Ayahnda

Ayahnda

Ahad, 17 Jun 2012

Manusia yang pernah menjelajah ke Ruang Angkasa



Assalamu’alaikum..wrt, sempena peristiwa agung Israk Mikraj, hari ini Ahad 17/06/2012M bersamaan 27/07/1433H hamba mohon laluan untuk menyentuh sedikit kisah berkaitan Israk Mikraj sebelum kisah Ayahnda Ibrahim a.s. dilanjutkan. Semoga sama-sama kita mendapat manfaat, insyaAllah.

Apakah ada yang bertanya di manakah Syurga itu? Siapakah di antara manusia yang pernah melihat Syurga? Dan bilakah mereka melihat Syurga itu?

Sebenarnya ada manusia yang telah melihat Syurga itu, daripada penduduk dunia ini selain Ayahnda Adam a.s. Pertamanya Nabi Idris a.s. Keduanya Baginda Nabi Muhammad s.a.w. di waktu Baginda Mikraj pada tanggal 27 Rejab setelah 12 tahun dari kenabian. Baginda adalah dari penghuni planet Bumi yang telah menjelajah ruang angkasa yang mana Islam memperingati peristiwa tersebut setiap tahun.


Yang dikatakan Mikraj itu ialah Nabi Muhammad s.a.w. naik ke ruang angkasa bumi bersama Malaikat Jibrail, Mikail dan satu Malaikat lainnya, dengan kenderaan “Kilat atau Burak” namanya yang terbangnya sepantas kilat yang di import dari Syurga. Ada riwayat mengatakan di syurga telah biasa kenderaan semacam ini. Jibrail a.s. bertindak sebagai juru bahasa dan penerangan. Mikail a.s. sebagai pemandu kenderaan itu.

Dalam perjalanan Mikraj ini Rasulullah s.a.w. diajak Jibril a.s. singgah di beberapa planet@langit pertama, kedua, ketiga, seterusnya sampai langit yag ketujuh. Sampai ke Sidratul Muntaha, seterusnya lagi sampai ke Mustawa. Perhatikanlah firman Allah s.w.t. dalam surah an-Najm ayat 12, 13, 14 dan 15.

“Tidaklah berdusta hati Muhammad tentang apa yang dilihatnya, Apakah kamu akan membantah tentang apa yang dilihatnya? (12). Dan sesungguhnya dilihatnya Jibril dalam bentuk yang asal (13). Di dekat Sidratul Muntaha (14). Di sisinya Jannatul Ma’wa (15).


Menurut keterangan ayat-ayat di atas, Syurga Jannatul Ma’wa di dekat atau di sisi Sidratul Muntaha dan di situlah Rasulullah s.a.w. melihat rupa Jibrail a.s. dalam rupa yang aslinya. Ianya adalah malaikat yang mempunyai 600 buah sayap. Entah bagaimana tentang rupa atau bentuk sayap Jibril a.s. itu, Rasulullah s.a.w. tidak menjelaskannya. Yang jelas Jibrail a.s. bersayap seperti disebut tadi, akan tetapi jikalau Jibril a.s. membawa wahyu turun ke dunia kepada Rasulullah s.a.w., ia dalam rupa seperti manusia lelaki tampan lengkap berpakaian.

Maka dengan keterangan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis mengenai Israk Mikraj Nabi Muhammad s.a.w. maka teranglah bahawa Baginda s.a.w. antara manusia dari planet Bumi yang telah menjelajah ke ruang angkasaraya terus ke alam syurga atau yang dinamakan alam Akhirat serta telah melihat syurga dan neraka dari dekat. Terjadinya peristiwa itu di bulan Rejab.


Jika kita mengikuti perjalanan Rasulullah s.a.w. Israk Mikraj dari mula-mula Baginda berangkat. Dari Masjidil Haram di Makkah sampai Baginda singgah di beberapa tempat yang bersejarah. Pertama di Yastrib yang sekarang namanya Madinah, kedua Madyan tempat pohon Nabi Musa a.s., ketiga kubur Mashitah yang harum mewangi di Mesir, keempat baitul Laham tempat lahir Nabi Isa a.s. di Palastin, kelima Bukir Tursina tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu dan bercakap-cakap dengan Tuhan dan keenam turun di Masjid Aqsa, Baitul Maqdis.

Kemudia dari Masjid Aqsa Rasulullah s.a.w. bersama Malaikat Jibrail a.s. dan Mikail a.s. melanjutkan perjalanannya singgah dibeberapa langit, sampai kelangit yang ketujuh, seterusnya sampai ke Sidratul Muntaha, dan akhirnya sampailah Baginda ke Mustawa atau Asyullah.

