Assalamu’alaikum…wrt. Sempena Hari Raya Aidul Adha / Haji / Korban bagi
tahun 1432 Hijrah ini, hamba persembahkan kisah Qabil dan Habil. Semoga kisah ini menjadi renungan dan tauladan buat kita semua.
InsyaAllah.
Qabil
dan Habil, keduanya adalah putera Ayahnda Adam a.s.
Al-Quran mengisahkan keduanya agar menjadi i’tibar dan hikmah bagi
orang-orang mukmin.
Qabil adalah seorang yang berakhlak buruk, selalu
melakukan keburukan, dosa, tamak dan menentang kebenaran. Habil adalah saudaranya yang
berakhlak baik, seorang yang soleh, taqwa dan selalu berbuat kebaikan. Di antara keduanya sering timbul perselisihan. Habil selalu mempertahankan kebenaran, sedang Qabil selalu
menentangnya. Perselisihan antara keduanya sering
terjadi hingga akhirnya sampai ke suatu titik kritis, yakni peristiwa
pembunuhan yang dilakukan oleh Qabil terhadap adiknya, Habil.
Di
antara sebab perselisihan mereka ada dua pendapat :
Pertama, Habil adalah seorang penternak yang mempunyai
ternak kambing, sedang Qabil adalah seorang petani yang memiliki tanaman
pertanian. Masing-masing
melakukan korban dengan mengeluarkan harta yang dimiliki mereka masing-masing.
Habil memilih seekor domba / kambing yang paling baik untuk
dijadikan korban, sedangkan Qabil memilih gandum / padi yang terburuk dari
hasil pertaniannya untuk berkorban. Kemudian keduanya
menyerahkan harta korban masing-masing kepada Allah s.w.t. Korban masing-masing
diletakkan di atas dua puncak gunung yang berlainan, satu di puncak gunung Thur
dan satu dipuncak gunung Pher. Tiba-tiba turunlah api
dari langit yang membakar korban Habil dan membiarkan korban Qabil. Setelah Qabil mengetahui Allah s.w.t. menerima korban saudaranya
dan tidak menerima korbannya, timbullah rasa hasad dengki yang kemudiannya
sampai membunuh adik kandungnya itu.
Kedua,
dikisahkan bahawa Ayahnda Adam a.s. mempunyai anak
yang masing-masing dilahirkan oleh Ibunda Hawa kembar dua, terdiri dari lelaki
dan perempuan. Yang pertama, Qabil dengan saudari kembarnya
Iqlima. Yang kedua, Habil dengan saudari kembarnya
Lahuda. Setelah keempat-empatnya dewasa Ayahnda Adam a.s.
ingin menjodohkan masing-masing anaknya secara bersilang. Qabil
dengan saudari kembar Habil, dan Habil dengan saudari kembar Qabil.
Kebetulan, saudari kembar Qabil adalah wanita cantik sehingga ketika Ayahnda
Adam a.s. akan mengahwinkannya dengan Habil, Qabil
menolak dan menentang ayahndanya dengan berkata, “Saya lebih berhak
memperisterikan saudari kembarku, sedangkan Habil lebih berhak memperisteri
saudari kembarnya. Bukankah hal ini (bersilang itu) tidak lain
hanyalah pendapatmu belaka!” Padahal itu adalah
perintah dan keputusan Allah s.w.t. namun diengkari oleh Qabil. Bagi
membuktikan itu adalah perintah Allah s.w.t., ayahnda Adam a.s.
memerintahkan kedua anaknya itu melakukan korban. Barang siapa yang korbannya
diterima akan dikahwinkan dengan saudari kembar Qabil
yang cantik itu. Ternyata, yang diterima Allah s.w.t. ialah
korban Habil. Turunlah api dari langit
menyambar dan menelan korban Habil, dan akhirnya timbul rasa hasad dengki
terhadap adiknya, yang kemudian terjadi pembunuhan pertama keturunan Ayahnda
Adam a.s.
Perkhabaran yang benar oleh Allah s.w.t. melalui surah
al-Maidah ayat 27 hingga 30.
“Ceritakanlah
kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang
sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah
seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia (Qabil) berkata, “Aku pasti membunuhmu”.
Berkata Habil, “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari
orang-orang yang bertakwa (27). (Takwa di sini dimaksudkan agar manusia
benar-benar menjauhkan diri dari hal-hal yang tidak mendapatkan redha Allah
s.w.t., tidak menyekutukan Allah, serta menjauhkan perbuatan taat kepada yang
tidak ditentukan oleh Allah s.w.t. Qabil telah melakukan korban seenaknya
sendiri tanpa menghiraukan apakah korbannya akan diterima atau tidak. Kerananya, Allah s.w.t. tidak menerima korban Qabil).
Sesungguhnya kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku
sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku untuk
membunuhmu, aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam (28). Sesungguhnya
aku ingin agar kamu kembali (membawa) dosa (membunuh)ku
dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian
itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim” (29). Maka
hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itulah
dibunuhnya. Maka jadilah ia seorang di antara
orang-orang yang rugi” (30).
Kita renungkan sejenak firman Allah s.w.t. pada ayat
27 yang tersebut diatas tadi.
“…maka diterima dari salah seorang dari
mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia (Qabil) berkata,
“Aku pasti membunuhmu”. Berkata Habil, “Sesungguhnya Allah
hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”
Perkataan takwa yang diucapkan oleh Habil ketika
berdialog dengan Qabil, sebenarnya sangat tepat untuk mengingatkan dirinya atau
Qabil yang ingin melakukan kejahatan itu. Namun, Qabil bukanlah ‘ahli takwa’.
