersebutlah kebinasaan Raja Namrud dan tenteranya yang kufur akan hancur binasa.

Ketika Ayahnda Ibrahim a.s. menemuinya, dengan rasa egonya Raja Namrud berkata "Kumpulkan pengikutmu dan aku akan bawa pula pengikutku." Malahan dia berkata, "Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai Malaikat, maka kirimlah kepadaku untuk berperang denganku, jika sanggup ambillah kerajaanku ini." Begitulah sombongnya, Raja Namrud pemerintah Babylon.

Kebinasaan Namrud ini terjadi pada hari Rabu, ia dibinasakan Allah SWT dengan tentera nyamuk.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri.” (Al-Muddatsir: 31) Namrud mempunyai tentera sebanyak 700,000 (tujuh ratus ribu) penunggang kuda dengan senjata yang lengkap. Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: “Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika sanggup ambillah kerajaanku ini.”



Maka Ayahnda Ibrahim a.s. munajat kepada Allah SWT: “Ya Ilahi sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimkanlah kepada meraka tentera daripada selemah-lemah makhlukMu iaitu nyamuk.”

Ketika Namrud dan tenteranya telah berkumpul di padang yang luas, maka Allah s.w.t. memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Lalu keluarlah tentera nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit. Kemudian nyamuk bertanya: “Ya Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan?” Allah berfirman: “Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namrud.”

Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk tersebut. Lalu nyamuk-nyamuk tersebut menyerang tentera Namrud, menghisap semua darah mereka, Allah memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan terhadap Namrud. Agar ia dapat melihat sendiri kehancuran tenteranya. Maka nyamuk-nyamuk itu pun membiarkan Namrud sehingga ia dapat pulang ke istana.





Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud, lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Setelah sampai tiga hari, maka ia masuk ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya. Kemudian ia memakan otak Namrud selama 40 hari.

Begitu besar sifat pengasih dan penyayang Allah SWT. Allah tidak menyeksa Namrud dengan segera, tetapi masih diberi masa ia bertaubat. Masa tiga hari yang diberikan terhadap nyamuk tersebut tidak digunakan oleh Namrud untuk menerima kebenaran Allah SWT. Maka jadilah Namrud tergolong ke dalam orang-orang yang dimurkai Allah SWT.

Ayahnda Ibrahim a.s. merasa hairan dan takjub melihat peristiwa tersebut. Kemudian Allah berfirman kepadanya:
“Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagungan-Ku, sekiranya engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus tentera nyamuk, tentu aku akan mengirimkan yang lebih halus daripada nyamuk, jika 1000 (seribu) di antaranya berkumpul menjadi satu tidak mencapai besarnya nyamuk, tentu akan aku musnahkan juga mereka dengannya.”




Penderitaan Namrud sudah tidak tertanggung sehingga kepalanya menjadi sangat sakit. Akibat serangan nyamuk itu, Namrud sudah tidak mampu memerintah. Akibat tidak tahan dengan penderitaan, beliau mengetuk kepalanya dengan tongkat besinya. Namrud mati akibat kepalanya pecah kerana diketuk dirinya sendiri. Dia mati dalam kekufuran kerana tidak sempat bertaubat kepada Allah.

Ada riwayat mengatakan, takkala pecahnya kepala Namrud maka keluarlah nyamuk tadi yang telah membesar seumpama seekor burung Ciak (Allahu'alam) dan nyamuk itu telah kehilangan sebelah sayapnya yang terputus semasa usahanya mengejar Namrud. Maka tawaran Allah s.w.t. kepada nyamuk tersebut sebagai ganjaran atas tugasnya membinasakan Namrud adalah; dunia dan segala isinya. Namum dengan ilham daripada Allah ta'ala, nyamuk tersebut hanya memohon untuk mendapatkan kembali sebelah sayapnya yang terputus itu. Maka disini jelaslah nilai Dunia dan segala isinya tidak lebih dari sebelah sayap nyamuk. 

Dalam sebuah hadis, ada Rasulullah s.a.w bersabda; "Seandainya dunia ini ada nilai lebih dari sebelah sayap nyamuk, nescaya tidak diizinkan Allah ta'ala walau seteguk air pun kepada orang-orang yang kafir". (sesiapa yang tahu mengenai hadis ini, tolong nyatakan dalam ruangan komentar) Wallahu'alam.

Itulah Namrud yang sebelum itu membakar Nabi Ibrahim a.s. dan seperti yang diceritakan dalam Surah Al-Anbia ayat 68 dan 69.



Jangan derhaka kepada Allah

Iktibarnya kita jangan derhaka kepada Allah. Apa lagi mencabar. Pada masa lalu ada ketika mendengar pelbagai cerita nasib manusia yang mencabar Allah yang akhirnya mati di panah petir. Apabila Tuhan memberi sedikit bencana, ada yang beranggapan Tuhan tidak adil. Anggaplah kesusahan atau bencana yang menimpa kita sebagai cubaan dan tahap cubaan pula tentunya tidak sama.

Jangan pula kita memandang rendah pada serangga yang kecil termasuk nyamuk dan lalat. Sudah banyak kematian umat manusia kerana nyamuk dan lalat. Pelbagai penyakit moden timbul ekoran bawaan virusnya.

Allah mempunyai sebab dijadikan nyamuk dan lalat. Bayangkan apa akan jadi pada bangkai, najis atau sampah sarap tanpa nyamuk dan lalat. Serangga kecil yang kita merasakan kewujudannya tidak berguna sebenarnya mempercepatkan proses pembentukan baja dan baja ini berguna kepada pokok yang menyumbangkan buah dan haruman untuk manusia.



Bagaimana syariat Islam mengenai nyamuk, lalat dan serangga perosak lain. 

Sabda Nabi s.a.w. 
"Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh membahayakan." (Riwayat Ibnu Majah). Ulama membuat kesimpulan serangga yang memudaratkan itu boleh dihapuskan tetapi tidak dengan cara membakarnya.

Sekian, akan bersambung insyaAllah.

Kredit untuk http://nur-addin.blogspot.com  dan untuk http://hapipiborhan.blogspot.com Terima kasih.

3 ulasan:

  1. Dari Sahal bin Sa’ad r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya nilai dunia itu setara dengan sebelah sayap nyamuk, niscaya Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air (karena nilai dunia di sisi Allah tidak berharga sama sekali, sehingga orang-orang kafir pun diberi keduniawian)

    (HR.Tirmidzi)

    BalasPadam
  2. Ya benar, wahai S.Alamsyah.... Jazakallah.

    BalasPadam