Sungguh sangat menarik dan sangat menakjubkan kalau ditinjau perjalanan Israk Mikraj ini, secara akliah atau ilmiah dengan akhirnya menambahkan keimanan kita akan kebesaran Yang Maha Pencipta dan Maha Kuasa ialah Allah Subhanahu wa ta’ala. Banyak pemandangan yang ajaib dan aneh yang tidak dapat difikirkan oleh akal yang tanpa iman, akan tetapi hal itu terjadi dan disaksikan oleh mata Nabi Muhammad s.a.w.


Secara ilmiah pemberangkatan Rasulullah s.a.w. bukan hanya sekadar begitu sahaja. Peristiwa ini patut mendapat perhatian kerana Baginda akan berangkat keluar angkasa yang begitu sangat jauh. Maka sebelum berangkat Baginda s.a.w. dibedah lebih dahulu, dadanya Baginda dibedah oleh Jibrail a.s., lalu diisi dengan bermacam-macam hikmat ilmu, kekuatan dan sebagainya agar terjamin mental dan fizikal Baginda dalam perjalanan yang sangat jauhnya berjuta juta mil, menembusi asmospera dan udara menjelajah ruang angkasa dari planet ke planet yang lain.

Berapakah Jauhnya perjalanan yang ditempuh Nabi Muhammad s.a.w.

Berapakah jauhnya perjalanan dari Bumi ke Mustawa? Pertanyaan ini telah dijawab oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran surah al-Ma’arij ayat 4:


“Naik Malaikat dan Ruhul-Amin (Jibril) kepada-Nya di dalam sehari itu sama kira-kira 50,000 tahun.”

Demikianlah jauhnya antara Bumi dan Mustawa. Jadi oleh sebab itu, kerana Rasululah s.a.w. adalah A’radhul-Basyariyah yakni berwatak tubuh manusia biasa maka perlulah baginya diistimewakan lebih dahulu, perlu perbekalan-perbekalan yang luar biasa. Maka Allah ta’ala mengisikan jiwa Baginda dengan ilmu dan hikmat serta rahsia yang belum ada pada manusia, untuk membuktikan akan kebesaran Allah s.w.t. dan untuk diperlihatkan kepada hamba-Nya akan kebesaran kerajaan Allah ta’ala

Allah Yang Maha Kuasa dapat menciptakan alam semesta dengan qudrat dan iradat-Nya. Dan Allah ta’ala jadikan semua itu tanpa perkakas atau tenaga. Tapi cukup dengan ucapan :”Kun - (Jadilah)” lalu terjadi sebagaimana Allah s.w.t. nyatakan di dalam surah Yasin ayat 82;


“Sesungguhnya perintah Allah itu, bila Ia menghendaki sesuatu, hanya Ia berfirman padanya, Jadilah, lalu terjadi.”

Demikian rahsia Allah ta’ala menjadikan sesuatu, menjadikan alam, menjadikan langit, menjadikan Bumi, menjadikan isi dunia, menjadikan malaikat, jin, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, menjadikan syurga dan neraka dan sebagainya, maka cukup dengan ucapan saja. Cukup dengan kata-kata : “Kun” , lalu jadi.


Kemudian sekarang kembalilah kita membicarakan syurga lebih lanjut. Yang dimaksud dengan nama syurga, kata-kata syurga diambil dari bahasa sankrit. Syurga adalah sesungguhnya beberapa negeri dan kota-kota yang berada di tempat semacam Bumi. Suatu dunia atau planet, bukan dunia dan planet kita ini, yang berada sangat jauh dari luar angkasa Bumi kita atau dunia kita. Lebih besar dan lebih luas lagi.

Rasulullah s.a.w. melihat Sidratul Muntaha, yang begitu sangat besar keadaannya. Dan kalau pohonnya sudah begitu besar apalagi buminya.memang sungguh ajaib dan indah segala perbuatan Allah ‘azza wajalla.

Ketika Rasulullah s.a.w. di Sidratul Muntaha, Baginda disuruh memejamkan matanya oleh Jibrail a.s. Kemudian Jibril a.s. menunjukkan keaslian dirinya sebagai malaikat, kerana biasanya Jibrail a.s. turun menemui Rasululah s.a.w. dalam keadaan rupa manusia. Berpakaian sebagaimana manusia biasa.


Adalah pada hakikatnya besar tubuh Jibrail a.s. itu, kalau dibandingkan dengan bumi kita seperti seorang lelaki dengan sebutir telur puyuh. Bumi kita ini dapat digenggam dalam tapak tangannya. Akan tetapi kerana ia malaikat yang Allah ta’ala berikan tenaga dan kekuatan yang luar biasa serta dapat menjelmakan dirinya berbagai rupa, rupa apa saja yang ia inginkan. Dari rupa malaikat sampai menjadi rupa manusia, dari yang besar sampai menjadi yang sekecil-kecilnya. Dari yang kasar, sampai menjadi yang sehalus-halusnya, sehingga tak dapat dilihat mata manusia, tidak dapat diraba dengan tangan, dan tidak dapat dirasa oleh perasaan manusia.

Walaupun demikian keadaan tubuh Jibrail a.s., maka kalau dibandingkan dengan Sidratul Muntaha, maka keadaan tubuh Jibrail a.s. itu jauh lebih kecil lagi daripadanya. Begitulah keadaan besarnya Sidratul Muntaha itu. Adapun pada hakikatnya, besar Sidratul Muntaha itu hanya Allah s.w.t. yang lebih mengetahuinya kerana Dialah yang menciptakannya dan menumbuhkannya.


Kembali kita membicarakan soal syurga. Kalau kita perhatikan keterangan ayat di dalam surah An-Najm, dapatlah kita suatu kepastian bahwa syurga itu berada di langit yang ketujuh. Kerana di situlah Rasulullah s.a.w. melihat syurga dan apa yang disaksikan Rasulullah s.a.w. itu semuanya belum pernah dilihat mata adanya di dunia ini, dan belum pernah didengar adanya kebagusan dan kehebatan yang ada di syurga itu, di dalam dunia ini. Maksud kehadiran Rasulullah s.a.w. di situ tidak lain, supaya dapat disaksikan dari dekat, dapat disaksikan sebelum mati kerana apa yang dikatakan akhirat itu sebetulnya sudah ada, dan sudah Allah s.w.t. jadikan sama dengan Allah ta’ala jadikan Bumi kita atau yang dinamakan Dunia.

Tegasnya alam akhirat itu, bukan alam khayalan atau alam fatamorgana. Itulah alam yang nyata, bukan alam abstrak. Itulah alam zahir juga seperti alam yang kita rasai sekarang ini. Namun alam dunia ini akan hancur binasa dan alam akhirat akan kekal abadi selama-lamanya. Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang hamba yang telah menjadi kekasih Tuhan Rabbul’alamin, yang telah menjadi kesayangan Tuhan Penguasa seluruh alam, yang sudah terpilih dan istimewa. Hanya dalam bentuk tubuh adalah seperti manusia biasa, tubuh manusia seperti kita juga. Akan tetapi dalam martabat rohnya, dia adalah pokok dari segala arwah yang Allah s.w.t. jadikan.


Semasa Rasulullah s.a.w. belum dimikrajkan, Baginda tahu bahawa dirinya itu tidak beza dengan diri kebanyakan orang, dilahirkan dengan sebab perkahwinan antara seorang ibu dan bapa. Setelah Rasulullah s.a.w. mikraj dan dapat berhadapan kepada siapa yang menjadikan dirinya maka pada ketika itu Allah s.w.t. membukakan rahsianya. Allah s.w.t. jadikan alam semesta kerana Muhammad s.a.w. dan Allah s.w.t. jadikan Muhammad s.a.w. kerana Tuhan Rabbul’alamin. Allah s.w.t. jadikan Muhammad s.a.w. kerana kasih sayangNya.

Maka di malam Mikraj itu Allah s.w.t. menyatakan cinta dan kasih sayangNya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Di sinilah Nabi Muhammad s.a.w. baru tahu martabat dirinya itu, adalah orang yang paling mulia di sisi Tuhan Rabbul’alamin. Baginda s.a.w. adalah orang yang telah menjadi kekasih Allah s.w.t. dan sekaligus Allah ta’ala tunjuki kepada Baginda s.a.w. syurga yang akan menjadi tempat tinggal Baginda s.a.w. dan telah diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. telaga Al-Kautsar.




Wahai Kekasihku


Kekasihku yang disayangi;
Janganlah diikuti nafsu nanti dirimu lesu,
Janganlah diikuti akal nanti dirimu menyesal,
Janganlah diikuti rasa nanti dirimu binasa,
Janganlah diikuti hati nanti dirimu mati,
Janganlah diikuti syaitan nanti dirimu kejahanam;


Ikutilah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.
nanti dirimu akan berjaya  dunia akhirat.


Ta'atilah perintah Tuhan (Allah);


Dalam menta'ati perintah Tuhan,
perlukan pengorbanan;
Di kala senang atau susah,
di kala suka atau benci;
Perintah Tuhan wajib di ta'ati.


Dalam menta'ati perintah Tuhan;
Ikutilah sunnah Rasul-Nya,
jangan dilalai oleh dunia.


A.M.Latif ; 01/10/1997 ; Raiwind

Tiada ulasan:

Catat Ulasan