Kerananya, Allah s.w.t. tidak menerima korbannya kerana tamak
dan hasad dengki yang meliputi hatinya memuncak dan menimbulkan suatu keinginan
keras untuk membunuh adiknya.
1372 H / 1953 M
Kemudian kita beralih kepada firman Allah s.w.t. yang
mengisahkan ucapan saudara yang teraniaya (Habil) pada ayat 28.
“Sesungguhnya kalau kamu menggerakkan tanganmu
kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku
untuk membunuhmu, aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam”.
Dari sini kita tahu kemuliaan peribadi Habil yang
penuh kebaikan iaitu takwa dan yakin.
Peribadi Habil untuk menolak membalas kejahatan yang akan
dilakukan kepadanya, kerana pembunuhan benar-benar tidak selayaknya dengan
sifat peribadinya. Dia benar-benar takut dan yakin kepada
Allah Rabbul ‘alamin. Barang siapa takut dan yakin kepada Allah
s.w.t. tidak akan berbuat zalim terhadap seseorang. Rasa takut kepada Allah s.w.t. merupakan benteng yang kuat untuk
mencegah perbuatan salah dan dosa di dunia ini. Sifat yakin kepada Allah
s.w.t. akan membuatkan seseorang itu tabah dan redha dengan takdir Allah s.w.t.
Kerananya, jika para pendidik dan penegak kebenaran mengerti tentang fungsi
takwa dan yakin ini, tentulah mereka akan mengarahkan setiap individu beriman
kepada Allah s.w.t., keikhlasan beramal dan takut bermaksiat kepada Allah
s.w.t., dan akan tercapailah masyarakat yang kukuh (cemerlang), penuh kedamaian
(gemilang) dan kuat (terbilang).
Tetapi, Qabil yang telah dikuasai sifat tamak haloba,
rapuh pertahanan dirinya terhadap godaan nafsu jahatnya.
“Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap
mudah membunuh saudaranya, sebab itulah dibunuhnya. Maka jadilah ia seorang di antara
orang-orang yang rugi”.
(surah al-Maidah ayat 30)
Pertentangan sengit itu, pada hakikatnya tidak terjadi
pada diri Qabil dan Habil. Tetapi pertentangan sengit yang sebenarnya terjadi antara Qabil dan
hawa nafsunya, atau antara Qabil dengan kejahatan sifat tamaknya. Dalam
keadaan yang demikian, mestilah Qabil harus bertahan mengekang keliaran nafsunya untuk
memerdekakan diri dari cengkaman nafsu jahat itu. Namun,
Qabil itu lemah dalam menghadapi keliaran nafsunya, sehingga dia dapat
dijerumuskan untuk membunuh saudaranya. Demikian
itulah jenis hasad dengki dan tamak yang ganas.
Pengajaran dari Burung Gagak.
Setelah
Qabil membunuh saudaranya ia membiarkan begitu saja
mayat adiknya kerana tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Kemudian
Allah s.w.t. mengutus dua ekor burung gagak, keduanya berkelahi hingga akhirnya
terbunuhlah salah satu di antaranya. Gagak yang masih
hidup kemudian menggali tanah dengan paruh dan kakinya. Setelah selesai, dilemparkannya gagak yang sudah mati itu ke dalam
lubang tadi dan ditimbus dengan tanah. Ketika Qabil
melihat gagak mengubur seekor gagak yang dibunuhnya, tersentuhlah hati Qabil.
Dia tidak merasa lega hatinya kalau dirinya kalah dengan
seekor gagak dalam masalah kebaikan. Maka dikuburkan saudaranya ke dalam
tanah kemudian dia menyesali perbuatannya (ketika Qabil mengetahui bagaimana
Allah s.w.t. memuliakan Habil, dia merasa sangat menyesal) seraya berkata,
“Kenapa diriku ini hanya memiliki lebih sedikit penghormatan kepada yang lain di bandingkan dengan seekor gagak.”
Inilah maksud dari firman Allah s.w.t. dalam surah
al-Maidah ayat 31.
“Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak
menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia
seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil, “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu
berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku
ini?” Kerana itu jadilah dia diantara orang-orang yang
menyesal.”
Wallahu ‘alam, Sekian wassalam.
Selamat
Menyambut Hari Raya Aidul Adha, pada 10 Zulhijjah 1432 bersamaan 06 November
2011. Selamat melakukan Ibadat Korban dan Semoga mendapat
Haji Mabruk kepada seluruh Jemaah Haji bagi tahun 1432 Hijrah.
PENGORBANAN
Hujan gerimis berbunyi guruh
Merak sakti jangan dipanah;
Patah sayap bertongkat paruh
Tidakkan tersungkur di atas tanah.
Sayang berangan tidak berbuah
Putiknya gugur jatuh di selat;
Bumi Malaysia
bumi bertuah
Digengam dijajah tetap berdaulat.
Gemala sakti tautnya suasa
Milik pusaka raja Betawi;
Pemuda gagah harapan bangsa
Pemudi santun tonggak pertiwi.
Kuntum melati harum disemat
Hanyut kelopak ke Tasik Chini;
Tanah digenggam sumpah keramat
Darah terakhir tetap di bumi.
Titis embun di Inderaloka
Jatuh berkilau di sayap kenari;
Biar putih tulang selangka
Korban suci tetap diberi.
Cenderawasih penghias alam
Hinggap seekor memagut pulut;
Janji diikat kata disulam
Bukan sekadar manis di mulut.
LILY HASLINDA NASIR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan